"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Tuesday, April 9, 2013
"Autistic and Beautiful"...
Itu tajuk sebuah catatan oleh seorang ibu muda yang saya baca di Facebook anak saya. Ibu ini bersyukur walaupun anaknya istimewa. Malahan ia kata ia dapat menghayati erti keindahan hidup bersama anak ini. MasyaAllah. Cerita-certanya menyentuh hati.
Anak saya juga punya anak yang sudah dikenal pasti menhidap 'mild autism'. Sekarang saya suka membaca apa jua cerita berkenaan anak-anak istimewa kerana dua orang cucu saya juga ada ciri-ciri istimewa. Alhamdulilah, setiap yang Allah kurnia itu pasti ada hikmahnya.
Kisah anak seorang ibu muda ini berlatarbelakangkan persekitaran di negara maju. Ingatan saya di United Kingdom. Maka di sana kemudahan yang disediakan oleh pemerintah amat baik sekali, katanya. Saya teringatkan cucu saya di Putrajaya yang tidak sering mendapat khidmat doktor pakar kerana hospital di negara kita tidak secanggih hospital di negara maju. Bilangan doktor pakar amat terhad dan kita terpaksa menunggu berbulan untuk mendapatkan perhatian dan perkhidmatan.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Kita fikir sendiri. PRU 13 tidak berapa hari lagi. Kita pilih calun yang kita rasa dapat membawa kesejahteraan kita semua (rakyat biasa) dunia dan akhirat. Kita pilih calun yang bertaqwa dan takut pada Allah.
Berbalik kita pada cerita cucu saya yang 'autistic'.
Pada hari Khamis cuti sekolah yang baru lepas saya ikut anak saya membawa cucu berjumpa doktor pakar di University Kebangsaan Malaysia. Cucu saya ini Akif nama manjanya. Sekarang berumur 6 tahun. Hari lahirnya awal April dan semasa ibunya berpantang melahirkannya, saya pergi ke Tokyo membantu menjaganya.
Gambar di sebelah saya rakam semasa ia diperhatikan oleh doktor cara pergerakan dan pemikirannya. Doktor kata Akif pintar dan kreatif. Antara kelemahannya ialah ia akan menumpu lebih bila ia suka akan sesuatu. Kini Akif tidak terlalu aktif dan sudah mahu mendengari nasihat. Cuma ia masih suka "menghilangkan diri". Jika ia teringatkan sesuatu yang membuat ia teruja ia akan lari mendapatkannya tidak mengira sama ada ia membahayakan dirinya atau tidak. Setakat ini Akif belum pandai mencari jalan balik ke rumah atau mencari ibunya. Ia akan berada dalam "dunianya" sendiri. Sering juga ibunya cemas mencarinya. Dan di sekolah Tadika yang dihadirinya, gurunya pun cemas mencarinya bile ia hilang dari kawalan. Ia ditempatkan di kelas khas tetapi di sekolah biasa kerana otismanya tidak extreme.
Kelmarin saya singgah di rumah anak saya sekembalinya saya dari Tangkak menumpang kereta seorang teman. Saya asyik memerhatikannya. Mula-mula saya samapai ia jerit nama saya "Embah! embah !" Saya teruja dan hulur tangan saya. Dia lari mendapatkan saya dan meng"karate" saya. Saya tertawa kecil sahaja melihat gelagatnya. Kemudian ia menunjukkan permainannya pada saya. Dia cuba menerangkan sesuatu pada saya. Saya tumpu pada usahanya walaupun saya tidak faham semua yang dikatakannya.
Dalam perjalanan pulang ke rumah saya, Akif duduk dengan saya di hadapan. Ia tidak mahu duduk di belakang. Agak sempit tetapi saya tidak katakan sempit dan memeluknya untuk menunjukan saya suka duduk dengannya. Sepanjang perjalanan agak sejam itu ia amat tertib. Tidak mahu beralih tempat ke belakang seperti dahulu. Tumpuannya ialah mainan tanah liat yang cuba dibentuk berbagai rupa. Alhamdulilah. Ibunya sedikit sebanyak sudah "berjaya" melatih mengikut nasihat dan panduan doktor pakar dari masa ke masa.
Bila berjumpa doktor saya orang yang suka bertanya. Maka saya tanyakan apakah kajian-kajian saintifik dan sosial yang telah dibuat di Malaysia mengenai anak-anak yang otistik. Bagaimana kita boleh mengelakannya dan bagaimana kita dapat mengatasinya dan sejauh mana peribadi seorang yang otistik dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat biasa apabila mereka dewasa nanti.
Doktor hanya senyum tawar memandang saya. Katanya tidak ada lagi kajian seperti itu. Saya agak terkilan memandangkan Malaysia negara kaya. Tetapi apakan daya. Saya rakyat biasa. Rakyat biasa hanya berkuasa pada hari pilihan raya. Maka saya kena hati-hati memilih calun yang berwibawa.
Bila bercerita mengenai anak-anak istimewa dan orang-orang dewasa istimewa sekarang ini saya berfikir lebih sedikit. Saya perhatikan secara rambang bahawa kesedaran orang ramai mengenai perkara ini belum menyeluruh dan meluas. Pusat-pusat penjagaan anak-anak seperti ini dan dewasa seperti ini amat kurang sekali. Mungkin anak-anak yang seperti cucu saya Akif itu ramai juga bilangannya. Cuma tidak ada program "awareness" yang cukup berkesan untuk membantu mereka yang memerlukan. Disebelah sekolah Tadika SUFI yang saya urus di bandar Tangkak ada pusat penjagaan dewasa yang menghidap "down syndrome". Saya lihat bangunan itu kecil sahaja. Guru Tadika saya yang punya adik yang menghidap "down suydrome" cuba menghantar adiknya ke tempat itu tetapi tidak diterima kerana katanya keadaannya agak berlainan. Tidak ada pula tempat alternatif yang disediakan. Maka guru saya ini tidak ada tempat untuk mengadu hal. Bantuan Jabatan Kebajikan kalau tak silap saya hanya rm15/- sahaja sebulan. Manakan cukup .
Dasar negara kita memang meminggirkan orang-orang seperti ini. Pasti kerana mereka tidak dapat menyumbang pada pembangunan negara. Mereka dikira satu bebanan. Maka di manakah mereka akan mendapat pembelaan !
Banyak lagi cerita anak-anak istimewa seperti Akif. Sampai di sini dahulu kali ini. Yang penting ibu bapa tidak bersikap "self denial" mengenai keistimewan anaknya. Kurnia rahmat Allah datang dalam berbagai bentuk. Gambar di atas saya rakam ayah Akif, Amin, melayan anaknya dengan kesabaran. Alhamdulilah. Yang penting kita menerima kesemuanya dengan berlapang dada dan penuh kesyukuran.
Segala puji bagi Allah, kita hamba-hambaNya yang kerdil dan memohon pertolonganNya setiap masa.
Ameen Ya Rabb.....
...
Monday, April 8, 2013
Hati mana......
Saya ke Kota Tinggi, Johor di musim cuti sekolah minggu lepas untuk ziarah kakak saya yang sakit terlantar sejak beberapa lama. Saya rasa sebak teringatkan diri sendiri kerana beza umur kakak saya dengan saya hanyalah 14 tahun.
Saya pasti ia merasai berbagai rasa di hati cuma ia sudah tidak berkemampuan untuk menyatakannya atas banyak sebab yang saya rasa agak susah memahami kesemuanya. Maka hanya doa yang saya panjatkan semoga kakak saya dalam perlindungan Allah sentiasa. Semoga anak-anak juga sentiasa menziarahinya kerana menjaga ibu bapa adalah jalan pintas ke Syurga dan amat rugi siapa jua yang tidak menghayatinya.
Ini abang ipar saya yang tekun menjaga isterinya dibantu oleh pembantu dari negara jiran. Ia sudah berumur 83 tahun. Suami saya disebelahnya dan mereka saling bercerita-cerita tentang hidup dan kehidupan. Betul kata alQuran dan memang pastinya betul. Anak-anak adalah hiasan sahaja. Kebergantungan kita hanya pada Allah jua.
Ya Allah, kasihanilah kami, ampunilah dosa-dosa kami dan semoga hidup kami dan mati kami adalah dalam redhaMu jua. Kurniakanlah kami Syurga Firdaus tanpa hisab bersama semua yang kami sayang.
Ameen, Ya Rabb....
....
Sunday, April 7, 2013
Kehijauan kurnia Allah...
Hari Khamis musim cuti sekolah yang lepas saya ke Kuala Lumour mengikuti suami berurusan dengan Bank. Mengapa tidak, saya berfikiran. Sudah lama tidak berputar-putar dalam kesibukan lalu lintas yang pada satu ketika dahulu hampir setiap minggu pasti saya berada di tengah-tengah lautan manusia berurusan entah apa. Saya lihat manusia masih sama berpusu-pusu melintasi jalan, berkejaran cuba mencari penyelesaian dalam kehidupan yang sentiasa terbeban dan saling membebani. Kita lihat dengan mata hati. Kemana arah tujuan. Rugilah sebenar manusia yang tidak terhidayah dan tidak mencari hidayah Allah, Tuhan sekelian alam.
Kesibukan yang ramai kita tidak tahu sebenarnya untuk apa. Yang penting kita sentiasa mencari habuan wang ringgit untuk terus menyambung keperluan hidup. Itu tidak salah. Cuma kesibukan kita harus berpaksi pada prnsip pengabdian pada yang maha Pencipta.
Saya senyap-senyap muhasabah diri. Masih banyak yang belum beres dari segi tanggongjawab terhadap tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Saya katakan pada suami tentang urusan kita dengan Bank. Masih belum bersih sepenuhnya mengikut hukum Syar'ie. Maka bolehkah kita kata kita di atas landasan yang benar. BN dalam kempen pilihanraya mengatakan kita di atas landasan yang benar. Betulkah itu? Masih banyak yang belum jelas.
Maka saya lapangkan hati buat sementara dengan mengambil foto pokok-pokok yang menjadiakan bandarraya Kuala Lumpur kehijauan. Kehiajuan kurniaan Allah. Tetapi manusia masih ramai yang engkar dan mengengkariNya.
Maka kita kena perbetulkan nowaitu kita, mohon ditunjukki jalan yang lurus dan dan menunaikan pengabdian yang tidak tercemar dalam apa jua bentuk sekali pun.
Sama-sama kita memohon keampunan dariNya atas segala dosa, segala kelemahan dan kekurangan dan memohon pertolongan dariNya semoga perjalanan kita sentiasa di jalan yang benar, bukan untuk meraih sokongan manusia tetapi untuk mendapat redha Allah jua.
Waallahu'alam.
.....
Saturday, March 30, 2013
Berdiri yakin.....
Yakin itu ibarat merasai detik-detik degup jantung berterusan damai
Kerana yakin itu suatu kekuatan yang membuat minda luar biasa berfikiran
Yang mengenal kekurangan, kelemahan dan kekangan di sekeliling diri
Tetapi akan terus maju ke hadapan berani mencari dan membukti
Tetapi akan terus maju ke hadapan berani mencari dan membukti
Yang membujur akan lalu, yang melintang akan patah.
Tetapi diri akan tetap ambil peduli.
Tetapi diri akan tetap ambil peduli.
Namun tidak mungkin itu akan menjadi kenyataan
Jika yakin itu hanya kata-kata di bibir mahu dilihat tampan
Mahu dilihat berani tiada bandingan.
Mahu dilihat berani tiada bandingan.
Jika itu hanya aksi
Akan tenggelam keyakinan diri, tiada nilai peribadi
Kerana yakin itu paksinya ikhlas dan jujur dihati
Kerana yakin itu paksinya ikhlas dan jujur dihati
Yakin penyaksian Allah itu maha tinggi tiada terduga akal sendiri
Dan pengabdian pada Allah tiada beza yang zahir dan yang tersembunyi
Dan pengabdian pada Allah tiada beza yang zahir dan yang tersembunyi
Tiada erti ruku' sujud jika hati belum tunduk tanpa mengira manusia menyaksi
Yakin itu satu kekebalan
Tidak akan terpedaya pada bisikan hasutan manusia dan syaitan
Tidak akan celaru akal fikiran, walau segunung emas dijanjikan
Berdiri Yakin...
Di hadapan Tuhan, Rabb sekelian alam.
Yakin itu satu kekebalan
Tidak akan terpedaya pada bisikan hasutan manusia dan syaitan
Tidak akan celaru akal fikiran, walau segunung emas dijanjikan
Berdiri Yakin...
Di hadapan Tuhan, Rabb sekelian alam.
Wednesday, March 27, 2013
Pesan emak.....
Pesanan emak saya banyak yang lekat di hati terutamanya mengenai hubungan kasih adik beradik. Kini emak sudah lama tiada dan saya juga kini seorang emak yang sudah hampir ke destinasinya. Tetapi tidaklah saya tahu anak-anak zaman cyber ini patuh pada pesanan emak seperti orang-orang generasi saya. Pesanan dan saranan emak ibarat "keramat". Takut tidak "berkat" kalau tidak diikut.
| Deretan rumah baru anak saya. |
Beberapa minggu yang lalu saya di ajak anak melihat rumah barunya untuk memberi tahu kerosakan-kerosakan yang ada sebelum rumah itu di serahkan. Rumah itu di Presint 15 Putrajaya dan saya rasa teruja kerana kalau saya berpindah ke Putrajaya maka rumah itu tidak berapa jauh dari rumah saya. Dapatlah selalu bersama cucu-cucu. Ini dalam perancangan. Semoga Allah kurnia yang terbaik di sisiNya.
Teringat saya pertama kali saya membeli rumah baru ialah pada tahun 1975 dan saya masih bujang ketika itu. Rumah itu di Damansara Utama. Ketika itu kemudahan Bank untuk membeli rumah amat mudah sekali dan saya membeli link house berukuran 22 X 70 hanya sebanya RM 56,000/- sahaja. Emak saya pun amat teruja kerana ini pertama kali ia akan ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama anak yang padanya rumah itu amat cantik. Saya selalu sebak mengingatkan emak saya menghias rumah saya di sebelah luar dan di dalam dengan caranya sendiri. Pastinya cara hiasannya adalah secara kampungan dan saya membiarkannya sahaja asalkan dia seronok.
Biasanya pagi-pagi ia telah bangun dan sebelum matahari memanasi halaman rumah ia akan mencabut rumput-rumput termasuk yang mengelilingi pasu-pasu bunga yang beberapa buah saya beli dari nursery di Sungai Buluh. Waktu itu tidak ramai yang suka ke Sungai Buluh kerana masih takut dengan wabak Kusta. Sebenarnya ia tidak membahayakan. Emak saya tekun di laman yang besarnya benar-benar sekangkang kera. Bila sudah mula panas ia masuk dan kami akan minum pagi pada hari-hari yang saya bercuti atau di hujung minggu. Itulah emak saya. Saya yang bongsu dan padanya saya sentiasa anak kecil baginya....
PESANANNYA : "Jangan kau jual rumah ini. Nanti tak berkat harta engkau". Saya tidak membantah walaupun dalam hati seperti saya mungkin tidak dapat memenuhi pesanan itu. Di pendekan cerita terjual juga rumah itu pada tahun 1986 untuk membeli rumah lain di kampung Tunku Petaling Jaya. Saya sembunyikan fakta saya jual rumah yang ia pesan jangan jual. Saya rasa lega kerana dia tidak pernah bertanya. Dalam pada itu saya rasa seperti berdosa tidak ikut pesanannya walaupun pesanan-pesanan yang lainnya saya ikut sedaya upaya.
Maka di rumah anak saya, saya tidak berkata apa-apa mengenai jual beli rumah. Biarlah anak-anak berfikiran sendiri. Zaman telah beredar dan niali-nilai hidup sudah tidak sama. Saya seperti merasai status orang tua sekarang sudah tidak seperti status orang tua dahulu. Agaknya zaman teknologi tinggi dan lain-lain kemewahan hidup dan faktor-faktor sosial yang sudah amat berbeza telah menghakis " auora kekeramatan " status orang tua. Saya amat berhati-hati supaya tidak mengecewakan diri. Lagi pun nilai yang saya pegang bukan nilai utama. Cuma saya sahaja agaknya yang rasa begitu.
Semasa saya memasuki rumah pertama saya, emak saya bekalkan sedikit peralatan dapur dan peralatan tidur. Katanya dahulu pun embah (emaknya) buat seperti itu. Sedikit pinggan makuk, tikar bantal , periuk kuali mengiringi pindah masuk rumah baru seorang anak. Sekarang sudah beza. Sudah banyak yang ikut budaya "house warming" dan teman-teman menghadiahkan barang-barang hiasan rumah.
Saya sendiri pun tidak membekalkan priok belanga dan yang lain-lainnya. Entahlah. Seperti tidak perlu agaknya. Mungkin bukan soal keperluan tetapi hanya satu "warisan keramat" emak pada anak. Auora ini sudah hilang dan mungkin tidak akan kembali lagi.
Semoga apa jua yang kita buat tidak menghakis pautan kasih dalam keluarga. Saya khuatir kerana teknologi telah banyak mengubah cara berkomunikasi. Kalau dahulu sekurang-kurangnya kita mendengar suara, sekarang ini kita hanya membaca. Dan jarang-jarang pula bersua muka. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana selepas saya tiada.
Dalam perjalanan hidup ini semua kita tidak sempurna, termasuk saya. Banyak yang kita lupa, atau ingat tetapi sudah tidak seiring rasa. Selalu sahaja kita kata kita mangsa. Kita mangsa kesuntukan masa, mangsa kesesakan jalan raya, mangsa kerja-kerja pejabat yang bertimbun banyaknya dan lagi dan lagi......
Semoga Allah menampuni semua dan menunjuki jalan yang sempurna dan dihujung perjalanan kita mendapat RedhaNya.
Ameen, Ya Rabb.
...
Sunday, March 24, 2013
Takut....
Saya sendiri tidak tahu.
Saya sendiri rasa tidak menentu bila saya bersama anak diberi tahu oleh doktor pakar bahawa cucu saya ada elemen istimewa, iaitu seorang dikategorikan sebagai menghidap "mild Otisma" dan seorang lagi sangat aktif yang memerlukan khidmat pakar "child psychitrist" untuk membantunya ada daya fokus.
Saya rasa pada mulanya seakan-akan cemas dan sangat khuatir kerana tidak tahu apa kesan sebenar jangka pendek dan jangka panjang pada kedua-duanya. Anak saya lebih tabah hati dan melalui proses yang rumit dalam membantu anak-anak istimewa mengawal dirinya penuh kesabaran. Alhamdulilah. Anak saya tidak terperangkap dalam fenomena "self denial" dan dengan steady cuba mendapatkan kepercayaan ayah anak-anak dengan penuh keyakinan bahawa dugaan Allah sedikit sahaja. Senyap-senyap saya katakan padanya kalau berat ujian dan dugaan Allah sekalipun, kita terima penuh kesyukuran kerana kita mahu jadi hamba yang sentiasa bersyukur kerana kita hambaNya dan kita mahu mencapai darjat hamba seperti yang Allah kata dalam alQuran dalam surah Al Fajr.
Saya dengan penuh insaf membuat bacaan sendiri dari maklumat di internet untuk memahami fenomena ini. Makin saya tahu, makin saya lega. Kebesaran Allah itu sukar kita merasai sepenuhnya hingga kita melalui pengalaman-pengalaman yng menyentuh secara langsung. Alhamdulilah. Allah memberi peluang pada merasai kasih sayangNya denga cara yang tidak pernah saya duga sebelum ini. Saya mula merasakan bahawa apa yang tidak kena dihati kita itu tidak semestinya suatu musibah. Tidak ada musibah jika kita membuka minda dan menerima ketentuan Allah secara positif. Cara Allah menyentuh hati-hati kita hanya Dia sahaja yang maha mengetahui apa yang terbaik di sisiNya. Maka itu menjadi doa kami sekeluarga. Apa jua yang Allah kurnia pasti ada hikmahnya.
Maka tugasan dan tanggongjawab saya di Tadika SUFI dalam hal ini amat relax sekali. Bila mendengari rintihan murobbiah mengenai anak-anak yang aktif luar biasa, saya sudah "pandai" memberi nasihat supaya bersabar kerana tiap-atiap anak ada keistimewaan masing-masing. (Hati saya sudah pandai tersenyum). Saya perhatikan ada ibu-ibu muda masih takut untuk menghadapi kenyataan mengenai hal pembesaran anak-anak. Ada yang berkecil hati jika mendengar sungutan-sungutan dari murobbiah yang lain walaupun mereka tidak bermaksud apa jua yang negatif.
Maka saya berbincang dengan teman yang sama-sama mengurus SUFI bagaimana kita dapat membantu. Fikir punya fikir kami teringatkan bahawa dalam keluarga ada doktor-doktor pakar yang boleh mendapatkan pertolongan dari kawan-kawan doktor dalam bidang "child development". InsyaAllah kami sedang merancang Doktor bekenaan meninjau anak-anak SUFI secara am daulu sebelum membuat apa-apa tindakan yang sewajarnya.
Di SUFI sekarang ini ada anak yang belum boleh bercakap sedikit pun walaupun sudah berumur 4 tahun. Dia tidak pekak sebab apabila dipanggil namanya dia respon dengan baik dan serta merta. Ada pula anak yang ibunya susah menempatkannya di Bahagian Tadika walau pun sudah berumur lebih 5 tahun. Dia tidak boleh berpisah dengan adiknya yang berumur 3 tahun. Ada juga anak SUFI yang rumit dikawal dari segi mengawal naluri marahnya dan selalu sahaja mengacau ketenteraman anak-anak yang lain. Harapan kami lawatan doktor secara tidak rasmi ini dapat menasihatkan ibu-ibu terbabit membuat tindakan yang sewajarnya.
Semoga Allah menunjuki jalan, memudahkan segala urusan semua yang terlibat dan semoga pengalaman ini membuat kami semua mahu menjadi lebih hampir dengan Allah yang maha pencipta, maha bijaksana dan maha kasih sayang pada hamba-hambaNya. Semoga usaha kami mendapat redhaNya.
....
Saturday, March 23, 2013
"Penutupan" sebuah Taman Syurga.
Sedih juga rasa di hati kerana kelas pengajian usul fiqh saya di Shah Alam terpaksa ditamatkan kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakan. Antaranya ialah komitmen "anak murid" yang berbelah bagi kerana berubahnya putaran hidup, termasuk saya sendiri. Maka ibaratnya seperti tertutuplah sebuah "taman syurga" bagi kami. Saya bertekad mencari kelas yang lain semoga masih mendapat peluang "berlegar-legar" di Taman Syurga. Semoga membawa kita ke Syurga yang abadi.
| Ustaz Fauzi berbaju biru dengan sebahagian "murid". |
Walau pun kelas pengajian ini hanya berjalan lebih kurang 2 tahun dengan kekerapan seminggu sekali selama 2 jam setiap kali, alhamdulilah saya dapat munafaatnya. Sedikit dan sebentar tetapi signifikan.
Saya rasa sedikit sebanyak dapat memahami isu-isu semasa mengenai undang Islam di negara kita ini dan lebih memahamai setakat mana kita boleh berbeza pendapat. Saya juga lebih memahami cara dan peraturan yang diguna pakai oleh Imam-Imam berbagai Mazhab dalam mengkategorikan sesebuah hadith itu Sahih atau sebaliknya dan prinsip-prinsip yang digunakan untuk menentukan sesuatu hukum. Saya juga lebih memahami konsep bertaqlid dan kami sering diingatkan supaya jangan berhenti bertaqlid dari satu fahaman tetapi bertukar hala dan bertqlid juga dengan fahaman yang lain.Bagi yang kurang keupayaan dan kurang kebolehan dalam mempelajari ilmu Islam maka bertaklid itu tidak salah padanya.
Alhamdulilah, saya akan terus menambah ilmu.
Di samping itu kami dapat mengenali ustaz Fauzi yang saya rasa akan menjadi pemimpin pelapis di negara kita nanti. Ia lulusan dari University Al Azhar dan sekarang aktif dalam NGO yang disebut ISMA. Ada sedikit sebanyak ia menerangkan hal-hal pendirian ISMA dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan aqidah Islam. Saya tidak berani membuat ulasan di sini kerana belum sempurna ilmu saya. Namun saya telah faham apa erti orang berTuhan tetapi tidak beragama berbanding orang yang beragama tetapi tidak berTuhan. Untuk selamat dunia akhirat kita harus berTuhankan Allah dan mengikut syariatNya bukan secara ritual sahaja tetapi secara hakiki.
Saya yakin Islam mesti didahulukan dari fakta-fakta lain dalam kehidupan kita, dan apa jua perbezaan yang ada orang-orang Islam dituntut jangan berpecah belah hingga musuh-musuh Islam boleh mengambil kesempatan dari perpecahan itu. Kesatuan dan penyatuan ummah itu wajib hukumnya. Kita harus mengambil iktibar atas apa yang berlaku di negara sendiri dan di dunia luar sana.
Baru-baru ini President Obama memberi kata-kata manisnya mengenai Palestine semasa lawatannya ke Israel. Ia bercakap disebuah University dan yang mendengarinya adalah pelajar-pelajar yang dalam kategory generasi muda. Ia mencabar supaya generasi muda Israel membuat perubahan dalam cara mencari perdamaian dengan jiran-jirannya terutama sekali dengan Palestine. Hujahnya disambut dengan tepukan gemuruh menandakan persetujuan bahawa Palestine punya hak-hak yang harus dikembalikan pada mereka.
Pada saya ia hanya tinggal kata-kata manis dan tidak lebih dari itu. AlQuran pun telah memberi gambaran sikap orang-orang Yahudi dan antaranya mereka tidak akan berpuas hati hingga semua manusia mengikut telunjuknya.
Maka orang Islam harus sedar supaya jangan termakan dengan janji-janji kosong musuh-musuh Islam. Tetapi orang-orang Islam tidak cukup ilmu untuk berdikari kerana orang-orang Islam tidak cukup komitmen dalam memertabatkan ilmu....semua jenis ilmu. Kalau kita boikot semua barangan Israel, orang Islam akan tenggelam kerana rata-rata barangan teknologi tinggi adalah hasil kajian dan ciptaan orang-orang keturunan Yahudi. Tidak perlu saya katakan panjang lebar. Buktinya nyata di sekeliling kita.
Maka ayuh kita tumpu pada membangunkan umat Islam dari segi ilmu, semua jenis ilmu untuk kesejahteraan dunia akhirat. Kita mula dengan anak cucu kita dan pada generasi muda kita jangan asyik berhibur dan bersantai.
Selalu saya katakan pada anak-anak dan anak-anak muda lain, jangan menyesal macam saya menyesal dan jangan rugi macam saya rugi. Saya keciciran dan ketinggalan. Sekarang hanya mampu bertaubat dan membuat apa yang sepatutnya dibuat dalam keadaan tenaga sudah amat berkurangan.
Semoga Allah mengampuni dan masa yang tinggal sedikit ini dapat saya munafaatkan untuk mencari redha Allah jua. Semoga Allah masih memberi ruang dan peluang. Rabbana aatina fid dunia hasanah wa fil akhirat hasanah wa kinna azaban nar. Ameen ya Rabb.
...
Subscribe to:
Posts (Atom)