"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, March 23, 2013

"Penutupan" sebuah Taman Syurga.


Sedih juga rasa di hati kerana kelas pengajian usul fiqh saya di Shah Alam terpaksa ditamatkan kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakan. Antaranya ialah komitmen "anak murid" yang berbelah bagi kerana berubahnya putaran hidup, termasuk saya sendiri. Maka ibaratnya seperti tertutuplah sebuah "taman syurga" bagi kami. Saya bertekad mencari kelas yang lain semoga masih mendapat peluang "berlegar-legar" di Taman Syurga. Semoga membawa kita ke Syurga yang abadi.

Ustaz Fauzi berbaju biru dengan sebahagian "murid".




Walau pun kelas pengajian ini hanya berjalan lebih kurang 2 tahun dengan kekerapan seminggu sekali selama 2 jam setiap kali, alhamdulilah saya dapat munafaatnya. Sedikit dan sebentar tetapi signifikan.

Saya rasa sedikit sebanyak dapat  memahami isu-isu semasa mengenai undang Islam di negara kita ini dan lebih memahamai setakat mana kita boleh berbeza pendapat. Saya juga lebih memahami cara dan peraturan yang diguna pakai oleh Imam-Imam berbagai Mazhab dalam mengkategorikan sesebuah hadith itu Sahih atau sebaliknya dan prinsip-prinsip yang digunakan untuk menentukan sesuatu hukum. Saya juga lebih memahami konsep bertaqlid dan kami sering diingatkan supaya jangan berhenti bertaqlid dari satu fahaman tetapi bertukar hala dan bertqlid juga dengan fahaman yang lain.Bagi yang kurang keupayaan dan kurang kebolehan dalam mempelajari ilmu Islam maka bertaklid itu tidak salah padanya.

Alhamdulilah, saya akan terus menambah ilmu.

Di samping itu kami dapat mengenali ustaz Fauzi yang saya rasa akan menjadi pemimpin pelapis di negara kita nanti. Ia lulusan dari University Al Azhar dan sekarang aktif dalam NGO yang disebut ISMA. Ada sedikit sebanyak ia menerangkan hal-hal pendirian ISMA dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan aqidah Islam. Saya tidak berani membuat ulasan di sini kerana belum sempurna ilmu saya. Namun saya telah faham apa erti orang  berTuhan tetapi tidak beragama berbanding orang yang beragama tetapi tidak berTuhan. Untuk selamat dunia akhirat kita harus berTuhankan Allah dan mengikut syariatNya bukan secara ritual sahaja tetapi secara hakiki.

Saya yakin Islam mesti didahulukan dari fakta-fakta lain dalam kehidupan kita, dan apa jua perbezaan yang ada orang-orang Islam dituntut jangan berpecah belah hingga musuh-musuh Islam boleh mengambil kesempatan dari perpecahan itu. Kesatuan dan penyatuan ummah itu wajib hukumnya. Kita harus mengambil iktibar atas apa yang berlaku di negara sendiri dan di dunia luar sana.

Baru-baru ini President Obama memberi kata-kata manisnya mengenai Palestine semasa lawatannya ke Israel. Ia bercakap disebuah University dan yang mendengarinya adalah pelajar-pelajar yang dalam kategory generasi muda. Ia mencabar supaya generasi muda Israel membuat perubahan dalam cara mencari perdamaian dengan jiran-jirannya terutama sekali dengan Palestine. Hujahnya disambut dengan tepukan gemuruh menandakan persetujuan bahawa Palestine punya hak-hak yang harus dikembalikan pada mereka.

Pada saya ia hanya tinggal kata-kata manis dan tidak lebih dari itu. AlQuran pun telah memberi gambaran sikap orang-orang Yahudi dan antaranya mereka tidak akan berpuas hati hingga semua manusia mengikut telunjuknya.

Maka orang Islam harus sedar supaya jangan termakan dengan janji-janji kosong musuh-musuh Islam. Tetapi orang-orang Islam tidak cukup ilmu untuk berdikari kerana orang-orang Islam tidak cukup komitmen dalam memertabatkan ilmu....semua jenis ilmu. Kalau kita boikot semua barangan Israel, orang Islam akan tenggelam kerana rata-rata barangan teknologi tinggi adalah hasil kajian dan ciptaan orang-orang keturunan Yahudi. Tidak perlu saya katakan panjang lebar. Buktinya nyata di sekeliling kita.

Maka ayuh kita tumpu pada membangunkan umat Islam dari segi ilmu, semua jenis ilmu untuk kesejahteraan dunia akhirat.  Kita mula dengan anak cucu kita dan pada generasi muda kita jangan asyik berhibur dan bersantai. 

Selalu saya katakan pada anak-anak dan anak-anak muda lain, jangan menyesal macam saya menyesal dan jangan rugi macam saya rugi. Saya keciciran dan ketinggalan. Sekarang hanya mampu bertaubat dan membuat apa yang sepatutnya dibuat dalam keadaan tenaga sudah amat berkurangan.

Semoga Allah mengampuni dan masa yang tinggal sedikit ini dapat saya munafaatkan untuk mencari redha Allah jua. Semoga Allah masih memberi ruang dan peluang. Rabbana aatina fid dunia hasanah wa fil akhirat hasanah wa kinna azaban nar.  Ameen ya Rabb.


...

No comments:

Related Posts with Thumbnails