Pesanan emak saya banyak yang lekat di hati terutamanya mengenai hubungan kasih adik beradik. Kini emak sudah lama tiada dan saya juga kini seorang emak yang sudah hampir ke destinasinya. Tetapi tidaklah saya tahu anak-anak zaman cyber ini patuh pada pesanan emak seperti orang-orang generasi saya. Pesanan dan saranan emak ibarat "keramat". Takut tidak "berkat" kalau tidak diikut.
Deretan rumah baru anak saya. |
Beberapa minggu yang lalu saya di ajak anak melihat rumah barunya untuk memberi tahu kerosakan-kerosakan yang ada sebelum rumah itu di serahkan. Rumah itu di Presint 15 Putrajaya dan saya rasa teruja kerana kalau saya berpindah ke Putrajaya maka rumah itu tidak berapa jauh dari rumah saya. Dapatlah selalu bersama cucu-cucu. Ini dalam perancangan. Semoga Allah kurnia yang terbaik di sisiNya.
Teringat saya pertama kali saya membeli rumah baru ialah pada tahun 1975 dan saya masih bujang ketika itu. Rumah itu di Damansara Utama. Ketika itu kemudahan Bank untuk membeli rumah amat mudah sekali dan saya membeli link house berukuran 22 X 70 hanya sebanya RM 56,000/- sahaja. Emak saya pun amat teruja kerana ini pertama kali ia akan ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama anak yang padanya rumah itu amat cantik. Saya selalu sebak mengingatkan emak saya menghias rumah saya di sebelah luar dan di dalam dengan caranya sendiri. Pastinya cara hiasannya adalah secara kampungan dan saya membiarkannya sahaja asalkan dia seronok.
Biasanya pagi-pagi ia telah bangun dan sebelum matahari memanasi halaman rumah ia akan mencabut rumput-rumput termasuk yang mengelilingi pasu-pasu bunga yang beberapa buah saya beli dari nursery di Sungai Buluh. Waktu itu tidak ramai yang suka ke Sungai Buluh kerana masih takut dengan wabak Kusta. Sebenarnya ia tidak membahayakan. Emak saya tekun di laman yang besarnya benar-benar sekangkang kera. Bila sudah mula panas ia masuk dan kami akan minum pagi pada hari-hari yang saya bercuti atau di hujung minggu. Itulah emak saya. Saya yang bongsu dan padanya saya sentiasa anak kecil baginya....
PESANANNYA : "Jangan kau jual rumah ini. Nanti tak berkat harta engkau". Saya tidak membantah walaupun dalam hati seperti saya mungkin tidak dapat memenuhi pesanan itu. Di pendekan cerita terjual juga rumah itu pada tahun 1986 untuk membeli rumah lain di kampung Tunku Petaling Jaya. Saya sembunyikan fakta saya jual rumah yang ia pesan jangan jual. Saya rasa lega kerana dia tidak pernah bertanya. Dalam pada itu saya rasa seperti berdosa tidak ikut pesanannya walaupun pesanan-pesanan yang lainnya saya ikut sedaya upaya.
Maka di rumah anak saya, saya tidak berkata apa-apa mengenai jual beli rumah. Biarlah anak-anak berfikiran sendiri. Zaman telah beredar dan niali-nilai hidup sudah tidak sama. Saya seperti merasai status orang tua sekarang sudah tidak seperti status orang tua dahulu. Agaknya zaman teknologi tinggi dan lain-lain kemewahan hidup dan faktor-faktor sosial yang sudah amat berbeza telah menghakis " auora kekeramatan " status orang tua. Saya amat berhati-hati supaya tidak mengecewakan diri. Lagi pun nilai yang saya pegang bukan nilai utama. Cuma saya sahaja agaknya yang rasa begitu.
Semasa saya memasuki rumah pertama saya, emak saya bekalkan sedikit peralatan dapur dan peralatan tidur. Katanya dahulu pun embah (emaknya) buat seperti itu. Sedikit pinggan makuk, tikar bantal , periuk kuali mengiringi pindah masuk rumah baru seorang anak. Sekarang sudah beza. Sudah banyak yang ikut budaya "house warming" dan teman-teman menghadiahkan barang-barang hiasan rumah.
Saya sendiri pun tidak membekalkan priok belanga dan yang lain-lainnya. Entahlah. Seperti tidak perlu agaknya. Mungkin bukan soal keperluan tetapi hanya satu "warisan keramat" emak pada anak. Auora ini sudah hilang dan mungkin tidak akan kembali lagi.
Semoga apa jua yang kita buat tidak menghakis pautan kasih dalam keluarga. Saya khuatir kerana teknologi telah banyak mengubah cara berkomunikasi. Kalau dahulu sekurang-kurangnya kita mendengar suara, sekarang ini kita hanya membaca. Dan jarang-jarang pula bersua muka. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana selepas saya tiada.
Dalam perjalanan hidup ini semua kita tidak sempurna, termasuk saya. Banyak yang kita lupa, atau ingat tetapi sudah tidak seiring rasa. Selalu sahaja kita kata kita mangsa. Kita mangsa kesuntukan masa, mangsa kesesakan jalan raya, mangsa kerja-kerja pejabat yang bertimbun banyaknya dan lagi dan lagi......
Semoga Allah menampuni semua dan menunjuki jalan yang sempurna dan dihujung perjalanan kita mendapat RedhaNya.
Ameen, Ya Rabb.
...
No comments:
Post a Comment