TERLANTAR
Saya dan suami ke Kota Tinggi, Johor menziarahi kakak saya sekali lagi di hujung minggu lepas.Kakak saya masih terlantar akibat patah tulang kaki dan tangan kerana jatuh. Umurnya 77 tahun dan telah hilang deria melihat kerana diabetis (kencing manis). Saya selalu sahaja mengingatkan diri supaya menjaga makanan dan pemakanan kerana menghidap penyakit yang sama. Inilah kelemahan yang belum dapat diatasi sepenuhnya. Kenapakah saya masih cuai seperti berfikiran perkara ini berlaku hanya pada orang lain. Semoga Allah memberi pertolongan agar saya mendisiplinkan diri.
Saya insaf melihat keadaan kakak saya lantas teringat akan Emak saya yang juga terlantar selama setahun sebelum ia meninggal dunia dalam umurnya lebih kurang 96 tahun pada January tahun 2004. Bezanya Emak saya hanya sakit tua dan boleh berkaleh tidur tanpa bantuan. Maka tidak dikhuatiri kulitnya akan melicit. Alhamdulilah, mudah menjaganya. Saya bercuti khas menjaga Emak saya kerana Emak tidak ada galang gantinya. "Dia betul maka semuanya betul, dia salah pun dia tetap betul". Iaitu mengasihinya tidak bersyarat. Maka itu saya katakan pada anaknya sekarang. Semoga kakak saya dan anak-anaknya dipermudahkan Allah. Saya katakan bahawa salah satu jalan mendapat khusnul khatimah ialah menjaga ibu-bapa semasa tuanya dengan penuh ikhlas dan kasih sayang. Terutamanya kakak saya ini yang sememangnya memerlukan sentuhan fisikal keran ia sudah tidak dapat melihat.Semoga Allah kurniakan kesabaran pada semua yang ada disekelilingnya. Semoga Allah mengampuni.
KONSERT MAHER ZAIN
Dalam perjalanan ke Kota Tinggi saya singgah di rumah anak perempuan saya di Putrajaya untuk melihat dan bermain dengan cucu walaupun sebentar. Maka saya terdengar anak saya bercerita mengenai Konsert Mahir Zain pada anak lelaki saya yang menjadi "pak supir" saya kali ini. Nampaknya dia amat teruja dan benar-benar menjiwai konsert itu. Hal seperti ini buat saya tidak begitu selesa kerana pemikiran saya berbeza sedikit mengenai dunia hiburan seperti ini. Ramai berpendapat bahawa Konsert bintang terkenal ini adalah ok kerana penganjur dan pengunjung kesemuanya menjaga hukum dan tatatertib Islam. Hal ini saya tidak pertikaikan dan bentuk nyanyiannya pun saya boleh terima.
Cuma saya katakan pada anak saya konsert itu adalah untuk "menjinakan" hati-hati mereka yang belum benar-benar mantap dalam manhaj seorang muslim mukmin dan bagi mereka yang umurnya masih "muda". Bagi yang sudah menghampiri 40 tahun atau pun sudah melebihinya maka bentuk "hiburan" harus berbeza. Hiburan seperti konsert memberi keseronokan dan ketenanagan jiwa hanya untuk sementara / seketika sahaja. Ia tidak kekal dalam jiwa kita. Esuk luasa selepas konsert kalau hati kita serabut sebelumnya, ia akan serabut seterusnya. Ubat serabut hati dan untuk mencari ketenangan yang sebenarnya dan yang berkekalan, pada saya bukanlah melalui konsert.
Tambahan pula pada umur itu kita harus berusaha semampu mungkin untuk menjadi pemimpin dalam memperjuangkan Islam dalam hal-hal yang pokok. Kita seharusnya sudah mula menerajui aktiviti-aktiviti yang akan mengumpul dan mendorong pengikut-pengikut kesuatu pradigma yang lebih tinggi. Perjuangan Islam memerlukan kekuatan fisikal dan mental yang jitu dan konsert, pada pendapat saya, tidak dapat membawa kearah itu secepat dan semantap seperti yang kita harapkan. Namun saya mungkin salah kerana saya tidak membuat kajian dan belum terjumpa kajian kearah itu.
Itulah yang saya minta anak-anak saya fikirkan. Atau adakah saya ini terlalu "kaku" atau "rigid" dalam tali arus mahu memperkuatkan perjuangan. Anak saya hanya senyum.........
SEMBANG DAKWAH.
Dalam perjalanan pulang ke KL, saya singgah di kampung, Pontian, untuk menziarahi kakak-kakak saya yang lainnya. Dua orang kakak saya ini aktif dikalangan kawan-kawan seumurnya di kampung itu. Mereka mengaturkan majlis ilmu walaupun secara kecil-kecilan. Di kampung waktu ini susah hendak mendapatkan ustaz atau ustazah yang setaraf dengan mereka yang ada di Lembah Kelang. Maka saya selalu bertanya-tanya salah siapakah keadaan ini berlaku.Tidakah boleh kita bergantung pada kerajaan untuk melatih ustaz dan ustazah yang benar-benar berkaliber supaya rakyat di kampung-kampung pun mendapat munafaat bahawa Malaysia ini negara yang kaya raya dengan hasil mahsulnya yang terunggul di rantau ini? Kasihan saya pada penduduk kampung yang terpinggir dalam usaha mendapatkan ilmu. Agaknya ada pihak-pihak yang suka penduduk kampung tertinggal di belakang dalam meraih ilmu supaya mudah "dipujuk-pujuk" untuk sesuatu kepentingan. Menuntut ilmu melalui radio dan TV dan apa jua bentuk bahan pembacaan dan elektronik tidak mencukupi kerana budaya dan disiplin menutut ilmu hendaklah berguru supaya boleh berinteraksi dan berfahaman secara langsung.
Kasihan saya juga pada kakak-kakak saya dan rakan-rakannya yang mahu belajar tetapi tidak mendapat orang-orang yang benar-benar berilmu di kampung-kampung. Maka saya cuba berkongsi ilmu yang saya dapat sedikit-sedikit dari majlis ilmu yang saya hadiri di tempat saya di Petaling Jaya. Baru-baru ini Ustaz bercerita tentang soalan di alam kubur. Siap Tuhan kamu? Jawabnya bukan sekadar : Tuhan ku Allah. Sebab orang-orang yang tidak bersyahadah pun mengatakan Tuhan mereka Allah. Soalan itu menuntut kita benar-benar faham dan menghayati konsep Tahuid dalam kehidupan kita setiap detik dan setiap saat. Isu yang terbesar ialah jangan kita mensyirikan Allah walau sedikit dan sekecil mana pun. Nowaitu beribadah kerana Allah perlu jelas dan betul dan dihayati sepenuhnya. Inilah yang menggerunkan hati saya. Kakak - kakak saya pun terpegun seketika.Tetapi sayugia diingat bahawa menjawab soalan "siapa Tuhan kamu" bukan dipelajari ketika "sudah sampai masanya", kerana maut samapi tidak sesaat lambat dan tidak sesaat cepat.
Antara ayat alQuran yang berkaitan dengan pentingnya memahami apa itu konsep mentauhidkan Allah adalah seperti berikut:
"Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; ( sehingga mereka tidak dapat dipesongkan imannya oleh sebarang dakyah dan hasutan) dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) ; dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakinya." Surah Ibrahim 14, ayat 27.Antara contoh pegangan TAUHID yang kuat dan teguh ialah yang ada pada Saidina Umar Al Khatab RA, Khalifah kedua selepas wafatnya Rasulullah saw. Iblis akan melarikan diri dan tidak akan dekat dengannya, dan akan menyimpang jalan jika melihat Saidina Umar RA.
Akhir kata, apa jua jua yang kita fikir-fikir, semoga Allah melorongkan pada yang benar. Semoga Allah mengampuni kekeliruan dan di akhir perjalanan hidup ini kita redha dan Allah meredhai. Ameen.