"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, February 21, 2011

YANG DI PENJARA


Pada pagi hari Khamis, 17 February, saya mengikuti rombongan Kumpulan Riasnita, Masjid Kg. Tunku, Petaling Jaya,  ke Kajang untuk melawat Penjara Wanita sebagai salah satu aktiviti amal. Rata-rata peserta rombongan berumur 60 tahun ke atas dan kunjungan kami adalah suatu pengalaman yang belum pernah kami lalui. Pagi itu cuaca terang dan kami dibawa melawat bengkel-bengkel latihan kemahiran. Kami tidak dibenarkan ketempat kediaman mereka (prison cells) kerana ini merupakan dasar penjara atas sebab-sebab tertentu. Kami tidak dibenarkan membawa apa jua barang ke dalam, maka tidaklah dapat kami mengambil gambar untuk dimuatkan dalam entry ini.

Kebanyakan penghuni adalah warga asing dan kesalahan jenayah yang dilakukan berkaitan dengan dadah. Saya perhatikan ramai penghuni di penjara itu berumur dalam lingkungan lewat 20 tahun atau awal 30 tahun. Mereka nampak tenang dan saya mengatakan pada kawan-kawan bahawa ramai yang cantik paras rupa. Kerana itulah agaknya mereka senang diperdaya oleh orang-orang yang mahu ambil kesempatan.Kami tidak digalakan berinterraksi dengan penghuni-penghuni dan kami hanya bersalaman dan bersenyuman. Tetapi ada diantara mereka yang takut bertentang mata, atau aganya mereka malu.

Kami dibawa juga ke bahagian jagaan bayi. Ada diantara penghuni yang melahirkan anak semasa dalam tahanan. Hak asasi bayi terpelihara. Mereka boleh bersama ibu hingga umur 3 tahun. Siang ibu bertugas seperti arahan, malam bayi tidur bersama ibu. Tempat jagaan bayi bersih dan rapi teratur.


Ini gambar sebahagian Muslimah yang menyertai rombongan. Di kanan sekali ialah Puan Noraini Rahmat,  seorang usahawan dan ketua Riasnita yang berusaha untuk menjadikan impian kenyataan. Kami diberi tahu Lawatan ke penjara seperti ini tidak selalu mendapat kebenaran, maka kami rasi bertuah dapat pengalaman ini.

Apabila kita berbicara mengenai banduan dan penjara, lantas kita rasa kita bebas  dan merasakan diri kita baik dan beruntung kerana kita berada di luar penjara dan merasai seperti tidak ada halangan dan kekangan untuk berbuat sesuatu mengikut citarasa sendiri.  Tetapi pada hari ini 17 Februari, dalam lawatan saya ke Penjara Wanita Kajang, hati kecil saya  berbisik-bisik sendiri mengatakan persepsi itu mungkin tidak benar sepenuhnya.  Lalu saya menilai semula pemikiran saya  tentang  erti "dipenjara".  Saya lihat balik definasi 'penjara'. Penjara adalah bangunan / tempat di mana penjenayah dikurung. Penjenayah adalah mereka yang melanggar undang-unadang yang telah ditentukan oleh negara.  Maka kita katakan kita bukan penjenayah. Tetapi secara hakikatnya, siapakah yang tidak pernah membuat silap atau membuat salah dalam hidup ini?


Saya rasa ramai diantara kita yang banyak membuat silap dan salah dalam hidup harian. Cuma kesilapan dan kesalahan itu tidak termasuk dalam kategori yang termaktub dalam perundangan negara dan kita tidak diambil tindakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi jikalau kita melaksana perundangan syariah sepenuhnya, maka ramai diantara kita yang membuat kesalahan yang boleh dihadapakan ke mahkamah pengadilan. Tetapi bukanlah tujuan saya di sini untuk berbicara lanjut mengenainya di sini. Hanya sekadar mahu menyatakan bahawa kita  merasakan kita berakhlak "baik" dan mereka yang di penjara itu "tidak baik" akhlaknya. Mari kita muhasabah diri tentang hakikat ini.

Penjara wanita Kajang adalah tempat yang dibenci  kerana ia melambangkan kepincangan masyarakat. Di dalam penjara mereka tidak bebas berhubung dengan sesiapa pun di luar. Tetapi mereka makan cukup dengan makanan yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan. Tempat bengkel bersih dan tersusun rapi. Ada yang dipilih belajar komputer untuk kemahiran tertentu. Saya rasa semacam mereka itu terjaga dengan baik. Mungkin diluar sana mereka tidak duduk dalam persekitaran yang nyaman, dan secantik yang ada di penjara. Entahlah, saya kurang arif.

Tetapi penjara tetap penjara. Tiada kebebasan mengikut suka hati. Di Gaza pun penjara juga. Penjara yang terbesar di dunia.  Semua setuju mengatakan demikian melainkan Amerika Syarikat, Israel dan sekutu-sekutunya. Rakyat Palestine terutamanya  di Gaza hidup sengsara. Tidak ada kebebasan dan tidak dapat sumber api dan air dan berbagai lagi untuk keperluan hidup. Tidak ada tempat mengadu sebenarnya dan tidak ada mahkamah yang adil yang dapat mereka mengemukakan pembelaan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) hanya untuk yang kaya dan berkuasa dan kuat bala tenteranya. Negara Islam yang kaya dan boleh berkuasa berjiwa lemah dan mengambil jalan mudah lalu rela  menjadi "hamba sahaya" mereka yang dikuasi Yahudi. Maka bukankah umat Islam seperti juga dalam "penjara?"

Maka  dalam perjalanan pulang saya bertanya seorang rakan. Kita ini bagaimana? KIta bebas kesemuanya ke? Saya terfikir bahawa kita ini pun kadang-kadang seperti dalam "penjara" sebab kita tidak ada kebebasan bersuara sepenuhnya. Kita tidak ada kebebasan bertindak menyatakan kehendak kita walaupun ada institusi Hak Asasi Manusia yang melihat dan mengawasi keadaan. Berbagai lagi yang harus kiti fikirkan. Ini dunia sementara. Di akhirat nanti kita tidak dapat belepas diri di hadapan Rabbuljalil yang maha Pencipta dan maha Berkuasa.

Justeru kita harus  berfikir-fikir......

No comments:

Related Posts with Thumbnails