"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, February 19, 2011

Majlis Perkahwinan (Budaya Rewang).


Semasa cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, saya dan suami ke Johor Bahru . Di bawah ini sedikit catatan fikir-fikir santai mengenai  tata budaya cara bermajlis dalam masyarakat kita kini.

Ini Masjid Jamek Pasir Gudang, Johor Bahru, tempat majlis akad nikah sepupu suami saya dari Sungai Batu, Selama, Kedah.. Upacara ini dibuat serentak untuk tiga pasangan pengantin. Saya belum pernah menyaksikan majlis serentak seperti ini dan rasa agak kurang selesa kerana tidak jelas tentang siapa tuan rumah dan siapa tetamu. Walau pun ini perkara kecil, tetapi ia menjadi tidak jelas tentang aturcara dan harapan dua-dua keluarga tentang adab-adab yang ingin diterapkan, seperti mengenal ahli keluarga satu persatu dan sebagainya. Tetapi tidak mengapa kerana ini boleh diatasi secara lain pula.





Khutbah nikah pendek tetapi jelas dan mudah difahami. Lafaz nikah  dibuat satu persatu dan ini agak memakan masa. Kalau kita tidak banyak masa maka majlis seperti ini menuntut kesabaran. Tetapi akhirnya ia memuaskan semua pihak. Kita lihat yang positif sahaja.

Rombongan kami ke majlis perkahwinan kecil sahaja. Semasa pertunangan, kami hadir lebih 30 orang dan majlis meriah. Walaubagaimana pun ada perbezaan-perbezaan budaya antara dua keluarga walau pun satu Malaysia. Dalam umur saya yang hampir 64 tahun ini, saya  rasa agak cerewet dalam  membantu mengendali majlis untuk keluarga seperti ini. Saya tidak minat diadakan majlis persandingan dengan menepung tawar dan sebagainya dan saya menyatakannya terus terang. Mungkin itu tidak sopan tetapi saya rasa terpanggil untuk berbuat demikian demi kesempurnaan adab-adab masyarakat Islam. Maka saya juga tidak setuju dengan adanya persembahan musik yang  tidak syarie. Maka saya  mencari jalan untuk segera pulang. Semoga Allah mengampuni.


Namun saya suka dengan budaya rewang yang saya perhatikan ada dalam majlis tersebut  Budaya gotong royong ini hampir pupus dalam masyarakat kita. Ini adalah kerana Malaysia kini lebih kebendaan dan kesemuanya dibuat secara kontrak.

(Kadang kala di majlis perkahwinan di bandar-bandar, saya perhatikan ia dikendali oleh "wedding organizer dan event manager". Hampir kesemuanya mengikut budaya yang agak kebaratan. Ada bacaan solawat nabi  dan doa  oleh Ustaz tetapi diikuti pula dengan musik lagu-lagu pop semasa dengan penyanyi yang cuba berpakaian sopan tetapi masih tidak syarie. Kadang-kadang ada pula tarian kebudayaan dan berbagai lagi yang tidak menampakan ciri-ciri Islam. Kita seperti belum yakin sepenuhnya mengenai Ayat Quran yang menuntut kita memasuki Islam sepenuhnya.)


Entahlah. Saya rasa serba tidak kena. Oleh itu apabila saya membantu dalam majlis menyambut tetamu di Sungai Batu, Selama kedah saya sarankan supaya tidak ada majlis persandingan. Maka ia tidak ada.Tetapi oleh  kerana penerapan nilai belum stabil, maka lagu-lagu nyasid di ikuti dengan lagu-lagu karaoke. Ada juga perkara-perkara lain yang tidak syarie seperti pakaian pengantin yang tidak dapat saya pengaruhi. Apakan daya. Saya hanya mampu mencuba.

Saya hanya seronok dengan budaya rewang dalam masak memasak dan persedian bungkus membungkus bunga telur dan sebagainya. Saya berkesempatan bersembang dengan saudara  mara sebelah suami saya dan orang kampung dan menjelajah pemikiran mereka kini. Di Sungai Batu masih banyak pemikiran mengenai Islam yang belum berubah. Masih ditahap dahulu. Aktiviti di Masjid masih terlalu lembab. Aktiviti ekonomi pun makin lama makin merosot. Tahap ekonomi kebanyak keluarga saya kira masih ditahap bawah paras kemiskinan. Kerana itulah agaknya budaya rewang masih kekal. Masih ramai yang tidak begitu mampu mendapat perkhidmatan secara kontrak.

Memotong  sayuran dan bawang.

Sakit juga jejari menggentel bunga telur
 
Memotong ikan masin untuk gulai terung.


Budaya rewang sbenarnya merapatkan silaturrahim antara ahli keluarga dan jiran tetangga. Semoga budaya ini tidak pupus sama sekali kerana ia bukan sahaja memberi peluang bertukar maklumat rumahtangga ia juga menjadi wasilah mengeratkan hubungan dengan anak-anak diperingkat sekolah dan remaja, yang mereka juga datang menolong mengikut kesesuaian kerja. Dalam sembang-sembang dapat juga kita selitkan prinsip-prinsip hidup mencontohi orang-orang yang mencuba sedaya upaya mengikut cara Islam.

Kalau budaya rewang nak pupus apakan daya. Anak-anak muda sekarang pun saya perhatikan tidak begitu ringan tulang bila ke rumah keluarga yang lebih tua apabila ada kenduri-kendara. Ini mungkin kerena kerja berbentuk REWANG ini sudah tidak ada dalam cita rasa hidup mereka. Apa jua majlis yang mereka adakan, mereka akan memanggil "Catering Services". Maka orang seperti saya yang masih agak "tebal" menyukai budaya Rewang akan terpaka mengikut realiti yang ada. Tidak mengapalah. Setahun sekali ada aktiviti rewang masak memasak daging lembu semasa Hari Raya Korban yang diadakan di Masjid di tempat saya. Lama-lama ia akan menjadi satu nostalgia sahaja.

No comments:

Related Posts with Thumbnails