"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, April 28, 2011

DEMI MASA .........


Di suatu lokasi di Port Dickson

"Demi masa...." Allah bersumpah dalam surah 103, Al Asr ayat 1-3. "sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Berlalunya masa adalah bermakna berkuranglah umur  dan lebih dekatlah kita dengan garis penamat yang pastinya kita akan sampai. Kalau kita berbuat maksiat, maka kerugian itu tidak syak lagi. Tetapi kalau kita berbuat yang harus, maka itu boleh juga merugikan jika perbuatan harus itu tidak mendatangkan faedah yang setimpal dengan masa yang digunakan. Pergi memancing seperti gambar di atas contohnya, saya rasa ia tidak membawa munafaat yang setimpal dengan usaha dan masa. Malahan ia boleh jadi melalaikan kita dari tujuan hidup sebenar kita.

Saya jangka pendapat saya ini boleh dipertikai. Memancing adalah bentuk rekreasi minda, kata setengah orang. Kita boleh relex dan hilangkan stress. Kita boleh tahan duduk berjam-jam menanti pancing kita mengena sasaran. Bila dapat pasti seronok sakan walaupun  seronok hanya seketika.,atau berpanjangan hingga pulang ke rumah. Walaubagaimana pun  setengah orang mengatakan jika kita pergi memancing sebagai satu wasilah untuk menjalin kasih dengan anak-anak yang sedang membesar itu tidak mengapalah. Kerana sambil-sambil memancing kita boleh mentarbiah anak-anak dalam hal-hal yang berkaitan. Ini  saya bersetuju r kerana hubungan kasih dalam keluarga boleh dirapatkan melalui aktiviti rekreasi yang boleh membuatkan ahli berinteraksi. 

Ada juga kisah memancing oleh orang-orang dewasa yang  melibatkan kos dan masa yang banyak. Ini sukan, kata setengahnya. Ada perpertandingan  pula dan kadang kala diadakan di persisiran laut atau di tengah laut menggunakan bot dan alat-alat canggih. Ada juga yang pergi ke tengah-tengah hutan untuk memancing di tasik-tasik yang jauh dari manusia. Pasti mereka menggunakan  kenderaan 4-wheel drive  yang kadang kala mereka tidak begitu mampu, tetapi beli juga dengan "bergolok-bergadai". Katanya ikan-ikan di situ besar dan sedap. Mereka boleh bermalam ditengah laut dalam bot atau di dalam hutan dalam kemah-kemah biasa. Ada yang pulang tanpa apa-apa habuan pun tetapi pada hujunga minggu atau hujung bulan yang lain mereka akan pergi lagi. Semasa saya berkerja seorang pegawai saya  sememangnya memancing seperti itu dan ia memberitahu saya bahawa ia katakan pada  isteri: "Biar abang gila mancing, jangan abang gila perempuan." Isteri nya hanya mampu diam. Rasanya berbagai persoalan yang ada diminda disimpan hingga kesuatu masa.

Sehubungan ini apa yang perlu difikirkan masak-masak ialah sama ada aktiviti yang kita jalani itu memberi nilai tambah bagi diri kita dan mereka yang kita sayang dalam menjalani hidup ini. Fakta nilai tambah ini amat penting kerana jika kita tidak mendapatnya maka samalah seperti kita hanya membuang masa yang amat berharga bagi kita. Dan nilai tambah ini pula semestinya berkait terus dengan perjalanan hidup kita sebagai Muslim mukmin yang sentiasa memegang prinsip mentauhidkan Allah dalam semua gerak geri. Jika ini tidak ada, maka bukan sahaja aktiviti yang kita buat itu tidak ada nilai tambah malahan ia memberi nilai negetif.

Sama-sama kita fikirkan.

Wednesday, April 27, 2011

COMOT


Ini Comot, nama biasa bagi seekor kucing. Tapi ia istimewa bagi kami. Comot ada 3 lagi adik beradik dan semuanya berbelang hitam putih. Saya ingin berkongsi karenah mereka kerana dengannya kami memahami sedikit sebanyak sikap jiran yang kami jarang-jarang berkomunikasi.


Keemat-empat ekor suka mencelah-celah dipagar rumah dan melepasi pengawasan kami. Jiran kami ini orang Malaysia berketurunan Benggali dan mempunyai seekor anjing yang besar gagah dan  amat menakutkan.  Jenis apa saya kurang pasti. Tetapi kucing-kucing saya boleh jadi mangsa. Alhamdulilah, tuan punya anjing amat peka akan bahaya ini dan akan menangkap anak-anak kucing kami untuk dimasukan balik di kawasan rumah kami. Pembantu rumahnya seorang yang hanya berbahasa Inggeris. Seorang Filipina agaknya. Maka pembantu rumah saya tidak bebas berkomunikasi. Hal keadaan ini telah membuat kami sebagai jiran mula bercakap-cakap dan semoga mesra. Maka anak-anak kucing kami  inilah yang menjadi seperti Duta.

Tetapi hakikatnya Duta seperti ini belum mencukupi. Saya dan suami belum pun mengaturkan strategi menacri ruang untuk berdakwah kepada mereka. Kami tahu bahawa ini satu kewajiban juga, tetapi belum terdaya dilaksana. Semoga Allah membuka jalan kerana disekeliling rumah kami jiran bukan Islam ada 4 buah rumah. Ya Allah berilah kami idea bagaimana dan cara mana. Semoga di akhirat nanti kami terlepas dari persoalan ini. Ya Allah kepada Engaku sahaja kami mohon pertolongan.
Ameen. 

Comot adik beradik 
 
Ibu si Comot.

Tuesday, April 26, 2011

RINDU SEORANG TEMAN





Hilanglah  kerinduan.
Teman rapat saya, Jawar (berdiri) baru mula pulih setelah menghidap serngan jantung pada pertengahan tahun lepas. Teman saya yang lain mengaturkan "a special reunion" pada hujung minggu yang lalu untuk kita bertemu santai sambil mengeratkan lagi kasih sayang antara kami sebagai teman akrab sejak 40 tahun yang lalu. Kami bersama di English College Johor Bahru. Tetapi kenangan manis saya bersama Jawar terjalin rapat semasa tinggal bersama di asrama Sultan Ibrahim Girls School pada pertengahan tahun enam puluhan. Jawar adalah pesara guru bahasa Inggeris, (pelajar pertama di Sekolah Tun Fatimah yang mendapat A1 dalam bahasa Inggeris peringkat 'Sijil Pelajaran Malaysia' ketika itu).Ia gigih dan bersemangat waja..

Seharian dan semalaman kami bercerita-cerita pengalaman hidup sebagai dewasa dan warga tua. Kali ini Jawar lebih mentarbiah kami mengenai amalan-amalan  yang harus diperkuat memandangkan masa kami telah sangat hampir  menemui garis penamat.  Rasa seronok disulami rasa sebak dan sayu betapa kerdilnya kami dan betapa jauhnya kami dari pangkuan Ilahi. Air mata sesalan dan kesyukuran bersilih ganti. Rasa sedih juga turut dirasai  kerana  mungkin inilah kali terakhir kami dapat bersama sebegini kerana umur kami semuanya sudah senja dan masih banyak tanggong jawab sebagai seorang mukalaf mukmin yang belum terlaksana.

Kami solat berjemaah sedayanya dan Jawar akan memberi KULTUM (kuliah tujuh minit). Walaupun sudah hidup sebegini lama masih ada sahaja ilmu yang belum kami kuasai untuk diamalkan hingga sempurna. Di celah-celah pertanyaan dan penjelasan itu kami akan berpelukan erat-erat semoga ilmu yang kami kongsi Allah berkati dan semoga kami masih diberi masa menghayatinya.

Di awal pagi selepas sarapan saya mengambil kesempatan melihat taman bunga di sekeliling rumahnya. Dalam keadaannya yang kurang sihat Jawar masih membelai bunga-bunganya dan mensyukuri nikmat Allah yang dikurnia. Katanya, kalau senang kita mensyukuri kesenangan, dan ketika diuji kita mensyukuri ujian. Setiap ujian adalah seperti Allah menegur kita dan memberi peringatan agar kesetiaan  tidak menurun dan malahan meningkat  dalam pengabdian diri  padaNYA. Semasa di rumahnya saya merasai seperti mendapat perhatian malaikat-mlaikat rahmat yang menurut perintah Allah untuk melindungi kami. Saya berdoa semoga hakikat  rasa ini berterusan hingga keakhir nanti.

Gambar berikut adalah sebahagian keindahan yang dapat saya rakamkan.Alhamdulilah, kesyukuran yang tidak terhingga.

Jawar di taman sebelah hadapan

Bunga digantung di porch kereta

Menunjukan pada saya tanaman yang boleh menjadi penawar asli.

Dua orang teman yang bersama saya tetapi malu bergambar nyata.


Bunga-bunga lainnya, indah belaka.
Kini teman saya ini adalah guru alQuran. Ia mengajar Tajwid dan sedang menyempurnakan bidang sanad dimana nanti bila sudah tamat teman saya ini boleh ditauliah sebagai seorang yang boleh 'memberi' sanad pula pada yang lain. Saya sungguh kagum dengan kegigihannya. Selain mengajar, beliau juga belajar dan antaranya ialah Harfiah AlQuran dan ilmu perubatan alternatif dan tradisional. Jadual hariannya penuh dengan kerja-kerja kebajikan, terutamanya dalam bidang pendidikan. Ia mempunyai enam orang anak dan kesemuanya sudah berumah tangga.Alhamdulilah.


Ini gambar suaminya bersama suami saya. Namanya Mohd. Radzi Poh Abdullah. Teringat akan besan saya  yang namanya ialah Mohd. Alwee Wee Abdullah. Ada persamaan yang amat menggembirakan hati-hati kami. Kasih sayang keluarga amat erat sekali dan kami juga merasai seperti sebahagian dari keluarga ini. Suaminya membawa kita ke rumah perawat reflexology dan urut tradisional. Sangat bermunafaat bagi kami dan semoga kami dapat kesana lagi bagi rawatan susulan.



Semoga Allah kurnia bagi kami kesihatan dan kesejahteraan dan memelihara dan sentiasa membimbing  kami ke jalan yang sempurna untuk bertemu denganNYA nanti.
Ya Allah ampunilah segala kesalahan, kelemahan dan kekurangan kami dan semoga di akhir perjalanan nanti kami dikumpulkan bersama tanpa hisab di syurga pilihan kami bersama semua yang kami kasihi dan sayangi.
Ameen ya Rabbal'alameen.

Friday, April 22, 2011

FIKIR-FIKIR ORANG BERSARA




 
Di  "Speakers Corner" dan sessi minum pagi bersama ahli qariyah di Masjid Kg Tunku pagi kelmarin,  timbul  rasa tidak puas hati oleh seorang ahli mengenai kekurangan bilangan sekolah agama diperingkat rendah dan menengah. Ahli ini adalah seorang Ustazah yang telah bersara dari perkhidmatan awam sebagai seorang guru. Ia rasa kecewa kerana terpaksa bersusah payah untuk memasukan cucunya kesekolah agama, samada yang dikendali oleh kerajaan negeri atau pun kerajaan Persekutuan.
Fikiran warga pesara......
Semoga tidak seperti  pohon tua terbiar di samping pohon yang muda.

Mengapakah di Malaysia ini rakyat tidak dapat membuat pilihan yang selesa mengenai pendidikan anak-anak walhal anak-anak mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Ustazah merungut. Yang lain senyum bermakna. Dan ustazah juga menimbulkan hal bahawa kurikulum pendidikan Islam di peringkat menengah tidak cukp luas dan intensif yang membolehkan seorang pelajar rasa mencukupi untuk memulakan penghayatan hidup selepas peringkat sekolah. Ibu-bapa perlu mencari jalan menambah sendiri ilmu anak-anak ini jika mahu menentukan perjalanan anak-anak agak terjamin.

Sebagai seorang guru biasa Ustazah kurang faham mengenai dasar dan perancangan mengenai hal-hal pendidikan termasuk pendidikan Islam bagi seluruh negara. Maka seorang ahli yang lain nya yang dahulunya  memegang jawatan tinggi di sebuah kementerian memberi penjelasan bahawa isu agama adalah dibawah kuasa kerajaan negeri. Kerajaan Persekutuan  hanya memperuntukan geran mengikut yang ada di sebut dalam Perlembagaan. Maka sememangnya kerajaan negeri kurang peruntukan kewangan untuk menubuhkan sekolah-sekolah agama mengikut permintaan rakyat. Saya perhatikan ahli ini hanya  memberi penjelasan yang tidak membawa kepada satu rumusan.Ia sekadar berkongsi pengalaman kerja sahaja.

Ada juga ahli yang cuba menyarankan  supaya  jika kekurangan peruntukan maka seharusnya ada usaha dipihak lain membantu dalam hal ini seperti peruntukan Zakat yang ada di negeri-negeri berkenaan. Ataupun ada penggembelingan usaha dari warga Islam yang kaya-kaya untuk menubuhkan sekolah agama Integrasi yang modern dan canggih supaya pelajar-pelajar yang keluar dari Institusi seperti ini dapat menerajui bidang-bidan tertentu dan juga menerajui kepimpinan negara. Mungkin sudah ada kesedaran orang-orang kaya ke arah ini. Sehingga kini saya tidak nampak kesungguhan pihak kerajaan untuk menerajui  dan memperluas usaha ini.

Saya pada mulanya tidak mahu mengambil bahagian dalam perbincangan ini memandangkan masa terhad dan apa jua nanti yang kita katakan hanyalah berbentuk pendapat dan tidak membawa ke mana-mana kerana  rata-rata kami adalah pesara. Tetapi di saat akhir saya mengatakan  juga bahawa kalau kita mahukan perubahan dalam sistem kita, maka wajarlah kita berfikiran besar. "Think Big". "Go beyond Borders", "Think outside the Box" dan sebagainya.  Jikalau kita menyatakan yang biasa-biasa seperti:  "Apa nak buat, perlembagaan kita kata begitu", atau "apa nak buat Akta Pendidikan kita kata begitu" dan lain-lain sepertinya, ia tidak bermakna apa-apa. Jika pemikiran kita berputar-putar di takuk yang sama, maka saya pasti tidak ada kesudahan yang akan membawa pembaharuan yang benar-benar bermakna..Iaitu tidak ada nilai tambah dalam perbincangan kita dan tidak ada nilai tamabah dalam hasilnya. Ramai antara kita telah dilatih  dan didedahkan untuk berfikiran di luar kotak, dan ramai pegawai-pegawai tertinggi dihantar ke Harvard dan lain-lain Institusi sepertinya, tetapi saya tidak sangat  terkesan dengan kedudukan mereka.Saya merasakan ramai yang mengambil jalan mudah, ataupun jika mereka sanggup menjalani jalan-jalan yang susuah,  objetif tindakan itu tidak jelas. Kalau objektifnya jelas, strateginya pula longgar dan tidak efficient. Ini berlaku mungkin  kerana ada semacam tekanan untuk berbuat sesuatu dengan tergesa-gesa tanpa perancangan rapi. Mungkin ini disebabkan wujud  sesuatu kepentingan yang tidak jelas dan hala tujunya pun tidak jelas dan ia di luar kawalan prinsip pengurusan yang biasa.

Tetapi bila sudah bersara ada diantara kita yang berani  memperkatakan sesuatu. Tetapi yang diperkatakan itu pun dalam bentuk membela tindakan yang sudah dilaksana waktu dulu-dulu. Saya dapati ramai pegawai kerajaan bila bercakap sesuatu ia suka sendeng kepada membela diri. Iaitu seperti cuba menutup kelemahan yang sekarang baru disedari.Saya percaya selepas bersara ramai yang terfikir-fikir sama ada tugasan mereka dahulu sudah tepat dengan kehendak Syarie. Selepas bersara ramai yang mendekatkan diri dengan majlis-majlis ilmu sama ada di masjid atau di tempat-tempat lain dan ramai yang merasai ada arah perjalanan yang telah tersasar. Tetapi setelah bersara tidak banyak yang boleh dilakukan kerana rata-rata persara sudah tidak ada kuasa untuk mempengaruhi pihak yang berkuasa. Maka eluklah pegawai-pegawai muda sekarang memperkemas dan memperlengkap diri dengan semua bentuk ilmu supaya segala perancangan dan perlaksanaan program dan aktiviti dalam perkhidmatan awam dapat menuju sasaran seperti yang dituntut dalam Islam. "Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian..........".

Tetapi Ustaz mengatakan, rasa sesalan itu juga adalah rahmat Allah kerana kita boleh bertaubat dan berusaha memperbetulkan nowaitu dan memastikan jalan-jalan kehadapan  selari dengan yang dituntut atas kita. Maghfirah Allah maha besar dan maha Luas. Semoga kita diterima dalam pelukan kasih sayangNya.

Dengan yang demikian, kalau kita benar-benar ikhlas mahu meneruskan  usaha mahu mendekatkan diri pada Allah maka kita kena meneroka  ruang-ruang baru yang dahulunya kita tidak ambil kira dan ambil berat. Jika kita manu memberi sumbang membangunkan masyarakat dan negara, kita boleh bergabung dengan badan-badan sukarela yang banyak tertubuh di negara kita ini. Dan saya kagum kerana orang-orang muda sekarang sudah ramai yang  menyedari pentingnya mereka bergerk berkumpulan  dalam badan-badan yang digelar NGO untuk menegakkan kebenaran. Jikalau di saluran rasmi tidak boleh, Allah membuka banyak saloran yang lain. Hanya kita yang perlu memperkuat komitmen kita ke arah itu. Sekurang-kurangnya kita berusaha "berkempen" pada anak cucu kita tentang  apa yang patut dibuat dan apa yang patut di ubah. Semoga kita tidak asyik membela tindakan kita yang dahulu.

Begitulah sedikit  sebanyak rasa hati yang diluahkan dalam sessi kecil di masjid  pada pagi itu. Jika entry ini bunyi seperti tidak teratur, begitulah karenah orang pesara. Banyak yang ada dalam kepala tetapi sudah tidak lancar dan articulate dalam memperkatakannya. Orang muda-muda jangan tunggu tua sampai sudah lanjut usia untuk berbuat sesuatu yang luar biasa. Harus bersifat berani kerana benar. InsyaAllah berjaya.


Saya sendiri rasa insaf  kerana saya juga banyak kelemahan dan kekurangan.Sama-sama kita berdoa semoga Allah  memperbetulkan cara kita  berfikir dan cara kita  bertindak demi kesejahteraan anak cucu khususnya dan negara amnya dan semoga Allah mengampunkan segala kekurangan dan kesilapan dan masih membuka peluang untuk menabur bakti sebagai bekalan ke akhirat nanti.

Tuesday, April 19, 2011

KENAPA DIBEZAKAN ...






Hari Ibu akan muncul tidak lama lagi bagi tahun 2011. Maka sibuklah pihak-pihak yang mempromosi acara tahunan ini. Kita yang terpengaruh dengan budaya ini pun berfikir-fikir apa acara yang akan di adakan untuk merakamkan 'kehebatan' ibu.

Sekuntum Ros untuk semua Ibu.

Maka saya juga terlibat dengan satu kumpulan NGO yang mahu merayakan Hari Ibu secara sederhana. Ada ahli yang menyarankan supaya dalam mengajurkan acara ini kita tidak  memerangkap minda ahli untuk berfikiran bahawa perayan Hari Ibu itu suatu yang dituntut dalam Islam. Islam mengiktiraf keunggulan IBU hingga disebut di dalam alQuran bagaimana kita semestinya beradab dan bersantun dengannya, (kedua ibu-bapa). Maka mengadakan hari ibu belum cukup bukti kita sungguh-sungguh sayang padanya dan mengambil berat tentang kebajikannya. Setiap hari kita seharusnya berkomunikasi dengan ibu walaupun secara bertalipon. Alangkah bahagianya seorang ibu yang sentiasa diingati dan diambil peduli.

Fakta ini dapat diterima oleh ahli-ahli yang hadir. Malangnya ada yang berbeza pendapat tentang takrif "IBU".  Ada yang bersungguh-sungguh mengatakan program yang di rangka bagi Hari Ibu ini seharusnya hanya meliputi Ibu Kandung sahaja. Ia tidak termasuk Ibu Mertua, Ibu Tiri dan Ibu Angkat.




Amat terkejut saya dengan takrif itu. Di dalam alQuran perbezaan dibuat hanya dalam konteks pembahagian harta pusaka sahaja. Tidak ada selain itu (yang saya tahu). Saya hairan mengapa tergamak ahli yang mahu meminggirkan ibu-ibu selain ibu kandung dalam hal-hal sosial dan kebajikan. Di mana kesilapan kita yang menyebabkan hati-hati  masih dingin dan kadang-kadang rasa curiga dan tidak selesa  bila memperkatakan mengenai ibu yang bukan ibu kandung.

                             Seorang ibu dan anaknya yang amat rapat menjaganya 
                                                      semasa umrah di bulan Ramadhan tahun lepas.


Di dalam ceramah-ceramah agama, selalu ustaz mengatakan bahawa definasi anak meliputi anak kandung, anak tiri, anak anagkat dan malahan anak didik juga. Anak didik ialah anak yang kita mengambil bahagian mendididik dan mengasuhnya walau pun bukan sepenuh masa dan bukan untuk selamanya. Kata Ustaz definasi anak-anak soleh yang mendoakan orang tuanya adalah kesemua  kategori  anak yang seorang ibu telah menjaga, mengasuh dan mendidiknya. Kalau ini dapat diterima maka apabila kita bercerita mengenai IBU pula, mengapa kita mahu membeza-bezakan mereka ketahap mahu meminggirkan mereka yang bukan ibu kandung.

Maka kita seharusnya muhasabah diri dan memahami senario yang meyebabkan dalam masyarakat kita wujud ibu tiri dan ibu angkat, selain ibu kandung. Ketentuan Allah tidak dapat kita nafikan. Siapa jua ibu yang kita gelar ibu harus mendapat kasih sayang yang sewajarnya. Kita harus menjaga kebajikannya sebaik mungkin tanpa membuat perbezaan yang Allah tidak suka. Cerita warisan Bawang Putih - Bawang Merah sudah sepatutnya terkikis dari minda kita. Peribahasa "menganaktirikan" juga sudah sepatutnya dihapuskan kerana unsur negatif yang ada padanya tidak patut diteruskan. Jangan kita biarkan minda kita jumud dalam hal ini.


Antara wajah-wajah Ibu di Kg Tunku

Setiap anak pasti ada ibu, cuma definasi ibu harus dihalusi, difahami dan dihayati.

Seorang Ibu yang berjiwa halus dan berjiwa beasr beserta anaknya.
Saya mengkagumi ketulusan dan keluhuran hatibudinya.

Dalam memperkatakan ibu teringat pula saya fenomena bahawa kadang-kadang yang melupai jiwa seorang IBU bukan wanita yang lalai sahaja tetapi sang suami juga. Sang suami lupa bahawa isteri mereka adalah ibu kepada anak-anak mereka. Mereka hormat dan kasih pada ibu dan ibu mertua tetapi peranan Isteri sebagai Ibu anak-anak mereka sendiri, mereka kurang prihatin. Selalu sahaja hati isteri tersinggung dan terluka bila suami melupai mereka sebagai ibu anak-anak hasil perkongsian hidup bersama. Ini nyata berlaku apabila mereka berpindah kasih pada isteri muda. (Wanita dalam keadaan ini hanya dilihat sebagai isteri  oleh sang suami dan amat kurang dilihat sebagai seorang ibu yang perlu dijaga hatinya supaya sentiasa riang menjaga anak-anaknya). Saya tidak berhajat berbicara lanjut dalam hal ini kerana sudah terlau sering diperkatakan di mana-mana jua.

Oleh itu walau apa jua pun, IBU adalah IBU. Ibu adalah sumber syurga bagi kita semua. Maka sama-samalah kita peka siapa dia IBU dan tanggong jawab kita padanya. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang berfikiran dangkal dan bersikap sendeng keatas takrif ibu dan masih mahu meminggirkan ibu-ibu selain ibu kandung. Semoga Allah membuka hati-hati kita untuk berjiwa besar dalam banyak hal terutamanya dalam hal-hal kasih sayang antara manusia.

Syabas Ibu-Ibu.Semoga Allah iktiraf kita sebagai ibu-ibu yang solehah dan Ibu Mithali pada anak-anak.


Monday, April 18, 2011

INILAH JALAN KU


Inilah jalan ku, dan aku harap engkau mahu bersama
Walau pun lecah berlumpur diwaktu hujan dan berdebu ketika lainnya
Ia tetap jalan aku pilih kerana ini yang Nabi tercinta  mengajarkan  pada kita
Yakinlah kita tidak rugi walaupun sekarang kita belum berjaya

Di hujung jalan ini suatu keindahan yang luas terbentang.
Kita akan mampu mencapainya dengan usaha dan kesabaran
Dan munajat pada Tuhan siang dan malam, pasti DIA memberi panduan
Cuma kita perlu faham kejayaan itu destinasi penentuan Tuhan
Namun DIA tidak mengecewakan, asalkan kita pasrah dan melaksana apa yang kita janjikan

MentauhidkanNYA walaupun menghadapi  apa jua bencana.
"Alastu bi Rabbikum, qaluu bala syahidna"

Thursday, April 14, 2011

BILA TERBIAR



Pada hari Khamis  minggu yang lepas saya menemani suami saya dan kawannya melawat sebuah tapak pembangunan yang telah di tinggalkan kerana sebab-sebab pengurusan dan kewangan. Cantik tempatnya, di tepi laut di Port Dickson. Khabarnya ia diusahakan oleh syarikat bumiputera semasa Malaysia mewah dahulu. Saya kurang arif benar atau tidak. Saya pergi bersama kerana suka menjelajah tempat-tempat.

Apa yang terfikir-fikir dihati saya ialah mengapa boleh terjadi pembaziran seperti itu dan pelaburan yang nilainya pasti tinggi telah terbiar. Tetapi saya bukan orang ekonomi dan bukan orang politik. Namun demikian rasa terkilan dihati kerana ini menunjukan pengurusan ekonomi yang tidak cekap oleh pihak yang berkuasa, sama ada cara langsung atau tidak langsung.


Pada hari itu  saya menjamu mata kerana pemandangan yang cantik. Kurnia Allah atas manusia melimpah ruah dan Allah uji  orang di Malaysia dengan kemewahan. Mengapa tidak diadakan perancangan yang professional mengenai sesuatu projek. Mungkin banyak lagi projek yang terbiar seperti ini cuma saya kurang mengetahui kerana setelah bersara saya tidak lagi banyak memantau apa yang berlaku di negara ini dari segi pembangunan ekonomi. Tetapi apa yang saya tahu kadar penganggoran  memerlukan perhatian. Saya rasa terkilan juga sebagai seorang warga yang mahu melihat  negara ini membangun untuk kepentingan generasi akan datang, termasuk cucu-cucu saya. Tetapi jika fenomena seperti ini wujud maka rasa kecewa dan kurang yakin tentang masa depan Malaysia  mula meresap dihati. Semoga Allah yang maha mengetahui rasa hati manusia, mendengar rintihan-rintihan akan memperbetulkan perjalanan pentadbiran di negara ini demi kesejahteraan rakyatnya hingga ke akhirnya.

Dalam pada itu usaha setiap individu perlu dipertingkat. Sama-sama kita berusaha dan berdoa semoga akan lahir warga Islam yang kaya raya yang boleh dan mahu membantu mereka yang memerlukan, terutamanya dibidang pendidikan dan latihan. Semoga akan lahir generasi yang berilmu dan berketerampilan, beriman dan bertaqwa untuk mengubah corak hidup di Malaysia.

Dalam senyap-senyap berfikir dan berdoa saya perhatikan juga bunga-bunga yang tumbuh liar dalam kawasan yang kami lawati. Kadang-kadang keindahan kurniaan Allah terlepas pandang kerana minda dan hati kita terlalu sibuk dengan keindahan yang  distukturkan oleh pihak-pihak tertentu. Kadang-kadang keindahan yang seperti ini menjauhkan kita dari mengingati Allah. Contohnya seperti  'decor'  dan 'urbanscape' yang ada ditengah-tengah kesibukan manusia di bandarraya. Maka saya turunkan disini keindahan alam 'liar' sebagai renungan.

Kesemua ciptaan Allah ini berzikir pada Allah, Tuhan sekian alam. Hanya manusia yang suka melawan arus zikrullah. Sama-sama kita berdoa semoga Allah tidak melalaikan kita dengan keindahan-keindahan tanpa mengingati PenciptaNya.

Wednesday, April 13, 2011

SERABUT


Serabut rasa diminda bila saya asyik mendengar bagaimana orang Melayu boleh mempertahankan kedudukan ketuanan nya. Mengapakah kita asyik sibuk dan menyibukan diri dengan berbagai majlis ceramah, wacana dan berbagai lagi untuk memperkatakan sesuatu yang saya rasa Malaikat tidak tanya nanti di Alam Barzah. Tetapi Malaikat akan tanya dengan perintah Allah jua untuk menyoalkan pegangan dan amalan keimanan Islam kita. Sejauh mana kita telah mentauhidkan  Allah dalam perilaku kita di semua aspek kehidupan.

Malahan kita Melayu yang Islam akan ditanya juga sejauh mana kita telah mengembangkan kebenaran hak kewujudan Allah yang maha pencipta sekian alam. Bolehkah kita belepas diri dengan mengatakan bahawa itu bukan tanggongjawab kita. Saya sudah dakwah pada kaum saya, iaitu Melayu sahaja dan melupakan bahawa isu dakwah adalah isu global.

Kita sering kali terperangkap dalam kemelut memperkatakan perkara yang kecil-kecil seperti Ketuanan Melayu dan lupa bahawa kita sebagai khalifah di muka buymi ini mempunyai tugas yang lebih besar. Tugasan kita meliputi membangunkan sekian alam. Itulah yang disebut banyak kali di dalam alQuran. Tidak salah kita mahu membangunan bangsa keturunan kita, tetapi jangan  sampai kita hilang punca janji kita pada Allah semasa kita dicipta dahulu.

Oleh kerana berfikiran kecil maka tindak-tanduk kita akan berkisar dalam ruang lingkup mempertahankan diri  atau defensif dan jarang sekali keluar menerajui perlaksanaan hak Islam / Melayu secara ofensive. Kita perlu yakin bahawa yang benar tetap benar, dan yang batil tetap batil. Walaubagaimana pun perbuatan dan tindakan kita perlu berhikmah seperti yang diajarkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhamad saw.

Bila kita defensif, kita asyik sibuk mempertahankan kedudukan kita dalam sejarah. Orang Melayulah yang berhak atas bumi nusantara ini. Yang lain adalah keturunan pendatang. Maka hak pendatang tidak boleh setaraf dengan hak penduduk asli dan penduduk utama. Begiltulah lebih kurang cara kita berdebat.  Tetapi di dalam alQuran seruan Allah adalah "Wahai manusia" atau "Wahai orang-orang yang beriman." Selain dari itu tidak ada. Maka mengapa kita sibuk sangat dengan Ketuanan Melayu. Isu-isu Islam diambil ringan.  Serabut otak saya........

Semoga Allah meanugerah taufik dan hidayahNYA dan kita sentiasa di jalan yang diredhaiNya.Ameen.
WaAllahu'alam.

Tuesday, April 12, 2011

KARENAH TOK AYAH PULA.






Bukan cucu-cucu sahaja banyak karenah. Tok Ayah juga banyak karenah. Kalau tidak jumpa cucu seminggu pun dia mula resah. Maka hujung minggu lepas terpaksa saya bersiap tergesa-gesa hampir jam 6 petang hari Ahad untuk ke Putrajaya supaya dapat bersama cucu, terutamanya Huzaifah (UJAI) yang sudah mula pandai bersembang. Biasanya pada malam Isnin saya suka tidur di rumah, tetapi malam itu saya tidur juga di Putrajaya kerana esuknya  Tok Ayah hendak  tenguk Ujai ke sekolah.

Selepas subuh di Masjid cepat-cepat ia pulang ke rumah dan tolong anak saya siapkan Ujai. Tok Ayah pun rasa "hebat" dapat pakaikan stokin cucu. Masa dengan anak-anak dulu tugas ini tidak terlintas dihatinya. Agaknya itulah fitrah manusia. Menjelang umur tua, mulalah dapat merasakan apa yang dahulu terlalu sibuk untuk diberi perhatian. Cucu pun seronok sama. kalau lama tidak jumpa Tok Ayah dia akan bertanya kenapa tidak pergi rumah Tok Ayah. Itulah pusingan hidup. Akhirnya kita bertemu Allah dan semoga doa kita untuk cucu-cucu Allah terima  dan cucu-cucu pun nanti diharapkan dapat mendoakan Tok Ayah dan semua yang pergi dahulu darinya. Semoga Allah merestui. Ameen.








Semoga ia membesar sihat dan gagah dan doa kami untuk UJAI  menjadi seorang ululalbab dan seorang mujahid akan Allah anugerah atasnya. Ameen.

Saturday, April 9, 2011

KEINGINAN



Dalam hidup ini kita inginkan berbagai perkara. Tidak bererti jika kita menginginkan sesuatu, maka itu bererti kita mengikutkan hawa nafsu. Nafsu adalah juga makhluk ciptaan Allah yang Maha Bijaksana. Cuma kita perlu mengawal nafsu mengikut garis panduan yang telah diajarkan pada kita oleh junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Saya inginkan rumah yang dikelilingi taman-taman bunga yang cantik. Dalam umur yang ada sekarang rasanya keinginan itu akan tinggal keinginan. Tetapi saya redha. Tidak semua yang kita inginkan Allah kurnia serta merta. Semoga allah reserve untuk masa depan, di sini atau di sana.

Bercerita mengenai bunga-bunga di sekeliling rumah, teringat saya akan Allahyarham Emak saya. Emak juga suka pokok-pokok bunga. Dia rajin menanam dan kebanyakannya pokok bunga kertas kerana itu mudah di jaga. Kakak-kakak yang tinggal berhampiran rumah emak saya selalu membantu dengan menanam bunga-bunga yang lain. Bila emak saya meningkat umur, kakak-kakak pun begitu juga. Bila emak berumur 90, kakak saya yang tinggal berhampiran berumur lebih enampuluhan. Nyata tenaganya berkurangan. Maka tidaklah mampu menjaga bunga-bunga seperti ketika mudanya. Maka kakak saya menmbeli bunga-bunga plastik berwarna warni dan dicucukan  dalam  pasu-pasu bunga yang sudah amat berkurangan bunga aslinya.

Kakak saya  kata dengan cara itu keliling rumah emak masih nampak ceria berwarna warni. Kakak-kakak saya tidak memberi tahu emak saya strategi itu. Tujuannya ialah emak nampak taman teratur dan banyak warna-warna yang nampak berseri. Dalam umur sembilan puluhan dan agak uzur dan deria melihat berkurangan maka emak tidak komen apa-apa.Ia nampak puas hati. Kakak tidak bertujuan membohongi emak. Dia bertujuan menghibur. Semoga Allah mengampunkan "usaha ikhlas yang ' kurang jujur'  ini". Kakak-kakak saya sekarang pun telah agak uzur dan berumur lebih tujuhpuluhan. Emak saya meninggal dunia pada tahun 2004 dalam umurnya yang  dipercayai  melebihi 95 tahun. Semoga Allah mengumpul ruhnya dikalangan ruh-ruh yang Allah kasihi.

Saya juga inginkan keluarga besar dengan anak ramai. Nyata itu juga Allah kurnia yang lainnya. Allah maha mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Maka Allah tambah dengan 3 orang anak angkat yang datangnya dari Acheh. Mereka selalu bersama keluarga saya semasa menuntut di Malaysia dan sekarang telah berumah tangga  setelah tamat pengajian di Mesir dan tinggal di Acheh.  Mereka datang ziarah kami mengikut keperluan dan  kemampuan. Saya dan suani membantu seadanya. Cucu Acheh saya kini ada empat orang. Alhamdulilah. Kami berhubungan melalui talipon dan Facebook.

Bercerita mengenai anak angkat, hari kelmarin  ada seorang dari Afghanistan yang datang ke Masjid Kg Tunku dan suami saya bertemu dengannya. Setelah berbicara seketika, ia menayakan kalau ingin membantu anak-anak Afghanistan dengan menjadikan mereka sebagai anak angkat anak yatim  dan tinggal bersama di Malaysia.  Saya terpegun seketika dengan cadangan itu memandangkan umur telah meningkat dan keupayaan saya sudah agak menurun. Pastinya urusan mengambil anak angkat seperti ini rumit dan itulah yang saya fikirkan. Kemudian seharusnya juga saya dan suami mengaturkan pendidikan yang terbaik bagi mereka (2 orang perempuan berumur 8 tahun). Setelah berbincang-bincang akhirnya saya dan suami bersetuju untuk sementara waktu ini membuat sumbangan sahaja dan biarlah  mereka berada di Afghanistan dahulu sementara kami membuat persiapan yang selaras denagn perundangan negara terlebih dahulu.

Dalam pada itu saya berfikir-fikir lanjut tentang kemampuan fisikal untuk menjaga anak angkat seperti ini. Kenapa saya rasa khuatir tidak terdaya walhal seorang kawan saya  (berseorangan)  yang sama umur sekarang ini mengendalikan rumah anak-anak yatim dan miskin yang bilangannya antara 30-40 orang lelaki dan perempuan di Teluk Intan Perak. Ia mendapatkan bantuan dengan bayaran gaji yang sederhana untuk membantunya. Oleh kerana susah untuk mendapatkan bantuan tenaga seperti ini maka kawan saya ini membuat sendiri tugasan dapur dan membeli belah berseorangan. MasyaAllah.

Dia boleh, mengapa pula saya tidak boleh?  Suami saya kata ini bukan soal kewangan dan tenaga fisikal semata-mata. Ini adalah soal komitmen untuk  menyelamatkan dan membangunkan mereka yang memerlukan pertolongan semata-mata kerana Allah. Setakat ini saya rasa tiada kemampuan. Saya berdoa memohon petunjuk dan pertolonagan dari Allah yang maha mengetahui dan maha mengehendaki. Semoga inilah jalan-jalan menuju kepada keredhaanNya dan  semoga Allah buka jalan-jalan itu untuk kami sekeluarga. Jika bukan ini, semoga Allah buka jalan-jalan yang lain. Saya selalu mengingatkan diri : Allah tidak buat dunia ini sempit, maka janganlah kita yang menyempit-nyempitkannya.

Senyap-senyap saya bertekad untuk mengurus  keinginan satu-persatu dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran. Ia perlu dilakukan dalam ruang lingkup  mentauhidkan Allah swt yang Maha Agong dan Maha Besar. Semoga Allah meredhai.

Wednesday, April 6, 2011

IT'S DURIAN TIME - to eat or not to eat




This is the lighter side of life, enjoying durian the way we used to........by the road side, as in our younger days. Recently on our way back from Sungai Batu Selama Kedah, we decided to take the old road from Taiping to Kuala Kangsar and reminisced  about the days we traveled the road when Ayah and Emak (my husband's parents)  were still around.We always stopped along the way to buy fruits or local delicacies. We missed them and we took the same road to "feel young" again and to feel vibrant again so that we would have the mental strength to finish some of the things we intend to do before the Final Curtain is drawn on us.

Early morning in Taiping just before breakfast.

We  had an early breakfast and before long we were already on our way enjoying the ride home. We didn't expect to see Durian stalls along  the Taiping road to Kuala Kangsar and my husband could not resist the temptation of  this "FORBIDDEN" fruits for diabetics. Ayah  was also a diabetic but he used to say: "Let me die eating than die not eating"  (biar mati makan jangan mati tak makan), a common saying for the people of Sungai Batu who love food. We knew he did not mean what he said for he too  loved durians. So, "why not" said my husband.



Now which one, and how many......


It's finger licking-good.......

I made sure one whole fruit is enough. In fact it's one too many. I reminded my dear hubby about the blood sugar level. He sheepishly smiled and  he stopped at one. But quietly he ordered five more and put them into the car before I could say no.
When it is durian, there is nothing I can do.............
May Allah have mercy on us. 




 



 Anyway, the durians " made"  driving easy and we arrived home safely, alhamdulilah. Allah's bounty is limitless and may He bless us all. Ameen.
 

Tuesday, April 5, 2011

JALAN KE SYURGA





Banyak cara jalan ke Syurga. Tetapi jalan-jalan ini seharusnya jalan yang telah digariskan di dalam alQuran dan hadith Junjungan kita (saw). Cara yang lain Allah tidak terima walaupun nampak logik dari pandangan mata dan  nampak cantik dari susunan strukturnya.

Walaubagaimana pun tidak ada jalan pintas untuk menuju kepadaNya. Walaupun jalan berbeza-beza prinsipnya adalah sama, iaitu menjunjung prinsip mentauhidkan Allah sepenuhnya jua. Apabila seorang Mukmin menemui ajalnya, hadith mengatakan hanya tiga perkara yang dibawa olehnya. 1) Sedekah Jariah, 2) Ilmu yang di munafaatkan dan 3) Anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan. Dengan tiga perkara ini  semoga Rahmat Allah akan bersama dan mudahlah kita meneroka laluan ke sana.

Baru-baru ini saya dan rakan-rakan diperingatkan lagi mengenainya dalam satu perjumpaan Mesyuarat Agong Pertubuhan Mawaddah Malaysia (PMM) yang diadakan di Shah Alam. PMM adalah sebuah pertubuhan sukarela (NGO) yang baru berumur 5 tahun. Banyk masaalah yan dihadapi terutamanya mengenai keahlian dan kewangan. Tetapi berkat doa dan kegigihan ahli berusaha tanpa mengenal penat lelah menghasilkan kejayaan yang memuasakan memandangkan banyak kekangan yang terpaksa dilalui. Alhamdulilah.

Maka Ustazah Maznah Hj Daud selaku Pengerusi telah memberikan kata-kata aluan didalam mesyuarat itu dengan membangkitkan semangat ahli untuk berusaha terus menerus. Beliau memberi tajuk ucapannya: MENCARI SYURGA BERSAMA NGO.

Gambar menunjukan Ustazah Maznah didengari dan
Sebahagian kumpulan ahli yang hadir


Dalam Surah Ali Imran ayat  195 Allah berfirman yang bermaksud:  "Maka Tuhan perkenankan doa mereka 'Sesungguhnya Aku tidak akan mensis-siakan amalan orang-orang yang beramal dari diantara kamu lelaki atau  perempuan (kerana) setengah kamu  (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerena menyelamatkan agamanya)  dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti kerana menjalankan agama mu dan yang berperang (pada jalan Allah)  dan yang terbunuh , sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukan mereka ke dalam Syurga yang mengalir dari di bawahnya beberapa sungai sebagai pahala dari di sisi Allah dan dari di sisi Allah jualah adanya pahala yang sebaik-baiknya".

Antara maksud ayat ini ialah supaya kita berusaha beramal, terutamanya untuk membela Islam. Kita beramal bukan untuk diri sendiri sahaja seperti yang dituntut dalam ibdah fardhu ain, tetapi kita di tuntut juga mengamalkan ibadah fardhu kifayah dan ibadah-ibdah sunat yang lain. Antara salah satu jalan berbuat demikian iala melalui badan-badan sukarela NGO.

 Kita disarankan untuk berbakti pada masyarakat semasa kita berumur muda dan janganlah menunggu waktu telah bersara dari kerjaya yang formal. Hidup kita terlalu singkat untuk mengguhkan kerja-kerja kebajikan kerana ditakuti tidak berkesempatan. Pandai-pandailahlah kita mengaturkan masa dan jika kita benar-benar ikhlas dan  bersungguh-sungguh, Allah akan membantu dan memudahkan perjalanan kita.

Kerja-kerja amal ibadah yang berbentuk untuk diri akan tamat munafaatnya ketika kita meninggalkan dunia ini. Tetapi amal ibadah yang kita buat untuk masyarakat seperti untuk pendidikan, kebajikan orang-orng miskin dan yang memerlukan dan lain-lain sepertinya, maka munafaat  amalan itu akan terkumpul hingga hari Qiamat. Pahalanya berganda-ganda seperti yang tersebut dalam ayat AlQuran  di atas tadi.

Maka Ustazah Maznah mengingatkan supaya kita berbakti, dan antara cara yang mudah ialah melalui NGO kerana strukturny dan networkingnya telah tersusun.
SELAMAT MAJU JAYA BERSAMA NGO.
Semoga Allah memberi pertolongan dan memudahkan segalamya. Semoga kita berjumpa di Surga pilihan kita dengan Rahmat Allah jua adanya.  Ameen.

Monday, April 4, 2011

KEHILANGAN MAK TEH.





Saya dan suami baru saja pulang dari Kampung Sungai Batu, Selama Kedah menziarahi keluarga. Isteri kepada bapa saudara suami telah pulang ke Rahmatullah. Masih agak muda, baru mencecah 60 tahun. Saya katakan ia agak muda kerana saya telah jauh melepasi umur itu. Dalam umur yang sebegini dan baru pulang dai Garut Bandung, maka rasalah keletihan walaupun perjalanan dengan kereta Allah mudahkan.

Dalama perjalanan pulang itu saya dan suami mengingat kembali peristiwa-peristiwa hidup berdampingan dengan keluarga yang kami pangil "Pak Teh" dan "Mak Teh" ini. Mereka senang didampingi dan sentiasa seronok bila diziarahi sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Akhir sekali saya bertemu dengannya ialah 2 bulan yang lalu ketika ia mengadakan majlis perkahwinan anak tunggalnya.

Allahyarham Mak Teh (kanan)

Kami rasa kehilangan kerana ia baik budi dan melayan kami dan merai kami walaupun dalam keadaan uzurnya. Semoga Allah menempatkan Ruhnya bersama Ruh orang-orang Solih dan ia berehat tenang di alam barzah.

Penghormatan dan perjalanan terakhir.

Sayu dihati tetapi apakan daya. Kita semua menunggu giliran, tidak kira tua atau muda. Kami lepaskan  Mak Teh dengan redha hati. Cuma kami tertanya-tanya kerana di kampung itu tidak ada kenderaan jenazah dan orang kampung kenalah berjalan hampir 3 kilometer ke tanah persemadian. Semoga Allah terima layanan terakhir hari itu sebagai amal yang diredhai.

Mati itu pasti. Mungkin tidak ramai yang mahu beringat untuk membuat persedian sewajarnya. Pejabat Agama pun mungkin kekurangan peruntukan. Kerajaan pusat pun menganggap ini tanggongjawab negeri. Kedah pula negeri miskin dan oleh kerana kerajaan pusat dan kerajaan negeri berlaian pihak yang berkuasa, maka kekayaan negara tidaklah sampai kepada rakyat jelata. Sebuah kenderaan jenazah pun tidak mendapat nikmatnya.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa Mak Teh dan ampunilah  dosa-dosa kami. Kurniakanlah kami limpah Rahmat Mu  yang tidak terhingga dan  semoga kesusahan kami di sini akan terbela di akhirat nanti.
Ameen.

Saturday, April 2, 2011

HARUM MU UNTUK SIAPA


 Dicelah-celah kelopak mu terserlah embun pagi
Ibarat ukiran senyuman
Ibarat kerinduan pada sang suria 
Yang akan singgah mencecah hanya sejenak jua

Harum manis mu untuk siapa
Kalau embun menghilang walapun tiada tiupan bayu di pagi hari
Kan kau tunggu hingga esuk untuk merasa kelembapan yang nyaman sekali lagi
Tetapi engkau tidak menagih simpati, tidak meminta di hargai
Kerana lumrah wujud mu Allah kurnia untuk yang mahu mengerti hakikat diri.

Semoga diri mu difahami, disayangi
Hati nurani yang mengenal yang Maha Suci.
Related Posts with Thumbnails