Hari Ibu akan muncul tidak lama lagi bagi tahun 2011. Maka sibuklah pihak-pihak yang mempromosi acara tahunan ini. Kita yang terpengaruh dengan budaya ini pun berfikir-fikir apa acara yang akan di adakan untuk merakamkan 'kehebatan' ibu.
Sekuntum Ros untuk semua Ibu.
Maka saya juga terlibat dengan satu kumpulan NGO yang mahu merayakan Hari Ibu secara sederhana. Ada ahli yang menyarankan supaya dalam mengajurkan acara ini kita tidak memerangkap minda ahli untuk berfikiran bahawa perayan Hari Ibu itu suatu yang dituntut dalam Islam. Islam mengiktiraf keunggulan IBU hingga disebut di dalam alQuran bagaimana kita semestinya beradab dan bersantun dengannya, (kedua ibu-bapa). Maka mengadakan hari ibu belum cukup bukti kita sungguh-sungguh sayang padanya dan mengambil berat tentang kebajikannya. Setiap hari kita seharusnya berkomunikasi dengan ibu walaupun secara bertalipon. Alangkah bahagianya seorang ibu yang sentiasa diingati dan diambil peduli.
Fakta ini dapat diterima oleh ahli-ahli yang hadir. Malangnya ada yang berbeza pendapat tentang takrif "IBU". Ada yang bersungguh-sungguh mengatakan program yang di rangka bagi Hari Ibu ini seharusnya hanya meliputi Ibu Kandung sahaja. Ia tidak termasuk Ibu Mertua, Ibu Tiri dan Ibu Angkat.
Amat terkejut saya dengan takrif itu. Di dalam alQuran perbezaan dibuat hanya dalam konteks pembahagian harta pusaka sahaja. Tidak ada selain itu (yang saya tahu). Saya hairan mengapa tergamak ahli yang mahu meminggirkan ibu-ibu selain ibu kandung dalam hal-hal sosial dan kebajikan. Di mana kesilapan kita yang menyebabkan hati-hati masih dingin dan kadang-kadang rasa curiga dan tidak selesa bila memperkatakan mengenai ibu yang bukan ibu kandung.
Seorang ibu dan anaknya yang amat rapat menjaganya
semasa umrah di bulan Ramadhan tahun lepas.
Di dalam ceramah-ceramah agama, selalu ustaz mengatakan bahawa definasi anak meliputi anak kandung, anak tiri, anak anagkat dan malahan anak didik juga. Anak didik ialah anak yang kita mengambil bahagian mendididik dan mengasuhnya walau pun bukan sepenuh masa dan bukan untuk selamanya. Kata Ustaz definasi anak-anak soleh yang mendoakan orang tuanya adalah kesemua kategori anak yang seorang ibu telah menjaga, mengasuh dan mendidiknya. Kalau ini dapat diterima maka apabila kita bercerita mengenai IBU pula, mengapa kita mahu membeza-bezakan mereka ketahap mahu meminggirkan mereka yang bukan ibu kandung.
Maka kita seharusnya muhasabah diri dan memahami senario yang meyebabkan dalam masyarakat kita wujud ibu tiri dan ibu angkat, selain ibu kandung. Ketentuan Allah tidak dapat kita nafikan. Siapa jua ibu yang kita gelar ibu harus mendapat kasih sayang yang sewajarnya. Kita harus menjaga kebajikannya sebaik mungkin tanpa membuat perbezaan yang Allah tidak suka. Cerita warisan Bawang Putih - Bawang Merah sudah sepatutnya terkikis dari minda kita. Peribahasa "menganaktirikan" juga sudah sepatutnya dihapuskan kerana unsur negatif yang ada padanya tidak patut diteruskan. Jangan kita biarkan minda kita jumud dalam hal ini.
Antara wajah-wajah Ibu di Kg Tunku
Setiap anak pasti ada ibu, cuma definasi ibu harus dihalusi, difahami dan dihayati.
Seorang Ibu yang berjiwa halus dan berjiwa beasr beserta anaknya.
Saya mengkagumi ketulusan dan keluhuran hatibudinya.
Dalam memperkatakan ibu teringat pula saya fenomena bahawa kadang-kadang yang melupai jiwa seorang IBU bukan wanita yang lalai sahaja tetapi sang suami juga. Sang suami lupa bahawa isteri mereka adalah ibu kepada anak-anak mereka. Mereka hormat dan kasih pada ibu dan ibu mertua tetapi peranan Isteri sebagai Ibu anak-anak mereka sendiri, mereka kurang prihatin. Selalu sahaja hati isteri tersinggung dan terluka bila suami melupai mereka sebagai ibu anak-anak hasil perkongsian hidup bersama. Ini nyata berlaku apabila mereka berpindah kasih pada isteri muda. (Wanita dalam keadaan ini hanya dilihat sebagai isteri oleh sang suami dan amat kurang dilihat sebagai seorang ibu yang perlu dijaga hatinya supaya sentiasa riang menjaga anak-anaknya). Saya tidak berhajat berbicara lanjut dalam hal ini kerana sudah terlau sering diperkatakan di mana-mana jua.
Oleh itu walau apa jua pun, IBU adalah IBU. Ibu adalah sumber syurga bagi kita semua. Maka sama-samalah kita peka siapa dia IBU dan tanggong jawab kita padanya. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang berfikiran dangkal dan bersikap sendeng keatas takrif ibu dan masih mahu meminggirkan ibu-ibu selain ibu kandung. Semoga Allah membuka hati-hati kita untuk berjiwa besar dalam banyak hal terutamanya dalam hal-hal kasih sayang antara manusia.
Syabas Ibu-Ibu.Semoga Allah iktiraf kita sebagai ibu-ibu yang solehah dan Ibu Mithali pada anak-anak.
No comments:
Post a Comment