"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, April 9, 2011

KEINGINAN



Dalam hidup ini kita inginkan berbagai perkara. Tidak bererti jika kita menginginkan sesuatu, maka itu bererti kita mengikutkan hawa nafsu. Nafsu adalah juga makhluk ciptaan Allah yang Maha Bijaksana. Cuma kita perlu mengawal nafsu mengikut garis panduan yang telah diajarkan pada kita oleh junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Saya inginkan rumah yang dikelilingi taman-taman bunga yang cantik. Dalam umur yang ada sekarang rasanya keinginan itu akan tinggal keinginan. Tetapi saya redha. Tidak semua yang kita inginkan Allah kurnia serta merta. Semoga allah reserve untuk masa depan, di sini atau di sana.

Bercerita mengenai bunga-bunga di sekeliling rumah, teringat saya akan Allahyarham Emak saya. Emak juga suka pokok-pokok bunga. Dia rajin menanam dan kebanyakannya pokok bunga kertas kerana itu mudah di jaga. Kakak-kakak yang tinggal berhampiran rumah emak saya selalu membantu dengan menanam bunga-bunga yang lain. Bila emak saya meningkat umur, kakak-kakak pun begitu juga. Bila emak berumur 90, kakak saya yang tinggal berhampiran berumur lebih enampuluhan. Nyata tenaganya berkurangan. Maka tidaklah mampu menjaga bunga-bunga seperti ketika mudanya. Maka kakak saya menmbeli bunga-bunga plastik berwarna warni dan dicucukan  dalam  pasu-pasu bunga yang sudah amat berkurangan bunga aslinya.

Kakak saya  kata dengan cara itu keliling rumah emak masih nampak ceria berwarna warni. Kakak-kakak saya tidak memberi tahu emak saya strategi itu. Tujuannya ialah emak nampak taman teratur dan banyak warna-warna yang nampak berseri. Dalam umur sembilan puluhan dan agak uzur dan deria melihat berkurangan maka emak tidak komen apa-apa.Ia nampak puas hati. Kakak tidak bertujuan membohongi emak. Dia bertujuan menghibur. Semoga Allah mengampunkan "usaha ikhlas yang ' kurang jujur'  ini". Kakak-kakak saya sekarang pun telah agak uzur dan berumur lebih tujuhpuluhan. Emak saya meninggal dunia pada tahun 2004 dalam umurnya yang  dipercayai  melebihi 95 tahun. Semoga Allah mengumpul ruhnya dikalangan ruh-ruh yang Allah kasihi.

Saya juga inginkan keluarga besar dengan anak ramai. Nyata itu juga Allah kurnia yang lainnya. Allah maha mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Maka Allah tambah dengan 3 orang anak angkat yang datangnya dari Acheh. Mereka selalu bersama keluarga saya semasa menuntut di Malaysia dan sekarang telah berumah tangga  setelah tamat pengajian di Mesir dan tinggal di Acheh.  Mereka datang ziarah kami mengikut keperluan dan  kemampuan. Saya dan suani membantu seadanya. Cucu Acheh saya kini ada empat orang. Alhamdulilah. Kami berhubungan melalui talipon dan Facebook.

Bercerita mengenai anak angkat, hari kelmarin  ada seorang dari Afghanistan yang datang ke Masjid Kg Tunku dan suami saya bertemu dengannya. Setelah berbicara seketika, ia menayakan kalau ingin membantu anak-anak Afghanistan dengan menjadikan mereka sebagai anak angkat anak yatim  dan tinggal bersama di Malaysia.  Saya terpegun seketika dengan cadangan itu memandangkan umur telah meningkat dan keupayaan saya sudah agak menurun. Pastinya urusan mengambil anak angkat seperti ini rumit dan itulah yang saya fikirkan. Kemudian seharusnya juga saya dan suami mengaturkan pendidikan yang terbaik bagi mereka (2 orang perempuan berumur 8 tahun). Setelah berbincang-bincang akhirnya saya dan suami bersetuju untuk sementara waktu ini membuat sumbangan sahaja dan biarlah  mereka berada di Afghanistan dahulu sementara kami membuat persiapan yang selaras denagn perundangan negara terlebih dahulu.

Dalam pada itu saya berfikir-fikir lanjut tentang kemampuan fisikal untuk menjaga anak angkat seperti ini. Kenapa saya rasa khuatir tidak terdaya walhal seorang kawan saya  (berseorangan)  yang sama umur sekarang ini mengendalikan rumah anak-anak yatim dan miskin yang bilangannya antara 30-40 orang lelaki dan perempuan di Teluk Intan Perak. Ia mendapatkan bantuan dengan bayaran gaji yang sederhana untuk membantunya. Oleh kerana susah untuk mendapatkan bantuan tenaga seperti ini maka kawan saya ini membuat sendiri tugasan dapur dan membeli belah berseorangan. MasyaAllah.

Dia boleh, mengapa pula saya tidak boleh?  Suami saya kata ini bukan soal kewangan dan tenaga fisikal semata-mata. Ini adalah soal komitmen untuk  menyelamatkan dan membangunkan mereka yang memerlukan pertolongan semata-mata kerana Allah. Setakat ini saya rasa tiada kemampuan. Saya berdoa memohon petunjuk dan pertolonagan dari Allah yang maha mengetahui dan maha mengehendaki. Semoga inilah jalan-jalan menuju kepada keredhaanNya dan  semoga Allah buka jalan-jalan itu untuk kami sekeluarga. Jika bukan ini, semoga Allah buka jalan-jalan yang lain. Saya selalu mengingatkan diri : Allah tidak buat dunia ini sempit, maka janganlah kita yang menyempit-nyempitkannya.

Senyap-senyap saya bertekad untuk mengurus  keinginan satu-persatu dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran. Ia perlu dilakukan dalam ruang lingkup  mentauhidkan Allah swt yang Maha Agong dan Maha Besar. Semoga Allah meredhai.

No comments:

Related Posts with Thumbnails