"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Friday, April 22, 2011
FIKIR-FIKIR ORANG BERSARA
Di "Speakers Corner" dan sessi minum pagi bersama ahli qariyah di Masjid Kg Tunku pagi kelmarin, timbul rasa tidak puas hati oleh seorang ahli mengenai kekurangan bilangan sekolah agama diperingkat rendah dan menengah. Ahli ini adalah seorang Ustazah yang telah bersara dari perkhidmatan awam sebagai seorang guru. Ia rasa kecewa kerana terpaksa bersusah payah untuk memasukan cucunya kesekolah agama, samada yang dikendali oleh kerajaan negeri atau pun kerajaan Persekutuan.
Fikiran warga pesara......
Semoga tidak seperti pohon tua terbiar di samping pohon yang muda.
Mengapakah di Malaysia ini rakyat tidak dapat membuat pilihan yang selesa mengenai pendidikan anak-anak walhal anak-anak mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Ustazah merungut. Yang lain senyum bermakna. Dan ustazah juga menimbulkan hal bahawa kurikulum pendidikan Islam di peringkat menengah tidak cukp luas dan intensif yang membolehkan seorang pelajar rasa mencukupi untuk memulakan penghayatan hidup selepas peringkat sekolah. Ibu-bapa perlu mencari jalan menambah sendiri ilmu anak-anak ini jika mahu menentukan perjalanan anak-anak agak terjamin.
Sebagai seorang guru biasa Ustazah kurang faham mengenai dasar dan perancangan mengenai hal-hal pendidikan termasuk pendidikan Islam bagi seluruh negara. Maka seorang ahli yang lain nya yang dahulunya memegang jawatan tinggi di sebuah kementerian memberi penjelasan bahawa isu agama adalah dibawah kuasa kerajaan negeri. Kerajaan Persekutuan hanya memperuntukan geran mengikut yang ada di sebut dalam Perlembagaan. Maka sememangnya kerajaan negeri kurang peruntukan kewangan untuk menubuhkan sekolah-sekolah agama mengikut permintaan rakyat. Saya perhatikan ahli ini hanya memberi penjelasan yang tidak membawa kepada satu rumusan.Ia sekadar berkongsi pengalaman kerja sahaja.
Ada juga ahli yang cuba menyarankan supaya jika kekurangan peruntukan maka seharusnya ada usaha dipihak lain membantu dalam hal ini seperti peruntukan Zakat yang ada di negeri-negeri berkenaan. Ataupun ada penggembelingan usaha dari warga Islam yang kaya-kaya untuk menubuhkan sekolah agama Integrasi yang modern dan canggih supaya pelajar-pelajar yang keluar dari Institusi seperti ini dapat menerajui bidang-bidan tertentu dan juga menerajui kepimpinan negara. Mungkin sudah ada kesedaran orang-orang kaya ke arah ini. Sehingga kini saya tidak nampak kesungguhan pihak kerajaan untuk menerajui dan memperluas usaha ini.
Saya pada mulanya tidak mahu mengambil bahagian dalam perbincangan ini memandangkan masa terhad dan apa jua nanti yang kita katakan hanyalah berbentuk pendapat dan tidak membawa ke mana-mana kerana rata-rata kami adalah pesara. Tetapi di saat akhir saya mengatakan juga bahawa kalau kita mahukan perubahan dalam sistem kita, maka wajarlah kita berfikiran besar. "Think Big". "Go beyond Borders", "Think outside the Box" dan sebagainya. Jikalau kita menyatakan yang biasa-biasa seperti: "Apa nak buat, perlembagaan kita kata begitu", atau "apa nak buat Akta Pendidikan kita kata begitu" dan lain-lain sepertinya, ia tidak bermakna apa-apa. Jika pemikiran kita berputar-putar di takuk yang sama, maka saya pasti tidak ada kesudahan yang akan membawa pembaharuan yang benar-benar bermakna..Iaitu tidak ada nilai tambah dalam perbincangan kita dan tidak ada nilai tamabah dalam hasilnya. Ramai antara kita telah dilatih dan didedahkan untuk berfikiran di luar kotak, dan ramai pegawai-pegawai tertinggi dihantar ke Harvard dan lain-lain Institusi sepertinya, tetapi saya tidak sangat terkesan dengan kedudukan mereka.Saya merasakan ramai yang mengambil jalan mudah, ataupun jika mereka sanggup menjalani jalan-jalan yang susuah, objetif tindakan itu tidak jelas. Kalau objektifnya jelas, strateginya pula longgar dan tidak efficient. Ini berlaku mungkin kerana ada semacam tekanan untuk berbuat sesuatu dengan tergesa-gesa tanpa perancangan rapi. Mungkin ini disebabkan wujud sesuatu kepentingan yang tidak jelas dan hala tujunya pun tidak jelas dan ia di luar kawalan prinsip pengurusan yang biasa.
Tetapi bila sudah bersara ada diantara kita yang berani memperkatakan sesuatu. Tetapi yang diperkatakan itu pun dalam bentuk membela tindakan yang sudah dilaksana waktu dulu-dulu. Saya dapati ramai pegawai kerajaan bila bercakap sesuatu ia suka sendeng kepada membela diri. Iaitu seperti cuba menutup kelemahan yang sekarang baru disedari.Saya percaya selepas bersara ramai yang terfikir-fikir sama ada tugasan mereka dahulu sudah tepat dengan kehendak Syarie. Selepas bersara ramai yang mendekatkan diri dengan majlis-majlis ilmu sama ada di masjid atau di tempat-tempat lain dan ramai yang merasai ada arah perjalanan yang telah tersasar. Tetapi setelah bersara tidak banyak yang boleh dilakukan kerana rata-rata persara sudah tidak ada kuasa untuk mempengaruhi pihak yang berkuasa. Maka eluklah pegawai-pegawai muda sekarang memperkemas dan memperlengkap diri dengan semua bentuk ilmu supaya segala perancangan dan perlaksanaan program dan aktiviti dalam perkhidmatan awam dapat menuju sasaran seperti yang dituntut dalam Islam. "Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian..........".
Tetapi Ustaz mengatakan, rasa sesalan itu juga adalah rahmat Allah kerana kita boleh bertaubat dan berusaha memperbetulkan nowaitu dan memastikan jalan-jalan kehadapan selari dengan yang dituntut atas kita. Maghfirah Allah maha besar dan maha Luas. Semoga kita diterima dalam pelukan kasih sayangNya.
Dengan yang demikian, kalau kita benar-benar ikhlas mahu meneruskan usaha mahu mendekatkan diri pada Allah maka kita kena meneroka ruang-ruang baru yang dahulunya kita tidak ambil kira dan ambil berat. Jika kita manu memberi sumbang membangunkan masyarakat dan negara, kita boleh bergabung dengan badan-badan sukarela yang banyak tertubuh di negara kita ini. Dan saya kagum kerana orang-orang muda sekarang sudah ramai yang menyedari pentingnya mereka bergerk berkumpulan dalam badan-badan yang digelar NGO untuk menegakkan kebenaran. Jikalau di saluran rasmi tidak boleh, Allah membuka banyak saloran yang lain. Hanya kita yang perlu memperkuat komitmen kita ke arah itu. Sekurang-kurangnya kita berusaha "berkempen" pada anak cucu kita tentang apa yang patut dibuat dan apa yang patut di ubah. Semoga kita tidak asyik membela tindakan kita yang dahulu.
Begitulah sedikit sebanyak rasa hati yang diluahkan dalam sessi kecil di masjid pada pagi itu. Jika entry ini bunyi seperti tidak teratur, begitulah karenah orang pesara. Banyak yang ada dalam kepala tetapi sudah tidak lancar dan articulate dalam memperkatakannya. Orang muda-muda jangan tunggu tua sampai sudah lanjut usia untuk berbuat sesuatu yang luar biasa. Harus bersifat berani kerana benar. InsyaAllah berjaya.
Saya sendiri rasa insaf kerana saya juga banyak kelemahan dan kekurangan.Sama-sama kita berdoa semoga Allah memperbetulkan cara kita berfikir dan cara kita bertindak demi kesejahteraan anak cucu khususnya dan negara amnya dan semoga Allah mengampunkan segala kekurangan dan kesilapan dan masih membuka peluang untuk menabur bakti sebagai bekalan ke akhirat nanti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment