"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, April 26, 2011

RINDU SEORANG TEMAN





Hilanglah  kerinduan.
Teman rapat saya, Jawar (berdiri) baru mula pulih setelah menghidap serngan jantung pada pertengahan tahun lepas. Teman saya yang lain mengaturkan "a special reunion" pada hujung minggu yang lalu untuk kita bertemu santai sambil mengeratkan lagi kasih sayang antara kami sebagai teman akrab sejak 40 tahun yang lalu. Kami bersama di English College Johor Bahru. Tetapi kenangan manis saya bersama Jawar terjalin rapat semasa tinggal bersama di asrama Sultan Ibrahim Girls School pada pertengahan tahun enam puluhan. Jawar adalah pesara guru bahasa Inggeris, (pelajar pertama di Sekolah Tun Fatimah yang mendapat A1 dalam bahasa Inggeris peringkat 'Sijil Pelajaran Malaysia' ketika itu).Ia gigih dan bersemangat waja..

Seharian dan semalaman kami bercerita-cerita pengalaman hidup sebagai dewasa dan warga tua. Kali ini Jawar lebih mentarbiah kami mengenai amalan-amalan  yang harus diperkuat memandangkan masa kami telah sangat hampir  menemui garis penamat.  Rasa seronok disulami rasa sebak dan sayu betapa kerdilnya kami dan betapa jauhnya kami dari pangkuan Ilahi. Air mata sesalan dan kesyukuran bersilih ganti. Rasa sedih juga turut dirasai  kerana  mungkin inilah kali terakhir kami dapat bersama sebegini kerana umur kami semuanya sudah senja dan masih banyak tanggong jawab sebagai seorang mukalaf mukmin yang belum terlaksana.

Kami solat berjemaah sedayanya dan Jawar akan memberi KULTUM (kuliah tujuh minit). Walaupun sudah hidup sebegini lama masih ada sahaja ilmu yang belum kami kuasai untuk diamalkan hingga sempurna. Di celah-celah pertanyaan dan penjelasan itu kami akan berpelukan erat-erat semoga ilmu yang kami kongsi Allah berkati dan semoga kami masih diberi masa menghayatinya.

Di awal pagi selepas sarapan saya mengambil kesempatan melihat taman bunga di sekeliling rumahnya. Dalam keadaannya yang kurang sihat Jawar masih membelai bunga-bunganya dan mensyukuri nikmat Allah yang dikurnia. Katanya, kalau senang kita mensyukuri kesenangan, dan ketika diuji kita mensyukuri ujian. Setiap ujian adalah seperti Allah menegur kita dan memberi peringatan agar kesetiaan  tidak menurun dan malahan meningkat  dalam pengabdian diri  padaNYA. Semasa di rumahnya saya merasai seperti mendapat perhatian malaikat-mlaikat rahmat yang menurut perintah Allah untuk melindungi kami. Saya berdoa semoga hakikat  rasa ini berterusan hingga keakhir nanti.

Gambar berikut adalah sebahagian keindahan yang dapat saya rakamkan.Alhamdulilah, kesyukuran yang tidak terhingga.

Jawar di taman sebelah hadapan

Bunga digantung di porch kereta

Menunjukan pada saya tanaman yang boleh menjadi penawar asli.

Dua orang teman yang bersama saya tetapi malu bergambar nyata.


Bunga-bunga lainnya, indah belaka.
Kini teman saya ini adalah guru alQuran. Ia mengajar Tajwid dan sedang menyempurnakan bidang sanad dimana nanti bila sudah tamat teman saya ini boleh ditauliah sebagai seorang yang boleh 'memberi' sanad pula pada yang lain. Saya sungguh kagum dengan kegigihannya. Selain mengajar, beliau juga belajar dan antaranya ialah Harfiah AlQuran dan ilmu perubatan alternatif dan tradisional. Jadual hariannya penuh dengan kerja-kerja kebajikan, terutamanya dalam bidang pendidikan. Ia mempunyai enam orang anak dan kesemuanya sudah berumah tangga.Alhamdulilah.


Ini gambar suaminya bersama suami saya. Namanya Mohd. Radzi Poh Abdullah. Teringat akan besan saya  yang namanya ialah Mohd. Alwee Wee Abdullah. Ada persamaan yang amat menggembirakan hati-hati kami. Kasih sayang keluarga amat erat sekali dan kami juga merasai seperti sebahagian dari keluarga ini. Suaminya membawa kita ke rumah perawat reflexology dan urut tradisional. Sangat bermunafaat bagi kami dan semoga kami dapat kesana lagi bagi rawatan susulan.



Semoga Allah kurnia bagi kami kesihatan dan kesejahteraan dan memelihara dan sentiasa membimbing  kami ke jalan yang sempurna untuk bertemu denganNYA nanti.
Ya Allah ampunilah segala kesalahan, kelemahan dan kekurangan kami dan semoga di akhir perjalanan nanti kami dikumpulkan bersama tanpa hisab di syurga pilihan kami bersama semua yang kami kasihi dan sayangi.
Ameen ya Rabbal'alameen.

2 comments:

Makbonda61 said...

Ameen ya Rabbal'alameen.

Masyaallah,masyaallah.Doakan sekali agar kehidupan saya juga berpenghujung seperti itu.Itulah Idola kecil saya selepas para isteri Rasulullah SAW dan para isteri sahabat baginda.

ngasobahseliman said...

Ya Makbonda. Sama-sama kita doa dan terus berdoa semoga kesudahan kita Allah kurnia kesempurnaan di sisiNYA. Ameen.

Related Posts with Thumbnails