"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, July 30, 2011

BERINGAT MENJELANGNYA RAMADHAN KAREEM

Seminggu sebelum Ramadhan.
Hati berdebar-debar mengingat sama ada diri ini akan menjadi tetamu di bulan mulia. Hari ini Sabtu 30 Julai. Puasa mungkin esuk, mungkin lusa. Masih belum pasti. Hati ini mengintai-intai bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua yang ingin menghapirkan diri pada yang maha Pencipta setapak lagi.

Kelmarin saya pulang dari rumah anak saya di Putrajaya. Dahulu saya jadi "nanny" dan jadi "bibik". Kali ini saya jadi "supir"  pula., menghantar anak-anaknya ke kelas pra-sekolah dan nursery bimbingan kanak-kanak. Mulanya saya bercadang untuk merancang dengan suami saya apa yang akan kami lakukan untuk Ramadhan kali ini. Saya baru habis membaca buku Hasrizal "SECANGKIR TEH, PENGUBAT LETIH", satu buku travellog tarbiah. Saya tertarik pada konsep yang ditekankan iaitu "Erti hidup...Pada memberi".






Maka saya ikhlaskan hati untuk memberi khidmat "supir" pada anak saya. Ia memberi pada keluarga. Itu sebagai permulaan. Saya memujuk sebelah hati saya yang kadangkala berfikir mengapa dalam umur hampir 65 ini saya menjadi "supir". Hati yang sebelah lagi berkata: sepatutnya bersyukur kerana dalam umur itu saya masih mampu memandu kereta. (Teringat seorang teman Blog yang menggelar saya  'Embah Rempit' kerana boleh memandu 170km sejam di lebuh raya). Maka berebut-rebut hati ini menyebut : alhamdulilah.

Erti memberi bukan semestinya wang ringit. Maka dengan  tugas seminggu menjadi "supir" saya mengharapkan dapat membakar semangat untuk terus MEMBERI apa jua yang baik pada siapa jua dan bila-bila masa jua. Bulan Ramadhan Kareem...... semoga saya dapat menghayatinya dengan semangat memberi. Harizal juga bercerita dalam blognya mengenai menderma organ kita bila kita mati. Di situ juga letaknya semangat "MEMBERI". Tidak semestinya pada orang Muslim sahaja. Allah berhak atas kesemua ciptaanNya, dan Dia mengurnia juga pada mereka yang tidak beriman. Maka apalah kita! Nak berkira pada siapa kita memberi?

Dalam kes ini saya tidak bolelah memberi organ saya kerana semuanya sudah "reput" Maka saya hanya boleh menggalakan anak saya yang kini berumur 30 tahun untuk menyambut seruan "memberi" itu. Seminggu menjdi "supir" memberi saya kesempatan untuk membaca dan mecerdikan diri. Alhamdulilah.



Tetapi diselit-selit itu saya terfikir-fikir juga tentang quality pendidikan cucu saya yang saya hantar dan ambil setiap hari dari rumah ke sekolah dan balik pula. Di sebelah ini adalah  gambar sekolah cucu sasa. Di Putrajaya pastinya  semua canggih dan mewah. Tetapi saya masih bingung dan keliru kerana cucu saya belum mencapai kematangan yang sewajarnya memandangkan pada Januari 2012 ia akan, insyaAllah, melangkah ke tahun satu sekolah rendah. Adakah ini kelemahan dan kekurangan ibu bapanya atau kekurang guru dan sistem di sekolahnya. Ia belum boleh menulis dengan betul dari segi teknik dan belum boleh bercerita apa yang dipelajari di sekolahnya apabila saya bertanya padanya.


Saya dahulu berkerja di Kementerian Pendidikan dan dan menjadi salah seorang ahli dalam Mesuarat Perancangan Pendidikan. Saya juga menjadi ahli dalam beberapa mesuarat lagi yang ada kaitan dengan penubuhan secara rasmi peringkat pra-sekolah dan pengambilan guru-guru terlatih dalam bidang "early childhood education" dan berbagai lagi yang berkaitan dengannya. Sudah hampit 9 tahun saya bersara dan pastinya hal ini bertambah baik. Tetapi apabila saya melihat akan kemajuan cucu saya,  saya menjadi keliru dan kebingungan. Adakah ini berlaku pada cucu saya sahaja atau pada yang lainnya. Adakah kerana cucu saya ini yang punya bebagai kekurangan.  Malangnya saya tidak ada 'locas-standi' untuk berbincang dengan pihak sekolah dan guru. Maka saya mencadangkan pada anak saya untuk membangkitkan hal ini kerana anak saya juga berkhidmat dengan kerajaan dan di harap ia memudahkan untuk kefahaman.

Ini fikir-zikir bagi saya menjelang Ramadhan. Mendidik dan terus mendidik diri untuk peka tentang apa yang berlaku di sekeliling dan berbuat sesuatu yang membina. Cantik sungguh Islam itu. "Never too young, and  Never too old" untuk memulakan sesuatu yang baik. Semoga Allah akan terus menyemarakan semangat ini hingga keakhir hayat saya. Ameen.




Dalam pada itu dan dalam semangat kedatangan Ramadhan Kareem , besan saya da ibunya datang berziarah dari Kedah dan tinggal bersama anak saya untuk beberapa hari. ( Besan saya adalah sepeupu suami saya). Malam tadi kami meraikan mereka dengan makan malam di restoran di Shah Alam.

Budaya merai saudara-mara adalah suatu yang kami titik beratkan dalam hidup berkeluarga . Ini juga ada kaitannya dengan 'nikmat hudup pada memberi'. Anak saya akur dengan nasihat kami yang tua semoga sentiasa menginfak sesuatu  setiap masa, terutamanya nanti di bulan Ramadhan.










Semoga di bulan Ramadhan ini Allah mengurniakan segala nikmat, mengampunkan segala dosa-dosa  dan dikhirnya kami dianugerah title "HAMBA" dan dapat bertemua di Syurga Firdaus dengan semua yang kami cinta kerana Allah semata-mata.

Friday, July 22, 2011

TEMBOK ANTARA DUA HATI





Apabila saya memerhati anak-anak saya  dan anak-anak saudara saya berkerja mengejar kerjaya, bekerja untuk menjadi seorang yang professional dalam bidang yang diminatinya, bekerja untuk mengejar kesenangan dari segi kebendaan dan berbagai lagi yang tersirat,  saya tertanya-tanya diri saya  akan beberapa perkara yang saya ingin benar untuk berbicara berterus terang dengan mereka. Tetapi sering kali saya khuatir kerana pada hari ini anak-anak muda jauh berbeza dari anak-anak muda di zaman saya. Tetapi bila saya fikir kembali, emak saya dulu pun kata anak muda zaman saya berbeza dengan anak muda di zamannya. Maka nyatalah bahawa  wujud banyak perbezaan antara satu generasi dengan generasi yang lain. Perbezaan ini tidaklah salah.  seharusnya ada perbezaan mengikut zaman. Itu satu kelumrahan perkembangan dan pembangunan Tamadun  manusia.

Cuma yang saya ingin perkatakan di sini ialah fakta perbezaan  itu sendiri. Ada perbezaan yang  membuahkan manafaat pada diri sesaorang tetapi ada juga perbezaan yang tidak memnyumbang kepada kebaikan.  Malahan ada bentuk perbezaan yang dipengaruhi oleh suatu pemikiran yang tidak diasaskan pada "Ilmu Yang Benar". Dengan lain perkataan ia itu perbezaan yang hanya mengikut cita rasa hati tanpa bersandarkan nilai-nilai murni, Sering sekali saya memerhati perbezaan itu datangnya dari ilmu  yang didatangkan oleh pengaruh Barat atau mana-mana pengaruh kebudayaan asing. Walaupun  ia nampak benar, tidak semestinya ia benar. Apakah bentuk kayu ukuran yang menentukan sesuatu itu benar atau tidak benar.  Disinalah yang selalu menjadi masaalah bagi saya apabila saya ingin  berkomunikasi dengan anak-anak muda di sekeliling saya.

Saya melihat fenomena ini seperti dinding antara saya dengan mereka. Dengan lain perkataan, saya lihat itu sebagai tembuk pemisah antara dua generasi. Atau dengan lain perkataan: Tembuk Antara Dua Hati. Tembuk ini boleh jadi  ia berkisar atas fakta psikologi  atau  mungkin juga atas fakta reality.

Bukan menjadi tujuan saya di sini untuk berbahas secara professional kerana saya bukan seorang professional dibidang itu. Saya hanya ingin berbicara sebagai warga tua yang telah lama melalui hidup dan kehidupan dan telah lama melihat gelagat, karenah dan perilaku sesetengah anak-anak muda sekarang yang saya perhatikan secara rambang. Mungkin pemerhatian saya tidak tepat dan munkin ia salah sama sekali.  Walaubagaimana pun  saya ingin mengatakan sesuatu mengenainya  Semoga  apa yang saya katakan ini  sedikit sebanyak ada  relevannya ke atas mereka dan siapa jua yang berada di sekeliling mereka.


Lihat sahaja bentuk permainan si anak kecil ini. Ia jauh berbeza dari zaman saya kecil dahulu. Ia melambangkan betampa kompleksnya sesuatu "pemmainan" yang sebenarnya melambangkan sesuatu pemikiran. Mungkin pada anak kecil ini  wujud seorang dewasa yang boleh membantu. Kalau tidak munkin ia akan  mencubanya secara "trial and error". Mungkin  ia mendapat penyelesaian  tetapi  mungkin juga tidak. Di dalam realtiy hidup, kita seharusnya mencari penyelesaian yang sebaik mungkin. Jika kita membiarkan masaalah itu belarutan dan menanti sahaja  waktu atau masa menyelesaikannya, maka ia boleh menimbulkan implikasi lainnya. Sebagai  seorang dewasa atau seorang tua pada anak-anak muda, saya rasa amat terpanggil untuk menyumbang fikiran. Tetapi  saya sering rasa terkedu  dan terhenti  apabila anak-anak muda tidak mahu mengajukan masaalah mereka kepada kita semata-mata kerana mereka tidak mahu menyusahkan orang tua. Itu yang mereka katakan secara zahirnya. Tetapi mungkin ada sebab-sebab lain. Kita kenalah menilai sendiri apa yang tersirat di hati anak-anak muda kita sekarang via-a-vis peranan orang dewasa atau orang tua.

Hati kecil seorang yang tua kadang-kadang merasakan bahawa mereka  menyangka bahawa ilmu dan pengalaman kita sudah tidak sesuai dengan bentuk masaalah yang anak-anak muda hadapi. Mungkin benar. Dan selalu dikatakan ada "generation gap". Entah kenapa saya tidak mahu menerima 'hakikat'  ini tanpa bukti nyata. Pada saya  "generation  gap" hanya wujud pada hal-hal yang berkaitan  dengan perkembangan sains dan teknologi. Selain itu tidak ada perbezaan antara generasi yang tidak boleh dibincangkan. Kalau semuanya  wujud fakta 'generation gap' mengapa pula kita memepelajari 'sirrah' Rasulullah saw. Pastinya ada prinsip-prinsip hidup yang terus hidup  dan relevan selagi ia diasaskan pada alQuran dan hadith dan lain-lain hukum hakam yang didasarkan atasnya. Sememangnyalah  orang tua  bukan Rasulullah, dan bukan Sahabat dan bukan alim ulam' pun. Tetapi secara umum nya orang yang lebih dewasa atau lebih tua pastinya mempunyai sekurang-kurangnya 'kebijaksanaan" atau 'wisdom' yang boleh dijadikan pedoman ketika mengambil tindakan dalam menyelesaikan sesuatu masaalah. Tetapi berasaskan  pengalaman saya kini, fenomena ini amat jarang berlaku. Saya kurang arif sama ada ini benar pada orang-orang dewasa dan orang  tua selain saya.

Tembuk pemisah antara dua hati  dan antara dua generasi saya perhatikan (walaupun secara rambang) wujud bukan dalam setengah-setengah  keluarga sahaja tetapi ia merupakan satu fenomena yang agak meluas yang harus diberi perhatian oleh sesiapa jua yang faham mengenai hal ini seperti Institusi-instituisi penerangan atau pun pihak-pihak  yang peka mengenai pembanunan keluarga dan masyarakat. Jikalau hanya ada "digital divide" antara generasi, ini tidak membimbangkan. Tetapi jika ada tembuk pemisah yang menghalang jalinan kasih sayang dan keyakinan kepercayaan (trust) antara dua generasi maka ini amat membimbangkan. Mungkin fenomena ini melampaui sempadan bangsa, budaya dan agama dan mungkin juga tidak. Kalau dari segi Islam, fenomena ini boleh melemahkan kekuatan keluarga dan masyarakat.

Bukankah ini berbahaya dari segi survival ?


Tuesday, July 19, 2011

MAWAR KU


Ini adalah salah sebuah gubahan bunga mawar di FLORIA 2011 di Putrajaya minggu lepas.
MasyaAllah! Indahnya bunga-bunga yang di pamerkan. Saya terpegun menikmati keindahan ciptaan yang Maha Pencipta. Maka alQuran bertanyakan beberapa kali dalam surah Ar-Rahman:
"Maka nikmat Allah yang mana yang hendak kamu dustakan?"

Mawar adalah antara bunga yang termahal di Malaysia ini. 
Mungkin bunga-bunga ini didatangkan juga dari luar negara, saya kurang pasti kerana ada bunga mawar yang belum pernah saya lihat lagi. 
Tiada bayaran untuk masuk melihatnya. Bagi saya ia menjadi sebahagian dari aktiviti metadabbur alam.
Namun saya tertanya-tanya pihak mana yang membiayai projek ini kerana saya di situ sangat sebentar dan tiada kesempatan bertanya atau membaca. 
Bunga-bunga  Mawar ini  melambangkan kemewahan.

Maklumlah saya berasal dari kampung dan hidup keluarga saya dahulu tiada kemewahan untuk mengecap nikmat seperti ini. Teringat sejarah diri waktu itu saya sekeluarga berkerja  kuat  bagi  sesuap nasi untuk beberapa kali dalam seminggu.
Di sini kelihatan kemewahan yang amat sangat  yang terdapat dari punca bunga-bungan sahaja.
Warga di kampung masih ada yang miskin, dan mungkin juga masih ada yang lapar.
Saya masih belum dapat menghubungkan dua fakta ini, iaitu kemewahan vs kemiskinan dalam kontek ini.
Selalu sahaja saya berfikiran yang kadangkala orang di sekeliling saya sukar memahami.
Saya sensitif dengan hal-hal kemewahan yang tidak dikongsikan bersama.
Semoga kemewahan ini dapat mengangkat mertabat warga yang miskin.
Pastinya kebarangkalian ia boleh  itu besar kerana tiada ciptaan Allah yang batil dan sia-sia.
Kita perlu berfikir-fikir.


Monday, July 18, 2011

TIDAK KENAL TETAPI TETAP CINTA @ Dr LO' LO' GHAZALI







Saya sayang pada YB Dr Lo' Lo' walaupun saya tidak mengenalinya secara peribadi.
Saya amat kagum dengan semangat perjuangannya untuk menegakan Kebenaran Allah swt tidak mengira penat lelah dan dalam keadaan apa jua pun.
Saya kecewa dengan diri saya kerana saya tidak beringat untuk berjuang sepertinya.
Saya bersedih dengan pemergiannya dan berdoa semoga Allah mengampuninya dan merahmatinya dan mengurniakan Syurga Firdaus baginya. Semoga ramai generasi muda yang akan mewarisi kewibawaannya dan akan meneruskan perjuangannya  hingga tertegaknya Islam di Bumi ini dengan pertolongan Allah jua.

"Dari Allah Kita Datang, Kepada Allah Kita Kembali".


Sunday, July 17, 2011

"SEDANG DISIBUKAN".

Sememangnya dalam hidup ini kita sentiasa berkejaran memburu masa. Ada kalanya penat lelah tidak dirasa tetapi ada kalanya ia menguji keikhlasan jiwa.





Di rumah Darul Tauhid, Bandung menanti untuk pulang pada 29 Jun.



Di akhir Jun saya berada di Garut dan Bandung bersempena Perasmian Situwangi Boarding School. Waktu itu juga saya mendapat seorang lagi cucu. Cuma kali ini rasa cemas kerana anak saya tiada pembantu dan 3 orang anak yang sedia ada semuanya hero-hero belaka.



Besan saya mengambil giliran untuk hari-hari mula. Saya mengambil alih membantunya selepas memenuhi janji untuk bersama dalam aktiviti Muslimah Masjid di Kampung Tunku Sabtu 30 Jun berikutnya. Suasana silaturrahim ceria dan ahli yang ada nampak seronok mengikuti aturcara yang ada. Saya menawar diri membaca sajak untuk selingan halua telinga dan semoga mencuit rasa mengenai perjalanan hidup kita. Sajak saya bertajuk "UMUR KU". (Sila lihat entry di sini)
Alhamdulilah, Ada yang suka, ada yang diam sahaja. Saya terima apa jua kerana pengalaman hidup tidak sama dan tidak serupa.


Saya dan antara teman -teman masjid yang selalu bersua.

Selepas program, saya ke Putrajaya mengambil tugas "Nanny" dan "Bibik". Penat tidak terkira. Apakan daya, hampir mustahil untuk mendapatkan pembantu ketika ini. Anak saya sudah 3 bulan berusaha. Saya dan anak cuba tenangkan diri dan berkata: "Kita harus yakin pertolongan Allah itu dekat asal sahaja kita bersungguh untuk mengikhlaskan segala amalan dan sentiasa mempertingkat iman dan taqwa". Islam mengajar kita untuk sentiasa bersabar.

Di celah-celah masaalah yang ada, timbul pula masaalah pendingin  udara rosak. Ada bilik lain yang dingin tetapi terpaksa naik tangga. Apakan daya di umur emas ini. Saya tinggal saja di bilik bawah bersama anak dan cucu yang baru. Saya pujuk diri dengan mengingat hakikat bahawa di Padang Masyhar nanti lagi dahsyat panasnya jikalau tidak mendapat Rahmat Allah. Maka insaf buat seketika. Semoga sentiasa insaf akan kekerdilan diri kita, saya kata pada anak saya.

Saya pulang ke rumah sehari  pada 12 Julai untuk temu janji dengan Dr Cardiologist saya. Berita kurang baik, tetapi saya senyum sahaja bila Dr menyatakan kekhuatirannya. Diberinya saya ubat baru sebagai tambahan untuk dibeli kerana farmasi biasa di Hospital tidak menyimpannya. Ini bermakna ubat ini mahal. Oleh kerana saya pesara kerajaan Dr kata tidak mengapa kerana saya boleh tuntut balik dari Jabatan Perkhidmatan Awam. Berdetik di hati saya. Apakah maut memilih siapa mampu beli ubat dan siapa yang tidak. Terdiam sahaja dan cepat-cepat beristighfar. Kita berusaha. Allah menentukan. Saya sentiasa mememohon ampun kerana cuai menjaga kesihatan dari muda lagi. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian.....................

Kemudian balik semula saya ke Putrajaya. Sudah dua minggu saya tidak menghadiri semua kuliah / kelas "ilmu yang benar". Saya jangka ia  akan menjadi 3 minggu saya ketinggalan di belakang. Hanya mampu berdoa Allah beri saya ilmu mengikut cara lainnya. Saya bertekad  bahawa membantu yang berkeperluan pun suatu tuntutan dalam Islam, walaupun ia dalam keluarga.




Dalam kelang-kabut kerja rumah harian, cucu yang berumur 4 tahun terlepas keluar dari rumah dan melarikan diri tidak dapat dikesan. Ia amat laju berlari. Cucu ini bernama "AKIF". Pernah saya ceritakan dahulu yang ia istimewa kerana "terlalu" aktif dan tidak mudah berhubungan  dan berkomunikasi dengannya. Untuk pendekan cerita, Si Ibunya terpaksa menguatkan diri  pergi mencarinya. Kebetulan biras saya ada berziarah dan beliau memandu kereta. Kereta suami saya rosak dan suami saya tidak sihat sudah beberapa hari dan saya menjadi jururawatnya. Bentuk ujian Allah siapa yang boleh menduga. Akif ditemui di balai polis dihantar oleh sesaorang yang baik budi dan bertanggong jawab. Katanya dia merayau rayau di jalan besar dekat simpang empat lampu isyarat sejauh 2/3 kilometer dari rumah. Allah maha mengasihi anak-anak tidak berdosa dan akhirnya berjumpa sihat dan selamat. Alhamdulilah, bersyukur tidak terkira.

Begitulah kisah saya "sedang disibukan". Dalam pada itu saya katakan pada anak saya bahawa  saya perlu "relax" sedikit supaya darah tinggi saya tidak huru-hara. Maka saya berkejaran mencari masa keluar  sebentar dengan biras saya untuk menjamu mata di projek Expo Bunga-bunga (FLORIA 2011)  di precint 'saya tak ingat' tetapi dekat dengan bangunan pejabat  kerajaan. Saya lega buat seketika menikmati keindahan kurniaan tuhan yang maha pencipta dan maha bijaksana. Alhamdulilah. Nikmatnya tidak terhingga. Saya rakam di bawah ini beberap snap-shot untuk kenangan.







Semoga Allah kurnia pada saya dan keluarga Rahmatnya yang tidak terhingga. Semoga Allah masih memberi peluang dan ruang untuk berbakti pada siapa jua. Kita bermula dengan keluarga. Jika setiap keluarga kita kuat dan sejahtera, maka akan  kuatlah masyarakat dan negara dan umat sejagat seterusnya. Semoga Allah memperkenan dan meredhai kita semua.
WaAllahua'lam.

Tuesday, July 12, 2011

RINDU RAMADHAN DI BUMI SUCI


Ramadhan kini menjelang lagi.Teringat akan Ramadhan yang lalu, ketika itu berada di Tanah Suci. Dengan Rahmatnya dapatlah merasai damainya hati sanubari mendengar alunan alQuran saban hari bersama jemaah yang terpaut hati dengan amalan-amalan ruhani yang memeteri keimanan dihati.
Saya rindu suasana Masjid yang memaku perasaan dan ingatan pada Illahi dan ingin ke sana lagi. Tetapi teringat juga bahawa ibadah itu hanya untuk diri. Kita perlu juga berbakti pada insan-insan yang memerlui bekalan hidup asasi yang mereka belum mampu untuk menyara diri hidup berdikari. Ibu selalu berpesan. Ibadah pada diri ganjarannya terhenti bila kita mati. Berbaktilah pada anak-anak yang mahu menuntut ilmu yang dengannya akan terbangun dunia ini seperti yang dituntut oleh yang maha Pencipta dan yang maha Menghendaki. Islam akan tertegak kuat dengan ilmu, semua jenis ilmu. Ilmu yang dapat menyemarakkan Iman dan Taqwa dan ilmu yang akan menterjemahkan iman dan taqwa untuk tamadun dunia ini.
 Terniang-ngiang nasihat ibu. Pergi ke Mekah tidak perlu selalu. Wang yang ada untuk insan lain menumpang sama. Tali Ikatan dengan Allah itu mesti, tetapi ikatan sesama manusia juga jangan sampai dilupai. Nasihat ini diulang-ulang, takut hati ini tersasar dari landasan.
Semoga tidak tersasar. Ini janji. Ibadah diri membina iman dan iman ini semoga mendorong untuk berbakti pada yang selain diri. Itu azam dihati dan masih menyimpan cita-cita untuk ke sana lagi. Semoga Allah memberi hidayah pilihan hati ini selari dengan tuntutan Ilahi.
Semoga dapat menunai kedua-duanya sekali. Untuk diri dan untuk yang menunggu dan menanti. Semoga ganjaran dari Allah berganda dan berterusan dan di akhirat nanti Allah meredhai. Ameen.

Monday, July 11, 2011

KEBENARAN TIDAK BERWARNA





Tugas kita dimuka Bumi ini ialah untuk menegakan kebenaran, Ia itu Kebenaran yang hak dari Allah jua. Kita bertekad kuat untuk menjunjung Kebenaran itu. Dan Kebenaran ini tidak memihak. Yang benar tetap benar, yang batil tetap batil. Dalam Islam ruang yang dibenarkan untuk berbeza hanya pada perkara-perkara kecil dan bukan perkara pokok. Itu pun ada kaedah-kaedah tertentu untuk kita berbeza.

Maka saya rasa sedih dan agak kecewa apabila pemimpin negara kita tidak memberi ruang dan peluang untuk rakyat memperkatakan sesuatu. Jika rakyat didengari melalui wakil di Parlimen sahaja, ini tidak mencukupi.Ruang untuk mereka didengari harus diperluaskan. Dan kalau kita amat yakin bahawa kita di sebelah yang Benar, maka apa yang hendak dikhuatirkan untuk memberi sedikit kebebasan pada rakyat. Allah sentiasa menyebelahi pihak yang benar. Semoga kita tidak tergolong dalam apa yang Allah katakan dalam surah As Saf ayat 2-3 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."
Jika kita berpegang teguh pada ayat ini maka saya yakin kebarangkalian rakyat rasa kecewa dan rasa marah menjadi tipis sekali. Apa lagi yang hendak dipersoalkan jika rakyat sudah benar-benar rasa terbela dan  kebajikannya diutamakan.

Pemimpin yang benar-benar memegang amanah Allah sebagai pemimpin, Rakyatnya akan rasa bahagia dan selesa seperti yang pernah wujud di zaman Rasulullah saw dan Sahabat-sahabat  termasuk Khalifah Umar Abdul Aziz. Tidak perlu lagi Rakyat mahu mewarnai diri-diri mereka untuk menunjukan rasa hati dan pendirian mereka. Merah tidak perlu, kuning tidak perlu dan kalau ada putih pun tidak perlu.Kebenaran tidak berwarna. Maka mengapa takut pada warna.

Semoga semua pihak terutamanya yang bertanggongjawab atas keselamatan dan kesejahteraan negara muhasabah diri. Kita tidak perlu tuduh menuduh siapa yang diperalatkan oleh kuasa-kuasa luar. Allah maha mengetahui apa yang dizahirkan dan apa yang disembunyikan. Masing-masing tanya pada diri masing-masing termasuk saya juga bertanya pada diri sendiri.Tetapi kita tidak boleh bertanya pada diri yang minda dan jiwanya kosong tanpa ilmu yang benar. Bertanya pada jiwa yang kering kosong adalah satu usaha yang sia-sia. Marilah kita minta nasihat dari guru dan pemimpin yang Mursyid untuk langkah seterusnya. Tiada siapa yang dapat belepas diri di hadapan pengadilan mahkamah Allah. Dia yang maha adil dan maha bijaksanan. Dia maha melihat, maha mendengar dan pertolongan Allah hanya pada mereka yang beriman dan bertaqwa. Buat apa yang disuruh tinggal apa yang dilarang. Semoga dengan cara ini kita semua selamat didunia dan di akhirat.
WaAllahu'alam.

Friday, July 8, 2011

INGATAN @ PELUPA



Keindahan dan keceriaan boleh membantu memelihara daya ingatan. Ini theory saya sendiri setelah melalui hidup sekian lama dan setelah berpengalaman menjaga seorang yang mengidap penyakit alzheimer, (saya sebut pelupa). Keceriaan bukan sahaja di dalam rumah tetapi juga di luar rumah. Tetapi lebih penting dari itu ialah keceriaan minda kita.

Semasa saya menjaga seorang yang melalui proses penuaan dan hilang daya ingatan agak awal dalam proses itu (pertengahan umur enam-puluhan), saya membaca maklumat di internet bagaimana harus saya boleh membiasakan diri dengan keadaan orang demikian. Antara yang saya baca ialah bagaimana keluarga  mendiang President Ronald Raegan menjaganya di umur tuanya yang juga mengidap alzheimer. Yang saya ikuti  ialah kita jangan menidakan permintaannya. Kita cuba memujuk dan membuat aktiviti yang ia boleh melupai permintaan nya. Contohnya, jika ia terlalu  sering minta makanan (ini tidak baik bagi pesakit diabetis) maka kita katakan ok dan katakan kita sedang memasak dan minta ia sabar menunggu. Jangan katakan ia baru makan dan tidak munasabah dia lapar. Ini akan membuat ia marah dan menjadi tidak tenang dan mungkin murong. Sebaik-baiknya kita elakan dari keadaan ini berlaku.



Tujuan saya menulis entry ini ialah untuk berkongsi makluamt, walaupun sedikit, agar kita sentiasa peka untuk tidak menyakiti  hati kawan-kawan , saudara-mara atau siapa jua yang dalam lingkungan umur pelupa. Bacalah buku atau apa jua kerana ini amat membantu untuk mengenal pasti mereka yang bernasib seperti ini atau yang ditakdirkan seperti ini.

Baru-baru ini saya melihat satu dokumentary yang membincang fenomena ini dan saya mendapat maklumat lanjut bahawa mereka akan sampai peringkat bukan sahaja tidak mengenal orang tetapi akan sampai peringkat ia tidak meminta makan walaupun dia lapar. Amat insaf saya melihatnya. Pada orang yang pelupa, ada yang sampai kepringkat tidak mengenali ahli keluarga, waima suami atau isterinya. Mendiang President Ronald Raegan tidak mengenali isterinya beberapa tahun sebelum ia meninggal dunia.

Dalam satu maklumat lain pula, seorang itu apabila didiagnos kes pelupa, tetapi belum serious lupanya, maka ia menyibukan diri dengan menulis apa yang ia mahu anak atau cucunya, atau siapa jua tahu mengenai dirinya atau maklumat penting lain yang mesti disimpan oleh keluarga jika ia samapi keperingkat lupa semuanya. Saya mengambil iktibar dari cerita ini dan itulah antara sebab saya menulis Blog saya ini. Semoga Allah melindungi.

Kita seharusnya berusaha untuk mengaktifkan pemikiran kita sentiasa semoga kita tidak menjadi pelupa. Dalam satu dokumentry pula saya mendapat maklumat bahawa menonto TV yang keterlaluan juga boleh menyebabkan kita menjadi pelupa kerana otak kita tidak aktif berfikir. Dalam dokumentary ini ia membawa kita dalam satu program dimana orang-orang tua belajar cara mempertahan diri seperti tae-kwan-do, karate atau sebagainya yang disesuaikan untuk warga tua. Mula-mula saya hairan mengapa perlu mengikuti aktiviti seperti ini. Rupa-rupanya ia diolah oleh fasilitator supaya ahli kumpulan ini melatih minda untuk berfikir cepat seperti bagaimana mahu mengelak serangan lawan. Dengan latihan seperti ini minda kita sentiasa alert atau bersedia dan dengan cara ini melambatkan proses lupa.

Dalam satu dokumentary lain pula pakar-pakar peyelidikan mengatakan penyakit ini adalah penyakit keturunan. Maka ini membuat saya dan suami berwaspada . Setengah ustaz mengatakan kita harus selalu membaca alQuran dan harus menyibukan diri yang menggunakan tenaga mental. Ini ikhtiar sahaja. Tidak ada satu formula yang sesuai untuk semua. Ini pemerhatian saya. Semasa saya menjaga seorang yang sakit itu, saya dan suami membantu juga dengan mendapatkan nasihat doktor memakan ubat yang boleh melambatkan proses cell-cell otak kita dari mati. Harganya agak mahal dan saya yakin untuk orang biasa-biasa tidak akan mampu membeli ubat-ubatan ini. Ikhtiar yang dalam kemampuan kita ialah sentiasa berdoa. Hanya Allah yang maha menentukan dan maha mengasihani.

Sekarang ini saya ada seorang kawan  (dahulunya senior saya dalam perkhidmatan) yang sudah agak jelas pelupanya. Tetapi kawan-kawan yang tidak memahami fenomena ini selalu sahaja memarahkan dia kerana dia suka bercerita perkara yang sama berulang-ulang kali dan dia susah menerima nasihat.Orang yang pelupa sememangnya susah menerima nasihat kerana dia tidak menyedari bahawa dia pelupa. Dan lagi dia akan lupa apa jua yang kita katakan dalam masa yang amat singkat.

Fenomena pelupa amat ditakuti oleh semua kita. Saya telah menjaga seorang yang pelupa maka, insyaAllah, akan sentiasa peka mengenai masaalah ini. Saya amat bersimpati. Dikalangan kita ada orang yang pelupa yang akan bersolat sentiasa. Katanya dia belum solat. Ada pula yang tidak mahu bersolat kerana sudah tidak nampak relevannya dalam hidup. Saya bersyur kehadrat Ilahi masih dikurniakan ingatan yang baik walaupun ada kalanya saya susah mengingati perkataan-perkataan atau nama-nama orang yang selalu kita berhubungan. Semoga Allah melimpah rahmatnya  pada kita semua  dan semoga kita tergolong dalam kumpulan yang tidak pelupa supaya kita tidak perlu dijaga dan diperhati dari dekat. Semoga Allah mengasihani dan kita boleh beringat hingga keakhir hayat.
Ameen.

Monday, July 4, 2011

FISH SPA






Masjid Iqra', bersih dan teratur.


Pengalaman  santai sampingan dengan SPA ikan-ikan menyeronokan perjalanan dari Bandung ke Garut baru-baru ini. Kami berhenti sebentar  untuk menunaikan fardhu Solat di Masjid Iqra'. Di situ ada kolam yang di sediakan untuk SPA percuma. Suami dan teman-teman lain mencubanya, tetapi saya "takut" dan hanya melihat sahaja.



Kerana terlalu teruja dengan pengalaman ini kami lupa bertanya nama ikan yang Allah cipta untuk kesejahteraan manusia. Dan kerana terlalu teruja, Syamil anak muda yang ikut bersama kami terjatuh cermin mata hitam kesayangannya. Satu pengalaman yang berharga.

Kami di situ tidak lama. Mungkin sejam atau kurang darinya. Namun saya bersyukur kerana mendapat pengetahuan baru. Setibanya di rumah saya menceritakannya pada keluarga. Kata anak saya di Petaling Jaya ini ada tempat khas bagi FISH SPA ini. Mahal bayarannya. Tidak mungkin saya ke sana.

Gambar kenangan dihadapan Masjid Iqra'.

Sunday, July 3, 2011

MENGABADIKAN KASIH SAYANG





Pemandangan indah, dingin, nyaman
di kampus SBS.

Situwangi Boarding School yang saya ceritakan sebelum ini lahir dari rasa kasih sayang para penaja utama yang mahu melihat anak bangsa tidak terpinggir dalam arus pembangunan yang semakin hari semakin mencabar. Ramai anak-anak bangsa yang berportensi tinggi dari segi kualiti pencapaian pelajaran di sekolah rendah tetapi ramai yang tidak dapat mengikuti  pembelajaran dan pendidikan yang bertersusun kerana ibu-bapa mereka tidak  berkemampuan. Maka dengan bersungguh-sungguh penaja-penaja yang peka dengan  masaalah masyarakat ini bertekad  untuk beramal dan berbakti  ke jalan  Allah. Mereka sepakat menubuhkan SBS  sebagai Institusi pendidikan 'alternatif' pada sistem yang ada. Di SBS pelajar yang cemerlang diberi biasiswa yang mencukupi untuk semua keperluan.


Wakil penaja, Ibu Hanifah  mengatakan bahawa:
"Amal jariah ini untuk ibu-bapa kami". Itu niat murni semua penaja. Kami ingin mengabadikan kasih sayang orang-orang tua kami.

Amat terharu saya mendengar pengakuan itu. Sejuk perut ibu mengandung. Betapa kasih sayang anak pada orang tuanya. Dan digambar sebelah ini yang sempat saya rakamkan ialah antara  pelajar-pelajar yang bertuah mendapat limpahan kasih sayang penaja budiman.

Oleh kerana projek ini semata-mata melambangkan kasih sayang kerana Allah, maka Ibu Hanifah mengatakan ia tidak diwarnai dengan kefahaman  aliran politik atau kefahaman tarikat Muhamadiah atau tarikat apa jua sekalipun. SBS  diasaskan pada fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang diharapkan tidak  mengundang salah faham masyarakat atau mana-mana pihak sekalipun. Dan dengan rasa tulus ikhlas Ibu Hanifah mengucapkan kesyukuran atas kepercayaan ibu-bapa pelajar yang  berkeyakinan untuk menghantar anak-anak ke SBS ini. Rasa kasih sayang dan falsafah pendidikan yang menekankan pada pembinaan perbadi pelajar yang berkeyakinan dan berjati diri ini diharapkan dapat melahirkan generasi anak bangsa yang berpegang kuat pada alQuran dan Hadith. Kurikulum mata pelajaran akademik yang sepadu dengan AlQuran dan Hadith akan dititikberatkan selaras dengan visi dan misi SBS yang mahu melahirkan individu yang berilmu, berketerampilan dan berakhlak mulia yang membolehkan individu ini berdikari dan boleh menerajui kepimpinan ke arah pembanguanan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat, negara dan umat sejagat.

Antara guru-guru yang tidak mengenal penat lelah membina pelajar pintar dan berjati diri.
Tahap kesungguhan dan semangat juang dan semangat pengorbanan diperhatikan jelas wujud
dihati guru-guru dan karyawan am di SBS ini. Alhamdulilah, dan semoga berterusan.

Pak  Mudir SBS, Ustaz Muhibbudin,  di kanan sekali bersama Pak Lurah
dan Pengerusi Yayasan Situwangi, Ibu Hanifah.
Datin Noraini di kiri sekali mewakili kumpulan kerja.

Antara program ko kurikula ialah membina keberanian pelajar berpidato dikhalayak ramai. Mereka diberi peluang menunjukan bakat dalam Majlis Perasmian, iaitu berpidato dalam Bahasa Arab, Bahasa Indonesia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Sunda. (Di Garut majoriti penduduk adalah keturunan Sunda).

Guru-guru di nasihatkan supaya membina pelajar-pelajar agar  berani berhubung
atau berinteraksi dengan orang-orang yang tidak dikenali, berani mengemukakan soalan yang wajar dan berani mempertahankan kebenaran.
Gambar di atas ini ialah suami saya menggalakan anak-anak supaya  tidak takut dengan 'strangers'

Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran ke atas Illahi. Permulaan yang ikhlas dari penaja dan semua pendukung-pendukung perjuangan untuk membentuk Generasi Qurani telah mula menampakan kejayaan. ILMU dan AKHLAK MULIA  adalah sasaran utama. Dua faktor ini amat penting untuk memastikan orang Islam boleh membela orang Islam di mana jua dan dua faktor inilah yang akan membuat musuh-musuh Islam gentar. Denagan senjata doa yang tidak berhenti-henti menerusi wasilah amalan soleh para wali semoga Allah sentiasa menolong dan meredhai usaha ini.
Ameen.

Saturday, July 2, 2011

MASIH ADAKAH GURU YANG HIDUP.





Dalam perjalan pulang dari Garut ke Bandung setelah selesai Majlis Kesyukuran dan  Perasmian Situwangi Boarding School (SBS), teman karib saya bertanya : Pada pandangan you, apakah faktor terkuat yang telah membantu kita dalam usaha  melaksanakan projek Pendidikan ini?

Saya katakan: Faktor Kewangan. Kemudian saya terus sambung : Kewangan adalah penting teapi faktor manusia adalah lebih penting. Yang terpenting adalah faktor Guru. Guru merupaka tonggak pada sistem pembentukan sebuah Institusi Pendidikan. Dalam Majlis perasmian tadi Yang Terhormat Pak Bupati Daerah Kabupaten Garut memulakan  ucapan perasmiannya dengan menekankan fakta guru. Katanya : Dalam sejarah Perang Dunia ke II, negara Jepun menyerah kalah setelah Bom Hydrogen digugurkan di Nagasaki dan di Hiroshima. Antara soalan utama yang mereka  tanyakan selepas itu  ialah : "Masih adakah guru yang hidup?" Ini hakikat yang penting kerana untuk sesebuah tamadun itu membangun Pendidikan menjadi teras kejayaan. Tanpa ILMU tidak akan ada tamadun.

Dalam alQuran ayat pertama yang diturunkan ialah IQRA' dan Malaikat Jibril AS mengajarkannya pada nabi  Muhamad SAW. Maka fungsi guru ialah mengajar dan mendidik. Guru yang berilmu dan berdedikasi dengan sokongan faktor-faktor lain akan menentukan kejayaan sesebuah Institusi Pendidikan. Alhamdulilah guru-guru yang ada di SBS telah menunjukan prestasi yang cemerlang. Saya yakin, insyaAllah, dengan pendedahan  dan latihan yang berterusan mereka ini akan dapat mencapai prestasi yang cemerlang untuk anak didik SBS.

Teman saya berkata lagi: Kalau kita pastikan pengambilan pelajar adalah dari kumpulan yang baik, maka tentunya prestasi akan menjadi seperti yang kita harapkan. Saya katakan: Pelajar yang berpotensi tinggi hanya memudahkan kerja guru. Faktor guru masih menjadi faktor penentu untuk menghasilkan prestasi cemerlang. Jika  guru tidak berilmu, tidak kreatif  dan tidak komited,  maka pelajar yang berpotensi tinggi pun boleh merudum prestasinya.

Demikian percakapan ringkas dalam perjalanan pulang. Walaupun kepenatan, alhamdulilah kami amat berpuas hati dengan kelicinan perjalanan  majlis dan sambutan penaja dan orang ramai yang amat menggalakan. Pihak penaja amat berpuas hati dengan perkembangan setakat ini dimana majority pelajar telah dapat menghafaz al Quran dari juz 26 -30 dalam masa 9 bulan. Kami  mengharapkan kemudahan-kemudahan asas pengajaran dan pembelajaran yang lain dapat dipenuhi secepat mungkin agar pencapaian prestasi mata pelajaran yang lain dapat dipertingkatkan. Dibawah ini saya rakamkan gambar-gambar pada majlis kesyukuran dan pelancaran Situwangi Boarding School yang telah diadakan pada 29 Jun 2011.

Barisan penaja dan tetamu undangan khas.

Ibu Hanifah, Ketua Yayasan Situwangi (penaja projek SBS)
memberi ucapan aluan

Yang terhormat Bupati Kebupaten Garut, Bapak Acheng H.M. Fikri, memberi ucpan perasmian.

Pelajar-pelajar yang telah dianugerah pengitirafan hafazan 5 juz.
Penduduk kampung datang beramai-ramai menyaksikan perasmian


Sebahagian pemandangan tetamu yang hadir dari kalangan masyarakat tempatan.
Ini kejayaan permulaan. Kami sangat bersyukur dan semoga SBS dapat terus mencapai kemajuan seperti yang telah dirancangkan.

Friday, July 1, 2011

SAMA-SAMA BERJUANG

Saya dan kumpulan kerja sekali lagi ke Garut, 3 jam dari Bandung pada 27 Jun yang lalu. Saya pernah ceritakan dalam entry yang lepas-lepas bahawa di Daerah Garutlah terletaknya Situwangi Boarding School, Sekolah menengah intergrasi di mana kami berusaha membantu penaja-penaja yang berjiwa besar dan berwawasan jauh demi perjuangan mencapai kesejahteraan ummah sejagat.


Kali ini kami ke sana untuk majlis perasmian Sekolah tersebut. Kami tiba 2 hari sebelum Hari Perasmian itu untuk membantu penyempurnaan majlis. Saya berkempatan berbual-bual dengan para karyawan (pekerja kebun) yang menjadi sebahagian kekuatan penubuhan Sekolah ini. Mereka berkerja di ladang dan hasilnya digunakan untuk menyenggara Sekolah tersebut.

Karyawan berhenti rehat makan tengah hari. Jauh di belakang ialah bangunan kampus sekolah.




Terharu rasa dihati melihat mereka sama-sama berjuang semoga projek pendidikan ini berjaya kerana ditempat  inilah julung-julung kali dibina sekolah yang berintergrasi, (ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah). Mereka memahami peranan mereka dan rasa bahagia menjadi sebahagian dari usaha ini.



Melihat mereka makan penuh nikmat mengingatkan saya semasa remaja dahulu membantu emak saya berkerja di kebun getah berhampiran hutan. Kami akan behenti makan seperti mereka makan bersam kawan terdekat di kebun besebelahan. Waktu itu saya rasa bahagia. Cuma bila dewasa dan tidak di tarbiah secukupnya, saya merasakan seperti kami tertinggal dipinggiran. Rupanya sekarang setelah memahami proses hidup berubudiah, barulah rasa terharu bersama mereka pada hari itu. Allah maha Mengetahui dan maha Bijaksana dan maha Adil. Tiada siapa yang duduk dipinggiran jika beriman dan bertaqwa hanya pada Allah jua.  

Pekerjaan atau kerjaya adalah wasilah kita berubudiah mentauhidkan Allah jua.Ustaz dalam kumpulan Jemaah kami selalu memberi motivasi bahawa kita tidak semestinya mempunyai harat berjuta-juta atau berbilon ringgit untuk membolehkan kita berinfak ke arah kesejahteraan hidup masyarakat dan negara. Kalau yang kita ada hanyalah tulang empat kerat seperti para karyawan di atas maka itu Allah akan kira sebagai amal soleh yang Allah kata IA akan gandakan ganjarannya. Semoga usaha yang digembeling bersama ini akan membuahkan kejayaan yang Allah redhai. Ameen.

Related Posts with Thumbnails