Di rumah Darul Tauhid, Bandung menanti untuk pulang pada 29 Jun.
Di akhir Jun saya berada di Garut dan Bandung bersempena Perasmian Situwangi Boarding School. Waktu itu juga saya mendapat seorang lagi cucu. Cuma kali ini rasa cemas kerana anak saya tiada pembantu dan 3 orang anak yang sedia ada semuanya hero-hero belaka.
Besan saya mengambil giliran untuk hari-hari mula. Saya mengambil alih membantunya selepas memenuhi janji untuk bersama dalam aktiviti Muslimah Masjid di Kampung Tunku Sabtu 30 Jun berikutnya. Suasana silaturrahim ceria dan ahli yang ada nampak seronok mengikuti aturcara yang ada. Saya menawar diri membaca sajak untuk selingan halua telinga dan semoga mencuit rasa mengenai perjalanan hidup kita. Sajak saya bertajuk "UMUR KU". (Sila lihat entry di sini)
Alhamdulilah, Ada yang suka, ada yang diam sahaja. Saya terima apa jua kerana pengalaman hidup tidak sama dan tidak serupa.
Saya dan antara teman -teman masjid yang selalu bersua.
Selepas program, saya ke Putrajaya mengambil tugas "Nanny" dan "Bibik". Penat tidak terkira. Apakan daya, hampir mustahil untuk mendapatkan pembantu ketika ini. Anak saya sudah 3 bulan berusaha. Saya dan anak cuba tenangkan diri dan berkata: "Kita harus yakin pertolongan Allah itu dekat asal sahaja kita bersungguh untuk mengikhlaskan segala amalan dan sentiasa mempertingkat iman dan taqwa". Islam mengajar kita untuk sentiasa bersabar.
Di celah-celah masaalah yang ada, timbul pula masaalah pendingin udara rosak. Ada bilik lain yang dingin tetapi terpaksa naik tangga. Apakan daya di umur emas ini. Saya tinggal saja di bilik bawah bersama anak dan cucu yang baru. Saya pujuk diri dengan mengingat hakikat bahawa di Padang Masyhar nanti lagi dahsyat panasnya jikalau tidak mendapat Rahmat Allah. Maka insaf buat seketika. Semoga sentiasa insaf akan kekerdilan diri kita, saya kata pada anak saya.
Di celah-celah masaalah yang ada, timbul pula masaalah pendingin udara rosak. Ada bilik lain yang dingin tetapi terpaksa naik tangga. Apakan daya di umur emas ini. Saya tinggal saja di bilik bawah bersama anak dan cucu yang baru. Saya pujuk diri dengan mengingat hakikat bahawa di Padang Masyhar nanti lagi dahsyat panasnya jikalau tidak mendapat Rahmat Allah. Maka insaf buat seketika. Semoga sentiasa insaf akan kekerdilan diri kita, saya kata pada anak saya.
Saya pulang ke rumah sehari pada 12 Julai untuk temu janji dengan Dr Cardiologist saya. Berita kurang baik, tetapi saya senyum sahaja bila Dr menyatakan kekhuatirannya. Diberinya saya ubat baru sebagai tambahan untuk dibeli kerana farmasi biasa di Hospital tidak menyimpannya. Ini bermakna ubat ini mahal. Oleh kerana saya pesara kerajaan Dr kata tidak mengapa kerana saya boleh tuntut balik dari Jabatan Perkhidmatan Awam. Berdetik di hati saya. Apakah maut memilih siapa mampu beli ubat dan siapa yang tidak. Terdiam sahaja dan cepat-cepat beristighfar. Kita berusaha. Allah menentukan. Saya sentiasa mememohon ampun kerana cuai menjaga kesihatan dari muda lagi. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian.....................
Kemudian balik semula saya ke Putrajaya. Sudah dua minggu saya tidak menghadiri semua kuliah / kelas "ilmu yang benar". Saya jangka ia akan menjadi 3 minggu saya ketinggalan di belakang. Hanya mampu berdoa Allah beri saya ilmu mengikut cara lainnya. Saya bertekad bahawa membantu yang berkeperluan pun suatu tuntutan dalam Islam, walaupun ia dalam keluarga.
Dalam kelang-kabut kerja rumah harian, cucu yang berumur 4 tahun terlepas keluar dari rumah dan melarikan diri tidak dapat dikesan. Ia amat laju berlari. Cucu ini bernama "AKIF". Pernah saya ceritakan dahulu yang ia istimewa kerana "terlalu" aktif dan tidak mudah berhubungan dan berkomunikasi dengannya. Untuk pendekan cerita, Si Ibunya terpaksa menguatkan diri pergi mencarinya. Kebetulan biras saya ada berziarah dan beliau memandu kereta. Kereta suami saya rosak dan suami saya tidak sihat sudah beberapa hari dan saya menjadi jururawatnya. Bentuk ujian Allah siapa yang boleh menduga. Akif ditemui di balai polis dihantar oleh sesaorang yang baik budi dan bertanggong jawab. Katanya dia merayau rayau di jalan besar dekat simpang empat lampu isyarat sejauh 2/3 kilometer dari rumah. Allah maha mengasihi anak-anak tidak berdosa dan akhirnya berjumpa sihat dan selamat. Alhamdulilah, bersyukur tidak terkira.
Begitulah kisah saya "sedang disibukan". Dalam pada itu saya katakan pada anak saya bahawa saya perlu "relax" sedikit supaya darah tinggi saya tidak huru-hara. Maka saya berkejaran mencari masa keluar sebentar dengan biras saya untuk menjamu mata di projek Expo Bunga-bunga (FLORIA 2011) di precint 'saya tak ingat' tetapi dekat dengan bangunan pejabat kerajaan. Saya lega buat seketika menikmati keindahan kurniaan tuhan yang maha pencipta dan maha bijaksana. Alhamdulilah. Nikmatnya tidak terhingga. Saya rakam di bawah ini beberap snap-shot untuk kenangan.
Semoga Allah kurnia pada saya dan keluarga Rahmatnya yang tidak terhingga. Semoga Allah masih memberi peluang dan ruang untuk berbakti pada siapa jua. Kita bermula dengan keluarga. Jika setiap keluarga kita kuat dan sejahtera, maka akan kuatlah masyarakat dan negara dan umat sejagat seterusnya. Semoga Allah memperkenan dan meredhai kita semua.
WaAllahua'lam.
No comments:
Post a Comment