"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Monday, November 14, 2011
PERSEDIAAN MENJADI JENAZAH
"Ungkapan itu keterlaluan. Ia menakutkan".Kata seorang teman pada saya bila saya mencadangkan tajuk sebuah bengkel anjuran Masjid Kg Tunku pada akhir bulan ini. Bengkel itu ialah mengenai pengurusan jenazah. Tetapi untuk bahagian pertama ahli jawatankuasa pengelola mahu ustazah jemputan memberi penerangan tentang apa yang mesti dibuat apabila kita menjaga orang yang sakit tenat dan kronik pula. Apa nasihat yang harus diberi, bagaimana mengajarkan solat dan zikrullah dan berbagai lagi.
"Kenapa pulak menakutkan. Itu hakikat sebenar pada semua diri. Tiap-tiap yang hidup pasti mati" saya cuba menjelaskan, tetapi dalam hati merasakan juga bahawa ungkapan ini mungkin tidak pernah digunapakai oleh sesiapa pun.
Terdiam teman saya mungkin tidak mahu melayan penjelasan saya. Puan pengerusi pun mengatakan yang sama. "Sememangnya kita semua akan ke situ. Tetapi nanti terkejut orang medengarnya dan langsung tidak mahu hadir ke bengkel.''
Saya akur dan diam sahaja. Dalam hati saya berkata-kata sendirian. Selalu sahaja kita mahu belajar bagaimana mahu mengurus jenazah. Kenapa kita takut memikirkan yang kita semua akan juga digelar jenazah bila sampai masanya. Orang tidak rasa takut kalau kita sebut: Persediaan untuk Mati. Tetapi bila sebut: Persediaan untuk jadi Jenazah, kita rasa amat tidak selesa. Seolah-olah ungkapan itu untuk orang lain dan bukan untuk kita. Kita rasa berkewajiban untuk tahu mengurus jenazah, tetapi rasa kekok untuk menerima hakikat yang sebenarnya, iaitu bagaimana orang harus mengurus kita nanti. atau dengan lain perkataan bagaimana kita mahu diurus sebagai jenazah. Adakah kita mempunyi pilihan dalam hal ini. Agaknya itu tidak penting untuk difikirkan. Atau itu penting tetapi kita takut hendak memikirkannya.
Kenapa takut ? Ada kalanya saya juga terfikir-fikir. Kalau kita bersedia untuk menjadi jenazah, iaitu kita membuat persediaan rapi untuk menghadapi mati dan bertemu dengan yang maha Khalik, dan berdoa semoga Allah memudahkan proses itu, maka saya yakin Allah akan mengasihani kita dan orang menjadi mudah mengurus kita bila kita jadi jenazah. WaAllahu'alam.
Ini bukan persoalan untuk orang tua sahaja. Saya katakan mengenai cerita di Masjid ini kepada anak saya yang sudah pun berumur awal tiga-puluhan dan tinggal bersama saya. Dia hanya tersenyum, dan saya harap dia memahami. Mungkin dia diam kerana merasakan isu ini belum relevan baginya. Tetapai kata Ustaz, mengingat mati adalah strategy hidup yang terbaik kerana kita akan besegera berbuat yang baik, dan meninggalkan yang dilarang.
Betapa hakikat mati itu suatu yang digeruni. Tetapi kata Ustaz: Hidup itu Nikmat, Mati pun Nikmat. Bagaimana ya?
Kita bincang hal ini dalam forum yang lain, insyaAllah.
.......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment