"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, July 18, 2012

JALUR KEHIDUPAN






Kita sering  berdoa semoga laluan jalur hidup kita tenang dan damai. Ibarat Broadband dan lain-lain hasil teknologi yang canggih sekarang ini yang mendatangkan kemudahan diluar dugaan. Pantas ibarat kilat melintang, mengundurkan segala rintangan.

Tidak salah kita berdoa. Allah suka kita meminta apa jua. Syaratnya kita hendaklah sentiasa berbaik sangka padaNya. Dengan berbaik sangka maka akan hilanglah rasa gundah di hati dan akan terubat segala duka lara, dengan Rahmat Allah jua.  Pada jalur yang gelap gelita akan Allah turunkan cahaya untuk menerangi laluan walau sukar dan bahaya.

Setiap jalur hidup pasti ada keistimewaannya. Cuma kita harus melihat dengan mata hati dan cuba mendengari bisikan suara dengan keikhlasan walaupun yang ada di hadapan kita adalah suatu yang luar biasa. Allah mendatangkan Rahmatnya dalam berbagai bentuk dan rupa. Cuma jangan kita mengharapkan  apa  yang kita suka sahaja  kerana yang kita suka munkin mendatangkan musibah diakhirnya. Ikut sahaja gerak hati yang kita benteng setiap hari dengan munajat pada Ilahi. InsyaAllah kita sampai ke destinasi penuh bahagia dan kita duduk dalam suasana yang Allah redhai.

Dalam hal ini Allah mengingatkan kita. Jangan kita lupa akan pertolongan Allah pada kita. Sebelum dapat kita mohon sungguh-sungguh dan berjanji akan bersyukur dan mematuhi segala perintah. Tetapi apabila sudah dikurniakan segala permohonan dan permintaan, kita lupa segala janji dan kita mensekutukan Allah. Na'uzubilah.
Semoga kita dijauhkan dari sikap sedemikian.


A063  
Katakanlah: "Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur".
(Al-An'aam 6:63

A064
Katakanlah: "Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)".
(Al-An'aam 6:64)

Dalam mengimbas jalur kehidupan yang silam, terkenang sejarah keluarga berhijrah dari Tanah Seberang, mengharong lautan dengan segala bahaya rintangan. Pulau Jawa bukan dekat jika dikira melalui lautan dengan hanya menaiki tongkang. Tetapi cerita-cerita hijrah ini hanya sedikit yang didengarkan pada anak-anak kerana tidak mahu menyusahkan fikiran dan tidak mahu menakutkan. Tidaklah ketika itu dinamakan perjuangan kerana bapak hanya bersekolah pondok dan ilmu didada sedikit dan banyak lagi pada diri yang kekurangan. Tetapi ia memberanikan diri dan saya selalu katakan sepertinya bersedia untuk pergi berperang. Walaupun waktu itu niat dihati hanya untuk sesuap nasi dan atap bumbung menahan hujan.

Sampai di sini hutan ditebang untuk mencari rezki ditempat yang ia tidak tahu apa kesudahan. Saya selalu bayang-bayangkan betapa susah hidup seperti  keluarga "pelarian". Merayu belas kasihan, merayu ehsan pemerintah yang ditakuti kerana banyak perkara yang ia tidak faham duduk di negara orang.

Alhamdulilah. Usaha dan doa Allah kurnia balasan dengan kehendak dan rahmatNya jua. Hidup sederhana hingga kecucu sekarang. Tidak perlu meminta-minta kerana dididik supaya bekerja keras membanting tulang.Kami didik erti pengorbanan dan erti perjuangan.

Semoga di bulan Ramadhan alKareem yang bakal menjelang ini,  Allah mengurniakan semangat pengorbanan bagi diri untuk kepentingan orang yang amat memerlukan. Kata Ustaz juga: Erti hidup pada memberi.
Semoga Allah meredhai. Ameen.

...

2 comments:

Kerabu Jantung said...

Assalam Sis,

Selamat menyambut Ramadan , semoga kita dapat bertemu lagi!

ngasobahseliman said...

Salam. Nanti Hari Raya, insyaAllah.

Related Posts with Thumbnails