Lebih kurang tiga minggu sebelum puasa, teman saya mengaturkan perjumpaan sambil menghadiri kenduri kahwin anak saudaranya di Shah Alam untuk merancang apa yang dapat dilakukan untuk memperkasa usaha ke arah melaksana sistem pendidikan Islam yang holistik dan bersepadu di peringkat Tadika bermula dengan projek yang telah wujud di Tangkak Johor. Kalau boleh kami akan terus berusaha kearah itu dalam Ramadhan ini sebagai langkah jihad dalam pendidikan. Semoga masa mengizinkan. Saya pernah mencatat sedikit mengenainya dalam entri saya sebelum ini. Disebelah ini ialah antara mereka yang membantu melaksana cita-cita kami. Berdiri kedua dari kanan itu ialah Pak Hasni yang mempelopori konsep ini dan beliau adalah CEO, ADNI ISLAMIC SCHOOL. Semoga dengan barakah Ramadhan team kami Allah kurnia pemikiran yang jelas memilah strategi kerja yang terbaik ke arahnya, dengan RahmatNya jua.
Kerja menegakan Kebenaran tiada hentian dan tiada hentinya. Saya berpendapat ini adalah sebahagian dari kerja-kerja Riyadhah Ruhiyyah dalam keadaan berpuasa. Konsep ini diperjelaskan oleh Ustaz Rahimi Muhammad Saad dalam satu Majis Ilmu beberapa hari sebelum puasa di Masjid Kampung Tunku Petaling Jaya yang di aturkan oleh Jawatankuasa Kecil Riadhah dan sosial, Biro Muslimah. Alhamdulilah, semoga saya dapat juga menumpang usaha untuk sama-sama dalam team yang bercita-cita besar. Semoga Allah meredhai.
Ustazah Asmalia, Ketua Biro Muslimah memberi Kata Aluan.
Ustaz Rahimi Muhamad Saad sedang menyampaikan ceramahnya.
Dengan semangat ini saya mengajak juga pembantu rumah saya untuk sama-sama mendirikan Solat Terawih di Masjid Hidayah, Kelana Jaya sebagai satu usaha memberi ruang latihan Ibadah padanya dalam usianya yang secara relatif masih muda. Di Masjid tersebut saya perhatikan Tuan Mudir amat peka dengan anak-anak kecil yang hadir. Ada kalanya ia solat di baris belakang. Saya rasa tujuannya ialah untuk tahu apa yang berlaku di sebelah belakang sebagi usaha memperbaiki Pengurusan dan Pentadbiran Masjid. Alhamdulilah, saya perhatikan beliau seorang yang berwibawa.
Apa yang menarik perhatiqn saya ialah di Masjid itu rata-rata saya dapati kanak-kanak lebih berdisiplin. Ramai yang berdiri solat dengan teratur. Ada dua-tiga anak kecil yang saya rasa berumur 4 atau 5 tahun yang tekun berdiri, ruku' dan sujud seperti kanak-kanak besar. MasyaAllah. Kalau dididik baik, maka baik jadinya. Ada setengah orang mengatakan alangkah baiknya kalau anak kita Ustaz. Mudah mendidik anak-anak dengan ilmu agama dan mendidik akhlak mereka. Pada pemerhatian saya (pemerhatian yang rambang) tidak semestinya kalau bapanya seorang Ustaz anaknya boleh berdidisipin dan mudah diatur dan mudah "mendengar kata'. Agaknya itulah orang kata Iman itu bukan warisan.
Di hari baik bulan baik ini, sama-sama kita ingat kembali ayat-ayat Allah yang sangat-sangat dituntut memikirkannya supaya kita jangan hanya pandai bercakap tetapi harus mahu melaksanakannya dan mencontohkannya. Kita lihat ayat berikut: Surah As Saf, Ayat 2 dan 3 seperti di bawah ini.
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
(As-Saff 61:2) |
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
(As-Saff 61:3) |
Selamat meneruskan ibadah puasa, semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang ikhlas dan semoga Allah mengurnia Rahmatnya yang tidak terhingga.
...
No comments:
Post a Comment