"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, July 23, 2012

LATIHAN BERPUASA @ RAMADHAN.







Apabila saya membaca Blog MAKBONDA (Mood Ramadhan) pagi  ini yang mencerita kan bagaimana ia cuba menerap fahaman 'puasa' pada kanak-kanak sekolah rendah, lantas saya teringat peristiwa hari semalam akan Huzaifah yang dilatih berpuasa oleh Ibu dan Ayahnya di hujung minggu. Menangis berguling-guling dan dengan tangsian yang kuat dia kata: "Ibu saya lapar, Ibu saya tak tahan." ( Sentiasa dia membahasakan dirinya sebagai 'saya').

Saya seperti tidak sampai hati melihatnya demikian. Mungkin kerana saya nenek /embah pada Huzaifah maka soft-spotnya memanglah cucu. Dalam ingatan saya dulu saya guna "penerangan" dan pujukan untuk melatih anak kecil. Anak saya ( pada pandangan saya) seperti "terus paksa". Mungkin itu sikap ibu. Tidak sama dengan sikap nenek / embah bila sudah tua. Atau itu mungkin caranya sekarang, iaitu ilmu pasikologi mendidik anak sekarang. Agaknya saya sudah banyak ketinggalan zaman dari segi pendidikan kanak-kanak. Mungkin lebih berkesan kalau  kita guna lebih kuasa / authority Ibu dan Ayah. Itulah caranya memanifestasikan erti kasih sayang. Ini hanya sangkaan saya sahaja. Saya dalam usia sekarang ini kefahaman banyak beza dengan cara sesetengah orang muda sekarang mengendali keluarga. Ada yang mengatakan saya tidak faham secukupnya apa itu kasih sayang anak kerana pengalaman saya tidak mencukupi untuk mengatakan saya tahu erti 'Ibu'.

WaAllahu'alam.

Pada saya melatih anak kecil  berpuasa haruslah berperingat-peringkat. Mithalnya puasa setengah hari dulu, atau kita benarkan minum tetapi tahan dari makan dan sebagainya. Dan ada cerita-cerita ibu-bapa yang pura-pura tidak nampak anak "curi" ambil seteguk air bila rasa kehausan. Maklumlah ini "umur latihan". Memang ada yang tidak tepat mengikut teori, sebab kematangan anak dan kesihatan anak berbeza satu sama lain.

 Saya cuma ingat-ingat lupa peristiwa-peristiwa zaman kecil dahulu. Tetapi saya tidak ingat rasa terdera semata-mata kerana ditahan dari makan. Tetapi ingatan saya sudah tidak "reliable" agaknya. Banyak yang sudah pudar maka orang muda sekarang guna cara mereka sendiri  dengan andaian nenek / embah sememangnya manjakan sangat akan cucu. Maka saya mendiamkan diri kerana faham bahawa ibu-bapanya pasti lebih berhak pada anaknya. Dan saya perlu bersangka baik sentiasa.

Sememoga Allah mengampuni dan memudahkan saya meneruskan kehidupan dan semoga Allah menunjuki jalan cara yang terbaik mewariskan ketulusan hati dan kebajikan.

Semoga Allah memberkati apa jua cara mengikut budibicara masing-masing selagi ia tidak melanggar mana-mana hukum dan memahami bahawa anak kecil perlu didahului dengan kasih sayang sebelum di kenakan  atasnya kekuasaan (authority). Kasih sayang harus mendasari pembentukan akhlak, terutamanya mereka yang masih kecil. Mengenakan hak kuasa atas anak tanpa belaian kasih sayang yang sewajarnya, boleh menimbulkan masaalah-masaalh lain yang tidak dijangka. Dan kasih sayang bukan setakat dimulut sahaja. Ia harus dizahirkan dalam perbuatan, dan perbuatan yang terus menerus, bukan yang hanya sesekali. Maka fahaman saya ialah latih anak dengan kasih sayang dan pukul sekadarnya bila berumur 10 tahun, sama seperti prinsip melatih wajibnya solat dalam hidup seorang Muslim.

WaAllahua'lam.

...

No comments:

Related Posts with Thumbnails