"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, April 28, 2013

Takbir......Allahu Akbar !




A001
A002
A003
A004
A005
A006
A007

Entry ini yang akhir, insyaAllah, sebelum PRU13. Saya tutup dengan doa Nabi Muhammad saw tetekala dihina oleh penduduk Taif.

Ya Allah,
Kepada Mu aku mengadukan kelemahan kekuatanku dan sedikitnya dayaku serta kelemahanku dalam menghadapi manusia wahai Zat yang maha pemurah. Engkau Tuhan orang-orang yang tertindas dan Engkau adalah Tuhan ku juga.
Ya Allah,
Kepada siapakah diri ku ini Engkau serahkan?  Kepada orang jauh yang memandang aku dengan wajah yang bengis, ataukah kepada musuh yang memang telah Engkau beri kekuasaan untuk memiliki urusan ku ?
Jika Engkau tidak marah pada ku maka aku tidak akan apa-apa. Tetapi aku pun yakin bahawa perlindungan Mu kepada ku amat luas.
Aku berlindung diri dengan cahaya wajah Mu, dan dengan cahaya itu kegelapan menjadi cerah, urusan dunia dan akhirat menjadi beres. Kiranya Engkau murka, janganlah sampai menimpa ku atau kemarahan Mu mengenai aku.
Bagi Mu keredhaan sehingga Engkau redha, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (pertolongan Mu) Ya Allah.
... 

Semoga pemimpin yang Allah kurnia kemenangan nanti akan mencontohi kepimpinan Rasulullah saw.
Ameen, Ya Rabb.

Allahu Akbar !
...

Saturday, April 27, 2013

Doa itu ..........




Setiap kali saya masuk pejabat SmarTop Subur Fitrah Integrated Pre School (SUFI) di Tangkak,  saya rasa riang. Alhamdulilah. Hiasan bunga, meja dan kerusi mesyuarat dan komputer dan pendingin udara adalah antara sumbangan individu dan orang ramai pada SUFI. Kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Allah swt atas segala kemudahan dan pertolongan yang diturunkan.

Semoga usaha kami dan semua penyumbang diberkati dan di akhirat nanti kita mohon Allah kurnia Syurga Firdaus kekal selamanya. Ameen.


Suatu pagi di TASKA SUFI. Sessi selepas mandi pagi.
Ini Teacher Atiqah, penyelaras Taska.
 Saya kagum dengan cara dia mengurus anak-anak kecil. Alhamdulilah.
Ia lulusan diploma dalam Early Childhood Development. Kami bertuah dia suka berkhidmat dengan SUFI dan kami berusaha dan berdoa dapat mengembangkan kerjayanya
 semoga ia lama dengan kami.
Namun, walau di mana jua  ia berada, semoga Allah kurnia yang terbaik baginya di sisiNya.


Selepas mandi adalah sessi minum pagi dan ia bermula 
dengan mengajarkan doa semoga rezki diberkati. Dari  kecil kami didik semoga dapat menghayati kekuatan doa dalam hidup seharian hingga dewasa nanti. 
Semoga mereka akan mengerti bahawa kebergantungan kita hanyalah  pada Allah jua. 
Kita perlu usaha sebaik mungkin 
dan yang selainnya kita pasrah 
pada yang maha menentukan semoga kita dikurnia 
yang terbaik di sisinya.


Gambar-gambar poster di dinding bangunan Tadika dan Taska
ihsan teman-teman seperjuangan dari NGO Haluan. Semoga menceriakan minda
dan  terpaku di hati anak-anak nikmat anugerah kasih sayang yang maha Pencipta.


Dari kecil anak-anak diajar erti doa dan berdoa.
Doa itu adalah "talian hayat".
Kita tidak pernah berseorangan dan keseorangan.
Maka apa jua keperluan, kita mohon doa dariNya.
Jika tiada keperluan sekalipun, kita juga berdoa....doa memuji dan bersyukur.
Tetapi mana mungkin manusia tidak punya keperluan. Kita perlu pada Allah setiap detik pernafasan kita.
Maka berdoalah mudah-mudahan kita dapat merasai erti pengabdian diri pada yang maha Esa. 

Dalam alQuran:
 
A195
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".
(A-li'Imraan 3:195

Selangkah demi selangkah kami mengasuh dan mendidik anak-anak SUFI semoga bila dewasa akan megerti dan menghayati Islam sepenuhnya. Semoga anak-anak ini akan menjadi  orang-orang yang berilmu, beriman dan bertaqwa  yang akan menyemarakan bumi Malaysia.


Ya Allah, jadikanlah kami bertaraf hamba yang Engkau redhai.
Ameen, Ya Rabb.

....

Thursday, April 25, 2013

Rasa terkilan akan terbela....





Bila mood PRU13 makin hari makin mendebarkan, maka tercalar kembali luka lama.

Bila bercakap politik Malaysia, hati saya tetap luka bila teringatkan Singapura. Saya berasal dari Johor maka ramailah  sanak saudara yang tinggal di sana. Saya merasakan mereka tercicir dan  mereka dipinggirkan. Itu yang saya perhatikan.

Semasa Pulau Singapura lepas ke tangan kuasa bukan Islam, PUTRAJAYA belum ada lagi.

Namun Pemerintahan Malaysia ketika itu adalah diterajui oleh UMNO yang menerajui Putrajaya hari ini.

Berbagai sabab-musabab tercatat dalam sejarah mengapa Singapura dilepaskan pada Lee Kuan Yu. Bila mengingatinya  sekarang timbul berbagai  pendapat mengenai kewajaran Singapura dipindahkan kuasa pemerintahan. Saya  amat terkilan kerana pulau yang strategic lokasinya itu terlepas dari Malaysia. Saya tidak pasti  apa yang dirasai oleh kepimpinan yang mendakwa dirinya berkhidmat untuk Negara, Bangsa dan Agama, terutamanya kepimpinan UMNO mengenai peristiwa ini.

Ketika itu saya baru lepas tingkatan lima dari sekolah atap di Pontian Johor. Maka saya tidak peka dan sememangnya jahil mengenai politik. Bila bertambah dewasa dan ilmu dan kefahaman agama dan politik antarabangsa sedikit sebanyak bertambah juga, maka banyak tanda tanya yang timbul dalam minda saya. Tidak pernah saya persoalkan hal ini dengan pihak yang tahu dan arif mengenainya. Saya terima seadanya tetapi merasa sedih dan terkilan dihati. Cuma kawan-kawan rapat dan keluarga saya sahaja yang tahu getirnya rasa dihati saya. Debat dalam keluarga sahaja yang menjadi terepi bagi saya.

Dalam kemelut politik Malaysia hari ini dalam menghadapi PRU13 saya dapati  label yang dilontarkan pada Party DAP sebagai sama dengan Party yang menguasai Singapura dari segi falsafahnya menjadikan saya tidak selesa. Ia menyuntik kembali rasa kesedihan dihati dan seperti  luka lama berdarah kembali. Saya rasa begitu kerana tidak dapat menerima tuduhan bahawa PAS  dikatakan tidak akan dapat menguasai karenah DAP jika sekiranya mereka menang dalam pilihanraya nanti. Tindak-tanduk DAP dirasakan berbahaya kerana tidak tahu ke arah mana DAP akan membawa Pulau Pinang. Ada sudut-sudut hati yang khuatir Pulau Pinang jadi seperti Singapura.

DAP adalah Party yang tidak boleh dipercayai dari segi semangat patriotisma, katanya.

Adakah benar sangkaan ini, atau sahaja mahu menimbulkan rasa takut dalam hati-hati orang Melayu Islam, khususnya penyokong-penyokong PAS, untuk menyokong DAP.

Kenapa UMNO memomok-momokan orang Melayu akan fakta ini yang hanya merupakan sangkaan sahaja. Ini adalah semata-mata helah UMNO untuk menguasai pengaruh Melayu Islam dan sekali gos mempertahankan kuasa yang ada padanya.

Saya cuma ingin membangkitkan soalan mengapa kita tidak mempertahankan maruah Melayu Islam hingga ketitisan darah yang akhir bila tanah orang Islam tergadai pada orang bukan Islam. Bukankah mempertahankan bumi berdaulat Islam itu satu kewajipan.

Bukankah sama prinsipnya dengan orang-orang Palestine mempertahankan Bumi Palestine dengan Darah.

Lihat Singapura sekarang ! Bumi orang Islam yang tergadai !

Bukan begitu cara melihatnya, kata seorang teman saya yang cuba meredekan rasa kecewa saya. Kita kena lihat dari segi keselamatan negara keseluruhannya.

Bagaimana ? Saya kurang mengerti dan tidak mungkin akan mengerti. Tetapi saya tidak berbincang lanjut dengan taman saya itu. Dalam hal ini yang lepas tetap saya kenang....

Maka saya seperti  tidak rela PAS dikhuatiri tidak akan dapat mempertahankan hak-hak orang Melayu dan hak-hak orang Islam walau pun ada memorandum / dokumen persefahaman dengan DAP. PAS dikatakan amat lemah berbanding dengan DAP dari segi bijak mengatur strategy.

Tetapi di mana kehebatan UMNO bila sengketa perpecahan Singapura dari Malaysia  berlaku ?

Pasti tidak ada jawapan.

Maka itulah PAS mencari kemenangan di PUTRAJAYA dan dengan pertolongan Allah ia akan menang. Sepertinya ini lambang kemenangan menukar corak pemerintahan. Kalau dahulu Al Fatih menawan Constantinople, maka tidak mustahil Husam menawan Putrajaya. Justru kemenangan Islam pada hakikatnya. Kejayaan tidak datang menggolek. Ia perjuangan yang berterusan seperti ujian pada Nabi Ibrahim alaihissalam.

Semoga Allah meneurunkan pertolongannya dan yang sukar menjadi mudah. Islam akan bergemerlapan lagi di Bumi Malaysia dengan Rahmat Allah jua. Tuhan yang maha pengampun maha mengasihani.

Ameen, Ya Rabb....

...

Tuesday, April 23, 2013

U TURN - kita kembali








Saya ke Tangkak  Ahad yang lalu untuk mengawasi pengurusan Tadika SmarTop Subur Fitrah SUFI.

Eh...Bukan. Hanya alasan.

Saya teringin mengikut kawan saya kempen PRU13 secara freelance di Tangkak Johor.

Sambil-sambil itu saya 'melancung'  ke Air Terjun Ledang berhampiran dengan bandar Tangkak. Tidak ramai orang kerana hari itu Isnin dan semua sibuk kerja. Saya dan teman mengambil kesempatan melihat kawasan resort untuk bertanya kemudahan kolam renangnya untuk kami sewa melatih anak-anak SUFI.

Cantik, tetapi kebersihannya kurang cemerlang. Walau bagaimana pun rimbunan kehijauan amat menarik perhatian saya dan tempat ini eluk dijelajah jika kita ada masa yang panjang terluang untuk menikmati keindahan ciptaan yang maha Pencipta.



Bila bercerita mengenai keindahan, 
minda saya pasti terpaku pada 
keindahan kurnian Allah dalam semua aspek dan penjuru kehidupan.

Kita semua bertanggongjawab.
Kita semua bertanggong jawab menentukan kurniaan Allah 
tidak dicemari dalam apa jua aspek sekalipun. 
Maka dalam berkempen secara 'freelance' saya menarik perhatian pada sesiapa jua yang ada disekeliling saya supaya kita kembali kepada "basics". Maka itulah saya kata kita perlu buat U TURN dan kembali  pada Fitrah. Allah mencipta manusia supaya mengabdikan diri padaNya semata-mata. Tiada yang lain selain dariNya.

Di Timur Tengah "Arab Spring" adalah satu arus kuat yang mahukan perubahan. Bukan sebarang perubahan, tetapi perubahan untuk mengembalikan hak rakyat. Tetapi mengembalikan hak rayat ada cara yang telah digariskan dalam AdDin Islam dan cara itu sahajalah yang valid. Semuanya ini adalah usaha membuat U TURN. Sebagai contoh lihat negara Mesir. Ia mahu kembali pada Fitrah. Banyak buruk sangka telah dilontarkan pada saudara Ikhwan Muslimun kita. Hanya pemimpin yang berilmu, beriman dan bertaqwa sahaja yang dapat mengembalikan keagongan Era Islam.

Negara  Turkey tidak termasuk dalam arus "Arab Spring". Tetapi jika kita betul-betul melihat perjalanan pemimpinnya, Turkey juga sedang membuat U TURN walaupu dasar lisannya  mengatakan tidak. Kita lihat natijahnya. Allah maha mendengar dan maha melihat dan Allah maha tahu yang nyata dan yang tersembunyi.

Maka di Malaysia, dalam mengembalikan hak rakyat dasar kita seharusnya berlandaskan Islam juga dan perkongsian kita dengan yang bukan Islam seharusnya beraskan prinsip-prinsip yang dihalalkan dalam Islam. Apa yang di kata, mesti dikota. Kita rujuk Ayat 2 dan 3 dalam Surah As Saf dalam al Quran al Karim.


Maka dalam PRU13 ini siapa yang harus kita pilih ?
Seorang warga Johor yang berkempen seorang diri berani membuat perubahan.
Lihat:


Saya tabik kegigihannya.
 Tidak mahu mengalah dengan ramai warga Johor yang buat tidak faham bahawa BN sudah habis tempuh hayatnya. UMNO dahulu lain, Umno sekarang lain. UMNO seperti sudah hilang integrity untuk memimpin. Hak rakyat harus dikembalikan.

Saya percaya yang hak itu Hak, yang batil itu Batil. Jangan ada lagi kepura-puraan dalam kepimpinan. Maka saya test pendapat ini semasa saya membeli barang-barang dapur dan ikan serta sayur dari Lori Kecil Kedai Runcit dihadapan rumah saya di Tangkak. Mula-mula taukeh itu takut hendak pandang wajah saya bila saya tanya PRU13 nanti hendak undi siapa. Agaknya kerana saya pakai tudung. Bila saya kata taukeh jual ikan sayur mahal, kita patut tukar kerajaan, dia  terus lihat muka  saya dan senyum. 
"Saya pun tak suka ini biru,"  dengan tangannya menunjuk pada bendera BN yang banyak sekali berkibaran di kawasan perumahan. Saya senyum lebar, tunjuk ibu jari tanda suka dan kemudian beredar.

Rakyat mahu perubahan.  Saya berdoa pemimpin yang berintegrity akan menang, iaitu integrity yang berlandaskan Iman dan Taqwa.

Seorang lagi warga Johor berkata: Saya dari Planet Bumi dan dengan penuh kesungguhan saya menuju  Planet Bulan. Semoga Allah sampaikan.


 Ameen Ya Rabb...
...

Saturday, April 20, 2013

....a story to tell






 Setiap lima tahun warga Malaysia akan mengundi memilih pemimpin yang dipercayainya.

Keluarga besar saya mula aktif dalam kempen pilihan raya sejak tahun 80an. Ini kakak saya bersama cucu-cucunya yang saya rakam dua tahun dulu. Berumur 75 tahun, kakak saya ini lebih cergas dan lebih sihat dari saya. Ia pesara  guru biasa di sekolah rendah dan kini aktif bersama sahabat handai di kampung belajar dan mengajar sekadar kemampuannya.

Minat politiknya hanya berasaskan maklumat yang terdapat dari media massa sahaja. Ia buta komputer dan jika anak cucu menunjukan sesuatu padanya maka barulah ia boleh membacanya. Namun ia sering meminta anaknya menceritakan apa yang sedang berlaku sekarang di dunia luar dan di negeri sendiri. Ia suka cerita-cerita mengenai Gaza dan sering bergiat memungut derma dari teman-teman sekampung untuk Palestine. Ia menyerahkan pada saya dan saya akan panjangkan sama ada pada Aman Palestine Bhd  atau Pertubuhan Mawaddah Malaysia, NGO yang saya sertai. Alhamdulilah. Ia tidak suka duduk diam.

Setiap pilihan raya ia akan mengibarkan bendera PAS di hadapan rumahnya dan sepanjang jalan kecil dalam kawasan tanah warisan bapak saya. Minatnya kental kerana padanya itulah sahaja yang ia mampu untuk menyokong perjuangan Islam dalam hidupnya. Semangat perjuangan mempertahankan bumi Islam di Palestine mengerakan  semangatnya.  Semasa emak saya ada ia mengikut kehendak dan fahaman emak saya "berpolitik" dan UMNO adalah asas perjuangannya. Saya hanya mendengar dan melihat dan kadang-kadang "mencabar" pendapatnya. Emak saya pekat UMNO tetapi di pilihan raya yang terakhir sebelum ia meninggal dunia ia mendengar nasihat kakak saya dan ia mengundi PAS.

"Alah...undi PAS pun bukan boleh menang. UMNO jugak yang menang."

"Tak ape Mak," kata kakak saya . "Kita menang di akhirat."

Emak saya diam. Entah apa yang difikirnya. Semoga ia dilandasan yang benar.

Negeri Johor adalah kubu kuat UMNO. Tetapi kakak saya tak hairan. Kalah atau menang adalah satu perjuangan, katanya, macam di Palestine. 

"Aku pun suka nak berjihad."
 Kakak saya diam-diam ia melanggan HARAKAH. Bila saya tanya bagaimana ia beli HARAKAH, ia menjeling saya dan kata: "Bila ada kemahuan, di situ ada jalan. Allah masih bagi aku kederat. Pandai-pandailah aku cari."

Agak saya dia suruh anak atau jiran membelinya. Dan setelah mendadapat maklumat dari orang-orang sekeliling dan dari membaca risalah-risalah alternatif,  minatnya pada PAS tidak luntur walau pun diajak beberapa teman untuk beraktiviti dalam UMNO. Aktiviti UMNO memang menarik sebab ada jamuan sedap-sedap. Tapi kakak saya tidak tertarik.

"Aku dah tahu sekarang. Ustaz kata kita mesti bergantung pada Allah, bukan sesama manusia. Lagi pulak aku dengar juga orang kata UMNO dulu memang bagus, tapi UMNO sekarang jaga periuk nasi sendiri saja. Aku dah tua. Nak ikut cara lain pulak. Aku berdoa Allah redha dengan pilihan aku."

Saya senyum lebar. Kakak saya sedarah sedaging dengan saya...keturunan Jawa kontrak yang berani merentasi lautan bergelora untuk mengubah kehidupan. Maka ia sedang mengubah kehidupan.

Semalam dia menalipon saya. Dia bercerita dia sedang menjahit bendera PAS sebab bendera yang dia dapat dan pasang tinggi telah di curi orang, agaknya dirobek-robek dan  dimusnahkan. Entah siapa yang curi. Aku letak kat kawasan rumah aku, itu pun ada orang dengki.

Pada pilihan raya yang dahulu pun dia menjahit bendera sendiri. Dibelinya kain hijau dan putih dan dijahit mengikut kemampuannya. Besar saiznya, Bulan yang dijahit tidaklah bulat macam yang dicetak. Tapi dia tidak peduli. Janji nampak bulat. Warna hijaunya pun tak berapa tepat. Tapi dia kata itu tak ape. Janji hijau.

Saya salute kakak saya. Dia mengatakan saya masih goyang sebab tak pasang bendera kat rumah saya di Petaling Jaya. Saya katakan: "Di bandar orang dah cukup paham. Undi tu rahsia. Dia pangkahlah apa yang dia suka. Allah kan maha melihat dan maha mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi...."

"Engkau jangan cakap lain, buat lain."
"Eh...takkan kita nak bermusuhan pulak. Dalam Islam kita boleh berbeza pendapat, tapi kita tetap bersaudara. "
Dia diam. Tentu dia boleh agak apa dalam hati saya kerana  saya selalu cerita padanya yang  Islam di Malaysia tak kuat. Orang yang mengaku beriman suka kutuk-kutuk ulamak tanpa usul pereksa. Apa yang saya tahu saya cerita padanya. Lagi kuat semangatnya untuk memastikan PAS menang.

"Bila engkau nak balik tengok bendera aku," kakak saya menggesa saya. "Engkau ambik satu pasang kat rumah engkau."

"Dah tak sempat nak balik." saya katakan padanya.
"Esuk nak ke Tangkak. Ikut kawan kempen."
"Kempen PAS ke UMNO ?" Kakak saya menggesa saya lagi. 
"Esuk kita ceritalah. Yang pasti kita doa supaya yang menang  orang yang berilmu, beriman dan bertaqwa. InsyaAllah pertolongan Allah hampir."

"OK, aku suruh anak-anak aku doa. Harap-harap diorang ikut pilihan ku."

Seorang Ibu tetap seorang Ibu. Mahu anak-anaknya mendengar nasihatnya.

Sama-sama kita tunggu....
Semoga sentiasa dalam redha Allah.
Ameen, Ya Rabb....

Friday, April 19, 2013

.....hingga Buta Hati dalam berpolitik ?...






Sejak musim PRU13 ini saya lihat hampir semua saluran berita. Tetapi saluran kegemaran saya, tetap saya lihat juga.

Bila selesai serba rinkas melihat berita di CNN atau di BBC atau di Al Jazeerah, biasanya saya akan melihat juga kes-kes jenayah di saluran Astro 732. Saya suka siri 'Medical Detectives". Saya berfikir-fikir bertanyakan diri mengapa kerana harta dunia  anak sanggup membunuh ibu- bapa sendiri, atau isteri membunuh suami dan sebaliknya dan berbagai lagi kes-kes jenayah yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak disangka-sangaka akan berbuat sesuatu yang kejam seperti itu....semata-mata kerana mencari kepuasan hati.

"Mereka Buta-Hati," kata seorang teman bila saya berkongsi cerita.

Saya rasa hairan mengapa manusia ada yang bersifat demikian. 

Kebanyakan kes-kes jenayah seperti itu melibatkan sifat tamak terhadap harta kekayaan atau wang ringgit atau tidak dapat membendung ego berkaitan hubungan antara sesama manusia. Atau jennyah berlaku kerana persainagn dalam kerjaya dan persainagan untuk berkuasa mengendali sesebuah syarikat atau organisasi.

Dengan lain perkataan, jenayah berlaku di mana jua dan didorong oleh perasaan hasad dengki atau kasih sayang yang keterlaluan yang tidak mengenal erti. Mithalnya, manusia akan sanggup membunuh jika pasangan hidup mereka bermain kayu tiga. 

Apabila EGO terguris, manusia sanggup berbunuhan. Perilaku ini tidak mengira seseorang itu tua atau muda, kaya atau miskin, berkuasa atau tiada kuasa, (termasuk kuasa politik) dan  pandai atau bodoh dan berbagai lagi. Namun jika ini berlaku pada golongan elite, kita akan tertanya-tanya dan terpinga-pinga kerana orang golongan elite seharusnya menunjukan tauladan yang baik pada golongan yang lain.

Sifat tamak, hasad dengki dan yang seperti dengannya ini wujud di mana jua. Sebab itu diturunkan alQuran kerana Allah maha mengetahui, maha bijaksana, maha mengasihani dan maha adil dalam semua perkara.

Dalam satu kelas pengajian mingguan, Ustaz saya menekankan fakta bagaimana manusia boleh jadi buta-hati. Banyak sebab-sebab yang telah dibuat kajian oleh pakar sosiologi dan anthropologi dan berbagai pakar lain yang berkaitan.

Manusia tetap manusia.

Mengapa manusia ramai yang bersikap hasad dengki dan justru mudah menjadi buta-hati. Sebabnya mudah, kata Ustaz. Manusia tidak yakin sepenuhnya dengan janji-janji Allah termasuk tentang harta kekayaan. Allah maha penentu tentang  rezki, semua jenis rezki.

Manusia ramai yang hanya menggunakan akal fikiranan yang sifatnya sempit dan tidak jauh pandangan. Ramai juga manusia yang bergantung hanya pada akal dan kehebatan diri.
 

A056

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Adz-Dzaariyaat 51:56

A057
Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.
(Adz-Dzaariyaat 51:57) |

A058
Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
(Adz-Dzaariyaat 51:58) |  



A245 Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
(Al-Baqarah 2:245) |  



Oleh kerana sekarang ini "musim berpolitik" saya pun ingin tumpang semangkuk. Dalam politik buta- hati  wujud juga. Dan kebelakangan ini di Malaysia bukan sahaja ada yang buta-hati, ramai juga yang buta-warna.

Di mana jua dalam dunia, kuasa politik berkait rapat dengan kedudukan status sosial. Lebih penting dari itu kuasa politik membawa kepada kuasa ekonomi, terutamanya kekayaan diri dan keluarga dan teman rapat yang ada. Ini sering dinafikan. Kita lihat sendiri.

Maka tidak hairanlah rebuatan atau persaingan kuasa politik sering membawa kepada pembunuhan maruah kalau bukan pembunuhan nyawa. Strategy politik wang dan politik lucah membuat saya rasa mual dan kesal dengan hala tuju pemikiran orang Malaysia kini yang berpegang pada prinsip "Tujuan Menghalalkan Cara." Lebih kesal bila fenomena ini dianggap lumrah oleh sesetengah pihak dan membiarkan budaya suka mencaci sesama manusia berleluasa.

Tidak sanggup saya hendak berkata lebih dari itu. Sedih melihat fenomena orang-orang Islam tidak melihat contoh Rasulullah saw dalam perjuangan. Adik beradik boleh berkerat rotan berpatah arang.  Saya khuatir kekuatan Jemaah Islam di Malaysia kian hari kian reput dan menunggu bobrok.


Ke mana rakyat hendak di bawa......
Kita jawablah sendiri.
Ya Allah tunjukilah kami jalan yang benar.
Kurniakanlah kemenanagan pada yang beriman dan bertaqwa dan jauhkanlah kami dari musang yang berbulu ayam.
 Ameen, Ya Rabb....  ..

Monday, April 15, 2013

".....sentimental feeling even in politics".




Suatu pagi selepas solat subuh di Masjid......

"Mana boleh kita buang sahaja. Kita kumpul berapa puluh tahun, tiba-tiba kita nak buang. Tak kan nak bagi kat orang."  Rungut seorang teman bila saya kata kita dah tua ni tak perlulah simpan barang-barang lama di rumah walau secantik mana sekalipun. Simpan sikit-sikit sudahlah. Pada saya kalau terlalu banyak, ia boleh menambah kerja kita mengurusnya. Masa itu ibadah......rugilah kita kalau dok belek barang-barang lama.

Mula asalnya saya bercerita akan berpindah rumah tak lama lagi. Teman saya kata ia tidak akan berpindah rumah kerana sayang pada barang-barang lama yang terkumpul sejak muda lagi, terutamanya barang-barang kenang-kenangan dibeli semasa melancung luar negara.

"Alah.....bukan nak bawa ke mati. Anak-anak kita pun sudah tidak sama citarasa di hati. Banyak benda yang dia orang sudah tidak heran lagi...." jawab saya selamba dan santai. Teman saya tak menjawab tetapi air mukanya nyata kelihatan tidak bersetuju dengan saya.

Itulah rakaman secebis perbualan saya dan teman semasa keluar dari masjid untuk  pulang ke rumah. Dia menegur saya dahulu dan bertanya mengapa sudah lama tidak kelihatan di Masjid. Saya katakan saya sibuk sedikit kerana banyak hal yang perlu dibuat sebelum berpindah. Dalam umur senja ramai kawan sebaya tidak sanggup berpindah rumah kerana rasa canggong hidup di kawasan perumahan baru. Kita mesti cari kawan-kawan baru dan terpaksa pula menyesuaikan diri denagan gaya hidup di tempat baru. 

Lagi pulak kita kena kemas rumah dan terpaksa buat pilihan barang mana yang hendak dibawa ke rumah baru. Saya mengatakan supaya kita tinggal semua yang ada dan bawa sahaja yang perlu untuk kegunaan harian. Kita bukan nak hidup lama lagi. Sekarang sudah masuk umur dalam zon penentuan dan giliran ke garis penamat akan tiba bila-bila masa sahaja.

"Eh....jangan kata gitu." kata kawan saya. "Banyak barang sentimental yang saya sayang. Saya nak simpan untuk anak cucu."

Kawan-kawan saya ramai yang sentimental. Dalam suasana PRU13 ini pun mereka sentimental. Bila saya tanya kita nak pilih siapa, katanya: "Undi itu rahsia..."

"I tetap BN," kata seorang teman yang lain. "Kita dah lama bawah BN,  apa pasal pulak kita nak tukar. Tak ingat ke dulu kita macam mana, sekarang kita macam mana. Emak-emak kita pun dulu BN. Semua ok. Sobah, you jangan nak suruh I tukar."

"Siapa kata suruh tukar, saya tanya saja apa yang ada dalam hati kita sekarang. Oh ya, Tapi kalau tukar pun mungkin lebih baik. Jangan sentimental sangat." saya mencuit suatu yang sensitif. Dalam keadaan sekarang ramai yang suka lihat dan dengar.

"Betul lah tu....," kata seorang teman yang lain. Saya terkejut mendengar katanya dan saya pandanag ke belakang ingin tahu siapa kawan saya yang berani mengatakan sesuatu yang saya tak sangka."Eh... sungguh ke ?" saya cuba menguji pendapatnya.

"Kita mesti hadapi reality, berpijak kat bumi nyata. Tak perlu sentimental. Yang dulu, cerita dulu. Sekarang, cerita sekarang. Pasal MERDEKA kita bolehlah sentimental. Kita sayang Tunku, Tun Razak, Tun Dr Ismail dan yang lain macam tu. Tapi sekarang  sudah lain.....sangat lain. Sekarang kenyataan hidup sudah banyak beza. Kita dah Merdeka hampir 60 tahun. Ramai kita pun dah umur 70 lebih.  Kita kena tanya benarkah kita ni sekarang sudah di atas landasan yang betul? Wawasan seterusnya apa? Kaya raya kat dunia saja tak cukup. Saya takut....." kata kawan saya dengan rupa serious.

Saya tercegat dan senyap seketika berfikir arah mana "perbualan" ini akan diteruskah.
Tiba-tiba.....
"Alah.....sudahlah. I tetap BN. You nak tukar, tukarlah. Tapi jangan tak mengenang budi. Maaf, saya nak balik sekarang." kata teman BN saya yang awal tadi  seperti rasa tak puas hati tidak dipersetujui. Saya senyum dan perbualan habis setakat tu saja. Masing-masing masuk kereta dan balik.

Saya rasa teruja dan balik cerita pada suami. Teruja dalam maksud mendengari berbagai pendapat yang disuarakan. Di Kg Tunku tempat saya tinggal tidak terdapat kibaran bendera apa jua yang boleh mencabar minda. Kg Tunku adalah kawasan pesara perkhidmatan awam. Ramai yang terbiasa dengan suatu pendapat dalam menjalani kehidupan dan saya dapati politik sudah jadi suatu yang "sentimental". Mereka rasa selesa dan pada pendapat saya ramai yang terperangkap dalam zon selesa dan rasa terhutang budi pada BN.  Saya belum membuat keputusan muktamad. Banyak yang masih meragukan saya. Tetapi ada beberapa perkara yang saya yakin.

Saya tidak sentimental mengenai politik. Saya tidak takut pada perubahan kerana perubahan adalah sebahagian dari rencana hidup. Roda kehidupan perlu berpusing terus.
Ramai antara kita yang hanya nampak "the small picture", dan rasa  seperti tidak perlu tahu apa yang harus kita lakukan untuk menentukan kehidupan waris-waris tinggalan kita nanti sejahtera walaupun kita sudah tidak ada.

"Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung..." Pernah seorang kawan berkata pada saya bila saya kata saya suka negara Turkey kerana pemimpinnya berjiwa pejuang. Dia berani pada tempatnya.

Dia tidak setuju dan mengatakan saya tidak patriotik. Saya katakan padanya tidak mengapa nampak seperti tidak patriotik, tetapi Tuhan tahu Qiblat saya kat mana.Pepatah ini pada saya ada makna yang tersurat dan ada makna yang tersirat. Ia bukan pepatah yang mempunyai logik yang simplistik. Kita lihat.......






Rakyat Malaysia harus mensyukuri kurniaan Allah dalam kehidupan ini tidak mengira tahap umur dan kedudukan dalam masyarakat. Sewajarnya kita sama-sama membina negara dan meraih hasilnya dengan adil dan saksama. Kata pepatah "Hati gajah sama dilapah, Hati kuman sama dicecah." Itu pun yang dituntut dalam Islam dan yang termaktub dalam Rukun Islam yang 5, ia itu menunaikan Zakat. Malahan umat Islam di seru menginfakan harta semasa senang dan semasa susuah. Banyak contoh-contoh yang telah disebut dalam seerah dan kita dididik dengan berbagai nilai murni berteraskan akhlak yang berpaksikan pada Iman dan Taqwa.

Maka sepatutnya membuat pilihan dalam PRU13 ini bukan suatu yang harus dipertikai hingga ketahap kehilangan akal yang waras. Matlamatnya bukan mahu berkuasa kerana keuntungan diri dan teman-teman, tetapi mendapatkan  kuasa untuk menegakan kebenaran yang diajarkan oleh Rasulullah saw. Nowaitu kita semata-mata kerana Allah, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.(period...).

Selepas melakukan usaha yang terbaik, kita mohon pada Allah jua, tiada yang selain dariNya..

Ya Rabb, Engaku maha Pengampun, maha Penyayang, maha Bijaksana, maha Berkuasa atas segala sesuatu.....
Kasihanilah kami dan kurniakanlah pada kami  apa yang terbaik di sisi Mu. Kami pohon Rahmat Mu dan Redha Mu jua, Ya Rabb. Ameen.

Saturday, April 13, 2013

Meniti-niti keberanian....


Keberanian dalam diri seseorang tidak datang dengan sendirinya. In termasuk apa jua sifat termasuk sifat ganas. Ahli bijak pandai sudah banyak membincangkan sama ada keganasaan dalam diri seseorang itu adalah sifat semula jadi atau sifat yang dipelajari. Saya mirip percaya mungkin sedikit adalah sifat semula jadi yang diwarisi semasa ibu mengandung, tetapi rata-rata bijak pandai mengatakan sifat itu dipelajari dari keadaan sekeliling.

Maka saya sendeng pada mengatakan sifat berani pun demikian juga.Ia tidak lahir semula jadi. Ia sifat yang perlu diasuh dan dibina. Maka di Tadika SmarTop Subur Fitrah (SUFI) yang kami tadbir di Tangkak, usaha sedang dijalankan untuk mula membina sifat berani dalam jiwa anak-anak SUFI semoga mereka menjadi dewasa yang berjati diri dan berwibawa.




Kami mulakan dengan berbagai acara dan di sini saya ingin berkongsi pengalaman. Contohnya kami mencari bakat anak kecil yang berani berdiri dikhalayak ramai untuk menghafaz satu, dua ayat alQuran, bersyarah/berpidatu dan sebagainya. Ini latihan membina keyakinan diri dan pada bulan March  yang lalu sempena program MaulidurRasul kami minta dua orang individu tampil ke atas pentas dan berucap 

ringkas. Lihat foto di atas. Ini sebagai permulaan sahaja  (the first step on a journey of a thousand miles).  InsyaAllah ia akan diikuti dengan program yang berterusan untuk melatih ramai lagi individu memberanikan diri.

SUFI juga mengadakan aktiviti fisikal (senaman) seminggu dua kali  bagi anak-anak berumur 4-6 tahun. Jika fisikal seseorang itu kuat dan sihat, maka keberanian mudah di asuh dan dibina. (A healty mind in a healthy body). Di bawah ini adalah contoh aktiviti latihan fisikal di pagi hari.


Zat vitamin D dari sinaran matahari meresap pada diri,

Latihan senaman membuat anak-anak cergas dan berselera makan. 
Makanan dan pemakanan adalah juga faktor penting dalam proses pembesaran. 
Program dalam perancangan ialah aktiviti seni mempertahankan diri.
 Ini elemen penting dalam membina keberanian.

Saya adalah seorang yang "fanatik" bila berbincang mengenai isu keberanian. Saya selalu sahaja mengatakan pada teman-teman, saya keturunan Jawa kontrak yang berani mengharong lautan datang ke bumi tempat berpijak sekarang. Seolah-olah saya "mewarisi" kecekalan hati Mak dan bapak saya menyeberangi lautan dalam dengan hanya sebuah tongkang. Alhamdulilah, Allah memudahkan.

Maka saya tidak selesa dengan orang yang bila bercakap di belakang seperti orang yang berani, mahu membela ketidak- adlilan terhadap orang bawahan atau mereka di sampingan. Tepai bila benar-benar berhadapan dengan pihak yang berkuasa, ia menikus sepi. Bukan sahaja menikus tetapi boleh berubah fikiran semata-mata mahu menyebelahi orang yang boleh memberi munafaat pada dirinya sendiri.

Kami mahu mengasuh dan membina anak-anak SUFI semoga berani kerana benar. Kami juga mahu membina akhlak perbadi mulia supaya mereka berani dan berhikmah. Kalau sekarang kita melihat orang yang  berani menyebar fitnah, berani membuat janji-janji palsu, berani rasuah dan  berani berbagai lagi, kami pengurus di SUFI sentiasa berdoa anak-anak SUFI berani berlandaskan Iman dan Taqwa. Semoga Allah memimpin dan meredhai.

Bercerita mengenai berani dan keberanian, saya suka mengikuti program di saluran ILMU di TV ASTRO. Sering saya mengikuti rencana berkaitan bagaimana tentera Amerika dilatih untuk menjadi tentera elite, di darat, udara dan laut.  Apa yang menarik pemerhatian saya ialah tentera yang tidak punya kekuatan dan keberanian biasanya akan terkandas dan tidak melepasi ujian yang ditentukan. Mereka tidak tergolong dalam kategori tentera elite. Saya berfikir-fikir sendirian bagaimana agaknya keadaan tentera kita di Malaysia. Rata-rata orang Malaysia berbadan kecil sebab kita tidak mengenal pasti siapa yang harus menjadi tentera dan diberi jenis makanan dan pemakanan  yang membina badan supaya kuat dan bertenaga untuk merentasi kesukaran fisikal bila bertempur dengan musuh. 

Maka saya google sedikit maklumat di U Tube mengenai latihan tentera gerak khas Malaysia yang di gelar juga sebagai Tentera Komando. MasyaAllah, hebat juga mereka. Badan kecil berbanding tentera Amerika, tetapi semangat wajanya setanding. Malah tentera Malaysia boleh lebih dari itu kerana komitmen jiwa raganya pada Allah swt. Dalam latihan Komando ini mereka juga dilatih nialai-nilai murni seperti team work, amanah dan sanggup berkongsi apajua dalam keadaan susah dan senang. Tidak ada Komando yang hanya berjuang kerana diri sendiri dan untuk diri sendiri. Jika ada diantara mereka yang demikian, mereka pasti dapat dikesan dan akan digagalkan dari penyertaan jadi komando.

Saya salute usaha ini. Cuma kalau pemimpin-pemimpin negara juga melalui program seperti ini, maka saya yakin mereka akan sentiasa ingat dan akan  bertindak untuk rakyat dahulu, barulah diri masing-masing. Bukan bercakap hanya setakat dimulut untuk sedap didengar.

Setakat itu sahaja yang sanggup saya katakan di sini mengenai nilai diri komando dan pemimpin. Maka saya "bercita-cita" besar semoga usaha kecil kami di Tadika SUFI sedikit sebanyak akan menjuruskan anak-anak untuk menjadi kuat dan berani dan berakhlak mulia. Ini proses yang harus dibina berperingkat-peringkat tetapi harus bermula dari kecil.

Semoga usaha kami berterusan dalam meniti-nita keberanian.




Tidak terkecuali mereka harus berani menghadapi air. Ini amat penting dan mengikut hadith sohih,  anak-anak harus diajar berenang. Berenang bukan sahaja membina otak dan justru minda tetapi air  adalah suatu fenomena yang harus dihadapi di mana jua, untuk waktu biasa dan waktu luar biasa. Dalam peperangan, air menjadi fenomena besar. 

Maka kami bawa anak-anak SUFI ke sebuah kolam renang di sebuah hotel di Melaka untuk mereka "berhadapan" dengan air. Yang sudah cukup besar dari segi fisikal, mereka boleh mula diajar berenang. Yang masih kecil kami bairkan dikolam yang cetek untuk "water exploration" supaya mereka berani dengan air.

Pertamanya mereka dilatih supaya berani menyelam. Bukan semua anak berani menyelam. Ingatkah sejarah diri-diri kita sendiri. Pada umur berapakah kita berani menyelam, walaupun untuk seketika. Apabila sudah berani menyelamkan diri barulah mereka diajar teknik berenang seterusnya.




Anak-anak rasa gembira dan kegembiraan itu memberi kami semangat untuk terus melatih mereka supaya mereka membesar menjadi dewasa yang luar biasa dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Kadang-kadang saya rasa "iri-hati" dengan generasi muda sekarang yang dapat belajar berenang di kolam renang. Semasa kecil saya belajar berenang di perigi buatan bapak saya. Kelapa tua kering digunakan sebagai pelampung. Namun begitu saya tetap rasa seronok dapat berenang cara budak kampung. Bila dewasa saya memberanikan diri cuba berenang di laut dengan kawan-kawan selepas tingkatan lima. Bila sudah bekerja saya belajar berenang di kolam renang. Kini saya sudah tidak mampu berenang. Saya hanya boleh berenang kuak-lentang dan yang lainnya dikira gagal. Walauapa pun, saya tidaklah takut sangat  dengan air, namun saya tidak pernah teruji dengan kebolihan yang sedikit itu. Semoga tidak perlu  teruji.

Semoga usaha kecil kami untuk anak-anak SUFI Allah kurnia kejayaan dan Allah terima sebagai amal soleh. Semoga akan lahir beberapa anak SUFI yang berani dalam konteks mencontohi keberanian sahabat-sahabat Rasulullah saw dalam semua jurusan kehidupan dan akan lahir beberapa pejuang yang akan membawa dunia Islam kekemuncak kehebatan yang Allah redha hingga keakhir zaman.
Ameen, Ya Rabb.

...

Thursday, April 11, 2013

Terkejut mendengar ceritanya....





Hari Isnin selepas berakhirnya cuti sekolah yang lepas saya teruja dapat peluang bersembang dengan cucu saudara saya yang baru pulang dari Jepun setelah tamat pengajian dibidang kejuruteraan eletrik selama 4 tahun.

Saya ambil foto ini sesaja sahaja bersama suami saya di rumah neneknya yang saya singgahi pulangnya dari Johor Bahru menuju Kuala Lumpur. Saya lawak dan kata padanya dia "action" dengan ijazahnya yang saya tak faham pun. Saya seronok bersembang dengannya kerana tidak ramai anak-anak muda mahu bersembang dengan orang tua.

Emapt tahun diperantauan membuatnya matang berfikiran global. Alhamdulilah. Aktiviti usrahnya semasa di sana juga menyejukan hati saya. Alhamdulilah. Semoga ia terus memperjuangkan kebenaran di mana jua ia berada.

Cuma saya agak terkejut dengan ceritanya mengenai  peristiwa mengurus jenazah di bumi di mana Islam amat terpinggir. Suatu hari ia menerima panggilan talipon dari seorang  wanita yang tidak dikenali mengatakan ia dalam kesusahan kerana kematian suami dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Nada suaranya menunjukan ia keturunan Indonesia dan berkahwin dengan warga Jepun yang memeluk Islam tanpa restu keluarga Jepunnya.

Cucu saudara saya ini bernama Firdaus dan ia belajar di University Iwate di Morioko City, Iwate prefecture. Bandar ini 3 jam perjalan menaiki bullet train yang lajunya 300 kilometer sejam dari bandar raya Tokyo. Bayangkan betapa terpinggir dari "tamadun" Islam. Firdaus mengaku ia rasa panik kerana tidak cukup pengetahuan mengenai bagaimana hendak mengurus jenazah yang tidak ada kemudahan seperti di Tanah Air. Maka ia pun mengGoogle dan mendapat tahu bahawa perkuburan Islam yang ada di Jepun hanya di tiga tempat sahaja, iaitu di Hokkido, Yamanshi dan Shizuoko. Semuanya amat jauh dari tempat ia tinggal. Dan seseorang itu semestinya ada cukup belanja untuk menampung kos pengkebumian, sekurang-kurangnya lebih kurang RM20,000/- Wanita ini tidak mampu untuk membayar kos itu dan ketakutan kerana perkahwinannya secara Islam tidak diketahui keluarga Jepunnya. Firdaus menalipon beberapa pihak pertubuhan Islam yang diketahui dalam keadaan panik tetapi gagal mendapat pertolongan secukupnya. Namun ia berjaya mendapatkan seorang Jepun yang beragama Islam untuk menerangkan pada keluarga Jepun masaalah yang dihadapi. Tetapi masaalah pengkebumian jenazah tidak juga selesai.

Firdaus mula memikirkan bagaimana mahu memandikan, menyembahayangkan dan mengkebumikan. Dia bertanya saya, menguji ilmu saya. Tidak dapat saya menjawabnya.

Rumah-rumah Jepun tidak punya bilik mandi yang besar. Jadi bagai mana mahu mandi di bilik itu tanpa mendirikan jenazah. Saya amat simpati dengan Firdaus yang ketika itu hanya ada dua atau tiga teman Islam bersamanya yang sama-sama kurang pengetahuan dan kemampuan. Maka mereka membuat keputusan tidak memandikan, tidak mengkapankan dan cuma mensolatkan sahaja. Kemudian jenazah di bawa ke tembat pembakaran (Cremation Cerntre) Jepun untuk dibakar mengikut kebiasaan orang-orang Jepun. Katanya orang-orang Jepun tidak tanam mayat. Mereka tidak ada tanah perkuburan. Mereka hanya ada tempat menyimpan debu jenazah yang dibakar.

Saya amat terkejut mendengar ceritanya dan Firdaus hingga kini merasa amat bersalah kerana mengurus dengan cara yang tidak sempurna dengan ilmu sedikit yang dia ada. Saya sendiri pun tidak ada Ilmu untuk komen atas  tindakannya itu.

Saya juga rasa amat bersalah kerana teringatkan akan tugas saya mengendali pelajar ke luar negara semasa saya bekerja dahulu di bawah Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan Malaysia. Ketika itu Kementerian memastikan pegawai-pegawai Pendidikan yang dihantar keluar negara boleh mengurus jenazah dan semua peraturan yang berkaitan dengannya. Tetapi ketika itu tidak terlintas membuat program supaya pelajar-pelajar pun tahu mengurus Jenazah. Mungkin kerana ketika itu kami berfikiran Kedutaan Malaysia akan menyelesaikan masaalah jika timbul apa jua kesulitan. Tidak pernah terlinats akan berlaku kes seperti yang dihadapi oleh Firdaus ke atas warga Islam yang bukan orang Malaysia.

Bagaimana saya dapat berlepas diri dalam hal-hal seperti ini !....
Ya Allah, aku mohon keampunan.

Tidaklah saya ketahui sama ada sekarang ini sudah ada pemikiran baru mengenai hal yang sama atau sekurang-kurangnya memaklumkan pada pelajar apa yang harus dibuat jika berlaku hal-hal seperti itu.

Tanggong jawab siapa ye?

Saya duduk termenung beberapa ketika menyesali apa yang berlaku walaupun tidak ada sesuatu yang saya boleh lakukan. Mungkin hanya jika ada cucu-cucu yang akan keluar ke negara bukan Islam untuk memaklumkan mereka  kebarangkalian menghadapi masaalah seperti ini.

Selepas cerita itu saya rehat sementara....berfikir-fikir.

Selepas saya rasa agak tenteram, kami bercerita juga tentang kerja-kerja dakwah di negara Jepun. Semasa saya di Tokyo menjaga cucu lima tahun dulu tidak timbul cerita seperti ini. Namun saya peka bahawa di Jepun ketika itu masih amat kurang buku-buku cerita kanak-kanak mengenai Islam dalam bahasa Jepun. Maka saya membuat pesanan pada Firdaus supaya mula berfikir-fikir untuk tugas ini kerana dia tahu bahasa Jepun. Anak perempuan saya tahu juga bahasa Jepun tetapi tidak power kebolehannya. Saya mengingatkan pada mereka tanggongjawab terhadap umat Islam di sana belum selesai. Mereka jadi sebahagaian dari tanggongjawab itu.


Sementara itu Firadaus bercerita-cerita  juga hal-hal sosial di Jepun. Foto di atas kelihatan ia menerangkan sesuatu pada kakak saya, iaitu nenek saudaranya yang pernah ikut saya ke Jepun buat seketika menjaga cucu sambil melancung pada tahun 2007. Kini ia berumur 77 tahun dan hanya mahu ke tanah suci sahaja jika berpeluang.

Firdaus kini telah mendapat tempat untuk berkerja dengan sebuah Syarikat Jepun di Bangi dan besar kemungkinan akan dihantar semula ke Jepun untuk menghadiri latihan khusus. Maka saya berpesan supaya mendapatkan ilmu sewajarnya supaya tidak kecundang sekali lagi jika diperlukan.

Ya Allah, berliah kemudahan baginya, tunjuki jalan yang lurus dan peliharalah ia semoga selamat dunia akhirat.
Ameen ya Rabb....

....

Wednesday, April 10, 2013

Bila berkawan......




Ini teman karib saya dari tingkatan enam di English College Johor Bahru dalam tahun 1965. Dia muda setahun dari saya dan sentiasa memanggil saya kak Sobah kerana itu budaya hidup di asrama ketika itu.

Hari Ahad musim cuti yang lalu saya pergi ke Johor Bahru untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya. Saya tidak membaca kad jemputan dan mengandaikan Majlis diadakan di rumahnya seperti majlis yang sudah-sudah.

Kelemahan manusia.....

Setiba di rumahnya saya terkejut sebab sunyi sepi. Maka menaliponlah saya akan teman saya ini. Katanya ia di adakan di sebuah Dewan (saya lupa namanya). Ia terletak berhampiran dengan Masjid Sulatan Abu Bakar di tepi pantai di Lido, Johor Bahru. Saya penduduk asli Johor, pernah bersekolah di Johor Bahru buat seketika, tetapi kini Johor Bahru amat asing bagi saya. Maka saya dan suami terbabas-babas mencari tempat ini. Saya katakan pada suami untuk minta maaf tidak dapat cari tempat dan pulang sahaja kerana waktu majlis pun sudah hampir ke penghujungnya.

Suami saya lebih 'gentleman'. Kita cari juga katanya, demi seorang teman. Terpaku saya mendengarnya kerana sepatutnya saya yang berkata demikian.

Cari punya cari, maka berjumpalah Dewan itu. Tetamu tinggal sedikit yang tinggal. Tetapi saya lega kerana dapat juga bertemu dengan teman saya ini.





Namanya Jawarih dari Pulau Pinang tetapi menetap di Johor Bahru kerana telah berjumpa dengan seorang tuan guru yang ia suka. Kini  Jawariah ialah seorang guru AlQuran. Semasa bekerja ia adalah pakar guru bahasa Inggeris dan suaminya pakar guru mathamatic. Saya suka mereka. Sentiasa ada cerita-cerita menarik mengenai Islam . Suaminya seorang Mualaf. Tetapi saya salute kegigihannya mempelajari Islam dan mengamalkan apa yang dipelajari. Alhamdulilah. Kurnia Allah datang dalam berbagai bentuk. Ibunya tidak bersetuju ia masuk Islam dan untuk beberapa lama masaalah keluarga menjadi suatu yang terpaksa dihadapi.

Tetapi siapa menjangka. Di akhir-akhir hayat ibunya  tinggal bersama teman saya dan ibu suaminya akhirnya  mengucap syahadah dan menjadi Islam. Tidak lama ia pun meninggal dunia. Saya suka mendengar cerita cabaran hidupnya.

Baru-baru ini tahun lepas mereka ke Yamen dengan anak bongsunya. Mereka belajar di sebuah "pondok" dan saya teruja mendengar cerita-ceritanya. Suatu hari saya berazam untuk ke sana. Eluk juga rasanya kita mengetahui bagaiman jalan-jalan alternatif mendekatkan diri pada Allah. Katanya di bulan Ramadhan Pusat Pondok itu mengadakan acara khas bagi peserta antarabangsa dan terjemahan ke Bahasa Inggeris diadakan.  Semoga Allah beri peluang dan ruang untuk saya ke sana.

Itu peristiwa di hujung percutian. Semoga Allah sentiasa memelihara dan mengurnia hidayahNya dan kasih sayangNya yang tidak terhingga.

Ameen, Ya Rabb.....

....
Related Posts with Thumbnails