"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, June 29, 2016

Menjelang Syawal, rindukan anak pulang....




Ramadhan Kareem insya Allah akan melabuhkan tirainya seminggu lagi. 
Kami dalam keluarga mengambil sedikit masa
 berbincang mengenai tibanya Syawal dan hasrat berkumpul semua
 ahli keluar kecil dan besar.

Kakak saya yang punya anak angkat yang sudah lama tidak pulang rasa
amat sayu dan bercakap ditelefon dengan suara yang tersekat-sekat.
Alhamdulilah pagi ini selepas solat Subuh Ustaz yang berceramah menitipkan beberapa ayat alQuran untuk doa dan zikir memohon hajat pada Allah swt untuk berbagai tujuan.
Saya ambil perhatian satu sahaja yang berkaitan 
dengan maslahah kakak saya.

Kata Ustaz: AlQuran Surah Yusuf, Ayat 68 boleh diamalkan sebagai zikir dan dengan izin Allah insyaAllah tertunai hajat di hati.

A068
Dan ketika mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun, tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Yaakub. Dan sesungguhnya ia orang yang berilmu, kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu); tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan).

Pulangnya saya dari Masjid saya lihat Surah Yusuf dan saya baca bersekali dengan ayat 64 hingga 69 untuk memahami latar belakang yang lebih jelas.
Saya baca juga dari nota kaki dalam AlQuran (AL-HAMBRA) dengan tafsir ringkas ayat-ayat pilihan. Lihat muka 243 yang mempaparkan cerita ringkas kisah Nabi dan Rasul. Ia itu cerita bagaimana Nabi Yaakub berbicara denagan anak-anaknya untuk mempertemukan semula Nabi Yusuf AS dengan adik kesayangannya, Bunyamin.

WaAllahu'lam. Sila rujuk ustaz-ustaz yang pakar.

Semoga tertunai hajat kakak saya semoga anaknya pulang dengan izin Allah.
Aameen ya Rabb....


...foto ehsan google...

Monday, June 27, 2016

Poweful Message dalam Pendidikan Ramadhan kini....

Hamza Yusuf's photo.


Saya petik kenyataan ini dari Facebook Shaikh Hamza Yusuf.
Suatu yang menggegarkan minda, satu Kenyataan yang Benar dan
 tidak ada kuasa manusia yang boleh  menyanggahnya. 
Yang Hak tetap Hak dan yang Batil tetap Batil.

Saya terkesan di hati dengan apa yang saya baca dan fahami dalam
media ini. Di Bulan Ramadhan ini saya ikuti saranan-saranan yang ada dan menyedari
kekurang yang ada pada diri. Alhamdulilah akan saya cuba baiki.

Semangat "ambitious endeavour" seperti ini saya kongsikan dengan
 team saya dalam membangunkan Taska dan Tadika 
SmarTop Subur Fitrah di Tangkak Johor.
Terlalu kecil usaha kami di SmarTop berbanding apa yang 
di laksana oleh Hamza Yusuf.
Namun kami ingin "menciplak" apa yang baik dan apa yang kami
 belum dapat membuatnya bersendirian.
Menjadi inspirasi buat saya untuk mengikut jejaknya.

Melentur buluh dari Rebungnya.

 Semoga mendapat keberkatan dari Allah dan usaha kedrdil kami ini Allah
 masih terima sebagai dari sebahagian amal soleh
 kami yang berkekalan hingga ke akhir zaman. 
Itu doa kami sentiasa terutamanya di malam-malam terakhir Ramadhan ini.

Semoga usaha team Shaikh Hamza yusuf dengan ini ganjarannya Allah lipat-gandakan kerana menerajui sesuatu yang tinggi nilainya untuk kemanusiaan,
untuk pengabdian pada yang maha Berkuasa dan Bijaksana. 

Aameen, ya Rabb....


.....

Sunday, June 26, 2016

Ujian itu berbeza......






Ramadhan tahun ini membawa kesan di luar sangkaan saya. Alhamdulillah Allahuakbar. Selalu saya mendengari kata ustaz dalam majlis ilmu bahawa Allah SWT tidak akan menguji hambaNya di luar kemampuannya. Dan tidak ada ujian dari Allah yang jika difahami dan diterima dengan redha hati, akan membawa kepada keadaan yang lebih rumit.

Tahun 2016 bermula dengan hati riang setelah kembali dari musafir  ke Timur Tengah menziarahi Masjid al Aqsa, Masjid Al Haram dan Masjid Nabawi yang penuh peristiwa, terutamanya di Masjid Al Aqsa yang masih dalam tawanan Yahudi. Disember 2015 adalah bulan bersejarah bagi saya. Suami dan saya mengikuti rombongan yang diurus bersama ajen pelancungan dengan anak menantu lelaki saya. Kakak-kakak saya juga turut serta yang membuat musafir waktu itu amat bermakna buat saya. Pautan kasih bersaudara dan pautan kasih anak sekeluarga membuat hati saya rasa amat teruja dan merasai kesyukuran yang tidak terhingga.

Tetapi hidup kita ini sentiasa diperhati oleh yang maha Pencipta dan maha Berkuasa. Suratan Rahsia Al Khalik dan hambanya tiada siapa yang dapat menduga. Awal tahun 2016 yang bermula penuh mesra dalam keluarga termasuk keluarga besar saya, seperti tiba-tiba sahaja dilanda kemelut yang menyebabkan ikatan keluarga menjadi hampir terputus dua. Ujuan luar biasa bagi saya.........

Allah turunkan ujian berbeza-beza. Ada yang melibatkan harta benda, ada yang melibatkan kedudukan keluarga dalam berumah tangga, ada yang melibatkan ujian meredah hati sanubari hingga serabut fikiran dan ada yang diuji dengan berbagai karenah dunia. Seperti kita semua maklum, walaupun belum mengalamai, semua ujian pastinya ada agenda yang Allah mahu kita memahami dan mengerti apa itu pilihan hati dan apa itu takdir Ilahi. Jangan kita fikirkan bahawa apa jua yang berlaku pada diri semuanya takdir Ilahi tanpa peranan minda dan hati yang melibatkan diri. Allah bagi hambanya pilihan dalam hidup ini. Dalil dalam alQuran mudah sekali.   

A256
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah 2:256) | 

Jika tidak ada paksaan dalam mentaati Allah dan beriman denganNya, maka pastinya tidak ada paksaan dalam banyak hal dalam hidup manusia mengendali hal dirinya.

Saya tidak bertujuan berhujah panjang lebar dalam hal ini. Cuma saya ingin kongsikan kefahaman saya bahawa Allah membuka berbagai ruang dalam hidup kita yang harus kita fikirkan sebelum kita membuat sesuatu keputusan dalam apa perkara sekalipun. Ada fikiran dan perancangan yang kita buat, tetapi tidak menjadi jika Allah tidak izin. Dan ada yang menjadi kerana Allah izin. Soal Allah izin tidak bererti Allah merestui. Contohnya jika mahu membunuh diri terjun ke sungai deras dan mati, itu bukan satu tindakan yang Allah restui. Allah bagi jadi (Allah yang mematikan), tetapi tanggong jawab itu terletak pada dirinya. Subhanallah. Maha suci Allah mahu menzalimi ciptaannya. Jangan mudah-mudah mengatakan semuanya takdir. Allah bagi pilihan dalam hidup ini walaupun akhirnya Allah yang menentukan. 


Ujian terberat bagi saya berlegar dalam fenomena seperti ini. Alhamdulillah....saya pegang kuat atas prinsip bahawa kebergantungan kita hanya pada Allah dan tidak ada kekuatan melain dariNYA. Ujian seperti ini berterusan dan hamba yang beriman harus yakin bahawa Allah maha Mendengar dan maha Melihat. Buat sahaja yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Kita harus sentiasa muhasabah diri dan jangan berbuat sesuatu tanpa berfikir panjang dan berfikiran menyeluruh. Saya sentiasa menerima nasihat ini dari teteman. 


Kini Ramadhan sudah sangat hampir ke penghujungnya. Ustaz berceramah sentiasa memberi ingatan semoga kita beramal penuh ikhlas sebanyak yang mungkin. Kita harus memohon keampunan dari segala dosa, kelemahan dan kekurangan. Itu yang utama. 

Semoga saya dapat melaksana nasihat-nasihat ini. Semoga Allah kurnia keyakinan bahawa Allah mendengari segala rintihan dan Allah maha Bijaksana dan maha Adil dalam semua penentuanNya. Maka saya pasrah bulat padaNya.


اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ  تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى


"Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku” 


Aamiin ya Rabb.....


.......

Friday, June 24, 2016

Wahai orang yang berselimut......



Bismillah


Alhamdulilah, Allah kurnia masa dan tenaga untuk kembali berbicara sedikit setelah lama saya tiada peluang. Kini hari yang ke 19 kita berpuasa dan bermakna bahawa kita sudah amat hampir ke penghujung Ramadhan. Berbagai rasa timbul di hati menhadap hari-hari mendatang dan sudah mula rasa sayu Ramadhan akan beredar tidak lama lagi.

Saya sudah meminta anak saya "mengintip" Masjid mana yang ada program best untuk sepuluh malam terakhir Ramadhan. Untuk mengelak rasa hati yang supaya tidak lagfha, saya suka ke Masjid yang saya tidak banyak mengenali ahli qariahnya. Saya berfikiran saya boleh lebih fokus kepada apa yang saya akan lakukan tanpa memikirkan perihal sesama sendiri. Semoga Allah menunjuki jalan dan cara terbaik untuk munajat padaNya.

Kelmarin dulu saya mendengari ceramah ringkas mengenai Nuzul Al Quran. Sudah sering kali mendengari tetapi masih ada juga yang tertinggal dalam ingatan dan fahaman. Allah maha Bijaksana mendidik hamba-hambaNya supaya sentiasa rasa bersyukur menjadi seorang Muslim.

Saya sering ke masjid dalam bulam Ramadhan ini bersama anak lelaki saya selain suami saya. Kami sering berbuka puasa bersama....juga di Masjid agar tidak ketinggalan untuk solat berjemaah tepat pada waktunya. Saya turut sama untuk memudahkan tugas bersama. Kekadang anak saya bercerita mengenai apa yang di alami olehnya sepanjang Ramadhan yang sedang dilalui. Dia suka bercerita mengenai tugas Rasulullah salallhualaihiwasalam sebagai pemimpin ummah. Antara ayat yang disukainya untuk dikongsikan dengan saya ialah surah Al Muzzammil.
A001
Wahai orang yang berselimut!.
(Al-Muzzammil 73:1) |
A002
Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
(Al-Muzzammil 73:2) |

Mengikut beberapa tafsir, Allah begitu mesra memanggil Nabi kita. "Wahai orang yang berselimut". Juga mengingatkan kita bahawa setiap Muslim ada tugas besar pada dirinya dan di luar sana yang memerlukan kita punya kekuatan minda dan hati untuk melaksanakannya. Maka jangan kita mencari keselesaan diri dan tidak ambil peduli pada apa yang Allah tugaskan untuk kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Kemudian kita diingatkan lagi dengan ayat-ayat yang berikutnya. (dengarilah sendiri tadaburnya).....

A001
Wahai orang yang berselimut!
(Al-Muddaththir 74:1) | 
A002
Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
(Al-Muddaththir 74:2) | 

A003
Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
(Al-Muddaththir 74:3) | 
Allah mahukan kita sentiasa bersedia dan melengkapkan diri untuk tugas besar. Maka kita harus bangun malam bermunajat padanya memohon segala yang kita perlukan untuk terus berfungsi sebaga Khalifah di dunia ini sebelum kita dijemput menemuiNYA bila-bila masa. Tidak ada masa untuk beristirehat. Kata Ustaz kita beristirehat di akhirat nanti.
Jom kita sama-sama bertidak seperti tuntutan itu. semoga Allah sentiasa memberi semangat dan memberkati usaha kita dan di akhir perjalanan ini kita di jemput mendiami taman-taman Syurga pilihan kita tanpa hisab.......dengan RahmatNya semata-mata.
Aamiin ya Rabb....

........

Sunday, June 12, 2016

Ia tidak sempit, jangan kita yang menyempitkannya.......





Duduk termenung seketika di bulan Ramadhan mengingatkan saya pada seorang ustaz yang mengatakan: Allah tidak cipta dunia ini sempit, maka jangan kita yang menyempitkannya.

Rata-rata kita lihat hari ini dunia bergolak kerana berebut kuasa, berebutkan wilayah dan berebutkan hasil bumi dan berbagai lagi.Allah buat dunia ini cukup luas kalau kita tidak rasa tamak, tidak rasa hasad dengki dan tidak memikirkan kepentingan diri sendiri. Allah telah menggariskan dalam al Quran pentingnya hubungan manusia dengan Penciptanya dan hubungan antara manusia dengan manusia, dan manusia dengan haiwan. Maka jika kita patuhi prinsip itu, in sya Allah kita akan aman damai mengikut acuan Allah dan bukan acuan manusia. Maka jika hati-hati manusia demikian rupa maka tidak akan ada manusia yang dizalimi, yang dahaga dan kelaparan dan siksaan yang pedih di dunia ini.

Teringat juga seorang ustaz mengatakan bahawa seseorang itu melihat dunia ini sempit kerana jiwa dan ruhnya sentiasa merasai takut dan khuatir, sentiasa rasa resah dan sentiasa rasa  apa yang dia ada masih belum mencukupi. Seseorang itu punya rumah besar, punya kereta besar, punya ramai anak yang berjaya, banyak harta dan wang ringgit..... tetapi hatinya tidak tenanag. Ia masih mahu mencari dan menambah lagi kerana padanya apa yang ada pada dirinya  masih belum memberi kebahagiaan.

Apa itu kebahagiaan....

Ini sering di perbincangkan di mana ada ceramah ustaz di sana sini. Saya hanya mahu melihat satu fakta yang berkait terus dengan ibadah puasa. Saya sering mengikuti ustaz Bakhtiar di Utube dan saya tertarik dengan cara ia menganalisa erti puasa. Antara yang saya fahami: Kita melaparkan jasad supaya Ruh kita kenyang. Kita meletihkan jasad supaya Ruh kita menjadi kuat. Ruh kita sepertinya duduk di Qalbu. Jika kita hujani Qalbu kita dengan kekuatan Kalimah Syahadah, yakin jitu bahawa Allah itu maha Pencipta, maha berkuasa dan maha Bijaksana serta maha Adil dan maha Kasih Sayang, maka Qalbu kita akan sentiasa rasa tenang. Jika kita kuatkan Qalbu dengan Kebenaran Allah maka hawa nafsu akan tunduk merendah diri dan tidak mudah di ganggu gugat oleh Syaitan. Kita tidak perlu rasa takut dan bersedih hati. Dan kita tidak akan mudah panjang angan-angan dan sentiasa berangan-angan, Jiwa kita tidak sarakah kerana sentiasa mahu berlebih dari orang lain.

Dengan kata lain, kita haruslah sentiasa beramal soleh dan mencegah diri dari perbuatan mungkar. Allah itu Ar Razak....maha Pemberi rezki. Maka mengapa kita perlu berlumba hingga meninggalkan perintahNya dan rasa selesa meredah apa jua peraturan dan perundangan asal sahaja rasa puas hati dan rasa seperti sudah mencapai kemenangan.

Tetapi hakikatnya ialah manusia tidak akan rasa puas hati. Ia akan berterusan demikian hingga mulutnya, hidungnya, matanya dan telinganya "disumbat tanah". Ia itu hingga ia mati dan dikuburkan. Na'uzubillah.

Jom kita lihat semula erti kesempitan hidup. Kita mengaji di hadapan guru atau kita rajin membaca dan melihat contoh di sekeliling kita.  Pasti sempit jika kita tidak nisbahkan sesuatu itu pada kewujudan Allah.Allah yang maha berhak atas segala-galanya dan Dia yang maha berkuasa atas segala sesuatu. Tetapi Dia juga yang maha Pengampun dan Dia juga yang maha Kasih Sayang.

Semoga di Ramadhan yang Mulia ini, doa kita yang baik-baik Allah qabulkan dan dikurnia kita dengan RahmatNya yang tidak terhingga. Semoga kita mencapai taraf hambaNya yang sejati dan Allah jemput kita ke dalam Syurganya tanpa hisab bersama-sama semua yang kita kasihi terutama ibu-bapa kita.

Allahuma Aameen......


......

Thursday, June 9, 2016

Ikan bilis untuk puasa.....



Puasa kali ini banyak ingatkan pada emak. Nostalgia ingat kesukaan emak dalam bulan puasa. Saya tidak berapa sangat pada bapak, kerana bapak meninggal dunia saya berumur 16 tahun .
Sejarahnya.....
Saya dari keluarga pendatang. Hidup susah dan semuanya memerlukan kerja kuat penuh kesabaran. Makan seadanya. Mula-mula terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ini cerita kakak-kakak saya.Apapun, alhamdulillah.....

Saya yang bongsu dalam keluarga, maka sudah tidak mengalami pahit manis yang dilalui emak dan bapak bila mula kehidupan diperantauwan. Bila saya mula ingat, saya masih merasai hidup miskin. Makanan kami selain nasi adalah tambahan dari unsur pertanian, iaitu ubi keladi keledek. Lauk yang amat biasa ialah sambal tumis ikan bilis, atau sotong kering.

Waktu itu bilis dan sotong kering adalah makanan orang miskin. Kini ia makanan orang berada. Amat mahal harganya. Maka ramai yang makan ayam kerana secara bandingan ia lebih murah. Tetapi saya amat suka ikan bilis....buat sambal tumbuk campur terung. Kekadang campur tempe. Sentiasa ingatkan emak dan kakak sulung saya yang menjaga saya semasa kecil. Semoga mereka sejahtera di alam barzah yang kita juga akan ke sana....

Sekarang apa pun sudah tidak murah seperti dahulu.......

Tak apalah.... kita ingat pada Allah. Dia yang maha kasih sayang dan Dia yang maha pemberi rezki. Rata-rata di Masjid ada peruntukan sumbangan berbuka puasa. Beberapa tahun lepas saya dan suami berbuka sahaja di masjid. Yang penting suami saya dapat berjemaah di Masjid. Saya ikut sahaja.

Semoga Allah kurnia kesihatan dan kekuatan untuk mengabdikan diri lebih sedikit dari biasa. Semoga di kurnia keistimewaan malam Lailatul Qadar......

Jom....kita terus berdoa.


.....

Sunday, June 5, 2016

Rindu Ramadhan Kariim......













KEPADA 
PARA PENGUNJUNG BUDIMAN.
DIUCAPKAN SELAMAT BERPUASA.
SEMOGA ALLAH KURNIA RAHMATNYA YANG TIDAK TERHINGGA.


.......


Friday, June 3, 2016

Layanan kepada warga emas di hospital.......





Dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Pontian tidak lama dulu. Pemandangan seperti ini membuat hati sayu dan berfikir-fikir bagaimana memunafatkan umur yang tinggal sedikit ini. Hidup ini sudah amat dekat penghujungnya.

Semalam saya ke hospital PPUM untuk pemeriksaan rutin, berjumpa doktor pakar diabetis. Keadaan kesihatan saya menurun. Average gula dalam darah naik dari 7.4 ke 8.5. Doktor giling kepala dan mula menerangkan pada saya bagaimana mahu menurunkan paras yang mengarah pada bahaya. Makan mesti jaga dan kurangkan apa jua yang tinggi carbohaidratnya. Saya tersenyum tawar kerana memang salah saya yang kurang mendisiplin diri. 

Doktor ini amat prihatin memberi nasihat yang panjang lebar, terutamanya cara mengawal makanan dan ubatan semasa berpuasa bulan Ramadhan. Penerangannya baik dan jelas. Tetapi.....alahai! Sampai di rumah saya sudah banyak lupa ubat mana yang kena tambah dan ubat mana yang harus dikurangkan dan bila mahu membuat perubahan. Itulah karenah warga emas yang ramai orang muda lupa bahawa daya ingatan orang seperti saya sudah amat kurang. Semoga tidak terus lupa. Ya Allah! mohon perlindungan Mu.

Bila umur menjejak warga emas, seharusnya ada seorang yang dapat melayani pesakit secara terperinci, membantu menulis arahan supaya dapat dibaca di rumah dan tidak bergantung pada ingatan sahaja. Tetapi Doktor amat sibuk sekali saya perhatikan dan bilangan pesakit amat ramai. Semalam saya melapor diri jam 9.30 pagi untuk temu janji jam 11 pagi. Saya dapat bertemu doktor jam 12.45 pagi dan selesai mengambil ubat jam 2 petang. Amat mencabar kesabaran. Saya hanya mampu senyum sahaja kerana para jururawat juga tidak mampu menyelesaikannya. Saya sampai di rumah jam 3 petang.

Rata-rata pesakit dalam lingkungan umur saya. Ada yang ditemani waris dan tidak ramai yang datang berseorangan seperti saya. Saya masih ingin berdikari walaupun umur saya sudah mencecah tujuhpuluhan. Sulitnya pergi seorang diri ialah ketika mahu menselesakan diri di bilik air. Semalam bilik yang saya pilih tidak ada tempat sangkut bag. Saya jadi Mc Guyvor dan buat tempat sangkut. Hanya mampu tersenyum.......buat ingatan orang muda yang membuat dasar dan melaksana projek. Ingatlah pada orang tua.

Alhamdulilah........dalam apa jua keadaan. Allah masih kurnia saya kederat berjalan berseorangan. Masih bolih solat berdiri walaupun kekadang agak susah sedikit. Banyak yang Allah mudahkan. Maka saya senyum sahaja dan berlapang dada. Saya ingin mendidik hati supaya sentiasa bersyukur......

Hingga jumpa lagi......selamat menyambut Ramadhan al Mubarak.


........

Wednesday, June 1, 2016

1 Jun 2016, Permulaan dan semoga berterusan........




1Jun 2016 seperti tarikh keramat buat saya.

Hari ini saya mulakan haluan baru mendampingi Masjid setelah lebih 3 bulan saya menyendiri. Ramai kekawan bertanya melalui Whatsapp tetapi saya terus mendiamkan diri. Sayu rasa di hati tetapi saya mahu meyakinkan diri bahawa ada kalanya dalam hidup ini kita tidak perlu berhubungan jika tidak amat perlu. Ketika itu saya sedang melalui satu fasa hidup yang amat mencabar keperhatinan saya sebagai seorang dewasa tua dalam menghadapi karenah hidup. 

Saya menyendiri sebagai satu "coping strategy"  untuk berfikir dan menghayati erti sebenar-benarnya apa itu kebergantungan penuh pada Allah. "Hasbiallahu wanikmalwakil" . 

Rasa seperti saya mahu melarikan diri dari satu reality hidup dan mencari reality lain dengan harapan dapat mengatasi rasa hati yang penuh kekecewaan dan minda yang agak kebingungan. Alhamdulilah dalam jangka masa yang tidak disangka-sangka Allah bagi saya rasa untuk berkeyakinan bahawa apa jua yang berlaku, kita tidak perlu gusar. Allah maha melihat dan maha mendengar dan Dia maha mengetahui apa yang tersembunyi dan apa yang nyata.

Maka saya letakan jauh-jauh apa jua karenah yang ada dan meyakinkan diri bahawa apa yang Allah tentukan itulah yang paling baik bagi diri saya. Saya mencuba sedaya upaya mengikhlaskan diri dan meneruskan perjalanan hidup mengikut kemampuam fitrah seorang yang dewasa tua dan cuba meyakinkan diri bahawa tidak ada halangan yang tidak boleh di atasi dengan pertolongan Allah.Esuk juga Allah yang punya.

Saya terus cuba melihat dengan mata hati keindahan hidup yang sementara ini dan cuba memfokus apa yang akan kita lalui di Akhirat nanti. Hidup ini satu illusi dan yakinlah bahawa senang atau susah, ia tidak lama. Hidup di dunia ada akhirnya dan kita harus tumpu ingatan dan usaha untuk akirat yang kekal abadi.





Maka saya menumpang seronok usaha anak menantu saya memulakan hobi menanam pokok bunga di depan patio rumah saya. Bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurnia tanpa kita minta dan kita rayu. Di sisi Allah semuanya indah asal sahaja kita tahu menghargainya. 

Aktiviti ini punya nilai terepi minda dan hati buat saya dan juga aktiviti seperti melancung dan kerja-kerja kebajikan. Saya katakan terepy tetapi kata anak saya yang punya dua orang anak istimewa mengatakan anak-anak OKU punya caranya sendiri untuk mengatasi kekurangan yang ada pada diri mereka. Cara itulah yang juga dikatakan sebagai 'coping strategy' yang saya sebut di atas. Dengan bahasa yang mudah saya suka katakan ia adalah cara kita melawan pemikiran negatif supaya kita tidak tenggelam dalam situasi yang merugikan kita di dunia dan akhirat.

Semoga Allah menunjuki jalan dan hasrat saya meneruskan program dan aktiviti sebagai wasilah mencari redha Allah akan kesampaian dengan izin dan Rahmat Allah semata-mata.

Sebagai mengakhiri catatan ini saya turunkan pokok-pokok bunga yang sedang diuji tanam oleh anak menantu perempuan saya.








Hingga lain kali, semoga hasrat mengikuti program dan aktiviti masjid 
di Bulan Ramadhan kesampaian.


......
Related Posts with Thumbnails