"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, June 12, 2016

Ia tidak sempit, jangan kita yang menyempitkannya.......





Duduk termenung seketika di bulan Ramadhan mengingatkan saya pada seorang ustaz yang mengatakan: Allah tidak cipta dunia ini sempit, maka jangan kita yang menyempitkannya.

Rata-rata kita lihat hari ini dunia bergolak kerana berebut kuasa, berebutkan wilayah dan berebutkan hasil bumi dan berbagai lagi.Allah buat dunia ini cukup luas kalau kita tidak rasa tamak, tidak rasa hasad dengki dan tidak memikirkan kepentingan diri sendiri. Allah telah menggariskan dalam al Quran pentingnya hubungan manusia dengan Penciptanya dan hubungan antara manusia dengan manusia, dan manusia dengan haiwan. Maka jika kita patuhi prinsip itu, in sya Allah kita akan aman damai mengikut acuan Allah dan bukan acuan manusia. Maka jika hati-hati manusia demikian rupa maka tidak akan ada manusia yang dizalimi, yang dahaga dan kelaparan dan siksaan yang pedih di dunia ini.

Teringat juga seorang ustaz mengatakan bahawa seseorang itu melihat dunia ini sempit kerana jiwa dan ruhnya sentiasa merasai takut dan khuatir, sentiasa rasa resah dan sentiasa rasa  apa yang dia ada masih belum mencukupi. Seseorang itu punya rumah besar, punya kereta besar, punya ramai anak yang berjaya, banyak harta dan wang ringgit..... tetapi hatinya tidak tenanag. Ia masih mahu mencari dan menambah lagi kerana padanya apa yang ada pada dirinya  masih belum memberi kebahagiaan.

Apa itu kebahagiaan....

Ini sering di perbincangkan di mana ada ceramah ustaz di sana sini. Saya hanya mahu melihat satu fakta yang berkait terus dengan ibadah puasa. Saya sering mengikuti ustaz Bakhtiar di Utube dan saya tertarik dengan cara ia menganalisa erti puasa. Antara yang saya fahami: Kita melaparkan jasad supaya Ruh kita kenyang. Kita meletihkan jasad supaya Ruh kita menjadi kuat. Ruh kita sepertinya duduk di Qalbu. Jika kita hujani Qalbu kita dengan kekuatan Kalimah Syahadah, yakin jitu bahawa Allah itu maha Pencipta, maha berkuasa dan maha Bijaksana serta maha Adil dan maha Kasih Sayang, maka Qalbu kita akan sentiasa rasa tenang. Jika kita kuatkan Qalbu dengan Kebenaran Allah maka hawa nafsu akan tunduk merendah diri dan tidak mudah di ganggu gugat oleh Syaitan. Kita tidak perlu rasa takut dan bersedih hati. Dan kita tidak akan mudah panjang angan-angan dan sentiasa berangan-angan, Jiwa kita tidak sarakah kerana sentiasa mahu berlebih dari orang lain.

Dengan kata lain, kita haruslah sentiasa beramal soleh dan mencegah diri dari perbuatan mungkar. Allah itu Ar Razak....maha Pemberi rezki. Maka mengapa kita perlu berlumba hingga meninggalkan perintahNya dan rasa selesa meredah apa jua peraturan dan perundangan asal sahaja rasa puas hati dan rasa seperti sudah mencapai kemenangan.

Tetapi hakikatnya ialah manusia tidak akan rasa puas hati. Ia akan berterusan demikian hingga mulutnya, hidungnya, matanya dan telinganya "disumbat tanah". Ia itu hingga ia mati dan dikuburkan. Na'uzubillah.

Jom kita lihat semula erti kesempitan hidup. Kita mengaji di hadapan guru atau kita rajin membaca dan melihat contoh di sekeliling kita.  Pasti sempit jika kita tidak nisbahkan sesuatu itu pada kewujudan Allah.Allah yang maha berhak atas segala-galanya dan Dia yang maha berkuasa atas segala sesuatu. Tetapi Dia juga yang maha Pengampun dan Dia juga yang maha Kasih Sayang.

Semoga di Ramadhan yang Mulia ini, doa kita yang baik-baik Allah qabulkan dan dikurnia kita dengan RahmatNya yang tidak terhingga. Semoga kita mencapai taraf hambaNya yang sejati dan Allah jemput kita ke dalam Syurganya tanpa hisab bersama-sama semua yang kita kasihi terutama ibu-bapa kita.

Allahuma Aameen......


......

No comments:

Related Posts with Thumbnails