Ramadhan tahun ini membawa kesan di luar sangkaan saya. Alhamdulillah Allahuakbar. Selalu saya mendengari kata ustaz dalam majlis ilmu bahawa Allah SWT tidak akan menguji hambaNya di luar kemampuannya. Dan tidak ada ujian dari Allah yang jika difahami dan diterima dengan redha hati, akan membawa kepada keadaan yang lebih rumit.
Tahun 2016 bermula dengan hati riang setelah kembali dari musafir ke Timur Tengah menziarahi Masjid al Aqsa, Masjid Al Haram dan Masjid Nabawi yang penuh peristiwa, terutamanya di Masjid Al Aqsa yang masih dalam tawanan Yahudi. Disember 2015 adalah bulan bersejarah bagi saya. Suami dan saya mengikuti rombongan yang diurus bersama ajen pelancungan dengan anak menantu lelaki saya. Kakak-kakak saya juga turut serta yang membuat musafir waktu itu amat bermakna buat saya. Pautan kasih bersaudara dan pautan kasih anak sekeluarga membuat hati saya rasa amat teruja dan merasai kesyukuran yang tidak terhingga.
Tetapi hidup kita ini sentiasa diperhati oleh yang maha Pencipta dan maha Berkuasa. Suratan Rahsia Al Khalik dan hambanya tiada siapa yang dapat menduga. Awal tahun 2016 yang bermula penuh mesra dalam keluarga termasuk keluarga besar saya, seperti tiba-tiba sahaja dilanda kemelut yang menyebabkan ikatan keluarga menjadi hampir terputus dua. Ujuan luar biasa bagi saya.........
Allah turunkan ujian berbeza-beza. Ada yang melibatkan harta benda, ada yang melibatkan kedudukan keluarga dalam berumah tangga, ada yang melibatkan ujian meredah hati sanubari hingga serabut fikiran dan ada yang diuji dengan berbagai karenah dunia. Seperti kita semua maklum, walaupun belum mengalamai, semua ujian pastinya ada agenda yang Allah mahu kita memahami dan mengerti apa itu pilihan hati dan apa itu takdir Ilahi. Jangan kita fikirkan bahawa apa jua yang berlaku pada diri semuanya takdir Ilahi tanpa peranan minda dan hati yang melibatkan diri. Allah bagi hambanya pilihan dalam hidup ini. Dalil dalam alQuran mudah sekali.
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah 2:256) | Jika tidak ada paksaan dalam mentaati Allah dan beriman denganNya, maka pastinya tidak ada paksaan dalam banyak hal dalam hidup manusia mengendali hal dirinya.
Saya tidak bertujuan berhujah panjang lebar dalam hal ini. Cuma saya ingin kongsikan kefahaman saya bahawa Allah membuka berbagai ruang dalam hidup kita yang harus kita fikirkan sebelum kita membuat sesuatu keputusan dalam apa perkara sekalipun. Ada fikiran dan perancangan yang kita buat, tetapi tidak menjadi jika Allah tidak izin. Dan ada yang menjadi kerana Allah izin. Soal Allah izin tidak bererti Allah merestui. Contohnya jika mahu membunuh diri terjun ke sungai deras dan mati, itu bukan satu tindakan yang Allah restui. Allah bagi jadi (Allah yang mematikan), tetapi tanggong jawab itu terletak pada dirinya. Subhanallah. Maha suci Allah mahu menzalimi ciptaannya. Jangan mudah-mudah mengatakan semuanya takdir. Allah bagi pilihan dalam hidup ini walaupun akhirnya Allah yang menentukan.
Ujian terberat bagi saya berlegar dalam fenomena seperti ini. Alhamdulillah....saya pegang kuat atas prinsip bahawa kebergantungan kita hanya pada Allah dan tidak ada kekuatan melain dariNYA. Ujian seperti ini berterusan dan hamba yang beriman harus yakin bahawa Allah maha Mendengar dan maha Melihat. Buat sahaja yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Kita harus sentiasa muhasabah diri dan jangan berbuat sesuatu tanpa berfikir panjang dan berfikiran menyeluruh. Saya sentiasa menerima nasihat ini dari teteman.
Kini Ramadhan sudah sangat hampir ke penghujungnya. Ustaz berceramah sentiasa memberi ingatan semoga kita beramal penuh ikhlas sebanyak yang mungkin. Kita harus memohon keampunan dari segala dosa, kelemahan dan kekurangan. Itu yang utama.
Semoga saya dapat melaksana nasihat-nasihat ini. Semoga Allah kurnia keyakinan bahawa Allah mendengari segala rintihan dan Allah maha Bijaksana dan maha Adil dalam semua penentuanNya. Maka saya pasrah bulat padaNya.
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى
"Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku”
Aamiin ya Rabb.....
.......
No comments:
Post a Comment