Dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Pontian tidak lama dulu. Pemandangan seperti ini membuat hati sayu dan berfikir-fikir bagaimana memunafatkan umur yang tinggal sedikit ini. Hidup ini sudah amat dekat penghujungnya.
Semalam saya ke hospital PPUM untuk pemeriksaan rutin, berjumpa doktor pakar diabetis. Keadaan kesihatan saya menurun. Average gula dalam darah naik dari 7.4 ke 8.5. Doktor giling kepala dan mula menerangkan pada saya bagaimana mahu menurunkan paras yang mengarah pada bahaya. Makan mesti jaga dan kurangkan apa jua yang tinggi carbohaidratnya. Saya tersenyum tawar kerana memang salah saya yang kurang mendisiplin diri.
Doktor ini amat prihatin memberi nasihat yang panjang lebar, terutamanya cara mengawal makanan dan ubatan semasa berpuasa bulan Ramadhan. Penerangannya baik dan jelas. Tetapi.....alahai! Sampai di rumah saya sudah banyak lupa ubat mana yang kena tambah dan ubat mana yang harus dikurangkan dan bila mahu membuat perubahan. Itulah karenah warga emas yang ramai orang muda lupa bahawa daya ingatan orang seperti saya sudah amat kurang. Semoga tidak terus lupa. Ya Allah! mohon perlindungan Mu.
Bila umur menjejak warga emas, seharusnya ada seorang yang dapat melayani pesakit secara terperinci, membantu menulis arahan supaya dapat dibaca di rumah dan tidak bergantung pada ingatan sahaja. Tetapi Doktor amat sibuk sekali saya perhatikan dan bilangan pesakit amat ramai. Semalam saya melapor diri jam 9.30 pagi untuk temu janji jam 11 pagi. Saya dapat bertemu doktor jam 12.45 pagi dan selesai mengambil ubat jam 2 petang. Amat mencabar kesabaran. Saya hanya mampu senyum sahaja kerana para jururawat juga tidak mampu menyelesaikannya. Saya sampai di rumah jam 3 petang.
Rata-rata pesakit dalam lingkungan umur saya. Ada yang ditemani waris dan tidak ramai yang datang berseorangan seperti saya. Saya masih ingin berdikari walaupun umur saya sudah mencecah tujuhpuluhan. Sulitnya pergi seorang diri ialah ketika mahu menselesakan diri di bilik air. Semalam bilik yang saya pilih tidak ada tempat sangkut bag. Saya jadi Mc Guyvor dan buat tempat sangkut. Hanya mampu tersenyum.......buat ingatan orang muda yang membuat dasar dan melaksana projek. Ingatlah pada orang tua.
Alhamdulilah........dalam apa jua keadaan. Allah masih kurnia saya kederat berjalan berseorangan. Masih bolih solat berdiri walaupun kekadang agak susah sedikit. Banyak yang Allah mudahkan. Maka saya senyum sahaja dan berlapang dada. Saya ingin mendidik hati supaya sentiasa bersyukur......
Hingga jumpa lagi......selamat menyambut Ramadhan al Mubarak.
........
No comments:
Post a Comment