"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, January 30, 2021

Yang nampak seperti bencana.......@ Bukan Bencana.



A001

Untuk melihat Dunia ini amat indah, dan Biar hati sentiasa rasa lega dan bersemangat, (dengan Izin Allah), kita ikuti apa kata Usataz  Adi Hidayat........
Semoga Allah mencintai kita.
Aamiin.......



Friday, January 29, 2021

Penasaran di rumah....@Rentas Risiko Covid19???

A001

Rasa penasaran duduk di rumah berpanjanagan.
Covid19 belum nampak redanya. Semoga Allah menebarkan rasa kasih sayang pada hamba-hambanya dan mengangkat wabak ini semoga ummah dapat memperbaiki diri 
menghadapi hari-hari akhir ini.

Saya ikut anak saya ke kebun yang baru mula di terokai. 
PKP membenarkan rentas daerah kerana kebun adalah seperti ladang. Anak saya baru mula berusaha membangunkan kebun sayuran dan ternakan, insyaAllah, sebagai ganti usaha mencari rezki kerana hilang usahanya yang dahulu dalam kemelut Covid19. Belajar redha dalam kehendak Allah. Semoga Allah kurnia pertolongan mencari rezeki halal dan untuk dikongsikan 
yang mana berlebihan dari mencukupi.

Mula-mula sampai di kebun saya teruja lihat bekas membakar dahan-dahan pokok. Kesudahan pokok ada yang begitu. Hati kecil saya berdoa semoga jasad kita dalam keadaan baik hingga bertemu Allah swt. Aamiin....


 

Usaha kerja tergendala sedikit dalam kemelut C19 ini. Belajar bersabar. Anak saya sudah bermula 5 bulan yang lalu tetapi baru 40% tercapai dari segi persediaan tapak. Tidak mengapa saya kata pada anak. Yang penting kita usaha, berdoa dan tawakal yakin Rahmat Allah itu datang dalam berbagai bentuk. Sentiasa ucap Alhamdulillah dalam keadaan apa sekali pun. Kita beriman dengan Allah . Itu nikmat yang paling besar.




Pagar pun baru setengah siap. Yang membina pagar pun seronok dapat peluang kerja walau kecil-kecilan. Mereka kata biar sedikit tapi barakah. Dalam pada itu Kerbau entah dari mana pun rentas kebun kami. Kenalah bina pagar yang kuat sedikit. Semoga kerbau mecari laluan lain.
Tak pe. Kongsi kemudahan rezeki dengan haiwan pun semoga Allah kira sebagai usaha ehsan dan dapat ganjaran. 
Aamiin...






Saya tidak buat kerja berat di kebun. Cuma saya tenguk anak menantu saya suka-suka menanam benih terung dan pokok pandan sahaja sementara pagar siap dan 
bekalan air selesai masuk di kebun.
Alhamdulillah. Semoga kuranglah penasaran duduk di rumah. Minggu depan saya rasa ingin datang lagi. Semoga ada kemajuan baru. Semoga Kebun mula lancar.


Itu sahaja cerita-ceriti penasaran C19 warga emas.
 Ambil foto selfi untuk kenanagan. Itu kebun 
kelapa jiran kebun kami.



Thursday, January 28, 2021

Alam Kita Sudah Tua dan Sudah Uzzzzurrr .....@ Pastinya Saya juga.



Bismillah
Suami saya dan saya sudah Tua dan sudah Uzuuurrrr......
Itu hakikatnya....
Tetapi orang muda pun akan jadi tua jika Allah kehendaki.Sama-sama beringat...
Suami saya sebulan dahulu berjumpa  Doktor di Institut Jantung Negara IJN.(Foto di atas). Saya dan suami sama umur dan sudah masuk zon menanti giliran yang bila-bila-masa sahaja sampai mengikut Takdir Allah jua. Semoga Allah kurnia umur sihat yang bermunafaat dan  kesudahan yang terbaik di sisiNYA. Aamiin.....

Alam ciptaan Allah swt sudah tua. Kata seorang ustaz dalam ceramahnya mengatakan sudah berbilion tahun umurnya. Alam ini disediakan rapi oleh Allah bagi manusia. Malaikat, Jinn dan lain-lain sudah dahulu di ciptakan. Binatang-binatang liar juga. 
Apabila Alam sudah sempurna Allah ciptakan Manusia bermula dengan Nabi Allah Adam.... lebih lima puluh ribu tahun dahulu lamanya, mungkin lebih. (Saya ambil ini sebagai fakta kerana saya tiada kemampuan membuat kajian. Saya tiada kemampuan untuk membuat apa jua terutamanya analisa yang berbentuk fisikal atau spritual. Saya masih terus mencari Kebenaran yang sewajarnya dari sudut mengagongkan yang Maha Pencipta, Allah SWT dan mendapat RedhaNYA semoga berbahagia di Dunia dan di Akhirat. Aamiin....). 

Jika kita ikuti maklumat mengenai Alam ini kita insyaAllah menyedari bahawa Alam ini sudah tua dan sudah uzur. Fenomena sains sudah menunjukan betapa keadaan fisikal Alam ini sudah banyak perubahan yang nayata yang manusia biasa pun sudah dapat melihatnya. Sudah berbagai fenomena Alam ini sudah menghampiri tamat kewujudannya. Paras air lautan sudah naik turun tidak menentu kerana di khutub utara dan selatan suhu sudah meningkat dan glacier mengalir kelautan. Tasik di Timur Tengah sudah kering kontang dan banyak certia lagi yang boleh diikuti di Utube mengenai fenomena Alam ini sudah menunjuki ciri-ciri dan gejala akhir zaman.
Jom kita bersedia untuk akhir zaman. Apa pun kita bersedia untuk akhir hayat kita kerana Allah boleh datangkan maut bila-bila masa sahaja. Kita mohon Umur ynag Bermunafaat.
Kita sihat beriman dan bertaqwa dan rezki yang mencukupi. Jika mensyukuri apa yan Allah sudah kurnia, Alla h akan tambah lagi. Itu JanjiNYA. Semoga kita Redha dan Allah meredhai. Semoga kita bermunafaat untuk diri sendiri dan bermunafaat untuk orang lain.
Jom kita selalu berbagi. Berat sama di pikul, ringan sama dijining. Aamiin..

Saya lihat ayat alQuran dibawah ini. Sama-sama kita renungi dan ambil hikmahnya. Mohon Allah memberi keterangan hati dan boleh mengerti yang tersurat dan tersirat.
Kalau ada peluang kita tanya Ustaz atau siapa jua kerana Allah beri kebijaksanaan pada yang Allah kehendaki. Asal sahaja kita berhati-hati dalam memahami ILMU.
Aamiin....


A005

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.


A006

(Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Al-Hajj 22:6


Itu sahaja fikir-fikir hari ini. Semoga jumpa lagi. Salam buat semua.


Monday, January 25, 2021

Saya Sering Ketertinggalan...@ Bina Mihrab di Rumah.


Bismillah
Dalam kemelut Covid19 ini saya akur dengan arahan duduk di rumah. Alhamdulillah, Allah kurnia kesabaran duduk di rumah. Dalam umur kini saya tidak ada banyak pilihan. Maka hari ini saya inigin cerita antara apa yang saya biasakan buat di rumah.
Saya suka membaca dari remaja lagi. Maka saya baca apa yang menarik waktu ini. Saya lihat catatan lama yang ustaz Bahasa Arab ajarkan. Saya akui saya banyak yang sudah terlupa jika diminta terangkan satu persatu. Saya cuba sedayanya.
Saya suka melayari ceramah-ceramah di Utube oleh Ustaz-ustaz muktabar.
Tetapi kekakadang tertidur di hadapan komputer.
😆
Hari ini saya terpanggil untuk melihat album foto yang lama-lama. 
Saya tertumpu perhatian pada foto yang agk baru juga, iaitu setahun dua lamanya.
Foto ini beraitan dengan saya "bina" Mihrab di rumah. 

Mihrab dalam Masjid Hagia SophiaIstanbul.

Ini contoh Mihrab dari carian Google.


Saya tergerak bina Mihrab di satu sudut di rumah saya dengan bantuan suami dan anak yang tinggal bersama. (Foto di atas sekali adalah Mihrab dirumah saya). Saya mendengari ceramah Ustaz Adi Hidayat (ustaz Indonesia) dalam uTube dan terpanggil untuk ikut nasihatnya. Dengan adanya Mirab Solat kita akan menjadi lebih fokus kata Ustaz.Ia tidak perlu kawasan yang luas. Satu sudut yang muat sehelai Sejadah pun sudah mencukupi, asal sahaja kita niatkan itu Mihrab di rumah kita. InsyaAllah ustaz kata ia memberi fokus hati dalam menunaikan ibadah solat dan selain sepepertinya dan insyaAllah Allah lebih mendengari dan insyaAllah Allah menggemari. Kata Ustaz Hadi dalam alQuran ada disebut seperti di bawah ini.:

A037

Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".

(A-li'Imraan 3:37


Semoga Allah memberi perhatian istimewa buat kita.(Seolah-olah kita berada di Masjid). Dalam musim PKP ini saya seronok bila cucu-cucu datang ke rumah dan suami saya akan fokus pada membiasakan mereka solat di Mihrab seperti foto di atas. Kedua-dua cucu dalam foto itu adalah anak-anak istimewa. Seorang adalah ADHD dan seorang lagi Otisma. Semoga Latihan dan didikan ini akan lebih tumpuan doa kita untuk Allah jadikan mereka dewasa yang normal dan berwibawa dan Soleh serta Mosleh. Kita mohon semoga mereka mendewasa menjadi orang yang bermunafaat buat dirinya dan bermunafaat buat orang lain. Aamiin.....

Semoga Allah ampunkan kelalaian saya dan suami dalam hal ini kerana baru ini kami kenal apa erti "Mihrab". Sememangnya saya selalu ketertinggalan dalam banyak hal. semoga Allah mengampuni dan mengurnia segala yang terbaik buat kami di sisiNYA,

Aamiin ya Rabb....



Wednesday, January 20, 2021

NASIHAT WASPADA ..... @ JIKA ADA TUHAN LAIN DIHATI?


A001

Hati saya sedikit tersentak mendengari Video di atas sebab saya manusia biasa dan kerap kali LALAI mendengari isi hati sendiri, Lalai  menilai perbuatan yang dilakukan.....selalu ambil senang sahaja (take for granted) bahawa yang kita buat pastinya suatu yang baik. Kekadang hati kecil merasai hebat... mentang-mentang kita bekerja dalam perlhidmatan awam yang katanya kumpulan "Elite" .....terimbas perasaan ini semasa muda-muda dahulu. Malu rasanya...."Elite" apa ye?

Lupa bahawa saya dibuat dari Tanah. Tanah tidak pernah sombong, tidak pernah angkuh. Tanah sentiasa bersyukur mengikut perintah Allah. Tetapi manusia terdorong rasa "Istimewa" dan rasa emosi jika tidak mendapat penghargaan yang diharapkannya. Dorongan rasa begitu saya akui saya pernah mengalaminya.....(kesalan....)

Ini kesilapan yang saya mohon keampunan sentiasa........Alhamdulillah Allah tidak izin saya berterusan lupa bahawa saya "Tanah"....dipijak di ludah dan berbagai lagi. Dengan sedikit Ilmu saya rasa seperti saya ini "PRIVILIGED"......perasaan ini tidak kena pada hakikatnya. Alhamdulillah Allah beri saya kesedaran. Saya ingin jadi baik semoga Allah sentiasa kurnia kebaikan buat saya, berkat doa emak bapak. Semoga begitu. 

Maka apabila mendengari ceramah para ustaz, dan video di atas saya teringat benar peringatan mengenai  hakikat alQuran di bawah ini:


A021

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

(Al-Hasy-r 59:21



Semoga saya sentiasa memikirkannya. Justru saya sentiasa cuba mencari jalan berada dikalangan sahabat dan individu lain juga yang saya berpendapat mereka itu wara' dan sentiasa peka bahawa manusia berada di dunia ini untuk mengabdikan diri padaNYA. Kita di dunia sebentar sahaja. Kita kekal di akhirat. Kita bertanggongjawab pada semua umat manusia, pada haiwan dan pada apa jua yang Allah kurnia untuk memudahkan kehidupan manusia dan pengabdian padaNYA. 

Video di atas menasihatkan kita untuk cuba sedaya upaya semoga Allah kurnia hati nurani yang bersih dan tidak dinodai dengan fikiran dan perasaan yang mengakibatkan kita menjadi manusia yang keliru siapa sebenarnya yang mempunyai kuasa atas kehidupan kita di dunia ini.

Apabila saya mendengari ceramah video di atas, terdetik di hati pertanyaan, iaitu sama ada kita,( tidak kira rakyat biasa atau pemimpin masyarakat) sedar bahawa dalam cara kita berfikir dan cara kita bertindak, sudahkah kita cukup memahami dan menyedari bahawa pemikiran manusia tidak pernah tuntas dan tidak pernah sempurna tanpa kita mohon pertolongan Alah dalam segala-galanya. Kita rasa kita pandai membuat perancangan dan membuat keputusan. Sebenarnya itu hanyalah andaian sahaja. Sering kita lupa Allah itu maha Perancang dan maha Bijaksana. Sering juga kita keliru dan menyangka bila sesuatu keputusan itu membuahkan hasil yang baik, kita rasa kita hebat. Jom kita lihat ayat di bawah ini :

A017

Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Al-Anfaal 8:17

Maka dengan ayat itu jangan pernah kita lupa bahawa Allah swt itu sentiasa memerhati segalanya. Dan jika kita ada niat yang tidak Ikhlas dan mempunyi rasa dendam maka Allah itu maha Tahu.  Lihat juga ayat di bawah ini:

A054

Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

(A-li'Imraan 3:54)

A030

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.


Dalam kita merenungi ayat di atas kita sering diingatkan bahawa kita orang Islam sentiasa dimusuhi oleh mereka yang bukan Islam, dan mereka yang mengaku Islam tetapi sebenarnya mereka mempunya muslihat yang lainnya. (Mungkin mereka inilah yang munafik semoga kita terhindar dari mereka yang seperti ini,) Ada yang memusuhi secara terang-terang dan ada yang memusuhi secara senyap. Dan yang lebih bahaya dari itu ada yang berbaik-baik seolah-olah mereka hormat dengan pendirian orang Islam tetapi sebenarnya itu mereupakan strategy halus mereka untuk merosakan Islam.

Sehubungan dengan ini saya sentiasa khuatir dengan perkembangan permusuhan politik dalam negara kita sekarang. Saya kurang mengerti mengapa kita berbalah sesama orang Islam dan seolah-olah tidak ada jalan keluar melainkan dengan permusuhan hingga ke akar umbi...... seperti permusuhan "total", seperti tidak ada ruang langsung untuk berbaik sangka dan memberi peluang sebaik mungkin untuk suatu kumpulan membuat keputusan mengikut fahaman yang dipercayai betul dan pernah diakui betul bersama pada suatu ketika. Saya perhatikan juga orang Islam (termasuk pemimpin) berbolak balik dalam fikiran dan tindakan hanya kerana ada perselisihan faham yang cetek. Peselisihan faham itu bukan peselisihan fahaman dasar.

Dasar yang saya maksudkan di sini ialah perselisihan fudamental dari segi fahaman sebenar untuk menjaga kepentingan orang Islam tanpa menzalimi kaum lain..... 

Menapalah orang-orang Islam terus berbalah hingga lupa siapa musuh sebenarnya......
Orang Islam lah saya khuatiri yang merugikan orang Islam itu sendiri. Fenomena ini saya perhatikan berlaku secara global. Sedih..........

Jom kita ingat semula apa Iblis kata semasa Allah perintah sujud hormat semasa Allah ciptakan Nabi Allah Adam. Mereka engkar dan berazam sekuat-kuatnya untuk menyesatkan manusia.

A013

Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina".

(Al-A'raaf 7:13

A014

Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)".

(Al-A'raaf 7:14

A015

Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)".

(Al-A'raaf 7:15

A016

Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

(Al-A'raaf 7:16

A017

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".

(Al-A'raaf 7:17

A018

Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;

(Al-A'raaf 7:18


Maka dengan ayat-ayat di atas  semoga kita beringat dan peka berkaitan perancangan Iblis yang terkutuk. Semoga kita tidak tenggelam dalam pujian-pujian yang diterima dalam hubungan harian dan semoga dalam perbalahan politik yang berlaku sekarang di sekeliling kita, kita dapat menginsafi diri dan berfikir berasaskan Iman dan Taqwa dan bukan mengikut logika fikiran saja. Hentikanlah perbalahan dan berhenti bercakaran. Saya amat khuatir  dan amat takut akan ada kekerasan fisikal berlaku. (Na'uzubillah).

Jom kita bawa banyak bersabar. Mohon pada Allah kita rela bermaafan dan kita ambil yang jenih dan buang yang keruh. Kita semak balik siapa musuh kita sebenarnya. Kita fikirkan juga bahaya pengaruh Zionist dalam kemelut sekarang ini. Kita fikir kita Islam tetapi pengaruh Zionist bersarang tebal di hati kita dan kita tidak sedar dan tidak dapat melihat apa disebalik kata-kata indah dan manis mereka. Semoga Allah meyedarkan kita dan menolong kita. Tiada pertolongan yang lebih baik dari pertolongan Allah. Allah hanya minta kita berimadan bertaqwa padaNYA dan bukan dari selainnya.

Jom kita ramai-ramai bermunajat memohon pertolongan dan kekuatan dan kebijaksanaan dari Allah swt. Allah yang maha Mengetahui dan Allahlah yang maha Mendengari. Allah yang maha mengetahui apa yang Tersembunyi dan apa yang Nyata dan Allah jua yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Jangan kita merasai kitalah yang hebat berfikir dan hebat membuat perancangan. Kita mohon Taufiq dan Hidayah dari Allah. Allah sahaja yang maha Sempurna. Kita kembali merapatkan saf dan meluruskan saf dan yakin siapa musuh orang-orang Islam sebenarnya.(Di Malaysia dan di luar sana).

Janganlah kita bersikap mudah dan mencari penyelesaian jangka pendek sahaja. Akhirat itu lebih lama dan berpanjangan tiada tepinya. Dan Akhirat pasti kedatanagannya. Kita jaga apa yang akan berlaku di Akhirat lebih dari apa yang berlaku di dunia. Di Akhirat tidak ada U-Turn. Dunia ini amat sementara. Kalau sakit menderita pun tidak lama berbanding dengan hukuman yang kita akan terima jika silap membuat penentuan muktamad dalam perjalanan hidup di dunia yang tinggal sedikit  sahaja ini.Yakinlah bahawa Takdir Allah adalah suatu yang sangat indah buat semua hambanya yang beriman di sisiNYA

Kita sudah berada di Akhir Zaman. Kita patuh dengan perintah Allah dan tinggalkan laranganNya. Semoga kita selamat dan bahagia kesudahannya.

Semoga Allah mendengari doa-doa kita dan semoga doa-doa kita itu benar-benar mengikut apa yang Allah kehendaki. Kita mohon bersungguh-sungguh semoga tidak ada "Tuhan lain di hati kita......." Allhu'alam.

Salam buat semua.



Monday, January 18, 2021

JOM Cari Masa dengari ini - Pasti (inshaAllah) tak rugi.....@ Pesan terakhir Syekh Ali Jaber .


Bismillah

Allahyarham Shaikh Ali Jaber ini meninggal dunia umurnya 44 tahun.
Semoga kita mendapat munafaat dari pesanannya. Semoga Allah tempatkan Ruhnya bersama Rasulullah saw.
Aamiin ya Rabb....


Saturday, January 16, 2021

Perkongsian semoga bermunafaat.....@ Ubah kebiasaan! Jangan ajarkan ngaji pada anak-anak seperti ini! | Syekh...


A001
Alhamdulillah. Di pagi yang tenang ini saya kirimkan video di atas. Jom ikuti. Kalau suadah tahu pun tidak rugi ikutinya.
Semoga Allah menambah Ilmu kita dan menerima Amalan kita. Semoga Almarhum Sheikh mendapat ganjarannya.
Aamin ya Rabb.....


Friday, January 15, 2021

Semoga Allah buka hati kita untuk lihat video ini......@ NASEHAT SYEIKH ALI JABER TENTANG KEMATIAN SEBELUM BELIAU WAFAT 🥺😢


A001
Jom ambil Nasihat Ini.
Semoga belum terlamabat. Tidak kira berapaa umur kita. Sheikh ini Allah jemput semalam pagi dalam umur 44 tahun. Semoga Alllah menerima kita....terampun segala dosa dan Allah terima kita di Syurganya dan kita dapat bersama Raulullah saw dan semoga kita terpilih sebagai hambanya yang dapat menikmati melihat zatNYA.
Aamiin ya Rabb.......
Aamiin ya Rabbal alamiin......


Semoga Kita Rindu Allah dan Allah Rindu Kita.....@Mengenang Kebaikan Syaikh Ali Jaber Rahimahulloh.


A001
Di pagi Jumaat penuh barakah ini, saya kongsikan video di atas untuk munafaat bersama. Semoga kita dapat panjangkan seterusnya.........

Salam....


Thursday, January 14, 2021

"RINDUKAN ZATNYA" ....@ Pakchik jual aiskrim.


A001
Terkesan di hati mengikuti video di atas. Saya kongsikan semoga bermunafaat.
Saya sering juga mengikuti video-video yang membawa kisah bagaimana orang yang Allah izin hidup susah menjalani ujian Allah. Kisah seperti ini membuat hati insaf.

Namun yang paling saya terkesan di hati kali ini ialah Pakcik ini sentisa mengulang-ulang zikirnya dan doanya yang saya percaya amat lekat di hatinya.

Terseram di hati bila dalam doanya tersebut "Rindukan ZatNya".

Ini fakta dijanjikan Allah bagi hamba-hambanya yang terpilih yang akan dapat menatapi Zat Allah di Syurga nanti. Sayu di hati saya kerana saya kurang berketerampilan berdoa "Rindukan ZatNYA". Saya rasa malu di hati sendiri......
Komitmen Iman saya terasa masih jauh.
Semoga Allah mengampunkan segala kekurangan dan kelemahan saya dan mengampunkan segala dosa-dosa saya. Semoga saya termasuk dalam senarai yang dapat kurnian menatapi Zat Allah.

Bagaimana agaknya.......

Jom kita baiki solat, baiki akhlak, baiki segala amalan-amalan hidup yang semoga mendapat kurnia pengiktirafan yang amat tinggi ini....
Dan kita tinggal segala laranganNya.....

Saya tidak tahu kali ini bagaimana mahu mengakhiri catatan saya ini.........
Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim......
...................................
......................
.........


Tuesday, January 12, 2021

DEMI MASA !..... @ BILA KEBERKATAN TELAH DIANGKAT


A001
Fakta "MASA" selalu di bicarakan. Izinkan saya kongsi sedikit 'fikir-fikir' semoga bermunafaat.

Kita pernah dengar orang kata "Masa Itu Emas''. Ada yang kata "Masa Itu Ibadah". Dalam AlQuran Allah swt bersumpah dengan Masa.

A001

Demi Masa!

(Al-'Asr 103:1

A002

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -

(Al-'Asr 103:2)

A003

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

(Al-'Asr 103:3


Maka saya kongsikan Video di atas sebagai usaha berpesan-pesan. Semosa sama-sama kita mendapat munfaat. Ustaz kata kita sudah berada diambang Akhir Zaman. Masa menjadi sangat pendek. Masa itu sama sahaja. Cuma Ustaz kata Keberkataannya sudah mula Allah tarik balik.

Seram saya mendengarinya. Seram.......

Bayangkan Allah ambil semua keberkatan yang Allah telah kurnia buat kita selama ini. Maka dengan tanpa kita sedari kita sudah membuat Allah Kecewa, kalaupun bukan Murka, pada kita. Semoga Allah mengampuni. Mari kita buat imbasan pada apa yang telah kita lakukan selama ini. Saya sendiri akui saya amat jauh dari menunaikan segala tanggongjawab saya pada bangsa dan Agama. Dan saya tidak mahu mencari salah orang lain kerana saya belum sempurna. Namun saya ingin jadi sempurna dengan izin dan kurniaan Allah swt jua.

Maka senyap-senyap saya berfikir-fikir kebelakangan ini mengenai apa yang sedang berlaku pada negara kesayangan kita, Malaysia. Kepimpinan politik kita bercakaran hampir setiap hari. Semua mengatakan pihak mereka yang benar dan pihak merekalah yang bijak membuat keputusan yang sewajarnya.....demi mendapat kuasa memerintah negara ini. Saya tidak mahu mengatakan siapa yang betul dan siapa yang salah. Saya hanya mendoakan semoga Allah swt memberi Taufik dan Hidayahnya semoga semua jenis kepimpinan dan semua perinkat kepimpinan bermuhasabah diri. Ini yang Allah tuntut....sentiasa bermuhasabah diri semoga kita sentiasa di jalan yang Allah redhai.

Semoga kita takut Allah menarik balik Keberkatan yang sudah ada.....

Saya sering berfikir apa sebenarnya arah tujuan kita dalam hidup ini. Sebenarnya kita mahu Redha Allah semoga kita sejahtera di dunia dan di Akhirat. Terutamanya kita harus peka lebih pada Akhirat kerana tidak ada U-TURN pada masa itu. Di dunia Allah masih bagi peluang buat U-turn apabila kita merasai kita tersasar tujuan dan lari dari Landasan yang benar. Semoga Allah mengampuni semua kelemahan-kelemahan kita.

Apa tujuan kita?
Mari kita lihat ayat AlQran di bawah ini:

A286

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

(Al-Baqarah 2:286

Jom kita lihat keratan ayat yang terbawah sekali. Kita sentiasa mahu mengingatkan diri supaya kita memohon pertolongan Allah untuk mendapat kemenanagan bukan antara orang sesama Iman tetapi kita mahukan kemenangan dengan orang-orang yang engkar pada ketetapan Allah. Kita mahu kemenangan terhadap kaum kafir.

Maka fokus kita harus lagi berat pada fakta bagaimana mahu menundukan orang kafir kerana itu sebenarnya musuh orang Islam. Ada cara dan ada jalan yang Allah telah tunjukan bagaimana cara mencari kemenangan tulin ini. Kita boleh berbicang dan bermuafakat dengan mereka yang berwibawa mengikut lunas-lunas Islam dan lebih dari itu kita contohi bagaimana Rasulullah saw dan para Sahabat menangani masaalah orang-orang kafir supaya tunduk pada Islam.

Tidak ada paksaan dalam Islam. Tetapi kita boleh berusaha mereka akur pada pendirian Islam.

Samapi di sini sahaja coretan awal pagi ini. Marilah kita mencari kebersamaan dengan orang-orang yang beriman dan tidak cuba membesar-besarkan perbezaan. Allah yang maha Mengetahui apa yang Tersembunyi dan apa yang Nyata. Kita sentiasa mohon pertolongan Allah kerana Allah yang maha Bijaksana dan maha mengasihani semua hambaNya. Dan Allah itu maha Pengampun. Kita mohon keampunan Allah dan tidak perlu malu mengakui kelemahan dan kesilapan kita. Tiada manusia yang sempurna. Biar kita malu di dunia tetapi Allah Redha dengan kita di Akhirat dan inilah kesempuranaan di sisi Allah yang kita cari. Akhirat adah untuk selamanya. Dunia sekarang pun sudah tua dan ulamak kata kita sudah di akhir zaman. Semoga kita semua berbuat sesuatu yang lebeh bijaksana dengan pertolongan Allah jua.

Saya menerima teguran atas silap salah. 
Semoga Allah sentisa memelihara semua kita dan kita dapat bertenanag menghadapi fenomena Akhir Zaman sekarang dan semoga kita Allah kurnia semua yang terbaik di sisiNYA dan kita sejahtera sepenuhnya di Akhirat. Aamiin.....



Sunday, January 10, 2021

AKIBAT GILA KUASA ? Ambil Iktibar !!!!!.....@ Capitol Riot Was Way Worse Than We Thought...


A001
Saya merindui ketenteraman, inginkan ketenteraman fikiran kerana waktu ini saya amat khuatir memikirkan masa hadapan cucu-cucu saya yang kini 16 orang kesemuanya. Dua orang di sahkan OKU, Otisma dan terlalu aktif. Seorang lagi lambat bertutur  dan seorang lagi slow learner . Semoga Allah kurnia kemudahan buat mereka untuk menjalani kehidupan yang kami mendoakan semoga suatu yang bermunafat bagi diri mereka dan bagi orang lain.

Dalam konteks ini saya ingin berkongsi video di atas yang saya tafsir sebagai suatu kekdudukan kepimpinan yang tamak kuasa dan hanya memikirkan kepentingan dirinya sendiri sahaja. President Trump sudah tidak asing lagi di mata dunia dan beliau bermati-matian sekarang ini tidak mahu meyerah kalah walaupun apa terjadi pada Parti Politiknya dan pada dirinya....... apatah lagi pada Rakyat. Penyokong beliau sudah tidak lagi berfikiran waras dan menyokong Trump tanpa mengira apa yang akan berlaku buat diri mereka masing-masing. Mereka merusuh ikut nafsu ganasnya.

Dalam senrio Politik Malaysia saya amat khuatir kalau-kalau mentality  seperti ini sedikit sebanyak ada di kalangan waraga kita di Malaysia...... Ikut sahaja apa kata Idola pemimpin. "Right or Wrong,...He is Right". Berbagai naratif saya dengari dan berbagai tafsiran yang diputuskan dalam channel utube masing-masing. Semua mengatakan merekalah yang benar dalam membuat perhitungan siapa salah siapa benar dan perhitunagan siaapa pengkhiant dan siapa yang bukan.

Saya tidak ada pilihan kuat pada mana-mana Pemimpin yang ada. Saya hanya melihat dan membuat analisa sendiri yang saya kongsikan pada suami dan anak sahaja.

Tiada manusia yang betul dalam semua hal. Tiada manusia yang tidak pernah membuat kesalahan. Tiada manusia yang kadang kala menjadi seperti "Hipokrit". Ini boleh merugikan diri sendiri dan lebih parah merugikan Rakyat jika kita tidak menyedarinya.... atau menyedarinya tetapi masaalah peribadi menjadi pertimbangan fikiran yang lebih penting ....

Saya berkecuali dalam hal ini....... sebab saya sudah lanjut umur dan tiada kemampuan untuk membuat perbezaan dalam masaalah negara yang ada sekarang ini. Saya hanya melihat dengan hati yang bedebar-debar, berdoa semoga Allah swt menunjuki jalan yang Benar yang diredhaiNya.

Saya dengari semua yang terlibat dalam kemelut politik sekarang ini yang mengatakan mereka benar kerana mengikut apa yang mereka tafsir itu benar dan mereka juga berpegang pada Rukun Islam dan Rukun Iman yang di perintahkan dalam alQuran dan Hadith. Maka masing-masing merasakan merekalah yang benar. 

Cumu satu yang kekadang mereka lupa. Pengaruh nafsu syaitan yang menggoda  keikhlasan dan kesucian hati. Maka mereka tidak berhenti sejenak dan mengatakan : "Aku betul dan mereka salah. Tetapi mungkin juga mereka betul dan aku salah."

Dengan yang demikian maka tidak ada kompromi dan tidak ada rasa perlu mencari jalan tengah yang membawa munafaat pada rakyat juga. Rakyat terpinggir dan terpaksa mencari keselamatan dan kesejahteraan hidup sendiri-sendiri. Yang memang sudah kaya dan selesa tidak bermasaalah. Tetapi yang misikin kedane  terpaksa hidup meminta-minta.

Marilah kita ambil iktibar supaya tidak jadi seperti apa yang berlaku dalam video di atas. Kita sentiasa ingat Allah itu Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dan apa yang nyata. Di Akhirat nanti setiap kita akan dipertanggong-jawabkan dengan segala perbuatan kita. Jangan selamat di Dunia tetapi hancur lebur di akhirat. Semoga Allah swt jauhkan kita semua dari pengakhiran yang amat buruk itu.itu. 

Kita pastikan kita tidak berbuat sesuatu berteraskan Nafsu dan fikiran sendiri sahaja. Orang yang bijak dan kuat adalah orang yang boleh mengawal hawa Nafsunya. Orang yang bijak dan kuat dan adil adalah orang yang sentiasa memohon pertolongan Allah dan tidak semata-mata menggunakan Logika fikiran yang boleh di pengaruhi syaitan Iblis yang sentiasa mahu manusia itu kecundang akhirnya. Dan seharusnya sentiasa beringat bahawa Syaitan Iblis itu boleh berbentuk Ghaib dan boleh berbentuk manusia. Semoga kita sentiasa berwaspada dengan Bahaya ini.....

Sampai di sini sahaja catatan yang lahir dari kesedihan di hati melihat di umur Tua ini banyak hal yang tidak menceriakan hati. Semoga Allah sentiasa memerhati dan melahiran keinsafan yang akan menerbitkan rasa simpati dan semoga Allah melimpahkan Taufik dan HidayahNya dan semoga kita semua selamat di Dunia dan Sejahtera di Ahirat nanti. 
Aamiin ya Rabb......



Related Posts with Thumbnails