Pada hari Khamis minggu yang lepas saya menemani suami saya dan kawannya melawat sebuah tapak pembangunan yang telah di tinggalkan kerana sebab-sebab pengurusan dan kewangan. Cantik tempatnya, di tepi laut di Port Dickson. Khabarnya ia diusahakan oleh syarikat bumiputera semasa Malaysia mewah dahulu. Saya kurang arif benar atau tidak. Saya pergi bersama kerana suka menjelajah tempat-tempat.
Apa yang terfikir-fikir dihati saya ialah mengapa boleh terjadi pembaziran seperti itu dan pelaburan yang nilainya pasti tinggi telah terbiar. Tetapi saya bukan orang ekonomi dan bukan orang politik. Namun demikian rasa terkilan dihati kerana ini menunjukan pengurusan ekonomi yang tidak cekap oleh pihak yang berkuasa, sama ada cara langsung atau tidak langsung.
Pada hari itu saya menjamu mata kerana pemandangan yang cantik. Kurnia Allah atas manusia melimpah ruah dan Allah uji orang di Malaysia dengan kemewahan. Mengapa tidak diadakan perancangan yang professional mengenai sesuatu projek. Mungkin banyak lagi projek yang terbiar seperti ini cuma saya kurang mengetahui kerana setelah bersara saya tidak lagi banyak memantau apa yang berlaku di negara ini dari segi pembangunan ekonomi. Tetapi apa yang saya tahu kadar penganggoran memerlukan perhatian. Saya rasa terkilan juga sebagai seorang warga yang mahu melihat negara ini membangun untuk kepentingan generasi akan datang, termasuk cucu-cucu saya. Tetapi jika fenomena seperti ini wujud maka rasa kecewa dan kurang yakin tentang masa depan Malaysia mula meresap dihati. Semoga Allah yang maha mengetahui rasa hati manusia, mendengar rintihan-rintihan akan memperbetulkan perjalanan pentadbiran di negara ini demi kesejahteraan rakyatnya hingga ke akhirnya.
Dalam pada itu usaha setiap individu perlu dipertingkat. Sama-sama kita berusaha dan berdoa semoga akan lahir warga Islam yang kaya raya yang boleh dan mahu membantu mereka yang memerlukan, terutamanya dibidang pendidikan dan latihan. Semoga akan lahir generasi yang berilmu dan berketerampilan, beriman dan bertaqwa untuk mengubah corak hidup di Malaysia.
Dalam senyap-senyap berfikir dan berdoa saya perhatikan juga bunga-bunga yang tumbuh liar dalam kawasan yang kami lawati. Kadang-kadang keindahan kurniaan Allah terlepas pandang kerana minda dan hati kita terlalu sibuk dengan keindahan yang distukturkan oleh pihak-pihak tertentu. Kadang-kadang keindahan yang seperti ini menjauhkan kita dari mengingati Allah. Contohnya seperti 'decor' dan 'urbanscape' yang ada ditengah-tengah kesibukan manusia di bandarraya. Maka saya turunkan disini keindahan alam 'liar' sebagai renungan.
Kesemua ciptaan Allah ini berzikir pada Allah, Tuhan sekian alam. Hanya manusia yang suka melawan arus zikrullah. Sama-sama kita berdoa semoga Allah tidak melalaikan kita dengan keindahan-keindahan tanpa mengingati PenciptaNya.
2 comments:
salam
very2 beautiful site
Yes, and its only in Port Dickson. But it is on a private land. Kalau ada Philanthropist yang mahu menghadiahkan tanah ini untuk awam, alangkah bahagianya.
Post a Comment