MUSAFIR DALAM MUSAFIR
Hidup di dunia ibarat musafir sebelum berpindah ke alam kekal, akhirat. Dalam musafir inilah kita dituntut menggunakan waktu dan beramal sebaik mungkin sebagai persiapan untuk bertemu Allah yang maha Pencipta dan maha Berkuasa. Di sanalah nanti kita akan dipertanggongjawabkan dengan segala perbuatan yang kita lakukan semasa di alam ini.
Musafir seminggu ke Turkey adalah musafir dalam musafir. Ia membuat tenaga kehabisan dan rasa kepenatan setelah merentas perjalanan yang tidak terduga jauhnya dari permulaan pengembaraan. Apakan daya tenaga badan kini amat berkurangan. Jantung kian membisikan kesesakan, dan lutut dan kaki tidak lagi seperti dahulu, boleh mendaki laju dan boleh berlarian. Tetapi walaupun penat kelesuan, saya tidak pernah rasa bosan, tidak terlintas peyesalan walaupun tidur malam amat tidak kecukupan dan adakalanya tiada keselesaan. Mata ini jarang sekali pejam sepanjang perjalanan. Bumi bersejarah ini indah dan luas terbentag, bunga-bunganya kembang menawan penglihatan. Pohon-pohon dahannya rendang dan lautan tenang seperti mahu mendamaikan pemikiran. "Maka nikmat Allah yang mana yang hendak kamu dustakan."
Itu ayat-ayat maha Pencipta yang sentiasa bermain di kepala. Dahulunya saya sering alpa seperti hidup ini saya yang punya. Berkat doa ibu dan doa bapak agar keturunanya beriman sentiasa, maka saya mengubah haluan seperti kapal membongkar sauh menukar hala perlayaran. Maka kini setiap detik saya cuba memunafaatkannya, walaupun sekadar befikir zikir tentang kebesaranNya dan KekuasaanNya. Antara nya saya teringatkan nasihat tuan guru bahawa rahmat dan nikmat hidup ini adalah dalam MEMBERI. Yang memberi dan menerima damai hatinya. Islam amat menuntut orang-orang yang beriman untuk sentiasa memberi. Lalu semasa kita menerima pun kita harus terus mengatur langkah bagaimana kita pula akan memberi. Alam ciptaan Allah yang luas terbentang banyak memberi. Contohnya, dengan laut kapal boleh belayar, ikan-ikan hidup untuk habuan manusia. Yang mudah kita lihat ialah lebah. Untuk siapa madu yang diusahakannya. Untuk manusia. Ia makan barang yang baik, mengeluarkan hasil yang baik dan bila hinggap dimana jua, ia tidak merosakkan nya.MasyaAllah.
Disebelah malam semasa musafir saya dan suami tidak kemana-mana Kami mengambil peluang muhasabah diri bersama. Antaranya dalam hal memberi dan meninfak harta. Lebih enam puluh tahun telah berlalu. Dirasakan hati belum cukup bersih dan amalan memberi belum mencukupi. Bagaimana mahu bertemu Allah nanti. Kenapa dan mengapa masih terlintas-lintas dihati takut tidak kecukupan kalau banyak memberi walhal Allah telah berjanji Rezki itu Dia yang punya dan kita hanya perlu berusaha dalam ruang lingkup mentauhidkanNya. Musafir dalam musafir ini memberi banyak ruang masa untuk berfikir-fikir lagi dan lagi. Semoga selaras dengan tuntutan Ilahi.
Laluan hidup tidak pernah sunyi dari ujian yang kadang kala saya merasakan seperti mahu menyatakan kekecewan dan lari dari kenyataan. Tetapi alhamdulilah, seperti ada yang menahan dan merangsang untuk terus kehadapan dengan tekad perjuangan. Setinggi kesyukuran kerana Allah memberi kefahaman melalui guru dan teman-rakan erti hidup untuk memberi tanpa keraguan.
Kini hati mensyukuri apa jua yang Allah beri.Senang susah tidak lagi menjadi kiraan dan bahan bukti untuk merasai hidup ini sentiasa tetap mencukupi. Pokoknya kita hanya bergantung pada Ilahi. Kerana walaupun kita sendiri dan menyendiri, Allah tetap berada di sisi asalkan sahaja janji yang dibuat semasa di alam ruh kita ingat dan tepati hingga hayat ini Allah jemput untuk kembali.
Ya Allah, tolonglah kami dan lindungilah kami semoga musafir ini berpanjangan untuk kami berbakti sepenuh hati. Semoga bila sampai detik kami diminta berhenti, semoga kami redha dan engkau meredhai.
No comments:
Post a Comment