"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, January 31, 2012

WARNA-WARNA SUDUT KASIH.






"Kan ku daki gunung yang tinggi,
Kan ku harung lautan yang dalam,"

Kan ku turuti Ibu.

Sepertinya itu yang diucapkan oleh Ujai (cucu saya) bila ibunya kata ia tidak boleh ikut ke New Delhi dalam rangka lawatan kerjanya ke sana.

"Kenapa Embah tak beli tiket Ujai tadi." Ia berkata dengan nada perlahan sepertinya ia kesal dengan sikap saya yang tidak peka dengan kemahuannya.

"Ujai sekolah. Belum cuti lagi..." saya cuba memujuk. Ibunya pun kata yang sama.

Ujai tidak suka berpisah dengan ibunya bila-bila masa pun. (Dia tinggal bersama saya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan).  Maka semalam bila saya bawa dia ke KLIA untuk melepaskan ibunya, seperti tidak karuan rasa dihatinya. Air matanya berlinang dan mulutnya mencebik. Mahu sahaja ia menangis. Cuma ibunya memujuk lembut dan ia seperti akur untuk tinggal bersama saya.





"Ujai tunggulah... Nanti bila cuti kita jalan-jalan semua sekali.....dengan adik Akif, adik Asim, adik Aqil....Embah, Tok Ayah  semua sekali."

Ujai nampak tenang dan kami pun beransur bergerak ke pintu berlepas.

Untuk menghibur hatinya saya bawa Ujai ke Mc Donald dan membeli ais krim strawberry kesukaannya.

Saya ingat bab perpisahan dengan ibu sudah selesai. Tetapi sebelum tidur ia bertanya: "Embah, kenapa Ujai kena sekolah?...." (Loaded question). Soalan yang berisi berbagai makna. Pastinya ia masih tidak boleh menerima hakikat ia tidak bersama ibunya. Dan pastinya dia tidak puas hati dengan alasan yang kami beri padanya. Maka saya cuba melarikan ingatannya pada hal yang lain.

"Ujai esuk nak sarapan apa?" Pura-pura saya tidak tahu.

Ujai tidak menjawab. Ditarik kain selimutnya dan cuba memejamkan mata. Kasihan, tetapi apakan daya.

Apa yang berlaku semalam mengingatkan saya pada anak-anak yang tiba-tiba kehilangan ibu semasa kejadian bencana alam, gegaran bumi, Tsunami, gunung berapi meletup, kebakaran dan berbagai lagi "musibah" yang berlaku.  Pastinya trauma. Saya cuba bayangkan. Pastinya tidak terbayang.

Mereka yang dapat dibantu oleh pakar-pakar dalam mengubati hati penderitaan kanak-kanak mungkin rasa  agak tenang. Pakar kanak-kanak itu pastinya boleh bercerita pada yang tidak melalui fenomena ini. Besar sungguh dugaan Allah. Hanya Dia yang maha mengetahui masa hadapan anak-anak ini. Mereka tidak berdosa. Kita yang dewasa inilah yang seharusnya rasa bertanggong jawab mengurus kebajikannya. Pasti tidak terlepas soalan-soalan di akhirat nanti, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Saya  sendiri tidak pernah berjauhan lama dengan Emak saya semasa kecil. Pertama kali berpisah ialah ketika umur 17 tahun kerana terpaksa ke Johor Bahru untuk tingkatan 6 di Maktab Sultan Abu Bakar, dahulunya English College. Maka tidak ada masaalah besar. Malahan seronok dapat pengalaman baru.

Anak semestinya berada bersama ibu dan bapa. Rumah kebajikan kanak-kanak hanyalah satu penyelesaian kerana tidak ada pilihan lain. Ini lebih baik daripada menjadi anak-anak jalanan. Baru-baru ini saya menonton  satu dokumentri di Astro mengenai anak-anak yang lari dari rumah di Bandar Raya Lahore  kerana berbagai masaalah kemiskinan yang dihadapai oleh ibu-bapanya. Mereka  menghidu sejenis "gum" kerana dipengaruhi oleh pengedar-pengedar dadah yang menjadikan mereka mangsa. Yang nampak "cantik" di colek untuk dijadikan mangsa seksual kumpulan penjenayah yang sentiasa menunggu peluang. Malang sekali nasib anak-anak ini.

Tetapi apa yang menarik perhatian saya dalam dokumentri ini ialah ada sekumpulan kecil orang dewasa yang prihatin dan "memungut" anak-anak ini untuk dijaganya. Kumpulan dewasa ini bukan kaya. Mereka juga miskin. Tetapi mereka berjiwa waja, berbudi tinggi dan rasa bertanggong jawab.  Mereka kasih pada anak-anak ini dan menjaga mengikut  kemampuan yang ada. Sekurang-kurangnya mereka tidak terdedah pada penjahat-penjahat dalam masyarakat yang mahu memuaskan nafsu mereka sahaja.

Kadang-kadang saya tertanya diri sendiri. Dalam keadaan seperti di Lahore itu, apa agaknya yang akan saya lakukan. Di Malaysia ini saya pun hanya mampu menolong sedikit-sedikit (amat sedikit)  NGO yang cuba membantu rumah anak-anak yatim dan miskin. Belum boleh di kira berjiwa waja. Jauh sekali.

Saya ada seorang teman yang mendirikan rumah kebajikan berseorangan diri untuk tujuan memastikan anak-anak terpelihara hak asasinya. Wang gratuity di guna untuk itu. Rumah yang ia tidak perlu dijual. Semua untuk itu.  Ia benar-benar bekerja kuat. Ia kasih pada anak-anak walaupun ia sendiri tiada anak kandung. Saya malu dengannya dan malu dengan diri saya sendiri.

Pihak kerajaan di Lahore diberitakan tidak mampu berbuat apa-apa. Pihak polis yang sepatutnya menjaga keselamatan dirasuah oleh penjenayah-penjenayah dan anak-anak ini terkapar-kapar bersendirian. Jenayah rasuah berada dimana-mana.

Sungguh kasihan  kerana tidak ada orang-orang kaya yang tampil ke hadapan membantu. Mungkin ada tetapi tidak diceritakan. Begitulah kehidupan di dunia. Allah uji orang-orang yang kaya dengan kekayaan mereka. Tunggulah di akhirat nanti jika mereka tidak berhati perut dan pura-pura tidak tahu masaalah yang ada di sekeliling mereka. Semoga saya tidak tergolong dalam kumpulan yang senghaja memanupelasi keadaan. Semoga Allah memelihara.


Anak-anak yatim dan miskin yang Allah anugerah pertolongan melalui sekumpulan dewasa yang berharta dan prihatin.
 (gambar kenangan semasa lawatan ke Sri Lanka bersama NGO. Orang-orang Islam di sana terpinggir dan dipinggirkan.)

Melalui cerita-cerita seperti ini saya mengimbau kembali pengalaman saya dengan murid-murid sekolah di daerah pendalaman dalam tahun-tahun akhir tujuhpuluhan. Pengalaman yang tidak akan saya lupa ialah semasa lawatan kerja saya ke pendalaman negeri Sarawak di mana anak-anak kecil sekolah rendah terpaksa di tinggalkan di asrama kerana tidak ada sekolah yang berdekatan. Sekolah yang terdekat berbatu jauhnya dan tidak ada jalan raya. kalau ada jalan pun ia seperti lorong-lorong dicelah-celah kampung  dan  kebanyakannya di pinggir hutan. Maka terpaksalah  mereka menggunakan sungai sebagai laluan. Tidak ada pengusaha pengankutan. Cuma sampan-sampan persendirian. Maka mana mungkin untuk pergi setiap pagi ke sekolah.

Maka terpisahlah mereka dari kasih  keluarga berminggu-minggu hingga cuti sekolah. Alangkah belasnya saya lihat mereka kerana bangunan yang dikatakan asrama itu pun seperti pondok sahaja. Tidak ada api dan air. Semasa lawatan saya itu mereka sedang makan malam jam 6 petang kerana tidak ada lampu yang mencukupi unyuk makan waktu malam. Tambah kasihan bila melihat menu makanan. Nasi dengan kuah lemak taugeh dan goring ikan masin. Itu sahaja. Kalau sekarang saya akan bertanya : Di mana kekayaan negara? Mungkin sekarang mereka ini sudak dewasa dan sudah beranak-cucu. Kalaulah ada diantara mereka yang menulis buku menceritakan kembali pengalaman mereka untuk diambil iktibar oleh mereka yang kaya raya.

Ketika itu di Semenanjung Malaysia pun wujud juga keadaan seperti itu. Saya pernah melawat ke sekolah pendalaman di Ulu Sungai Tembeling  mengarah ke kawasan Taman Negara yang ketika itu belum wujud seperti sekarang ini. Anak-anak kecil sekolah rendah juga tinggal di asrama. Dan keadaan asrama pun bangunan rumah kampung. Saya masih ingat hingga sekarang mereka duduk dalam gelap dan di bahagian hadapan rumah kambing-kambing menumpang berteduh kerana waktu itu hujan lebat. Di sekelilingnya semak samun.  Mereka tinggal di asrama atas sebab yang sama. Tidak ada sekolah berdekatan dan amat bahaya untuk naik bot tiap-tiap hari. Kadang-kadang keadaan air sungai amat cetek kerana tiada hujan dan penumpang harus berjalan dan bot ditunda. Itu pengalaman saya lalui sendiri.

Tetapi ada orang-orang kampung yang mahu membantu anak-anak itu bersekolah. MasyaAllah, berjiwa waja. Masih mahu  menjaga hak anak-anak untuk mendapat ilmu. Masih kasih pada anak-anak walaupun mereka sendiri miskin.  Alangkah tinggi budi mereka. Semuanya atas kesedran kasih pada anak-anak yang kecil. Itulah erti nikmat hidup. Nikmat hidup pada memberi.

Sampai di sini dahulu. Banyak lagi warna-warna sudut kasih yang boleh diceritakan. Mungkin di lain kali insyaAllah. Saya mohon ampun atas kelemahan dan kekurang saya . Semoga Allah memberi pertolongan dan mendapat keredhaanNya.

......

Sunday, January 29, 2012

MENJELANGNYA 12 RABIULAWAL



MADINAH DI HATI KU

Saban tahun tarikh lahir mu di peringati
Saban minggu hari lahir mu juga dira'i
Aku khuatir hanya setakat itu yang diikuti

Perjuangan mu belum ditiru sepenuh hati
Rintangan yang ada dijadikan alasan untuk diam memerhati
Sepertinya nanti pasti ada orang yang mahu mengganti.

Aku lihat di sana ada yang berani menawar diri 
Mencari jalan hingga kering tulang tidak terperi.
Berjihad harta dan nyawa tanpa mengira waris yang menanti.

Umur ku berkurangan hari demi hari
Rasulullah belum ku kenal sepenuhnya hati dan budi
Solawat ke atasnya ketandusan bila fikiran ku hanyut tiada erti
Bagaiman ku fikir dapat syafaatnya nanti

Mana bisa mengharap pertolongan tanpa berjuang menegakan yang pasti
Itu pesanan Ibu dan guru-guruku yang tidak jemu menasihati
Semoga aku berdiri teguh, membujur lalu jangan khuatir mati
Rahmat Allah pasti bersama asal sahaja hukumNya dituruti 

Tugas khalifah memakmur bumi semuanya tunduk mengabdi diri
Itu menjadi sebahagian bukti Iman dan taqwa terkunci mati
Kan ku beranikan diri menyahut seruan Illahi
Walau bila, walau di mana kan ku cari pasti
Junjungan Nabi ikutan ku walau pun aku dibenci.

Wahai diri! dunia ini tidak berkekalan
Ayuh bangkit dari santai jangan sampai hanyut fikiran
Mengejar yang kabur dan menyangka itulah kebenaran
Hanya kerana tidak mahu ketinggalan dan di dunia ini takut kerugian

Ya Allah Yang maha  Kasih maha Penyayang.,
Ku pohon keampunan Mu, semoga hidup ini tiada sesalan,
Di akhir perjalanan Engkau kurnia keredhaan,
Syurga Firdaus Engaku kurnia tanpa hisab, dengan Rahmat berkekalan.
Engaku yang aku sembah dan Engkau sahaja aku mohon pertolongan,
Semoga damai hingga dipertemukan.


......

Thursday, January 26, 2012

HILANG RINDU


 Tan Sri Asiah di sebelah kiri saya, no 2 dari kanan.Sentiasa selesa bersama-sama anak buahnya.

Dua minggu yang lalu seorang teman menjemput saya untuk berserta dalam perjumpaan bulanan kumpulan Old Girls Kolej Tengku Khursiah di Damansara Utama, Petaling Jaya. Oleh kerana saya yang tertua  dalam kumpulan maka saya diminta mengetuai doa kesyukuran dan doa selamat bagi yang hadir pada hari itu. Sebenarnya saya bukan berasal dari Tengku Khursiah. Pendidikan awal saya di Sekolah Atap (literally) di Pontian Johore. Alhamdulilah bila dewasa ada teman-teman dari Sekolah Elite yang mengeluarkan ramai bijak pandai. Cuma saya kurang pandainya dan elitenya. Tetapi saya hargai dan ra'i teman-teman yang punya kelulusan tinggi berbagai bidang dan menyumbang dalam pembangunan negara.

Hari itu saya rasa amat teruja kerana mereka menjemput Tan Sri Asiah Abu Samah sebagai tetamu khas. Beliau pernah menjadi Pengetua kolej itu. Hilang rindu padanya. Tan Sri adalah wanita pertama menjadi Ketua Pengarah Pendidikan dan saya berpeluang berkerja bersamanya. Teringat pengalaman kerja yang berbagai rupa dan berbagai cabaran. Tan Sri sentiasa tenang dalam menghadapi berbagai karenah politik dan pengurusan. Saya kagum melihatnya. Maka saya rakam foto bersamanya pada hari itu. Alhamdulilah ia sihat dan semoga terus sihat.

Semoga jasanya diterima Allah sebagai amal soleh dan sumbangannya sebagai ilmu yang dimunafaatkan.
Ameen.

...

Monday, January 23, 2012

TAHUN BARU CINA / GONG XI FA CAI



Tahun ini saya rakam kenangan Tahun Baru Cina dalam keluarga. Ini gambar anak menantu saya yang berketurunan Cina. Nama keluarganya ialah WEE.

Seronok ada perbezaan dalam keluarga. Ia punya potensi dalam masakan Cina, cuma jarang dapat menunjuk bakat kerana terlalu sibuk dengan kerja harian. Tidak mengapa kerana dalam kehidupan kita pasti melalui berbagai proses memantapkan kedudukan dalam keluarga dan kerjaya. Kami mendoakan semoga berjaya .

Amani Farissa.
Bergaya dengan baju Cheongsamnya pada Tahun Baru Cina.



Saturday, January 21, 2012

ANTARA KASIH SAYANG DAN TANGGONG JAWAB.



Nikmat dikasihi...

Sesuatu perbuatan yang lahir dari kasih sayang  tidak akan membuat seseorang itu rasa terbeban dengan usahanya dan tidak rasa bosan jika perlu mengulang-ulang usahanya itu. Tetapi jika membuat sesuatu kerana semata-mata rasa tanggong jawab pasti akan rasa terbeban dan akan rasa bosan. 

Setuju?

Jika bosan maka  tidak akan wujud ketenangan dan keharmonian. Orang yang rasa bosan dalam menjalankan tugasnya akan sentiasa melihat jam ditangan untuk cepat-cepat berhenti bila tiba waktunya. Maka orang yang di sekelilingnya juga  tidak akan rasa selesa  dan mungkin penghasilkan kerjanya juga  tidak memuaskan dan mungkin tidak dapat mencapai tujuan membuat kerja itu.

Saya ingin mengaitkan hal ini dalam koteks hidup berkeluarga. Siapa jua yang telah membuat keputusan untuk berumah-tangga  maka seharusnya ia sudah bersedia untuk hidup berkeluarga. Biasanya ia akan punya anak, isteri / suami, ibu, bapa dan mertua.  Jika seseorang itu sememangnya rasa kasih dan sayang pada keluarga, maka ia bukan sahaja akan bertungkus lumus melaksana segala kewajipan atas tanggong jawabnya tetapi ia akan memberi apa jua yang ada pada dirinya demi kasih dan sayang terhadap keluarganya. Jika tidak kita akan melihat seseorang itu akan bersikap sebaliknya dan  akan berkira setiap ringgit dan sen yang dibelanjakannya dan akan berkira tentang berapa berat dan berapa banyak kerja-kerja yang harus dilakukannya. Apabila bersifat berkira maka akan terhapus rasa keseronokan dan akan terjejas  semangat perkongsian dan mungkin juga menjejas keserasian.

Dalam pemerhatian rambang saya, kaum bapalah yang biasanya kurang prihatin tentang kebajikan keluarga dari segi penjagaan  dan pendidikan anak-anak.

Bukan begitu?

Ada juga ibu yang kurang prihatin tetapi  rata-rata  kaum ibu akan terdorong dengan fitrah kejadiannya dan biasanya akan bertungkus lumus mengurus anak dan kerja-kerja rumah tangga. Ramai ibu-ibu yang berkerja kuat di pejabat dan terus  bekerja kuat di rumah. Kaum bapa hanya releks  sendirian dan membantu ikut sekadarnya.

Mungkin saya silap dalam pemerhatian saya. Tetapi jika ada bapa yang bersikap begini maka anak-anak akan menjadi mangsa yang utama. Anak-anak akan menjalini hidup seperti mereka terbiar, kerana jarang-jarang berulit mesra dengan bapanya.  Ada kaum bapa yang berfikiran pencarian nafkah yang lumayan sudah mencukupi untuk menampung keselesaan keluarga. Maka tugas menjaga dan mendidik anak terletak pada ibunya sahaja.  Agaknya kursus perkahwinan tidak meliputi semua aspek dan mungkin hanya melepas syarat sahaja.

Tumpuan anak-anak akan terfokus  pada siapa sahaja yang suka berulit dengan mereka  dengan penuh kasih sayang termasuk pembantu rumah sendiri.  Maka janganlah kita salahkan pembantu rumah. Kita lihat diri sendiri.

Saya  ada juga membuat permerhatian ini dalam keluarga dan keluarga besar dan  juga antara teman dan rakan. Saya kasihan melihat anak-anak dalam golongan ini kerana mereka mengisi masa mereka tanpa bimbingan yang rapat. Saya rasa agak hairan mengapa ada sesetengah suami  atau bapa yang tidak menghargai betapa sususahnya proses mengandung dan proses melahirkan. Saya perhatikan ada yang tidak hairan sama sekali dengan proses itu dan tidak membantu isteri walaupun isteri sarat mengandung. Mungkin tidak ada rasa kesyukuran maka ia  tidak simpati pada isteri. Mungkin juga ia tidak benar-benar menyayangi anak-anak yang dilahirkan oleh isterinya. Jika demikian maka saya rasa  orang seperti ini jauh sekali ia mahu menghargai anak orang lain dalam keluarga besar atau dalam masyarakat. Kalau ia seorang guru, saya kurang yakin ia punya kewibawaan yang dapat mendidik murid-muridnya. Mungkin ia berjaya memberi ilmu tetapi tidak berjaya mendidik akhlak dan budi, jauh sekali menjadi seorang Murobbi. Seorang Murobbi jiwa raganya adalah untuk muridnya, seperti anaknya sendiri. Itu pun yang kita cari pada guru-guru kita. Ini sifat yang boleh kita bina. Namun harus ada keikhlasan.

Kita sering keliru perbezaan antara rasa kasih sayang dan rasa tanggong jawab. Ia bukan satu dan serupa. Menyelesai tanggong jawab tanpa komitmen emosi dan rohani, tidak dapat melahirkan kebahagian yang sebenarnya.  Hal keadaan fisikal mungkin selesa, tetapi tidak tersohor keseronokan dan kebarangkalian tidak hadir kesejahteraan.

WaAllahu'alam.

Kepada Allah saya mohon keampunan dan kepadanya saya mohon pertolongan . Semoga penulisan saya ini dapat di munafaatkan.

...

Friday, January 20, 2012

MENAGIH PERHATIAN


 Jinak betul burung merak ini. Ia mendekati kami semasa kami berhenti minum di sebuah taman dalam perjalanan "jalan-jalan cari makan" baru-baru ini. Saya rasa Merak ini sudah agak lanjut umurnya kerana bulunya atau sayapnya sudah tidak kelihatan secantik yang biasa dilihat dalam gambar-gambar dalam majalah sebelum ini. Tetapi ia nampak sangat jinak dan ia menarik perhatian.



Allah maha pencipta.

Berbagai rupa dan tabiat yang ada pada setiap ciptaannya. Burung merak ini melambangkan keindahan dan di Malaysia ia dilihat sebagai suatu yang melambangkan rasa hebat kerana cantiknya.

Saya katakan pada suami: "Burung merak ini agaknya mencari perhatian kita, manusia. Kasihan  seperti ia keseorangan. Terpinggir dan dipinggir." Tiada yang mendekatinya. Hanya suami saya yang beria-ia menggamit-gamit tangan cuba melayan kehendaknya. Itulah adat dunia. Bila sudah hilang kecantikan, siapa pun tidak mahu mendekati. Agaknya begitu.

Peristiwa seperti ini selalu sahaja membuat saya berfikir-fikir sendiri. Adakah begitu juga keadaannya dengan ciptaan Allah yang digelar manusia. Semasa muda, ramai sahaja peminat yang mahu mengerumuninya. Tetapi bila kecantikan sudah pudar dan kemampuan  diri sudah tiada, saya perhatikan ada golongan  manusia  yang akan terpencil beseorangan dan keseorangan.


Teringat saya kisah orang-orang tua yang saya sering dengari semasa saya belum dewasa tua seperti kini.  Dua puluh tahun yang lampau  (lebih kurang) saya katakan pada teman-teman pejabat bahawa nanti suatu hari kita semua mungkin tinggal di rumah orang-orang tua sebab anak-anak sudah terlalu sibuk. Ramai juga yang menyatakan kekhuatiran ini. Saya membuat telahan bahawa ketika itu kita tidak dihantar ke rumah orang tua atau rumah kebajikan, tetapi ada kemungkinan kita sendiri yang pergi mendaftar diri kerana anak-anak sudah benar-benar kesibukan. Itu pun kalau kita punya kemampuan. Saya amat takut memikirkannya.

Antara yang saya lihat hari ini budaya menggunakan  teknologi  berkomunikasi sudah  hampir memisahkan rasa kasih sayang antara insan. Tiada lagi sentuhan kasih sayang secara berhadapan. Dengan menggunakan teks SMS tiada lagi kedengaran suara. Hubungan hanya melalui mata dan alat komunikasi itu sahaja. Jika bernasib baik dapat melihat wajah di skrin, jika tidak maka yang tua hanya menanggung perasaan berseorangan. Mungkinkah anak-anak generasi muda sekarang terlintas dihati akan fenomena ini. Tidak dapat saya duga.

Mari kita lihat juga trend hidup anak-anak muda sekarang, lebih pada yang sudah berumah tangga. Dahulu di zaman saya muda, saya akan ke rumah ibu-bapa membawa makan masakan sendiri. Tetapi kini tidak begitu. Anak-anak akan membeli makanan untuk dibawa ke rumah. Tetapi ada juga cerita-cerita yang mengatakan anak-anak datang tidak membawa apa-apa. Saya amat khuatir sudah terputus budaya membawa buah tangan sebagai wasilah hubungan kasih bila berkunjung ke rumah sanak saudara, tidak semestinya ibu-bapa. Mungkin sekarang  ajinda makan sudah tidak menjadi suatu yang istimewa. Maka tidak perlu lagi menghubung kasih sayang cara begitu. Mungkin juga. Saya sendiri tidak pasti.  Sekarang ini di kalangan keluarga  yang berkemampuan budaya "keluar makan" sudah menggantikannya.

Selain itu ada fenomena lain pula. Dengan kecanggihan  teknologi sekarang ini makanan  boleh di pesan dan dihantar ke mana jua . Maka saya dengar juga rintihan ibu bapa generasi saya yang mengatakan anak-anaknya berbuat demikian. Tidak hadir sendiri. Mereka guna sistem "home Delivery". Gaya hidup sekarang sudah amat berlainan.Orang dewasa golongan saya hanya tertanya-tanya secara senyap-senyap sahaja. Agaknya terasa di hati juga bahawa mereka tidak lagi dikira penting.

Dalam angkatan generasi saya pun sudah timbul bibit-bibit ibu bapa menagih perhatian. Saya masih teringat emak saya (bapak saya meninggal semasa saya kecil) akan meminta saya balik kerana ia tidak sihat. Saya akan bergesa balik. Biasanya bila balik ia sudah pun sihat. Saya dan kakak-kakak senyum sahaja. Rupanya ia  cuma merindui anak-anak. Maka ia gunakan fenomena "tidak sihat" sebagai alasan. Emak dan bapak mertua saya pun begitu. Bila kita sampai di rumah, mereka sudah menampakan rasa selesa dan boleh bercerita-cerita.

Begitulah halnya. Banyak lagi cerita-ceriti orang-orang dewasa tua yang merasi dirinya tidak mendapat perhatian sewajarnya. Mereka bukan rasa marah tetapi hanya bersedih hati. Tidak disangka zaman beredar begitu rupa. Tetapi mereka yang terdidik dengan nilai-nilai akhlak Islami, berbeza sikap dan cara. Ibu bapa masih menjadi ajinda utama, hingga ada  teman-teman saya yang merasa seronok ditanya kalau mahu menamakan cucu yang baru dilahirkannya. Begitu halus budi anaknya hingga perkara yang dikira kecil pun mahu bertanyakan pada neneknya. Tetapi seorang teman saya berkata supaya kita jangan cepat terasa. Biarkan sahaja. Tentunya Allah akan mengaturkan yang sewajarnya kerana kita sudah sampai peringakt yang tidak lagi relevan pada orang muda. Mereka belajar lebih tinggi dan pergaulan lebih luas. Kita sudah tidak tahu apa yang berlaku diluar sana. Maka kita terima sahaja.


Tidak mengapa. Kita  redha pada apa yang ada yang Allah kurnia, asalkan sahaja kita tahu memunafaatkan masa yang ada. Kita iringi doa untuk semua semoga Allah sentiasa melindungi dan di akhir perjalanan ini Keredhaannya menanti.


Wednesday, January 18, 2012

SUKA BERPANTUN ?










Ini sebuah PENGHARGAAN  saya   (cara saya yang tidak sepertinya) untuk Allahyarham YBhg Dato' Dr Hassan Ahmad, pakar Bahasa Melayu di rantau ini. Saya tidak mengenalinya secara peribadi tetapi menghargai  usaha-usahanya semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka dan ketika itu  saya berkerja  di Kementerian Pendidikan. Saya suka subjek Bahasa dan Kesusasteraan Melayu semasa di Sekolah Menengah, maka saya rakamkan di bawah ini Pantun Melayu sebagai satu kenangan abadi pada Allahyarham.

Saya ada menyimpan buku "Karya Agong - Pantun Melayu"  di mana Allahyarham adalah Ketua Editor. Buku ini diterbitkan dalam tahun 2001. Semoga kerja dan usaha Allahyarham menjadi sebahagian Ilmu yang dimunafaatkan dan mendapat ganjaran dari Allah swt jua. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Ruhnya dan ia tenang dan bahagia di alam barzakh dan mendapat syurga tanpa hisab dengan Rahmatnya jua. Ameen.

Pantun- pantun ini kesemuanya dari buku tersebut yang dikaji dan diperkenalkan oleh Harun Mat Piah. Saya petik beberapa kerat pantun di bawah topik "Budi dan Adab". Semoga anak-anak muda kita menghargai dan menghayati dua nilai ini hingga keakhir hayat. Saya perhatikan nilai "BUDI" yang dianggap tinggi dalam cara hidup orang Melayu sudah makin hari makin pupus kerana dijajah nilai budaya asing yang merosakan. Nilai budi ada kaitan dengan "Akhlak" yang dituntut dalam Islam.


Cuba fikir-fikirkan:


Ada padi adalah beras
Bertanak nasi periuk tembaga
Ada budi adalah balas
Orang berbudi kita berbahasa.

Ada seekor burung helang
Suka bertenggek di atas carang
Hancur daging bercerai tulang
Budi yang baik baharulah hilang.

Ada seekor burung serindit 
Terbang ke paya makan padi 
Kepada orang tamakan ringgit
Kepada saya kenangkan budi

Akar keladi melilit selasih
Selasih tumbuh di hujung taman
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Ambil galah jolok remenia
Kait mari sampai berdiri
Kita hidup di atas dunia
Buat baik taburkan budi

Anak beruk di tepi pantai
Pandai melompat pandai berlari
Biar buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati

Anak dara berkain cukin
Dari Daik bulan puasa
Tidak kira kaya miskin
Asalkan baik budi bahasa.

Anak itek matinya lemas 
Makan lenggundi di Bukit Askin
Hilanglah bahasa kerana emas
Tak tampak budi kerana miskin.

Anak merak di kampung Cina
Cari makan di kepala titi
Emas perak kebesaran dunia
Budi yang baik dibawa mati.



Sampai di sini dulu. Mungkin di entry yang lain saya petik topik yang lain. Budi dan akhlak yang kita hargai adalah yang berpaksikan Iman dan Taqwa. Kita tidak lari dari fakta ini.

....

Friday, January 13, 2012

SELERA


Kelmarin dulu saya menepati janjitemu dengan Doktor Pakar Jantung buat sekian kalinya di Pusat Perubatan University Malaya. Akhir sekali saya berjumpa dengannya adalah 6 bulan yang lalu. Gula dalam darah saya tinggi. Purata 3 bulan ialah 8.9 dan saya "dimarahi". Saya senyum tawar. Selera masih sedap makan dan hidangan seperti di atas (masakan Turki) tidak dapat diketepikan begitu sahaja.

Doktor saya menasihatkan saya supaya mengambil insulin. Saya katakan padanya saya tidak mahu insulin dan minta diberi ubat alternatif. Setelah banyak rasional, beliau akhirnya bersetuju. Tetapi ubat ini (JANUVIA) saya kena beli sendiri.  Tidak percuma. Kata Dr ia lebih mahal dari Insulin. Mengapa kerajaan membuat peraturan demikian saya kurang faham. Katanya saya boleh tuntut balik. Tetapi bila sudah di umur lebih pertengahan enampuluhan, saya rasa proses menuntut balik tidak terbuat. Maklumlah sudah tidak mahir menulis surat tuntutan dan satu kerja rumit untuk ke Bahagian Pencen, Putrajaya. Seharusnya kerajaan tidak menyusahkan rakyat, terutamanya yang umur tua. Masukkan sahaja senarai ubat itu ke dalam senarai yang boleh diberi percuma. Apa salahnya. Pegawai atau jawatankuasa yang membuat peraturan tidak peka bahawa dia juga boleh ditakdirkan sakit. Tiada siapa boleh menjangka. Maka mengapa tidak mahu memudahkan. Kan Malaysia negara kaya...

Seorang teman berkata: "Itulah. Makan berpada-pada." Saya akur walaupun sudah agak terlambat. Bukan itu sahaja . Kolestrol saya pun tinggi. Sering kali saya katakan pada diri supaya jangan menghambat selera. Apakan daya. Agak sering mendapat jemputan makan di luar. Perangai manusia. Suka menyalahkan pihak lain. Saya tidak terkecuali. Itu yang saya berwaspada untuk memperbaiki, terutamanya di umur kini.

Semoga saya dapat istiqamah mengurus kesihatan diri.Tetapi pada orang muda yang belum sakit, ingatlah ! Orang muda pun boleh sakit. Harus juga menjaga makanan. Tidak betul saranan setengah orang bahawa masa muda inilah kita boleh joli makan. Tidak tepat sama sekali. Kalau quota makanan sudah habis di umur muda, maka di umur tua akan meranalah diri, hanya menjilat jari.

Semoga kita semua beringat. Allah maha memerhati.
...

Tuesday, January 10, 2012

TEKA - TEKI


Peristiwa menarik di dalam negeri
Ramai yang tidak menyangka ia akan terjadi
Khir Toyo di diputuskan guilty
Tetapi Anuar pulak lepas free

Mengapa agaknya ini terjadi 
Ia seperti sebuah teka-teki
Ada orang yang anggap ia mimpi ngeri
Takut Anuar jadi Perdana Menteri

 Tak percayakah Anuar boleh jadi Perdana Menteri
Atau adakah orang yang iri hati
Kan Mahkamah dah yakin pendakwa tak cukup bukti
Kenapa masih ragu mahu persoal kuasa tertinggi

Ada yang berkata itu bukan isu hakiki
Siapa sahaja boleh jadi Perdana Menteri
Asal sahaja ia bekelayakan, berwibawa dan berintergriti
Mungkin yang tidak berparti pun ada potensi  menawar diri

Itulah karenah politik dalam negeri
Masa yang sama ada orang dibuang parti
Kerana engkar, tapi ada yang kata ada orang tikam curi
Apa kaitan semuanya saya kurang mengerti

Tetapi jangan lupa ada kuasa yang maha tinggi
Ia maha melihat, maha mendengar dan sentiasa maha memerhati
Ia tahu perkara yang nyata dan yang tersembunyi 
Jangan siapa lupa itu hakikat, jangan cuba memandai diri

Syurga Neraka, Allah tetap menepati janji
Jangan sombong bermegah nanti senjata memakan diri
Rakyat hanya mampu melihat tak upaya berkata lagi
Hanya berdoa semoga Allah tentukan yang terbaik bagi kami

.....

Saturday, January 7, 2012

PASRAH



Bayangkan kita sepohon kayu yang tua, telah tumbang terbaring di pinggir jalanan dan tidak ada siapa yang peduli untuk mengurusnya. Ia di situ menanti reput dan menjadi debu dan kemudian di humban entah ke mana....seperti dalam foto ini yang saya rakam dalam perjalanan "jalan-jalan cari makan"  kerana ia menarik perhatian saya untuk berfikir-fikir.

Tetapi kita bukan sepohon kayu. Pohon ini tidak akan  disoal dan dipersoalkan di akhirat nanti. Tidak ada kes baginya. Kita  manusia akan melalui berbagai sekatan. Namun doa kita semoga kita ke syurga tanpa hisab. Maka saya  bertekad dalam umur senja ini untuk  meneruskan apa yang saya kira satu tugas tanggong jawab bagi diri saya yang mungkin jika saya tidak lakukan ia akan menjadi salah satu soal yang perlu saya perjelaskan. Nak dikatakan  tugas perjuangan, ia terlalu kecil dalam konteks membangun ummah. Cuma saya berikhtiar semoga sekurang-kurangnya  ia menjadi sebahagian dari usaha kumpulan teman-teman yang berkerja kuat berusaha menegakan kebenaran. 

Usaha saya kecil  dan biasa-biasa sahaja. Mulai tahun ini saya sukarela menjaga seorang cucu untuk bersekolah dari rumah saya di Petaling Jaya  dan menghantarnya setiap hari ke Taman Melawati di Kuala Lumpur, perjalanan kereta selama lebih kurang 40 minit jika tidak ada masaalah lalulintas yang besar. Dalam umur saya yang hampir 67 tahun jika mengikut tahun Hijrah , teman-teman mengatakan saya tidak seharusnya mengambil tugas itu. Bangun pagi seawal yang perlu untuk mula dari jam 7 pagi kerana sekolah cucu saya ini bermula jam 8 pagi. Petang jam 4 saya jemput ia balik ke rumah. Ini satu rutin yang agak mencabar usaha diumur ini. Tetapi saya pujuk diri sendiri untuk berjiwa besar dan berani untuk mencuba.

Mengapa saya mengambil tugas ini. Ada teman-teman yang bingung dan tidak faham mengapa saya bertindak seperti "tiada beban batu digalas". Seorang teman berterus terang berkata pada saya : "We are aging grandmothers, and we should relax and enjoy life. Let our children manage their own affairs. Besides, we need to frequent ourselves to the mosques and prepare ourselves for that final journey."

Ada benarnya kata-kata itu. Tetapi konsep itu tidak tepat.  Saya memilih untuk aktif. "Life is like a hundred meter race. We should speed through until we reach the finishing line. I would like to finish winning the race or at least I know I have tried my best. Winning the race is doing good deeds for ourselves  and helping others as much as possible, however difficult and taxing it is. No pain, no gain goes the saying."

Saya teringat seorang Ustaz berkata : Untuk membuat sesuatu yang  baik tetapi ia sukar dan sulit, jangan hanya guna akal  fikiran dan logik semata-mata untuk membuat keputusan. Banyak berdoa pada Allah. Ia memungkinkan segalanya. Tidak ada yang mustahil bagiNya. Maka kita mohon sungguh-sungguh padanya semoga Ia mengurnia kesihatan dan kekuatan yang luar biasa bagi umur tahap itu. Semoga Allah  meminjamkan kekuatan fisikal dan kecekapan  minda untuk menjadikan usaha ini mudah bagi saya dan suami saya yang sentiasa membantu. Ustaz menceritakan kisah Nabi Ibrahim AS. Api menjadi sejuk dengan izin dan kehendak Allah jua. Banyak contoh lain. Siti Hajar mendapat mata air untuk minuman dan menampung kehidupan di padang pasir yang kering kontang. Jika kita lihat fakta itu  kita munkin mahu berfikir semula mengenai keupayaan kita.  Saya terpanggil untuk berusaha dan kemudian pasrah pada Allah bagi yang sebaik mungkin. Dia yang maha mengerti, maha pemberi dan maha mengasihi hamba-hambanya.

Saya dan suami memilih tugas ini kerana ia ada kaitannya juga dengan tugas  di mana saya menjadi sebahagian dari team yang berusaha melaksana sebuah sekolah yang serupa  dengan sekolah cucu saya ini di Garut Indonesia seperti yang saya pernah ceritakan dalam beberapa entry saya sebelum ini. Semoga usaha yang sedikit ini dapat merangkai suatu yang berpanjangan munafaatnya. Adalah menjadi harapan saya bersama-sama dengan team  dari teman-teman rapat untuk membesar-luaskan perlaksanaan sistem pendidikan  Islam yang holistik dan terpadu sepenuhnya. Semoga saya dapat menjelaskan konsep ini dengan lebih lanjut lagi dalam entry saya lain kali pula insyaAllah. Mudah untuk berkata "holistik dan sepadu". Tetapi perlaksanaannya tidak semudah apa yang dikatakan.

Disini saya hanya ingin berkongsi  rasa nikmat berkerja sukarela semata-mata kerana Allah. Ustaz berpesan, jangan tersalah nowaitu. Banyakan munajat semoga cita-cita tercapai seperti yang diniatkan dengan pertolongan dan rahmat Allah jua.

Dibawah ini adalah gambar-gambar hari pertama Huzaifah (cucu saya) ke sekolah. Saya rakam dengan tujuan kenangan baginya dan bagi anak-cucu yang lainnya.

Jam 6.45 pagi sudah siap. Tetapi game "angry birdnya" 
mesti dilihat walau seminit.

Laluan ke sekolah melalui bandarraya Kuala Lumpur.
Tetapi laluan ini sibuk dan perlu mencari laluan yang lain.

Matahari pagi mula menyinar. Teringat semasa berkerja dahulu berebut-rebut mengejar masa.

Sekolah dimulakan dengan ayat-ayat suci al Quran, nasyid asmaul-khusna
dan lain-lain dan kemudian diikuti dengan penerangan 
pada pelajar dan ibu bapa / penjaga.
Semuanya dalam bahasa Inggeris. Semoga cucu saya dapat menafaatnya.

Cuba memfokus perhatian, sesuatu yang saya galakan 
dan semoga Allah memberi pertolongan.

Apa agaknya yang difikirkan

Alhamdulilah, lega hati saya bila latihan Syahadah, jari telunjuk tegak
dan matanya fokus. Semoga berkekalan.

Rasa teruja bila mula beredar ke bilik darjah.

Selepas lebih kurang sejam kami pun pulang dengan rasa amat bersyukur Allah memudahkan dari permulaannya dan semoga berterusan.

Sebagai ingat mengingat saya turunkan di bawah ini sebuah hadith riwayat Imam Bukhari RA yang berkaitan semoga usaha kita tergolong dalamnya.:
"Siapa sahaja yang sanggup untuk berjuang menegakkan kebenaran dan meninggikan kalimah Allah, maka sama ertinya dengan ia sedang berjuang di jalanNya, Azza wa Jalla."
Kami pasrah penuh padaNYA dan padaNYA jua kami memohon ampun dan semoga usaha kami mendapat keredhaanNYA dan semoga  semua yang terlibat mendapat limpah Rahmatnya yang tidak terhingga.

Ameen.


.....

Sunday, January 1, 2012

SEKADAR ROTI, ....


SELAMAT MENJALANI TAHUN BARU
MASEHI 2012.
SEMOGA ALLAH YANG MAHA PENGASIH, MAHA PENYAYANG, MAHA MENEMUKAN SENTIASA MEMANDU KITA DI JALAN YANG LURUS.
.......

Saya kirimkan gambar roti ini sebagai mengingati kenikmatan orang-orang miskin di merata dunia yang dikurnia rezki, walaupun setakat roti. Pada setiap hari, tanpa mengira tahun baru atau tahun apa, doa mereka pasti memohon Allah mengurnia rezki yang murah untuk diri, keluarga dan jemaah kumpulannya. Roti biasa pun memadai, tidak perlu terhidang cantik seperti ini. Semoga ke hadapan ini Allah kurnia yang terbaik baginya.

Kita lihat di media massa bagaimana rakyat negara miskin yang selalu dilanda bencana berpusu-pusu mengejar kenderaan Badan-badan sukarela yang datang membawa makanan untuk diedarkan. Ada yang dapat ada yang tidak dapat langsung. Bayangkan bagaimana kekecewaan hati mereka dan bagaimana rasa ketakutan untuk menghadapi masa yang mendatang yang tiada kepastian.

Saya di rumah sahaja pada malam tahun baru melayani anak-cucu yang datang berziarah. Saya terlihat juga program hiburan di TV yang saya katakan pada pembantu rumah saya supaya jangan "khusyuk" mengikutinya kerana program itu tidak ada unsur boleh membawa kita menginsafi diri dan mahu mengubah cara hidup supaya sentiasa di jalan yang lurus yang Allah redhai. Pembantu rumah saya hanya tersenyum tetapi saya rasa ia faham maksud saya kerana saya sering memperkatakan hal-hal seperti itu dari masa ke masa selama ia bertugas di rumah saya.

Pada jam 12 malam saya mula masuk tidur dan seorang cucu berumur 6 tahun tidur di bilik yang sama. Ia bertanyakan apa yang bising yang ia dengari di luar sana. Ia kata ia takut mendengarnya. Bunyi itu ialah bunyi tembakan dan dentuman  bunga api yang kedengaran hingga ke rumah saya. Saya rasa ia berlarutan hampir setengah jam, atau mungkin lebih lagi. Saya katakan pada suami alangkah ruginya kita kerana membazirkan beratus ribu ringgit pada suatu program hiburan untuk sekelip mata sahaja. Dan acara seperti itu tidak mencerdikan rakyat sedikit pun. Malah ia boleh melemahkan akal fikiran kerana tersalah anggap bahawa hiburan dan keseronokan itu semestinya dalam bentuk seperti itu yang memerlukan belamja yang tinggi. Ia tidak membawa faedah jangka panjang. Tetapi jika wang itu kita salur pada mereka yang benar-benar memerlukan, bukankah kita dapat menabur bahagia pada hati-hati mereka yang sentiasa hidup terdesak itu. Tidakah kita rasa bersalah sedikit pun? Kita bersukaria, tetapi ada yang kebuluran dan hidup merana. Apakah daya kita untuk mengubah cita rasa seperti ini, ya?

Saya mengiakan kata suami supaya beringat dengan  AlQuran, surah yang ke 99 "Zalzalah", ayat 1-8 yang bermaksud seperti berikut:
"Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya; Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya; dan berkata manusia: 'Apa yang sudah terjadi pada bumi?'; Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya; Bahawa Tuhanmu telah memerintahkan (berlaku demikian) ; Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan pada mereka amalan-amalan mereka; Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zahrah nescaya akan dilihatnya; Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zahrah nescaya akan dilihatnya jua."

Maka beringatlah kita. Bersuka ria hendaklah berpada-pada.  Jangan lupa pada yang  lapar dan menderita. Semuanya Allah kira. Semoga kita tergolong dalam kumpulan yang sentiasa berwaspada  pada hasutan mereka yang tidak mengenal siapa Tuhannya. 

Kita mohon ampun semoga kehadapan ini kita menjadi manusia, warga yang berkebajikan ke jalan Allah jua.



........
Related Posts with Thumbnails