SELAMAT MENJALANI TAHUN BARU
MASEHI 2012.
SEMOGA ALLAH YANG MAHA PENGASIH, MAHA PENYAYANG, MAHA MENEMUKAN SENTIASA MEMANDU KITA DI JALAN YANG LURUS.
.......
Saya kirimkan gambar roti ini sebagai mengingati kenikmatan orang-orang miskin di merata dunia yang dikurnia rezki, walaupun setakat roti. Pada setiap hari, tanpa mengira tahun baru atau tahun apa, doa mereka pasti memohon Allah mengurnia rezki yang murah untuk diri, keluarga dan jemaah kumpulannya. Roti biasa pun memadai, tidak perlu terhidang cantik seperti ini. Semoga ke hadapan ini Allah kurnia yang terbaik baginya.
Kita lihat di media massa bagaimana rakyat negara miskin yang selalu dilanda bencana berpusu-pusu mengejar kenderaan Badan-badan sukarela yang datang membawa makanan untuk diedarkan. Ada yang dapat ada yang tidak dapat langsung. Bayangkan bagaimana kekecewaan hati mereka dan bagaimana rasa ketakutan untuk menghadapi masa yang mendatang yang tiada kepastian.
Saya di rumah sahaja pada malam tahun baru melayani anak-cucu yang datang berziarah. Saya terlihat juga program hiburan di TV yang saya katakan pada pembantu rumah saya supaya jangan "khusyuk" mengikutinya kerana program itu tidak ada unsur boleh membawa kita menginsafi diri dan mahu mengubah cara hidup supaya sentiasa di jalan yang lurus yang Allah redhai. Pembantu rumah saya hanya tersenyum tetapi saya rasa ia faham maksud saya kerana saya sering memperkatakan hal-hal seperti itu dari masa ke masa selama ia bertugas di rumah saya.
Pada jam 12 malam saya mula masuk tidur dan seorang cucu berumur 6 tahun tidur di bilik yang sama. Ia bertanyakan apa yang bising yang ia dengari di luar sana. Ia kata ia takut mendengarnya. Bunyi itu ialah bunyi tembakan dan dentuman bunga api yang kedengaran hingga ke rumah saya. Saya rasa ia berlarutan hampir setengah jam, atau mungkin lebih lagi. Saya katakan pada suami alangkah ruginya kita kerana membazirkan beratus ribu ringgit pada suatu program hiburan untuk sekelip mata sahaja. Dan acara seperti itu tidak mencerdikan rakyat sedikit pun. Malah ia boleh melemahkan akal fikiran kerana tersalah anggap bahawa hiburan dan keseronokan itu semestinya dalam bentuk seperti itu yang memerlukan belamja yang tinggi. Ia tidak membawa faedah jangka panjang. Tetapi jika wang itu kita salur pada mereka yang benar-benar memerlukan, bukankah kita dapat menabur bahagia pada hati-hati mereka yang sentiasa hidup terdesak itu. Tidakah kita rasa bersalah sedikit pun? Kita bersukaria, tetapi ada yang kebuluran dan hidup merana. Apakah daya kita untuk mengubah cita rasa seperti ini, ya?
Saya mengiakan kata suami supaya beringat dengan AlQuran, surah yang ke 99 "Zalzalah", ayat 1-8 yang bermaksud seperti berikut:
"Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya; Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya; dan berkata manusia: 'Apa yang sudah terjadi pada bumi?'; Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya; Bahawa Tuhanmu telah memerintahkan (berlaku demikian) ; Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan pada mereka amalan-amalan mereka; Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zahrah nescaya akan dilihatnya; Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zahrah nescaya akan dilihatnya jua."
Maka beringatlah kita. Bersuka ria hendaklah berpada-pada. Jangan lupa pada yang lapar dan menderita. Semuanya Allah kira. Semoga kita tergolong dalam kumpulan yang sentiasa berwaspada pada hasutan mereka yang tidak mengenal siapa Tuhannya.
Kita mohon ampun semoga kehadapan ini kita menjadi manusia, warga yang berkebajikan ke jalan Allah jua.
........
2 comments:
Assalamu'alaikum kak
Ya kak, masih ada lagi sambutan seperti itu biarpun kita sering mendengar galakan jangan menyambut secara membazir, cukuplah buat kita muhasabah diri apakah tahun-tahun berlalu bekalan kita mencukupi.
Ada juga kedengaran mercun dari rumah saya pada malam itu.
Mudah-mudahan kita dapat muhasabah diri kerana pada dasarnya bila-bila masa sahaja kita akan pergi meninggalkan dunia yang fana ini.
Salam, betul tu Werda. Saya lagi dekat dengan garis tamat, adat kata. Semoga Allah sentiasa melindungi dan apa yang kita buat mendapat rahmatNya. Tahun baru ini saya ada tugas baru. Hantar cucu dan ambik balik dari sekolah. Doakan saya sihat untuk tugasan itu.
Post a Comment