"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, January 21, 2012

ANTARA KASIH SAYANG DAN TANGGONG JAWAB.



Nikmat dikasihi...

Sesuatu perbuatan yang lahir dari kasih sayang  tidak akan membuat seseorang itu rasa terbeban dengan usahanya dan tidak rasa bosan jika perlu mengulang-ulang usahanya itu. Tetapi jika membuat sesuatu kerana semata-mata rasa tanggong jawab pasti akan rasa terbeban dan akan rasa bosan. 

Setuju?

Jika bosan maka  tidak akan wujud ketenangan dan keharmonian. Orang yang rasa bosan dalam menjalankan tugasnya akan sentiasa melihat jam ditangan untuk cepat-cepat berhenti bila tiba waktunya. Maka orang yang di sekelilingnya juga  tidak akan rasa selesa  dan mungkin penghasilkan kerjanya juga  tidak memuaskan dan mungkin tidak dapat mencapai tujuan membuat kerja itu.

Saya ingin mengaitkan hal ini dalam koteks hidup berkeluarga. Siapa jua yang telah membuat keputusan untuk berumah-tangga  maka seharusnya ia sudah bersedia untuk hidup berkeluarga. Biasanya ia akan punya anak, isteri / suami, ibu, bapa dan mertua.  Jika seseorang itu sememangnya rasa kasih dan sayang pada keluarga, maka ia bukan sahaja akan bertungkus lumus melaksana segala kewajipan atas tanggong jawabnya tetapi ia akan memberi apa jua yang ada pada dirinya demi kasih dan sayang terhadap keluarganya. Jika tidak kita akan melihat seseorang itu akan bersikap sebaliknya dan  akan berkira setiap ringgit dan sen yang dibelanjakannya dan akan berkira tentang berapa berat dan berapa banyak kerja-kerja yang harus dilakukannya. Apabila bersifat berkira maka akan terhapus rasa keseronokan dan akan terjejas  semangat perkongsian dan mungkin juga menjejas keserasian.

Dalam pemerhatian rambang saya, kaum bapalah yang biasanya kurang prihatin tentang kebajikan keluarga dari segi penjagaan  dan pendidikan anak-anak.

Bukan begitu?

Ada juga ibu yang kurang prihatin tetapi  rata-rata  kaum ibu akan terdorong dengan fitrah kejadiannya dan biasanya akan bertungkus lumus mengurus anak dan kerja-kerja rumah tangga. Ramai ibu-ibu yang berkerja kuat di pejabat dan terus  bekerja kuat di rumah. Kaum bapa hanya releks  sendirian dan membantu ikut sekadarnya.

Mungkin saya silap dalam pemerhatian saya. Tetapi jika ada bapa yang bersikap begini maka anak-anak akan menjadi mangsa yang utama. Anak-anak akan menjalini hidup seperti mereka terbiar, kerana jarang-jarang berulit mesra dengan bapanya.  Ada kaum bapa yang berfikiran pencarian nafkah yang lumayan sudah mencukupi untuk menampung keselesaan keluarga. Maka tugas menjaga dan mendidik anak terletak pada ibunya sahaja.  Agaknya kursus perkahwinan tidak meliputi semua aspek dan mungkin hanya melepas syarat sahaja.

Tumpuan anak-anak akan terfokus  pada siapa sahaja yang suka berulit dengan mereka  dengan penuh kasih sayang termasuk pembantu rumah sendiri.  Maka janganlah kita salahkan pembantu rumah. Kita lihat diri sendiri.

Saya  ada juga membuat permerhatian ini dalam keluarga dan keluarga besar dan  juga antara teman dan rakan. Saya kasihan melihat anak-anak dalam golongan ini kerana mereka mengisi masa mereka tanpa bimbingan yang rapat. Saya rasa agak hairan mengapa ada sesetengah suami  atau bapa yang tidak menghargai betapa sususahnya proses mengandung dan proses melahirkan. Saya perhatikan ada yang tidak hairan sama sekali dengan proses itu dan tidak membantu isteri walaupun isteri sarat mengandung. Mungkin tidak ada rasa kesyukuran maka ia  tidak simpati pada isteri. Mungkin juga ia tidak benar-benar menyayangi anak-anak yang dilahirkan oleh isterinya. Jika demikian maka saya rasa  orang seperti ini jauh sekali ia mahu menghargai anak orang lain dalam keluarga besar atau dalam masyarakat. Kalau ia seorang guru, saya kurang yakin ia punya kewibawaan yang dapat mendidik murid-muridnya. Mungkin ia berjaya memberi ilmu tetapi tidak berjaya mendidik akhlak dan budi, jauh sekali menjadi seorang Murobbi. Seorang Murobbi jiwa raganya adalah untuk muridnya, seperti anaknya sendiri. Itu pun yang kita cari pada guru-guru kita. Ini sifat yang boleh kita bina. Namun harus ada keikhlasan.

Kita sering keliru perbezaan antara rasa kasih sayang dan rasa tanggong jawab. Ia bukan satu dan serupa. Menyelesai tanggong jawab tanpa komitmen emosi dan rohani, tidak dapat melahirkan kebahagian yang sebenarnya.  Hal keadaan fisikal mungkin selesa, tetapi tidak tersohor keseronokan dan kebarangkalian tidak hadir kesejahteraan.

WaAllahu'alam.

Kepada Allah saya mohon keampunan dan kepadanya saya mohon pertolongan . Semoga penulisan saya ini dapat di munafaatkan.

...

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Kak,

Betul seperti apa yang akak tuliskan tu.

Tapi sekarang ni Alhamdulillah nampaknya dah ramai kaum bapa muda yang menjalankan tanggungjawab mereka sebagai bapa.

Kalau dulu2, jarang kita tengok ayah bawak anak ke klinik sorang diri tanpa ibu. Tapi sekarang fenomena begitu dah banyak kita lihat. Mungkin generasi sekarang banyak yang berilmu dan tahu tanggungjawab mereka.

ngasobahseliman said...

Salam Dear Kunang-Kunang. TQ sudi singgah dan sudi beri pandangan. Akak tidak nafi ada bapa-bapa generasi muda kini yang Akak nampak sendiri pergi bawa anak kecil ke klinik tanpa isteri. Alhamdulilah. Cuma Akak sebut yang muda tetapi masih mengikut tradisi "entah siapa" yang semuanya dilonggok pada isteri. Mungkin tradisi keturunan yang masih menganggap wanita mesti "tunduk" pada suami dalam apa jua keadaan. Semoga ada pihak yang mahu mengejutkan kumpulan ini supaya mengubah sikap.

Walauapa pun jika seseorang itu punya rasa menginsafi diri, mahu bertolak ansur, mahu memahami masaalah bersama, Akak rasa akan wujud toleransi, malahan kasih sayang. Rasa bertanggong jawab tetapi tidak ada kelembutan hati untuk menyayangi, maka tidak akan wujud kesejahteraan keluarga. WaAllahu'alam.

Related Posts with Thumbnails