Ramai orang Malaysia yang sudah ke Morocco. Rata-rata teman rapat yang sudah ke sana mengatakan seronok melancong ke Morocco. Saya berbelah hati untuk ke sana entah mengapa. Tetapi suami saya kata elok kita lihat sendiri sebab Morocco adalah negara Islam yang jarang-jarang kita mendapat berita tentangnya. Maka saya teringat kata seorang pengembara mengatakan: It's not how much you know, but how much you have seen.
Transit di Lapangan Terbang Abu Dhabi selama 3 jam.
Maka saya ke Morocco dengan teman-teman dari Kg. Tunku pada 18Nov hingga 27Nov dan sekarang ini sedang merawat kepenatan. Saya catatat di bawah ini pengalaman yang saya lalui.
Sebelum pergi amat sedikit yang saya tahu mengenai negara ini. Maka catatan ini adalah seperti orang buta yang cuba mengenali seekor gajah mengikut cerita kanak-kanak zaman saya kecil. Agaknya saya lihat dari sudut ekornya atau mungkin dari sudut telinganya atau gadingnya. Saya tidak pasti. Cuma yang pasti catatan ini ibarat melihat dari jendela kecil sebuah rumah yang amat besar yang tidak melalui dewan ruang tamunya. Dari apa jua sudut, doa musafir saya antaranya: Ya Allah, perlihatkanlah pada ku apa yang aku harus lihat, perdengarkanlah pada aku apa yang aku harus dengar dan kurniakanlah deria rasa agar aku dapat merasai apa yang harus aku rasai dan bukakanlah minda ku semoga dapat aku mengalami apa yang aku harus alami ketika aku di bumi Morocco. Semoga Allah mengurnia kebijaksanaan dalam wadah Nur Iman dan semoga dihujung musafir ini kami dianugerah redhaNya jua.
Alhamdulilah, sejurus mendarat di lapangan terbang Muhammad V di Casablanca kami disambut oleh pemndu tempatan. Ia seorang Arab Morocco yang fasih berbagai bahasa termasuk Perancis dan Inggeris. Pertukaran wang Dirham harus dibuat di sini kerana matawang tersebut tidak diniagakan di luar negara. Jalan raya ke kota Casablanca luas dan tidak sesak.Mula-mula kami dibawa melihat sebahagian bandaraya Casablanca yang menjadi bandararaya komersial negara Morocco. Casablanca bererti "bangunan putih" dan dalam bahasa Arab "Darul Baidhak". Bangunan-bangunan terawal yang dibina penjajah berwarna putih dan hingga sekarang dipelihara sebagai warisan penjajah. (pemandu pelancung kata: we were never colonalized by the French. We became a protectorate of the French.)
Nama tempat ini ialah King Muhammad ll Square. Di situlah terletaknya pejabat-pejabat kerajaan.Ia dibina dalam tahun 1912. Morocco diperintah oleh Perancis dari 1912 hingga 1955.
Macam di Trafalgar Square London banyak burung merpati.
Suami saya ambil kesempatan ambil gambar sebagai pelancung
dengan bayaran sukarela 10 dirham.
Kemudian kami dibawa melihat Masjid terbesar di Morocco. (Saya akan cerita berasingan mengenai Masjid ini). Kemudian kami makan di kawasan peranginan di pinggiran lautan Atlantik. Makanan ala Barat dan saya berkenalan mesra dengan teman semeja makan yang kebetulan mengenali isteri Pak Hasni. (Pak Hasni sudah saya ceritakan beberapa kali dalam entry sebelum ini). Maka saya "berkempen" mengenai pembentukan dan pembangunan sekolah berasaskan IHES dan QGDP. (Integrated and Holistic Education System dan Quranic Generation Development Program). Seronok tak kira sebab kami sehaluan dan mereka akan cuba menghubungi Pak Hasni mungkin boleh ditubuhkan sebuah sekolah seperti Adni Islamic School di Kuantan pula kerana mereka tinggal di sana.Saya dengari nasihat teman akrab saya untuk mempromosi IHES dan QGDP ini dimana jua sebagai usaha dakwah kita membangunkan sistem pendidikan Islam yang syumul.
Selepas makan kami bertolak ke Rabat, Pusat Pentadbiran negara Morocco dengan perjalanan selama 2 jam. Banyak kesan-kesan sejarah dalam bentuk istana-istana lama. Kami dibawa melawat keesukan harinya kerana pada hari sampai di Rabat semua peserta kepenatan setelah lebih kurang 19 jam penerbangan dari KL ke Casablanca. Malam itu kami makan ikan goreng dan salad-salad arab Morocco. Saladnya tidak menarik dan ikan hanya dimakan dengan lemon. Mungkin kerana kepenatan banyak yang tertinggal di atas meja.
Di Restoran makan ikan goreng. Tetamu di meja lain di hidang bersama wine,
tinggalan budaya orang-orang Perancis.
Pemandangan yang cantik di Rabat ialah apabila kami dibawa ke Makam Sultan Muhammad V. Di persekitaran itu juga terletaknya Hassan Tower. Dahulunya ada masjid besar tetapi telah runtuh apabila terjadinya gempa bumi terbesar di Portugal yang kesanya sampai ke Morocco dalam tahun 1755. Lihat kesan tiang-tiang yang tinggal dalam foto di bawah ini.
Kami masuk ke makam dan membaca al Fatihah dan saya tidak lama di situ walaupun cantik perhiasan di dalamnya. Saya keluar dan merakam foto seperti di bawah ini untuk kenangan.
Sebahagian taman di Hassan Tower.
InsyaAllah saya sambung cerita.
...