"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, November 3, 2012

selagi ada usaha ...



Menunggu......dan menunggu....

Saya rakam foto ini semasa saya di Institut Jantung Negara IJN tidak berapa lama dulu semasa menemani suami saya untuk temujanji berkala yang sudah ditetapkan. Kami duduk menanti giliran agak lama juga, lebih dari sejam. Tercetus dalam hati mengapa negara yang kaya seperti Malaysia ini masih belum mampu memberi keistimewaan pada pesara usia lanjut supaya tidak lama menanti berjumpa doktor. Rakyat Malaysia punya pelajar yang pintar-pintar untuk menjalani latihan kedoktoran.  Adakah kerana kerajaan tidak ada bajet yang mencukupi ? Saya macam faham tak faham dari sejak saya bekerja hingga sekarang. Saya bersyukur atas segala nikmat Allah tetapi dari segi Sunnatullah saya ingin juga memberi pandangan. Maklumlah pinggang sudah mudah sakit duduk lama dan perut sering lapar akibat dari sakit-sakit yang dirasai. Nak berjalan ke kafetaria pun jauh dan takut ketinggalan giliran bila dipanggil kami tiada. Ini antara masaalah usia senja. Maka duduklah juga dan bersabar. Suami duduk diam dan saya lihat mulutnya komat-kamit. Berzikir agaknya. Saya tidak tanya. Saya duduk cuba menghabis buku yang sedang dibaca.

Dalam pada itu saya sempat juga memerhati pesakit-pesakit lai, seperti yang foto di atas. Ia ditinggalkan sebentar oleh anaknya.  Ada yang tenang menunggu dan ada juga yang saya nampak gelisah. Ada yang ditemani anak, ada yang berseorangan dan ada juga yang ditemani pembantu Indon. Saya menyedarinya dari cara mereka berkomunikasi. Di Malaysia Rahmat Allah masih melimpah ruah, maka ada ustaz yang mengatakan kita diuji dengan kesenangan dan kemewahan. Walaupun menghidap berbagai penyakit masih ada tempat untuk merawat dalam keadaan sekeliling yang aman damai. Di sesetengah negara Allah uji dengan peperangan, dan semuanya serba kekurangan. Maka kita harus muhasabah diri, bersabar, redha dan mensyukuri.




Dalam pada itu suka juga saya berkata sedikit mengenai mereka yang tua yang datang berseorangan. Agaknya tidak ada waris atau wari seperti anak-anak sentiasa kesibukan. Maka ada yang datang bertongkat sendirian. Ada yang sudah agak sulit pendengaran dan perlu dilayani dengan keistimewaan. Saya lihat ini semasa menanti giliran mengambil ubat-ubatan pula.Saya akui pegawai di Farmasi pesakit luar cekap sekali.

Menanti giliran adalah perkara biasa di Hospital kerajaan termasuk IJN. Katanya di Hospital swasta tidak demikian. Tetapi tidak semua orang mampu ke hospital swasta. Saya sejukan hati dengan memandang hidup ini jauuuuh-jauuh. Ia itu apabila kita dibangkitkan semula di Padang Masyhar nanti apa pula habuan kita. Saya berdoa semoga saya tidak perlu menunggu giliran beribu tahun. Mari sama-sama kita doa semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan melimpahkan rahmatNya dan Allah pilih kita masuk terus Syurga  tanpa hisab. Maka selagi ada usaha yang Allah kurnia, kita sentiasa munafaatkannya  ke jalanNya jua. Kita berlapang dada dan terus berusaha sedaya kita. Semoga Allah meredhai.

Ameen Ya Rabb.

.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails