"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, June 6, 2013

Oupik, Kita ikut jalan mana ye ? ....




Namanya Taufik. Cucu saudara saya. Kini remaja di tingkatan tiga. Dia istimewa pada  saya. Punya pemikiran sendiri dan berani menyatakannya, sekurang-kurangnya pada abahnya.

Semasa di penghujung sekolah rendah ia menyatakan pada Abahnya ingin menjadi seorang Tahfiz alQuran. Teruja saya mendengarnya.

Tup...tup belum setahun begitulah,  ia katakan pada Abahnya dia tidak mahu terus di kelas Tahfiz. Berbagai sebab dan alasan yang dikemukakannya mengapa ia mahu bertukar haluan. Perbincangan berlaku dalam keluarga dari berbagai sudut. Saya hanya mendengarinya dari jauh dan tidak memberi apa jua pendapat. Kata Embahnya (kakak saya),ia 'berhujah' dengan perasaan, bukan emosi mendadak. Saya sering berbincang dengan kakak saya mengenai anak dan cucu-cucunya. Alhamdulilah, masih ada semangat mahu berkongsi nikamat hidup dan apa jua yang berkaitan dengannya dalam keluarga besar. Ini satu fenomena yang makin hari makin berkurangan. Ramai yang sudah tidak yakin dengan ketulusan dan kebijaksanaan keluarga besar. Mereka lebih yakin dengan pendapat rakan sebaya.Ini dipelopori oleh media massa kita yang jarang-jarang mahu menonjolkan fakta bahawa golongan tua punya kebijaksanaan (wisdom) walaupun ketinggalan dalam hal-hal teknologi.

Masa sudah jauh beredar dan nilai-nilai hidup dahulu dan sekarang sudah mula mengasingkan dan memisahkan generasi....

Sebenarnya saya tidak kecewa Taufik bertukar ke sekolah biasa. Maahad Tahfiz bukan segalanya dalam mendidik anak-anak. Kita kena lihat kecenderungannya dari masa ke masa kerana perubahan pada pemikiran boleh berlaku dalam proses pembesaran. Pendidikan Islam boleh dibuat dengan berbagai cara. Dan sekiranya anak-anak memilih yang lainya kita boleh juruskan kejurusan yang diminatinya asalkan sahaja AlQuran tidak ditinggalkan dan dilupakan sama sekali. Jurusan apa pun jika tanpa alQuran maka landasan itu amat pincang.

Berbalik pada cerita Maahad tahfiz. Pada awal-awal lagi semasa anak lelaki bongsu saya memulakan persekolahan, saya menghantarnya ke Sekolah Rendah Islam Al Amin. Ia tidak tamat di situ. Saya masukan pula ke sekolah hafaz alQuran (berbagai), seperti di Darul Furqan. Apabila tamat rendah (belum tamat alQuran) saya hantar pula ke Institut Tahfiz di Kelang. Pengalaman saya dengan Institut itu ada yang saya suka, ada yang saya kurang suka. Anak saya aktif  dan suka bersukan. Tetapi di situ tiada kemudahan sukan yang cukup memuaskan. Maka setelah habis PMR dan tamat 16 juz, saya pindahkan dia ke Markas  Maahad Taffiz di Banting (kepunyaan Jabatan Pendidikan Islam, Selangor). 

Pentadbiran di sekolah itu tidak memuaskan saya kerana tiada perhatian khusus pada anak-anak yang sangat aktif dan susah fokus hanya pada alQuran. Maka  apabila tamat SPM, (juga belum tamat alQuran),  saya mula berfikir sama ada mahu terus atau pindah.

Untuk memendekan cerita, hafazan alQuran tidak tamat dan saya hantar pula ke International Islamic University, Khartoum, Sudan untuk mahir Bahasa Arab. Itu pun bermasaalah. Maka akhirnya saya hantar pula ke Jordan dan tamat dengan Sarjana Muda Syariah dari Universitu Mu'tah. Umurnya  25 tahun baru tamat. Alhamdulilah.

Pengalaman pahit manis ini menyebabkan saya tidak bersikap negatif pada Taufik bila bertukar saluran pendidikan. Saya katakan pada Abahnya bahawa tidak mengapa bertukar cara. Hafazan alQuran pada pendapat saya ada 2 cara yang mudah difahami.

       Satu : Bagi mereka yang mahu menjurus secara mendalam dalam pengajian Islam. Dan setelah berjaya mencapai peringkat paling tinggi yang disyaratkan,  mereka bolih menjadi  apa yang difahami sebagai Ulama' (Pakar jurusan ilmu Islam).

      Dua: Bagi mereka yang mahu menghafaz alQuran di samping ilmu fardhu 'ain dan kemudian mahu menuntut di bidang ilmu fardhu khifayah seperti kejuruteraan, ekonomi dan apa jua bidang yang sekarang ini tidak dikuasi oleh orang Islam. Dalam dunia kini, bidang-bidang itu dikuasai oleh orang-orang Yahudi. Kita masih menjadi pengikut sahaja. Maka kita harus berbuat sesuatu.

Maka pada pendapat saya Maahad tahfiz bukan segala-galanya. Menantu saya adalah juga seorang Hafiz alQuran dan sekarang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kerajaan Malaysia di Putrajaya. Saya dapat melihat kekuatannya dan kelemahannya. Ini lumrah manusia apa jua bidang pilihannya. Maka kefahaman saya mengenai bidang ini  membuat saya terus berfikir-fikir.  Betulkah Maahad Tahfiz hanya merupakan salah satu cara untuk menguasai Ilmu Islam.

Di Sekolah Islam Adni ( yang saya ceritakan dalam entry yang dahulu), ada juga hafazan alQuran. Dan lulusan Adni meneruskan pengajian dalam bergagai jurusan.(Lihat websitenya). ADNI menekankan pada pendidikan bersepadu dan holistik yang berpaksikan alQuran dan Hadith.




Semua orang  yang prihatin tahu bahawa orang Islam diwajibkan menguasai semua bidang Ilmu. Sekarang ini saya baru diperkenalkan denagan  konsep pendidikan yang dipelopori oleh seorang Ulama' Besar berbangsa Turkey bernama Fethullah Gulen. Saya difahamkan bahawa yang penting bagi orang Islam sekarang secara mendalam ialah ilmu. Tanpa Ilmu kita tidak  boleh dikira bertaraf Khalifah dimuka bumi ini. Falsafah utama Sheikh Fethullah Gullen ini dalam mengembangkan Islam ialah LOVE and TOLERANCE". Kita tidak akan dapat memecahkan benteng kekuasaan dunia oleh bukan Islam jika kita tidak ada dua elemen ini yang berdiri di atas paksi ILMU Islam yang BENAR. 






 


Sheikh Fethullah Gulen dengan sokongan Jemaahnya (HIZMET) telah menubuhkan beribu sekolah di seluruh dunia, khbarnya melebihi 2,000 buah. Sebuah sekolah sudah dibina di  Kuala Lumpur, Malaysia dan saya dikhabarkan bahawa antara co-sponsor projeknya adalah juga dari dermawan-dermawan tempatan yang berjumlah beratus ribu ringgit dan mungkin berjuta ringgit. 

Sekolah-sekolah ini mengikut istilah saya "berjiwa Islam" tetapi tidak dalam format Islam yang biasa kita tahu. (Ini fahaman saya). Saya berdoa dan berharap suatu hari saya benar-benar dapat memahami falsafah dan pelaksanaan sekolah-sekolah ini supaya saya dapat melihat bagaiman sistem  Integrated and Holistic Education Syatem berlandaskan alQuran, i.e IHES (yang dipelopori oleh Professor Adni dan diiktiraf oleh OIC ) dapat "digabong" dengan sistem Fethullah Gulen ini. (Ini hanya harapan kerana saya kurang kemampuan dan kekuatan yang berbentuk tenaga dan kewanagan untuk  mengkaji dan bertindak sewajarnya). Namun saya akan terus berdoa harapan saya menjadi kenyataan.

Mungkin ada diantara yang membaca entry saya ini boleh menghubungi saya untuk kita terokai bersama ke arah membina satu sistem yang sepadu  yang mengambil  kira semua aspek yang seharusnya diamil kira. Apakah aspek-aspek itu?  Inilah yang harus ditentukan bersama oleh pakar-pakar dibidang ini dan dibidang berkaitan.( INI PUN KALAU PERLU). Sekarang ini saya sedang dalam proses mengisi penuh "Jigsaw Puzzle" dua bentuk sistem pendidikan ini. Tujuan saya semoga saya tidak terkeluar dari landasan yang betul dan tepat di sisi Islam, kerana tanpa ILMU orang Islam tidak akan dapat menerajui kepimpinan dunia sekali goes memenuhi perintah Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. (Saya telah membaca buku-buku di atas tetapi belum mendapat kefahaman sepenuhnya).

....................................................................

Alhamdulilah, dengan izin dan  kehendak Allah semalam saya mendapat tahu dari suami saya bahawa pada bulan September ini saya insyaAllah akan dapat melawat sekolah Fethullah Gulen yang saya sebut di atas yang telah mula beroperasi di Kuala Lumpur ini. Semoga saya panjang umur dan berkemampuan. Nanti saya akan bercerita lagi setelah dapat melawat sambil belajar yang suami saya cadangkan pada pihak pengurusan sekolah itu.  Bagaiman suami saya mendapat peluang ini  insyaAllah saya cerita kemudian dengan izinNya. Sama-sama kita berdoa demi mahu mencari redha Allah.

Maka untuk Oupik, rajin-rajinlah berusaha dan bersungguh-sunguh bersolat dan munajat semoga Allah menunjuki kita jalan yang benar di sisiNya. Semoga dengan jalan  ini  Allah kurnia kita dapat bersama di Syurga Firdaus nanti tanpa hisab bersama semua yang kita sayang.

Ameen, Ya Rabb.....
...

No comments:

Related Posts with Thumbnails