"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, October 31, 2018

Nothing to contribute?....@ anak-anak OKU.



Foto di atas itu cucu saya yang sulung dikirim oleh ibunya untuk perhatian saya semoga dapat mendoakan kesejahteraannya. Dia oku dalam golongan ADHD. Kami redha Allah kurnia dua orang cucu konfirmed oku. Di atas itu antara perilaku yang "biasa" dalam keadaan ia penat dan "boring". Namun jika ibunya ada di rumah fenomena ini terkawal sedikit. Hari itu ibunya bertugas luar kawasan dan Ujai tidur lambat kerana terpaku dengan apa yang disukai di komputernya. Biasanya Ibunya akan mendisiplin mereka untuk tidur awal dan komputer di simpan dalam kawalan ibunya.Malam itu ia tidur amat lewat dan pasti mengantuk keesukan harinya. Namun kalau ia budak "normal" pasti ia akan rasa malu tidur di kelas. Tetapi Ujai akan berbuat yang "baik" atau "sesuai" dalam fikirannya.

Semenjak saya ada dua orang cucu yang oku, saya sering memerhatikan secara rambang bahawa ramai  dalam masyarakat kita yang masih belum dapat menerima bahawa tidak semua jenis oku itu berkaitan dengan dna ibu. Itu fahaman saya. Maka saya tidak rasa prejudis bila berhadapan dengan anak-anak oku dimana jua. Itu merupakan kurnian Allah dan tiada siapa yang boleh mengatakan apa hikmanya. Pasti ada hikmahnya dan kita harus yakin dan bertindak sewajarnya.

Sehubungan ini ingin saya berkongsi masaalah yang dihadapai oleh anak-anak oku dalam pembelajaran Ilmu Fardhu Ain terutamanya dalam menguasai pembacaan AlQuran. Baru-baru ini anak saya (ibu Ujai) meminta saya melihat deraf surat/ kertas kerja yang hendak dikemukakan pada JAKIM supaya ada kepedulian tinggi dipihak Jakim untuk lebih serious menangani masaalah pengajaran dan pembelajaran ilmu fardhu ain. Kertas itu akan dihantar pada Jakim dan akan  ditandatangani oleh NGO yang mana anak saya menganggotainya. Saya sedar sudah ada langkah ke arah ini tetapi saya berpendapat belum mencukupi kerana guru-guru di kelas KAFA (sekarang ada nama lain) tidak dilatih dalam bidang ini, tidak seperti disekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah. (Mohon pencerahan dari pembaca budiman jika saya ketinggalan zaman).

Maka dua cucu saya dilatih oleh ayahnya untuk menghafal sahaja surah yang mudah-mudah kerana amat sukar mahu melatihnya dengan membaca. Dua cucu saya ini dihantar juga dikelas jiran tetangga yang mengajar membaca alQuran. Kata anak saya strategy dan usaha ini tidak menampakan hasil yang memuaskan. Bukan salah guru kerana ia bukan guru khas oku ADHD dan Otisma. Pastinya amat sukar untuk menarik perhatian anak-anak ini untuk memfokus atas tugasan yang diberi. 

Di luar sana sudah ada beberapa NGO yang punya kepedulian tinggi untuk mengatasi masaalah ini bukan sahaja bagi dua jenis oku yang berkaitan cucu saya tetapi semua jenis oku yang mempunyai keupayaan untuk belajar jika ada guru yang terlatih khusus bagi menangani masaalah yang berlainan dalam sifat-sifat yang Allah kurnia atas mereka. Saya lihat isu terbesar dalam hal ini ialah ketiadaan DANA yang mencukupi untuk membiayai  usaha-usaha yang dijalankan oleh ngo-ngo ini. Kerajaan pun saya rasa tidak ada dana yang mencukupi.

Berdetik dihati saya bahawa mungkin mereka berfikir anak-anak OKU ini "has nothing to contribute" pada masyarakat. Sebab itulah mereka tidak pernah diberi keutamaan yang sewajarnya.
Semoga kita tidak lupa bahawa ramai orang-orang OKU yang hebat-hebat dari segi pemikiran ada di luar sana tetapi cara mereka berfikir harus kita bijak menyalurkannya pada sesuatu yang sepadan dengan keupayaan mereka.

Semoga kita tidak "give up on them". Ayuh kita sama-sama berusaha walau kecil sekalipun untuk membantu anak-anak OKU semoga mereka menjadi dewasa yang boleh berdikari dan bermunafaat pada diri dan masyarakat.

Semoga Allah Mengurnia limpah rahmatNYA yang tidak terhingga pada anak-anak oku ini dan ibu bapa mereka dalam usaha mereka mendewasakan anak-anak ini. 
Aamiin ya Rabb.......


......

Tuesday, October 30, 2018

Dari Kampung ke Putrajaya.......

..........Ibarat Rusa masuk kampung. Terpinga-pinga, seperti kehairanan.
Sudah 3 bulan saya di Putrajaya. Tetapi masih belum dapat fokus ingatan mengikuti laluan yang betul dalam usaha mencari keperluan harian. Alhamdulillah setelah membuat pengamata rapi, sudah mula kenal jalan yang terdekat dan termudah. Bukan mudah warga emas tinggal di tempat baru.
Anak-anak mengajarkan saya dan suami menggunakan teknologi kini dalam mencari jalan menuju destinasi pilihan. Ingatan dan "kepandaian" makin hari makin kurang......fitrah ciptaan yang maha Esa. Semoga dapat menginsafi diri dan semoga di hujung destinasi kehidupan ini tiada yang hendak dikesali.

Suatu hari dari awal pagi, saya jalan-jalan santai di tepi Tasik seorang diri.
Saya rakam foto-foto untuk  melayani ingatan semoga deria ingat ini Allah masih beri peluang untuk terus merasai betapa kurniaan ini amat berharga sekali.












Alhamdulillah Allah kurnia deria menikmati keindahan cipta-reka manusia
 yang didasarkan dari Ilmu kurniaan yang Maha Pencipta.
Alhamdulillah dapat mensyukuri kedamaian alam.
Cuma terdetik juga di hati kecil saya apabila melupai hakikat bahawa apa pun kejayaan yang kita capai, ia tidak  bermakna di sisi Allah jika kejayaan itu tidak dapat dikongsikan dan tidak mahu dikongsikan bersama. Manusia sering nafsi, nafsi. "Aku, aku. Dan engkau, engkau." 
Jauh sekali mahu ada sifat peduli pada ciptaan Allah yang lainnya.
Binatang haiwan sebagai satu contoh nyata.

Semoga Allah kurnia bagi kita Hati yang mulia dan  apa jua yang terbaik bagi kita di sisiNYA.
Semoga bersabar serta redha atas segala ketentuanNya.
Aamiin ya Rabb.


...........

Monday, October 29, 2018

Dia mahu menyendiri.....




Assalam.....

Sebulan yag lalu, mungkin lama dari itu, saya tersedih dan agak terkejut bila mendapat mesej dari seorang teman yang saya kira ia teman akrab walaupu jarang bersua. Kami bersama dari tingkatan enam di English College Johor Bahru. Dia ke University Malaya, kemudian ke London dan mendapat Phd nya dari Australia. Sesekali saya ke rumahnya. Tetapi sudah lama tidak berjumpa untuk bercerita-cerita.


Saya sering mengirimkan pesanan di whatsappnya. Saya tahu dia membacanya tetapi kebelakangan ini dia membisu seribu kata..... hingga satu hari dia mengatakan supaya saya jangan menghubunginya lagi. Jauh sekali menalipon. Dia ambil keputusan untuk menyendiri atas sebab-sebab peribadi dan bukan kerana dia kecewa dengan saya sebagai seorang teman yang sudah menjangkau hampir lebih 50 tahun.

Saya terduduk gementar, bingung dan sedih. Tapi saya diam sahaja dan tidak bercerita dengan suami saya walau pun dia mengenalinya.

Untuk beberapa hari saya berfikir-fikir, hinggalah kini, untuk memahami apa yang sedang berlaku. Saya tanyakan anak saya ( dia pernah menuntut di Jordan) ada kah ayat alQuran yang tidak membenarkan kita menyendiri atas alasan perbadi. Bukankah kita digalakan untuk sentiasa dalam berjemaah. Biar kita salah dalam berjemaah tetapi jangan berseorangan walau pun kita betul ..... 

Bila kita berseorangan kita boleh "tersasul" dalam berfikir kerana anasir negatif akan menggangu kita. Tetapi ada orang kata kalau kita menyendiri kerana kita mahu munajat pada Allah tanpa terjejas dengan kebisingan, maka itu tidak mengapa. Walau apa pun jikalau kita menyendiri terlalu lama kita mungkin jadi sasau...... betul ke?

Saya cuba membaca-baca risalah yang ada kaitan dan berbual dengan seorang teman baik saya tanpa menyebut nama. Saya katakan bahawa saya rasa runsing kerana kawan saya ini tidak lagi mahu bersahabat dengan saya kerana ia mengatakan kami ada perbezaan yang harus kami terima. Tetapi ia tidak menerangkan apa perbezaan itu. 

Saya tersedih sebab saya merasai pasti ada sesuatu yang tidak kena dalam cara saya berbicara dengannya mengenai sesuatu hal atau kerana dalam saya cuba berhubungan silaturrahim dengannya dia merasai itu satu gangguan pada privasinya.

Saya terus tertanya-tanya pada diri sendiri.......
Kini setiap kali saya bermasaalah saya tidak akan mencari puncanya dari fakta luaran. Saya ingatkan diri untuk mencari sabab-musabab masaalah dari fakta dalaman saya sendiri. Saya terus berfikir dan bermuhasabah diri semoga kesilapan diri dapat dicari dan dibaiki.

Tiada manusia yang sempurna. Kita cuba mencontohi Rasulullah saw sebaik mungkin. Saya akui saya amat jauh dari garis-garis panduan yang disarankan oleh baginda. Saya bukan orang baik, tetapi saya mahu jadi orang baik.....semoga mendapat Redha Allah.

Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan dan saya harus sentiasa berhati-hati dalam apa jua yang difikirkan dan dilakukan.

Semoga Allah mengampuni.....


.........

Wednesday, October 24, 2018

Kejiranan Fera....










Dalam umur dewasa senja ramai orang-orang kita yang tidak suka berpindah rumah. Tetapi adik suami saya minta kami berpindah ke Putrajaya sebab ramai keluarga sudah menetap di sana dan Cyberjaya dan insya Allah ini dap-at memudahkan urusan bersama.

Pada pandangan saya kedua-dua tempat ini adalah kawasan baru dan pastinya penghuninya muda-muda belaka. Pastinya masing-masing masih sibuk bekerja sepenuh masa.

Saya pernah cerita sedikit perumahan tempat baru pindah ini. Rumahnya semi-D tetapi 3 tingkat. Dalam umur senja ini itu menjadi masaalah. Tetapi saya fikir positif sahaja. Eluk sebagai senaman semoga aktif dan menyegarkan badan.



Kawasan ini adalah perumahan jenis Fera.
Saya pun tidak menanya apa itu Fera. 
Sudah tidak penting untuk tahu sebab masa saya di sini
 rasanya sudah tidak lama.
(di atas adalah laluan di belakang perumahan...redup selalu.)



Di hadapan (atau belakang ikut suka nak sebut) adalah laluan ditepi tasik.
Boleh berbasikal atau berjalan-jalan santai.
Tetapi ramai yang muda-muda berjogging di sini. Saya hanya mampu melihat. Terdetik dihati ingin juga mula brisk walking seperti nasihat doktor. Entah bila dapat bermula.


Antara jambatan Icon di Puterajaya. Ia amat hampir dengan perumahan Fera.


Pada 19 Oktober malam, Kejiranan Fera buat majlis suai kenal untuk penghuni baru. 
Ramai juga yang sudah lama menetap di sini, rata-rata sudah hampir 2 tahun.
Foto di atas ialah kek Istimewa malam kejiranan.





Rasa sedikit terkilan.
Saya tidak menghadirinya sebab suami kurang sihat dan saya menemaninya di rumah sahaja. Tetapi saya tetap bersyukur dapat jiran yang baik-baik.

Anak saya yang tinggal bersama mewakili keluarga Baharom Hassan. Kelihatan di sini Amirul dan Siti Fatin serta 3 orang anaknya menjamu selera.

Kata anak saya makanan amat sedap-sedap dan banyak jenis pula. Saya mendengari sahaja dan menjamah apa yang dibawa pulang yang ditapau lebih dari mencukupi. Alamdulillh.



Dalam group Whatsapp, tuan rumah mengirimkan foto-foto malam itu.
 Teruja melihat jiran-jiran dalam kumpulan jauh lebih muda.
 Meraka panggil saya Untie Sobah dan suami saya Pak B sahaja.
Perbualan di whatsapp meriah dan mesra.




Pretty ladies in a row. Semoga satu hari nanti saya dapat juga 
bersilaturrahim dengan mereka.


Tuan rumah ialah keluarga Kak Mala. Itu panggilan kekawan sebaya dengannya.
Cantik rumahnya dan kata anak saya ia seorang yang ramah dan pandai melayani tetamu. Alhamdulillah jiran saya baik-baik belaka.
Semoga berpindah rumah ini membawa barakah. Mereka berusaha membuat
rajah kejiranan untuk interaksi seterusnya.
Alhamdulillah.


........

Sunday, October 21, 2018

Tersedih sedikit.... @ IJN




Hari Khamis 20 Oktober saya ke IJN untuk 'routine check'. Lepas solat Subuh saya besegera siap dan terus sahaja ke IJN. Suami saya menemani saya kerana biasanya jalan dari rumah ke IJN selalunya amat sesak dan saya mendapati sulit untuk parkir kereta. Tetapi alhamdulillah hari itu mudah sahaja.

Selepas ambil darah saya dibenarkan makan dan minum sementara menunggu giliran berjumpa Doktor. Saya siap ambil darah jam 8 pagi tetapi tidak boleh mendaftar berjumpa doktor sebelum 10 pagi. Itu SOP yang saya sebagai pesakit harus ikut mematuhinya. Maka saya minum pagi dan setelah itu menunggu hampir 2 jam sebelum mendaftar. Setelah mendaftar kena  pula menunggu lagi hampir 2 jam. Appointment saya jam 11.30 pqagi tertapi dapat jumpa doktor lewat 12.30 tengah hari.

Apakan daya....
Pesakit tiada pilihan.
Tetapi saya bersyukur (alhamdulillah)  kerana masih ada peluang berjumpa doktor. Semoga Allah masih bagi peluang untuk terus berbuat yang baik.
Kali ini saya jumpa Doktor yang berumur empat-puluhan. Lancar berbahasa Inggeris dengan 'accent'
yang menunjukan mungkin dia warga Malaysia dan mungkin juga ia warga asing.

Tidak mengapa.......
Saya faham Inggeris.........(senyum dihati sendiri).

Bila berhadapan dengan doktor saya rasa risau juga kerana saya tahu dari monitor harian yang saya lakukan diabetis saya kurang baik. Dr memaklumkan keadaan saya bolih dikatakan baik dan bacaan gula mula bertambah baik. Tetapi belum cukup baik, dari 9.4 turun pada 8.2 begitu. Selepas itu  semacam rasa kecewa dia mengatakan kolestrol saya tinggi...6.5 begitu. Mengapa agaknya dia bertanya.

Terus terang saya katakan saya terbaca rencana di utube yang mengatakan bahawa kolestrol bukan fakta yang menjejaskan kesihatan jantung. Maka sebab itu saya berhenti memakan ubat khas untuk kolestrol kerana saya bertekad tidak mahu banyak sangat memasukan dadah dalam tubuh saya.

Doktor itu nampak "marah" dan dengan nada serious mengatakan supaya jangan percaya pada rencana-rencana di media sosial seperti itu kerana tidak tahu sumber sebenarnyaa dan kesohihan faktanya. Saya diam "takut" nak jawab sebab doktor nampak tidak bersimpati dengan keadaan saya.

Ini kali pertama sehingga umur 71 tahun ini saya berjumpa dengan doktor yang tidak simpati dengan pesakit. Kalau pun saya tidak bijak dan membuat keputusan yang "liar" saya harusnya dinasihati sahaja dan tidak dimarahi. Terkedu hati saya.

Hati saya agak tersedih tetapi hanya berdiam diri. Saya mengiakan sahaja segala arahannya dan setelah diberi preskripsi ubat baru untuk menambahbaikan perihal diabetis saya, saya pun keluar dengan memberi ucapan terima kasih walaupun bersedih dan kecewa.

Appointment saya dalam enam bulan lagi dan kali ini saya diarah membuat ECG sebelum berjumpa Doktor. Semoga saya dapat doktor yang memberi rangsangan untuk menjaga kesihatan diri dan semoga tidak dimarahi lagi. Semoga saya masih ada umur enam bulan itu dan seterusnya Allah kurnia RahmatNya yang tidak terhingga dan saya sihat untuk menjalani umur hidup yang bermunafaat.
Aamiin ya Rabb.....


............

Saturday, October 20, 2018

Keriangan......



Four girls in a row......
Keriangan yang mencabar kesabaran.
Mama nya kini tiada pembantu sepenuh masa. 
Tetapi jangan sampai hilang keriangan.
Saya bertemu pada biasanya hanya  seminggu sekali.
 Seperti cucu-cucu lain, mereka ada cara mereka sendiri
 untuk memuaskan hati.
Kekadang saya yang pening kepala sebab tidak dapat menduga
 bila mereka akan bergaduh sama sendiri.
Anak-anak perempuan pun ada karenahnya sendiri juga.
Tetapi jika kita bersikap positif terhadapnya, karenah mereka boleh
 menghiburkan hati kita walaupun seketika. Kekadang saya kagum
 dengan "kretiviti" mereka yang tidak disangka.
Walau apa pun, saya amat "tegas" melarang mereka jika mereka
 terlalu lama di hadapan TV 
atau "mendesak" mama nya untuk menyerahkan telefonnya.

Semasa saya kecil (pada ingatan saya) emak saya tidak "memanjakan" saya 
seperti yang saya lihat pada ibu-ibu muda sekarang.
 Mungkin kerana emak saya
 bekerja di kebun dan di awal subuh sudah turun ke tanah. 
Saya banyak diurus oleh kakak-kakak kerana kesibukan emak saya.
Maka saya agak tidak dapat memahami mengapa ada ibu yang sangat 
memanjakan anak-anak.
 Saya khuatir nanti mereka tidak menjadi dewasa yang boleh berdikari
dan boleh membantu orang lain dalam mengurus kehidupan yang 
makin hari makin mencabar dari segi kelapangan masa 
dan dari kemewahan rezeki.

Tetapi apabila saya berfikir-fikir saya katakan pada diri saya bahawa
 saya tidak perlu terlalu khuatir akan masa depan mereka. 
Perkembangan teknologi tidak boleh saya duga dan berbagai fakta 
kemanusiaan  hasil darinya juga tidak dapat saya duga.
Hanya doa sahaja yang dapat saya tadahkan pada Allah
 yang maha Kasih Sayang dan maha Bijaksana. 
Semoga  mereka akan sentiasa terpelihara dan mendapat
 limpahan RahmatNya yang tidak terhingga.
Aamin ya Rabb....


............

Tuesday, October 16, 2018

Jom makan bersama......



Dalam Islam kita digalakan makan bersama.
Hadith di bawah ini menjelaskannya.
(saya rujuk Rizal Ibnu Makmur dalam Blognya)

Dari Jabir bin Abdillah radhiyayallah 'unhu, beliau menyatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wa salam bersabda: "Makan satu orang itu cukup untuk dua orang. Makanan dua orang itu cukup untuk empat orang. Makanan empat orang itu cukup untuk lapan orang."
(HR MUSLIM no 2059).

Ada beberapa hadith lain yang menyarankan kita makan bersama
 supaya penuh barakah.
Maka hampir dua minggu yang lalu saya dan suami
 mengajak dua teman akrab
 kami makan disebuah restauran Thai di Putrajaya secara santai.
 Kebetulan Hari Lahir teman kami yang lelaki itu jatuh dua hari lagi.
 Maka kami doakan beliau Selamat Mengingati Hari Lahir.
 Semoga dianugerah umur panjanag yang bermunafaat dan dimurahkan rezki.

Sambil makan sambil kami bersembang mesra. Sudah lama tidak berjumpa
 kerana suami saya tidak sihat dan terpaksa menjalani operasi diIbu jari kakinya tidak lama dulu.
Alhamdulillah. Makan bersama adalah sunatullah.
Kalau bolih jangan makan bersendirian. Jangan kira apa yang dihidangkan.
Yang sedikit akan jadi lebih dari mencukupi.
Dan akan lebih nikmatnya  dan keseronokannya jika dikongsikan bersama.

Allah maha Kasih Sayang pada hamba-hambanya.

Teringat pula kata-kata hikmah.
"A family that eats together stays together".

Jangan kita ambil ringan konsep makan sekali dalam keluarga 
walau sibuk sekalipun. Tetapi anak-anak muda sekarang ini mengabaikan
 prinsip makan bersama dalam keluarga
atas alasan tidak mencukupi masa. Sebenarnya seminggu sekali pun memadai.
Makan bersama dengan kekawan pun baik juga.
Jangan makan bersendirian.
Semoga Allah terus memurahkan rezki kita.
Aaminn ya Rabb....

..........

Monday, October 15, 2018

Cerita santai....





Semalam saya membaca whatsapp kumpulan qariah Masjid di Kg Tunku. Saya masih ramai teman yang dekat di hati di kampung itu. Maka tersedihlah membaca suami teman saya ini tidak pulang sejak solat maghrib.

Terus sahaja saya menyangka ini pastinya kes teman saya itu sudah lupa jalan balik ke rumah. Isterinya pernah bercerita denagan saya suaminya itu pelupa sedikit. Dalam umur senja ini saya katakan bahawa ramai kita yang sudah kurang deria dengar, deria lihat dan deria ingat. Saya dan suami pun demikian.

Alhamdulilah dia dijumpai di Batu Gajah tersadai ditepi jalan raya kerana kehabisan minyak petrol keretanya. Ini cerita ringkasnya. Saya dan suami ambil iktibar. Saya katakan padanya kita harus pasang alat pada kereta supaya jika sesuatu berlaku anak-anak dapat mengesan di mana kita berada. Saya kurang tahu apa nama alat itu. Saya bertekad berusaha mendapatkannya semoga dapat dielakan sesuatu yang menakutkan keluarga.

Alhamdulillah ingatan suami saya masih kuat berbanding saya. Itu katanya. Tetapi pada saya ingatan kami lebih kurang sahaja statusnya. Cuma kata pepatah Inggeris:  "The pot calling the kettel black". Sama sahaja kekurangan itu. Cuma kami lawak sahaja.

Dalam umur kini suami saya amat suka dikunjungi anak cucu. Terhibur hatinya. Riuh rendah suara gelak ketawa dan jeritan bermain dan bergaduh tidak sedikit pun menjejaskan keceriaannya. Saya beza sedikit. Saya agak tidak selesa dengan jeritan yang berlebihan dan pergelutan melawak sesama mereka. Maka saya sering berehat di bilik seketika jika keadaan tidak dapat saya kawal. Namun saya tidak seronok buat diri saya kerana belum dapat mendidik cucu-cucu supaya tidak menjerit-jerit berlebihan kerana berebut mainan dan bergelut semata-mata mahu buktikan siapa lebih kuat dan pandai.

Sebenarnya perilaku cucu-cucu saya itu biasa sahaja. Saya rasa tidak ramai  anak-anak kecil yang bolih duduk diam dan sentiasa tertib duduk beradab. Walaubagaimana pun saya ingin maklumkan lagi bahawa saya ada dua cucu lelaki yang OKU. Satu ADHD (attention deficient hyperactive disorder) dan seorang lagi Otisma. Maka  kekadang mereka menguji kesabaran saya. Semoga Allah mententeramkan hubungan kami. Cucu saya yang Otisma itu dikategorikan sebagai "high functioning autism". Amat mencabar saya dari segi perilakunya yang ada kalanya saya "surrender" mengaku kalah untuk menegur apa yang tidak kena padanya. Semasa saya di rumah lama cucu otisma ini (Akif namanya) mengajak yang lainnya mengaturkan semua kusyen di dewan rehat di sebelah atas tangga naik ke tingkat atas. Kemudian dia terjun dan melorot ke bawah hingga ke lantai di dewan rehat dengan gelak ketawa yang nyaring. Itu keseronokan baginya. Saya rasa itu suatu yang boleh membahayakan diri.

Saya tanyakan kenapa buat apa yang dia buat. "I am bored. I just want to feel what's it like being pushed down by the ice avalanche when you hike up the mountain." (Akif jarang mahu bertutur bahasa Melayu)  Ini antara pemikirannya yang saya sukar menanganinya. He was then 10 years old. Dia melihat di TV dan apa yang dia lihat dia akan cuba buat mengikut "mood" yang ada padanya. Semasa saya 10 tahun pun saya tidak pernah tahu apa itu 'avalanche'.

Ada beberapa lagi perkataan yang saintifik yang membuat saya agak kagum juga. Saya selalu mengalah dengannya dan berdoa semoga bila membesar dia akan mencapai sesuatu yang memberi munafaat bagi dirinya dan pada masyarakat dan ummah. Tahun hadapan 2019 saya berangan-angan menghantar Akif ke Institusi swasta yang dapat mendidik dia khusus dengan kecerdasan otaknya dan kematangannya. Ibunya katakan pada saya ada Institusi seperti itu tetapi yuran bulanan adalah sebanyak RM1,900. Itu belum masuk yuran pendaftaran dan lain-lain. Terdiam saya seketika sebab rasanya saya tidak mampu. Saya berangan-angan demikian sebab di sekolahnya sekarang saya merasakan kurikulum yang ada tidak cukup mencabar baginya. Saya rasa sekolah itu terhad kerana kekurangan peruntukan dan gurunya tidak cukup terlatih yang bolih membuat mereka lebih kreatif. (Ini sangkaan sahaja).

Suami saya setiasa bersabar melayani cucu-cucu dan jika kehabisan idea suami saya akan ajak mereka naik kereta dan pergi kedai mainan atau ke kedai makan yang mereka suka. Maka akan tenteramlah rumah buat beberapa jam.

Kami telah bersara dari pekerjaan kami lebih dari 10 tahun. Suami masih suka juga mengikut kekawannya "melihat-lihat peluang bisnes" yang ia boleh minta anak mencubanya. Saya biarkan sahaja dia melayan kesukaannya. Tetapi diumur senja ini saya sudah tidak nampak keupayaan yang luar biasa. Kami sebaya berumur masuk 72 tahun. Tidak ramai yang Allah kurnia kebolehan luar biasa seperti Tun PM kita.

Walau apa pun semoga Allah beri kesihatan dan kuat ingatan semoga masih dapat memberi sumbangan tenaga dan fikiran sekurang-kurangnya untuk keluarga besar kalau pun bukan untuk masyarakat yang meluas. Dalam Islam tidak ada persaraan. Kita terus beramal baik hingga ke akhir hayat. Semoga allah memudahkan laluan bagi kita mencari redha Nya.


............

Sunday, October 14, 2018

Sekadar menggamit ingatan......


Beberapa hari kebelakangan ini saya agak tersibuk dengan acara keluarga. Maka saya turunkan di bawah ini sekadar mengingati peristiwa yang saya rasa saya mahu mengingatinya jauh dilubuk hati saya terutamanya yang berkaitan dengan kakak-kakak saya dan abang saya.

Kami semuanya sudah masuk 7 series dan kakak tertua saya sudah pun masuk zon melangakui 80 tahun. Alhamdulillah. Semoga Allah kurnia umur yang bermunafaat.
Semoga sudi membaca.



Ini yang hadir di Majlis perkahwinan cucu saudara
 pada 6 oktober baru-baru ini.


Ini di Majlis yang sama. Yang duduk itu ialah isteri abang saya. Yang kanan sekali anak sulungnya.


Saya suka rakam foto kami bertiga. Ini sebelum kami berangkat
 ke Majlis perkahwinan.
 Tiga lagi kakak saya sudah pergi dahulu
 menghadap  yang maha Pencipta.


Ini kumpulan anak-anak buah saya yang jarang-jarang 
sekali kami bersua muka. Semoga mesra berterusan dalam kesibukan harian.


Ini kakak-kakak saya bersarapan sebelum pulang ke Pontian.

Itu dulu perkongsian santai.
Semoga mereka masih ada di samping dan kami masih boleh menyantuni hubungan mesra. Sering dalam pertemuan seperti ini kami mengingat balik peristiwa semasa kami muda  dewasa dan bercerita mengenai bapak dan emak dengan rasa suka duka. Semoga kami dapat terus beramal dan segala ganjaran yang Allah kurinia adalah untuk mereka berdua. Semoga mereka sejahtera di Alam Barzah dan semoga Allah kurnia kami bertemu semuala di Syurga Firdausnya tanpa hisab dengan RahmatNya jua. Semoga doa kami kesampaian.

Aamiin ya Rabb.....


.........

Friday, October 12, 2018

Kita semua akan melaluinya.......

Kebelakangan ini hati saya rasa sedih dan mengharapkan sesuatu.......
Saya asyik sahaja melihat di tube kisah yang berlaku di Kepulauan Sulawesi.
Saya mendengari juga ustaz menarik perhatiqan kita pada fenomena ini.
Dalam saya tidak mengerti kesemuanya, saya ingin berkongsi apa yang sentiasa dalam fikiran saya.

AlQuran telah menjelaskan:

A001

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
(Az-Zalzalah 99:1

A002
Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
(Az-Zalzalah 99:2)

A003
Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"
(Az-Zalzalah 99:3)

A004
Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:
(Az-Zalzalah 99:4)

A005
Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).
(Az-Zalzalah 99:5

A006
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
(Az-Zalzalah 99:6)

A007
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Az-Zalzalah 99:7

A008
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Az-Zalzalah 99:8
Image result for tsunami gempa di palu

Kita melihat Bumi terbelah.

Image result for tsunami gempa di palu
Kita melihat penduduk sekampung tertimbus.

Image result for tsunami gempa di palu
Tiada pertolongan yang dapat memenuhi segala keperluan.
Saya rasa ramai kita di Malaysia hanya melihat, termasuk saya sendiri.

Saya melihat dengan penuh keriasuan dan ketakutan kerana jika ini berlaku di tempat saya pastinya saya akan juga merasai segala kesusahan yang tidak dapat diceritakan.

Janji Allah pasti benar. Janji Allah pasti tepat.
Apa yang terjadi baru-baru ini di Sulawesi dan beberapa tempat lain di negara lain mengenai angin yang amat kencang dan hujan yang menjadi banjir besar adalah petanda Allah murka kerana terlalu banyak maksiat yang berlaku dikalangan manusia. Saya tidak pandai mengulas peristiwa ini vis-a-vis fenomena akhir zaman . Cuma saya ingin kongsi rasa khuatir yang amat sangat kerana persediaan saya tidak mencukupi dari semua aspek. Semoga Allah masih bagi ruang dan peluang untuk segera berbuat sesuatu semoga tidak menjadi peyesalan apabila kita dibicarakan dihadapan Allah nanti.
Sama2 kita berdoa Allah mengurnia belas kasihan dan kasih sayangNya dan semoga Allah menunjuki jalan dan memelihara kita dalam pelukan Rahmatnya yang tidak terhingga.
Aamiin ya Rabb.....

Semoga kita selamat dari bencana seperti yang disebut pula dalam ayat2ayat alQuran berikut.

A001
Hari yang menggemparkan,

A002
Apa dia hari yang menggemparkan itu?

A003
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? -

A004
(Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran,

A005
Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan.

A006
Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, -

A007
Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang.

A008
Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, -

A009
Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah"

A010
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu?

A011
(Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar.


Demikian firman Allah. Semoga kita mendapat keampunanNYA dan mendapat RedhaNya dan dianugerah Syurga Firdaus tanpa hisab dengan RahmatNYA semata-mata. Semoga Allah kurnia untuk kita dan semua yang kita sayang terutamanya  Ibu Bapa kita.
Aamiin Ya Rabbalalamiin.......


........Foto2 Ehsan Carian Google........
Related Posts with Thumbnails