"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, October 15, 2018

Cerita santai....





Semalam saya membaca whatsapp kumpulan qariah Masjid di Kg Tunku. Saya masih ramai teman yang dekat di hati di kampung itu. Maka tersedihlah membaca suami teman saya ini tidak pulang sejak solat maghrib.

Terus sahaja saya menyangka ini pastinya kes teman saya itu sudah lupa jalan balik ke rumah. Isterinya pernah bercerita denagan saya suaminya itu pelupa sedikit. Dalam umur senja ini saya katakan bahawa ramai kita yang sudah kurang deria dengar, deria lihat dan deria ingat. Saya dan suami pun demikian.

Alhamdulilah dia dijumpai di Batu Gajah tersadai ditepi jalan raya kerana kehabisan minyak petrol keretanya. Ini cerita ringkasnya. Saya dan suami ambil iktibar. Saya katakan padanya kita harus pasang alat pada kereta supaya jika sesuatu berlaku anak-anak dapat mengesan di mana kita berada. Saya kurang tahu apa nama alat itu. Saya bertekad berusaha mendapatkannya semoga dapat dielakan sesuatu yang menakutkan keluarga.

Alhamdulillah ingatan suami saya masih kuat berbanding saya. Itu katanya. Tetapi pada saya ingatan kami lebih kurang sahaja statusnya. Cuma kata pepatah Inggeris:  "The pot calling the kettel black". Sama sahaja kekurangan itu. Cuma kami lawak sahaja.

Dalam umur kini suami saya amat suka dikunjungi anak cucu. Terhibur hatinya. Riuh rendah suara gelak ketawa dan jeritan bermain dan bergaduh tidak sedikit pun menjejaskan keceriaannya. Saya beza sedikit. Saya agak tidak selesa dengan jeritan yang berlebihan dan pergelutan melawak sesama mereka. Maka saya sering berehat di bilik seketika jika keadaan tidak dapat saya kawal. Namun saya tidak seronok buat diri saya kerana belum dapat mendidik cucu-cucu supaya tidak menjerit-jerit berlebihan kerana berebut mainan dan bergelut semata-mata mahu buktikan siapa lebih kuat dan pandai.

Sebenarnya perilaku cucu-cucu saya itu biasa sahaja. Saya rasa tidak ramai  anak-anak kecil yang bolih duduk diam dan sentiasa tertib duduk beradab. Walaubagaimana pun saya ingin maklumkan lagi bahawa saya ada dua cucu lelaki yang OKU. Satu ADHD (attention deficient hyperactive disorder) dan seorang lagi Otisma. Maka  kekadang mereka menguji kesabaran saya. Semoga Allah mententeramkan hubungan kami. Cucu saya yang Otisma itu dikategorikan sebagai "high functioning autism". Amat mencabar saya dari segi perilakunya yang ada kalanya saya "surrender" mengaku kalah untuk menegur apa yang tidak kena padanya. Semasa saya di rumah lama cucu otisma ini (Akif namanya) mengajak yang lainnya mengaturkan semua kusyen di dewan rehat di sebelah atas tangga naik ke tingkat atas. Kemudian dia terjun dan melorot ke bawah hingga ke lantai di dewan rehat dengan gelak ketawa yang nyaring. Itu keseronokan baginya. Saya rasa itu suatu yang boleh membahayakan diri.

Saya tanyakan kenapa buat apa yang dia buat. "I am bored. I just want to feel what's it like being pushed down by the ice avalanche when you hike up the mountain." (Akif jarang mahu bertutur bahasa Melayu)  Ini antara pemikirannya yang saya sukar menanganinya. He was then 10 years old. Dia melihat di TV dan apa yang dia lihat dia akan cuba buat mengikut "mood" yang ada padanya. Semasa saya 10 tahun pun saya tidak pernah tahu apa itu 'avalanche'.

Ada beberapa lagi perkataan yang saintifik yang membuat saya agak kagum juga. Saya selalu mengalah dengannya dan berdoa semoga bila membesar dia akan mencapai sesuatu yang memberi munafaat bagi dirinya dan pada masyarakat dan ummah. Tahun hadapan 2019 saya berangan-angan menghantar Akif ke Institusi swasta yang dapat mendidik dia khusus dengan kecerdasan otaknya dan kematangannya. Ibunya katakan pada saya ada Institusi seperti itu tetapi yuran bulanan adalah sebanyak RM1,900. Itu belum masuk yuran pendaftaran dan lain-lain. Terdiam saya seketika sebab rasanya saya tidak mampu. Saya berangan-angan demikian sebab di sekolahnya sekarang saya merasakan kurikulum yang ada tidak cukup mencabar baginya. Saya rasa sekolah itu terhad kerana kekurangan peruntukan dan gurunya tidak cukup terlatih yang bolih membuat mereka lebih kreatif. (Ini sangkaan sahaja).

Suami saya setiasa bersabar melayani cucu-cucu dan jika kehabisan idea suami saya akan ajak mereka naik kereta dan pergi kedai mainan atau ke kedai makan yang mereka suka. Maka akan tenteramlah rumah buat beberapa jam.

Kami telah bersara dari pekerjaan kami lebih dari 10 tahun. Suami masih suka juga mengikut kekawannya "melihat-lihat peluang bisnes" yang ia boleh minta anak mencubanya. Saya biarkan sahaja dia melayan kesukaannya. Tetapi diumur senja ini saya sudah tidak nampak keupayaan yang luar biasa. Kami sebaya berumur masuk 72 tahun. Tidak ramai yang Allah kurnia kebolehan luar biasa seperti Tun PM kita.

Walau apa pun semoga Allah beri kesihatan dan kuat ingatan semoga masih dapat memberi sumbangan tenaga dan fikiran sekurang-kurangnya untuk keluarga besar kalau pun bukan untuk masyarakat yang meluas. Dalam Islam tidak ada persaraan. Kita terus beramal baik hingga ke akhir hayat. Semoga allah memudahkan laluan bagi kita mencari redha Nya.


............

No comments:

Related Posts with Thumbnails