"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, December 31, 2018

Ulang semula laluan 2018......???





Kita undur dan ulang semula jejak 2018?....
Atau kita undur dan pinda Umur kita?......
Mustahil. Ibarat mustahilnya bangunan ini hendak di robohkan dalam suasana sekarang?

Masa berlalu tidak akan berulang lagi. Itu pasti. Semua peristiwa dalam laluan 2018 tidak akan dapat di rombak semula. Paling boleh kata setengah orang, kita buat U-Turn.

Jika bangunan di atas ini dinilai semula, bolehkah ia dibatalkan. Saya yakin satu sahaja..... bangunan ini dan apa jua yang lainnya mudah sahaja musnah jika Allah kehendaki. Isunya ialah dalam kita berbuat sesuatu, merancang sesuatu atau apa sahaja, janganlah kita lupa kuasa mutlak itu bukan terletak pada diri kita........

Dengan peristiwa yang berbagai yang sudah dilalui, terlalu penat rasanya hendak "mengulang semula"  2018.

Terdetik hati memikirkan semasa memasuki Era Merdeka dahulu adakah serumit apa yang sedang dilalui rakyat sekarang ini, terutamanya mengenai pembahagian kuasa pemimpin dan apa yang sedang dipertikai oleh semua golongan rakyat. Tetapi saya rasa bukan semua golongan rakyat. Cuma yang "bising" adalah mereka yang aktif dalam politik, atau aktif dalam NGO atau mereka yang baru sahaja mengaktifkan diri di kalangan keluarga lapisan atasan atau pertengahan apabila melihat dan mendengari polimik bangsa dan agama menjadi bahan bicara harian sekarang ini. Rakyat biasa dibawa untuk jadi "bising" juga. Saya rasa majoriti yang suka "bising" tidak faham sepenuhnya apa yang berlaku pun. Ada juga dikalangan mereka yang "bising" itu katanya mereka faham. Tetapi ramai yang hanya ikut-ikutan sahaja terutamanya bila mereka mendengari seruan hangat yang menyentuh perasaan yang tidak mudah dikawal dan merasakan kepentingan mereka tergugat.

Saya hanya memerhatikan sahaja, namun dapat merasakan pergolakan yang ada.

Saya rasa tidak mungkin kita boleh buat perbandingan waktu zaman hendak merdeka dan kini. Dahulu mereka yang berjuang benar-benar berjuang kerana sesuatu yang sememangnya harus diperjuangkan. Saya rasa sekarang ini mereka yang mengatakan berjuang mungkin hanya mahu mempertahankan kepentingan diri sahaja dengan menggunakan isu semasa  seperti ia adalah  kepentingan semua orang.

Apa yang berlaku kini tidak serupa dengan fakta-fakat yang wujud semasa sebelum merdeka dulu. Terutamanya fikiran rakyat belum sebijak seperti sekarang ini. Tetapi jika berfikir selapis lagi saya ingin berkata bahawa semasa menuntut Merdeka dahulu fakta agama belum difahami oleh ramai rakyat. Dan rakyat belum nampak dengan jelas apa yang berlaku di negara-negara Islam yang lainnya. Dan rakyat pun belum tahu sangat apa itu hak asasi manusia dan berbagai hak yang lainnya.

Maka di penghujung 2018 ini saya memilih untuk berbicara mengenai senario politik sekarang ini  cara sederhana sahaja diantara ahli keluarga kecil dan keluarga besar. Kami tidak sependapat mengenai politik, ekonomi, Islam dan lainnya. Kalau ada persamaan pun, kami berbeza pendapat mengenai strategi mencapai apa yang dihajatkan dan dikehendaki. Dalam umur saya sekarang ini saya ada senarai keutamaan saya sendiri kerana saya amat merasai saya sudah tidak ada banyak masa. Saya hanya akan bicara dan akan mengambil tindakan yang benar-benar relevan dengan peringkat umur saya . Walau pun demikian saya masih peka dan masih peduli tentang apa yang saya mesti fikirkan mengenai apa yang harus kita pelihara dan bina bagi generasi kita akan datang.

Walau apa pun, saya rasa agak  kesal sedikit kerana saya rasa ramai kita yang tidak cukup membaca, tidak cukup medengari, tidak  cukup bermunajat pada Allah memohon yang terbaik tentang apa yang sedang berlaku sekarang ini dan dengan itu ramai kita yang masih bertindak ikut-ikutan. Semoga saya sendiri tidak ikut-ikutan. Saya sendiri pun masih banyak kekurangan dan kelemahan. Maka saya pilih untuk diam jika kurang faham dengan fakta yang dipertikaikan.

Maaf  dan maaf.........itu pemerhatian saya. (Masih boleh diperbetulkan).Saya menyedari kekurangan pada diri dan coretan saya ini hanya merupakan imbasan apa yang berlaku pada tahun 2018.

Saya katakan pada anak-anak supaya berfikir dan menyatakan pendapat (secara lantang) jika kita benar-benar tahu semua masaalah dan isu berkaitan dengan apa yang kita lontarkan pada masyarat di luar sana. Kita harus berfikir secara menyeluruh (total). Jangan hanya bersuara dari pandang sudut yang kita tahu sahaja. Kita harus berkebolehan berfikir sepenuh minda. (whole brain thinking). Kita harus menyedari bahawa minda kita boleh bercampur aduk dan kita kurang mengambil kira "bias" pada diri sendiri. Maka apabila kita cuba berhujah cara demikian, kita akan  bertemu kebuntuan dan jika ini berlaku dalam ahli keluarga dan teteman rapat, maka  ada kalanya ia akan berakhir dengan suasana tidak seronok dan mungkin akan timbul rasa kurang senang dan mungkin akan terlahir rasa kecewa dan merasai  "aura permusuhan" pula.

Maka itu saya renung diri diambang akhirnya tahun 2018 ini.........

Saya biasanya suka bersabar dan mendidik diri untuk bersabar dalam apa keadaan sekalipun. Jika saya berhadapan dalam satu keadaan yang hangat dengan berbagai pendapat yang saya kurang bersetuju, saya akan menarik nafas panjang dan diam untuk mendengari sahaja. Biasanya saya tidak akan masuk sama-sama berbicara sekiranya saya tahu saya tidak mempunyi masa yang cukup untuk  berhujah sepenuhnya. Saya tidak suka hujah saya tergantung.

Saya boleh terima perbezaan pendapat tetapi bukan atas dasar emosi sahaja. Ia harus berdasarkan Ilmu yang benar dan faham bahawa berbicara secara logik sahaja belum bererti itu satu kebenaran. Sebabnya ialah sesuatu yang logik tidak semestinya ia menjadi suatu yang benar. Dan kita harus juga mengerti bahawa di dalam apa jua perbincangan kita bukan mencari kemenangan tetapi kita mahu mencari kebenaran.






Tahun 2018 banyak menguji saya secara peribadi kerana saya melalui banyak peristiwa peribadi yang saya tidak dapat kongsikan semuanya. Saya dan suami sama-sama tidak cukup sihat pada awal tahun 2018. Berulang kali kami turun naik Hospital. Saya belajar untuk redha atas segala ketentuan Allah yang maha Pencipta. Semoga Allah meredhai.

Tetapi walau apa pun, PRU 14 menjadi agenda besar buat saya. Saya ambil minat mengenai apa yang berlaku. Saya pernah bertugas di Perkhidmatan Awam selama 30 tahun dan rasanya cukup memahami apa yang berlaku dalam negara kita walaupun saya tidak punya ilmu teknikal yang secukupnya untuk memahami semua fakta secara terperinci. Tetapi dari segi good governance saya ada kefahaman yang mencukupi untuk mengerti jenis kepimpinan yang bagaimana yang harus menerajui negara kita. Seorang anak saya juga bekerja di Perkhidmatan awam dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomat. Maka saya sering murujuk padanya dan sering juga "berbalah" mengenai isu-isu yang kami berbeza pendapat. Interaksi dengan anak saya selalunya menyegarkan minda dan saya dapat menyelitkan pemikiran saya dimana sesuai secara santai.

Apa lagi yang berlaku pada 2018...... Oh ya. Saya berpindah rumah dari Kg Tunku Petaling Jaya ke Putrajaya Precint 8 pada bulan Ogos. Alhamdulillah. Semoga mendapat pengalaman baru yang dapat menghampirakan diri kepangkuan Redha Allah. Bukan mudah untuk berpindah rumah dalam umur yang sudah banyak kekurangan kemampuan fisikal. Tetapi kami pindah juga kerana ramai adik beradik dan anak di Putrajaya dan Cyberjaya. In sha Allah ini memudahkan jika ada hal-hal yang mencemaskan.

Di luar sana keadaan masih gawat dengan perbalahan tentang siapa atau parti politik mana yang lebih baik menerajui kepimpinan negara. Saya sudah membuat pilihan di PRU14. Maka pendirian saya ialah jalan tengah. Bukan senang hendak mengubah pemikiran manusia dan membentuak suatu yang baru. Bukan senang hendak memberi penerangan kepada semua lapisan masyarakat secara serentak. Pasti ada yang terpinggir. Allah uji manusia dengan kemenangan dan Allah uji dengan kekalahan. Allah uji dengan kemewahan dan Allah uji dengan kesempitan. Yang menentukan kejayaan bukan kepintaran berhujah semata-mata, bukan juga berapa ramai orang yang berada dibelakang menyokong kita. Akhirnya penentu kejayaan ialah adanya Ilmu yang Benar didada dan segala tugassn hendaklah beasaskan apa yang Allah tuntut. Ini kerana kejayaan sebenar harus merangkumi dunia dan akhirat. Dan strategi kita antaranya ialah mendahulukan nahi mungkar. Kemudian baru membuat amal makruf jika kita tidak mampu membuat amalan ini secara serentak.

Itu sahaja sedikit cetusan rasa hati saya di hujung 2018 ini. Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan yang benar, memelihara aqidah kita semoga akhirnya Allah kurnia Syurga Firdaus tanpa hisab dengan limpah rahmatNya yang tidak terhingga. Semoga setiap kita akan juga menjalankan tugas mengikut keupayaan yang ada untuk memberi penerangan mengenai keindahan Islam pada mereka yang belum faham semoga kita tidak perlu "berperang" dan berpecah belah. Jika kita belum berusaha sedaya upaya memikat hati mereka yang belum faham Islam, maka besar kemungkinan kita akan terus begini  dan sampai bila pun kita tidak akan jadi aman damai. Jika kita dapat menunjuki contoh terbaik di Malaysia apa itu Negara Islam maka besar kemunkinan dunia luar akan mencontohi kita.

Jadikan ia Impian kita bersama......
Setiap kita dilahirkan Islam. Semua Ruh telah mengaku Allah itu Tuhan. Sejurus lahir kita lupa. Ayuh kita benar-benar kembali padaNya.
Semoga Allah mudahkan usaha kita mencari RedhaNya. Semoga 2019 hingga akhir hayat kita Allah sentiasa menganugerah Rahmatnya dan kita bahagia di Sini dan di Sana.



..........

Friday, December 28, 2018

Terjumpa coretan lama........






Semalam saya berkemas barang-barang simpanan lama untuk di lupuskan. Dalam umur senja ini tidaklah perlu rumah berisi barang-barang yang sudah tidak relevan untuk menjalani baki hidup yang ikut adat tidak lama lagi sampailah saatnya. Saya kata pada diri: Jangan kira sangat isu sentimental kenangan hidup jika tidak ada iktibar untuk meneruskan tugasan hidup yang dituntut atas kita.

Maka saya terjumpa satu coretan lama yang saya ingat saya tulis semasa bertemu dalam satu perjumpaan kekawan tidak lama selepas bersara. Maka coretan ini pastinya sudah hampir 14 tahun lamanya. Saje teringat fikiran lama.....
Sudikan membaca........


Mengapa Perlu.......

......mengapa perlu pada perfection
kalau perfection memakan masa
yang mana kita tiada.

......mengapa perlu pada protocol
kalau protocol mengguris rasa
tenaga yang tua tiada upaya

.......mengapa perlu pada peraturan
kalau peraturan memening kepala
sedikit silap apa salahnya.

bila umur kita meningkat
bila kecerdasan juga tersekat
namun hati ingin berbakti
...........ingin melihat minat yang ada tidak terhenti

alangkah bahagianya,
bila teman faham dan mengerti akan dirinya
menyumbang fikir dan tenaga sekadarn adanya
kerana ingin juga bersama mendukung cita
berbakti pada masyarakat tercinta
mengabdi pada Illahi yang Esa jua


..................................



Sekadar Umur ?............

Umur ku seperti umur mu
Tak kira berapa kita masih belum jemu
Masih juga terselit di sudut hati mahu mengejar mimpi
Masih gemar bersantai juga terus menghias diri
Seperti belum yakin umur kita ibarat telur di tanduk sapi
Misi perjuangan menegak Kebenaran masih belum cukup terisi

Kan nanti kita akan dipersoal diri demi diri
Akan ditanya satu persatu hati demi hati
Akan dikejutkan dengan pengabdian yang belum terbukti
Kerana lena dibuai kata-kata manis
Pemimpin yang ghairah menonjol diri
Yang tidak mahu mengenal dan menerima erti mati

Sehari berlalu bererti setapak lebih dekat
Namun penumpuan minda masih tersekat-sekat
Pegangan hidup masih belum jitu bulat
Bagai tidak mahu menerima kebenaran hakikat

Garis penamat pasti dituju
Di waktu itu yang penting hanya satu
Redha atau kecewa jadi penentu
Di sisi yang Maha Esa neraca ditumpu.




.........

Wednesday, December 26, 2018

Ada orang rasa mual...??





Mengapa rasa mual..?

Ini cerita perihal belajar di sekolah berasrama penuh yang dianggap kumpulan elite. Tetapi ini bukan cerita saya semuanya. Saya tidak pernah belajar di sekolah Asrama Penuh. Dan cerita saya ini hanya merupakan pemerhatian rambang sahaja. Saya dengari sekali sekala dari teteman yang belajar disekolah berasrama penuh.

Ada yang rasa tidak seronok sepenuhnya belajar di sekolah asrama penuh kerana jauh dari ibu bapa dan keluarga. Macam terpaksa pergi. Walaupun dapat keputusan peperikasaan yang cemerlang tetapi  merasakan kekurangan kasih sayang ibubapa yang bermakna dan berpanjangan. Tetapi ada yang seronok kerana rasa "exclusive". Terpulanglah pada pemikiran dan pendirian serta pengalaman masing-masing. 

Ada yang merasai sekarang ini ia tidak dapat menangani semua masaalah mendidik anak-anak sendiri kerana anak-anak tidak dihantar ke asrama. Ada satu pendapat seorang yang berasrama penuh mengatakan ia berasa "mual" bila bertemu dan berinteraksi dengan kekawan ex asrama sekarang ini  kerana ada suatu hal yang ia rasai penuh kesalan. Walaupun ia diiktiraf bijak, pandai, berkaliber sebagai pemimpin dan boleh ke tengah dan ke tepi dalam masyarakat tetapi dia sendiri merasai bahawa dia tidak ada tempat bertaut yang sebenarnya. Katanya: I can fit in anywhere, but belong nowhere.......

Mungkin ini pendapat yang terasing.....

Saya senyum mendengari "keluhan" ini. Saya rasa tidak semua orang merasakan begitu. 

Saya bersekolah dikampung. Sekolah saya waktu itu masih ada yang beratap nipah. Tetapi kenanagan saya amat seronok sekali. Saya bawakan di sini sebahagian ex classmates saya dari tingkatan 1-5 atau 1-3 di Government English School Pontian Johor. Majoriti kelas saya keturunan Cina sebab saya dalam kelas Sains.






Foto-foto yang saya tunjuk ini adalah Reunion tahun ini 2018 baru-baru ini di Penang dan Hatnyai  Thailand. Ada diantaranya yang satu kelas dari sekolah rendah. Ada diantaranya juga yang dari kelas Arts. Saya tidak menyertainya kali ini sebab suami tidak sihat. Mereka hantar foto-foto pada saya. Kita merasai kekeluargaan. Sebab itu saya rasa sedikit tidak selesa bila negara kita sekarang ini ada yang lantang bercerita tentang ketuanan Melayu. Entahlah .......mungkin saya naive.

Bila bertemu dua tahun yang lepas kita berborak-borak cerita biasa-biasa sahaja. Ramai teteman saya ini professional dalam bidang teknikal. Ada yang ahli perniagaan. Yang perempuan ramai yang guru sekolah. Tetapi kami tidak bercerita perbezaan kami. Seronok makan-makan dan sembang santai sahaja.......

Selain dari Reunion besar, kami buat juga reunion kecil-kecilan dalam 4/5 orang di hujung minggu atau apabila ada teteman yang menetap di Canada, Singapore, Australia datang berziarah balik kampung. Kami jemput sama jika ada bekas guru kami tinggal berhampiran. Ye lah......Suasana dahulu tidak seperti sekarang. Dan suasana serta budaya Sekolah Harian tidak serupa dengan sekolah Asrama Penuh. Pastinya ada kebaikan dan ada kekurangan.

Maka saya tidak rasa "mual" bergaul dalam kumpulan apa pun. Alhamdulillah Allah kurnia saya dapat melihat kepelbagaian karenah manusia. Mungkin kerana saya tidak belajar di sekolah berasrama penuh dan tidak merasai apa yang mereka rasai. Kelumpuk saya luas dari segi berbagai latar belakang keluarga.Pengalaman waktu itu membuat kami lebih "kebal" menghadapi masaalah persekolahan, masaalah harian berkaitan makan harian dan berjalan ke sekolah dalam hujan dan lecak jalan dan berbagai lagi.Maka cara kami "berjati diri" dan "tahan lasak" tidak sama dengan mereka yang bersekolah asrama. Abang saya bersekolah di Royal Military College Sungai Besi dan kami amat berbeza pendapat dan sikap dalam menghargai pengorbanan ibubapa dan adikberadik semua.

Itulah liku-liku kehidupan. Tiada yang serupa dan tiada yang seragam. 

Itu sahaja coretan kali ini. Dalam hidup dunia sememangnya berbeza-beza dari segi citarasa. Kelebihan atau kekurang terletak pada minda dan pada hati. Saya sentiasa cuba mencari persamaan dan bercerita tentang keunggulan falsafah hidup Muslim dalam interaksi saya di kumpulan Whatsapp saya dengan ex classmates saya. Saya mencuba. Allah yang menentukan. Pasti ada hikmahnya dalam hidup berbeza-beza.


......................

Monday, December 24, 2018

Ujian yang tidak dirasai ujian ?......





Seminggu dulu saya ke PPUITM, Selayang. Tidak pernah ke sana. Saya temankan suami.

Entah berapa tahun saya tidak menjejaki Selayang. Itulah jalan hidup manusia di umur senja.......macam rusa masuk kampung. Katalah apa, saya rasa terhibur kerana keluar ke daerah yang sudah menjadi asing buat saya. Saya tidak akan berani ke Selayang seorang diri. Takut sesat dan entah ke mana akhirnya. Hari itu pemandu adik ipar saya menghantar kami ke sana.

Orang muda tidak akan percaya karenah kami yang sebaya umur. Dulu pun saya kurang percaya. Sekarang ini sudah jadi kenyataan. Saya dan suami sama-sama berumur 72 tahun. Deria yang Allah kurnia sudah banyak berkurangan. Semoga Allah pelihara hingga ke akhir hayat.

Dua-dua kami diabetik tetapi suami saya lebih berat dari saya. Maka seorang kawan rekomen datang ke sini. Cantik dan bersih klinik UITM di sini. Rasa tenang menunggu giliran. Saya ikut masuk bertemu doktor. Bagus penampilannya. Saya belum nampak keistimewaannya dari segi perubatan tetapi saya akur untuk mencuba pula kepakaran doktor2 di sini. Harus berfikiran positif.......


Ini rumah kedai dihadapan PPUITM Selayang. Menyegarkan minda saya dan tidak terasa bosan terpaksa menanti agak lama menunggu giliran. Masalah yang saya dan suami lalui sebenarnya  tidak berat dan tidak terasa ia suatu ujian. Alahamdulillah. Allah memudahkan.....


Balik ke rumah, suami saya dapat berehat. Kena ulang lagi dua minggu
 dan katanya  kali itu baru dapat jumpa Doktor pakar. 
Sementara itu suami harus jaga makanan
 dan ambil ubat seperti diarahkan.

Saya sudah belajar bersabar dan bertenang melalui proses dan prosidur
 mendapatkan rawatan di hospital. Senang dan susah menjalani ujian sakit
 bukan ukuran kebahagiaan hidup. Ada kalanya kita rasa sehat. 
Tetapi tidak semestinya kita rasa bahagia.
 Dalam perkongsian di whatsapp ramai yang punya formula
 bagaimana mahu mencapai kebahagiaan dalam hidup ini.
Saya ambil perhatian sebahagian dari formula yang dikongsikan. 
Namun saya berkeyakinan apa jua formula yang kita ikuti
 kita tidak bahagia selagi formula yang kita ikuti itu tidak
 mendekatkan kita pada Allah.....yang maha Bijaksana, maha Pencipta. 
Jangan kita tersilap. Kebahagian yang dirasai mungkin suatu illusi dan
 boleh memesungkan kita dari sasaran sebenar.

Kita yakin diri bahawa setiap ujian itu ada hikmahnya.
Semoga kita sentiasa redha dan Allah meredhai.


A005
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Ash-Syar-h 94:5


A006
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Ash-Syar-h 94:6



.................

Sunday, December 23, 2018

Kenangan Wak Saru.......





Siapa Wak Saru ye?
Allahyarham Wak Saru ialah abang ipar saya yang
 telah lama meninggalkan kami.
Isterinya kakak saya yang meninggal dalam umur 52 tahun.
Ketika itu saya berumur 31 tahun dan belum sempat mengenalinya
 seperti yang saya inginkan. Rasa sayu bila mengingatinya.
Semoga keduanya Allah tempatkan Ruh mereka bersama-sama
 Ruh mereka yang soleh. Aamiin.

Hari ini saya ingin rakamkan foto sebahagian anak cucu mereka. Anak-anak
belum habis sekolah semasa kakak saya meninggal dan semasa wak Saru meninggal mereka belum mendapat pekerjaan yang sesuai.

Ada yang tinggal dengan saya semasa saya belum berumah tangga
 dan kenangan waktu itu membuat saya
 insaf dan menyedari kekurangan yang ada pada diri saya.
Semoga saya lebih mengerti hakikat  kehidupan dan dapat merasai
 kekurang yang membuat keinsafan diri melahirkan
 rasa boleh bertoleransi dengan sesiapa jua yang ada disekeliling saya.
Alhamdulillah.

Terima kasih pengunjung budiman sudi mendengari saya.


.............

Saturday, December 22, 2018

Teman dari Mali........

Lokasi Mali dalam peta benua Afrika.
(Maklumat berikut dari ehsan carian google di Wikipedia).

Map of Mali

Mali is a landlocked country in West Africa, located southwest of Algeria. It lies between latitudes 10° and 25°N, and longitudes 13°W and 5°E. Mali is bordered by Algeria to the northeast, Niger to the east, Burkina Faso and Côte d'Ivoire to the south, Guinea to the south-west, and Senegal and Mauritania to the west.
At 1,242,248 square kilometres (479,635 sq mi), Mali is the world's 24th-largest country and is comparable in size to South Africa or Angola. Most of the country lies in the southern Sahara Desert, which produces an extremely hot, dust-laden Sudanian savanna zone.[44] Mali is mostly flat, rising to rolling northern plains covered by sand. The Adrar des Ifoghas massif lies in the northeast.
Mali lies in the torrid zone and is among the hottest countries in the world. The thermal equator, which matches the hottest spots year-round on the planet based on the mean daily annual temperature, crosses the country.[44] Most of Mali receives negligible rainfall and droughts are very frequent.[44] Late June to early December is the rainy season in the southernmost area. During this time, flooding of the Niger River is common, creating the Inner Niger Delta.[44] The vast northern desert part of Mali has a hot desert climate (Köppen climate classification (BWh) with long, extremely hot summers and scarce rainfall which decreases northwards. The central area has a hot semi-arid climate (Köppen climate classification (BSh) with very high temperatures year-round, a long, intense dry season and a brief, irregular rainy season. The little southern band possesses a tropical wet and dry climate. (Köppen climate classification (AW) In review, Mali's climate is subtropical to arid, with February to June being the hot, dry season. June to November is rainy, humid and mild. November to February is the cool, dry season.
Mali has considerable natural resources, with gold, uranium, phosphateskaolinite, salt and limestone being most widely exploited. Mali is estimated to have in excess of 17,400 tonnes of uranium (measured + indicated + inferred).[45][46] In 2012, a further uranium mineralized north zone was identified.[47] Mali faces numerous environmental challenges, including desertificationdeforestationsoil erosion, and inadequate supplies of potable water.[4




Alhamdulillah.
Awal minggu lepas rasa agak teruja bertemu teman baru dari negara Mali. 
Suami saya menjalin persahabatan di Surau berdekatan tempat tinggal kami di Putrajaya.

Kami makan bersama dengan  seorang teman lain dari Shah Alam.
Mereka suami isteri datang ke Putrajaya untuk berurusan
 kembara mereka dengan van ke Chiengmai.

Kami makan di Restoran Thai dan Shaikh Syed dari Mali ini nampak beselera. Dia tidak banyak berbual kerana nampak macam pemalu. Mungkin kerana beliau seorang alHafidz
dan menjaga adab dihadapan kami para isteri.
Beliau bertugas di University Islam Antarabangsa dan  sebelum ini sudah 15 tahun berada di Malaysia bersama isteri dan 8 orang anak.
Dengan suami dia banyak juga berbual. Semoga Allah mudahkan ia tinggal di Malaysia kerana banyak ilmu di dada yang bolih dimunafaatkan.
Semoga Allah memudahkan segala urusannya.


........

Friday, December 21, 2018

Bila tiada siapa yang peduli......





Kini menghitung masa.

Masa itu kurniaan Allah. Ada Allah kurnia pada hambanya 24 jam itu seperti tidak kesudahan. Maka banyaklah amal ibadah yang dapat dilakukan. Kita mendengari cerita sejarah Islam di mana Rasulullah saw solat hingga bengakak kaki dan bacaan surah alquran dalam solatnya adalah surah yang panjang2. Pastinya masa yang Allah kurnia tidak sama pada umat biasa. Kita lihat sahaja pengalaman sendiri. Rasanya 24 jam itu terlalu pendek. Belum sempat menghabiskan tugasan harian, belum sempat membaca alQuran dan lain-lain lagi, waktu sudah tidak ada........

Maka teringatlah fenomena Iman dan taqwa. Maka terasakan diri ini masih jauh dariNya. Maka timbulah rasa khuatir, rasa bimbang kerana bila sampai masanya kita bertemu Allah, masa tidak dilewatkan seminit pun dan tidak disegerakan seminit pun.

Dalam melalui umur senja ini, banyak yang terfikir-fikir di hati.

Dua hari yang lalu saya menulis dalam group Whatsapp "kumpulan Tadarus". Sudah beberapa tahun saya berada dalam kumpulan itu atas ehsan kekawan yang berjiranan di kawasan perumahan yang berhampiran. Dan ahlinya pun kekawan yang seangkatan semasa di sekolah dan semasa berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Saya merasai kemesraan yang ada dan rasa tidak kesunyiman.

Masa beredar.....

Sejak awal tahun 2018 saya tidak sering hadir bertadarus kerana masaalah kemampuan logistik. Kemudian suami saya tidak sihat pula dan hampir 6 bulan berterusan saya tidak hadir kerana sibuk dengan hal ke hospital dan apa jua yang berkaitan dengannya. Maka sessi Tadarus sebulan sekali pun saya tidak dapat menghadirkan diri.

Minggu ini 19 Disember merupakan hari terakhir untuk Tadarus tahun ini. Saya berjanji akan hadir tetapi rancangan tergendala kerana sesuatu yang tidak dapat saya elakan. Rasa kecewa tidak tunaikan janji. Maka saya menulis di whatsapp mohon maaf kerana tidak menepati janji dan saya rasa tersedih tidak dapat bersua muka hampir setahun. Saya benar2 rasa sedih dan rasa rindu pada teteman. Dengan ikhlas saya katakan saya rindu.

Namun hingga hari ini tiada yang komen atau menjawab whatsapp saya. Rasa amat tersedih. Baru setahun saya rasa sudah dipinggirkan dan sudak tidak ada yang peduli.

Malam tadi saya termenung dan berfikir-fikir. Saya menangis....... Mengapa saya rasa demikian. Saya kata pada diri.......
Bayangkan nanti di Akhirat jika Allah tidak peduli pada saya. Ustaz cerita waktu itu semua manusia nafsi-nafsi. Masing-masing mencari keselamatan masing-masing. Itu yang saya patut sedihkan. Lumrah ramai manusia. Tiada di mata tiada di hati.

Saya rasa sebak hingga ke pagi ini. Maka saya tulis entry ini.

Nanti bila saya sudah  tiada teringat-ingat siapa yang merasai kehilangan saya. Mungkin suami, mungkin anak-anak dan saudara terdekat. Untuk berapa lama tiada yang tahu. Saya kena terima itu hakikat dan saya katakan pada diri untuk bersungguh-sungguh berikhtiar mempersiapkan diri untuk perjalanan yang tiada lagi sesiapa yang peduli. Jika ada, itu Rahmat Allah yang tidak terhingga kurniaan pada hambaNya. Semoga saya diiktiraf hamba sejati dan tidak keseorangan diri..........

Aamiin ya Rabb........


.........

Wednesday, December 12, 2018

Dear All.....


LET  US  MAKE  MALAYSIA 
GREAT  AGAIN.

LET 
US 
MAKE
MALAYSIA GREAT AGAIN.

YES !  TOGETHER WE CAN !
With Iman and Taqwa

May the All Mighty God Allah swt
most Gracious , most Merciful guide us
 and protect us and 
May He grace upon  us His Blessings


..........

Monday, December 10, 2018

Berdemonstrasi sudah......Apa pulak selepas ini.

Image result for free download kalimah Allah.


Alhamdulillah, gerakan tunjuk perasaan rakyat hari semalam selesai tanpa berlaku sesuatu yang tidak diingini. Semoga ia membawa kesan yang positif yang menguntungkan kesemua rakyat yang dengannya mereka berkepentingan. Ia bukan suatu usaha yang kecil dan semoga semua yang mengambil bahagian dapat merasai kepuasan bahawa rakyat punya kuasa.

Saya tidak ikut berarak dijalan yang ditentukan. Saya melihat dari jauh cuba memahami apa sebenarnya yang Allah mahu kita ambil iktibar dari peristiwa sejarah ini. Ramai ahli dari keluarga besar saya di Kuala Lumpur dan Putrajaya mengambil bahagian dengan semangat yang berkobar-kobar. Semoga semangat itu berterusan denagn tekad dan komitmen bahawa mencari kebenaran itu bukan mudah dan melaksana Kebenaran juga bukan suatu yang mudah. Ia bukan suatu yang lahir dari sikap ikut-ikutan. Ia lahir dari sikap mahu menegakkan yang benar dan yang benar itu harus dilihat dari berbagai sudut dan dilihat dengan mata kasar dan dilihat dengan mata hati berasaskan Ilmu yang Benar. InsyaAllah dengan keikhlasan, apa yang dihajatkan akan mendapat perhatian pihak yang dipertanggongjawabkan. Dan lebih dari itu semoga apa yang di harapkan dan dihajatkan mendapat perhatian dari satu kuasa Yang Amat Besar dan Amat Agong, iaitu Allah SWT......Tuhan sekian Alam.

Maka apa pula selepas ini.....what is next?

Saya yang melihat dari "pinggiran" ingin membuat cadangan bahawa kita ambil satu  resolusi ke arah menentukan supaya segala tindakan kita selepas ini akan selaras dengan apa jua yang Islam telah syariatkan bagi diri sendiri dan anak-anak keluarga terdekat. Lebaik lagi jika luaskan pada msyarakat dan negara. Ini buat permulaan. Saya merasai saya harus juga membuat beberapa cadangan semoga usaha hari semalam tidak lebur begitu sahaja. Kita buat perubahan yang konkrit dan bukan mengulangi slogan-slogan yang sudah lama didengari. "Action is Stronger than Words". Dan kita cuba sentiasa ingat bahawa Allah menilai kita dari banyak segi mengikut kemampuan yang Allah telah anugerah pada setiap kita yang dilahirkan menjadi hambanya dan semoga menjadi hambanya yang sejati. Semoga usaha kita dalam apa jua bidang harus menepati apa yang Allah syariatkan dan apa yang Rasulullah contohkan semoga akhirnya kita tergolong dalam kumpalan seperti ayat Quran yang berikut:

A027
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -

A028
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
A029
"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -


A030
"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "



Merenung ayat-ayat itu saya menanam impian semoga saya dan semua yang saya sayang di sekeliling saya akan mendapat anugerah Rahmat Allah memasuki Syurganya.....Syurga Firdaus tanpa hisab bersama Rasulullah saw dengan Rahmat Allah jua. Untuk itu pastinya mula-mula kita harus sentiasa memeriksa diri bahawa ilmu yang kita ada mengenai Islam itu benar dari semua segi. Allah perintahkan Iqra'.....Iqra' dengan nama Allah yang menciptakan. Ilmu yang kita cari harus difahami dalam konteks yang Benar. Kita harus mencari Ilmu dan memahami Ilmu dari Ulama' yang muktabar dan Guru-guru yang mursyid semoga usaha itu dapat  memastikan kita berada di jalan yang Benar dalam menghayati dan melaksana ayat-ayat itu.  Kita harus pula selalu bermunajat memohon Taufik dan Hidayah semoga Allah sentiasa menunjuki jalan yang benar dan sentiasa memudahkan segala usaha kita mencari RedhaNya.

Jadi....bagaimana kita harus bermula membuat perubahan jika kita belum berbuat demikian. Dalam membuat perubahan kita harus jelas memahami tentang hala tuju kita dalam kehidupan. Adakah perjuangan bahawa kita Melayu itu lebih besar dari perjuangan kita Muslim Mukmin. Saya selitkan soalan itu kerana Muslim Mukmin merangkumi keturunan bangsa lain dan kita tidak ada pilihan dari bangsa mana kita dilahirkan. Kata Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz:  nanti di akhirat kita tidak disoal kita ini keturunan bangsa apa. Yang harus kita jawab ialah sama ada tanggongjawab kita sebagai Muslim Mukmin  sudah dipenuhi mengikut syariatNya.

Secara rambang saya terfikir semua kita harus belajar Bahasa al Quran. Ini kunci kita memahami alQuran, justeru mnemahami  Islam dan dengan itu dapat melaksana segala resolusi kehidupan yang Allah letak kuncinya dalam alQuran. Tanpa bahasa alQuran kita seperti ikut-ikutan kerana tidak dapat kepuasan memahami segala yang tersurat dan tersirat. Begitu juga untuk memahami Hadith-hadith yang menjadi panduan kita. Membaca terjemahan sahaja Ustaz kata tidak mencukupi dan saya menyesali diri sendiri kerana walaupun sudah bertahun saya belajar tetapi saya belum dapat menguasainya. Semoga saranan saya pada anak cucu dan siapa yang rapat dengan saya dapat menguasai Bahasa AlQuran dengan mudah. Dengan bahasa ini juga kita boleh membaca kitab-kitab yang original. Sememangnya kita tidapat membuat semuanya tetapi ini memudahkan pilihan kita.

Ustaz kata kalau ramai kita yang boleh menguasai Bahasa Inggeris mengapa tidak boleh menguasai Bahasa alQuran walhal Allah telah mengatakan dalam alQuran itu sendiri bahawa memahami alQuran dalam bahasa Arab itu Allah telah mudahkan. Betapa saya lalai...........

Ayat alQuran:    

A103
Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: " Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia". (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.

A003
Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.
A003
Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.

A028
laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.



Dengan menguasai bahasa Arab mudah bagi kita mencintai alQuran. Kita cuba menghafaz alQuran sebanyak yang mungkin. Menghafaz alQuran bukan bererti kita akan semuanya menjadi Ustaz atau Ustazah. Menghafaz AlQuran adalah asas bagi menguatkan ingatan minda dan menguatkan daya berfikir. InsyaAllah kita boleh jadi lebih kreatif. Dan ini merupakan elemen penting untuk menguasi Ilmu-ilmu yang lainnya yang dituntut untuk kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat......kejayaan untuk diri dan kejayaan untuk keluarga, masyarakat dan Negara. Dalam Islam kejayaan untuk diri sahajaa belum mencukupi dan belum boleh diiktiraf sebagai pengabdian yang total.

Perkara yang saya kongsikan di atas itu adalah antara asas permulaan untuk kita mendapat kurniaan Allah mencapai tingkat Iman dan Taqwa yang tinggi. Hanya dengan Iman dan Taqwa berasaskan Ilmu yang sebenarnya sahaja akan menjadikan kita manusia yang sentiasa mendapat pertolongan dari Allah swt dalam semua hal. Maka dengan ini kita tidak perlu rasa tercabar dan rasa takut dengan kata-kata manusia yang mengingkari Allah. Dengan lain perkataan kita tidak takut dengan musuh-musuh Islam termasuk Jin dan Syaitan. Pengabdian kita harus total. Maka dalam konteks Malaysia kita tidak perlu takut dan bimbang dengan mereka yang mahu menjatuhkan kita. Dalam konteks Malaysia sekarang ini juga saya berpendapat bahawa Dap dan sekutu-sekutunya bukan bijak dan kuat. Tetapi kita orang Melayu yang tidak bijak dan membiarkan diri lemah dalam banyak hal. Walhal Allah telah mengurniakan kita dengan berbagai kemampuan. Buat amal makruf dan nahi mungkar bulat kerana Allah dan saya yakin tiada siapa yang dapat mengambil kesempatan dan menganiyaya kita.

Saya katakan ini dengan penuh keinsafan bahawa saya belum mencapai segala apa yang saya sebut di atas. Tetapi saya katakan juga kerana saya tidak mahu pembaca budiman rugi macam saya rugi.

Kita hanya perlu berlindung dengan Allah dan pasrah padaNya setelah kita mengambil semua tindakan yang dituntut olehNya. Dalam Islam kita dibenarkan mengambil tindakan mempertahankan diri jika kita diancam dan dizalimi.

Buat kali ini itu sahaja yang dapat saya kongsikan. Kata kekawan saya "My two Cents idea". Denagan izin Allah saya ingin mencuba berkongsi aspek yang lain pula jika berkemampuan dan berkesempatan. Saya ingin kongsi isu berdakwah, dan isu materialisma dalam dakwah. Another two cents idea. InsyaAllah. Mohon maaf atas  salah silap dan tersasar fahaman atas keyakinan ini. Semoga Allah mengampuni kelemahan dalam penulisan saya dan semoga Allah mendengari isi hati. Salam.


.........
Related Posts with Thumbnails