Seminggu dulu saya ke PPUITM, Selayang. Tidak pernah ke sana. Saya temankan suami.
Entah berapa tahun saya tidak menjejaki Selayang. Itulah jalan hidup manusia di umur senja.......macam rusa masuk kampung. Katalah apa, saya rasa terhibur kerana keluar ke daerah yang sudah menjadi asing buat saya. Saya tidak akan berani ke Selayang seorang diri. Takut sesat dan entah ke mana akhirnya. Hari itu pemandu adik ipar saya menghantar kami ke sana.
Orang muda tidak akan percaya karenah kami yang sebaya umur. Dulu pun saya kurang percaya. Sekarang ini sudah jadi kenyataan. Saya dan suami sama-sama berumur 72 tahun. Deria yang Allah kurnia sudah banyak berkurangan. Semoga Allah pelihara hingga ke akhir hayat.
Dua-dua kami diabetik tetapi suami saya lebih berat dari saya. Maka seorang kawan rekomen datang ke sini. Cantik dan bersih klinik UITM di sini. Rasa tenang menunggu giliran. Saya ikut masuk bertemu doktor. Bagus penampilannya. Saya belum nampak keistimewaannya dari segi perubatan tetapi saya akur untuk mencuba pula kepakaran doktor2 di sini. Harus berfikiran positif.......
Ini rumah kedai dihadapan PPUITM Selayang. Menyegarkan minda saya dan tidak terasa bosan terpaksa menanti agak lama menunggu giliran. Masalah yang saya dan suami lalui sebenarnya tidak berat dan tidak terasa ia suatu ujian. Alahamdulillah. Allah memudahkan.....
Balik ke rumah, suami saya dapat berehat. Kena ulang lagi dua minggu
dan katanya kali itu baru dapat jumpa Doktor pakar.
Sementara itu suami harus jaga makanan
dan ambil ubat seperti diarahkan.
Saya sudah belajar bersabar dan bertenang melalui proses dan prosidur
mendapatkan rawatan di hospital. Senang dan susah menjalani ujian sakit
bukan ukuran kebahagiaan hidup. Ada kalanya kita rasa sehat.
Tetapi tidak semestinya kita rasa bahagia.
Dalam perkongsian di whatsapp ramai yang punya formula
bagaimana mahu mencapai kebahagiaan dalam hidup ini.
Saya ambil perhatian sebahagian dari formula yang dikongsikan.
Namun saya berkeyakinan apa jua formula yang kita ikuti
kita tidak bahagia selagi formula yang kita ikuti itu tidak
mendekatkan kita pada Allah.....yang maha Bijaksana, maha Pencipta.
Jangan kita tersilap. Kebahagian yang dirasai mungkin suatu illusi dan
boleh memesungkan kita dari sasaran sebenar.
Kita yakin diri bahawa setiap ujian itu ada hikmahnya.
Semoga kita sentiasa redha dan Allah meredhai.
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Ash-Syar-h 94:5)
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Ash-Syar-h 94:6)
.................
No comments:
Post a Comment