"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, December 5, 2018

" Alastu bi Rabbikum?......."



Image result for foto hari jumaat





Hari itu hari Jumaat. Sudah tiga Jumaat kini. Mungkin lebih, sudah agak lupa. Dalam Islam Jumaat ialah penghulu segala hari.

Hari itu suami dan saya menyambut seorang teman keluarga dari Pattani datang ziarah sambil ia menguruskan hal-hal lain mengenai perancangan tahun hadapan 2019. Dia seorang pendidik dan kini sedang menyempurnakan thesis Phdnya di Universiti Malaya.. Saya sudah belajar sejak-sejak dewasa tua ini bahawa menerima tetamu adalah suatu yang amat disukai oleh Rasulullah saw. Membina talian silaturrahim amat digalakan dalam Islam hinggakan kalau kita sedang berpuasa sunat dan belum samapai gelincir matahari kita di sunatkan membatalkan puasa untuk melayan dan menyantuni tetamu sebaiknya. Semoga ziarahnya berterusan.

Dalam sedikit masa santai yang dapat kami ruangkan, banyak hal yang kami bualkan secara agak serious dalam konteks rakyat pinggiran seperti kami. Ibarat melukut ditepi gantang. Masuk tidak menambah, keluar tidak mengurangkan.

Antara perbualan kami ialah mengenai politik yang dihadapai rakyat dunia Islam berkaitan pembunuhan journalist Saudi yang menetap di Amerika, iaitu  Jamal Khashoggi. Saya mengikuti juga sedikit mengenai siapa Khashoggi ini sebenarnya. Hebat orangnya dan berbagai jawatan yang dipegangnya dalam berbagai organisasi yang langsung atau tidak langsung. Sejarah hidupnya pun sangat memukau fikiran saya kerana antaranya beliau bekenalan baik dengan Osama ben Laden. Malahan mereka sama bersekolah dan pernah berhubung rapat mengenai kedudukan di Afghanistan suatu masa dahulu. Saya mengikutinya di Utube. Saya rasa menucukupi untuk memahami sedikit mengapa banyak Negara "riuh-rendah" dengan berbagai pendapat, saranan dan tindakan mengenai pembunuhan ini.

Betul atau tidak fahaman saya yang merasai bahawa Jamal Khasgoggi ini "prihatin" tentang Islam dan ia amat mengkritis Pentadbiran Negara Arab Saudi yang tidak disenanginya. Saya berfahaman bahawa Arab Saudi amat "kamcing" dengan Amerika Syarikat dan Israel dan kedudukan ini amat tidak disukainya. Ramai yang "mendakwa" ia dibunuh secara kejam kerana mengkritik Kerajaan Saudi yang dianggap menjejas kepentingan Pemerintahan beraja dinegara itu.
WaAllahu'alam.

Tetapi hari itu saya lebih suka berbincang soal Malaysia kerana anak lelaki saya ada bersama saya  bersembang santai. Kami berbicara sedikit mengapa di Malaysia juga  suasana hingar-bingar dan "Riuh-rendah" memperkatakan mengenai sekumpulan rakyat Malaysia yang mengatakan kepimpinan PH tidak berjuang mempertahankan hak-hak orang Melayu, keluhuran Perlembagaan, marwah Islam dan berbagai lagi yang berkaitan dengannya. Lebih lantang lagi ada yang mengatakan Pemerintahan PH sebenranya diterajui oleh DAP yang telah memenangi banyak kerusi di Parlimen berbanding Parti Tun Mahathir, Perdana Menteri kita yang ke7. Bila saya mendengari kata-kata yang saya takrif sebagai mengutuk kepimpinan PH saya rasa amat tidak selesa kerana saya rasa kecaman itu keterlaluan dan ada yang kurang tepat  dan hanya timbul dari pemerhatian rambang yang belum terbukti kebenarannya secara mutlak.

Lahir dari polimik DAP yang dikatakan biadap dengan Melayu dan Raja-raja Melayu, saya terpanggil untuk mencatat sedikit fikiran saya untuk perkongsian  di sini. Semoga ada yang menegur saya kalau saya tersasar fahaman.

Saya rasa tidak selesa mendengari kutukan ke atas DAP yang agak keterlaluan. Saya bukan peminat DAP dan bukan penyokong tegar DAP dan semasa saya bekerja dahulu saya adalah dalam kumpulan rakan sependapat dalam perkhidmatan yang peka atas tindak tanduk rakyat Malaysia yang berketurunan Cina ini dan sentiasa berhati-hati dalam melaksana program yang berkaitan mereka. Saya dahulu berkhidmat di Kementerian Pendidikan selama 20 tahun. Saya tahu sangat hasrat kaum Cina terutamanya mengenai kemahuan mereka dalam perlaksanaan dasar pendidikan. Tetapi menyalahkan DAP semata-mata tanpa melihat kelemahan Melayu sendiri adalah suatu sikap yang saya rasa kurang sempurna. Ia boleh merugikan  diri Melayu sendiri jika dilihat secara rasional atas pemikiran yang lebih matang.

Saya ingin mengambil pemerhatian atas satu dua perkara yang mudah difahami.

Satunya ialah mengenai bahasa. Kita mempertahankan bahasa Kebangsaan tetapi kita tidak berusaha langsung untuk mempelajari bahasa Mandarin. Kita sepatutnya cari jalan yang sewajarnya untuk hebat dalam bahasa Melayu dan hebat juga dalam bahasa Mandarin. Kaum Cina akan gentar jika  orang-orang Melayu hebat Mandarin. Mereka tidak bolih mengkritik Melayu sesuka hati. Hebat Mandarin tidak semestinya kita jatuhkan bahasa Melayu. Kita hebat bahasa Inggeris. Dan kita hebat juga bahasa Melayu. Boleh kan?  Carilah jalan supaya dasar-dasar negara diubahsuai untuk kepentingan Melayu berbahasa Mandarin. Pastinya boleh........
Bahasa adalah satu senjata yang berkesan untuk "mempertahan"  diri dan mengatur strategy yang wajar jika kepentingan dipersoalkan.

Kini banyak negara di dunia yang berusaha kuat mempelajari Mandarin memandangkan negara Republik China ini sudah hampir mengatasi kekuatan ekonomi negara Amerika Syarikat dan mempunyai teknologi yang cangih-cangih.

Jadi.....cabarlah diri untuk belajar Mandarin. Saya akui ini adalah salah satu penyesalan saya kerana semasa muda belia saya tidak terfikir untuk itu. Malahan saya belajar bahasa Perancis. Kini hilang kerana tidak digunakan. Tetapi ramai orang Melayu yang sangat sensitif mengenai bahasa Melayu hinggakan kita tidak boleh langsung menyentuh "kekuatannya" atau "kelemahannya".  Saya suka berfikiran lain sedikit. Semoga boleh kita fikirkan bersama.

Selain dari isu bahasa, sekarang ini kita marah kerana ada kumpulan bukan Melayu yang mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan dengan berbagai cara yang jelas dan tersembunyi. Isu ICERD menjadi amat besar dan jika kita tidak menyokong kumpulan yang akan belarak menunjukan perasaan boleh dikira belot dan ada yang kata mungkin jatuh aqidah, munafik dan sebagainya. Gerun saya mendengarinya. Mungkin ini semata-mata hanya rungutan biasa. Tidak sampai perinkat menghasut. Ini pun saya dengari dikalangan kekawan dan ahli keluarga besar sahaja secara sepintas lalu.Itu pun saya sudah rasa khuatir dan bimbang.

Mengapa agaknya Islam tiba-tiba dirasai penting oleh semua yang intellectual serta bijak pandai  dan orang-orang biasa.Walaupun begitu saya perhatikan ada juga  orang-orang yang "diam diri"  mencari penyelesaian alternatif. Pastinya ada penyelesaian alternatif jika difikirkan dengan ikhlas bersama-sama.

Saya merasai kemelut ini ada kaitan rapat dengan kekalahan Barisan Nasioanl memerintah negara dan simpati pihak  mereka yang sealiran dengannya. Mereka  mencari kelemahan Pakatan Harapan PH untuk menunjukan bahawa kehebatan yang didakwa lebih berwibawa kini sebenarnya cuma merupakan "tong kosong". Agaknya ini adalah strategy mereka untuk menang semula dan mengambil alih kuasa. Saya mungkin silap tetapi dalam fikiran saya terselit hakikat bahawa  kemelut ini tidak perlu wujud ketika ini. PH belum pun setahun jagung dan kini sibuk dengan hal-hal yang sama pentingnya pada Malaysia kalau pun ia tidak lebih penting untuk kelangsungan Agama, bangsa dan Negara..........
Pendapat seperti saya ini rasanya amat terasing. Tidak mengapa kerana ia hanya merupakan satu pendapat.

Dari segi Agama pula, bukankah Islam sudah diiktiraf sebagai agama rasmi negara Malaysia.
Kita terima dan berhenti di situ buat seketika dan mungkin kita mahu  berfikir dengan lebih menyeluruh mengenai kekuatan dan kesempurnaan orang-orang Melayu Islam di negara kita ini.. Dakwah Islam kita banyaknya pada orang yang sudah Islam supaya jadi "lebih sempurna" Islamnya. Dakwah untuk yang bukan Islam masih amat terhad. Saya juga bersalah dalam hal ini kerana saya juga tidak berusaha secara intensif berdakwah terbuka. Saya ikut-ikutan dan pernah pergi masuk hutan berdakwah pada orang Asli dan membantu asrama anak-anak orang Asli di Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu. Tetapi usaha itu seperti "Touch n Go" sahaja. Tidak ada keberlangsungan yang bermunafaat berkekalan.

Memandangkan orang-orang Melayu Islam seperti masih belum betul-betul kuat maka  keturunan Cina yang tidak mengenali Islam akan mempersoalkan banyak hal tentang keadilan ke atas penganut agama lain. Ada agak ramai di luar sana yang menganggap Melayu mengambil sikap senang lenang kerana dasar kerajaan membela Melayu dan Melayu dibuai impian yang tidak terhenti hingga hari ini dan apabila Kerajaan PH memerintah  ramai Melayu tidak puas hati kerana PH tidak tegas dengan DAP. Katanya Malaysia adalah hak orang Melayu yang tidak boleh dipertikai dan tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa pun.

Saya sebenarnya suka  menegur diri sendiri apabila berbicara tentang kekuatan DAP dan kekuasaan Melayu.
Saya melihat dalam konteks yang lebih besar. Saya suka melihat perilaku manusia sejagat yang serupa walau pun tidak sama. Contohnya seperti di bawah ini. Mari kita lihat sekali imbas fenomena-fenomena ini dan ada kemungkinan kita akan nampak sesuatu yang dahulu menjadi "Blind spot" dalam pemikiran kita.Dalam perselisihan Melayu dan keturunan asing di Malaysia, ada "Blind Spot" yang tidak pernah disedari. (Nanti kita cerita hal ini dilain masa, insyaAllah)
Apa yang saya perhatikan ialah soal sikap dan hala tuju kehidupan dunia. Manusia mementingkan keselesaan dan keseronokan hidup yang berjangka pendeka dan tidak mahu menerima hakikat bahawa apa yang kita ada hari ini belum tahu berpanjangan hingga esuk. Antaranya........
  • Mengapakah Arab Saudi "bersahabat kuat" dengan Amerika Syarikat dan Israel.
  • Mengapakah  Arab Saudi dan lain-lain negara Islam yang besar tidak ambil peduli secara terbuka ke atas "nasib" orang-orang Islam di bawah  Pemerintahan kerajaan Republik Rakyat Cina, terutamanya kaum Urghurs. 
  • Suatu masa dahulu Serbia menzalimi Bosnia. Siapa yang benar-benar membela?
  • Sekarang kita juga tahu Arab Saudi tidak suka pada negara Qatar. Ia lebih suka pada negara Mesir.. Sekarang ini tidak ada negara Arab yang kuat yang terang-terangan menolong Palestine.
  • (Saya tidak mahu sentuh masaalah di Syria dan Yamen)
  • Dan lain-lain.......
Apa yang saya catat diatas ini hanya sebagai mencetus fikiran bahawa manusia sejagat amat berbeza pendapat mengenai banyak hal. Dan ada beberapa individu yang membuat kajian mengenai mengapa sesebuah negara bersikap seperti tidak membela Islam. Dalam lain konteks seperti di Malaysia dikatakan Pemerintah  tidak membela sesetengah kaum. Lihat pula apa yang berlaku di Burma. Ini sudah mencukupi untuk kita berfikiran luas tentang apa yang sebenarnya berlaku di dunia sekarang ini. Kita hanya melihat simptom tetapi tidak melihat sabab-musabab manusia bersifat zalim, rakus, bermegah kerana harta dan keturunan dan berbagai-bagai lagi. AlQuran pun telah memberi contoh jenis manusia seperti itu.....Firaun dan  Qarun. Tiada siapa di dunia sekarang ini yang boleh melebihi mereka. Firaun sombong bongkak dan mengaku dirinya Tuhan dan Qarun bermegah-megah  kerana hartanya yang terhimpun banyaknya hingga tidak terkira.

Dalam konteks ini di mana kita rakyat Malaysia. Silap-silap fikir dan silap-silap nilai ada yang jadi semacam Firaun dan ada yang jadi semacam Qarun. Maka bertelagahlah kita........
Berat fikiran saya ini....maaf kalau saya tersasar fikir.

Allah sudah maha mengetahui sifat semua jenis manusia. Lihat apa kata alQuram. Allah telah "meniup"  dalam setiap ruh sebelum lahir ke dunia untuk mengenal siapa yang maha Pencipta dan siapa yang maha Berkuasa.


A172
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".


Segala kemelut dunia, di mana jua di dunia, adalah kerana kita lupa syahadah kita, lupa perjanjian yang amt besar itu.......semua manusia menjadi seperti "hilang aqal dan hilang pehitungan" lupa hakikat diri sebenarnya........
Maka wujudlah orang-orang yang seperti Firaun dan seperti Qarun yang melihat orang lain tidak berguna dan tidak harus wujud di dunia sama sekali.
Tetapi ada yang terpelihara dari kesombongan dan keangkuhan ini. Lihat dalam sejarah kemanusiaan. Lihat siapa yang diiktiraf Pemimpin teragung di dunia dahulu dan sekarang dan selamanya.Belum boleh dikira pintar dan bijak dan hebat seseorang itu kalau belum kenal dan belum mengiktiraf dan belum mengikuti jejak langkahnya.


Maka usaha kita walau kecil sekali pun harus menumpu pada meyedarkan sekurang-kurangnya kita di Malaysia untuk menerima hakikat ini. Inilah ILMU YANG BENAR. Jika usaha kearah ini dapat dirasai dan ramai yang akan memeriksa diri, saya percaya kita tidak akan jadi seperti ini. Akan ada toleransi akan ada goodwill untuk hidup bersama secara aman.

Bagi mereka yang sudah sedar tidaklah patut jika mendabik diri dan tidak mahu berbuat apa yang Pemimpin Agong Islam Nabi MUhammad saw lakukan. Saya percaya adalah tanggongjawab setiap Muslim Mukmin untuk mencontohi Baginda sepenuhnya. Sekurang-kurang mencuba sedaya upayanya.



Dan sebagai penutup bicara kecil ini saya terpnggil untuk bertanya siapakah  yang harus membuat perubahan ini. Kerajaan yang terpilih di Putrajaya atau Siapa?.........
Pada saya jawapannya terletak pada setiap individu kerana setiap individu akan dipersoalkan ketika berada di hadapan yang maha Pencipta di hari AKHIR di mana setiap kita tidak bolih berlepas diri.

Semoga Allah menunjuki jalan dan tidak membiarkan manusia yang pelupa ini terus menerus bertindak mengikut rasa hati semata-mata......
Smoga manusia kembali pada Fitrah dan kembali pada Syahadah bahawa Allah adalah Rabb yang sebenarnya.

Allahu'alam.....


...................

No comments:

Related Posts with Thumbnails