"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Tuesday, May 28, 2019
Umur senja....@ Akhir Ramadhan.
Alhamdulillah, Allah sampaikan juga Ramadhan ke hari 23 kini. Cuma hati sarat dengan penyesalan diri.....
Kederat sudah amat berkurangan dan keinganan untuk pulun seperti yang disarankan oleh ustaz-ustaz tidaklah dapat berkekalan.
Di awal Ramadhan seakan kuat dan bersemangat. Di akhir nya kini pula tenaga hampir surut kesemuanya. Ingin buat catatan sedikit di sini semoga generasi muda jangan tunggu hingga ke dewasa tua kerana masa yang berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan.
Semoga Allah mengampuni kecuaian dan semoga penyesalan tertutup jua dengan belas ikhsan yang maha Pengasih dan maha Penyayang. Itu sahaja harapan. Doa itu yang dipanjatkan tanpa putus-putus semoga allah mengampuni dan memaafkan.
Di umur senja ini Allah kurnia dapat melihat dan tinggal Putrajaya. Katanya ia lambang kejayaan Negara. Alhamdulillah. Jika muda semuanya dapat dicontohi dan diteladani. Tetapi bila musim senja hanya mampu melihat dengan penuh iri hati dan penyesalan yang tiada kesudahan.
Penduduk di Putrajaya rata-rata masih muda. Umur seperti saya yang sebaya bolih dikira. Banyak aktiviti Ramadhan diadakan tetapi kami hanya mendengari dengan perasan ingin kembali dihari silam. Bolih mengikuti mana yang terpikat dihati. Kini sudah tidak mungkin lagi.
Solat Tarawikh dan Qiamulail bukan sekejap tetapi tidak kurang dari dua jam setengah setiap sessi. Itu pun hanya lapan rakaat sahaja Tarawikh dan sebelas rakaat Tahajuud malam di surau berhampiran. Tahajuud bermula jam 2 pagi di sepulah terakhir Ramadhan ini. Tetapi Imam bertugas yang punya ketermapilan bacaan alQuran membawa makmum berdiri panjang....amat panjang buat diri yang kerdil ini. Ia seorang Arab dari Yamen yang bermastautin di perumahan ini. Seronok dihati tetapi hanya rasa insaf dan keinsafan yang mengulit diri. Berhenti seketika antara rakaat sambil memicit dan membelai lutut yang sudah hampir tiada kekuatan lagi.
Saya ketinggalan.....
Mula-mula cuba bertahan membenteng tenaga dengan semangat korban. Akhirnya tidak dapat berhadapan dengan kenyataan. Duduk sahaja dilantai. Malam tadi duduk pula di kerusi yang disediakan. Terkedu dan sedih dihati. Sudah tua rupnya diri ini......
Panjangnya bacaan qunut amat menyentuh qalbu dalaman........berat dengan penyesalan.
Indahanya bahasa dan indahnya aliran alquran dapat sedikit-sedikit difaham. Alahamdulillah Allah kurnia juga kesempatan mengaji dan belajar dari ustaz-ustaz yang sabar dengan kami yang kini mudah keletihan dan mudah lupa apa yang diajarkan. "Kepandaian dan kecerdasan aqal " sudah ditelan zaman dan hanya mampu merangkak-rangkak menghafal apa yang disaranakan ustaz yang penuh gigih menyampaiakan.
Walau amat sedikit, hanya sedikit sekali yang dapat diusahakan, hati ini tetap mendayu-dayu mohon harapan, Semoga Allah akan mengurnia habuan malam-malam Istimewa yang dihadiah kan pada hamba-hambaNya tersayang..........LailatulQadr yang lebih baik dari seribu bulan. Aamiin ya Rabb......
Wahai anak-anak dan semua yang masih muda,
Janganlah tunggu hingga Senja.
....................
Saturday, May 25, 2019
Bila pukul Ular....@ Pastikan ia mati.
Kata pepatah Melayu:
Bila pukul Ular Pastikan Ular itu Mati,
Tempat jangan lecah Dan Kayu jangan patah.
(Berbuat sesuatu biarlah sempurna dalam semua segi.
Jangan semata-mata berbuat sesuatu mengikut cita rasa
dan nafsu sahaja).
Tidak berapa lama dahulu saya dan anak perempuan serta cucu-cucu pergi ke Tambun Lost World. Antara yang menarik ialah semacam ada mini zoo dan antara yang saya lihat (walaupun sudah senja) ialah tempat mereka mempamerkan berbagai jenis ular. Saya tidak suka ular maka saya tidak ada foto jarak fokus terdekat. Di atas ialah kawasan Ular di pamerkan.Kawasan ini dekat dengan tanah bebukit. Pasti ada ular juga di situ. Menggerunkan buat saya.
Maka hari ini saya, dalam kemelut berbagai isu di negara kita, saya ingin berkongsi pendapat bagaimana kita menangani sesuatu isu yang penting atau pun yang tidak penting. Antara yang hangat diperkatakan disana sini ialah isu katanya Islam dihina, Melayu diperbodoh, Pemimpin politik dan pegawai kerajaan rasuah, belia tiada pekerjaan dan berbagai lagi. Tidak terkira banyaknya buat saya.
Ramai yang mengutarakan isu, ramai yang turut berbahas, ada yang memperaku penyelesaian, ada yang hanya menjerit-jerti panas dan ada juga yang hanya senyum dan tertawa seribu bahasa.
Menangani isu yang menjadi perhatian ramai adalah ibarat memukul ular yang datang menggangu. Kalau kita tidak sungguh-sungguh mencuba memukul dan merembatnya, Ular tidak akan mati. Samalah seperti keadaan dimana isu yang dibangkitkan tidak ada kesudahannya dan tidak ada penutupnya jika apa yang diutarakan tidak padat dengan kebenaran. Jangan guna logik semata-mata kerana yang logik tidak semestinya suatu yang benar.
Jika Ular mati tetapi kematian itu meninggalkan kesan-kesan sampingan yang membahayakan keadaan sekeliling maka matinya Ular itu menimbulkan pula masaalah yang lain. Ini buruk kesannya. Kita mesti selesai masaalah tanpa masalah.
Dan dalam menjalankan tugas ini kita harus juga pastikan alat atau teknologi yang di guna untuk membunuh Ular itu tiadk rosak hingga ke tahap ia tidak lagi boleh digunakan untuk kerja yang lain pula. Maka ini bererti usaha untuk menyelesai sesuatu masaalah itu melibatkan kos yang tinggi dan ini amat merugikan. Ini pun suatu yang tidak wajar.
Ayuh kita sesekali lihat apa yang terjadi pada sesuatu masalah yang dibangkitkan oleh satu pihak dan kemudian dikritik oleh pihak yang lain dan akhirnya pun tiada penyelesaian.
Saya tertanya-tanya diri sendiri ke mana kesudahannya semua ini. Kita tidak boleh bersikap berkecuali dan melihat sahaja sebagai by-stander. Sikap berkecuali bermaakna kita tidak cukup kepedulian mengenai sesuatu perkara atau tidak cukup komitmen dalam memperjuangkan apa yang kita fikirkan itu adalah realiti, ia itu suatu yang Benar. Sepertinya kita rasa sudah senang, maka apa perlunya kita bersusah payah bersama-sama orang lain yang tiada kaitan dengan kita sedikit pun dalam menyelesaikan sesuatu masaalah yang wujud dalam masyarakat.
Maka dalam hal ini saya ingin mecelah sedikit pendapat yang terbuku dipemikiran saya. Saya berpendapat jika kita mahu memperkatakan sesuatu itu, kita fikir dahulu masak-masak hingga kita betul-betul yakin apa sebenarnya masaalah yang wujud yang menyebabkan kita mahu bangkit berhujah dan mengatakan bahawa ada pihak yang tidak bertanggong jawab atau tidak berintergriti dalam usaha menyelesaikan isu yang ada. Jika kita tidak yakin maka berhati-hatilah. Dalam apa keadaan sekalipun, tutur kata kita harus beralas dan mengunakan bahasa yang tidak menyakitkan hati orang yang membaca atau mendengari fakta yang kita ketengahkan. Dengan cara ini kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang suka mencari salah orang lain sahaja dan mengaanggap dirinya dan pendapatnya itu perfect dan sempurna. Salah-salah hemat ia boleh ditafsir sebagai hasutan semata-mata.
Hendalkah kita sentiasa ingat bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan dan tidak pernah kemarau panjang. Dan jika kita bertubi-tubi mengkritik kepimpinan Malaysia baharu ini, ingatlah juga bahawa "Rome was not built in a day".
Sama-sama kita fikir-fikir dan dalam malam 10 akhir Ramadhan ini sama-sama lah kita panjatkan doa kehadrat Allah swt semoga negara kita membangun dalam suasana yang aman damai. Sampai di sini sahaja sedikit coretan minda yang mungkin juga tidak sempurna dan jelas. Hingga lain kali.....salam Ramadhan Kareem dan semoga Allah kurnia Malam Lailatul Qadar, malam Istimewa yang lebih baik dari 1000 bulan.
Aamiin ya Rabb.....
........................
Tuesday, May 21, 2019
Dua yang sama tetapi tidak serupa...
Kebelakangan ini saya suka membaca hal-hal yang berkaitan dengan ADHD
Ia itu Attention Deficient Hyperactive Disorder.
Apa yang saya ikuti ialah bagaimana dewasa yang lahir denagn ADHD
mengurus diri dalam kerjaya mereka. Ramai juga diantara mereka yang
tidak didiagnose ADHD semasa umur 3 atau 4 tahun dan mereka hanya tahu
mereka ADHD bila dewasa kerana mendapat teguran atau mendapat perhatian simpati dari teman sekerja dan penyelia mereka. Maka mereka merujuk kepada pihak yang professional
dan pakar dalam bidang ini untuk mendapat nasihat dan mendapat cadangan
yang membina untuk mengurus kerjaya mereka.
Saya rasa terbuka merentasi hidup bersama mereka yang bermasaalah,
dalam bentuk apa sekali pun. Alhamdulillah.
Saya selalunya tergerak hati mengikuti apa itu ADHD dan Otisma kerana
dua orang cucu saya dilahirkan sedemikian. Tetapi kami hanya dapat pengesahan oleh
doktor semasa mereka berumur lebih kurang 5/6 tahun. Tidak mengapa.
Saya meyakinkan diri bahawa
tidak ada ciptaan Allah itu yang bathil atau sia-sia.
Antara ayat alQuran sebagai panduan ialah seperti dibawah.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
Kedua-dua cucu saya sangat aktif tetapi punya kelaianan yang membuat saya suka memerhati dan berfikir-fikir akan kebesaran Allah. Kedua-duanya sukar memfokus ke sesuatu tugasan. Semasa mereka minat ketika itu,
tidaklah jadi masaalah.
Tetapi bila perhatian mereka tertarik pada yang lainnya
maka ia akan tinggalkan apa yang dibuatnya dahulu.
Dan jika diingatkan sekali pun susah bagi mereka mahu kembali
dan mematuhi kehendak kita.
Cucu yang Otisma itu ada keistimewaan sendiri kerana dia tergolong dibawah "high functioning Autism". Dari kecil lagi dia fasih berbahasa Inggeris sperti yang
formal di TV dengan dengan telo American.
Bukan kami mengajarnya.
Dengan sendirinya dia dapat dari menonton tv,
comics dan documentaries.
Dia tidak minat bercakap berbahasa Melayu. Itu yang mernjadi masaalah. Tetapi dia rajin membaca. Pada saya minatnya luarbiasa. Dia suka hal-hal sains dan teknologi. Saya sendiri tidak terikut melayan berbual dan bercerita dengannya.
Anak saya tidak mampu mahu menghantarnya ke Institusi swasta yang
khas bagi anak sepertinya supaya bolih diajar atau dibimbing
kesuatu arah yang lebih menjamin hidup masa depannya. Anak saya mengatakan untuk seorang yuran pengajian untuk sebulan hampir rm2,000/-
Pasti sulit bagi anak saya yang punya 6 orang anak kesemuanya.
Saya sekarang ini berangan-angan untuk membantunya
kerana saya pun bukan ada kemampuan yang luar biasa.
Semoga Allah turunkan pertolongan dan insyaAllah tahun hadapan
saya ingat saya akan cuba.
Saya tedorong setelah membaca maklumqat yang katanya
mereka yang berikut ini dipercayaai tergolong sebagai
"High Functioning Autism" yang berjaya dalam kerjaya mereka.
Antaranya ialah :
Robin Williams, Thomas Jefferson, Abraham Lincoln. Mozart,
Albert Einstein dan Bill gates.
Belum cuba belum tahu.
Ya Allah....mudahkan bagi kami untuk cucu-cucu kami dan
mudahkanlah bagi semua yang sepertinya. Semoga mereka menjadi
dewasa yang cemerlang dan soleh dan dapat menyumbang
pada menegakan Kebenaran Allah swt.
Aamiin ya Rabb....
......................
Sunday, May 19, 2019
Dimana nak cari teman.....@ yang lama menghilang........
Alhamdulillah jumpa kawan lama.
Lucu sekali......
Setelah berpelukan kami duduk "sembang" seketika. Kami berkawan sejak bekerja lagi. Kini kami sudah mencapai "warga Emas". Tetapi dia 4 tahun muda pada saya.
Sebelum bersara dia menghilang lama. Rupanya dia diposting ke Washington dc USA. kemudian bekerja sendirian pula selama beberapa tahun di sana.
Lucu kerana kata nya pada kekawan: Klau kita nak jumpa kawan lama yang sebaya carilah di Majlis kenduri kahwin, di Majlis Ilmu Masjid dan lebih selalu akan bertemu di HOSPITAL.
Ia betul. Dua kali kebelakangan ini kami terjumpa di Hospital.
Benar katanya itu.....
Di umur senja ini memnag lebih selalu di Hospital dan pasti akan terserempak jika kita tidak hanya tunduk bila berjalan dari satu tempat ke satu tempat di hospital itu.
Saya memang berjumpa dengan kekawan lain di hospital juga.
Kini tidak lagi berjumpa di Shopping Mall atau tempat yang serupa dengnnya.
Itu sahaj catatan yang lucu buat saya.........
Semoga dapat bertemu lagi........Di Jannatul Firadus akhirnya dengan Rahmat Allah yang tidak terhingga. Aaminn ya Rabb......
..........
Saturday, May 18, 2019
May 12, is my Birthday......@ Iftar bersama cucu-cucu.
Alhamdulillah Allah kurnia menemui ulamg tahun kelahiran yang ke 72 pada 12 Mei 2019. Ini bersaan 74 tahun Hijriah dikira dengan peredaran bulan. Saya sering ingatkan anak-anak fakta akan ini semoga menyedari bahawa proses menua itu amat cepat sekali, terutama dirasakan selepas bersara dan selepas segala kekurang berlaku pada kesihatan fisikal yang makin hari makin menunjukan bahawa penghujung jalan makin hampir.
Pada malam itu anak-anak datang untuk berbuka puasa bersama. Setiap anak membawa juadah untuk dikongsikan. (A family that eats together stays together ).
Tiada hidangan luar biasa. Cuma kami memohon barakah bulan Ramadhan.
Kami foto untuk kenangan. Ini anak saya bertudung hitam dan dibelakang saya ialah menantu.
Malam itu besan saya (bertudung hijau) dari Kedah datang ziarah dan Iftar kami bertambah meriah.
Hidangan kami biasa-biasa sahaja menyantuni semangat Ramadhan untuk
berempathi dengan yang kurang berkemampuan.
Cucu-cucu makan berasinagn di bilik sebelah kerana meja makan tidak
mencukupi. Ada yang berpuasa ada yang tidak.
Saya sendiri berfahaman bahawa anak-anak yang belum baligh tidak perlu
dipaksa berpuasa. Kitab latih mengikut keadaan dan kemmampuan
anak-anak kecil itu.
mencukupi. Ada yang berpuasa ada yang tidak.
Saya sendiri berfahaman bahawa anak-anak yang belum baligh tidak perlu
dipaksa berpuasa. Kitab latih mengikut keadaan dan kemmampuan
anak-anak kecil itu.
Selepas solat Tarawikh yang diImamkan oleh anak menantu lelaki saya,
kami berfoto dengan cucu-cucu dari anak perempuan saya.
Kesemuanya 6 orang lelaki. Amat mencabar cuba mendidik mereka waktu ini,
Alhamdulillah walaupun ada ujian pergaduhan atau guruan yang membawa luka, semuanya dapat diselesaikan penuh hikmah.
Ini suami saya pada malam itu dengan kedua-dua anak lelaki saya.
Kami hargai detik-detik mengeratkan hubungan kasih sayang seperti ini. Semoga berkekalan.
Alhamdulillah, dan kami berdoa semoga mendapat keampunan dan perlindungan kasih sayang yang maha Pencipta hingga keakhir hayat.
................................
Thursday, May 16, 2019
Yang miskin pun wajib.....@ Rahsia Puasa Ramadhan.
Foto Ehsan carian Google.
Alhamdulillah, Allah beri peluang saya mencatatat sedikit apa yang saya rasa
dihati menjalani Ramadhan kali ini, 1440 Hijriah.
dihati menjalani Ramadhan kali ini, 1440 Hijriah.
Seorang penceramah luar negara berbahasa Inggeris dimedia massa bertanyakan
apa sebenarnya Rahsia berpuasa.
Ada yang mengatakan bahawa antara tujuannya
ialah untuk sama-sama merasai dan memahami penderitaan
orang-orang Islam yang dhaif dan miskin.Ustaz-ustaz Malaysia pun
ada mengatakan begitu.
Ustaz ini kemudian bertanya pula jika itu sabab-musabab berpuasa yang
penting mengapa pula orang miskin pun diwajibkan berpuasa.
Dia hendak merasakan kelaparan bagaimana lagi?
Maka jika kita fikir semula pasti ada sebab yang lebih penting.
Tersentak fikiran saya sejenak kerana selama ini pun saya merasakan
bersimpati dan berempathi dengan orang miskin itu suatu yang amat dituntut.
Maka itulah antara point untuk motivasi berpuasa.
Rupanya ada tujuan yang lebih besar dari itu.
Maka Ustaz itu berkata bahawa tujuan besar kita berpuasa ialah untuk
sebenar-benarnya beriman dengan Allah dan dengan ibadah puasa kita
sungguh-sungguh bermohon semoga Allah mengiktiraf kita
sebagai hambanya yang sejati. Kita mahu menghampirkan diri pada Allah.
Dengan lain perkataan, semoga Allah kurnia atas kita Iman dan Taqwa
dengan darjat yang tertinggi.
Ini fahaman saya dari ceramah ringkas ustaz tersebut.
Maka saya lihat semula ayat alQuran yang membawa perintah kita berpuasa.
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah 2:183)
(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
(Al-Baqarah 2:184) |Berpuasa adalah Ibadah yang luar biasa untuk menjadikan manusia insaf
dengan sebebar-benar keinsafan bahawa kita adalah makhluk dan Allah itu lah yang maha Pencipta
dan maha Menentukan dan maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Darjat orang yang bepuasa hanya Allah yang maha mengetahinya.
Puasa adalah ibadah yang amat istimewa.
Sebab itu orang Miskin pun Allah wajibkan berpuasa.
Fakta ini membuat saya mengimbas semula sejarah hiduup saya.
Saya adalah keturunan pendatang dari Tanah Jawa dipermulan tahun 1900an.
Kakak-kakak saya selalu bercerita kami hidup miskin dan rumah kami dibuat
dari kayu yang diambil dihutan. Lantainya batang-batang pinang.
Saya anak bongsu dan tidak pernah merasai tinggal di rumah seperti apa yang
diceritakan oleh kakak-kakak saya yang jauh lebih tua dari saya.
Saya yang bongsu dari lapan adik beradik.
Ingatan saya semasa kecil rumah kami sudah dibuat dari papan
walaupun lantainya ada yang masih tanah biasa..
Maka saya terbayangkan rumah saya ada mirip rumah yang
seperti foto dari carian Google di atas.
Agaknya lebih kurang begitu. Rasa sayu mengingatinya.
Kini saya sudah sampai umur warga emas yang tua. Sudah 72 tahun. Dan Kini dengan ehsan saudara dari sebelah suami saya, kami tinggal di Putrajaya seperti rumah di foto di bawah ini.
Maka saya cuba pakukan pada hati saya bahawa
yang disebut dalam ayat-ayat alQuran diatas. Ada ayat-ayat lain dan ada hadith-hadith
yang menuntut kita beriman dan bertaqwa seperti yang di contohkan oleh
sahabat-sahabat Rasulullah saw. Saya tidak mampu mencatat di sini dan
hanya mengingat semula pesanan Ustaz bahawa puasa itu
bukan setakat lapar dan dahaga sahaja.
Semoga kita semua mendapat Taufik dan Hidayat dari Allah swt bagaimana
membina diri, minda dan Ruh.
Ruh yang terpenting kerana itu yang akan menghadap Allah
di hari dimana tiada pertolongan sesiapa pun.
Kita seorang diri. Harta anak dan lain-lain kemewahan adalah hiasan hidup.
Dan hiasan hidup akan reput dan tidak kekal.
Semoga Ramadhan kali ini dapat meningkatkan kita ke taraf yang
Allah pilih terbaik dan termulia buat kita di sisiNYA.
Aamiin ya Rabb......
.............................
Sunday, May 12, 2019
Bersyukur, walau sedikit......@ Jangan jadi Qarun.
Alhamdulillah hari ini Allah kurnia kesihatan yang mencukupi.
Saya mengulang ingat apa Ustaz pesan mengenai berkerja
kuat menambah rezki. Jangan mencari kekayaan
semata-mata mengikut nafsu.
Katanya janganlah kita berkerja hingga lupa
bahawa hidup ini sementara.
Allah sudah cukupkan keperluan kita. Cuma kita semestinya
berusaha. Jangan ambil mudah.
Semua yang kita ada datangnya dari Allah.
Kemelut hari ini di Malaysia adalah kerana rakyat sibuk
mencari kekayaan dan ramai yang lupa daratan.
Senario yang agak tegang dalam politik dan dalam apa jua
yang berkaitan dengannya pada hari ini
adalah kerana kita lupa fakta bahawa Allah maha Melihat,
maha Mengurnia dan Allah maha Menentukan dan
maha Berkuasa atas segala-galanya.
Maka semua yang kita lakukan seharusnya
menepati ruang lingkup Tauhid
dan hukum-hakam yang telah ditentukan dalam
alQuran dan Hadith.
Allah telah berjanji: Jika kita bersyukur Allah
akan tambah lagi nikmatNYA.
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Janganlah kita menjadi sombong dan lupa daratan seperti QARUN
yang Allah sebut dalam alQuran.
Saya katakan pada anak-anak janganlah kita gila-gila
mencari harta hinggakan "membujur lalu melintang patah".
Tidak ada manusia yang bolih menandingi Qarun
dalam mengumpul harta.
Tetapi Allah tidak Redha padanya.
Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
(Al-Qasas 28:78) |
Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik".
(Al-Qasas 28:79) |
Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar".
(Al-Qasas 28:80) |
Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah" dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.
Lihat kesudahan Qarun.
Maka dalam suasana Ramadhan yang penuh
barakah ini kita mohon keampunan
semoga kita tidak melampaui batas dalam semua
usaha kita untuk mencari kesenangan dalam
hidup didunia yang sementara ini.
..........
Friday, May 10, 2019
TAHNIAH.....Pemerintahan Malaysia Baharu. Alhamdulillah.
Alhamdulillah. Saya mendengari Ucapan YAB Tun Dr Mahathir Muhammad, Perdana Menteri Malaysia di Utube dan saya membaca Blog "The Scribe A Kadir Jasin" pagi ini.
Saya Ucap Tahniah atas usaha yang telah dijalankan dan yang sedang dalam perancangan. Saya pernah berkerja di Perkhidmatan Awam dari tahun 1972 hingga 2003 dan memahami kerumitan mentadbir urus sesebuah negara.
Kejayaannya belum cermerlang tetapi Usahanya sudah bolih dikira amat memuaskan.
Walau pun sedikit, saya bersyukur kerana ada usaha untuk membetulkan Negara.
Sememangnya ada kelemahan tetapi itu lumrah dalam keadaan yang amat sukar dan amat sulit.
Semoga Tun Mahathir terus sihat dan berkeupayaan dan di kurnia Allah SWT Iman dan Taqwa serta Taufik dan HidayahNya yang tidak terhingga untuk memakmurkan negara demi Rakyat Malaysia kerana Allah jua.
..........................
John F Kennedy :
My fellow Americans, ask not what your country can do for you, But ask what you can do for your country.
................................
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.
(Ar-Ra'd 13:11) ....................
Wednesday, May 8, 2019
Rasa macam jadi "mangsa" di pertemuan sebentar @ Ramadhan.
Alhamdulillah. Saya dapat menemani suami ke Institut Jantung Negara (IJN) kelmarin untuk pemeriksaan rutin baginya. Kami tiba jam 9 pagi setelah mengharung kesesakan jalan raya. Suatu yang lumrah sekarang ini.......
Proses di IJN dan dimana jua Hospital kerajaan yang saya pergi, ia akan megambil masa paling cepat ialah 2 jam. Alhamdulillah masih Allah temukan dengan doktor. Disetengah-setengah negara lain amat sukar mendapat perkhidmatan perubatan. Walaupun di Malaysia ia bolih dipertingkatkan, kita kenalah bersabar dan bersyukur ......
Saya ingin cerita sedikit apa yang berlaku sementara kami duduk menunggu giliran bertemu Doktor. Kelmarin tempat duduk menanti agak terhad. Maka saya duduk berasingan dari suami. Di tepi kanan saya duduk seorang lelaki pertengahan 50an umurnya saya jangka. Mudah dia menyapa saya. Mula-mula pertanyaan biasa dari mana, dulu kerja apa dan sepertinya. Saya melayan jangan tidak kerana kononnya mahu senyap-senyap "berzikir" terdorong ingatan ini bulan Ramadhan.
Tetapi soalan berikutnya mencabar fokus saya......
Dia mula bertanya bermacam-macam dan komen berbagai mengenai sistem pendidikan Malaysia vis-a-vis tidak ramai guru yang bukan Islam. Katanya walaupun guru bukan Islam, katanya bila guru masuk murid-murid memberi salam juga. Agaknya itulah sebabnya tidak ramai bangsa lain yang mahu masuk sekolah kebangsaan, katanya.
Saya dengari sahaja dulu dan memberi ia peluang menyentuh berbagai fakta lain yang lebih mencabar fikiran dan ketenangan saya. Sebelum itu ia mengatakan ia duduk di kawasan ramai Melayu dan menghadiri sekolah kebangsaan. Dia fasih mengucap dua kalimah syahadah dan lain-lain fakta mengenai Islam yang diajarkan sepanjang persekolahannya hingga mendapat sijil SPM.
Di sini saya bertanya apa Agamanya kerana saya tidak bertantyakan namanya.
Hindu, katanya.
Mengapa Hindu kalau sudah tahu banyak fakta Islam.
Sebab saya ikut datuk moyang saya.
Saya tidak akan berubah.
Dan dia terus sahaja menyentuh pengharaman makan babi dan minuman arak. Katanya ramai orang Islam sendiri tidak faham mengapa ia diharamkan.
Saya tidak berniat merakamkan semua apa yang kami bicarakan mengenai Islam dan Hindu. Cuma saya ingin katakan bahawa dalam kerangka kerajaan Malaysia Baru ini saya dapati sudah agak ramai yang BERANI mempersoalkan dasar-sdasar Islam kepada orang Islam.
Sebelum ini pun saya sudah mendengari banyak hal seperti ini di Utube dimana saya selalu mengikuti apa yang diperkatakan oleh ramai pihak mengenai Islam, Kristian, Yahudi dan hal-hal lain yang berkaitan dengan akhir zaman termasuk hal-hal Imam Mahadi (antiChrist) dan berbagai-faktor lain yang meliputi hal-hal The New Worlad Order yang di sebut dan dibicarakan oleh berbagai pihak di dunia ini.
Isunya ialah saya sekarang berdepan dengan seorang Hindu yang berani komplain beberapa hal mengenai dasar perlaksanaan Dasar pendidikan Islam di Sekolah dan mengatakan bahawa ramai orang Islam di Malaysia ini yang tidak tahu mengenai Islam pun.
Tidak tahu mengucap pun, katanya. Panas juga telinga saya. Tetapi sejak bersara saya semakin menghyati apa itu erti berilmu dan apa itu kesabaran menghadapi apa jua keadaan. Alhamdulilah. Oleh kerana ini bukan masanya dan bukan tempatnya untuk bicara dan "berdakwah" panjang lebar maka saya membuat penerangan yang saya fikirkan terpenting: Saya katakan padanya:
- Jangan cuba memahami Islam menerusi mereka yang beragama Islam. Ia boleh mengelirukan.
- Pelajarilah terus AlQuran dan Hadith dari mereka yang Ahli dalam perkara ini.
- Jangan kita cuba melihat Islam dari "ekornya". Kita belajar Islam dari Kepalanya. Ia itu mula-mula kita harus tahu mengapa kita berada didunia ini dan siapa PENCIPTA kita. Dari sinilah kita akan faham siapa TUHAN.
Beberapa minit sahaja selepas saya katakan itu, nombor gilirannya dipanggil. Dia hilang dalam ramainya pesakit yang ada.
Seorang Wanita Melayu dalam umur 50an di hadapan saya senyum pada saya dan dia rasa kita jangan layan orang seperti itu. Saya senyum kembali.
Saya sudah berlajar dengan seorang teman akrab bahawa kita cuba "dakwah" dimana jua kita berada mengikut kemampuan dan kesesuain. Oleh kerana semangat Ramadhan "berkobar-kobar" maka saya besabar dan cuba sebaik mungkin. Alhamdulillah saya pernah mengikuti kurus di University Islam antarabangsa 40 tahun yang lalu dan antaranya adalah mengenai "Comparative Religion" maka saya tidak langsung rasa marah atau kecewa berhadapan dengan kes seperi yang saya cerita di atas tadi. Saya cuma kongsikan kerana benarlah kata sesetengah orang di Malaysia ini kini sudah ramai yang mula berani mempersoal hal-hal dasar negara.
Saya Pasti pihak Pemerintah sekarang tahu mengenai hal ini dan saya pasti ia sedang berbuat apa yang sewajarnya supaya Malaysia maju dalam keselamatan dan kemakmuran yang terjamin dan semua Rakyat hidup aman damai. Aamiin.....
Itu sahaja coretan dalam masa yang terhad. Semoga Allah sentiasa memberi Taufik dan HidayahNya pada semua kita. Salam Ramadhan Kareem........
..........
Subscribe to:
Posts (Atom)