"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Sunday, May 5, 2019
Dakwah kepada teteman sedari sekolah.... vis-a-vis Perhimpunan Ummah.....
Alhamdulillah. Allah kurnia masa untuk tulis sedikit sebelum mula berpuasa Ramadhan esuk hari, insya Allah. Hari-hari berpuasa mungkin masa menjadi amat terhad.
Saya ingin catat sedikit fikiran saya mengenai tugas umat Islam dalam mendaulatkan Islam sebagai Agama Rasmi di negara kita.
Siapa pun jua akan rasa sensitif mengenai kepercayaan hatinya atau hal-hal beragama. Saya masih rasa usaha saya untuk mengembang Islam di Malaysia ini masih jauh tertinggal dibelakang. Dakwah adalah juga tugas individu dan bukan tugas Pemerintah semata-mata.
Dahulu saya pernah sebut dalam entry saya (tak ingat tarikh) mengenai percubaan saya untuk menarik minat kekawan sekolah dari tahun 1960an lagi supaya memberi peluang untuk berfikiran terbuka dan mendengari jemputan saya mengenal Islam.
Di atas ini adalah antara kekawan saya yang masih ada dan saya masih berhubungan. Sesekali kami bertemu, makan-makan dan bual-bual menenai berbagai isu. Tetapi tidak pernah mengenai agama. Saya cuba menerusi group whatsapp tetapi belum berjaya hingga kini. Tetapi walau apa pun semoga saya lebih tabah dan tidak berputus asa. Semuanya Allah yang punya kuasa mutlaq. Kita cuma usaha.
Sehubungan dengan ini saya melihat di Utube kelmarin mengenai kisah perhimpunan Pertahan Kedaulatan Islam. Saya termenung beberapa ketika melihatnya. Ada rasa kebingungan sedikit. Minda dan hati saya cuba memahami apa yang tersurat dan apa yang tersirat. Senyap-senyap saya berfikir sendirian.
Saya setuju pada dasarnya bahawa kita harus menegakan Kebenaran Islam. Tetapi pada firasat saya ada beberapa hal yang belum tuntas difikirkan dan belum tuntas diperbincangkan antara pihak-pihak yang berkepentingan tetapi kita sudah "tunjuk perasaan" seolah-olah Islam di Malaysia kedudukannya sangat-sangat terancam. Saya takut ramai orang menjadi keliru dan jika demikian mungkin keselamatan negara bolih terjejas.
Mungkin benar pendapat mereka yang berarak beramai-ramai hari semalam. Saya tidak mahu berhujah lanjut kerana takut menjadi Isu Politik dalam blog saya, walhal saya tidak minat politik dalam bentuk itu.
Saya hanya ingin bertanya setiap mereka yang sayangkan Islam samaada sudah bermati-matian mencari ilmu yang benar dan beramal dengannya seperti yang dituntut dalam alQuran dan Hadith sebelum kita berkobar-kobar secara luaran untuk melontarkan perasan hati dan fikiran minda.
Saya belum dan saya salute mereka yang sudah. Syabas.........
Saya khuatir sesetengah mereka mengambil bahagian secara ikut-ikutan kerana merasa terpengaruh dengan mereka yang pandai berpidato walaupun faktanya kurang tepat. WaAllahu'alam. Ini cetusan fikiran saya sahaja.
Saya nilai diri saya sendiri sejauh mana saya sudah komited untuk menjadi Muslim Mukmin yang sebenar-benarnya. Saya belum..... maka saya rasa takut untuk menuduh orang lain, termasuk Pemerintah, bahawa mereka sudah kecundang dalam usaha untuk mempertahankan maruah Islam di negara ini.
Saya berdakwah santai pada anak-anak dan anak-anak buah untuk solat jemaah di Masjid sekurang-kurangnya Isyak dan Subuh pun saya belum berjaya. Maka saya rasa insaf bahawa kekuatan Islam terlebih dahulu bergantung pada Individu yang berkomitmen tinggi. Allah pun akan menolong individu atau kumpulan yang benar-benar TAAT padaNYA. Dari pengalaman saya masjid masih berkeadaan lengang. Subuh pun begitu. Ini pemerhatian saya secara rambang. Harap-harap saya sudah ketinggalan masa.
Katanya masjid kini sudah makmur dengan jemaah yang ramai melaksana berbagai program dan menolong kumpulan asnaf yang amat memerlukan. Semasa yang bekerja dahulu surau-surau kecil sahaja saiznya dan ketua-ketua Jabatan tidak turun solat berjemaah waktu Zohor. Dalam hal ini saya juga berharap saya sudah ketinggalan zaman. Katanya sekarang sudah tidak begitu. Masjid surau sudah hampir penuh bila-bila waktu pun.
Saya amat bersyukur jika ini benar.......
Saya tidaklah mengatakan bahawa ini aras tanda yang mutlak. Saya cuma ambil contoh yang mudah sambil membuat pemerhatian pada ahli keluarga saya sendiri dan keluarga besar saya yang masih belum cukup kuat. Kalau individu tidak kuat, bagaimana kita mahu kuat dengan tiba-tiba sebagai kumpulan. Sejarah Rasullah saw telah membuktikan bahawa qualiti adalah lebih penting dari quantiti. Selama 13 tahun Rasulullah membina pengikut-pengikut Islam dan dalam 10 tahun berikutnya, Islam dapat memerintah sebahagian besar dunia. Ahli-ahlinya kuat dari segi fisikal dan kuat dari segi Ruh. Kalau kita kuat dari segi fisikal tetapi Ruh kita gersang maka saya rasa pertolongan Allah masih jauh.
Mari kita sama-sama kuatkan diri. Kita kuat maka negara akan kuat. Sebab ada banyak perkara yang kita bolih buat tanpa bergantung pada Pemerintah. Dalam sejarah Islam, rakyat mencari jalan membantu Pemerintah, maka Pemerintah bolih bertindak sewajarnya. Ada hubungan istimewa antara Pemerintah dan Rakyat dan jalinan inilah yang mengeratkan kekuatan Ummah. Janganlah kita hanya komplain itu dan ini tetapi secara peribadi kita tidak bertindak suatu pun untuk memperkuat diri dari semua segi terutamanya Iman dan Taqwa.
Sehubungan dengan ini juga izinkan saya sebut sedikit tentang peranan kita mengambil hati rakyat yang bukan Islam supaya hormat pada Islam. Rasulullah saw tidak pernah menghina mereka yang bukan Islam. Ajaran Islam amat nyata dan jika kita buka dan baca sumber-sumber yang benar kita akan dapat mencontohi bagaimana Rasulullah saw dapat menawan hati dan jiwa mereka yang belum Islam untuk menjadi pemeluk Islam. Dengari cerita- cerita Rasulullah saw yang kita boleh contohi dan santuni. Insya Allah jika kita ikhlas dalam perjuangan, (semata-mata kerana Allah), Allah akan turunkan pertolongan dan insya Allah kita akan mencapai kejayaan walaupun proses hingga ke pringkat jaya itu amat sulit dan sukar.
Setakat ini sahaja kemampuan saya berbicara mengenai perkara di atas. Maaf atas kekurangan dan kesilapan dan saya terbuka pada tegoran dan ingatan. Semoga aqal yang Allah kurnia buat saya dapat
memberi penjelasan apabila ditanya di hadapan Mahkamah Agong di akhirat nanti.
Mohon keampunan Mu ya Rabb..... mohon pertolongan Mu ya Rahman ya Rahim. Pada Mu sahaja kami berserah diri dan pada Mu sahaja Pengabdian yang sejati.
............................
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment