"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, March 7, 2013

Kita sering diingatkan.....



Renungan Untuk Esuk, Hari Jumaat.



A039
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.
(Maryam 19:39)  
 
A040
Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.
(Maryam 19:40) 

P.S: Kata Ustaz orang yang menyesali diri termasuk juga orang-orang yang Allah kurnia berbagai-bagai kenikmatan yang melimpah ruah tetapi tidak memunafaatkan sepenuhnya untuk diri dan untuk orang lain. Mithalnya; Allah kurnia kita bnyak masa tetapi kita tidak menggunakan masa untuk beramal atau membantu orang lain yang memerlukan pertolongan. Allah kurnia ilmu tetapi kita lalai dan hanya buat sesuatu untuk kepentingan diri sahaja.

Maka ustaz kata berwaspadalah. Jangan kita menyesal kerana tidak mengoptimakan kemampuan yang ada pada diri, sama ada untuk diri atau untuk maslahah umum.
 
Kami mohon keampunan mu, Ya Rabb.

.....
 


Monday, March 4, 2013

Terbang pulang ke sarang...





".......akirnya kita akan dikembalikan". 

Tiba-tiba seorang teman disebelah saya duduk berkata seorang diri. Saya dan suami sedang menikmati hidangan di majlis perkawinan anak seorang jiran sekampung.

"....kita semua akan dikembalikan", ia mengulangi kata-katanya lagi tetapi kali ini ia memandang ke arah saya. 

"Kenapa Datin, berfikir panjang ke? " saya melayan cakapnya. Datin adalah isteri seorang teman semasa saya berkerja dahulu dan sekarang saya sering berjumpa dengannya di Masjid. Datin rajin membantu sukarela dan mudah  menjalin silaturrahim. Siapa jua akan selesa dengannya.

" Eh, taklah....Tadi baru mendapat berita kematian seorang teman. Ingatkan diri sendiri,"
"Oh...diumur seperti kita ni memang mudah terkesan dengan cerita seperti itu. Tapi hari ini hari bahagia bagi anak teman kita. Meriah sungguh majlis ini ya !," saya cuba mengalih arah perbualan".

"Sobah," dia menarik perhatian saya lagi. "Saya nak pindah rumah dalam masa sebulan dua ni. Datanglah ziarah kami." Nadanya bersungguh-sungguh sambil mengerling Dato' yang ada besebelahan.

"Pindah ke mana?" lantas saya bertanya.
"Nanti saya bagi pelan tunjuk arah. Kami nak pindah ke Dengkil. Dekat dengan perkampungan Jenderam tempat pusat pengajian Pondok."

"Oh...saya tahu tempat itu. Saya pernah ke sana dan pernah tidur di sana dengan seorang teman yang mewakafkan sebuah rumah untuk warga emas yang ingin merasa tinggal di Pondok. Bagus tempat tu. Ramai juga ibu-ibu tunggal warga emas yang saya temui di sana. Katanya masa mereka di sana terisi dengan ilmu dan amalan-amalan ibadah khusus."

"Nanati balik ambik pelan kat kereta saya, ya! Jangan lupa." 
Saya tidak lupa dan meyimpanya dalam drawer kereta. Senang rujuk semula.

Memang tepat perkampungan Jenderam yang saya katakan bila saya melihat pelan tunjuk arah. Dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan itu saya mengusik suami saya. "Jom kita pindah ke sana juga." Suami saya hanya tersenyum kerana tidak mungkin kami mampu membeli rumah di sana.

Secara kebetulan seorang teman sekampung di Kg Tunku pun telah membeli lot tanah berhampiran kawasan Pondok Jenderam itu dan sedang merancang pembinaannya. Dia mengatakan pada saya suaminya suka tempat itu kerana banyak program yang mendorong seseorang rajin beramal ibadah. 

"Bila mampu berulang alik, kami akan ke sana beberapa hari seminngu dan tinggal di Kg Tunku di hujung minggu jumpa cucu-cucu," katanya.

Seorang teman lain mengatakan di situ bukan program untuk warga emas sahaja tetapi juga program untuk peringkat anak-anak. Itu benar kerana saya pernah mengikuti pengajian kitab kuning di masjid di Taman Tun Dr Ismail  Kuala Lumpur satu ketika dulu yang dikendali oleh Ustaz yang jadi Founder sistem "Pondok" di situ.

Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai program warga emas kerana saya dalam zon itu. Setengah orang berpendapat bahawa eluk bagi warga emas menyibukan diri dalam program "amal ibadah" yang biasa difahami ramai orang Melayu kita. Tidak perlulah buat apa yang lain kerana had umur kita dah sampai. Kita bersedia untuk akhirat.

Ini bermaksud kita solat, puasa, mengaji alQuran, mendengar ceramah dan apa-apa jua yang berkaitan dengannya.

Ada juga orang yang berpandangan bahawa warga emas tidak semestinya "duduk di tikar sembahayang" sahaja.Ada berbagai cara untuk bersedia menghadapi akhirat. Buat amal jariah bentuk lain pun insyaAllah Allah ambil kira. Ada banyak pintu memasuki  Syurga. Usaha ikut mana-mana satu pun Allah maha menyaksikan. Saya ingat pesanan Ustaz saya. Jikalau kita masih mampu wang ringgit dan tenaga, maka eluklah kita beramal yang melibatkan kesejahteraan orang lain juga. "Erti hidup pada memberi," katanya. Kita jaga hubungan dengan Allah dan jaga juga hubungan sesama manusia.

Maka saya terfikir-fikir. Saya berpendapat tempat seperti itu eluk bagi warga emas yang tidak punya waris terdekat untuk mengurus mereka tetapi mereka mampu wang ringgit untuk tinggal di Pondok. Saya dimaklumkan ada warga emas yang tinggal pada hari-hari biasa dan pada hujung minggu anak-anak akan menjemputnya untuk tinggal bersama. Ia akan dihantar pulang ke Pondok itu pada petang hari Ahad dan dijemput semula pada petang Jumaat.

Saya rasa itu pun satu cara yang baik. Warga emas ada teman sebaya di Pondok untuk bertukar-tukar fikiran dan boleh bersama keluarga di hujung minggu. Cuma tidak ramai yang mendapat peluang seperti itu. Ada anak-anak yang jarang-jarang menjenguk kerana sebab-sebab kesibukan.

Maka seperti burung, kita terbang pulang ke sarang. Tempat yang memberi ketenangan kerana sentiasa mendapat perhatian teman-teman dan mendapat bimbingan dari ustaz-ustaz.

Semoga Allah redha atas apa jua pilihan kita dan kita redha atas segala ketentuaNya.
Semoga Allah mengampuni.

.....

Friday, March 1, 2013

Itu enam bukan tujuh.....doktor membetulkan kiraan.





Huzaifah cucu sulung saya dilahirkan dengan keistimewaan khusus, pertama kali dalam keluarga termasuk keluarga besar. Ia Allah beri dua ibu jari ditangan kanannya. Alhamdulilah ia terpilih untuk menunjukan kebesaran dan kekuasaan Allah jua.

Maka apabila doktor menyuruh ia menghitung jari dan membuat kiraan kecil: seven minus five (7-5), ia hanya menunjuk jari-jari ditangan kanannya dan ditambah satu lagi jari dari tangan kirinya. Itu tujuh katanya. Doktor membetulkannya. Kata doktor itu enam. Tujuh begini: Doktor menunjukan lima jari ditangan kiri dan dua jari ditangan kanan. Huzaiafah merenung doktor kehairanan. Kemudian berpaling pada ibunya....agaknya kebingungan. Ia mencari kepastian.

Kenapa pulak begitu? Mungkin itu yang di dalam minda dan hatinya. Dalam keluarga dari kecil lagi saya dan ibunya menerangkan bahawa dia istimewa. Antaranya kerana dia ada tiga ibu jari dan jumlah jari semuanya ada sebelas. Maka fahaman kiraan baginya tidak seperti anak-anak biasa. Huzaifah kata ini tujuh dan dengan konfiden ia tunjuk pada doktor di hadapannya. Huzaifah mengira dengan mengambil kira tangan kanannya ada dua ibu jari. MasyaAllah. Anak kecil mudah positif tentang dirinya.

Ibunya memberi penerangan sedikit pada doktor bahawa Huzaifah sudah menerima hakikat ia ada sebelas jari. Saya pun sama-sama menjelaskan hal yang sama. Doktor tersenyum dan kiraan terhenti di situ.

Ini peristiwa luar biasa bagi saya pada hari saya bersama Huzaifah sejak ia sudah tidak tinggal dengan saya lagi. Ia membuat saya insaf bahawa jika kita positif anak didik kita pun mudah positif. Kelainan bukan kekurangan. Sebab itu maka setengah orang berpendapat bahawa jangan kita sebut OKU itu sebagai orang kurang upaya tetapi sebutlah ia orang beza upaya.

Peristiwa di atas terjadi ketika saya ikut anak saya ke Hospital Putrajaya (semalam 28 Feb 2013) membawa cucu saya Huzaifah berjumpa dengan pakar kanak-kanak (di klinik padeatrik) untuk mengetahui lebih lanjut "keistimewaannya". Saya ikut ibunya kerana saya minat pada perkembangan cucu-cucu saya, terutamanya Huzaifah (Ujai) dan Akif.

Kedua-duanya ada elemen anak istimewa.
Saya masih teringat-ingat hingga tidur malam akan peristiwa Huzaifah menerima "kelebihannya". Kami bina minda dan hatinya supaya ia tidak malu berbeza dari kawan-kawannya. Itu anugerah Allah. Sering kami katakan hakikat itu padanya. Semoga penghayatan keistimewaannya akan mendekatkannya lagi pada Allah yang menciptanya,....terus hingga dewasa.

Kini Huzaifah berumur tujuh tahun dan kami bawa ia berjumpa doktor pakar semoga dapat membantu daya tumpu konsentrasi yang singkat agar prestasinya di sekolahnya boleh diperbaiki. Berbagai soalan yang ditanyakan oleh doktor dan ibunya menjawab dengan harapan mendapat pertolongan yang sewajarnya. Huzaifah terlalu aktif dan dikhuatiri ia termasuk dalam kategori hyper-active. Seandainya hyper-active, bagaimana pula cara membantunya. Semua anak istimewa perlukan pertolongan.

Pakar-pakar di Hospital Putrajaya hanya boleh mengambil tindakan yang terhad kerana tidak ada doktor pakar yang berkaitan dengan masaalah Huzaifah seperti pakar psykologi kanak-kanak. Huzaifah perlu di rujuk ke Hospital lain dan kami di perakukan hospital HUKM di Cheras.

Kami akur cuma saya agak "tidak puas " dihati kerana appointmen yang terawal adalah enam bulan dari sekarang. Saya seperti rasa kecewa. Mengapa pihak kerajaan  tidak punya kemudahan dan perkhidmatan yang mencukupi bagi rakyaat biasa. Ini bukan masaalah Huzaifah seorang. Kami menanti jumpa Doktor dari jam lebih kurang 8.30 pagi tetapi hanya pada jam 1.00 tengah hari baru selesai. Itu pun setakat kami dirujuk ke Hospital lain. Bukan selesai dengan penjelasan yang sempurna dan mendapat rawatan yang sewajarnya.

Siapakah yang harus dipertanggongjawabkan dengan hal  seperti ini. Sistem pendidikan dapat menghasilkan pelajar-pelajar cemerlang yang mencuckupi untuk dilatih menjadi  doktor. Dan Malaysia pun adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil-mahsulnya yang melebihi negara-negara lain. Soalan saya tetap sama. Ke mana perginya kekayaan kita. Mengapa rakyat masih perlu tunggu lebih 3 jam rata-ratanya untuk mendapat perhatian / rawatan.

Sama-sama kita tunggu jawapan yang memuaskan.

Ada teman-teman yang mengatakan bersyukurlah dengan apa yang ada. Banyak negara lain yang lebih dhaif dari kita. Itu memang betul. Saya cuma takut dipersalahkan kerana kurang usaha. Allah beri akal untuk berfikir dan bertindak pintar dalam ruang linkup peraturan dan undang-undang yang ditentukan.

Semoga ada perubahan kepada yang lebih baik. Semoga Allah menunjuki jalan dan menurunkan pertolongan.
Ya Allah, kami mohon keampunan.

...

Tuesday, February 26, 2013

Hebatnya Berlainan...



Alhamdulilah, Allah kurnia semuanya punya bakat istimewa yang tersendiri.
Bakat istimewa cucu-cucu yang empat ini terserlah kalau kita dengan penuh minat dan keperhatinan dapat melihat dan mendengari mereka dengan mata hati dan dengan hati yang mahu mengenal kebesaran yang maha Pencipta, Tuhan sekian alam.

Yang tertua Huzaifah. Ujai panggilannya.
Yang kedua Humaidi. Akif lebih mudah sebutannya.
Yang ketiga Haniya. Asim tak kira apa.
Yang keempat Aqil. Lupa nama penuhnya.
Semuanya bermula dengan Muhammad. Tetapi tidak seorang pun yang dipanggil dengannya.

Huzaifah tahun dua. Tahun satu di Adni Islamic School tinggal dengan saya.
 Kini di Bangi bersama ibunya.
 Kelainannya mencabar kesabaran. Kurang daya tumpuan.
Duduk sebentar, tak tahan dan akan bangun berkeliaran.
Mathematik mudah faham tetapi membaca masih terkial-kial
 dan kemajuannya perlahan. Mudah bertutur dan berbahasa, tetapi hanya 
mengikut kehendaknya sahaja.
Untuk tumpuan ia perlu galakan yang tidak membosankan. Bila kena pada minatnya ia boleh concentrate panjang. Tetapi agak sulit untuk ramalan.

Akif pula berlainan. Belum ada sepertinya dalam keluarga tersayang.
 Ia di tadika sekolah kebangsaan. Mudah diajar dan kata gurunya dari segi pemahaman 
tidak perlu dibimbangkan.
 Cuma ia perlu diperhatikan dari segi kemahuan. Dia suka merentas jagaan dan bila berminat dengan sesuatu dia akan pergi tetapi tidak mengerti jalan pulang.
 Ibunya selalu kehilangan dan sekolahnya sudah dimaklumkan ini satu "keistimewaan".
Dia suka 'speaking London' dan dengan Ujai kamcing sakan.
 Saya seronok medengar celotehnya bersendirian.
Vocabnya hebat secara bandingan dan siapa jua boleh terpegun bila digunakan
seperti dewasa dalam perbualan.
Dengan ibunya suka bercerita panjang mengikut yang di dalam buku
sebagai 'umpan' untuk seketika duduk diam. 
Seperti Huzaifah tenaganya seperti tiada sempadan.
Dari pagi ke malam ada sahaja yang difikir untuk maianan.
Tidur siang sebentar sekadar "charge battery" untuk cari lawan.

Asim Haniya seperti  'gentleman'. Selalu steady dan mudah berkawan. 
Banyak memerhati kedua abang dan ikut serta bila minatnya sehaluan.
Sering juga di "bully" abang tetapi mudah di bela tanpa menjejas hubungan.
Ia kreatif dalam membina permainan tetapi mudah berang jika dikacau dan dirosakan.
Masih banyak bergantung pada ibu untuk kepastian. Bila rasa terpinggir
akan menangis berpanjangan menagih pujukan.
Sentuhan kasih sedikit sahaja pun sudah rasa kepuasan. 
Air mata yang tadinya seperti sungai mengalir mudah sahaja dikesat dan terus diam.
Akan sambung buat mainannya, lega tiada lagi gangguan abang.

Aqil saya jaga semasa berpantang selama sebulan. Malam selalu menangis tapi kini
seperti punya keberanian yang saya tak sangkakan.
Ia tidak takut orang dan suka menyakat kawan bila ada kesempatan. 
Cucu saya Amanni sering jadi "mangsa" perhatian dan akan menggigit jika tiada layanan.
Saya suka memerhatikan kerana dia mudah iri hati jika terasa diketepikan.
Sekarang hampir 2 tahun tetapi sudah "terserlah kedewasaan".
Seperti mahu setanding dengan abang-abang dan sepepu bila berdekatan.

Ibunya pasti kepenatan. Kini tiada pengasuh dan pembantu untuk meringankan bebanan.
Dia punya caranya sendiri maka saya biarkan.
Baru empat orang dan bermimpi untuk dapat tambahan dengan harapan perempuan.
Semoga impian jadi kenyataan.
Semoga semuanya membesar menjadi pejuang menegakan Kebenaran
Dengan kemampuan yang istimewa tiada halangan
Hidup sejahtera dalam dakapan Redha Tuhan. 
Dengan izin dan kehendak Allah yang maha pengasih maha penyayang.

Itulah nikmat kurniaan Tuhan. 
Jangan hanya bersyukur kalau semuanya seperti yang diidamkan.
Allah itu maha Menentukan. Ilmunya tidak terjangkau oleh jin dan manusia di seluruh alam.
Ia maha Adil, maha Mengetahui buruk baik sesuatu kejadian.
Jangan manusia bersedih hati jika impian tidak kesampaian.
Habuan ciptaannya ada yang tersembunyi dari kenyataan. Supaya hambanya mengerti kesemuanya milik Tuhan yang maha kasih sayang melebihi kemurkaan.
Jangan ragu sedetik pun dan yakin Allah tidak mensisa-siakan.
Segala ciptaannya punya keistimewaan, Dan Rahsianya tak terjangkau akal fikiran.
Manusia kerdil yang hanya perlu mengikhlaskan pengabdian.
Kerana di hujung segala ujian ada habuan.
 Asalkankan sahaja hati menerima penuh keredhaan.
Bergantung sepenuhnya padaNya yang maha Menentukan.
Janji-janjiNya jangan diragukan. 
Kita melutut sujud pasrah, berusaha memenuhi kehendak sunatullah,
Pasti  Allah "berkejaran" menerima kita sebagai hamba sejati memohon keampunan. 
Dan Taman-taman Syurga tertinngi menanti ketibaan
Di sana nanti bahagia sejahtera berkekalan.

Ameen, Ya Rabb.
Wahai yang maha Pengasih maha Penyayang.

....

Sunday, February 24, 2013

Inilah Barisan Kami......







Petang Khamis minggu lepas kami pulang agak lewat petang dari SUFI, sekolah Tadika / Taska yang kami urus. Sejurus masuk lorong di rumah saya rasa teruja. Kampung Solok Jaya di Tangkak mula bertukar wajah. Demam pilihan raya mankin hangat. Betul-betul di hadapan rumah sudah naik kain rentang seperti di foto ini. Undilah Barisan Nasional.

Saya dan teman senyum lebar tetapi tidak terkata apa-apa. Di negeri Johor ini suatau yang tidak menghairankan. Namun di hati saya tertawa melihat gelagat rakyat malaysia sekarang ini. Bendera-bendera berbagai fahaman politik sudah lama terpacak di tepi-tepi jalan dan kini makin banyak lagi. Saya tidak mengikuti berita, maka tidak pasti bila Parlimen akan dibubarkan.Atau sudahkah ia dibubarkan.

Agaknya politik sudah tidak relevan.

Oh tidak, ...... politik tetap relevan. Cuma minggu lepas saya sibuk dengan masaalah sekolah maka saya tidak kesempatan menonton TV.

Sebenarnya saya mengikuti perkembangan pilihan raya  dengan debaran juga kerana saya masih menunggu kepastian tentang dasar sebenar yang diperjuangkan oleh pihak-pihak yang mahu memegang kuasa.

Kuasa Pentadbiran Negara adalah amanah penting dan saya mencari kepastian. Kenapa masih nampak seperti masih celaru. Sekejap itu sekejap ini. Sekejap seperti yakin sekejap seperti panik. Itu perilaku pemimpin yang saya nampak. Saya akan tunggu saat-saat terakhir.......

Sementara itu saya lebih tumpu pada usaha yang saya sukai.
Mencari kesejahteraan melalui suatu yang lebih konkrit........pendidikan.

Semasa bekerja dahulu saya minat politik dan suka berkempen tetapi mengikut cara saya sendiri. Kini di umur  senja saya masih suka politik tetapi hanya setakat saya mengambil tahu siapa yang harus saya pilih untuk menerajui kepimpinan. Saya tidak lagi berkempen.

Saya tumpu pada hobby saya.

Kalau kain rentang di atas menyeru pada  Barisan Nasional, saya ada BARISAN yang sedang saya bina bersama dengan teman-teman saya yang sehaluan.



Inilah Barisan Kami.....
Anak-anak SmarTop Subur Fitrah Intergrated Pre School, Tangkak.

Mahu menjadi benteng dan mahu menjadi penggerak pada usaha terus menurus mendaulatkan Islam di sini dan insyaAllah di muka bumi ini dengan kehendak dan Rahmat Allah jua.

Barisan ini bilangannya kecil, anak-anak pun masih kecil dan belum mengerti apa maksud barisan yang saya katakan ini.

Tidak mengapa. Inilah barisan kami. Inilah jalan kami.
Kecil-kecil cili api. Dengan pendidikan permulaan yang  berteraskan aqidah Islam dan tatacara Islam, saya dan teman-teman saya yakin Allah mendengari dan semoga akan terbuka peluang dan ruang untuk membesarkan dan memanjangakan barisan kami berterusan hingga ke peringakat tertinggi.

Ini antara wajah-wajah harapan impian. Semoga Allah menjadikan kenyataan.


Ini pula anak-anak peringkat Taska yang belum mudah memahami pembentukan barisan, maka kami biarkan duduk dalam bulatan yang tidak kemas tetapi sudah mula nyata. Kata orang tua-tua : Melentur buluh dari rebungnya.

Atau seperti kata-kata di atas ini. Mengubahnya amat sukar sekali.

Bercerita mengenai barisan saya terkenang lagu yang saya amat suka satu masa dahulu.
Lagu :  INILAH BARISAN KITA. Satu nostalgia. Saya mendengarinya di UTube. Rupanya ada lagu lain dengan tajuk yang sama. Saya tidak begitu minat dengan caranya walaupun ada mesej yang mahu diutarakan.

Sekolah Tadika dan Taska ini kami beri nama ringkas iaitu SUFI.
Bilangan semuanya baru 62 orang dan kami punya seramai 6 orang guru dan pembantu guru. Guru-guru kami lebih tepat kami istilahkan Murobbiah. Mereka bukan sahaja mengajar tetapi mereka mengasuh dan mendidik. Kami cuba membina potensi  anak-anak  mengikut kecenderongan masing-masin. Ini menjadi matlamat walaupun kami belum berpuas hati dengan usaha yang ada kerana masih ada beberapa masaalah pengurusan yang harus diberi perhatian dahulu.

Kami mencuba sedaya upaya dan untuk memastikan anak-anak seronok ke sekolah kami adakan juga kumpulan berkompang. "SCHOOL IS FUN" adalah juga salah satu falsafah sekolah kami.

Antara anak-anak yang berminat dan berbakat.

Itulah sedikit cerita Barisan Kami. Nanti kita sambung lagi.
Doakan usaha kami berterusan dan mendapat pertolongan Allah jua.
Semoga impian menjadi kenyataan.

Seorang Murobbiah yang tekun membantu lebih masa. Semoga ia bahagia dunia akhirat.

....

Friday, February 22, 2013

SUFI'S "State of the Union"...








"We have a dream ......"

Saya dan teman-teman di SUFI ada sebuah impian,.....sebuah wawasan, iaitu bagaimana nanti anak-anak didik kami atau keturunan mereka suatu hari dapat menerajui kepimpinan umat sejagat.

Kami bertekad suatu hari nanti akan akan terbentuk kembali Empire Islam, kuat teguh menegakan Kebenaran yang di bawa oleh Junjungan Besar Nabi kita Muhammad saw.

Kalau hari ini President Amerika Syarikat Barack Obama berdiri megah dalam jentera kerajaannya di hadapan "State of the Union" menggariskan bebrbagai dasar termasuk bagaimana kekuatan mereka akan sentiasa menerajui kepimpinan dunia, kami di SUFI bertekad bahawa dengan berkat kesungguhan dan keikhlasan kami melaksana program pendidikan yang Holistik dan Sepadu yang dapat membentuk generasi berteraskan alQuran, maka  denagan izin dan kehendak Allah jua Amerika syarikat  akan bertukar wajah dan kepimpinanannya akan diterajui oleh seorang yang beriman dan bertaqwa. Ini tidak mustahil. Kami hanya mahu menyahut seruan Nabi kita muhammad saw dan semoga impian kami jadi kenyataan.




Maka pada Ahad minggu lepas kami menegadakan sessi perjumpaan dengan ibu-bapa anak-anak Tadika dan Taska SUFI untuk terus memberi penjelasan bagaimana kami beroperasi berasaskan prinsip-prinsip INTEGRATED AND HOLOLISTIC EDUCATION SYSTEM DAN QURANIC GENERATION DEVELOPMENT PROGRAM, (IHES /QGDP). Kami menjemput pengasasnya Pak Hasni dari Adni Islamic School, Kuala Lumpur untuk meyakinkan ibu-bapa bahawa sistem ini boleh menghasilkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan di mana Ilmu dan akhlak di anggap sama pentingnya dalam membina seorang Insan. (Knowledge and Taqwa = Success).

Pak Hasni menyeru supaya ibu-bapa memberi sokongan kuat dalam usaha ini kerana tidak akan tercapai kejayaan jika sekolah sahaja yang berusaha. Ia memerlukan pemikiran dan tenaga semua pihak, secara langsung atau secara tidak langsung.

Dalam program inilah saya teringatkan Pak Hasni seperti sedang berdiri di "State of the Union" dalam jentera kerajaan Amerika Syarikat menegakan Kebenaran. (It's a dream. But if you don't have a dream, how can you have a dream come true. So said my teacher when I was in school.)





Mana tahu anak kecil ini yang akan menggantikan "Barack Obama atau yang lain sepertinya". Atau mungkin anak kepada anak ini atau cucunya.................atau siapa jua yang terdidik dengan aqidah yang jitu.

Anak ini kami didik memperkuat aqidah mengabdikan diri pada Tuhan Allah yang Satu. Tiada yang lainnya. Setiap pagi ini adalah antara ikrar yang kami "pahat" ke dalalam hati-hati mereka. Dengan keyakinan ini, Ilmu mudah diperolehi dan minda mereka nanti akan meneroka  keajaiban alam ciptaan Allah yang maha berkuasa.Dunia akan tunduk pada Islam. Semoga Allah memudahkan dan meredhai usaha yang kami harap akan bersambung-sambung hingga impian menjadi kenyataan.

Ya.......Saya dan teman-teman membina impian.....

Biar putih tulang jangan putih mata...
Ibaratnya......

Semoga Allah mengampuni segala kelemahan dan kekurangan dan menerima usaha yang kerdil ini.
Semoga Allah mendengari dan kami menjadi sebahagian dari semua pihak yang berbondong-bondong bergerak melaksana Seruan Illahi dan semoga kami menjadi hamba-hamba yang diredhaiNya.

....

Saturday, February 16, 2013

Cerita seharian Jumaat semalam.....





Jam 12 tengah malam saya belum tidur, buat itu buat ini dan terbayang-bayang macam mana hendak melalui kesesakan jalan raya utara selatan untuk saya pulang ke Tangkak bagi  menyambung kerja-kerja saya di Tadika SUFI yang telah lama saya tinggalkan pada kawan kerana merawat diri yang kurang sihat.


Tiba-tiba jam 4 pagi terjaga kerana bunyi cellfon di sebelah telinga. "We lost Hj Mustaffa" sms ringkas dari kawan saya yang sudah berada di SUFI. Saya tidaklah  terkejut kerana sudah beberapa hari ia dirawat di ICU HUKM kerana lemah jantung dan berbagai complication yang lainnya. Ia adalah adik lelaki teman karib saya dan saya mengenalinya kerana ada kalanya saya dijemput hadir dalam majlis pertemuan keluarganya.

Baru berumur 62 tahun dan punya pendirian tegas dalam memahami politik semasa. Saya suka cara ia berhujah dan akan sentiasa ingat lawak yang dibuat mengenai karenah orang-orang politik yang mahu menjadi pemimpin walau pun belum cukup 'matang' dalam hal hidup dan kehidupan.

Saya akan rasa kehilangannya. Tetapi apakan daya. Itulah lakaran hidup setiap insan. Sampai masanya kita akan dikembalikan. Upacara persemadian ringkas dan cepat dan suami saya tidak sempat untuk bersama dalam solat jenazahnya. Agak terkilan rasa dihati. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Ruhnya dan ia diiktiraf Hamba sebenarnya.

Dengan rasa agak sayu tersedih kehilangan, saya menghadirkan diri pula pada tengah harinya bersama teman-teman yang saling menjalin silaturrahim setiap bulan. Perjumpaan ini memang sudah diaturkan. Mereka ada program khas setiap kali berjumpa. Pada hari itu saya "voulanteer" memulakan "sembang dakwah". Maka saya pilih tajuk "Moments of Truth" mengimbas peristiwa perginya seorang kenalan yang saya cerita di atas tadi.

Detik pertemuan dengan Malaikat Izrail adalah suatu yang boleh menggerunkan. Pastinya saya sendiri amat  takut memikirkannya kerana sentiasa belum rasa bersedia. Bilakah boleh rasa bersedia kita manusia yang tidak terelak dari dosa. Perbincangan kami meliputi hal-hal berkaitan berilmu dan beramal, bertaubat, menginfakan harta, masa dan tenaga dan berbagai lagi. Saya sentuh sedikit prinsip "Erti Hidup pada Memberi" seperti dalam Blog Ustaz Hasrizal untuk kita contohi. Alhamdulilah ramai kami yang terkesan dengan prinsip ini. Beberapa kawan-kawan saya yang masih menjawat jawatan tinggi awam secara kontrak dan sama-sama kami mengingatkan diri supaya ada nilai tambah untuk kita bawa pulang menghadap yang maha Pencipta. Semoga mereka akan terus peka rezki yang Allah beri melimpah-limpah itu pasti ada tujuannya yang khusus bagi diri dan khusus bagi sesama manusia. Tugas-tugas mereka berkait terus dengan pembentukan dasar negara sama ada dari aspek teknologi maklumat, hasil cukai negara, perdagangan dan sebagainya. Kalau kita lalai nowaitu lilahita'ala ia akan menjadi suatu yang caunter-productive bagi diri dan bagi umat amnya. Semoga Allah menunjuki jalan.

Rasa sedih masih terasa. Saya sampai balik di rumah agak lewat kerana menumpang kenderaan seorang teman. Sampai di rumah saya terkejut melihat kereta anak saya berkecai cerminnya. Katanya ia berlaku semasa solat Jumaat. Keretanya MYVI dan tidak ada barang yang bernilai. Tetapi agaknya mereka menyangka ada sebuah bagpack yang ada di tempat duduk itu pastinya ada barang berharga. Beg itu berisi baju sukan anak muda. Itu sahaja.

Yang menjadi perhatian saya ialah hal-hal seperti ini makin menjadi-jadi dalam negara kita. Adakah kerana anak-anak muda tidak ada pekerjaan maka hidup merempit atau apakah sebab sebenarnyanya. Pihak kerajaan harus melihat ini sebagai sympom penyakit masyarakat dan harus mencari jalan mengatasi puncanya. Penyakit sosial ini kalau tidak dibendung dengan serious, buruk padahnya bagi semua.

Ini harus ditangani kerana PRU 13 sudah amat hampir. Siapakah  yang akan menuding jari pada siapa. Jangan kita suka berkuasa tetapi lalai melaksana tanggongjawab dengan sempurna. Semoga selepas Pilihan Raya ini ada perubahan menuju kesejahteraan yang sejati dan pemimpin yang menang faham sungguh-sungguh erti hidup BERTUHAN dan apa jua tindakan yang diambil akan dipersoalkan di hadapan mahkamah yang tiada siapa boleh mencari helah berlepas diri begitu sahaja.

Berbalik kita pada cerita kereta anak saya yang dipecah cermin pintunya. Anak saya amat 'frust' dan tidak bercakap banyak. Saya tahu ia masih kesempitan wang dan Allah uji dengan peristiwa ini. Suhanallah. Allah sayang pada hambanya yang taat padaNya. Saya cuba berkata sesuatu mengambil kesempatan keadaan yang dialami semoga anak saya tidak akan berbuat sesuatu yang sia-sia.

Hari Jumaat bukan harinya dan bukan hari saya. Sebenarnya tidak boleh berkata begitu. Astaghfirullah. Tiada kena mengena hari dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Pada malamnya anak saya menggunakan kereta ayahnya dan tayar pulak meletup di Highway ke Puchung. Sudah jatuh ditimpa tangga. Tidak ada alat pula untuk mengganti tayar. Allah uji sedikit sahaja. Lalu pula kereta Ronda Lebuhraya. Mereka berhenti membantu maka legalah anak saya.

Syabas pada pengurusan lebuhraya. Anak saya rasa tenang sedikit. Ia balik menceritakan hal yang berlaku dan mohon pinjam kereta saya pula.

Ketika saya menulis ini jam 1 pagi ia belum pulang lagi. Harap-harap tidak ada lagi peristiwa atau cerita yang mencoret jiwa....

Semoga Allah mengampuni segala kekurangan dan kelemahan. Semoga kita sentiasa didekatkan padanya.

....

Related Posts with Thumbnails