"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, May 31, 2016

JAIS tidak mesra anak-anak OKU...





Ini Ujai dan Akif. Kedua-dua cucu saya ini punya sifat-sifat istimewa. Sudah beberapa kali saya bercerita mengenai mereka. Sabtu lepas saya ziarah mereka kerana lebih tiga bulan saya tidak muncul di rumah mereka di Putrajaya.

Kali ini saya hanya ingin berkongsi berkaitan keadaan pendidikan mereka.Sebelah pagi mereka ditempatkan di kelas pendidilan khas di sekolah rendah Precint 8. Itu okay buat masa ini walau pun saya dapati progress mereka tidak sebaik yang saya sangkakan. Maka ibunya terpaksa mengadakan sessi terepi buat mereka secara persendirian. Alhamdulilah. Apa yang kurang di sekolah sedikit sebanyak dapat di tampung di sessi terepi swasta.

Apa yang saya kuarang puas hati sekarang ialah kedua anak ini tidak dapat diterima dalam pendidikan KAFA (kelas alquran dan fardhu ain) tajaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Katanya tidak ada dasar untuk pengambilan anak OKU ke program KAFA kerana tiada guru pendidikan khas dalam sistem KAFA.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga......

Siapakah yang harus bertanggong jawab ke atas pendidikan Fardhu Ain mereka. Bukan semua ibu-bapa mampu untuk private tuition. Bagi Ujai dan Akif (berumur 11 dan 8 tahun) ibunya menghantar keduanya ke kelas alQuran di rumah seorang ustazah berhampiran rumah. Tetapi ia tiada ruang untuk mengajar fardhu ain kerana tiada kecukupan masa. Mujur menantu saya dapat mengajarnya di rumah. Tetapi jika ia kesibukan dengan kerja rasmi, anak-anak ini ketinggalan dalam pelajarannya.

Saya hairan mengapa sistem Pendidikan JAIS tidak memberi kelonggaran pada sesetengah anak OKU mengikut fitrah kebolihan mereka setelah mendapat latihan dan bimbingan serta terepi setiap hari dan setiap minggu. Saya berpendapat sekurang-kurangnya mereka harus diberi peluang dahulu kerana bukan semua anak-anak OKU tidak dapat mengawal diri dan tidak tahu mengurus diri. Ujai dan Akif sudah banyak mendapat latihan dan bolih di beri peluang untuk mengikuti KAFA tajaan JAIS. 

Maka saya ingin katakan JAIS tidak mesra anak-anak OKU.

Sedih dan kecewa pastinya ibu-bapa yang berkepentingan.

Semoga hal ini dapat diberi perhatian. Saya katakan pada anak saya meminta hal ini dibawa keperhatian JAIS. Mungkin tidak kesampaian kerana sibuk dengan kerja-kerja rasmi. Dari segi Fardhu Ain mereka menjalani "home schooling" tetapi belum mencukupi.

Semoga pihak yang bertanggong jawab ambil peduli mengenai hal ini.

Alahai....Malaysia. Islam agama rasmi tetapi anak-anak OKU dipinggirkan.



......

Saturday, May 28, 2016

Tidak dapat menolong....




Hidup ibarat bahtera dilautan luas, dan lautan dalam yang sepertinya tidak bertepi.

Jika kederat tidak mampu mengharung badai, maka akan tersadai di pantai. Tetapi tidak bererti hidup ini suatu yang tiada nilai jika kita terkandas dalam kesusahan. Sememangnya Allah hamparkan ujian dengan harapan manusia akan kembali padaNya. Dan mereka yang sudah kembali pun, Allah uji juga untuk menjadikannya manusia yang lebih sempurna di sisiNya. 



Semua manusia bermasaalah. Cuma kita menyedarinya atau tidak. Amat bahaya jika seseorang itu bermasaalah tetapi tidak mahu menerima hakikat itu. Bukan kerana ia berfikiran positif dalam menangani masaalah itu tetapi kerana hidupnya mewah, kaya raya dan semuanya lengkap maka ia berfikiran ia tidak punya masaalah.

Kasihan.... orang seperti ini tidak tahu bahawa masalah itu berbagai bentuk dan berbagai rupa hinggakan ada orang yang tidak tahu dia bermasaalah. Tetapi di sini saya hanya mahu berkongsi sedikit mengenai masaalah yang menimapa manusia biasa, dan dalam keadaan biasa.

Baru-baru ini saya mendengari masaalah pembantu rumah saya dari negara jiran yang bekerja di rumah saya secara sambilan mengikut kesesuaian masa yang ada. Ia punya tiga orang anak dan yang tengah itu tergolong oku. Yang tua belasan tahun dan yang terkecil setahun umurnya. Suaminya kuat pukul isteri dan ia pernah melarikan diri. Ramai kaum kerabatnya dan termasuk saya yang menasihatkannya supaya jangan kembali padanya. Tetapi oleh kerana tidak mahu anak-anak tidak punya bapa disamping , ia kembali pada suaminya kerana sering dipujuk rayu.

Kini semua anaknya di kampung dijaga oleh nenek-neneknya. Ia bekerja kuat untuk menyarai anak-anaknya dan sentiasa memaafkan suaminya yang tidak berapa rajin bekerja, demi kebaikan anaknya. Itu fikirannya yang saya tidak bersetuju. Seperti saya jangkakan suaminya menceraikan dia dan berkahwin pula dengan orang tempatan.

Kini pembantu ini telah pulang kepangkuan keluarganya. Ia rindu pada anak-anaknya. Memang banyak cerita-cerita seperti ini. Bukan pada warga asing sahaj tetapi orang-orang tempatan juga.

Remuk redam hati pembantu saya ini. Sekarang terkapai-kapai cuba mencari rezki menyara anak-anaknya dan ibunya yang sudah tua. Ceritanya tidak seperti cerita orang-orang pelarian perang di negara luar. Tetapi ada persamaan dari segi sentiasa takut tidak dapat menyara keluarga di kampung yang miskin dan dhaif. Hidupnya di sini dulu berkongsi bilik dan makan seadanya kerana mahu berjimat untuk hantar pulang wang sedikit pada ibunya.

Saya tidak dapat menolong.

Sekadar saya pohonkan pertolongan dari teman-teman yang mampu untuk menginfakan sesuatu padanya.

Allah itu maha Melihat dan maha Mengetahui yang tersembunyi dan yang Nyata. Maka jika kita bermasaalah....apa jua masaalah...... kita dituntut untuk bersabar dan berusaha setakat yang munasabah dan yang mampu. Berbisik kita pada Allah semasa bersolat memohon pertolongan dan kasih sayangnya.

"La Tahzan" kata sebuah buku.Jangan bersedih. Allah akan gantikan dengan yang lebih baik asalkan sahaja kita redha dan terus mengabdikan diri padaNYA. Saya mengikuti saranan dalam buku itu jika saya dan apabila saya bermasaalah, kecil atau besar. Semuanya mudah bagi Allah. DIA sahajalah tempat kita bergantung.

Apabila kita renungkan penderitaan pembantu rumah ini, tersentuh fikiran saya mengapa negara bermati-matian mempertahankan sempadan, walhal bumi ini Allah yang punya. Bagaimanakah kita boleh membantu mereka yang memerlukan sesuap nasi dan sedikit bumbung untuk menahan kepanasan. Bukan Malaysia sahaja yang harus melihat semula dasar luarnya dan bukan sahaja mengenai keselamatan dan kesejahteraan warganya tetapi harus peduli juga akan nyawa dan jiwa seorang manusia, tidak kira di bumi mana ia sedang berpijak. Lihat betapa merana manusia yang menjadi pelarian berbagai sebab terutamanya pelarian perang.Banyak cerita-cerita yang kita dengari dan gambar-gambar serta filem-filem yang kita sering lihat di media massa. Kita hanya menatap penuh kesedihan.

Saya tidak dapat menolong....sedih tidak kepalang.

Inikah yang dinamakan civilization atau inikah ciri Ketamadunan manusia di bumi ini seperti yang dituntut oleh Tuhan yang maha Pencipta. Negara yang merasakan dirinya amat berjaya dalam bidang serba serbi pastinya yakin bahawa inilah Tamadun yang terunggul. Negara-negara yang kurang maju terpengaruh dan tanpa mengira nilai kemanusian yang sejati akan ikut seperti kerbau di cucuk hidungnya.

Kekadang saya terfikir berseorangan sama ada negara yang tidak maju dari segi kebebdaan tetapi patuh pada perintah Allah dalam semua bidang, boleh kita katakan mereka inilah yang bertamadun. Hidup rakyatnya namapk seperti dhaif, tetapi kesejahteraan minda dan rohani mungkin kental dan pengabdian yang tulin menjadi budaya hidup yang syumul. Jiwanya tenanag dan rasa selamat.

WaAllahu'alam......

Maka apakah takrif kejayaan (ketamadunan) di sisi Tuhan kita? Sama-sama kita fikirkan.......

Kita suka berfikir-fikir apabila bermasaalah dan kita sering di minta supaya bersabar kerana bersabar itu wajib hukumnya. Tetapi Sabar bukan bererti duduk diam dan hanya bersolat. Sabar bererti berusaha dengan gigih serta dengan berlapang dada dan redha atas apa jua ketentuan Allah. Kita berusaha dan bertawakal padaNYA kerana Allah sahaja yang berkuasa atas segala segalanya. DIA maha Mengetahui dan Dia maha Adil dan Dia maha Bijaksana.

Ayuh kita menimba Ilmu dan bertindak atas dasar Ilmu yang Benar, semoga Allah menunjuki jalan yang membawa kita kepada pembentukan Ketamadunan yang tulin yang membawa kesejahteraan sejagat. Semoga kita redha dan Allah meredhai.

Mohon keampunan Mu ya Rabb.....


........

Thursday, May 26, 2016

Berpanas dan Bergelap......




Hari ini saya dan semua yang di rumah kecundang. Terlepas pandang bayaran bil api LLN selama 3 bulan. Kerana musim panas yang melanda, bil api kami agak tinggi kerana terlalu lama mengggunakan pendingin hawa.

Maka berpanaslah dan berpeluh-peluhlah kami kerana potongan kuasa letrik. Keadaan di luar rumah pastinya lebih nyaman dari di dalam rumah. Ingin sahaja saya mahu berteduh di bawah pokok. Ini pertama kali saya mengalami  masaalah ini dalam ingatan saya. Dengan segera anak saya pergi membayar bil yang tetunggak tetapi pemasangan semula akan memakan masa, kata staff LLN. Jam 7 malam belum nampak bayang LLN datang. Maka bergelapanlah kami dan rasa tidak selesa hingga hampir jam 9.30 malam. Alhamdulillah......akhirnya  staff LLN datang memasang semula.

Nampak seperti kecil "musibah" ini tetapi saya beringat bagaimana nanti di Alam Barzah jika rasa kepanasan dan kegelapan. Na'uzubillah.....

Lantas saya teringat ceramah Shaikh Hamza Yusuf Guru utube saya untuk beberapa lama sekarang. Cuba dengari di https://youtu.be/Tlpn1JNUVUA. Be Prodigous People.

Kita harus bersyukur kerana Allah pilih kita menjadi ummah nabi Muhammad SAW. Kita istimewa di sisiNya. Nabi Muhammad saw ialah Rahmat sekelian alam. Itu anugerah Allah swt. Maka mencari Ilmu untuk melaksana semua hal fardhu ain amat penting. Lebih penting dari ilmu-ilmu lainnya. Memahami alquran adalah terpenting. 

Memahami kehidupan di dunia adalah penting tetapi memahami kehidupan di akhirat adalah lebih penting. Kehidupan di dunia ada kesudahannya. Tetapi kehidupan di akhirat kekal abadi. Tiada penghujung. Kalau kita tahu betapa rumit dan susahnya kehidupan akhirat jika kita tidak membuat persedian yang sewajarnya, maka kita tidak boleh tidur dan tidak mungkin kita ada nafsu sexual, sesuatu yang dikejar-kejar oleh ramai manusia.

Kesusahan di dunia hanyalah sebentar. Sama-sama kita yakinkan diri untuk lebih komited menyediakan diri untuk akairat dengan memperbaiki cara hidup di dunia mengikut apa yang disyariatkan dalam alquran dan hadith.

Shaikh Hamza Yusuf diketika lain mengajak kita semua kembali kepada Allah tidak mengira apa kesalahan yang telah kita lakukan. Ayuh kita kembali....katanya.

Alhamdulilah, berpanas dan bergelap beberapa jam membantu saya muhasabah diri.

Semoga Allah mengampuni segala dosa, segala kelemahan dan kekurangan dan semoga Allah sentiasa membimbing kita kejalan yang benar, tidak lalai dengan dunia dan semoga di akirat kita dikurnia syurga dan kita bahagia sejahtera selamanya.

Aameen ya Rabb....


.......

Wednesday, May 25, 2016

Ambil darah....




Apabila makan sudah keterlaluan, padahnya timbul pula berbagi masaalah kesihatan. Pepatah Inggers kata: YOU ARE WHAT YOU EAT.

Rasakan sendiri....
Astaghfirullah.

Pagi ini 25 Mei saya ke hospital untuk ambil sample darah sebagai syarat jumpa doktor pada 2 Jun ini. Proses pengambilan darah di PPUM memakan masa lebih kurang sat jam setengah. Penat menunggu. Untuk hilang bosan saya membawa buku untuk baca. "Dahsyatnya IBADAH TAFAKUR - Seni berfikir yang berpahala". Penulisnya Amru Khalid. Saya amat tertarik dengan permulaan isi kandungannya. Tetapi oleh kerana terlalu bising saya hanya membaca 5/6 muka dan simpan buku. Saya tidak dapat tumpu kerana buku ini agak berat pembicaraan mengenai mengenal Allah melalui ibadah Tafakur. Insya Allah kalau habis saya baca mungkin saya dapat kongsikan isinya......

Saya sudah boleh agak gula dalam darah saya agak tinggi. Mungkin 8 atau 9. Saya sendiri pandai-pandai kurangkan ubat doktor dan mengambil ubatan tradisional dalam bentuk herbs. Saya lihat suami saya agak berjaya dengan izin Allah, maka saya terasa hendak ikut amalan makan ubat dari herba. 

Selesai ambil ubat saya terus mencari teksi. Hairan mengapa PPUM hanya membenarkan teksi berbaris jam 9.30 pagi. Maka saya pergi dulu di kantin untuk minum pagi sendirian.

Saya berkongsi meja dengan seorang wanita yang juga baru selesai ambil darah. Kami berkenalan dan bersembang santai.Dia juga ada berbagai masaalah kesihatan. Hampir sama dengan saya tetapi dia berpakaian rapi, cantik dan ceria. Kami bercerita berbagai. Dia kerja sambilan menjaga anak-anak jiran. Agak lumayan pendapatan menjaga anak-anak kerana ibu-bapanya bekerja. Maka ia infakan tenaga membasuh baju anak-nak yang kotor. Tolong sahaja katanya. Tidak termasuk dalam bayaran jagaan. Saya pun bercerita serba sedikit mengenai Tadika dan Taska yang saya urus. Ada persamaan.....penat.

Kami bercerita juga mengenai harga makanan dan mutu makanan yang terhidang. Dia biasa makan di situ dan mengatakan tidak semua pengusaha gerai makan menyediakan makanan yang sedap. Saya katakan mungkin kerana harga barangan termasuk bahan mentah makanan di pasaran, maka itulah harga hidangan naik, dan jika tidak naik ia kurang bermutu.

Alahai senario ekonomi negara kita Malaysia......

Makanan kurang sedap (tak baik komplain. Rezki kurniaan Allah. Redha shaja.) tetapi sembang santai kami hingga bercerita bahawa teman baru saya itu bertanyakan pendapat saya mengenai mendirikan rumah tangga baru dalam umur warga emas. Saya hanya senyum lebar dan mengatakan okay jika kita inginkan hidup berteman di umur tua. Tetapi kalau kita lelaki tua janganlah memilih wanita terlalu muda. Itu kurang bijak. Biarlah sesama seangkatan barulah boleh berteman. Kita berkahwin bukan semata-mata untuk nafsu tetapi untuk mengeratkan hubungan keluarga. Jika berkahwin dan keluarga yang ada mula berkecai, maka pilihan calun perkahwinan itu bukan suatu yang bijak. Berkahwin itu biarlah sekufu. Itu dituntut dalam Islam. Jangan kita bergantung pada harta kekayaan untuk mengikat kebahagiaan. Tepuk dada dan fikirkan mendalam.

Tersenyum besar teman saya ini. Ia mengaku anak lelakinya yang tinggal bersama tidak setuju emaknya berkhwin setelah lama ayahnya meninggal dunia. Calun yang memikat hatinya adalah teman akrab arwah suaminya. Oleh kerana anaknya merajuk serious hingga tidak pulang rumah, maka ia tidak jadi hendak berkahwin. Takut yang dikejar tidak dapat, yang dikendung keciciran. Ia berumur 68 tahun. Nafsu cinta tidak kira umur. Asalkan sahaja ia mengikut syarat-ayarat yang disarankan oleh syari'ah.

Usai makan, kami bersalaman dan tertawa mengimbas balik semabang santai dua pesakit warga emas. Itu asam garam hidup 






Sampai di sini sahaja catatan cerita-ceriti ambil darah untuk jumpa doktor. Semoga Allah kurnia kesihatan demi memperbaiki amalan dalam usaha mencari Redha Allah.
Aameen, ya Rabb....


.....

Tuesday, May 24, 2016

Pencemaran hati anak kecil.....





"Katakan (Ya Muhamad): Dia, Allah itu adalah Satu."

Alangkah bahagianya jika kita dapat mengerti bahawa anak kecil seperti ini (ehsan google) sudah menghayati siapa Rabbnya. Dari dalam Alam Ruh lagi kita sudah di tanya: Alastu birabbikum. Qallu, bala syahidna. Adakah Aku Tuhanmu? Mereka berkata: Ya, kami menyaksikan...(maksud alQuran). Hadith juga menyarankan supaya ibu-ibu mengandung dan ayahnya sentiasa membacakan ayat-ayat alQuran semoga bayi dalam kandungan selamat sejahtera dan semoga Allah kurnia rahmatnya yang tidak terhingga sepanjang hayatnya.

Sungguh bahagia juga jika dapat mengerti bahawa anak- anak kecil seperti ini hingga baligh adalah ahli syurga. Maka kita akan menyantuni mereka penuh kasih sayang dengan harapan Allah mengurnia semua yang terbaik dalam hidupnya. Hadith juga mengatakan anak yang lahir itu hakikatnya putih suci, dan ibu-bapanyalah yang mewarnai hidupnya. Semoga ibu bapa mengasuh dan mendidiknya menjadi anak-anak yang cemerlang dan soleh hingga ke akhir hayatnya. Dan mereka anta golongan yang menyumbang pada kegemilangan Umat Islam. Semoga merekalah juga  yang akan mendoakan ibu-bapanya setelah mereka pergi menemuinya Rabbnya, Allah yang maha Pengasih dan Penyayang. Dan semuanya akan berhimpun di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan Rahnat Allah jua.




Ini anak saya yang bongsu bersama isteri dan anak-anaknya. Mereka cucu-cucu yang terus tinggal bersama saya dan sedikit sebanyak dapatlah saya menumpang seronok mendengari tangisan dan gelak ketawa mereka. 
Karenah mereka pun menjadi keseronokan bagi saya kerana saya dapat mengimbas kembali semasa saya kecil dan telah ingat bagaimana emak saya dan kakak-kakak saya menlayani karenah yang berbagai rupa.


Ini anak sulung saya bertudung putih dan anak lelaki yang tengah. 
Saya ada 3 orang anak.Alhamdulilah.
 Mereka bercuti di Melaka dan bermalam di homestay yang mereka mampu.
Anak-anak perlu diberi peluang bergembira bersama keluarga,
 juga dengan nenek (berbaju merah)
kerana dalam Islam kasih sayang dan silaturrahim
 harus meliputu ahli keluarga besar, 
terutamanya Atuk dan Nenek.


Ini cucu-cucu bermain, bertadabur alam cara mereka sendiri.
 Aktiviti seperti ini lebih baik dan lebih sihat berbanding seharian 
dengan play-station dan apa jua permainan elektronik 
yang tidak mencergaskan fisikal mereka.

Sehubungan dengan ini sering saya katakan pada anak-anak saya supaya komited dalam mengasuh dan mendidik anak dengan harapan mereka tidak tercemar dengan pemikiran yang menjauhkan mereka dari mengenali Allah. Dari kecil lagi kita sudah mulakan mengajar mereka siapa Allah dan siapa Rasullah saw. Tentu sekali cara berlainan dari mengajar remaja atau dewasa. Namun mereka mesti sudah didedahkan dengan hakikat bahawa Allah adalah Rabb mereka dan Rasullah Muhammad saw itu adalah pesuruhNya. 

Salah seorang cucu saya menghadiri Taska dan kemudian Tadika yang kurang menekankan fakta ini. Kebolihan bertutur dalam bahasa Inggeris amat baik sekali tetapi keterampilan dalam menghafal ayat-ayat Quran dan doa-doa amat lemah sekali jika saya banding denga beberapa Tadika lainnya. Dan di rumah saya katakan pada ibu dan Abinya supaya bersungguh-sungguh mendidik hati dan jiwa anak-anak supaya tidak dicemari idea-idea dalam filem dan vidio yang ditonton walaupun ia berbentuk animasi kartun. Saya yakin pada saranan Shaikh Hamza yusuf (guru Utube saya) yang mengatakan fikiran anak-anak bole rosak kerana kartun-kartun itu bukan semuanya membawa tema yang bermunafaat pada anak-anak diumur yang masih fragile, dan belum tahu apa yang benar dan apa yang salah. Jika kita tidak bimbing dengan betul besar kebarangkalian mereka boleh tersasar. Ini yang kita harus takuti.


Ini murid-murid Tadika SmarTop Subur Fitrah di Tangkak Johor yang saya kendali bersama seorang teman akrab. Kami ambil module yang diasaskan oleh sebuah NGO, iaitu HALUAN berjodol LITTLE ABD dan kurikulum dan silibus dibina berasaskan Allah itu Rabb. Kami hantar untuk latihan 'hands on" bersama HALUAN supaya keterampilan guru mendidik anak-anak ini selaras dengan falsafah 'kita ini hamba Allah' dapat dilaksana sebaik mungkin.

Kata pepetah Melayu: Melentur buluh mestilah dari Rebungnya. Maka dari umur Taska dan Tadika kita sudah mulakan semoga ia dapat menjadi benteng rohani dengan pertolongan Allah dan dapat menghidari dari tercemar dengan perkara-perkara yang negatif yang akan merugikan dan mencemar proses pembesaran anak-anak. Walaupun tidak dinafi bahawa anak-anak ini boleh di ajar ad-Din Islam bila umur meningkat tetapi dikhuatirkan sudah ada elemen-elemen lain didalam minda dan hati yang akan mengelirukan anak-anak dan boleh mencetuskan kebingungan dalam berfikiran.

WaAllahu'alam.

Menyesal dahulu, pendatan. Menyesal kemudian tidak berguna. Ibu-bapa harus berwaspada dan berusaha sentiasa berterusan menambah Ilmu yang Benar untuk kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga dunia dan akhirat. Akhirat itu kekal dan dunia hanya suatu illusi. 

Semoga Allah sentiasa menunjuki jalan, Taufiq dan Hidayahnya.
Aamiin ya Rabb....


.......

Saturday, May 21, 2016

Jihad Hati untuk Diri....



Wahai Hati......!
Hampir aku sudah tidak mengenali kau lagi.
Dulu kau riang, dan wajah mu menyerlahi keriangan sejati.
Aku melihat mu penuh kegembiaraan
Sepertinya tidak ada rintangan, tidak ada kepayahan,
Kini aku lihat engkau sering merenug ke dunia silam
Yang bisa membikin wajahmu muram 
Ibarat mentahari tidak lagi bersinar kelihatan.

Wahai Hati.....!

Tidakkah engkau mengerti,
Hidup ibarat roda besi, 
Jika di bawah bebannya berat sekali.
Jika di atas tiada yang hirau peduli, 
Kerana kau nampak kuat mempertahan diri sendiri.
Jika tiada siapa membelai diri mu, kau tetap berdiri.
Penuh tenaga kebergantungan mu hanya pada Ilahi.

Wahai Hati.....!

Kau harus bangun dan lari jauh-jauh, bawalah diri.
Dunia ini luas dan tidak perlu khuatir menyendiri.
Pasti ada pertolongan hamba-hamba sejati
Yang mengenali keluhuran hati budi.
Cuma jangan lupa Allah maha Melihat dan Mendengari.
Bisikan sahaja padaNya apa yang gundah di sanubari.
PertolonganNya dekat, semoga engkau diberkati.

Wahai Hati.....!

Semua diri yang rapuh takut disingkir berjauhan ke tepi.
Engkau tidak gentar jika ribut melanda tanpa berhenti.
Penuh yakin mohon pertolongan Allah yang maha Tinggi.
Jangan ragu kekuasaanNya maha luas Infiniti.

Mengertilah Wahai Hati......!

.......

Keindahan ada di mana-mana........






Kekadang kita sibuk melancung kerana mahu melihat keindahan alam ciptaan Allah, alKhalik. Saya antaranya. Cuma bila kekeurangan kemampuan maka duduklah saya menyendiri.

Tiba-tiba suatu pagi waktu subuh saya terpaksa mencari barang di bilik belakang di rumah saya. Saya rasa bilik itu panas maka saya buka pintu yang menghala keluar.

Masya Allah......... ini yang saya lihat dari balcony di rumah saya sendiri. Alangkah cantik pemandangan waktu subuh menghala ke Genting Highlannds, sayup-sayup jauhnya. Tidak pernah saya sangka.Mengapalah saya tidak pernah terlintas melihatnya selama ini. Mungkin kerana bilik itu sudah menjadi sebahagian sudutnya sebagai stor barangan yang jarang-jarang diguna. 




Ini rumah jiran saya kelihatan dari balcony rumah saya.
Cantik juga dan saya tercegat melihat pemandangan
 yang indah untuk beberapa lama.
Tidak perlu melancung, kata hati kecil saya. Saya rasa bersalah kerana saya seperti seorang yang tidak bersyukur kerana tidak mengindahkan hakikat bahawa 
keindahan itu ada di mana-mana. 
Tidak semestinya pergi jauh......


MAKA NIKMAT ALLAH YANG MANA YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN.

......

Friday, May 20, 2016

AL MANAR...Pemergian Hj. Hassan.


about me

My Photo
Almanar Trust The Almanar Trust (Amanah Almanar) was established in 1992 by the family of Hassan Abdul-Karim from Kuala Terengganu. The aim of this small private body is to provide academic support to deserving individuals who have slipped through the formal channels due to various circumstances.

Berita sedih buat saya teman Blogger.
Semalam kami dimaklumkan dalam blognya oleh anak-anaknya bahawa Hj. Hassan telah kembali ke Rahmatullah. Sudah lebih setahun Allahyarham tidak muncul di blog dan anaknya memaklumkan ia sedang sakit dan dalam rawatan.Kami hanya mampu berdoa semoga ia sihat kembali.

Tetapi akhirnya dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Ia selamat di semadikan di Bukit Kiara pada 15 Mei. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkan Ruhnya bersama-sama para solihain.

Kerja-kerja sukarelanya amat mulia dari sudut  kebajikan masyarakat dan terutamanya di sisi Allah swt. Saya mengenalinya kerana mengikuti blognya dan kami sering bertukar fikiran mengenai Institusi pendidikan yang kami bina dan urus tanpa mengambil apa-apa keuntungan. Semata-mata kerana Allah demi kesejahteraan Ummah. Allahyarham sering juga memberi cadangan dan beberapa buah fikiran bagaimana saya bolih meningkatkan prestasi Tadika Taska saya di Tangkak. Beliau amat bermurah hati.

Saya dan suami ingin mengunjunginya di Kuala Trengganu tetapi tidak kesampaian. Beliau berumur lebih kurang 78 tahun dalam fahaman saya.

Saya rasa kehilangan. Semoga hasrat anak-anaknya meneruskan khidmat bakti ayahnya kesampaian dan berterusan.


.......

Thursday, May 19, 2016

Hari Guru SmarTop......





Seluruh negara merayakan hari guru pada 16 Mei. Kami di Tadika Taska SmarTop subur Fitrah tidak ketinggalan.

Saya masih teringatkan pemergian guru kesayangan saya dari tahun awal enam-piluhan. Maka perayaan Hari Guru saya ikuti penuh emosi, walaupun sendirian.




Sebahagian dari hadiah ibu-bapa dan murid kepada para guru.
Terkesan di hati saya betapa indahnya menjadi seorang guru.


Puan Ainul berbaju kuning jingga mewakili kumpulan
 Parents Support Group PSG
 meminta anak Taskanya menyampaikan hadiah pada guru.


Anak-anak Tadika mempersembahkan nyanyian
menghargai jasa guru.


Sebilangan guru yang sempat kami rakam.


Saya menyampaikan hadian cendera hati dari Pihak Pengurusan 
pada semua guru dan staff. Alhamdulilah.


Persembahan anak-anak Taska. Perlu kesabaran
 untuk mengasuh dan mendidik.


Dato Safaruddin, Pegerusi Lembaga Pengelola
menyampaikan kata-kata semangat pada guru dan ibu-bapa yang hadir.


Saya akhiri dengan sebuah renungan.


Berguru ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa dan juga sahabat
Alur kesetian mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikamt.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki Takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa

Sejarahnya dimulakan dengan guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Di mana-mana ia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua di sekolah Ulu trengganu
Dia ialah Guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya pada Negara

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di ulangi ilmu
Panggilan keramat 'cigu' kekal terpahat
Menjadi kenanagan ke akhir hayat.


USMAN AWANG, 
1979




.......

Perginya guru tersayang....


Pagi 14 Mei saya dikejutka dengan berita Guru
 kesayangan saya telah meninggal dunia.
 Dalam whatsApp kumpulan kami, Class of 64, 
penuh dengan kata-kata 
yang membuat saya rasa amat sedih dan terharu. 
Siapa tidak akan rasa kehilangan
jika seorang itu amat kita kasihi kerana jasa-jasanya 
pada pelajar yang luar biasa.
 Beliau mengenali ramai nama-nama murid selama ia di Pontian
 yang jarang kita sangka.
 Ingatannya amat kuat dan itu yang menjadi keistimewaannya semasa mengajar kami bermula tahun 1962 
semasa kami di tingkatan tiga.
 Beliau baru sahaja menjadi Graduan University Malaya. 
Beliau ialah guru pertama lulusan University tempatan bagi kami. 
Yang lain dari beberapa University di India.



Mediang Ms Tan Lee Kiang bersama teman-teman saya 
(yang juga murid-meridnya
di Pontian Secondary English School)
Class of 1964.
Ini foto meraikan hari lahirnya yang terakhir, Mac tahun ini 2016.


Bersama bekas murid, seorang professor di University Singapore.
Kami suka menyantuninya di mana jua.


Antara aktiviti reunion yang saya tidak hadir.


Peristiwa sejarah yang saya  tidak dapat hadir kerana
 melancung luar negara.


Meraikan hari lahir Ms Tan pada Mac 2014 yang saya dapat hadir.
 Suami saya berdiri kiri sekali.


 Jasanya tetap dikenag sampai keakhir hayat.
 Guru kesayangan saya.


Saya punya hubungan rapat dengan Ms Tan berbanding dengan guru-guru lain kerana berbagai sebab.
Ms Tan amat baik orangnya dalam menyantuni pelajar tidak kira keturunan. Amat ramai yang sayang padanya kerana beliau sangat murah hati. Ms Tan menggunakan wang ringgitnya sendiri membeli buku-buku cerita Bahasa Inggeris untuk kami baca. Sekolah di kampung seperti Pontian Kecil Johor tidak punya buku 'up to date' dalam librarynya. Kami di gesa untuk membaca dan beliau akan membuat kami bercerita apa dalam buku itu setelah tamat membacanya. Kami pun 'hentam kromo' sahaja kerana bukan faham sangat apa yang dibaca. Tetapi murid yang pandai tidak ada masaalah. Kekadang saya tidak habis membaca kerana masa saya banyak bersukan. Maka saya ingat sahaja dari ringkasan buku itu yang ada di kulit belakang. Ms Tan tahu 'trick' kami tapi dibiarkan sahaja kerana beliau mahu melatih juga keberanian bercakap di hadapan kelas.

Setelah kami dewasa kami selalu membincangkannya bila bertemu dan gelak ketawa seperti tidak ada kesudahan.

Ms Tan juga suka membawa kami keluar membuat lawatan seperti ke Air Terjun dan pantai berpiknik dan sebagainya. Saya tidak pernah ingat kami dikenakan bayaran. Kami rasa seronok dapat pergi begitu sahaja. Zaman itu ramai kami dari keluarga miskin.

Ms Tan seorang penyabar dan tidak pernah marah-marah dalam kelas. Dia ada caranya sendiri. Itulah kami seronok dengannya.

Saya ingat juga setelah peperiksaan LCE ketika itu beliau mengajarkan kami kerja tangan membuat bakul, dan dulang kecil dari rotan halus. Ini helahnya untuk membuat kami tidak bosan. Dan ada sahaja sebab untuk buat 'class party' untuk menyeronokan kami.

Kemuadia beberapa tahun berlalu......
Saya ditakdirkan bekerja di Kementerian Pendidikan. Ms Tan juga di sana di Bahagin Perkembangan Kurikulum. Sering juga kami bertemu dalam projek dan mesyuarat. Saya suka memeloknya tunjuk saya sayang padanya. Dia dengan bebesar hati selalu menceritakan hal saya di bilih darjah semasa dibawahnya bertahun yang lalu pada pegawai-pegawai lain. Rupa-rupanya ia sering bercerita pada teteman saya yang lain bahawa saya suka memeloknya. 

Saya sayang padanya......

Pemergiannya tidak disangka-sangka kerana kami tidak mendengari ia sakit lama di hospital atau sebagainya. Tetapi sudah ditakdirkan  pada 14 Mei ia meninggal dunia. Saya rasa tersedih kerana lebih kurang sebulan yang lalu Ms Tan menalipon saya tetapi menerusi talipon suami saya kerana saya belum sempat memberi tahunya no telipon baru saya.Saya tidak kesempatan menaliponnya kembali kerana ketika itu saya amat sibuk dengan masaalah saya sendiri. Saya tersedih kerana 2 tahun yang lalu saya menghadiahkan sebuah terjemahan al Quran dalam bahasa Inggeris untuk kenangan hari lahirnya, dan semoga ia mendapat hidayah. Saya tiba-tiba teringat mungkin ia mahu bertanya terus tentang al Quran itu, atau mahu tahu terus bagaimana mahu menjadi seorang Muslim. Saya rasa terkilan .......

Semoga ada sesuatu yang baik yang Allah lihat pada dirinya....


......

Saturday, May 14, 2016

Ku pohon ampun.....



Alhamdulilah.
Pada 12 Mei 2016 genap umur ku 69 tahun.
Ku bersyukur atas segala kurniaan dan nikmat 
yang tidak terhingga nilainya.
Ku mohon ampun atas segala dosa,
segala kekurangan dan kelemahan.
Ku mohon Allah pertanggongkan dosa-dosa ku 
sesama manusia.

Semoga Allah mengurnia Syurga Firdaus tanpa hisab
 atas diri ku, emak-bapak ku, keluarga ku jauh dan dekat, 
 dan semua yang ku sayang
dengan RahmatNya semata-mata.

Aameen ya Rabb....

.....
gambar ehsan google.

Friday, May 13, 2016

Gembira atas tangisan orang lain....





Semasa bermusafir ke Krabi, kami singgah di Hat Yai dan Songkhala dalam perjalanan pulang. Dua bandar ini tempat yang sering di kunjungi oleh orang-orang Malaysia atas berbagai sebab, Terutamanya shopping kerana harga pakaian dan barangan kulit amat sederhana harganya berbanding dengan Malaysia.

Driver kami yang juga pemandu pelancung berasal dari Kedah.  Maka pengalamannya di Hat Yai dan Songkhla amat luas dan berbagai. Ada yang lucu dan ada serious.



Yang lucu dan menjadi gelak ketawa kami ialah cerita yang ia ada kalanya membawa beberapa individu yang berkahwin di sana atas beberapa sebab yang amat diketahui oleh orang-orang di Malaysia, (berkahwin di sempadan). Dia menunjukan kami Masjid tempat pilihan untuk acara pernikahan dan juga menunjukan kami Pejabat Konsulate Malaysia di Songkhla untuk mendaftar perkahwinan untuk pengiktirafan kerajaan Malaysia. Dia bercerita selamba sahaja seolah-olah peristiwa seperti itu biasa sahaja padanya.

Ada diantara kami punya cerita yang suka dikongsikan. Ada yang gelak ketawa dan ada juga yang berkata supaya janganlah melawak atas perkahwinan seperti ini kerana pastinya ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakan. Maka daripada melanggar tata susila hukum hakam Islam, eluklah mereka yang terlibat mengikut peraturan alternatif di luar negara dan yang paling mudah ialah di Thailand.

Driver kami suka melawak tetapi dalam pada itu ia juga membuat komen yang serious. Katanya eluklah kita elakan perkahwinan seperti itu kerana adalah kurang sopan jika seseorang itu rasa gembira dapat berkahwin tetapi ia menyebabkan ada pihak yang keciwa dan tersedih. Eluklah jangan bergembira atas tangisan orang lain.......

Kami senyap seketika apabila ia berkata begitu dan kami pun sembang tukar tajuk. Lalu kami dibawa ketempat membeli belah dan tempat makan yang amat menyelerakan.

Tamatlah cerita musafir kami hingga lain kali pula. Kami bercadang untuk ke Batam dan Pulau Bentan dan juga ke Lombok.

Semoga kesampaian......


.....

The Thrill at Amazon Cafe.....



Apabila bermusafir dengan kereta atau van di Selatan Thailand, R&R kami ialah di station minyak yang ada Amazon Cafe. Hanya di situ yang kami tahu mempunyai kemudahan yang modern dan bersih. Jika terdesak untuk menselesakan diri dan R&R seperti itu jauh, barulah kami ke tempat lain atau ke tandas di Masjid.



Tempat berehatnya selesa dan  landscapenya pun amat cantik. Indah dan cantik di pandang. Maka kami dalam kumpulan musafir ini suka melawak dan berfoto untuk kenanagan. Kekadang manusia lupa akan umur dan akan beraksi sepertinya kami masih 10 atau 20 tahun lebih muda.

Tidak mengapa. Asalkan tidak melanggar tata tertib budaya dan agama.

Semasa di sana cuaca sangat panas. Maka kami akan berehat dalam Amazon Cafe itu sendiri kerana ada pendingin udara dan minum sepuasnya apa jua pilihan. Biasanya kami pilih minuman yang sejuk. Harga minuman boleh tahan tingginya. Maklumlah tempat pelancung. Segelas seperti foto di bawah ini ia berharga lebih kurang rm8. Tetapi ia sedap dan menyegarkan. Sebab itu kami selalu berhenti di Amazon Cafe.









Apabila tidak cukup tempat di dalam, di luar pun selesa juga tempat duduknya dan boleh memerhati karenah pelancung-pelancung lain. Ada berbagai jualan di luar sana. Kueh muih, buah-buahan tempatan dan yang best sekali ialah air kelapa muda...kesukaan saya. Siapa yang berminat dengan ice-cream, mereka tidak akan kecewa. Ada berbagai perisa. Pilihlah sahaja.



Ada yang suka beraksi seperti di atas. One for the album, katanya. Kami ikutkan sahaja....asalkan bahagia.
Senyum lebar.




Ini ice cream bercampur kelapa. Ramai yang sukakannya dan harganya berpatutan kerana ini kawasan pelancungan. Kalau boleh bungkus bawa balik rasanya mahu sahaja.


Itu sahaja catatan di Amazon Cafe.
Sesiapa ke Thailand pilihlah tempat ini. Untuk warga emas, kemudahan menselesakan diri terjamin bersih. Di tempat lain jarang sekali ada kemudahan yang sesuai.


......
Related Posts with Thumbnails