"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, March 30, 2013

Berdiri yakin.....



Yakin itu ibarat merasai  detik-detik  degup jantung berterusan damai
Kerana yakin itu suatu kekuatan yang membuat minda luar biasa berfikiran
Yang mengenal  kekurangan, kelemahan dan kekangan di sekeliling diri 
Tetapi akan terus maju ke hadapan berani mencari dan membukti
Yang membujur akan lalu, yang  melintang akan patah. 
Tetapi diri akan tetap ambil  peduli.

Namun tidak mungkin itu akan menjadi kenyataan 
Jika yakin itu hanya kata-kata di bibir mahu dilihat tampan
Mahu dilihat berani tiada bandingan.

Jika itu hanya aksi 
Akan tenggelam  keyakinan diri, tiada nilai peribadi
Kerana yakin itu paksinya ikhlas dan jujur dihati
Yakin penyaksian Allah itu maha tinggi tiada terduga akal sendiri
Dan pengabdian pada Allah tiada beza yang zahir dan yang tersembunyi
Tiada erti ruku' sujud jika hati belum tunduk tanpa mengira manusia menyaksi

Yakin itu satu kekebalan
Tidak akan terpedaya pada bisikan hasutan manusia dan syaitan
Tidak akan celaru akal fikiran, walau segunung emas dijanjikan
Berdiri Yakin...
Di hadapan Tuhan,  Rabb sekelian alam.

...

Wednesday, March 27, 2013

Pesan emak.....


Pesanan emak saya banyak yang lekat di hati terutamanya mengenai hubungan kasih adik beradik. Kini emak sudah lama tiada dan saya juga kini seorang emak yang sudah hampir ke destinasinya. Tetapi tidaklah saya tahu anak-anak zaman cyber ini patuh pada pesanan emak seperti orang-orang generasi  saya. Pesanan dan saranan emak ibarat "keramat". Takut tidak "berkat" kalau tidak diikut.

Deretan rumah baru anak saya.



Beberapa minggu yang lalu  saya di ajak anak melihat rumah barunya untuk memberi tahu kerosakan-kerosakan yang ada sebelum rumah itu di serahkan. Rumah itu di Presint 15 Putrajaya dan saya rasa teruja kerana kalau saya berpindah ke Putrajaya maka rumah itu tidak berapa jauh dari rumah saya. Dapatlah selalu bersama cucu-cucu. Ini dalam perancangan. Semoga Allah kurnia yang terbaik di sisiNya.

Teringat saya pertama kali saya membeli rumah baru ialah pada tahun 1975 dan saya masih bujang ketika itu. Rumah itu di Damansara Utama. Ketika itu kemudahan Bank untuk membeli rumah amat mudah sekali dan saya membeli link house berukuran 22 X 70 hanya sebanya RM 56,000/- sahaja. Emak saya pun amat teruja kerana ini pertama kali ia akan ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama anak yang padanya rumah itu amat cantik. Saya selalu sebak mengingatkan emak saya menghias rumah saya di sebelah luar dan di dalam dengan caranya sendiri. Pastinya cara hiasannya adalah secara kampungan dan saya membiarkannya sahaja asalkan dia seronok.

Biasanya pagi-pagi ia telah bangun dan sebelum matahari memanasi halaman rumah ia akan mencabut rumput-rumput  termasuk yang mengelilingi pasu-pasu bunga yang beberapa buah saya beli dari nursery di Sungai Buluh. Waktu itu tidak ramai yang suka ke Sungai Buluh kerana masih takut dengan wabak Kusta. Sebenarnya ia tidak membahayakan. Emak saya tekun di laman yang besarnya benar-benar sekangkang kera. Bila sudah mula panas ia masuk dan kami akan minum pagi pada hari-hari yang saya bercuti atau di hujung minggu. Itulah emak saya. Saya yang bongsu dan padanya saya sentiasa anak kecil baginya....

PESANANNYA : "Jangan kau jual rumah ini. Nanti tak berkat harta engkau". Saya tidak membantah walaupun dalam hati seperti saya mungkin tidak dapat memenuhi pesanan itu. Di pendekan cerita terjual juga rumah itu pada tahun 1986 untuk membeli rumah lain di kampung Tunku Petaling Jaya. Saya sembunyikan fakta saya jual rumah yang ia pesan jangan jual. Saya rasa lega kerana dia tidak pernah bertanya. Dalam pada itu saya rasa seperti berdosa tidak ikut pesanannya walaupun pesanan-pesanan yang lainnya saya ikut sedaya upaya.

Maka di rumah anak saya, saya tidak berkata apa-apa mengenai jual beli rumah. Biarlah anak-anak berfikiran sendiri. Zaman telah beredar dan niali-nilai hidup sudah tidak sama. Saya seperti merasai status orang tua sekarang sudah tidak seperti status orang tua  dahulu. Agaknya zaman teknologi tinggi dan lain-lain kemewahan hidup dan faktor-faktor sosial yang sudah amat berbeza  telah menghakis " auora kekeramatan "  status orang tua. Saya amat berhati-hati supaya tidak mengecewakan diri. Lagi pun nilai yang saya pegang bukan nilai utama. Cuma saya sahaja agaknya yang rasa begitu.

Semasa saya memasuki rumah pertama saya, emak saya bekalkan sedikit peralatan dapur dan peralatan tidur. Katanya dahulu pun embah (emaknya) buat seperti itu. Sedikit pinggan makuk, tikar bantal , periuk kuali mengiringi pindah masuk rumah baru seorang anak.  Sekarang sudah beza. Sudah banyak yang ikut budaya "house warming" dan teman-teman menghadiahkan barang-barang hiasan rumah. 

Saya sendiri pun tidak membekalkan priok belanga dan yang lain-lainnya. Entahlah. Seperti tidak perlu agaknya. Mungkin bukan soal keperluan tetapi hanya satu "warisan keramat" emak pada anak. Auora ini sudah hilang dan mungkin tidak akan kembali lagi.

Semoga apa jua yang kita buat tidak menghakis pautan kasih dalam keluarga. Saya khuatir kerana teknologi telah banyak mengubah cara berkomunikasi. Kalau dahulu sekurang-kurangnya kita mendengar suara, sekarang ini kita hanya membaca. Dan jarang-jarang pula bersua muka. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana selepas saya tiada.

Dalam perjalanan hidup ini semua kita tidak sempurna, termasuk saya. Banyak yang kita lupa, atau ingat tetapi sudah tidak seiring rasa. Selalu sahaja kita kata kita mangsa. Kita mangsa kesuntukan masa, mangsa  kesesakan jalan raya, mangsa kerja-kerja pejabat yang bertimbun banyaknya dan lagi dan lagi......

Semoga Allah menampuni semua dan menunjuki jalan yang sempurna dan dihujung perjalanan kita mendapat RedhaNya.
Ameen, Ya Rabb.

...

Sunday, March 24, 2013

Takut....





Saya sendiri tidak tahu.
Saya sendiri rasa tidak menentu bila saya bersama anak diberi tahu oleh doktor pakar bahawa cucu saya ada elemen istimewa, iaitu seorang dikategorikan sebagai menghidap "mild Otisma" dan seorang lagi sangat aktif yang memerlukan khidmat pakar "child psychitrist"  untuk membantunya  ada daya fokus.
Saya rasa pada mulanya seakan-akan cemas dan sangat khuatir kerana tidak tahu apa kesan sebenar jangka pendek dan jangka panjang pada kedua-duanya. Anak saya lebih tabah hati dan melalui proses yang rumit dalam membantu anak-anak istimewa mengawal dirinya penuh kesabaran. Alhamdulilah. Anak saya tidak terperangkap dalam fenomena "self denial" dan dengan steady cuba mendapatkan kepercayaan ayah anak-anak dengan penuh keyakinan bahawa dugaan Allah sedikit sahaja. Senyap-senyap saya katakan padanya kalau berat ujian dan dugaan Allah sekalipun, kita terima penuh kesyukuran kerana kita mahu jadi hamba yang sentiasa bersyukur kerana kita hambaNya dan kita mahu mencapai darjat hamba seperti yang Allah kata dalam alQuran dalam surah Al Fajr.

Saya dengan penuh insaf membuat bacaan sendiri dari maklumat di internet untuk memahami fenomena ini. Makin saya tahu, makin saya lega. Kebesaran Allah itu sukar kita merasai sepenuhnya hingga kita melalui pengalaman-pengalaman yng menyentuh secara langsung. Alhamdulilah. Allah memberi peluang pada merasai kasih sayangNya denga cara yang tidak pernah saya duga sebelum ini. Saya mula merasakan bahawa apa yang tidak kena dihati kita itu tidak  semestinya suatu musibah. Tidak ada musibah jika kita membuka minda dan menerima ketentuan Allah secara positif. Cara Allah menyentuh hati-hati kita hanya Dia sahaja yang maha mengetahui apa yang terbaik di sisiNya. Maka itu menjadi  doa kami sekeluarga. Apa jua yang Allah kurnia pasti ada hikmahnya.

Maka tugasan dan tanggongjawab saya di Tadika SUFI  dalam hal ini amat relax sekali. Bila mendengari rintihan murobbiah mengenai anak-anak yang aktif luar biasa, saya sudah "pandai" memberi nasihat supaya bersabar kerana tiap-atiap anak ada keistimewaan masing-masing. (Hati saya sudah pandai tersenyum). Saya perhatikan ada  ibu-ibu muda masih takut untuk menghadapi kenyataan mengenai hal pembesaran anak-anak. Ada yang berkecil hati jika mendengar sungutan-sungutan dari murobbiah yang lain walaupun mereka tidak bermaksud apa jua yang negatif. 

Maka saya berbincang dengan teman yang sama-sama mengurus SUFI bagaimana kita dapat membantu. Fikir punya fikir kami teringatkan bahawa dalam keluarga ada doktor-doktor pakar yang boleh mendapatkan pertolongan dari kawan-kawan doktor dalam bidang "child development". InsyaAllah kami sedang merancang Doktor bekenaan meninjau anak-anak SUFI secara am daulu sebelum membuat apa-apa tindakan yang sewajarnya.

Di SUFI sekarang ini ada anak yang belum boleh bercakap sedikit pun walaupun sudah berumur 4 tahun. Dia tidak pekak sebab apabila dipanggil namanya dia respon dengan baik dan serta merta.  Ada pula anak yang ibunya susah menempatkannya di Bahagian Tadika walau pun sudah berumur lebih 5 tahun. Dia tidak boleh berpisah dengan adiknya yang berumur 3 tahun. Ada juga anak SUFI yang rumit dikawal dari segi mengawal naluri marahnya dan selalu sahaja mengacau ketenteraman anak-anak yang lain. Harapan kami lawatan doktor secara tidak rasmi ini dapat menasihatkan ibu-ibu terbabit membuat tindakan yang sewajarnya. 

Semoga Allah menunjuki jalan, memudahkan segala urusan semua yang terlibat dan semoga pengalaman ini membuat kami semua mahu menjadi lebih hampir dengan Allah yang maha pencipta, maha bijaksana dan maha kasih sayang pada hamba-hambaNya. Semoga usaha kami mendapat redhaNya.

....

Saturday, March 23, 2013

"Penutupan" sebuah Taman Syurga.


Sedih juga rasa di hati kerana kelas pengajian usul fiqh saya di Shah Alam terpaksa ditamatkan kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakan. Antaranya ialah komitmen "anak murid" yang berbelah bagi kerana berubahnya putaran hidup, termasuk saya sendiri. Maka ibaratnya seperti tertutuplah sebuah "taman syurga" bagi kami. Saya bertekad mencari kelas yang lain semoga masih mendapat peluang "berlegar-legar" di Taman Syurga. Semoga membawa kita ke Syurga yang abadi.

Ustaz Fauzi berbaju biru dengan sebahagian "murid".




Walau pun kelas pengajian ini hanya berjalan lebih kurang 2 tahun dengan kekerapan seminggu sekali selama 2 jam setiap kali, alhamdulilah saya dapat munafaatnya. Sedikit dan sebentar tetapi signifikan.

Saya rasa sedikit sebanyak dapat  memahami isu-isu semasa mengenai undang Islam di negara kita ini dan lebih memahamai setakat mana kita boleh berbeza pendapat. Saya juga lebih memahami cara dan peraturan yang diguna pakai oleh Imam-Imam berbagai Mazhab dalam mengkategorikan sesebuah hadith itu Sahih atau sebaliknya dan prinsip-prinsip yang digunakan untuk menentukan sesuatu hukum. Saya juga lebih memahami konsep bertaqlid dan kami sering diingatkan supaya jangan berhenti bertaqlid dari satu fahaman tetapi bertukar hala dan bertqlid juga dengan fahaman yang lain.Bagi yang kurang keupayaan dan kurang kebolehan dalam mempelajari ilmu Islam maka bertaklid itu tidak salah padanya.

Alhamdulilah, saya akan terus menambah ilmu.

Di samping itu kami dapat mengenali ustaz Fauzi yang saya rasa akan menjadi pemimpin pelapis di negara kita nanti. Ia lulusan dari University Al Azhar dan sekarang aktif dalam NGO yang disebut ISMA. Ada sedikit sebanyak ia menerangkan hal-hal pendirian ISMA dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan aqidah Islam. Saya tidak berani membuat ulasan di sini kerana belum sempurna ilmu saya. Namun saya telah faham apa erti orang  berTuhan tetapi tidak beragama berbanding orang yang beragama tetapi tidak berTuhan. Untuk selamat dunia akhirat kita harus berTuhankan Allah dan mengikut syariatNya bukan secara ritual sahaja tetapi secara hakiki.

Saya yakin Islam mesti didahulukan dari fakta-fakta lain dalam kehidupan kita, dan apa jua perbezaan yang ada orang-orang Islam dituntut jangan berpecah belah hingga musuh-musuh Islam boleh mengambil kesempatan dari perpecahan itu. Kesatuan dan penyatuan ummah itu wajib hukumnya. Kita harus mengambil iktibar atas apa yang berlaku di negara sendiri dan di dunia luar sana.

Baru-baru ini President Obama memberi kata-kata manisnya mengenai Palestine semasa lawatannya ke Israel. Ia bercakap disebuah University dan yang mendengarinya adalah pelajar-pelajar yang dalam kategory generasi muda. Ia mencabar supaya generasi muda Israel membuat perubahan dalam cara mencari perdamaian dengan jiran-jirannya terutama sekali dengan Palestine. Hujahnya disambut dengan tepukan gemuruh menandakan persetujuan bahawa Palestine punya hak-hak yang harus dikembalikan pada mereka.

Pada saya ia hanya tinggal kata-kata manis dan tidak lebih dari itu. AlQuran pun telah memberi gambaran sikap orang-orang Yahudi dan antaranya mereka tidak akan berpuas hati hingga semua manusia mengikut telunjuknya.

Maka orang Islam harus sedar supaya jangan termakan dengan janji-janji kosong musuh-musuh Islam. Tetapi orang-orang Islam tidak cukup ilmu untuk berdikari kerana orang-orang Islam tidak cukup komitmen dalam memertabatkan ilmu....semua jenis ilmu. Kalau kita boikot semua barangan Israel, orang Islam akan tenggelam kerana rata-rata barangan teknologi tinggi adalah hasil kajian dan ciptaan orang-orang keturunan Yahudi. Tidak perlu saya katakan panjang lebar. Buktinya nyata di sekeliling kita.

Maka ayuh kita tumpu pada membangunkan umat Islam dari segi ilmu, semua jenis ilmu untuk kesejahteraan dunia akhirat.  Kita mula dengan anak cucu kita dan pada generasi muda kita jangan asyik berhibur dan bersantai. 

Selalu saya katakan pada anak-anak dan anak-anak muda lain, jangan menyesal macam saya menyesal dan jangan rugi macam saya rugi. Saya keciciran dan ketinggalan. Sekarang hanya mampu bertaubat dan membuat apa yang sepatutnya dibuat dalam keadaan tenaga sudah amat berkurangan.

Semoga Allah mengampuni dan masa yang tinggal sedikit ini dapat saya munafaatkan untuk mencari redha Allah jua. Semoga Allah masih memberi ruang dan peluang. Rabbana aatina fid dunia hasanah wa fil akhirat hasanah wa kinna azaban nar.  Ameen ya Rabb.


...

Friday, March 22, 2013

Huzaifah di Tangkak.



Saya suka berkongsi cerita mengenai cucu sulung saya, Huzaifah. Kini ia sudah tidak tinggal dengan saya lagi kerana saya kurang kemampuan dan pastinya anak kecil adalah lebih baik bersama ibu-bapanya.


Tok Ayah tidak dapat menolak  kemahuan cucu Huzaifah yang hendak ikut ke Tangkak. Saya khuatir dia mengacau majlis sebab tak boleh duduk diam. Tok Ayah kalah dengan cucu.......

Lihatlah gambar di sebelah. Di akhir majlis, mungkin sebelum akhir majlis ia sudah mengambil  belon hiasan dan mengusung hadiah buku yang teacher beri, katanya. Memang tak duduk diam. Dia lari menuju kat saya dan jatuh terserempat wire-wire. Lututnya mengena pada jejari kaki saya yang hingga hari ini masih lebam dan sakit. Itulah habuan ada cucu. Bila tak ada rindu juga. Bila dekat pening kepala saya.


Teacher Lin pun saya rasa pening kepala sebab Huzaifah sibuk dengan mainannya menjejas ketenteraman anak-anak lain. Apakan daya. Namanya pun budak. Saya cuba rakam satu shot foto di bawah ini tetapi tidak berjaya seperti kemahuan saya. Huzaifah asyek hendak berlari mengejar kawan.



Jadilah seperti yang ini. Untuk kenanagan bila dewasa. Semoga Allah memimpin Huzaifah dan ia akan dewasa sebagai anak yang soleh dan cemerlang.
Ameen, Ya Rabb.

...

Thursday, March 21, 2013

Maju Selangkah Lagi......







Selangkah lagi dalam perjalanan yang masih jauh, masih penuh ujian dan dugaan. Jalan yang sempit penuh lopak-lopak.

Tetapi saya sudah mula belajar bertenang dan meyakini bahawa pertolongan Allah itu hampir bagi mereka yang ikhlas dan berusaha penuh taqwa mencari redha Allah.  Itu pesanan orang-orang yang beriman.

Maka saya bergelut dengan lintasan-lintasan di hati yang membisikan berbagai-bagai kerungsingan dan ketidakpastian. Kadang-kadang rasa ketakutan memikirkan sama ada usaha yang dijalankan sudah benar-benar menepati kehendak syari'e.  Saya hanya mampu pasrah semoga Allah menurunkan pertolonganNya yang tidak terbayang akal biasa.

Pada 17 Mac 2013 SmarTop Subur Fitrah Integrated Pre School (SUFI) Tangkak mengadakan majlis memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.  Gambar di atas menunjukan anak-anak berselawat denagn iringan kompang yang dilatih oleh Ustazah Khairiah bt Muslim.

Tujuan sampingannya ialah untuk memaklumkan pada ibu-bapa pada  anak-anak bahawa di SUFI anak-anak sudah mencapai sebahagian dari obejektif penubuhan Institusi ini, iaitu menunjukan bagaimana cerianya anak-anak menghayati sebahagian  kurikulum sepadu yang kita beritakan. Mempelajari sesuatu harus dalam suasana ria semoga mencapai hasrat "Going to School is Fun". Semoga anak-anak tidak ada rasa bosan dan menghadiri SUFI adalah suatu yang dinanti-nantikan. Alhamdulilah kami sudah membuat permulaan.




Ibu-bapa dan tetamu kehormat bangun berdiri berselawat sama dan meraikan bakat-bakat yang ada yang sedang dikembangkan.


Anak-anak Tadika beraksi dengan tiga buah lagu.



 Tidak ketinggalan anak-anak Tasaka pun menunjukan bakat yang ada.
 Pada pandangan saya murobbiah dapat mendisiplinkan mereka di hadapan ibubapa pun sudah menjadi kepuasan pada yang hadir. Maka dibawah ini saya rakam ibu-bapa tidak putus-putus mengambil foto untuk album keluarga. Kami bersyukur kerana sudah maju selangkah lagi.

Alhamdulilah.

Majlis kami juga diserikan dengan ceramah ringkas oleh Ustaz Irfan Farid Taufiq bin Qamaruddin yang menceritakan keagongan Rasulullah saw untuk diteladani.  Di bawah ini sedikit "lintas langsung" ceramahnya.


Alhamdulillah, ceramah yang padat ringkas tetapi signifikan.


Kami juga mendatangkan seorang Ustaz dari MITIB, Ustaz Rosli Ahmad untuk berkongsikan pengalaman melaksana kurikilum IHEAS / QGDP untuk maklumat umum. Ustaz ini membantu SUFI dalam menjana Dana untuk pembangunan dan operasi.


 Maka hari Ahad 17 Mac bersamaan dengan  5 JamadilAwal 1434
 adalah hari bersejarah bagi SUFI. Enam bulan yang lalu tidak termimpi kami Allah kurnia nikmat bersama dengan anak-anak kecil mengorak langkah 
menuju kesuatu destinasi yang dipelopori oleh Rasulullah semoga membawa kesejahteraan di dunia dan akhirat. Itulah doa kami semoga Allah memudahkan segala urusan dan menurunkan pertolonganNya  yang tiada sempadan.

Ameen Ya Rabb.

...

Wednesday, March 20, 2013

Perfection vs Love....





 
ROSE ....  bunga Mawar yang melambangkan kasih sayang. kerinduan yang melahirkan rasa syhdu sebuah impian, keceriaan, .....  dan tentu sekali melahirkan kesyukuran yang tidak terhingga pada yang maha Pencipta.

Secara para-sedar kita mencari bahagia, seolah-olah kebahagiaan itu satu kesempurnaan yang mutlak dan bukan suatu perjalanan ke arah kesempurnaan. Sebenarnya tiada yang sempurna dalam perilaku kita mencari kepuasan dan mencari kebahagiaan, waimma mencari apa jua tanpa pertolongan Allah yang maha Esa, maha Bijaksana. Maka kita hanya berusaha sedaya upaya dan bermunajat memohon belas ehsan yang punya kuasa sepenhuhnya.

Apabila bercerita mengenai kesempurnaan dan kasih sayang, saya suka bercerita dengan berlatar belakangkan anak-anak SUFI di sekolah Tadika dan Taska yang saya membantu mengurus di Tangkak.  Anak-anak di SUFI datang dari berbagai latar belakang dari segi ekonomi dan  kelulusan akademik ibu bapa. Maka mereka  memerlukan perhatian yang berbeza. Anak-anak memerlukan perhatian yang memahami jiwanya. Mungkin senang sahaja bagi kita orang dewasa tetapi baginya susah tidak kepalang dan boleh membingungkan.

Sebenarnya ramai anak-anak yang memasuki Taska dan Tadika SUFI tidak ada keyakinan diri pada permulaannya. Awal-awal pagi sudah kedengaran tangisan  memerlukan perhatian untuk keselesan diri. Kini sudah tiga bulan mereka bersama SUFI dan kami sudah nampak perbezaan dalam pengendalian diri dan penyesuaian dengan teman-teman umur sebaya.  Mereka sebenarnya mahu difahami bahawa  mereka rasa kehilangan dalam suasana yang belum pernah dilalui hinggalah sekarang. Maka dalam sessi aktiviti kelas murobbiah di SUFI berusaha sedaya upaya untuk menunjukan perhatian dan kasih sayang yang boleh mempercepatkan pencapaian keyakinan diri.


Lihat usaha murobbiah ini mendekati dan mendengari anak-didiknya dengan penuh komitmen.
Interaksi seperti ini adalah perilaku seharian. Terkesan dihati saya kerana proses pemilihan untuk mengambil murobbiah amat rumit sekali. Yang ini kami amat puas hati. Alhamdulilah.


Kami di SUFI "bermesyuarat / berbincang" di tengah-tengah aktiviti anak-anak yang berehat dan bermain sementara menunggu dijemput pulang oleh ibu bapa. Waku sebeginilah saya dapat memerhati karenah anak-anak dan saya perhatikan mereka rasa riang kerana mereka selamat di kelilingi oleh dewasa
dalam kumpulan mereka bermain.


Anak-anak kecil perlu sentuhan dari segi fisikal dan dari segi kata-kata. Kadang kala ia perlu dakapan yang dapat mereka rasakan seolah-olah mereka bersama ibu tersayang. Gambar di sebelah  ini saya rakam bagaimana seorang murobbiah memeluk anak kecil ini dalam latihan bercakap memperkatakan sesuatu.

Teringat saya cerita seorang Ustaz.
Pertama kali  Rasulullah saw menerima whyu di Gua Hiraq  baginda meresa gementar dan seperti susah mahu mengikuti apa yang diminta oleh Malaikat Jibril. Lalu Jibril memeluknya erat-erat dan mengatakan: "Iqra'......".  Baginda bertenang dan berasa yakin mengikuti arahan Jibril.

Maka dalam pedegogi pendidikan kini sentuhan dan dakapan anak-anak kecil adalah suatu yang harus dipraktikan. Alhamdulilah. Kita di ajar dengan kesempurnaan dan dalam proses menuju kesempurnaan eleman kasih sayang adalah yang terpenting sekali dalam kita mengendali keyakinan diri.

 Suasana harmoni dikalangan anak-anak. Mereka berinteraksi tenang dan ceria.


Tidak ada sesuatu yang boleh menggantikan kasih sayang, dari kecil hingga dewasa.
Malahan hingga kemumur tua. Maka itulah sifat Allah yang sentiasa menyelubungi kita
 ialah Ar Rahman dan Ar Rahim.

Semoga Allah memberkati usaha yang kerdil ini dan anak-anak ini
 membesar dengan keyakinan diri 
bahawa Allah ialah Rabb yang sentiasa memerhati dan membimbing diri
 untuk mencapai kesempurnaan yang diredhai Ilahi.

...

Tuesday, March 12, 2013

Perangkap minda...Lawan Hitam itu Putih ?!!...





Dalam kemelut politik pilihan raya, (ditambah pula dengan kemelut keselamatan negara)  saya perhatikan melalui bacaan di surat khabar atau di media mana sekalipun, ramai antara kita yang keliru tentang bagaimana mahu menganalisa sesuatu isu yang timbul di kalangan masyarakat dan di negara seluruhnya. Ini menyebabkan isu itu kecil sahaja, tetapi impaknya jadi besar.
LAWAN GELAP ITU TERANG ?

Kita sering tidak dapat melihat dan membezakan antara  pokok dari hutan (between the trees and the forest) dan  ibaratnya tidak dapat melihat perbezaan warna yang kita lihat. Bukan kerana kita 'color blind'  tetapi kita sudah amat terbiasa dengan suatu cara berfikir maka kita sulit melihat sesuatu dari sudut yang berlainan.

Maka bila ditanya: Apa lawan warna hitam, jawabnya pasti : Putih.

Itu fakta yang kita selalu dengar dan otak kita ikut sahaja jawapan seperti itu. Bukankah lawan warna hitam itu ialah: Bukan Hitam. Kenapa tidak boleh kita katakan Kuning atau Merah atau jinga atau  apa jua yang lain yang berwarna garang?

Inilah masaalah cara otak kita sudah dibiasakan berfikir. Hanya nampak satu cara sahaja. 
Kita ambil satu contoh mudah untuk menjelaskan maksud saya.

Ini peristiwa  yang  baru berlaku di Masjid di kampung saya.
Oleh kerana bilik mengurus jenazah terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan pembinaan qurters pegawai-pegawai masjid, maka  timbul sedikit pergesaran pendapat tentang di mana harus ditempatkan bilik mengurus jenazah buat sementara waktu.

Pihak pentadbiran masjid telah mengambil keputusan untuk menggunakan bilik bersalin pakaian wanita besebelahan dengan temapt wudhu wanita sebagai bilik mengurus jenazah. Ramai wanita  (muslimah) yang tidak selesa dengan keputusan ini. Beberapa ahli muslimah terkejut dan rasa berdebar dan seram sejuk bila melihat perubahan itu. Ada yang terang-terang menyatakan rasa ketakutan. Maka mereka menulis surat membantah keputusan itu. Mereka minta diubah tempat atau dihentikan perkhidmatan buat sementara waktu.

Saya mengusik teman-teman saya yang kuat membantah dengan mengatakan :

"Tak apelah. Kan eluk untuk kita kerana kita akan terpaksa mengingati mati bila turun untuk berwudhu. Kita dituntut mengingati mati sebab itu kita disunatkan ziarah kubur. Kalau takut ajak kawan menemani kita. Lama-lama hilanglah takut".

"Janganlah macam tu, Sobah. Bukan semua orang selesa berdekatan dengan jenazah. boleh tak tidur malam."

"OK lah. Saya hanya beri pandangan. Cuma saya khuatir kalau diberhentikan perkhidmatan mengurus jenazah, nanti ahli yang rumahnya kecil bermasaalah pula".

Tiada susulan bicara atas pandangan saya. Senyap-senyap kami minta diri dan beredar.

Itu kisah kecil.

Dalam polotik (dalam dan luar negara) ada berbagai contoh.

Sebenarnya bermacam cara kita boleh menyelesaikan sesuatu masaalah. Dan jika benar-benar  sudah kehabisan cara, kita boleh bersabar jika dengan kesabaran itu kita membolehkan orang lain mendapat munafaatnya. Bukankah dalam Islam kita digalakan mendahulukan kepentingan saudara Islam kita yang lain.

Pendek sahaja bicara saya. Kita fikirkan bersama bagaimana masaalah kecil boleh jadi seperti besar sangat kerana semata-mata orang-orang yang terlibat tidak dapat berfikiran di luar fikiran biasa. Banyak istilah digunakan oleh pakar motivasi professional  mengenai cara kita berfikir seperti  'lateral thinking' , 'whole brain thinking' , 'think outside the box'  dan berbagai lagi.'
Kadang-kadang kita tahu secara theory kemahiran berfikir tetapi kita  masih boleh terperangkap. Kata seorang ustaz : Kita jangan terlalu bergantung pada kepintaran akal. Dalaman jiwa kita harus kuat denagn pegangan aqidah supaya kita sentiasa Allah pelihara dari tergelincir jauh apabila menyelesai sesuatu masaalah.

Dan jangan pula kita mengatakan: kenapa orang Barat (dan Timur seperti Jepun dan China)  di negara maju yang menguasai ekonomi dunia sekarang tidak perlu ada aqidah pun. Tetapi mereka berjaya. Kata ustaz itu namanya 'Istidraj'. Allah  'beri muka' dan mereka rasa hebat. Tetapi Allah boleh rentap semula tanpa menunggu hari Qiamat. 

Kita lihat dengan mata kasar dan dengan mata hati. Bukankah negara-negara itu sudah mula mengalami keruntuhan dalam berbagai aspek kehidupan seperti ekonomi dan sosial?

Sama-sama kita fikirkan. "Lawan Hitam Bukan Putih".
Semoga Allah mengampuni dan menunjuki kita jalanNya.

...

Sunday, March 10, 2013

You pay bananas.....







When we have a serious problem, usually we confide in a friend. Hopefully we can come up with a solution.

"Do you wanna help me with my problem?" Recently  I asked a friend as we sat down over a cup of tea with scone and cekodok.
"At our age what problem do we have that we need a friend to help with?"

"Aa ...ha..big problem."
"My pre-school in Tangkak is not fully staffed. A teacher just resigned for reasons known to her only. But we suspect that she is looking for better pastures. As some people said: Money is not everything, but everything costs money. "

We have limited resources in starting this school. But a friend said : If we waited until everything is perfect before starting on a venture, then we will never get started. Perfection is a journey.

We started with 62 kids and we have six teachers whom we termed as "murobbi". They have good potentials and we hope to keep them forever or at least  long enough to get the school going fairly stable. But for the moment we are not able to pay them as well as they expect.

"Never mind, Sobah. Dont worry. Things will work out. Let me look around if I could get sponsors to help you."
We continued discussing other things of mutual interest until almost Maghrib time.

Then we parted. But this good friend of mine has a unique parting words. "If you pay peanuts you get monkeys. So pay bananas so you can get gorillas."

"Dont worry Sobah, I will work something out."

It was very comforting and we bid Salam.

.....

Thursday, March 7, 2013

Kita sering diingatkan.....



Renungan Untuk Esuk, Hari Jumaat.



A039
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.
(Maryam 19:39)  
 
A040
Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.
(Maryam 19:40

P.S: Kata Ustaz orang yang menyesali diri termasuk juga orang-orang yang Allah kurnia berbagai-bagai kenikmatan yang melimpah ruah tetapi tidak memunafaatkan sepenuhnya untuk diri dan untuk orang lain. Mithalnya; Allah kurnia kita bnyak masa tetapi kita tidak menggunakan masa untuk beramal atau membantu orang lain yang memerlukan pertolongan. Allah kurnia ilmu tetapi kita lalai dan hanya buat sesuatu untuk kepentingan diri sahaja.

Maka ustaz kata berwaspadalah. Jangan kita menyesal kerana tidak mengoptimakan kemampuan yang ada pada diri, sama ada untuk diri atau untuk maslahah umum.
 
Kami mohon keampunan mu, Ya Rabb.

.....
 


Monday, March 4, 2013

Terbang pulang ke sarang...





".......akirnya kita akan dikembalikan". 

Tiba-tiba seorang teman disebelah saya duduk berkata seorang diri. Saya dan suami sedang menikmati hidangan di majlis perkawinan anak seorang jiran sekampung.

"....kita semua akan dikembalikan", ia mengulangi kata-katanya lagi tetapi kali ini ia memandang ke arah saya. 

"Kenapa Datin, berfikir panjang ke? " saya melayan cakapnya. Datin adalah isteri seorang teman semasa saya berkerja dahulu dan sekarang saya sering berjumpa dengannya di Masjid. Datin rajin membantu sukarela dan mudah  menjalin silaturrahim. Siapa jua akan selesa dengannya.

" Eh, taklah....Tadi baru mendapat berita kematian seorang teman. Ingatkan diri sendiri,"
"Oh...diumur seperti kita ni memang mudah terkesan dengan cerita seperti itu. Tapi hari ini hari bahagia bagi anak teman kita. Meriah sungguh majlis ini ya !," saya cuba mengalih arah perbualan".

"Sobah," dia menarik perhatian saya lagi. "Saya nak pindah rumah dalam masa sebulan dua ni. Datanglah ziarah kami." Nadanya bersungguh-sungguh sambil mengerling Dato' yang ada besebelahan.

"Pindah ke mana?" lantas saya bertanya.
"Nanti saya bagi pelan tunjuk arah. Kami nak pindah ke Dengkil. Dekat dengan perkampungan Jenderam tempat pusat pengajian Pondok."

"Oh...saya tahu tempat itu. Saya pernah ke sana dan pernah tidur di sana dengan seorang teman yang mewakafkan sebuah rumah untuk warga emas yang ingin merasa tinggal di Pondok. Bagus tempat tu. Ramai juga ibu-ibu tunggal warga emas yang saya temui di sana. Katanya masa mereka di sana terisi dengan ilmu dan amalan-amalan ibadah khusus."

"Nanati balik ambik pelan kat kereta saya, ya! Jangan lupa." 
Saya tidak lupa dan meyimpanya dalam drawer kereta. Senang rujuk semula.

Memang tepat perkampungan Jenderam yang saya katakan bila saya melihat pelan tunjuk arah. Dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan itu saya mengusik suami saya. "Jom kita pindah ke sana juga." Suami saya hanya tersenyum kerana tidak mungkin kami mampu membeli rumah di sana.

Secara kebetulan seorang teman sekampung di Kg Tunku pun telah membeli lot tanah berhampiran kawasan Pondok Jenderam itu dan sedang merancang pembinaannya. Dia mengatakan pada saya suaminya suka tempat itu kerana banyak program yang mendorong seseorang rajin beramal ibadah. 

"Bila mampu berulang alik, kami akan ke sana beberapa hari seminngu dan tinggal di Kg Tunku di hujung minggu jumpa cucu-cucu," katanya.

Seorang teman lain mengatakan di situ bukan program untuk warga emas sahaja tetapi juga program untuk peringkat anak-anak. Itu benar kerana saya pernah mengikuti pengajian kitab kuning di masjid di Taman Tun Dr Ismail  Kuala Lumpur satu ketika dulu yang dikendali oleh Ustaz yang jadi Founder sistem "Pondok" di situ.

Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai program warga emas kerana saya dalam zon itu. Setengah orang berpendapat bahawa eluk bagi warga emas menyibukan diri dalam program "amal ibadah" yang biasa difahami ramai orang Melayu kita. Tidak perlulah buat apa yang lain kerana had umur kita dah sampai. Kita bersedia untuk akhirat.

Ini bermaksud kita solat, puasa, mengaji alQuran, mendengar ceramah dan apa-apa jua yang berkaitan dengannya.

Ada juga orang yang berpandangan bahawa warga emas tidak semestinya "duduk di tikar sembahayang" sahaja.Ada berbagai cara untuk bersedia menghadapi akhirat. Buat amal jariah bentuk lain pun insyaAllah Allah ambil kira. Ada banyak pintu memasuki  Syurga. Usaha ikut mana-mana satu pun Allah maha menyaksikan. Saya ingat pesanan Ustaz saya. Jikalau kita masih mampu wang ringgit dan tenaga, maka eluklah kita beramal yang melibatkan kesejahteraan orang lain juga. "Erti hidup pada memberi," katanya. Kita jaga hubungan dengan Allah dan jaga juga hubungan sesama manusia.

Maka saya terfikir-fikir. Saya berpendapat tempat seperti itu eluk bagi warga emas yang tidak punya waris terdekat untuk mengurus mereka tetapi mereka mampu wang ringgit untuk tinggal di Pondok. Saya dimaklumkan ada warga emas yang tinggal pada hari-hari biasa dan pada hujung minggu anak-anak akan menjemputnya untuk tinggal bersama. Ia akan dihantar pulang ke Pondok itu pada petang hari Ahad dan dijemput semula pada petang Jumaat.

Saya rasa itu pun satu cara yang baik. Warga emas ada teman sebaya di Pondok untuk bertukar-tukar fikiran dan boleh bersama keluarga di hujung minggu. Cuma tidak ramai yang mendapat peluang seperti itu. Ada anak-anak yang jarang-jarang menjenguk kerana sebab-sebab kesibukan.

Maka seperti burung, kita terbang pulang ke sarang. Tempat yang memberi ketenangan kerana sentiasa mendapat perhatian teman-teman dan mendapat bimbingan dari ustaz-ustaz.

Semoga Allah redha atas apa jua pilihan kita dan kita redha atas segala ketentuaNya.
Semoga Allah mengampuni.

.....

Friday, March 1, 2013

Itu enam bukan tujuh.....doktor membetulkan kiraan.





Huzaifah cucu sulung saya dilahirkan dengan keistimewaan khusus, pertama kali dalam keluarga termasuk keluarga besar. Ia Allah beri dua ibu jari ditangan kanannya. Alhamdulilah ia terpilih untuk menunjukan kebesaran dan kekuasaan Allah jua.

Maka apabila doktor menyuruh ia menghitung jari dan membuat kiraan kecil: seven minus five (7-5), ia hanya menunjuk jari-jari ditangan kanannya dan ditambah satu lagi jari dari tangan kirinya. Itu tujuh katanya. Doktor membetulkannya. Kata doktor itu enam. Tujuh begini: Doktor menunjukan lima jari ditangan kiri dan dua jari ditangan kanan. Huzaiafah merenung doktor kehairanan. Kemudian berpaling pada ibunya....agaknya kebingungan. Ia mencari kepastian.

Kenapa pulak begitu? Mungkin itu yang di dalam minda dan hatinya. Dalam keluarga dari kecil lagi saya dan ibunya menerangkan bahawa dia istimewa. Antaranya kerana dia ada tiga ibu jari dan jumlah jari semuanya ada sebelas. Maka fahaman kiraan baginya tidak seperti anak-anak biasa. Huzaifah kata ini tujuh dan dengan konfiden ia tunjuk pada doktor di hadapannya. Huzaifah mengira dengan mengambil kira tangan kanannya ada dua ibu jari. MasyaAllah. Anak kecil mudah positif tentang dirinya.

Ibunya memberi penerangan sedikit pada doktor bahawa Huzaifah sudah menerima hakikat ia ada sebelas jari. Saya pun sama-sama menjelaskan hal yang sama. Doktor tersenyum dan kiraan terhenti di situ.

Ini peristiwa luar biasa bagi saya pada hari saya bersama Huzaifah sejak ia sudah tidak tinggal dengan saya lagi. Ia membuat saya insaf bahawa jika kita positif anak didik kita pun mudah positif. Kelainan bukan kekurangan. Sebab itu maka setengah orang berpendapat bahawa jangan kita sebut OKU itu sebagai orang kurang upaya tetapi sebutlah ia orang beza upaya.

Peristiwa di atas terjadi ketika saya ikut anak saya ke Hospital Putrajaya (semalam 28 Feb 2013) membawa cucu saya Huzaifah berjumpa dengan pakar kanak-kanak (di klinik padeatrik) untuk mengetahui lebih lanjut "keistimewaannya". Saya ikut ibunya kerana saya minat pada perkembangan cucu-cucu saya, terutamanya Huzaifah (Ujai) dan Akif.

Kedua-duanya ada elemen anak istimewa.
Saya masih teringat-ingat hingga tidur malam akan peristiwa Huzaifah menerima "kelebihannya". Kami bina minda dan hatinya supaya ia tidak malu berbeza dari kawan-kawannya. Itu anugerah Allah. Sering kami katakan hakikat itu padanya. Semoga penghayatan keistimewaannya akan mendekatkannya lagi pada Allah yang menciptanya,....terus hingga dewasa.

Kini Huzaifah berumur tujuh tahun dan kami bawa ia berjumpa doktor pakar semoga dapat membantu daya tumpu konsentrasi yang singkat agar prestasinya di sekolahnya boleh diperbaiki. Berbagai soalan yang ditanyakan oleh doktor dan ibunya menjawab dengan harapan mendapat pertolongan yang sewajarnya. Huzaifah terlalu aktif dan dikhuatiri ia termasuk dalam kategori hyper-active. Seandainya hyper-active, bagaimana pula cara membantunya. Semua anak istimewa perlukan pertolongan.

Pakar-pakar di Hospital Putrajaya hanya boleh mengambil tindakan yang terhad kerana tidak ada doktor pakar yang berkaitan dengan masaalah Huzaifah seperti pakar psykologi kanak-kanak. Huzaifah perlu di rujuk ke Hospital lain dan kami di perakukan hospital HUKM di Cheras.

Kami akur cuma saya agak "tidak puas " dihati kerana appointmen yang terawal adalah enam bulan dari sekarang. Saya seperti rasa kecewa. Mengapa pihak kerajaan  tidak punya kemudahan dan perkhidmatan yang mencukupi bagi rakyaat biasa. Ini bukan masaalah Huzaifah seorang. Kami menanti jumpa Doktor dari jam lebih kurang 8.30 pagi tetapi hanya pada jam 1.00 tengah hari baru selesai. Itu pun setakat kami dirujuk ke Hospital lain. Bukan selesai dengan penjelasan yang sempurna dan mendapat rawatan yang sewajarnya.

Siapakah yang harus dipertanggongjawabkan dengan hal  seperti ini. Sistem pendidikan dapat menghasilkan pelajar-pelajar cemerlang yang mencuckupi untuk dilatih menjadi  doktor. Dan Malaysia pun adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil-mahsulnya yang melebihi negara-negara lain. Soalan saya tetap sama. Ke mana perginya kekayaan kita. Mengapa rakyat masih perlu tunggu lebih 3 jam rata-ratanya untuk mendapat perhatian / rawatan.

Sama-sama kita tunggu jawapan yang memuaskan.

Ada teman-teman yang mengatakan bersyukurlah dengan apa yang ada. Banyak negara lain yang lebih dhaif dari kita. Itu memang betul. Saya cuma takut dipersalahkan kerana kurang usaha. Allah beri akal untuk berfikir dan bertindak pintar dalam ruang linkup peraturan dan undang-undang yang ditentukan.

Semoga ada perubahan kepada yang lebih baik. Semoga Allah menunjuki jalan dan menurunkan pertolongan.
Ya Allah, kami mohon keampunan.

...
Related Posts with Thumbnails