"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, April 27, 2010

SETAPAK LAGI MENGHAMPIRI

 



Pagi-pagi lagi aku mengingatkan suami untuk cepat-cepat bersiap menemani ku ke hospital University untuk temujanji pemeriksaan ct scan otak dan jantung. Hati berdebar-debar walaupun minda cuba meyakinkan ini perkara kecil sahaja. Setelah sejam menunggu giliran, nama dipanggil dan berjumpa denga seorang Doktor yang aku pasti keturunan Arab. Dia memenerangkan prosedur yang akan dilalui. Hati masih gusar, dan apabila staff nurse mengambil tekanan darah dan denyutan jantung, aku gagal. denytan terlalu tinggi, 110. Yang mungkin dibenarkan ialah dibawah 80.

Nurse minta aku bertenang. Usaha ku tidak menjadi. Aku ke bilik air dan duduk diluar "berehat" katanya. Selepas setengah jam, aku diperiksa sekali lagi, tetapi masih 110. Tiada pilihan lagi. Aku diberi ubat oleh Dr Arab ini untuk menurunkan degupan jantung. Semasa "berehat" seorang pesakit yang duduk disampingan memberitahu bahawa doktor itu dari Iraq. Zoooom... pemikiran ku ke Iraq. Pastinya  Iraq memerlukannya lebih pada kita. Perjalanan hidup tidak sentiasanya dapat diduga. Dalam keadaan hati yang kelam- kabut ini, kerana berdepan dengan Dr Arab ini  aku teringatkan sebuah buku yang sedang di baca,(baru mula membaca)  iaitu ATLAS PERANG SALIB yang ditulis oleh Sami Bin Abdullah al-Maghluts. Buku ini sememang-nya sedang ditunggu-tunggu untuk dibaca supaya benar-benar memahami kemelut perang di timur tengah terutamanya di Palaestine. Dan aku juga ingin memahami karenah pembohongan Yahudi selama ini. Dr Iraq itu betul -betul menjejas sedikit konsetrasi ku pada pagi yang serabut ketakutan melalui prosidur yang telah ditetapkan. Apakan daya........

Maka hati ku ini jadi gundah memikirkan tugasan hidup yang belum selesai tetapi  baki nyawa dibadan, adat kata, makin terlalu hampir kepenghujungnya. Fungsi jantung yang  sudah mula kurang efisyen, adalah satu petanda nyata bahawa sudah setapak lagi  hampir kegarisan penamat. Aku katakan pada suami: "kita kena sama-sama cepat untuk tugasan habluminannas. Kita disuruh pegang talian kita dengan Allah dan talian kita dengan Manusia. Menunaikan Fardhu ain yang Lima itu belum mencukupi untuk kita layak ke Syurga, walaupun pada hakikatnya bahawa kesyurga itu adalah dengan Rahmat Allah semata-mata. Berbagai-bagai lagi yang masuk dalam fikiran walau pun nurse menyuruh aku "berehat".

Fikir punya fikir, sampailah giliran ku ke tempat CT SCAN. Seram sejuk rasanya, ditambah pula sejuk hawa dingin yang ada. Giliran ku kena buat dua kali kerana katanya aku tidak mengikut arahan bernafas yang betul. Aku ikut saja. Kemudian lama aku ditinggalkan kesejukan, tiada arahan seterusnya. Ada barang 15 minit. Kemudian mereka datang dan mengatakan test yang dijalani tidak berjaya. Setelah besalin pakaian aku berjumpa lagi dengan Dr Arab ini, Ahmad namanya. Dia memberi penerangan bahawa CT Scan ini tidak  sesuai dengan keadaan jantung ku, sebab ia sudah menampakan beberapa bukti aku mesti dirawat dengan lain cara. Maka aku dirujuk balik pada Kardiologis yang sememangnya merawatku.

Keputusannya  aku perlu berjumpa kembali pada 6 Mei ini untuk rawatan seterusnyan Nanti aku teruskan cerita betapa hidup ku ini tidak lama lagi mengikut kebiasaan yang ada. Tetapi aku bertekad untuk hidup seribu tahun lagi.Namun aku tahu itu hak Allah. Dan akan ku patuhi hadis yang mengatakan "kalau ada benih ditangan mu, dan engkau diberi tahu esuk akan Qiamat, tanamlah benih itu.". Jangan kia mencampuri urusan Allah. Dia yang maha Berkuasa atas segala sesuatu. Aku memohon keampunaan dan berusaha sedaya upaya. Semoga Allah memberi pertolongannya.dan bila-bila masa aku dijemput, semoga aku redha dan Allah mengampuni dan meredhai.
Amin.

Monday, April 26, 2010

IMPACT YOUR WORLD


Pada awal tahun ini saya ke Pulau Acheh, di Acheh denagan suami dan saya mengajak anak bujang saya bersama atas beberapa sebab dan paling penting bagi saya ialah supaya dapat berkongsi pengalaman dan mempelajari beberapa asam garam hidup secara langsung. Semasa muda saya kurang kesempatan maka dihujung-hujung kehidupan ini saya ingin mengimpakkannya dengan pengajaran yang boleh diwariskan.


 CNN ada program Imapct Your World. Saya tidak tertarik dengan kesemua yang dikata dan apa yang dibuat oleh CNN, tetapi saya suka pemikirannya mengenai kempennya "Impact Your World". Konsep ini agak besar untuk sesaorang benar-benar lakukan. Maka saya kata pada anak saya cukuplah kalau kita bermula dengan memfokus kepada "Impact Your Life".Impakan hidup anda, (Memberkesankan Hidup). Pada saya ini adalah kata-kata rangsangan untuk kita memotivasi diri sendiri supaya tidak menjalani hidup ini dengan sambil lewa, tidak menentu haluan dan hanya berfikir dari hari kehari sahaja. Dalam AlQuran banyak ayat yang menyuruh kita berfikir dan berzikir tentang segala ciptaan Allah yang maha Besar.Antaranya ialah dalam ayat 191, surah Ali Imran.
"Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) Wahai Tuhan kami, tidaklah engkau menjadikan bebda-benda ini dengan sia-sia, maha suci engkau, peliharalah kami dari azab neraka."


Dalam konteks ini saya ingin berkongsi mengenai saranan saya pada anak perempuan sulong saya. Anak saya ini ada bakat menulis dari kecil lagi. The New Straits Times memilihnya untuk bengkel penulisan semasa dia di sekolah menengah lagi. Dan dia suka juga photography. Maka saya menyarankan supaya ia mencari masa dan ruang untuk menulis dan mencantumkan dua elemen ini.  "Allah tidak menganugerah  bakat seperti ini kepada semua orang." Saya katakan kepadanya. "Maka ini merupakan satu tanggongjawab untuk memunafaatkannya."  Saya berharap ia membaca blog saya ini dan akan segera  menetapkan tarikh bila ia akan menyiapkan sebuah buku.  Saya berdoa semoga ia akan menggilap semangat juangnya supaya hidup ini tidak semata-mata berkerja harian dipejabat sahaja, pergi pagi dan balik petang. Semoga ia berkeyakinan untuk meninggalkan warisan bagi anak-anaknya dan kepada siapa jua, iaitu warisan yang berbentuk ilmu yang boleh dikembangluaskan selaras dengan prinsip mengimpakan hidup ini.

Bercerita mengenai mengimpakan hidup, seorang kawan saya telah bersara awal untuk memastikan ia boleh memunafatkan hidupnya dengan lebih intensif lagi. Ia berpendapat berkerja dalam perkhidmatan awam, terutamanya kalau berkerja dibawah  pengurusan yang kurang berwawasan, masanya kerjanya tidak padat dengan tindakan dan amalan yang menyeronokan yang boleh memberi kesan pada diri, masyarakat dan negara. Maka  ia berhijrah untuk berkerja sendiri dengan tekad untuk berbuat sesuatu yang dapat memberi faedah bukan sahaja pada diri tetapi pada insan yang lain. Hingga sekarang dalam umurnya yang sudah menjangkau 60an ia masih berkerja kuat dan istiqamah dalam  usaha untuk mencapai kepuasan hidup penuh berbakti. Antara lain, ia berjuang untuk memertabatkan ibu tunggal yang ditinggalkan suami dan ibu tunggal lain yang kurang keupayaan untuk berdikari. Ia juga membela anak-anak yang miskin dan cuba menyelesaikan masaalah anak-anak jalanan. Bukan kesemua usahanya mencapai kejayaan yang diidamkan tetapi usahanya tetap gigih dan tawakalnya pada Allah amat memberangsangkan teman-teman disekeliling yang kemudiannya tampil kehadapan untuk sama-sama membantu.




Walau apa jua pun, saya berpendapat bahawa untuk mengimpakan atau memberkesankan hidup ini kita jangan mencari kesalahan atau kekurangan yang ada disekeliling kita. Kata pepatah "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Dan Allah telah berjanji: "Buat yang Aku suruh, Rahmatku akan bersama". Justeru saya menyeru berterusan akan diri saya ini yang banyak ketinggalan untukberusaha mencari ruang-ruang dan peluang agar setiap detik yang kita lalui tidak merugikan. Saya selalu diingatkan bahawa Allah memberi keistimewaan pada kita semua dengan cara yang berlainan. Allah bersifat maha Pemurah dan maha Mengasihani. Maka kita tidak seharus terperangkap dalam "sindrom mangsa" dan sentiasa memberi alasan  mengapa kita tidak boleh berbuat sesuatu lebih dari apa yang sepatutnya. Justeru beberapa pepatah Melayu tidak lagi boleh diguna pakai dalam hidup ini seperti mengatakan "rezki secupak tidak akan jadi segantang," atau "Ulat dalam batu pun boleh hidup".

Sehubungan dengan ini, saya percaya bahawa untuk menentukan kita boleh memberkesankan hidup kita ini kita harus benar-benar memahami prinsip Qadha dan Qadar, ia itu salah satu rukun Iman dalam Islam, supaya kita mempunyi wawasan yang positif.  Saya tidak bertujuan untuk membahaskan prinsip itu di sini kerana saya bukan pakar dalam bidang itu. Cuma setelah saya mendapatkan kefaham yang meyakinkan saya tidak lagi mengatakan secara mudah (simplistic) bahawa "hidup mati, rezki dan jodoh pertemuan adalah di tangan Tuhan". Memang benar Allah maha berkuasa atas segala sesuatu. Tetapi Allah memberi juga pilihan pada kita. Di dalam alQuran Surah al Baqarah, ayat 256 Allah mengatakan: 
" Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan, maka siapa yang tidak percayakan taghut dan ia pula beriman pada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus, dan (ingatlah) Allah maha mendengar lagi maha mengetahui ".

Ia benar. Allah memberi pilihan pada kita, walaupun pilihan kita itu tidak mutlak. (a smaller will within the bigger Will ). Lihat surah Ar Ra'd ayat 38 -39.
" Dan demi sesungguhnya kami telah mengutus rasul-rasul sebelum mu, dan kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seorang rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempuh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah ditentukan ole suratan Ilahi."
" Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakkinya dan ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakkinya. Dan (ingatlah) pada sisinya ada ibu segala suratan."

Ustaz memberi penerangan bahawa di sini Allah berhak menentukan sesuatu, tetapi Allah juga membiarkan kita berbuat sesutu. Allah bertindak dalam konteks ini mengikut SunatullahNya. Allah akan memberi faedah atas kerajinan kita dan Allah juga mengakibatkan perbuatan negatif kita. Justeru, kalau kita berusaha bersungguh dan diiringi pula dengan doa maka pasti sungguh Allah akan mengurniakan balasan yang setimpal. Sebaliknya pula kalau kita berbuat sesuatu kearah kerosakan dan melampaui batas, maka padahnya pun di atas diri kita juga. Maka saya berkepercayaan bahawa Allah bersifat maha adil mada manusia. Kalau kita buat maka kita dapat. Kalau kita rasa kita tidak dapat, sebenarnya Allah "menyimpan" balasan Nya itu untuk suatu masa dan ketika yang Allah pilih untuk kebaikan kita semata-mata.

Mari kita fikirkan ini bersama dan bertindak sewajarnya. Esuk mungkin bukan untuk kita. Oleh itu kita mulakan hari ini dengan keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Kita bertindak mengimpakkan hidup kita semata-mata kerana Allah. Semoga Allah memberkati dan meredhai.
WaAllahua'lam.

Sunday, April 25, 2010

TOK AYAH DAN UJAI




Tanyakan siapa sahaja di Malaysia ini mengenai kepedulian dan kasih sayang seorang datuk kepada cucu sulungnya, pasti akan mendapat jawapan yang yang diiringi dengan senyuman lebar yang seperti tidak akan kesudahan. Dalam gambar ini kelihatan suami saya dengan Huzaifah, cucu yang "melampau" perilakunya apabila bersama Tok Ayahnya. Tidak balik pada ibunya tidak mengapa selagi Tok Ayah ada disampingnya. Apa yang ia hendak pasti akan dapat hampir  kesemuanya. Dahulu dengan anak tidak begitu tetapi dengan cucu perhatian datuk amat luar biasa. Bila cuti hujung minggu pasti akan cari jalan untuk mengambilnya supaya dapat bermain dan tidur bersamanya. Bila tidak dapat maka seolah-olah tidak tahu hendak buat apa dengan dirinya. Selalu saya katakan: "Sayang tu biar berpada-pada. Nanti cucu manja tak kira dan takut nanti hilang kejatian dirinya." Suami saya hanya senyum semacam tidak bersetuju dengan pendapat saya.

Huzaifah amat aktif perilakunya dan tidak duduk diam hingga kewaktu tidurnya. Ibunya telah dua kali (sekali di Jepun dan sekali di Putrajaya) bertanyakan dengan doktornya kalau-kalau Huzaifah ini dikira 'hyper active' perangainya.. Tidak katanya. Cuma ia lebih sedikit dari yang lainnya.

 

Huzaifah agak rapat berbanding dengan cucu yang lainnya mungkin kerana kami menjaga dan mengasuh nya selama 6 bulan dari umur sebelas hari selepas kelahirannya. Ibunya terpaksa melanjutka pengajiannya ke Jepun dan suaminya belum dapat mengikutinya kerana sebab syarat perkhidmatanya. Selepas 6 bulan barulah mereka dapat bersama. Agaknya ada naluri semula jadinya yang justru ia rapat dengan TokAyahnya dan saya juga. Jangan cucu-cucu lain jelous pula kerana ini bukan kami yang minta. Kasih sayang sama sahaja.

Namun kami peka bahawa anak (termasuk cucu) adalah perhiasan hidup semata-mata. Semoga mereka membesar dan menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.  Semoga mereka menjadi pejuang menegakan AdDin yang mulia, Islam sewajarnya, yang hak dan tiada yang selainnya.

 MESTI DENGAN TOK AYAH BILA ADA PELUANG.

Ujai........................
Besar nanti Ujai ingat-ingat
Kisah Tok Ayah dengan Embah
Beza warisan budaya
Beza  serba serbinya
Tetapi bersungguh untuk membentuk lakaran hidup bersama.

Ujai......
Besar nanti Ujai  ingat-ingat
Embah bawa warisan Jawa
Tok Ayah bawa warisan Petani dari utara
Tetapi jangan kira itu semua
Iman dan taqwa pegang kuat walau di mana-mana.

Ujai........
Besar nanti Ujai ingat-ingat
Embah "buat kopi" malam hari
Untuk Ujai tidur selesa  membuai mimpi
Dewasa nanti Ujai kuat minda dan hati
Membela kebenaran dan jangan takut mati.

Mati itu hanya sekali
Biar mati itu penuh bakti untuk Allah yang maha Tinggi
Biar mati itu menjadi tauladan 
Bahawa hidup ini hanyalah medan laluan
Menegakkan Islam jangan ragu dan berjuanglah denagan keberanian.

Ingatlah Ujai......................
Janji Allah itu benar
Neraka itu benar, Syurga itu benar.
Bina keyakinan dalam minda dah Ruh, jangan gentar
Allah itu amat hampir, kalau kita selalu beristighfar
Memohon ampun dan memohon pertolongan
Tiada yang lain selain dariNya
Dan Dia maha Mengetahui, maha Mendengar dan maha Mengurnia.

Tok Ayah sudah lanjut umur, Embah pun sama
Adat kata tidak kesampaian untuk lihat Ujai dewasa
Mohon doa sungguh-sungguh semoga kita semua Allah terima
Ibu ayah dan semua yang kita sayang dan cinta
Di Syurga Firdaus dan di Syurga pilihan hati nanti kita berjumpa.

 UJAI DENGAN NANNY (NANI)

AMIN, YA  ALLAH.

Tuesday, April 20, 2010

SAYANG PALASTINE

 Tengah hari tadi kami berbincang mengenai bagaimana kami dapat melaksana program mengumpul dana bagi bantuan perubatan penduduk bumi Palastine. Ulamak besar dunia, Yusuf Qardhawi telah memfatwakan bahawa membantu Palastine adalah wajib bagi mereka yang berkemampuan.

Tetapi sayang sekali masih ada pihak pentadbir Masjid yang masih belum mahu menyokong program seperti ini dengan cara bersungguh-sungguh. Mereka merasakan masaalah di sana adalah masaalah negara-negara Arab. Alangkah melesetnya tanggapan itu. Masjid Al Aqsa di Palastine adalah masjid semua umat Islam, tidak kira di mana mereka berada. Tetapi masih ada umat Islam yang belum benar-benar memahami masaalah di rantau itu. Kalau yang tidak memahami itu rakyat jelata, tidak hairanlah kerana mereka tidak dapat maklumat yang mencukupi. Tetapi ada golongan yang  berpendidikan tinggi dan memegang jawatan awam yang penting-penting tidak mahu menerima hakikat bahawa masaalh di Palastine harus ditangani dengan satu tekad yang berasaskan keimanan dan bukan atas dasar pemahaman intelek sahaja.

Sayang Palastine seperti keseorangan, seperti tidak diambil hirau oleh setengah-setengah pihak. Bukan itu sahaja. Malah ada orang-orang Islam yang mengaku dirinya beriman tetapi tampil kehadapan membantu negara yang memusuhi Palastine. Mereka menyokong dan membantu sekutu-sekutu Israel. Kita tidak akan faham dan tidak akan membantu dengan  jiwa dan raga selagi kita tidak mahu mengerti siapa itu Yahudi yang sebenarnya. Saya berdoa mereka di Malaysia yang "KELIRU"  semoga diberi petunjuk oleh Allah swt. Rajin-rajinlah mempelajari alQuran secara terperinci supaya kita menjumpai ayat-ayat yang menceritakan perihal sifat Yahudi yang medustakan Allah.
WaAllahu'alam.

Monday, April 12, 2010

YANG INGAT DAN TAK INGAT.





Hari ini entah kenapa saya teringatkan seorang kawan yang telah 2 tahun meninggalkan dunia yang sementara ini. Namanya Saadah Din dan Allahyarham pernah bekerja bersama saya dahulu. Bila saya mengingatkan perihal anak-anak, saya akan ingat dia kerana dia selalu sahaja bercerita-cerita dengan saya dan sama-sama memikirkan bagaimana keadaan anak-anak kita bila kita tidak ada nanti. Ingat kita ke tidak agaknya...........Kadang-kadang air matanya berlinang bila berbicara kerana dia amat sayang akan anak-anaknya.

Takdir menentukan ia berpisah dengan suami dan anak-anak tinggal bersama-samanya. Dia akan sedaya upaya cuba merapati anak-anaknya walaupun mereka sudah peringkat remaja terutamanya bila dia berjodoh dengan seorang lain pula. Dalam hidup yang serba mencabar ia akan mencari masa untuk menghantar anak-anaknya kesekolah dan akan memasak untuk mereka walaupun sekadar masak Maggie Mee. "Masak Maggie mee pun nak kena buatkan?" saya bertanya berseloroh. "Ialah puan. Kalau tak buat apa-apa, dia orang nak ingat apa kat kita?" Ia tak ia pulak, saya kata.(If we do not do anything at all for them, they will never ever remember us).Terharu saya bila sesekali saya teringat akan kawan saya ini.

Kini dia telah tiada setelah beberapa lama bertahan menghidap penyakit kanser. Setelah dua minggu kawan saya pergi buat selamanya., saya menalipon anaknya dan pesan sunguh-sungguh supaya jangan lupa Mama. "Kerjakan amal soleh dan Mama akan dapat munafaatnya, seperti disebut didalam hadith. Saya akan sentiasa ingat prinsip kasih sayangnya. Sentiasa berhubung dan berkongsi berbuat sesuatu walaupun perbuatan itu nampak kecil. Kecil tetapi penting. Saya berdoa semoga Allah meredhainya.

Bagi saya pula, banyak yang saya ingat mengenai Mak saya. Saya anak bongsu dan diatas saya ada 6 orang kakak dan seorang abang. Mak saya banyak bekerja diluar rumah. Kakak-kakak yang memasak untuk keluarga. Bila saya ingat Mak saya, bukan masakannya yang saya ingat tetapi cara ia mengajar saya bekerja yang saya ingat. Walaupun perempuan saya diajar menebang pokok, menggeraji dan membelah kayu untuk kayu api. Saya pun boleh mengupas sabut kelapa dan boleh menangkap belut di parit-parit. Saya keturunan pendatang dari Tanah Jawa maka tidak hairanlah saya diasuh berkerja kuat. Semasa saya kecil dan menemani Allahyarham Mak saya menoreh getah, saya masih ingat kadang-kadang saya minta dukong di belakangnya kerana jauh berjalan. Mak mendukong tanpa banyak soal. Itu lah ertinya kasih sayang yang tidak bersyarat. Bakti Mak Ayah tidak akan terbalas. Saya diajar Ustaz supaya mendoakan semoga Allah mengampuni mereka dan menghimpun mereka bersama-sama para Siddiqin, Syuhadak dan Solihin.


Gambar Hiasan -Banjaran Himalays (Everest)
dari www flickr.com


Sekarang di zaman Cyber ini saya tidak mengasuh dan mendidik anak-anak saya seperti cara saya membesar dahulu. Maka tidaklah saya tahu apa yang mereka akan ingat akan diri saya. Saya hanya masak yang sangat minima. Menghidang makanan yang berbagai jenis tidak menjadi agenda besar dalam prinsip hidup saya bersama emak dan bapak. Bapak saya sentiasa mengingatkan bahawa makan yang banyak dan tidur yang banyak akan membuat kita benak. Oleh kerana makan adalah perkara kecil, maka saya agak pasti anak-anak saya tidak akan ingat saya kerana masakkan yang sedap-sedap. Agaknya mereka ingat saya kerana becok leteran mulut saya, terutama kalau bangun lewat waktu pagi atau terlalu banyak tidur di hujung minggu. Anak perempuan saya antara yang "tertidur" dalam membaca nobel, dengan senghaja atau tidak senghaja. Saya kata padanya: " Pergi main sukan lagi baik daripada tidur, pergi panjat bukit ke..., mendaki gunong ke..ia lebih bermunafaat. Lama-lama bingit ditelinga agaknya maka dia pun mula giat diluar rumah. Rupa-rupanya betul dia masuk kelab untuk mendaki gunong Kinabalu. Dipendekan cerita dia berjaya mendaki Gunong Kinabalu. Agaknya nanti mendaki Everest pulak, mana tahu.....




Biasanya kita mengingatkan sesuatu perkara bila kita duduk bersendirian atau tetekala kita teserempak dengan peristiwa yang mencetus minda untuk mengimbau kembali masa yang telah berlalu. Saya suka bercerita kisah saya membesar dan dibesarkan pada anak-anak dan anak-anak buah sekurang-kurang nya ketika musim cuti atau di musim hari perayaan. Disebalik cerita ada prinsip atau sikap yang mahu dikongsikan untuk tauladan, seperti sikap berani meneroka, berani ambil risiko, beristiqamah dalam membuat sesuatu yang baik dan lain-lain sepertinya. Proses menerap nilai adalah suatu perkara yang memerlukan kesedaran dan kesabaran. Kita tidak mahu anak-anak mempunyai sikap seperti lalang. Ikut sahaja, itu lebih mudah. Semasa saya berkerja saya masih ingat agak ramai juga yang bersikap seperti lalang. "Jangan melawan arus", setengah kawan menasihati saya. Saya diam berfikir.Sebenarnya saya tidak sentiasa melawan arus. Saya hanya "berdegil" dan mempertahankan pendirian saya kalau ia melibatkan hal-hal prinsip. Saya tidak berkeras kalau ia hanya pendapat mengenai cita rasa. Diakhir perkhidmatan Boss Utama saya berkata, "Ngasobah has a lot of Ideas, but we often have to neutralise her". Tak apalah, sebab saya ingat cerita semasa Nabi Ibrahim AS dibakar dalam api yang menjulang tinggi. Seekor burong cuba memadamkannya dengan caranya yang tidak munasabah untuk api terpadam. Tetapi ia berbuat demikian untuk membuktikan pada Allah dia tidak sekongkol dengan yang engkar dan zalim. Semoga Allah mengampuni semua yang ada kelemahan dan kekurangan, termasuk saya sendiri.

Saturday, April 10, 2010

JANGAN KELIRU




BERSENDIRIAN

Hari ini saya terbaca katanya "kontrak APCO dengan kerajaan" akan ditamatkan apabila sampai tarikh luput kontrak itu. Pada fahaman saya mengenai ikatan kontrak, ini bukan konsep 'ditamatkan' tetapi kontrak tidak disambung atau diperbaharui. Kalau konsep 'ditamatkan' ia bererti ia diberhentikan sebelum tarikh sah laku kontrak sampai kepenghujungnya.Kalau tunggu Ogos baru tamat saya khuatir banyak yang boleh dibuat yang akan menjejas kepentingan negara.

Tak tahulah saya. Cuma kita jangan keliru. Pertama keliru erti tamatkan kontrak. Kedua jangan kita keliru bahawa pengaruh negatif Yahudi itu bukan semata-mata melalui Kontrak, apa jua jenis kontrak. "It goes beyond boarders". Niat jahat yang halus oleh Yahudi ada di mana-mana. Kalau kita baca dan amati "The Jewish Protocol" kita akan tahu dengan lebih lanjut bagaimana Yahudi mempengaruhi dunia, termasuk kuasa-kuasa besar. Lebih penting dari itu kita baca tafsir alQuran mengenai Bani Israel. Barulah nanti kita faham bagaiman Yahudi menyelusup dan menyerap masuk kedalam kehidupan harian kita. (Kita mohon perlindungan dari Allah).

Kebanyakan kita tidak yakin bahawa sehari-harian kita mendukung cita-cita Yahudi. Lihat sajalah dalam dunia hiburan dan sukan. Satu fakta yang penting kita selalu lalai untuk menjaga solat. Kemudahan tempat solat sudah bertambah tetapi belum mencukupi untuk menarik minat mereka yang mencari keselesaan dalam pengabdian. Ini belum lagi kita cerita program TV yang penyelitan nilai mereka sungguh halus untuk disedari. Dalam dasar pembangunan untuk rakyat pun ia ada kalau kita lihat betul-betul. Dalam dunia pendidikan kita lihat agak ketara. Selalu kita dengar mengenai penggubalan semula kurikulum pendidikan Islam. Bunyinya dan tujuannya semacam baik tapi belum tentu lagi. (Ini perlu forum lain untuk perbincangan lanjut).

Itu sahaja pandangan ringkas saya kerana entry blog hanya bertujuan untuk mencuit minda untuk menyemak hala tujuan pemikiran kita. Lagi sekali saya suka mengingatkan diri saya sendiri dan siapa jua bahawa "KEBENARAN TIDAK MEMIHAK". ALLAH MAHA MENGETAHUI DAN KEPADANYA KITA DIKEMBALIKAN.
Saya mohon ampun dan semoga Allah memelihara.
Amin.

Friday, April 9, 2010

AYAM DULU ATAU TELUR DULU




Salam Jumaat.
Semasa saya menuntut di University Malaya dahulu dalam Fakulty Ekonomi dalam awal tahun 70an, saya masih ingat satu kursus yang antara lain membincangkan 'The Falacy of Logic'. Ia dikendali sendiri, pada tahun pertama, oleh Professor Di Raja Ungku Aziz selaku Naib Canselor. Hingga sekarang saya terpaku dengan ajaran beliau mengenai betapa cara pemikiran kita menjadi celaru apabila kita menggunakan prinsip logic secara lurus bendul (straight forward). Maka hari ini apabila saya terbaca dalam satu akhbar bahawa Ketua Polis Negara meminta Ketua Pembangkang mengemukakan bukti adanya pengaruh Israel dalam PDRM sebelum beliau membuka fail untuk memulakan penyiasatan, saya bertanya pada diri : "Dalam prisip mengambil tindakan bagaimana kita perlu melepas diri dari soalan AYAM DULU ATAU TELUR DULU?"


 Gambar-gambar dari mypetchicken.com

Semasa saya berkerja dahulu saya diajar dan dilatih untuk mengambil tindakan bukan atas dasar siapa yang melapor tetapi atas apa yang dilapor. Satu ketika dahulu saya dipertanggongjawabkan dengan hal-hal intergriti dan tatatertib dalam Jabatan Sumber Manusia di Kementerian Pendidikan dan saya diarah untuk mengambil tindakan mengikut kesewajaran kes (Merit of the Case). Oleh yang demikian saya agak keliru sekarang tentang cara perkhidmatan awam bertindak. Agaknya saya sudah ketinggalan zaman kerana saya sudah tujuh tahun bersara. Namun hal ini memberi kesan kurang selesa kepada rakyat biasa seperti saya dan menggugat keyakinan atas pentadbiran awam.

Saya menulis entry ini atas dasar "KEBENARAN TIDAK MEMIHAK". Dan saya sukalah mengingatkan diri sendiri dan siapa jua yang mempunyai sikap BERKEPEDULIAN supaya melihat kembali cara kita berfikir dan cara kita bertindak. Allah yang maha melihat dan maha mengetahui apa yang kita zahirkan dan apa yang kita sembunyikan dan kepadaNYA kita semua akan dikembalikan dan dipertanggong jawabkan. Biarlah kita menyesal dahulu dan jangan menyesal kemudian.

Ya Allah kami mohon keampunan dan mohon pertolongan semoga mendapat perlindungan dari MU sentiasa dan kami mohon kesejahteraan di dunia dan di akhirat dan dijauhkan dari api neraka.
Amin.

Thursday, April 8, 2010

YANG MENGECEWAKAN





Kalau benar apa yang saya dengar dan yang saya baca sekarang ini mengenai adanya pengaruh Israel dalam Pentadbiran Negara melalui beberapa ajensi / APCO, saya rasa amat kecewa. Saya berdoa berita ini tidak benar.

Saya rasa amat kecewa kerana sekarang ini NGO yang saya anggotai bersama NGO lain bergiat sungguh-sungguh untuk memungut Dana bagi membantu kehidupan rakyat Palestine dan menyelamatkan Masjid Al Aqsa yang sedang diusahakan bermati-matian oleh Israel untuk dibinasakan. Jika benar ada unsur seperti yang saya sebut di atas tadi maka saya rasa khuatir musuh Islam amat dekat sekali dan wujud dalam negara kita sendiri dan "beroperasi" secara langsung.

Saya hanya mampu berdoa:
Ya Allah selamatkanlah kami dari musuh durjana ini dan berilah taufik dan hidayah pada rakyat yang belum sedar mengenai kezaliman musuh ini. Engkau yang maha Mengetahui, maha Bijaksana, maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ya Allah timbulkanlah kesedaran pada mereka yang berkenaan untuk melihat dan menilai kembali asas-asas tindakan mereka supaya keselamatan dan kewibawaan Negara tidak dalam bahaya. Ya Allah Engkau telah menceritakan betapa engkar kaum ini seperti di dalam ALQuran dan mereka banyak mendustakan, maka Ya Allah, perkuatkanlah Iman kami agar kami mampu mempertahankan diri daripada bersifat seperti orang yang tidak yakin akan berita dari MU. YA ALLAH SEMOGA KAMI TIDAK TERDIRI DARI ORANG-ORANG YANG MENZALIMI DIRI SENDIRI.Ya Allah Tolonglah kami dan Selamatkanlah kami dan semua yang beriman dengan Mu dimana jua mereka berada, Engkaulah yang maha Perkasa dan tidak ada Kekuasaan dan Kekuatan melainkan dari Mu sahaja. Ya Allah, Ya Rabbala'lamin. Amin.

Tuesday, April 6, 2010

KEUTUHAN IKATAN BUDI


Berbagai pengertian untuk "budi". Anak kecil paling mudah mengertikan budi, walaupun ia belum pandai bertutur untuk menyuarakan isi hati.Lihatlah anak kecil dari kelincahan gerak gerinya dan dari senyum ketawanya dan dari keriangan sinar matanya. Dari situ dapat kita rasai dan nilai isi hatinya dan juga kesejahteraan proses pembesarannya.

Saya tafsir budi ikut fahaman sendiri. Ia adalah ikatan kasih sayang yang luhur yang tidak berbelah bagi yang tidak menagih pujian atau balasan kembali. Anak kecil mudah sahaja mengertikan budi kalau ianya selalu dipeluk dibelai dengan sentuhan selembut sutera dan kata-kata halus yang menawan jiwa. Justeru anak kecil akan rasa selesa, sejahtera, mudah senyum mesra dan mudah gelak ketawa.

Budi adalah juga meliputu budi pekerti, adab dan peradaban dalam perhubungan satu diri dengan diri yang lain. Saya guna istilah budi di sini mengikut fahaman ini dan untuk saya bicara dengan diri sendiri, untuk berfikir dan bertanya rasa hati samaada gerak rasa yang kadang kala selesa, kadang kala kecewa mengenai apa yang berlaku disekeliling sebenarnya suatu realiti yang benar sahih atau hanya mainan fikiran dan perasaan yang masih belum benar-benar suci dan belum benar-benar menghayati suruhan Ilahi.

Sering saya mengamati mengenai ikatan keluhuran budi dalam famili dan juga 'extended' famili dan juga famili-famili yang hampir dihati atau yang berada disekeliling yang selalu dihubungi. Saya perhati bahawa IBU dan BAPA adalah seperti pusaran energy dalam pengeratan penyatuan kasih sayang antara ahli. Tumpuan jitu akan wujud walaupun ahli famili berjauhan beribu batu. Ingatan rindu akan terpaku di sanubari dan akan menghantui fikiran dan perasaan jika tidak dilayan dan tidak dipadu mengikut nilai budaya yang telah lama dihayati untuk menyatakan bahawa KONSEP "FAMILI" ITU SATU."   Iaitu satu dalam pemikiran yang mendasarkan prinsip dan nilai hidup dan kehidupan dan satu dalam wawasan dan tujuan. Yang "satu" ini secara sedar atau tidak sedar, akan dipertahan keutuhannya, akan dibela dan dicukupi kekurangannya dan akan dipertaruhkan hati budi demi menjaga maruah dan keharmonian sejati.

Saya juga berpendapat bahawa keutuhan ikatan budi ini bukan berasaskan ekonomi famili dan bukan status kedudukan dalam masyarakat yang sama-sama dihuni. Keutuhan ikatan budi ini adalah diasaskan pada  janji-janji yang dilahirkan dan dizahirkan dari permulan dulu lagi, iaitu dari permulaan ijab kabul mengikut Sunnah yang di metri penuh sempurna dengan saksi-saksi. Janji-janji ini ibarat "keramat" dan seharusnya tidak mudah diganggu gugat dengan apa jua ynag menghapri diri dan apa jua tarikan luaran yang bertubi-tubi yang boleh mencabar keutuhan janji yang diberi.

Saya merasakan jika salah satu ahli atau beberapa ahli tidak dapat mempertahankan konsep famili yang "satu" ini, maka budi akan layu terkulai dan mungkin gugur ke bumi. Keutuhan ikatan budi dalam famili perlu dipupuk dengan semangat kesepaduan tekad dan jati diri dengan synergy yang benar-benar akan dapat menjadi benteng mempertahan apa jua yang mendatang. Dunia kita penuh pancar roba dan petualang-petualang yang akan merampas kebahagiaan dan meleborkan impian.. Prinsip kekuatan budi dalam kekeluargaan jika hanya dibibir mulut tidak akan dapat mempertahan godaan. Prinsip kekuatan harus dari dalaman, dari hati yang ditarbiah dengan isi alQuran dan dengan semua sumber ilmu yang berkaitan. Yang tua harus komitted dalam mewariskan contoh tauladan dan mengelakan perilaku yang menjadi sempadan. Yang tua harus mentarbiah yang muda dengan penuh hikmah dan keadilan dan tidak akan timbul seperti arahan berjalan lurus seperti arahan seekor ketam. Justeru yang tua dipertanggong-jawabkan jika berlaku apa jua kesalahan dan kekecewaan yang akan menggelincirkan wawasan famili masa hadapan.

Generasi lapisan perlu bimbingan dan kepimpinan dari yang tua yang berpengalaman supaya ia menjadi penyuluh hidup berteraskan keimanan dan ketaqwaan. Justeru perlu ada ketelusan dan ketulusan dalam apa jua tindakan agar ahli famili tidak rasa dipinggirkan dan rasa dipekecilkan. Jika keputusan sesuatu tindakan di buat secara rahsia tanpa rundingan atau pemberitahuan, maka nyata titik-titik perpecahan akan mula menampakan keretakkan. Tidak kira kalau ada harta seluas lautan atau ada kekayaan juta-jutaan. Jika tidak ada kepedulian menjaga budi dan ihsan, ini semua akan menghancurkan kewujudan sakinah yang selama ini dirasakan. Tentunya nanti ada diantara ahli famili seorang individu atau beberapa individu yang akan hilang pautan kasih dan sayang dan akan rasa kesaorangan dan kesunyian.Mungkin ini akan dirasai secara diam-diam kerana khuatir kalau dinyatakan dan dizahirkan ia akan membawa padah yang akan lebih memporak-perandakan.Maka secara diam-diam juga ia terus berkorban seperti pengorbanan yang selama ini sudah dilakukan walaupun asas pengorbanan itu berbeza keadaan.

Saya terus berfikir-fikir. Inikah erti hidup dan kehidupan. Inikah erti budi dan kasih dalam famili yang makin jauh dari ibu dan jauh dari bapa (kerana sekarang mereka sudah tiada), maka kita jadi alpa dan beranggapan kita boleh menepuk dada tanya selera. Saya mula menyedari rupa-rupanya boleh hilang pusaran energy dan nilai-nilai budi yang diwarisi bertahun-tahun kini. Jika saya perhati dan saya amati, saya rasa takut dan khuatir akan timbul rasa nafsi-nafsi.

Entahlah. Saya berdoa semoga apa yang saya catat ini sebenarnya tidak wujud sama sekali. Cuma saya yang suka menyibukan diri dan melihat lebih jauh dari apa yang dekat dimata dan apa yang dekat dihati.
"Ya Allah, perbetulkan cara aku melihat, cara aku berfikir, cara aku menilai, cara aku mentafsir dan cara aku mengambil peduli. Lapangkanlah rasa hati dalam dada ini dan berilah petunjuk dan hidayah pada semua ahli famili semoga kami akan terus dapat berbakti dan akan terus merasai kasih sayangMu, kerana itu yang lebih bermakna dalam hidup ini.Ya Allah, perkuatkan lah rasa tanggong jawab ku dalam famili, kerana jika tanggong jawab syarie tidak sebenar-benarnya di penuhi, aku takut terlepas hak diri.Namun,Ya Allah, buatkan hati-hati ini mengerti dan menghayati bahawa hidup ini bukan mengenai Hak diri.Kesejahteraan abadi untuk semua yang kami cari.
Ya Allah, mudahkanlah bagi kami, ampuni kami dan redhailah kami, hambu mu yang kerdil dan fakir ini."
Amin.

Monday, April 5, 2010

YANG BERANI




Kelmarin dulu anak saya membelikan saya buku 'Nota Fikir Untuk Zikir' oleh Pahrol Mohd Juoi dari Pesta Buku Antarabangsa. Dia belikan juga untuk saya buku "INGIN JADI NASRALLAH" oleh Faisal Tehrani. Saya minat menulis cara saya dan membaca sajak atau puisi sejak dari di bangku sekolah lagi. Maka seronok saya mendapat buku ini kerana bukan sahaja puisi-puisi dituls secara kreatif tetapi penampilannya juga kreatif.



Gambar-gambar dalam program "Jati Diri" Pertubuhan Mawaddah Malaysia.
Semoga ada di antara mereka yang Dewasa Nanti Bersikap Berani Kerana Benar.

Saya kagum dengan Nasrallah, pejuang yang mengetuai kumpulan Hizbullah di Lebenon dan mempertahankan kedaulatan Islam. Faisal Tehrani mengambil semangatnya, seorang yang berani berusaha untuk mencapai apa sahaja yang diingini dan juga berani mempertahankan kebenaran walaupun terpakasa merentas kesusahan yang amat sangat.

Di sini saya  tidak bermaksud hendak membakar jiwa-jiwa yang mengerti untuk menganggotai Pertubuhan Hizbullah bersama Nasrallah. .Tidak sama sekali. Saya cuma ingin memanjangkan pemikiran kita bersama mengenai bagaimana kita mahu melahirkan genarasi yang bersikap berani, bukan berani semata-mata untuk berperang secara fisikal, tetapi berani menengahkan apa jua pendapat dan pemikiran yang ada pada diri dan berani mempertahankannya dengan apa jua cara. Saya sedar bahawa sikap berani boleh membawa kepada yang positif tetapi boleh juga membawa  kepada yang negatif. Justeru itu, dalam usaha melahirkan generasi yang berani kita harus hati-hati.

Kita mahukan mereka yang berani kerana benar. Kita mahukan mereka hidup bermarwah dan bukan ikut-ikutan. Kita tidak mahu membina generasi yang bijak pintar, tetapi tidak berani menjadi pemimpin untuk membenarkan apa yang benar. Kita tidak mahu pembenaran tetapi kita mahu Kebenaran. Dan pernah saya katakan dulu: "Kebenaran Tidak Memihak" Yang benar tetap benar, yang Batil tetap batil.

Di sini saya ingin berkongsi satu strategi yang mudah untuk membina sikap berani. Saya tidak bertujuan untuk berbincang secara professional dan mendalam kerana itu kita boleh buat dalam forum-forum yang berasingan yang lebih sesuai.Di sini saya mahu berbincang bagaimana mahu membina sikap SUKA BERTANYA di kalangan anak-anak yang sedang membesar supaya bila dewasa mereka akan berani bertanya jika mereka merasakan ada perkara ynag perlu ditanya dan perlu mendapat jawapan yang sebenarnya.Jika kita perhatikan anak-anak kecil dalam masyarakat kita suka bertanya ketika kecil hinggakan kadang kala  kita tidak tahu akan jawapannya. Tetapi bagaimana sikap suka bertanya ini hilang apabila mereka mula bersekolah dan tinggal saki baki sahaja  apabila mereka dewasa dan bekerja . Saya percaya bahawa "suka bertanya" adalah titik permulaan untuk "berani bertanya", dan berani bertanya adalah asas-asas berani menegakkan kebenaran.

Agaknya hilang minat "suka bertanya" ini bermula di bangku sekolah. Mungkin guru-guru tidak ada masa yang mencuckupi untuk membenarkan murid atau pelajar bertanya soalan, terutamanya jika soalan itu semacam tidak relevan pada mulanya. Saya semacam befikiran bahawa sistem pendidikan kita seperti tidak upaya untuk memeberi keutamaan bagi  latihan membuka minda. Kita hanya suka pelajar-pelajar mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Sebab itu kita ada projek "latih Tubi" bila  hampir sampai waktu peperiksaan. Pemerhatian saya ialah bila dewasa nanti "aqal" mereka sempit, seperti seolah-olah hanya ada satu jalan sahaja untuk menyelesaikan masaalah yang dihadapi. Mereka secara tidak disedari "terikat" dengan cara kalau ini soalan, begini cara jawapan. Alangkah ruginya, pada pendapat saya. Apa pendapat anda dalam hal ini agaknya.

Sehubungan ini saya selalu menaikan semangat anak-anak buah saya supaya berani bertanya. Kita tidak mahu kita negara yang hidup mewah, tetapi oleh kerana kita "rasa takut" untuk bertanya maka kita akan menjadi pengikut. Mana maruah rakyat yang berdaulat. Saya khuatir kita dijajah tanpa disedari dan jika ini berlaku maka hakikat kebebasan dan kedaulatan yang sebenarnya tidak dapat kita hayati.

Dalam Islam kita sentiasa digalakankan untuk berfikir. Banyak ayat-ayat alQuran yang memerintah kita untuk berfikir. Dan dan jalan Berfikir adalah dengan Bertanya. Mari kita fikirkan bersama.


Sedang "belajar" Bagaiman Hendak Jadi Berani ?
Gambar hiasan dari Myitf.Org
WaAllahua'lam.

Friday, April 2, 2010

ALAHAI....SAYA DAH TUA.

 




Saya selalu katakan saya sudah tua. Kalau ikut tahun Hijriah saya sekarang  berumur 65 tahun. Ada kawan-kawan saya yang tidak setuju kalau saya katakan  saya dah tua. "Nanti betul-betul tak upaya," kata mereka. Tidak.................Saya suka mengingatkan diri bahawa tempuh masa saya (adat kata) sudah tidak lama. Kalau pun saya tidak ada penyakit, (saya ada), saya rasa tidak bijak kalau saya bercita-cita bermacam-macam. Saya cuma mahukan kesihatan yang baik yang dengan izin Allah boleh saya menyumbang pada yang memerlukan.

Baru-baru ini NGO yang saya anggotai mahu melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa. Saya kata pilih yang muda sebagai pelapis. Maka saya hanya jadi Pegerusi Tetap. InsyaAllah saya tidak akan membiarkan minda menjadi kosong. Saya akan ikut nasihat siapa jua supaya dapat saya munafaatkan umur yang tinggal sedikit ini.

Bercakap mengenai tua, pagi ini saya berbincang dengan anak lelaki saya mengenai calon pilihan untuk isteri. Apa jua kriterior, iman dan taqwa mesti yang utama. Anak saya bertanya padanya sama ada dia sanggup duduk dengan Mak Ayah jika ditakdirkan berjodoh. Katanya kalau boleh dia suka tinggal asing supaya ada privacy. Saya senyum. Tetapi dalam hati berkata-kata, "bilakah masa sesuai untuk tarbiah apa itu hidup dan kehidupan serta tuntutan sharie yang mesti dipatuhi".


Saya hanya berkata,"Tanyakan pada Ustaz, antara Mak Ayah dan isteri, siapa yang mesti didahulukan." Ini hanya kata-kata pendahuluan supaya tidak terkejut. Dan anak saya pun beredar dengan senyuman lebar kerana dia tahu apa yang saya maksudkan.


Secara umumnya anak-anak muda sekarang banyak terpengaruh nilai-nilai Barat, seperti konsep "privacy" dalam kehidupan berkeluarga. Sebab itulah makin ramai Mak Ayah yang menghuni rumah orang tua-tua kerana tidak ada keserasian antara keduanya, ia itu antara Mak Ayah dan anak-anak.  Ini benar pada semua keturunan, Melayu, Cina , Jawa dan siapa jua.Banyak yang sudah diperbincangkan mengenai perkara ini di media massa dan di sessi ceramah di sana sini. Terpulanglah pada masing-masing menilainya. Semua pendapat dikatakan ada baiknya dan ada buruknya. Tidak tahulah yang mana harus diwariskan. Tetapi sebagi satu legacy keluarga, saya menjaga Emak saya dan Ibu mertua saya hingga akhir. Adik beradik dan Ipar duai saya pun begitu. Tidak pernah terlintas untuk meletak mereka di rumah orang tua-tua.

Di kawasan perumahan saya di Kg. Tunku Petaling Jaya, ada rumah orang tua-tua. Ia amat hampir dengan lokasi rumah saya. Maka ini tidak "disenagi" oleh jiran-jiran kerana katanya rumah itu akan ada kesan negative pada nilai hartanah. Lokasi perumahan tidak menjadi exclusive dan harga tanah akan turun. Saya berbelah bagi untuk menanda tangani suatu surat bantahan kepada Majlis Bandarraya Petaling Jaya. Namun akhirnya saya tanda tangani juga. Namun saya masih tidak seronok sepenuhnya. Rata-rata kami di Kg. Tunku adalah warga dalam zone warga emas. Jika kami pun (yang tua dan yang hampir tua) tidak suka adanya rumah orang tua-tua, maka kemana akan mereka dibawa. Suka saya menanyakan pada MBPJ. Maka persoalan peribadi saya berbunyi : Jika anak tidak mahu tinggal bersama, rumah orang tua-tua pun susah mencari lokasi, jadi saya ni esuk nak kemana agaknya?


Senyap-senyap saya pujuk diri sendiri.Jangan risau Allah ada.Bertawakal dan terus berdoa semoga Allah kurnia hidup lama dan sihat zahir dan batin. Dan semoga saya boleh menjaga diri hingga ke akhir hayat dan dapat menyempurnakan segala kewajipan saya dengan Allah dan saya dengan manusia yang lain. Saya juga berdoa Allah tentukan yang terbaik pada semua ibu bapa dan yang terbaik pada semua anak-anak. Semoga Allah mudahkan proses penuaan dan semoga Allah kurnia iman dan taqwa dan kebijaksanaan untuk membuat pilihan mengikut garis panduan yang Syarie.Akhirnya semoga Allah mengampuni dan meredhai.
Amin.

Thursday, April 1, 2010

KURA-KURA @ AFGHANISTAN


GAMBAR DARIDREAMS TIME .COM

Dua hari dulu anak saya membeli buku untuk saya "NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR" oleh Pahrol Mohd Juoi sekembalinya dari Pesta Buku Antarabangsa di PWTC.Saya mem baca dengan teknik 'Speed Reading' dan bila sampai kepada tajuk cerita Arnab dan Kura-kura saya tertarik perhatian kerana saya baru melalui bacaan alQuran secara harfiah dan sampai pada ayat di surah Al Anfal yang bercerita mengenai orang-orang yang sabar dalam peperangan.Saya suka hendak mengaitkan cerita ini dengan peperangan di Afghanistan. Setengah tafsir mengatakan Allah menurunkan ayat-ayat itu untuk memberi keyakinan pada tentera Islam di bawah pemerintahan Nabi Muhammad saw bahawa mereka boleh menanag jika iman dan taqwanya tinggi dan persediaan perangnya diatur dengan rapi.

GAMBAR DARI SCRAPETY.COM

GAMBAR DARI SOCIALISTUNITY.COM
GAMBAR ALLVOICES .COM

Mungkin ada yang bertanya mengapa saya kaitkan peperangan di Afghanistan dengan cerita Kura-kura dan Arnab. Sebenarnya peperangan di Afghanista hanya sebagai contoh. Analogy ini saya ambil kerana itu yang mudah. Ia boleh meliputi di mana jua mengenai peperangan musuh-musuh Islam di negara Islam. Dalam alQuran  surah Al Anfal ayat 65 dan 66 Allah berfirman:

"Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada diantara kamu 20 orang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan 200. Dan jika ada diantara kamu 100, nescaya mereka dapat mengalahkan 1,000 dari orang-orang kafir, disebabkan kerana mereka kaum yang tidak mengerti."
"Sekarang Allah telah meringankan atas kamu dan Dia telah mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan. Maka jika ada diantara kamu 100 orang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang; dan jika diantara kamu ada 1,000 nescaya mereka dapat mengalahkan 2,000 orang dengan seizin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."

Ayat-ayat tersebut diturunkan tetekala orang-orang kafir sedang memutuskan perjanjian damai denga Nabi saw. (Lihat Tafsir Al-Misbah oleh M. Quraish untuk tafsir sepenuhnya).
Dalam peperangan, seperti dalam cerita perlumbaan Arnab dengan Kura-kura, kita boleh mengambil itibar mengenai sikap Arnab dan sikap Kura-kura.


GAMBAR DARI ALASKA-IN-PICTURES.COM

Dalam peperangan tidak semestinya pihak yang kuat dan berkuasa besar semestinya akan menang. Tentera bersekutu yang diterajui kepimpinan oleh Amerika Syarikat hingga kini belum mencapai kemenangan, walau pun sudah 7 tahun berperang melawan musuh yang kerdil dilihat dimata ramai. Tetapi orang-orang Afghanistan seperti Kura-kura ia bersifat sabar dan istiqamah. Kura-kura tidak bodoh dan Iman dan taqwa mengatasi segala-galanya.Ia mengatur strategy yang serasi dengan kekuatannya dan kebiolehannya. Arnab pula dia fikir dia kuat, maka dia terlalu yakin (over confident).Ia memandang rendah pada orang lain.Akhirnya dapat dikalahkan.

Pada firasat saya Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya tidak akan menang dan akan menarik diri dengan menggunakan alasan-alasan yang boleh menutup malu. Tambahan pula orang Afghanistan berpegang teguh pada ayat Al Quran di atas tadi. Mereka di arah bersabar. Bersabar tidak bererti duduk menunggu dan berdoa sahaja. Sifat bersabar dalam Islam luas dan mendalam. Lihat Surah-surah dalam alQuran dan Hadith mengenai peperangan yang dimenangi oleh tentera Islam. Dalam konteks ini lihat surah Al Anfal Ayat 60:

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka apa yang kamu mampu dari kekuatan dan dari kuda-kuda yang ditambat. (Dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuh kamu dan orang-orang selain mereka yang tidak kamu mengetahui siapa mereka; Allah mengetahui mereka. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan sempurna kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya."

Afghanistan negara miskin. Tetapi Allah sudah berjanji siapa jua yang membela dan membantu mereka dengan menafkan apa jua yang ada, balasannya amat besar. Maka orang-orang yang beriman, mari kita menyeru diri-diri kita untuk membantu walaupun dengan doa semata-mata. Dan doa kita bukan sahaja untuk pejuang-pejuang di Aghanistan tetapi juga di Palestine, di Iraq, di Pakistan, di Thailand dan dimana jua dan untuk sepanjang masa.

Related Posts with Thumbnails