Kami pulang dari Bandung Ahad 11Jun. Mendapat seorang kenalan baru di sana. Ani namanya berumur 37 tahun dan baru kematian suami. Suaminya berumur 45 tahun dan telah kembali dahulu sebelum dikurniakan cahayamata. Begitulah kehendak Allah, siapa yang dapat menduga. "Kematian itu pasti," kata Ani, " cuma saya masih belum puas bersamanya." Air matanya berlinangan kerana belum pun sebulan suaminya pergi meninggalkannya keseorangan.
Ani berbaju hitam. Ia terpaksa bersama kami
kerana urusan keluarga Almarhum suaminya di Kuala Lumpur.
"Tidak mengapa Ibu, saya harus bersabar. Saya bersyukur Allah menegur saya dengan cara ini. Suami saya pun sering ke Pasentren yang dekat dengan rumah. Semoga Allah telah meredhainya."
"Ia, Ani. Semoga ia redha dan Allah meredhai," saya berkata ringkas sambil memegang tanyanya kuat-kuat tanda saya simpati. Saya berkunjung ke rumahnya sebentar untuk mengambil kiriman naskah alQuran untuk dibawa pulang ke Malaysia. Rumahnya kecil, kemas dan rapi. Ia menampakan gaya hidup sederhana penuh kesedaran bahawa hidup ini perlu pengisian yang lebih bermakna untuk bekalan ke Daerah sana.
Saya meninggalkannya penuh kesepian. Malam itu saya teringat padanya. Betapa saya dapat melalui hidup seperti itu atau tidak. Ani sekarang perlu menyara dirinya sendiri. Saya berdoa semoga ia dipertemukan dengan seorang yang dapat membantunya, baik sekali kalau dapat memperisterikannya.
Saya teringat-ingat cara ia bercerita tentang konsep "Teguran" dari Allah. Allah tegur kita kerana Allah sayang pada kita. Teringat kembali kata ustaz dalam satu kelas pengajian. "Apa jua 'musibah' yang kita hadapi adalah satu peringatan, seperti satu teguran, dari Allah bahawa kita perlu padaNYA dan supaya kita muhasabah diri dengan sebenar-benar muhasabah.
Maka malam sekembalinya dari Bandung saya diserang cirit-birit. Keracunan makanan agaknya. Saya tidak pernah terkena 'musibah' seperti itu hingga tidak terdaya bangun dari tempat tidur dan dengan tidak disedari saya terbuat itu di tempat tiduran. Teringat saya pada Allahyarham bapa mertua saya seminggu sebelum ia meninggalkan kami ia membuang air besar berterusan di temapat tiduran. Pada ketika itu saya tiba-tiba rasa ketakutan ingatkan hari itu hari penghabisan buat saya. Alhamdulilah saya masih Allah beri peluang. Itu satu teguran dan saya berdoa akan sentiasa waspada bahawa kini saya dalam tahap umur kritikal. Doktor memberi nasihat supaya berhati-hati memilih makanan.
Pada hari Selasa 14 Jun saya ke Hospital University Malaya untuk temujanji memeriksa perut saya yang saya buat hampir tiga bulan yang lalu. Saya diberitahu sepertinya saya tidak perlu bimbang. Tunggu temujanji dengan Doktor saya yang biasa pada bulan Julai ini. Saya masih rasa bimbang kerana saya selama ini suka makan pedas cili padi. Suami saya khuatir itu antara sebab saya bermasaalah perut. Suami saya dan teman-teman lain tidak terkena cirit-birit walaupun makan makanan yang sama.
Benar ini satu teguran. Alhamdulilah. Saya merasakan itu satu nikmat kerana Allah tidak membiarkan saya berterusan menzalimi diri. Saya berjanji pada diri untuk tidak makan pedas lagi. Saya berdoa semoga Allah memudahkan sistem pemakanan saya dan semoga saya masih diberi ruang dan peluang untuk berbakti kerana Allah jua dan semoga hingga keakhir hayat.
No comments:
Post a Comment