"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, May 30, 2012

TEMPAT BERMANJA







Gambar Hiasan.
(Ibu-ibu yang peka menambah Ilmu)


Kebelakangan ini selalu kedengaran rintihan ibu dan juga bapa betapa anak-anak terlalu sibuk dan jarang-jarang sekali muncul bertanya khabar dan jauh sekali datang ziarah. Sering juga kita dengar dan baca cerita-cerita kezaliman anak dan kederhakaan anak terhadap kedua ibu bapa mereka. Contoh yang pernah didengari seperti meninggal kan orang tuanya di perhentian bas dan tidak datang balik untuk menjemputnya, ada yang meninggalkan orang tuanya di pusat dialysis, ada yang menghalau orang tuanya kerana tidak secocok dengan anak menantunya dan berbagai lagi. Tetapi cerita cerita seperti ini jarang sekali hendak kita forumkan secara serious dan mendalam agar dapat dicari punca nilai kekeluargaan yang semakin hari semakin pudar. Siapakah yang bersalah dalam hal-hal seperti ini dan apa tindakan pemulihan yang boleh dilakukan. Pautan kasih sayang pada keluarga tua makin hari makin renggang. Saya muhasabah diri.


Mengapa agaknya nilai sosial tentang kekeluargaan ini makin menjadi fenomena yang menggerunkan kerana makin hari seperti sudah menjadi bobrok. Negara kita makin membangun, bijak pandai makin bertambah ramai  dan professionalima makin memuncak. Purata pendapatan keluarga pun bertambah tetapi seperti ada yang tidak menepati wawasan hidup. tetapi ramai ibu dan bapa yang rasa terpinggir dan dipinggirkan. Yang sedihnya pada pendapat saya ada ibu-bapa yang takut untuk menasihati anak-anak kerana mereka takut hubungan anak makin jauh jika mereka tidak setuju dengan apa yang dinasihatkan. Seorang teman mengatakan pada saya: "Sobah, kalau you nak 'selamat' jangan banyak cakap dengan anak atau menantu. Ikut saja.' Ini pernah dikatakan pada saya sebelum saya ada menantu pun sempena berbincang-bincang bagaimana nak jadi ibu tersayang. Sekarang sudah ada menantu, saya senyum sahaja bila teringat nasihat teman saya ini yang tua sedikit pada saya tetapi ketika ia berkata itu ia sudah bercucu kerana ia kahwin jauh lebih awal dari saya. Saya pula punya kelemahan suka bercakap dan menegur di mana yang tidak kena mengikut apa yang saya fahami mengenai apa yang baik dalam menjalani kehidupan. Saya mengambil risiko anak menjauhi saya kerana sabab-musabab ini. Demikianlah perjalanan hidup. Saya terima akibatnya denagn terbuka hati. Semoga Allah mengampuni.

Mungkin ada kajian mengenai hal ini oleh kementerian yang bertanggongjawab mengenai kebajikan sosial. Jika ada seharusnya saya mencarinya dan memahaminya. Tetapi kalau sudah ada kajian, pastinya rakyat akan dimaklumkan tentang tindakan yang sudah atau sedang diambil. (Ini pendapat sahaja).

 Dalam media massa kita selalu mendengar bahawa terjadinya kebobrokan nilai keluarga ini adalah disebabkan oleh ibu-bapa sendiri yang tidak peka dan tidak prihatin pada hal-hal kekeluargaan. Saya tidak setuju sepenuhnya dengan saranan demikian kerana ibu-bapa adalah juga hasil dari sistem yang ada, termasuk sistem politik, sistem pendidikan dan sistem nilai sosial yang lainnya. Ada juga yang mengatakan bahawa terjadinya kebobrokan ini adalah kerana budaya hidup sekarang dipengaruhi teknologi canggih yang boleh  merenggangkan hubungan kekeluargaan. Anak-anak tidak datang berkunjung kerana sudah rasa  memadai bercakap di telefon yang boleh melihat gambar orang yang kita bercakap di hujung sana. Berbagai lagi alat komunikasi yang ada yang ibu-bapa 'terpakasa' juga mempelajarinya kerana semata-mata mahu melihat wajah anak cucu. Ini bukan kes anak duduk luar negara sahaja, tetapi kes benar dalam Malaysia kini. Saya rasa amat tidak selesa dengan fenomena ini.



"Ibu-ibu rewang di masjid mengisi masa semoga diterima sebagai amal kebajikan".
Gambar hiasan.



Namun bagi tujuan blog ini saya hanya ingin mengambil secara rambang  fakta ini sekadar mahu berkongsi rasa khuatir terhadap keadaan yang didengari menerusi perbincangan kumpulan kecil disudut-sudut pertemuan di Masjid atau di rumah-rumah teman atau di kelas-kelas pengajian yang kecil yang tidak mendapat liputan ramai. Ada ibu-ibu yang tidak berpeluang pergi belajar menambah ilmu diumur tua ini kerana diminta oleh anak-anak untuk tolong tengokan cucu, walaupun di hujung minggu kerana anak-anak ada urusan yang katanya perlu diselesaikan. Ada yang bercerita katanya mereka 'terpaksa' mengasuh cucu kerana anak-anak pergi membeli belah atau pergi bertemu rakan sekerja untuk mengeratkan 'networking' yang ada kaitan dengan perniagaan mereka. Maka terpaksalah ibu tua ini akur dan hanya berani bersungut dengan kawan-kawan di kelas pengajian.

Entahlah. Ini hanya pendapat rambang. Setengah kawan saya tidak begitu setuju dengan  pemerhatian saya dan katanya ada anak-anak yang sangat peka dengan kesejahteraan ibu bapa hingga mereka mengajak ibu bapa untuk bercuti-cuti di Malaysia dan ada juga yang membawa mereka bercuti-cuti di luar negara. Itu pun benar cumanya saya terlalu khuatir akan trend yang ada sekarang seperti di negara maju di mana orang-orang tua lebih rela tinggal di rumah bersendirian. Yang tidak mampu ada rumah lebih rela tinggal merempat di tempat-tempat awam. Semoga di Malaysia ini kita tidak akan menjadi begitu. Penyelamat kita hanya dengan fikrah Islam yang harus dititikberatkan oleh setiap ibu bapa dan seharusnya diambil berat oleh pemerintahan negara.

Tetapi ada teman-teman yang mengatakan bahawa bukan kemewahan dan kesenangan fisikal sebenarnya yang mereka mahu. Mereka mahu bermanja-manja dengan anak-anak. Mereka mahu mengadu kesusahan atau kerisauan mereka. Mereka mahu merasai dakapan anak seperti dahulu mereka mendakap anak-anak tersayang. Bukan wang ringgit yang menjadi isu di-sini, tetapi perasaan di hati yang menjadi isu. Anak-anak tidak lagi datang untuk bersembang-sembang. Mereka datang sekadar sejam atau lebih sedikit dan akan pulang tergesa-gesa. Ada yang datang anak sahaja tetapi menantu tidak datang atas alasan kesibukan kerja itu dan ini. Dan berbagai lagi fenomena. Ada juga menantu yang datang tetapi tidak duduk bersembang dan hanya sekadar bertanya khabar dan kemudian membaca surat khabar atau duduk menonton TV. Ibu atau bapa takut hendak berkata sesuatu kerana mereka merasakan bahawa kini sememangnya sudah menjadi budaya hidup keluarga muda. Kadang-kadang ada menantu yang datang lama tetapi bukan bersembang atau masak memasak tetapi hanya tidur sahaja. Mereka akan bangun waktu makan atau waktu akan pulang ke rumahnya.

Jika demikian saya tidak dapat membayangkan rupa bentuk kekeluargaan sepuluh atau dua puluh tahun akan datang. Bagaimana ya?

Saya berpendapat jika kita berpegang pada Quran dan Hadith fenomena ini tidak akan samapi kesatu tahap yang akan mengubah corak kekluargaan seperti yang dibayang-bayangkan oleh "Science-fiction" dalam filem-filem ciptaan mereka yang tiada pegangan aqidah. Allah akan membinasakan kaum yang engkar dan zalim seperti yang diceritakan dalam alQuran dan digantikan dengan yang baru. Maka saya kadang-kadang berfikir sendiri bahawa adakah "Kaum Melayu" sekarang ini atau "Kaum Nusantara" sekarang ini akan tergolong dalam ancaman Allah  seperti yang disebut di dalam alQuran? Semoga Allah memelihara dan menjauhkan fenomena ini.

Alahai, ibu bapa hanya inginkan tempat bermanja.....

WaAllahu'alam.
Anda berfikiran bagaimana?

...

Tuesday, May 29, 2012

PENGAJARAN DALAM PESAWAT




Maka mulalah bergerak pesawat menuju ke landasan untuk terbang menuju ke destinasinya. Anak-anak kapal mula mendemonstrasi bagaimana menggunakan alat-alat keselamatan yang ada di dalam pesawat. Tibalah pada alat yang digunakan untuk bantuan bernafas- corong keluarnya oxygen.

Ada pengajaran sampingan dalam prosidur ini. Corong oxygen hendaklah dipasang pada diri sendiri  sebelum memasangkan nya pada anak atau siapa jua yang dalam jagaannya dan tanggongjawabnya.

Hah.....Ada pengajaran di situ, kata seorang Ustaz. Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus, tetapi ia sendiri berjalang serong. Betulkan diri sendiri barulah kita boleh mengajarkan orang lain. Ustaz menekankan pada cara kita mendidik anak-anak. Kadang-kadang kita suruh anak solat, tetapi kita sendiri lengai dalam melaksanakannya. Pasti tidak akan menjadi cara didikan seperti ini. Jika kita nampak ada anak yang lebih hebat dari orang tuanya, yang mana orang tuanya lengai dalam beribadah, maka besar kemungkinan ia terdidik oleh faktor-faktor lain yang dekat dengan hatinya, seperti seorang Murobbi di sekolah atau sebagainya.

Kita diajarkan oleh  Ustaz untuk berdoa melembutkan hati anak-anak supaya patuh pada perintah Allah, iaitu buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang. Untuk memperkuat doa, maka  Ustaz kata bacalah sebahagian surah THA HA,  ayat 1 - 5 seperti di bawah ini. InsyaAllah Allah kurniakan permohonan kita. Walaubagaimana pun sayugia diingat bahawa kita harus terlebih dahulu menuntut ilmu dan beramal  soleh hingga dapat melembutkan hati sendiri dan berakhlak mulia semoga dicontohi oleh anak-anak kita dan siapa jua yang di bawah tanggongjawab kita.


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ طه(1) Ta-Ha.
مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ(2) We have not sent down the Qur´an to thee to be (an occasion) for thy distress,
إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ(3) But only as an admonition to those who fear (Allah),-
تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى(4) A revelation from Him Who created the earth and the heavens on high.
الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ(5) (Allah) Most Gracious is firmly established on the throne (of authority).






Adalah diriwayatkan dalam sejarah bahawa apabila Khalifah Saidina umar, sebelum ia menerima Islam,  mendengar ayat-ayat tersebut, ia telah lembut hatinya dan telah pergi ke Rasulullah saw untuk memeluk Islam. Begitulah keajaiban ayat-ayat tersebut.

Semoga ia menjadi satu peringatan dan pengajaran bagi kita untuk mengamalkannya. Walaubagaimana pun, kesemuanya adalah tertakluk pada kehendak dan ketentuan Allah swt jua. Kadang-kadang kita perhatikan ada juga individu-individu yang nampak warak tetapi hatinya belum cukup lembut. Ada juga yang hafal alQuran tetapi masih ada kelemahan-kelemahan yang kita tidak dapat menyangkanya, termasuk belum dapat mendidik hati supaya pelembut. (bukan bermaksud lelaki lembut). Maka yang pasti kita sentiasa mohon keampunan dan mohon pertolongan dari Allah jua. Dia yang maha berkuasa atas segala sesuatu. Kepadanya sahaja kita menaruh segala harapan., untuk diri kita dan keluarga kita. Kita dahulu, barulah kita boleh memandu orang lain.
Kalau hati kita lembut, minda kita menjadi lebih terbuka untuk menerima teguran yang membina dan lebih terbuka untuk mencuba sesuatu dengan sikap yang positif.

WaAllahu'alam.
Sama-sama kita berusaha.

...

Monday, May 28, 2012

TERINGATKAN EMAK.






Hari Ahad yang lalu saya ke rumah anak lelaki saya di Puchong untuk melihat-lihat apa yang perlu dibuat sebelum ia berpindah rumah dari Kelana Jaya. Dalam umur saya sebegini tidaklah banyak yang dapat saya bantu. Saya hanya membaca surah alBaqarah kerana mengikut nasihat seorang ustaz bahawa eloklah rumah diisi dulu dengan ayat-ayat alQuran.

Sebak sedikit dihati teringatkan emak saya semasa saya masuk rumah yang saya baru beli nun dalam tahun 1976. Ketika itu bukan ramai golongan muda membeli rumah dan belum banyak taman-taman perumahan dibina. Saya membeli kerana rakan-rakan pegawai JKR yang menggalakan saya membeli. Pinjaman Bank pun amat mudah ketika itu. Tetapi saya tidak pandai mengaji dan tidak ada sesiapa yang menasihatkan saya bagaiman cara terbaik masuk ke rumah baru.

Cuma Emak saya yang datang membantu. Saya belum berumah tangga waktu itu dan pengalaman hidup amat sedikit sekali. Emak saya tinggal bersama untuk beberapa hari dan dibawanya bersama alat dapur dan tikar bantal untuk saya. Katanya itu "adat orang Jawa". Ia sebagai asas memulakan kehidupan berasingan dari emak. Saya tidak banyak soal dan menerima seadanya.

Emak saya membersihkan tanah yang hanya berapa jengkal luasnya di hadapan rumah jenis rumah terrace. Saya ingat lagi saya terpaku melihat kerajinannya. Dicabutnya rumput-rumput yang ada dan dibuangnya batu-batu yang tidak sepatutnya ada disitu.Halaman rumah saya jadi bersih dan kemas.

Ia berpesan: "Jangan kau jual rumah ini walau apa pun. Nanti tak berkat."
"Kenapa gitu, Mak ?" Saya tanya.
"Itu kata orang-orang tua."

Saya diam tidak membantah.
Bila teringat pesanan itu, sebak dihati. Kerana rumah itu saya jual dan menjadi sebahagaian bayaran kos rumah yang saya tinggal sekarang ini.

Pada hari Ahad itu saya terfikir. Mungkinkah anak-anak kita mengingati kita begitu. Setua mana dan sepandai mana seorang anak itu, emak tetap emak. Pesanan-pesanan tetap ingat dihati. Walau tinggi kelulusan kita sekalipun dan canggih dalam banyak hal, emak punya rahsia hidup dan punya warisan pedoman hidup yang tidak lapok dek zaman. Itu saya amat yakin dan suka "mendengari" apa yang emak saya tidak katakan. Lihat dipandangan matanya ketika bercakap-cakap, kita boleh merasai sesuatu. Emak saya selalu berkata "Orang tua tumitnya ada mata". Saya selalu sahaja memikirkan apa lagi yang saya mesti faham dari kata-kata itu walaupun sekarang dia sudah tidak bersama lagi.

Saya rasa anak-anak sekarang tidak begitu. Sudah banyak perubahan budaya berlaku di luar sana, maka pengalaman dan sedikit pegetahuan yang ada pada emak sudah tidak diambil kira dalam mereka membuat keputusan mengenai hidup. Agaknya begitulah peredaran hidup sekarang. Tidak perlu berfikir-fikir. Terima seadanya.

....

Sunday, May 27, 2012

WALAUPUN IA SEINDAH ISTANA...


(Dedicated to my Special Sister in Islam. Like this tree, She still stands Tall).

Hari ini kau beritakan,
Telah kau hadiahkan pada ku sebuah kediaman
Cantik dan indah di taman yang melambangkan kemewahan.

Dengan senyuman kau katakan
Ia untuk ku dan anak-anak kesayangan
Merencana hidup selamat dari semua bentuk kesulitan.

Sekeping kertas sebagai bukti kediaman itu bukan hanya sebutan
Ia benar-benar wujud supaya aku tidak gelisah ingatan
Tidak ternanti-nanti, tertanya-tanya apa kedudukan.

Tetapi....

Walau seindah Istana yang kau berikan
Bergemerlapan dengan hiasan yang belum pernah ku saksikan
Sudah tidak bermakna bagi ku wahai suami, teman yang ku sangka berpanjangan
Teman yang dapat ku berpaut kuat bila ketakutan,
Teman yang sentiasa mendengari rintihan ku semasa kita diselubungi kesusahan
Semasa kita tidak pasti apa habuan di masa hadapan.

Waktu itu kau teman sejati bagi ku, menggunung tingginya harapan
Walau ribut, walau taufan, badai berlalu hatiku riang, fikiranku tenang.
Kau teman yang  meyakinkan hidup ini sangat bererti kalau ada kasih sayang
Lantas aku selalu berkejaran memastikan engkau tidak kehujanan, tidak kepanasan,
Demi kasih yang kita ikrarkan dalam kesejukan salju diperantauan.

Aku sebenarnya tidak hairan dengan kemewahan
Sebelum janji ikrar diikatkan aku telah pun mewah Allah kurniakan
Melalui Ayah ku tersayang, prihatin keluarga penuh pesanan,
Hidup ini sementara jangan sampai kecundang.
Ayahku dulu pun bukan orang sembarangan, tidak merempat, tidak rasa kerisauan
Ia punya cukup sumber dan hidup ku penuh keselesaan, walaupun ia bukan jutawan.
Jadi, ... apalah kemewahan....

Kini kita jarang bertemu dan tiada lagi gurau senda gelak ketawa kedengaran
Kehadiran mu hanya untuk memastikan aku tidak kelaparan dan anak-anak selesa berkecukupan
Tidak lagi ku rasai ketenangan dari senyuman  yang diselimuti pengorbanan
Tidak lagi ku rasai sentuhan yang indah seperti dulu, nyaman dirasakan
Walaupun ketika itu kita  kepenatan  dan kelesuan tiada dana dalam simpanan.

Aku tidak menyesali pengorbanan ku kerana itu milik Tuhan sekelian alam
Aku hanya tersedih melihat engkau kebingungan mencari tapak kesenangan
Yang kau kira hanya tercapai di sisi si cantik manis seharian
Yang kau kata itu keperluan asasi yang dalam Islam tiada halangan.

Sebenarnya aku juga punya keperluan asasi yang telah pun semuanya ku korbankan
Demi kasih yang ku cari semoga berkekalan.
Engkau tidak melihatnya dengan mata hati, dan aku ini hanya sampingan.
Aku tersedih kerana rupanya itu mimpi ku sendirian dan kini aku keseorangan

Kau  hanya pulang setakat memenuhi syarat janji yang Allah sebut pasti
Hati mu tidak kau bawa bersama untuk ku lagi  seindah dulu merasai
Keriangan yang selalu ku dengari kini sunyi dan aku pun tidak engaku hampiri.
Anak-anak remaja telah memahami dan mereka rasa berbelah bagi
Mahu sahaja mereka lari mencari keriangan seperti dulu yang kini tiada lagi
Hanya pertanyaan kabar yang di sebut dibibir dan bukan dihati.

Jadi....

Walaupun Istana permata baidurii yang kau beri
Ia tiada ertinya lagi
Dan aku pun sudah hampir  tidak mahu peduli
Hanya anak-anak yang berhak mempunyai
Kekayaan yang kau raih sepertinya aku tiada peranan sama sekali
Tetapi demi anak-anak ku tunggu pasti
Kerana aku bukan pengemis kasih dan bukan engkau yang harus mengadili

Aku punya harga diri
Aku punya hati
Biar Allah yang mendengari
Pastinya dia ada perhitungan bagi setiap diri.
Maghfirahnya ku pohon hingga ke hujung dunia ku cari
Kerana aku insan kerdil, pertolongan Allah sahaja yang aku pasti.
Semoga Dia meredhai kerana luka dihati ku tidak terperi.
Ya Allah yang maha Pelembut maha Tinggi,
Pada mu aku pasrah semoga jasad dah Ruh ku ada tempat kembali.
Syurga Firdaus yang ku pohon ku nanti dan ku nanti,
Berkekalan dengan Rahmat Mu, wahai yang maha Mengasihi, maha Mengasihani.


....

Saturday, May 26, 2012

MERA'IKAN IBU SETIAP HARI




Salah konsep tentang Hari Ibu.

Mengapa ingat dan ra'i ibu hanya setahun sekali. Itulah saranan pendokong-pendokong HARI IBU. Sebenarnya hari-hari adalah hari ibu. Jangan membilang hari untuk mera'ikan ibu. Islam menuntut kita sentiasa hormat dan menyantuni ibu...sentiasa. Doa untuk Ibu dan Bapa diajarkan terus dalam alQuran. Maka mana mungkin kita ikut budaya orang asing dalam hal mera'i ibu.


Hari Ahad minggu lepas saya hadir dalam satu program menyambut Hari Ibu. Lihat banner di atas. Canggih dan menarik perhatian. Saya pergi kerana sudah lama tidak hadir mana-mana forum walaupun saya amat hati-hati bila bercerita mengenai isu Ibu. Antara yang dijemput untuk berbincang dan menjawab soalan ialah yang Berbahagia Dr Rabiah. Saya pernah juga mengikuti ceramah beliau semasa saya aktif dalam hal-hal NGO di Shah Alam dulu. Saya rasa terpaku mendengar ketegasan ceramahnya.

"Ada mesej Christian yang tersirat dalam perayaan Hari Ibu, " katanya.
"Kita harus faham dari segi sejarahnya. Orang Christian menganggap Mariam adalah Ibu Tuhan dalam konsep Trinity. Jangan kita terikut-ikut.
Kalau kita ikhlas dalam menyambut hari ibu sekalipun, kalau konsepnya salah maka segalanya salah. Itu yang saya fahami.
Kalau bekas itu bersih tetapi pengisiannya kotor, maka kotorlah kesemuanya."

Kita dituntut mera'ikan IBU dan BAPA. Tetapi caranya mesti betul.


Banyak lagi perkara yang dibangkitkan oleh Dr Rabiah.  Ia menekankan hukum bahawa anatara isteri dan Ibu, Ibu mesti didahulukan. Bukan Isteri didahulukan. Contoh yang mudah, katanya, jangan beli baju dan suruh isteri pilih dahulu baru bagi emak dari sisa yang sudah dipilih. Haram hukumnya.

Kita sebagai orang Islam bukan sahaja harus taat pada ibu, tetapi kita mesti menjadi contoh pada anak-anak kita supaya mereka memahami tanggong jawab mereka sebagai wanita, anak, isteri dan ibu. Dari pengalaman beliau, beliau banyak menjumpai kes-kes di mana anak-anak remaja perempuan kita yang ada di penjara atau di rumah-rumah pemulihan akhlak mengatakan mereka tidak dididik secara Islam. Katanya ada yang mengatakan: "Dirumah saya tidak kenal Allah. Tetapi saya kenal Allah di penjara" Alangkah malangnya situasi seperti ini. Ibu-ibu yang di luar itulah yang sepetutnya dipenjarakan. Beliau menyambung hujah dengan nada yang menggerunkan. Sebelum menjadi ibu yang mendapat kasih sayang dan belaian kasih anak, wanita mesti dulu jadi ibu yang bertanggongjawab terhadap anak-anaknya.

Saya menambah: "Jika tidak menyemai benih, manakan boleh menuai hasilnya." Saya pinjam kata-kata kawan saya dalam satu blog 'MUT SHAHIDAN'.


Antara wajah-wajah yang hadir yang mempunyai harapan tinggi pada anak-anak. 
"Kita pastikan kita ada ilmu yang mencukupi untuk mendidik anak dan kita amalkan ilmu yang kita telah pelajari supaya kita mendapat kekuatan untuk melaksana perintah Allah dan menjauhkan diri dari larangannya. Kalau tidak nanti kita diperkuda oleh anak-anak kerana pengaruh asing diluar sana amat membahayakan dan amat menakutkan." Tambah Dr Rabiah lagi.

Banyak lagi yang diperkatakan oleh Dr Rabiah tetapi saya terpaksa pulang awal kerana terpakasa mengurus hal keluarga yang tidak boleh ditangguh. Beliau adalah antara pendakwah yang saya hormati. "She will call a spade a spade". Jelas dan mudah difahami.

Kita memohon keampunanNya dan semoga sentiasa mendapat pertolonganNya. Amin.

....

Friday, May 25, 2012

AKU DAN ANDREA HIRATA.







Aku dan Andrea Hirata.

Tidak ada kena mengena sebenarnya secara peribadi. Saya cuma terkesan dengan novel-novelnya yang saya dapatkan semasa lawatan santai saya ke Belitong dengan dua orang teman suami isteri baru-baru ini. Saya telah menonton Laskar Pelangi lebih dua tahun dulu  dalam program memotivasi pelajar sebuah sekolah swasta di Kota Bahru, Kelantan, tetapi tidak tahu bahawa ia cerita benar di Pulau Belitung. Bila sampai di sana teman saya memberitahu saya elok kita baca novel-novelnya sebagai bahan memotivasi diri dan lebih dari itu ialah bagaimana mahu memotivasi anak cucu dan generasi yang tidak pernah merasai apa itu penderitaan dan kesusahan dalam hidup.







Di atas (melainkan Maryamah Karpov) adalah buku-buku yang saya telah baca dengan cepat  sekembalinya saya dari Belitong dengan teknik "speed reading" yang saya dilatih semasa saya bekerja dahulu. Ceritanya terkesan dihati. Betap penulis telah melalui segala rintangan hidup yang setengahnya tidak dapat kita bayangkan. Saya rasa malu pada diri sendiri kerana kesusahan hidup yang saya lalui tidak terbanding sama sekali dengan apa yang dilalui oleh penulis dan rakan-rakannya. Saya terkesan dengan perjalanan cerita dan latar belakang budaya hidup kerana saya adalah keturunan pendatang dari pulau Jawa. Maka saya rasa sebak bila mengingat kembali mengapa bapak dan emak saya memberanikan diri "berhijrah" ke Malaya, waktu itu. Hasil perkahwinan emak dan bapak saya, saya mempunyai lapan adik beradik dan seorang kakak meninggal dunia ketika umur 5 tahun. Hanya saya dan abang saya sahaja yang menjadi warga negara secara otomatik. Yang lainnya semuanya secara "naturalization". Begitu sejarahnya lebih kurang. Dengan takdir Allah saya menjalani hidup yang berbeza. Maka cerita-cerita berlatarbelakangkan Indonesia membuat saya nostalgia mengingatkan cerita-cerita emak dan bapak saya.

Saya masih ingat hidup ditepi hutang diatas tanah yang bapak saya usahakan. Tetapi tidak pernah rasa kelaparan. Alhamdulilah. Rasa tidak terjamin keselamatan dirasai oleh kakak-kakak saya tetapi sekarang saya hampir lupa cerita-cerita kesusahan hidup waktu itu kerana saya yang bongsu dan sudah banyak perubahan yang dilalui oleh keluarga. Saya berpeluang bersekolah walaupun saya ingat tidak mudah mendapatkan buku tulis dan buku-buku teks. Saya masih ingat belajar dibawah cahaya lampu minyak tanah buatan bapak yang tidak cerah tetapi memadai untuk nampak tulisan kerana saya diajar dan dididik untuk menerima seadanya. Saya sendiri membantu kakak menoreh getah sebelum ke sekolah kerana itu satu keperluan. Sebagai kanak-kanak saya diajar kerja kuat menebang dan mencari kayu api, menggegraji dan membelah kayu api dan berbagai lagi kerja yang anak-anak sekarang tidak melalui.

Bila membaca buku-buku di atas, terutamanya "Sang Pemimpi" teringat saya tentang mimpi-mimpi dan cita-cita saya yang terpendam dihati. Saya malu hendak menyatakan pada kawan-kawan kerana tidak terlintas cita-cita itu tercapai. Ketika itu cita-cita belajar diluar negara sememangnya ada pada ramai pelajar kerana negara baru sahaja Merdeka.Saya berjaya terpilih ke luar negara dan telah menghadapi berbagai masaalah di sana yang akan saya ceritakan dilain kali bila sesuai.

Satu perkara yang amat saya terkesan ialah masyarakat miskin di Belintong amat peka dan komited membantu satu sama lain. Biasanya, dalam permerhatian saya, di negara kita  orang yang miskin lebih mudah membatu yang miskin. Yang kaya atau yang berada selalunya ramai yang berkira. Ada yang sampai ke peringkat kedekut. Orang miskin hatinya lebih lembut dan lebih perhatin atas saudaranya. Dalam cerita "Sang Pelmimpi" teman akrab sanggup memberi tabung simpanannya kepada teman yang akan pergi merantau dengan tujuan mencari ilmu dan peluang yang lebih baik untuk memajukan diri. Keikhlasan memberi dapat dirasai pembaca dan saya sendiri rasa amat terharu.

Andrea Hirata tajam pemerhatiannya mengenai watak-watak yang tercatat dalam buku ini. Eluk dibaca untuk merasai apa erti pengorbanan dan perjuangan dan apa erti keberanian mengharung kehidupan. Mungkin asasnya diperolehi apabila mereka memulai pendidikan di SD Muhamadiah yang mana pendidikan akhlaknya berdasakan nilai-nilai Islam.

Bacalah sendiri untuk menghidupkan rasa empathy pada yang memerlukan, rasa timbangrasa pada yang fakir dan memahami pahit getirnya hidup orang-orang yang tidak punya sumber yang mencukupi. Bagi saya, saya sudah mula bercerita pada anak-anak untuk mencontohi mereka yang tidak rasa tewas dengan reality yang ada, dan berbagai lagi.

Selamat membaca dan menimba ilmu dan........

...

Thursday, May 24, 2012

"TUAN D.O DALAM KENANGAN"


Allahyarham Tuan Haji Abd rahman Hj Salleh
Telah kembali keRahmatullah pada 23 Mei 2012 jam 8 malam di rumah anaknya di Shah Alam.

Allahyarham berumur 88 tahun dan gambar di atas saya rakam 2 tahun dulu semasa kami ke Beijing bersama-sama. Beliau ke sana sudah 2 atau 3 kali, dahulunya bersama isteri tersayang yang telah kembali terlebih dahulu 5 tahun yang sudah.

Jawatan terakhirnya diperkhidmatan Awam bukan Pegawai Daerah, jauh lebih tinggi dan di anugerah Bintang bergelar Datuk yang tidak diterimanya. Ia lebih selesa demikian. Kami bila lawak bersama suka menggelar beliau Tuan DO kerana itu lebih mesra.

Semoga Allah mencucuri Rahmat yang tidak terhingga ke atas Ruhnya. Semoga terampun dosa-dosanya dan ia sejahtera di Alam Barzah dan masuk ke Syurga pilihan tanpa hisab dengan Rahmatnya jua. Amin.

...

Tuesday, May 22, 2012

12 MEI 2012....ISTIMEWA DI GARUT.





12 Mei 2012

Mengingati dengan penuh kesyukuran hari istimewa, hari kelahiran ke alam dunia. Saya sudah melepasi umur yang Allah beri peluang untuk memantapkan ilmu supaya dapat dimunafaatkan sebelum tiba masanya  saya "bertemu" denganNya. Dalam hadith ada mengatakan jika sudah sampai umur 60 tahun tetapi  tidak ada tanda-tanda perubahan dalam pengabdian diri,  maka Allah akan menjauhkan diri dari kita. Maka di saat-saat ini saya ingin menumpu usaha  untuk peneguhan dan pengukuhan  semoga  mendapat keampunan atas segala kekurangan dan kelemahan dan semoga amalan yang tidak sempurna ini dapat diterima, dengan Rahmatnya jua. Semoga tidak lagha dan masa menjadi sia-sia. Amiin.






Pada hari itu saya berada di Garut. Keindahan daerah Garut dan udaranya yang dingin dan  nyaman membuat saya  tenteram dan berfikir-fikir lanjut apa yang akan saya mampu buat untuk kelangsungan hidup ini.  Hari itu saya dan teman-teman satu team sama-sama berusaha memantapkan penubuhan Situwangi Boarding School  yang berada di desa Kacamatan. Tempat ini melibatkan perjalanan tiga jam dari Bandung kerana jalannya sempit dan berliku-liku. Kami ke Garut buat kali yang ke berapanya sejak hampir tiga tahun yang lalu, sudah tidak saya kira lagi. Saya rasa bersyukur di beri peluang oleh penaja untuk  berbicang secara serious cara-cara bagaimana mahu meneguhkan sistem pengurusan semoga falsafah pendidikan yang kami contohi dari Pak Hasni dapat diterapkan sebaiknya. Pak Hasni  yang kami panggil mesra telah menubuhkan Adni Islamic School 15 tahun yang lalu di Kuala Lumpur dan telah banyak membantu membangunankan beberapa sekolah di Malaysia dan Indonesia dan juga beberapa negara dalam Pertubuhan Negara-negara Islam di dunia. (di organisasi OIC beliau digelar professor). Beliau membantu kami untuk melaksana Pendidikan yang holisti dan sepadu mengikut kehendak al Quran dan Hadith. Bulan Julai nanti sekolah ini akan mengambil pelajar untuk tahun ketiganya. Semoga Allah permudahkan.

Lawatan kami kali ini amat singkat sekali. Waktu kerja amat terhad dan kami tidak dapat bertemu lama dengan pelajar-pelajar. Hanya satu sessi selama satu jam sahaja yang dapat kami munafaatkan. Anak-anak (pelajar) makin mantap rasa keyakinan diri bila bertemu dengan kami. Ahli team memberi berbagai motivasi selaras dengan hasrat mahu menjadikan mereka pemimpin Islam untuk umat sejagat. Saya hanya mencelah sedikit, bermuslihat cuba mengelirukan pandangan mereka dengan tujuan mencabar cara mereka berfikir. Alhamdulilah pelajar yang berkenaan dapat mempertahankan pendapat selaras dengan tujuan soalan. Alhamdulilah,  Allahu Akbar, kami rasa amat bersyukur kerana mereka makin hari makin menampakan kematangan selaras dengan misi dan visi penubuhan SBS itu.

Bersama pelajar usainya sessi berinteraksi.
 Wajah-wajah yang ceria menggembirakan kami. Alhamdulilah.

 Kami menggalakan mereka bertanya berbagai soalan kerana inilah ciri utama yang mereka perlu ada dalam proses menimba ilmu untuk menjadi insan rabbani. Malu bertanya sesat jalan. Kami menerangkan bahawa sebenarnya tidak ada soalan yang harus dipandang remeh jika kita membiasakan diri befikir menggunakan 'whole brain thinking'. Semua pelajar seharusnya ada keinginan 'ingin tahu'. Barulah ia boleh membuka percambahan ilmu. Di dalam al Quran sering disebut Allah memberi peringatan dan menuntut orang mukmin sentiasa berfikir. Semoga pelajar-pelajar ini melatih diri untuk berani bertanya dan berani berhujah dan insyaAllah berani bertindak untuk menegakan Kebenaran di muka Bumi ini.




Selain dari pelajaran akedemik dan hafazan al Quran, pelajar diwajibkan mengikuti aktiviti  ko-kurikula. Sekarang ini kemudahan gelanggang foot-sal dan bola keranjang telah siap untuk digunakan. Kelihatan di atas Mudir sekolah sedang memberi penerangan di dewan makan., dan digambar yang lain menunjukan pelajar-pelajar bermain mengikut jadual harian yang ditentukan.Di bawah ini pula pelajar-pelajar juga diberi peluang untuk mahir dalam mengendali kuda dan memacunya. Inilah  adalah salah satu jenis sukan yang disebut dalam hadith untuk dikembangakan. Apa pun teknologi canggih yang telah dibina, kemahiran berkuda ada rahsianya. Seharusnya kita  tidak hanya menggunakan  logik aqal untuk meyakininya.



Makin hari Situwangi Boarding School semakin menampakan kemajuan seperti yang dirancangkan. Alhamdulilah. Ramai sukarelawan yang membantu. dalam bidang profesyen masing-masing. Dari 11hb Mei hingga 12hb Mei kami ke Garut dengan team dari University Utara Malaysia yang datang untuk membantu memperkemas sistem pengurusan staff dan kewangan dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya. Mereka ini adalah tenaga pelapis yang akan, insyaAllah, meneruskan usaha membantu dengan sukarela. Alhamdulilah, komitmen mereka tinggi. Bukan di sini sahaja mereka menabur bakti, tetapi juga di Cambodia. Saya terharu melihat kegigihan mereka dan semoga Allah membuka peluang dan ruang dan memudahkan seterusnya. Saya menyesali hari-hari muda saya kerana tidak seaktif mereka. Semoga Allah mengampuni dan semoga warisan genarasi anak cucu saya termasuk dalam golongan orang-orang yang suka berbakti pada negara dan agama dan umat sejagat kesemuanya.




Wajah-wajah harapan ibu-bapa, negara dan umat Islam sejagat umumnya.

Saya rasa sebak melihat cara mereka berinteraksi kerana anak-anak ini datang dari keluarga amat miskin di daerah itu dan telah menunjukan kemajuan luar biasa dari segi pembentukan peribadi termasuk disiplin dan semangat mahu jadi pemimpin luhur. Mengikut adat umur dan kesihatan, besar kemungkinan saya tidak akan melihat hari mereka menamtkan pengajian di SBS ini. Namun saya amat bersyur Allah izin saya menjadi sebahagian  kecil kepada usaha yang besar dan berat ini. Semoga Allah meningkatkan rezki penaja-penaja dan memudahkan segalanya demi memperkasa umat Islam sejagat. Amin.
....

Monday, May 21, 2012

NICE AND EASY - bunga-bunga di Garut dan Belitung.


Subhanallah, Alhamdulilah, Allahu Akbar.
Memuji kebesaran Allah dan Keagongan yang maha Pencipta.





 









Melihat Kesempurnaan ciptaanNya..

55:77
55:78

MAKA YANG MANA SATU DIANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU 
YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN.
MAHA SUCI NAMA TUHAN MU YANG MEMPUNYAI KEBESARAN DAN KEMULIAAN.

......

Sunday, May 20, 2012

NGOPI DI PULAU BELITUNG






Budaya NGETEH di FELDA tempat anak buah saya tinggal telah saya ikuti lama dulu. Ia tinggal di Felda Air Tawar, Kota Tinggi Johor dan saya selalau dapat habuan orang pergi Ngeteh selepas solat subuh. Maka dibawanya pulang untuk kami  bersarapan pagi di rumah dengan  kueh mueh dan nasi lemak dan berbagai lagi.

Bila di Pulau Belitung budaya itu disebut Ngopi. Apa jua namanya, Ngopi atau Ngeteh, maka makanan ringan adalah pengisiannya. Tidak kira minum teh atau minum kopi, campur ginseng atau campur tongkat Ali.  Di Belitung ada satu bandar kecil yang banyak Warung Kopi. Namanya Kota Manggar. Di sana Di istilahkan WARKOP. Mereka gemar memendek-mendekan perkataan. Warkop = warong kopi. Kami pun minum sama dan cuba sembang santai. Tetapi tidak lama kerana Belitung cuacanya panas buat saya. Katanya 39 darjah Celcius waktu itu. Tetapi orang tempatan biasa sahaja. Tidak hairan panas dan tidak nampak gelisah kepanasan.  Mereka ngobrol dan gelak ketawa. Allahu Akbar. Allah maha adil. Rata-rata mereka berpendapatan rendah dan di Warkop itu tidak ada kipas angin satu pun. Tetapi orang tempatan steady sahaja.

Lihatlah betapa seronok mereka ngobrol dan ngopi bersama.

Cerita Ngopi dan Ngeteh tidak ada dalam Istilah kehidupan atau gaya kehidupan generasi FACEBOOK. Mereka tidak lagi berminat mengenali budaya golongan manusia dalam lingkungan umur lebih lima puluhan. Ini amat jelas kelihatan di bandar besar-besar di negara Malaysia. Mereka tidak akan faham erti silaturrahum cara kampungan, cara mereka yang tidak dipengaruhi atau kurang dipengaruhi budaya luar atau budaya asing. Teknologi berubah, manusia pasti berubah. Saya sudah tidak terkejar budaya orang muda sekarang. Tetapi saya tidak risau. Kesemuanya ada tempat dan masanya. Hanya sahaja komitmen pada Allah tidak berubah, malahan harus lebih kuat lagi.



Itu cerita ngopi dan ngobrol.

Siapa ingin ke Belitung jangan lupa menikmati makanan laut yang segar. Itu yang istimewa di sini. Kami makan hingga kekenyangan.(Oooops...tidak ikut sunnah. Semoga terampun)  Alhamdulilah. Nikmat Allah berbagai rupa. Ada tempat yang selesa sedikit di pulau Belitung,  iaitu di tepi laut di tempat Wisata yang agak lumayan. Kami mencari tempat yang ada kipas angin.

Tetapi jangan lupa.

Sesiapa yang masih bertenaga eluklah datang ke Belitung untuk aktiviti dakwah juga. Jika diperhatikan secara rambang ramai gadis-gadis yang belum menutup aurat atau yang menutup aurat tetapi belum sempurna. Ini sebagai permulaan. Masjid masjid agak kelihatan di sana sini. Tetapi cerita-cerita orang menziarahi kuburan untuk tujuan yang salah pun kedengaran juga. Banyak kerja-kerja menegakan Islam yang belum selesai. Perjalanan hidup saya sudah amat hampir ke garis penamat. Semoga Allah mengampuni kelalaian saya waktu muda dan semoga orang muda sekarang tidak rugi macam saya rugi. Suhanallah. Pergilah ke sana khusus berdakwah.

Teman kembara dan saya pergi juga melawat kawasan nelayan. Walaupun pekerjaan nelayan, kelihatan hidup mereka selesa. Rumah-rumah nampak tegap dan cantik. Hari ini di Belitung tidak nampak kemisikinan yang berat. Lihatlah gambar-gambar di bawah ini.




Itu sedikit coretan kembara di Belitung. Pemergian saya ditaja oleh penaja dermawan yang menaja Situwangi Boarding School. Alhamdulilah. Terima kasih yang tidak terhingga. Semoga Allah mengurniakan rezki yang melimpah ruah untuk dimunafaatkan pada yang memerlukan

....

Friday, May 18, 2012

BERBASIKAL 80 KILOMETER KE SEKOLAH.....mustahil?





Tidak mustahil sama sekali.

Ini kisah benar sebilangan keluarga miskin, amat miskin, di Pulau Bellitung, Sumatera Selatan, Indonesia. Kisahnya di abadikan dalam Novel dan Filem yang berjodol LASKAR PELANGI. Replika foto sekolah yang bersejarah bagi individu dan guru-guru tertara di sebelah kiri. Buku ini ditulis oleh Andrea Hirata , salah seorang dari karekter  dalam novel dan filem tersebut. Cerita ini amat menyentuh hati siapa jua yang melihat dan membaca kisahnya. Kata seorang pengkritik "Novel dan filem ini bukan mengajak masyarakat menangisi kemiskinan, tetapi sebaliknya melihat kemiskinan dengan cara lain". Pada saya ia sebuah cerita yang amat memeberi keinsafan dan sesiapa jua  tidak perlu rasa malu dan meminggir diri jika keluarga kita miskin.

 Lantas saya teringat kisah bapak saya berjalan enam belas batu dari Benut ke Pontian Kecil dengan memikul setandan pisang, mengikut cerita kakak saya kerana waktu itu saya belum lahir. Bila mendengarnya seolah-olah saya susah untuk mempercayai cerita itu dan kakak saya rasa kecewa dengan sikap saya. Dua hari dulu saya rasa amat sebak dihati mengenang semuala cerita kakak saya dan segala kesuliatn dan kepayahan bapak saya mencari rezeki sebagai seorang pendatang  "haram" dari tanah Jawa dalam tahun sebelum Perang Dunia Pertama. Mengapa saya "kejam" dihati sangsi atas cerita kakak saya walhal seorang budak boleh naik basikal sehari 80 kilometer untuk ke sekolah dalam senario kehidupan tahun tujuh-puluhan. Semoga Allah mengampunui kejahilan saya dan menganugerah ganjaran yang tidak terhingga pada kedua ibu bapa saya. Bila saya ingatkan cerita ini maka cerita saya berjalan ke sekolah sejauh dua batu, (lebih kurang tiga kilometer) kadang kala tanpa kasut, bukanlah satu yang boleh dibanggakan. Namun saya sekarang telah belajar mensyukurinya dan mengadu kasih dalam kesunyian untuk emak dan bapak saya.



Satu karakter yang memikat hati saya ialah dalam cerita ini bernama LINTANG. Ia seorang pelajar yang amat pintar, penyantun dan amat luar biasa usahanya untuk menjadi seorang yang berilmu dan berjaya dalam hidup. Penulis mengatakan temannya ini seorang genius. Fikirannya dan ingatannya sentiasa tajam dan dialah  yang menjadi inspirasi dan mentor  kepada pelajar yang lain. Dalam satu adegan pertandingan seperti "Quiz" beliau dapat mematahkan hujah seorang guru yang cuba menjatuhkan kredibilitinya dan gurunya dan sekolahnya. Dia berjaya dan sekolah yang terdiri dari anak-anak miskin telah dapat menggondol hadiah kejohanan pertandingan. Amat mengkagumkan, kerana terutamanya sekolah ini adalah berdasarkan Islam. Sekolah Dasar Muhamadiah.  Lihatlah  sendiri filemnya. Bukunya sewajarnya tidak serupa tepat-tepat dengan filem itu tetapi "Ruh" ceritanya adalah serupa. Saya kagum dengan originality atau keaslian  penulis dan oleh kerana ini kisah benar saya amat bersyukur dapat menimba ilmu perbandingan  bahawa betapa  susahnya kehidupan saya semasa kecil, ada lagi yang lebih susah. Maka satu pengkritik mengatakan " Sebuah Novel yang amat menggugah. Siapa pun yang membacanya akan termotivasi dan MERASA BERDOSA JIKA TIDAK MENSYUKURI HIDUP".

Ditakdirkan "Lintang" tidak dapat meneruskan persekolahannya kerana bapanya meninggal dunia dan dia terpaksa menggantikan bapanya sebagai orang yang perlu menjaga ibu dan beberapa adik-beradiknya yang masih kecil-kecil lagi. Satu tanggongjawab yang mesti dipikul tanpa ada pilihan lain baginya. Impian dan cita-citanya tidak menjadi keyataan. Betapa tersedih hatinya. Namun hidup ini perlu diteruskan. Dia tidak terus menjadi nelayan kerana itu janji pada bapanya. Ia masih berkerja sebagai buruh tetapi bukan nelayan.

Saya rasa terkilan tidak ada ahli masyarakat ketika itu yang tampil membantu Lintang. Saya berharap dan berdoa di mana jua tidak akan ada satu bakat kepintaran istimewa yang kecundang semata-mata kerana kemiskinan. Semoga Allah menggantikan untuk Lintang sesuatu yang amat istimewa di akhirat nanti.




 Lambang keterpinggiran pelajar miskin yang hatinya menjerit-jerit untuk dibantu 
dan kita tidak mendengarinya.

Saya dan  dua orang teman dapat berkunjung ke pulau ini pada 14-16 Mei yang lalu secara santai setelah selesai kerja yang dipertanggongjawabkan oleh penaja di Situwangi Boarding School, Garut, perjalanan kereta lebih kurang tiga  jam dari Bandung. Dalam perjalanan itu saya dan teman kembara tidak putus-putus bercerita dan menganalisa cerita tersebut sambil berdoa semoga kita akan dapat hidup dalam suasana di mana kepimpinan negara akan sentiasa prihatin pada kehidupan rakyat yang miskin dan dhaif. Mereka ini bukan pemalas tetapi benar-benar mereka tidak ada sumber untuk mendapatkan ilmu. Ilmu adalah kunci bagi segala-galanya.



Tidak ada keistimewaan luar biasa di pulau Belitung ini. Di peta antarabangsa pulau ini dinamakan  pulau Billiton. Tetapi kami ke sana untuk berehat sahaja dan saya bersetuju untuk berehat-rehat sempena memperingati hari kelahiran saya yang ke 65 tahun. Alhamdulilah. Allah masih mengurniakan kesihatan yang dikira amat baik dewasa ini dan masih dapat menjelajah musafir melihat kebesaranNya dengan harapan dapat mengabdikan diri seikhlasnya. Semoga Allah meredhai dan ilmu yang ditimba dapat dimunafaatkan.

Pulau ini indah menawan. Air di pantai bersih tidak tercemar. Pantainya berpasir putih. Ada yang mengatakan airnya sejernih kristal. Ada ratusan pulau-pulau kecil di sekelilingnya. Mulanya kami berhajat untuk menaiki bot mengelilingi  beberapa pulau  tetapi tidak kesampaian kerana cuaca terlalu panas dan ada sabab musabab lain yang tidak dapat diatasi. Maka kami menaiki kereta ke Tanjung Tinggi untuk melihat-lihat pantainya. Dan yang lebih teruja bagi kami ialah kami dapat melihat kawasan tempat filem ini diambil. Ceritanya unik dan tempatnya unik. Ini adalah bahan sejarah bagi saya dan bahan inspirasi bagi warisan saya. Saya selalu mendorong anak cucu supaya tidak melihat apa jua masaalah yang dihadapi sebagai halangan dan rintangan untuk mencapai cita-cita dan impian. Saya kongsikan di bawah ini antara tempat-tempat di Pulau Bellitung untuk renungan khususnya akan hakikat bahawa kita harus yakin pada yang maha Pencipta bahawa hanya senya yang maha Pencipta itu adalah yang Maha berkuasa dan maha pemberi pertolongan dan padaNya jua kita bergantung.

  Pulau Belitung sekarang ini sedang membangun agak pesat dan katanya ada usaha tempat ini menjadi tumpuan pelancung. Kami tinggal di Bulliton Club yang diusahakan asalnya oleh keluarga Kapitan Cina yang datang awal-awal lagi untuk mengusahakan Tin Mining, melombong bijih tin.




Penduduk pulau ini terdiri sebahagian besarnya dari keturunan Cina, Melayu dan Bugis. Keturunan Cina didatangkan oleh penjajah Belanda untuk berkerja di lombong Timah khususnya. Dasar penjajah diwaktu itu sama sahaja. Di Malaysia penjajah British mendatangkan Cina pun untuk bekerja di lombong bijih Timah. Tetapi di Malaysia ada juga bijak pandai yang mengatakan Malaysia tidak dijajah. Hairan.

Itulah secebis cerita kembara saya ke Pulau Bellitong. Teman saya mula-mulanya mengajak saya ke Pulau Bangka tetapi telah tersasar tujuan. Katanya kita ke Bangka dilain kali.  Entahkan sampai entahkan tidak. Namun saya tetap bersyukur atas nikmat melihat keindahan Bellitong atau Belitung dan mengetahui sedikit sejarah orang Melayu di sana. Mungkinkah  hilang Melayu di dunia ?

...
Related Posts with Thumbnails