"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, May 30, 2012

TEMPAT BERMANJA







Gambar Hiasan.
(Ibu-ibu yang peka menambah Ilmu)


Kebelakangan ini selalu kedengaran rintihan ibu dan juga bapa betapa anak-anak terlalu sibuk dan jarang-jarang sekali muncul bertanya khabar dan jauh sekali datang ziarah. Sering juga kita dengar dan baca cerita-cerita kezaliman anak dan kederhakaan anak terhadap kedua ibu bapa mereka. Contoh yang pernah didengari seperti meninggal kan orang tuanya di perhentian bas dan tidak datang balik untuk menjemputnya, ada yang meninggalkan orang tuanya di pusat dialysis, ada yang menghalau orang tuanya kerana tidak secocok dengan anak menantunya dan berbagai lagi. Tetapi cerita cerita seperti ini jarang sekali hendak kita forumkan secara serious dan mendalam agar dapat dicari punca nilai kekeluargaan yang semakin hari semakin pudar. Siapakah yang bersalah dalam hal-hal seperti ini dan apa tindakan pemulihan yang boleh dilakukan. Pautan kasih sayang pada keluarga tua makin hari makin renggang. Saya muhasabah diri.


Mengapa agaknya nilai sosial tentang kekeluargaan ini makin menjadi fenomena yang menggerunkan kerana makin hari seperti sudah menjadi bobrok. Negara kita makin membangun, bijak pandai makin bertambah ramai  dan professionalima makin memuncak. Purata pendapatan keluarga pun bertambah tetapi seperti ada yang tidak menepati wawasan hidup. tetapi ramai ibu dan bapa yang rasa terpinggir dan dipinggirkan. Yang sedihnya pada pendapat saya ada ibu-bapa yang takut untuk menasihati anak-anak kerana mereka takut hubungan anak makin jauh jika mereka tidak setuju dengan apa yang dinasihatkan. Seorang teman mengatakan pada saya: "Sobah, kalau you nak 'selamat' jangan banyak cakap dengan anak atau menantu. Ikut saja.' Ini pernah dikatakan pada saya sebelum saya ada menantu pun sempena berbincang-bincang bagaimana nak jadi ibu tersayang. Sekarang sudah ada menantu, saya senyum sahaja bila teringat nasihat teman saya ini yang tua sedikit pada saya tetapi ketika ia berkata itu ia sudah bercucu kerana ia kahwin jauh lebih awal dari saya. Saya pula punya kelemahan suka bercakap dan menegur di mana yang tidak kena mengikut apa yang saya fahami mengenai apa yang baik dalam menjalani kehidupan. Saya mengambil risiko anak menjauhi saya kerana sabab-musabab ini. Demikianlah perjalanan hidup. Saya terima akibatnya denagn terbuka hati. Semoga Allah mengampuni.

Mungkin ada kajian mengenai hal ini oleh kementerian yang bertanggongjawab mengenai kebajikan sosial. Jika ada seharusnya saya mencarinya dan memahaminya. Tetapi kalau sudah ada kajian, pastinya rakyat akan dimaklumkan tentang tindakan yang sudah atau sedang diambil. (Ini pendapat sahaja).

 Dalam media massa kita selalu mendengar bahawa terjadinya kebobrokan nilai keluarga ini adalah disebabkan oleh ibu-bapa sendiri yang tidak peka dan tidak prihatin pada hal-hal kekeluargaan. Saya tidak setuju sepenuhnya dengan saranan demikian kerana ibu-bapa adalah juga hasil dari sistem yang ada, termasuk sistem politik, sistem pendidikan dan sistem nilai sosial yang lainnya. Ada juga yang mengatakan bahawa terjadinya kebobrokan ini adalah kerana budaya hidup sekarang dipengaruhi teknologi canggih yang boleh  merenggangkan hubungan kekeluargaan. Anak-anak tidak datang berkunjung kerana sudah rasa  memadai bercakap di telefon yang boleh melihat gambar orang yang kita bercakap di hujung sana. Berbagai lagi alat komunikasi yang ada yang ibu-bapa 'terpakasa' juga mempelajarinya kerana semata-mata mahu melihat wajah anak cucu. Ini bukan kes anak duduk luar negara sahaja, tetapi kes benar dalam Malaysia kini. Saya rasa amat tidak selesa dengan fenomena ini.



"Ibu-ibu rewang di masjid mengisi masa semoga diterima sebagai amal kebajikan".
Gambar hiasan.



Namun bagi tujuan blog ini saya hanya ingin mengambil secara rambang  fakta ini sekadar mahu berkongsi rasa khuatir terhadap keadaan yang didengari menerusi perbincangan kumpulan kecil disudut-sudut pertemuan di Masjid atau di rumah-rumah teman atau di kelas-kelas pengajian yang kecil yang tidak mendapat liputan ramai. Ada ibu-ibu yang tidak berpeluang pergi belajar menambah ilmu diumur tua ini kerana diminta oleh anak-anak untuk tolong tengokan cucu, walaupun di hujung minggu kerana anak-anak ada urusan yang katanya perlu diselesaikan. Ada yang bercerita katanya mereka 'terpaksa' mengasuh cucu kerana anak-anak pergi membeli belah atau pergi bertemu rakan sekerja untuk mengeratkan 'networking' yang ada kaitan dengan perniagaan mereka. Maka terpaksalah ibu tua ini akur dan hanya berani bersungut dengan kawan-kawan di kelas pengajian.

Entahlah. Ini hanya pendapat rambang. Setengah kawan saya tidak begitu setuju dengan  pemerhatian saya dan katanya ada anak-anak yang sangat peka dengan kesejahteraan ibu bapa hingga mereka mengajak ibu bapa untuk bercuti-cuti di Malaysia dan ada juga yang membawa mereka bercuti-cuti di luar negara. Itu pun benar cumanya saya terlalu khuatir akan trend yang ada sekarang seperti di negara maju di mana orang-orang tua lebih rela tinggal di rumah bersendirian. Yang tidak mampu ada rumah lebih rela tinggal merempat di tempat-tempat awam. Semoga di Malaysia ini kita tidak akan menjadi begitu. Penyelamat kita hanya dengan fikrah Islam yang harus dititikberatkan oleh setiap ibu bapa dan seharusnya diambil berat oleh pemerintahan negara.

Tetapi ada teman-teman yang mengatakan bahawa bukan kemewahan dan kesenangan fisikal sebenarnya yang mereka mahu. Mereka mahu bermanja-manja dengan anak-anak. Mereka mahu mengadu kesusahan atau kerisauan mereka. Mereka mahu merasai dakapan anak seperti dahulu mereka mendakap anak-anak tersayang. Bukan wang ringgit yang menjadi isu di-sini, tetapi perasaan di hati yang menjadi isu. Anak-anak tidak lagi datang untuk bersembang-sembang. Mereka datang sekadar sejam atau lebih sedikit dan akan pulang tergesa-gesa. Ada yang datang anak sahaja tetapi menantu tidak datang atas alasan kesibukan kerja itu dan ini. Dan berbagai lagi fenomena. Ada juga menantu yang datang tetapi tidak duduk bersembang dan hanya sekadar bertanya khabar dan kemudian membaca surat khabar atau duduk menonton TV. Ibu atau bapa takut hendak berkata sesuatu kerana mereka merasakan bahawa kini sememangnya sudah menjadi budaya hidup keluarga muda. Kadang-kadang ada menantu yang datang lama tetapi bukan bersembang atau masak memasak tetapi hanya tidur sahaja. Mereka akan bangun waktu makan atau waktu akan pulang ke rumahnya.

Jika demikian saya tidak dapat membayangkan rupa bentuk kekeluargaan sepuluh atau dua puluh tahun akan datang. Bagaimana ya?

Saya berpendapat jika kita berpegang pada Quran dan Hadith fenomena ini tidak akan samapi kesatu tahap yang akan mengubah corak kekluargaan seperti yang dibayang-bayangkan oleh "Science-fiction" dalam filem-filem ciptaan mereka yang tiada pegangan aqidah. Allah akan membinasakan kaum yang engkar dan zalim seperti yang diceritakan dalam alQuran dan digantikan dengan yang baru. Maka saya kadang-kadang berfikir sendiri bahawa adakah "Kaum Melayu" sekarang ini atau "Kaum Nusantara" sekarang ini akan tergolong dalam ancaman Allah  seperti yang disebut di dalam alQuran? Semoga Allah memelihara dan menjauhkan fenomena ini.

Alahai, ibu bapa hanya inginkan tempat bermanja.....

WaAllahu'alam.
Anda berfikiran bagaimana?

...

No comments:

Related Posts with Thumbnails