"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, August 31, 2012

MERDEKA...merdeka


Merahnya Bunga Raya
Simbol keberanian jiwa yang Merdeka
Tidak kira tua atau muda
Kita  lepaskan diri dari perangkap minda
Agar tidak rasa terhutang budi pada sesiapa
Hilang harga diri dan mudah diperhamba.

Kami bersyukur atas segala nimat kurnian Ilahi 
Kami hargai pengorbanan mereka yang mengusahakan kemewahan dan keamanan ini
Tetapi jangan menyangka kami akan ikut semua paksaan sesuka hati
Kerana kami punya pendirian bahawa Negara ini berdaulat jika amanah Allah dipatuhi.

Kami tahu masih ada penjajahan bentuk baru yang berleluasa,
Membuat rakyat terpikat pada hiasan hidup di dunia
Hidup aman dan banyak harta
Tetapi masih boleh di cucuk hidung dipiat telinga
Kerana semata-mata takut jadi papa kedana

Kami akan tegak  bina benteng pertahanan
Negara ini akan maju dengan celupan mengikut alQuran
Kerana itu tuntutan pada semua insan ciptaan Tuhan walaupun tiada paksaan.
Kami tidak menzalimi mereka yang belum bersedia menerima Kebenaran
Kerana belum cukup fahaman, belum terbuka hati dan fikiran.

Tetapi di Hari Merdeka ini aku seru semua teman dan rakan
Rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan mahukan pembangunan
Supaya bertindak bijak melihat kebesaran Tuhan
Allah yang maha Esa, tiada sekutu akan Kekuasaan dalam semua kesifatan.

Ayuh sama-sama kita bina Malaysia
Berasaskan Islam yang satu, Allah yang maha Berkuasa.

...

Thursday, August 30, 2012

KE KEMUNCAK UMUR EMAS







 Bila duduk seorang diri saya sering teringatkan waktu bekerja dahulu. Maklumlah diumur emas ini anak-anak jarang-jarang ada disamping. Tidak mengapa. Itu lumrah hidup. Maka dalam berseorangan suatu hari saya teringatkan apa teman sekerja saya kata mengenai umur tua, atau umur emas jua.

"I marvel at the Malays when they are old. They don't seem to worry about dying. People whom I know, like my neighbor, always smile when I meet up with them. I see that they always have something to do. And they don't worry too much about being sick or something."

 Ini pernyataan seorang teman keturunan Cina yang bukan Islam.
"Why do you say that?" Saya bertanya kembali. Jarang teman-teman bukan Melayu mahu berkata-kata seperti itu.

"Oh, because my mother is always too careful about health and very fussy about the choice of food she is taking. She doesn't want to get sick.She told me she's worried about her health. But I think she is afraid of aging. I suppose being sick means we may die sooner. That's reading between the lines"

"Oh.....".

Maka saya katakan padanya bahawa fenomena itu dipengaruhi oleh nilai-nilai hidup yang kita pegang yang diajarkan pada kita dari kecil-kecil lagi. Kita ada Tuhan Allah yang mencipta kita dan kita dididik untuk tidak melampaui batas. Kalau tergelincir dari batas kita diajar untuk segera bertaubat dan jangan mengulangi apa yang salah dan bertukar haluan untuk berbuat yang baik.

Saya katakan juga bahawa konsep hidup dan mati dalam Islam adalah berlainan dari konsep yang dipegang oleh mereka selain Islam. Kita dididik menjalani hidup dan menghadapi mati. Semua orang yang belum benar-benar beriman sememangnya takut menghadapi mati, (termasuk saya) tetapi kami diajar ilmu yang membolehkan kita membuat persediaan untuk mati. Maka kerana itulah kita takut tetapi kita tidak panik menghadapi kematian. Di celah-celah ketakutan masih rasa ada harapan kerana yakin Allah itu maha Pengampun, maha Pengasih maha Penyayang.

Walau bagaimana pun, Ustaz-ustaz menceritakan juga bahawa orang yang maqam iman dan taqwanya tinggi mereka  menghadapi mati dengan senyuman. Mereka menanti-nanti saat bertemu Allah. Semoga saya akan sampai keperingkat itu.

Bercerita mengenai umur emas, saya pernah diminta untuk bercakap sedikit mengenai pengalaman hidup "dalam persaraan" oleh teman-teman di Masjid dalam sessi silaturrahim. Maka ini cerita saya.

Saya bersara sedikit awal dari umur yang ditentukan kerana ingin  menjaga emak saya yang menunggu begitu lama untuk tinggal dengan saya. Kini saya telah bersara 10 tahun. Alhamdulillah.

"Bila engkau nak pencen aku nak duduk sekali?.

Soalan itu benar-benar mengejutkan saya kerana saya lalai untuk memahami kehendaknya. Maka saya terus membuat perkiraan untuk tidak berkerja dan duduk dengannya. Ketika itu emak saya masih agak sihat, boleh berjalan-jalan dan hanya dibantu sedikit sahaja ketika ke bilik air. Tetapi ditakdirkan tidak beberapa bulan selepas itu kesihatannya mula menurun. Ia lebih  suka berbaring. Saya ada pembantu dan sering saya letak emak saya di kerusi roda dan -pembantu saya bawa emak saya bersiar-siar. Kadang-kadang saya sendiri yang menolak kerusi rodanya melihat kebunnya yang berdekatan rumah. Tidak lama kemudian ia tidak dapat terus berjalan dan setiap kali mandi saya bawa dengan kerusi roda terus ke bilik air. Saya tidak akan lupa pengalaman ini. Pembantu saya pernah berkata:

"Kenapa tidak guna sarung tangan bila membersihkan najis emak?.

"Eiish..eiish.... Kamu ni. Dulu emak saya tak guna sarung tangan cebukan saya, kenapa sekarang saya nak guna sarung tangan pulak?"

Terdiam pembantu saya dan hanya senyum.

"Kamu guna sarung tangan sebab dia bukan emak kamu. Tapi ini emak saya. Kita mana tahu dia rasa terkecil hati walaupun dia tak kata terang-terang. Kita jijik kah padanya?"

Itu rutin saya selama  lebih sedikit dari setahun. Ia meninggal dunia di kampung kerana kakak saya memintanya untuk bersamanya buat seketika kerana cucu kesayangannya buat majlis pernikahan. Tidak kesampaian untuk saya bawa pulang ke KL  Hajatnya memang mahu mati dirumahnya sendiri, maka Allah tunaikan. Alhamdulilah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan sekarang sejahtera di alam Barzah.

Sebelum menjaga emak saya, saya menjaga ibu mertua saya. Dia masih kuat cuma sedikit pelupa (Alzheimer's)  dan mengurus orang pelupa memerlukan kesabaran yang berlainan sedikit. Saya membaca maklumat lanjut mengenai penyakit ini di internet dan cuba mengikutinya seberapa yang terdaya. Saya mendapat nasihat juga dari doktor perbadinya. Dengan kehendak Allah brain cellsnya merosot terlalu cepat. Kami hanya mampu melambatkannya menerusi ubat-ubatan.  Pengalaman ini pun membuat saya insaf betapa kekuasaan dan takdir Allah membuatkan manusia tahu dimana kedudukannya di sisi Allah yang maha Besar. Saya bersyukur Allah beri peluang memahami hati-hati mereka yang berumur emas. Saya juga terbantu muhasabah diri dan rasa amat kerdil dan fakir di sisi Allah.

Ibu mertua saya mendapat stroke dan jatuh patah tulang. Kemudian ia dijaga dan diurus sepenuhnya oleh adik lelaki suami saya di Putrajaya, berhampiran dengan anak-anak yang lain di kawasan itu. Ada teman yang bertanya saya kenapa tidak duduk di rumah anak perempuannya kerana biasanya anak perempuan yang menjaga ibunya. Saya katakan bahawa anak lelakilah yang lebih bertanggongjawab atas orang tuanya. Anak menantu perempuan menjalankan tanggong jawabnya sebagai isteri soleh pada suaminya. Tiada siapa yang kerugian dalam peraturan ini kerana bila isteri itu tua dan tidak upaya, anak lelakinya sendiri yang menjaganya...dan seterusnya.  Ibu-bapa sendiri dan ibu-bapa mertua sama statusnya pada diri kita.

Saya katakan pada teman-teman saya di Masjid bahawa menjaga orang tua jangan dianggap sebagai bebanan. Ramai antara kita yang berdoa, biasanya menyebut: "Ya Allah, janganlah aku jadi beban pada anak-anak ku bila aku tua nanti."

Pada pendapat saya doa seperti ini seolah-olah kita mengatakan pada emak atau bapak kita bahawa mereka itu adalah bebanan pada kita. Walhal Allah telah mengatakan bahawa menjaga ibu-bapa atau ibu-bapa mertua dengan baik dan bersungguh-sungguh adalah salah satu jalan pintas ke Syurga. Tentunya kita mahukan anugerah itu dan pastinya kita mahu juga anak-anak kita mendapat anugerah itu bila mereka menjaga kita di hari tua nanti.

Maka doa kita saya rasa harus begini: "Ya Allah, mudahkanlah anak-anak ku menjaga aku semoga mereka sentiasa bersabar dan aku juga bersabar. Aku sayang pada anak-anak ku dan semoga mereka sayang pada ku. Ampunkan dosa-dosa kami. Semoga hubungan kami sentiasa harmoni dan semoga kami masuk kesyurga Mu tanpa hisab." Ameen.

Biasanya apabila telah bersara teman-teman dalam perkhidmatan yang dahulunya bersama-sama suka bertanya bila ada peluang bertemu:

"Sobah you buat apa sekarang?"

Ini soalan biasa kerana ramai yang akan bekerja semula secara kontrak atau akan memulakan perniagaan sendiri.

"Oh, I am into Geriatric Care." Saya katakan dengan santai.
Ramai yang tidak tahu apa itu "Geriatric". Ada beberapa teman yang terdiam bila saya kata begitu kerana malu nak bertanya selanjutnya. Tetapi ada yang bertanya.
"Apa tu Sobah ?"
"Jaga orang tua, emak saya sendiri lah....dan mak mertua saya." Mereka tersenyum.

Pasti ini bukan tugas yang "Glamour" selepas bersara sebab itu saya rasa ada teman yang tidak bertanya lanjut. Tidak glamour, tetapi ia mendidik hati kita untuk melihat ke dalam diri sendiri sama ada kita bersedia dengan proses penuaan yang makin hari makin jelas tanda-tandanya. Ada diantara mereka pada hemat saya yang masih "in denial" mengenai hari tua, mengenai umur emas. Ada lagi yang masih suka ke majlis-majlis sosial yang ada nyanyi nyayi dan lain-lain yang tidak ada nilai tambah bagi umur emas. Lebih serious lagi jika ia membuat kita lagha bahawa baki hidup kita tinggal amat sedikit lagi.

Tetapi tidak bererti bahawa kita hanya duduk di tikar solat saja dan tidak putus putus zikrullah di bibir. Zikrullah yang terbaik masih diluar sana seperti kita berasama-sama dengan masyarakat berbuat kerjakerja kebajikan dengan sukarela atau berbuat sesuatu yang lebih aktif dari itu yang akan terus menjadi bekalan untuk kehidupan di akhirat. Ini termasuk kerja-kerja menulis buku atau sepertinya yang dapat dimunafaatkan oleh pembaca. Kerana bila mati hanya 3 perkara yang dibawa bersama. Ilmu yang dimunafaatkan, sedekah jariah dan doa anak-anak yang soleh. Cantiknya bila kerja di umur emas ini kita tidak ada tekanan seperti semasa berkerja di bawah majikan. "We work without fear or favor sepenuhnya" kerana kerana faham bahawa yang benar tetap benar yang batil tetap batil.

Yang masih bekerja dan mendapat ganjaraan berbentuk kebendaan  saya rasa pun baik juga jika perspektifnya dan nowaitunya betul dan harta yang diperolehi di infakkan untuk yang memerlukan. Sebab saya berpegang pada hakikat bahawa orang Islam harus kaya dan barulah kita punya kemampuan untuk menolong orang lain. Jika kemewahan hanya untuk diri sendiri maka kuranglah penghayatan amal soleh yang dituntut itu.

Di celah-celah "kesibukan" untuk berterusan mengikuti majlis-majlis ilmu, saya juga membantu kegiatan-kegiatan NGO sekadar yang mampu terutamanya yang berkaitan dengan Pembebasan masjid Al Aqsa dan Palestine seluruhnya. Saya selalu mengajak keluarga besar saya bersama dalam hal ini, semoga Allah meredhai. Dalam masa yang sama menjaga cucu-cucu bila diperlukan. Yang sepenuh masa ialah menjaga seorang cucu bersekolah di Adni Islamic School. Tugas ini amat mencabar umur seperti saya sekarang yang akan masuk 66 tahun. Saya ingin mengasaskan pada cucu-cucu yang lain sistem pendidikan yang harus diikuti. Semoga Allah memudahkan dan memberi kesihatan badan dan minda selama yang mungkin.

Alhamdulilah Allah beri juga peluang pada saya dapat bersama-sama dengan teman-teman akrab membantu satu kumpulan penaja membina sebuah sekolah yang pernah saya sebut dalam blog saya ini, iaitu sebuah sekolah yang berusaha menerapkan sistem yang beraskan Islam dalam semua aspek. Kami cuba mencontohi antara lain, ADNI ISLAMIC SCHOOL di mana ia memegang prinsip IHES (Intergrated, Holistic Education Syatem). Saya hanya menumpang usaha yang sedikit ini semoga menjadi sebahagian dari Ilmu yang dimunafaatkan. Impian saya dan suami ialah membina sekolah seperti itu secara bersendirian. Semoga kesampaian. Kami iringi dengan doa yang tidak putus-putus. Kami menyedari bahawa hanya menerusi sistem seperti ini sahaja kita dapat mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan Islam di atas muka Bumi ini. Semoga Allah sentiasa memandu cita-cita yang ada, memperbaiki konsep yang kita turuti dan memudahkan serta  mengajarkan pada kita bagaimana hendak mencapai kesempurnaan dalam melaksana pendidikan Islam seperi yang dituntut olehNya.

Ramai yang memomok-momokan bahawa Pendidikan Islam akan melahirkan Terrorists. Tetapi kami yakin pada janji Allah yang benar tetap benar, yang batil tertap batil. Ia maha Mengetahui, maha Bijaksana, maha Mendengari maha Adil dan maha Berkuasa atas tiap-tiap segala sesuatu. KepadaNya kami mohon perlindungan, kami memohon keampunan dan kami memohon kasih sayangNya dan semoga usaha-usaha kami yang kerdil ini di redhaiNya. Semoga kami terhimpun bersama para Sidiqqin, Syuhadak dan Solihain.
Ameen.

...

Tuesday, August 28, 2012

EDILFITRI etc, etc .....




Suami saya kalah dengan cucu. Berbuat sesuatu bersama cucu-cucu adalah suatu yang mengembirakan hatinya.
"Kita bukan 'sempat' tengok mereka besar, bersekolah dan bekerja. La ni lah kita enjoy dengan cucu-cucu".


Maka pada Hari Raya ke 5 anak lelaki saya, Azrul, mencadangkan kita pergi ke Taman Rama-rama kerana kami sudah ada di Penang ketika itu  setelah menzirahi emak saudara di Penanti. Saya ikut sahaja kesukaan suami kerana takut jadi 'Perempuan Neraka' (na'uzubilah) kisah cerita sebuah drama di TV yang saya terlihat semasa menunggu suami saya mandi di Hotel tempat kami menginap. (By the way, ada skrip yang amat tidak sesuai yang mengatakan lebih kurang bermaksud: Kerana sayang saya sanggup masuk ke Neraka demi kasih saya pada isteri....dll)

Ini foto saya di Taman itu. Saya tidak masuk dan hanya menunggu diluar bersembang santai sambil memerhati pengunjung yang lainnya.

Seronok bersama anak-cucu. Bagi yang tiada anak cucu pasti Allah kurnia keseronokan yang lain.
 Bagi yang ada anak-cucu tetapi tidak dapat bersama, juga Allah kurnia keseronokan yang lain.
Keseronokan adalah suatu ujian yang boleh membuat kita lagha. Maka kita harus menghayati mesej yang Allah turunkan disebalik keseronokan itu.
Allah maha mengetahui, maha mendengari, maha bijaksana dan maha adil dalam segala penentuanNya.
Tiada suatu yang Allah cipta itu sia-sia. Kita lihat dengan mata hati jua.
 Subhanallah.

Selepas ke Taman Rama-Rama kami pusing memutar Balik Pulau ke Jelutung mencari tempat makan kesukaan suami saya. (He will travel 500 mikes to get his favorite food, rain or shine.)





Ini bukan iklan. Tetapi kalau suka nasi kandar apa salahnya. Kami sampai lebih kurang jam 4 petang dan sudah tersangat lapar. Lihat betapa panjang kami beratur untuk mendapatkan makanan dan temapt duduk. Saya hanya mampu senyum mengikutkan "karenah" suami saya. Anak-anak tidak complain. Saya lega. Takkan tak sanggup berkorban sekecil ini untuk ayah.....
Ini keadaan jalan-jalan cari makan. Sudah tidak sanggup lagi makan pulut dan rendang waktu itu.
Dalam keseronokan makan  kami ingat juga pada mereka yang bersusah payah mencari sesuap nasi seteguk air untuk makan dan minum. Kami sentiasa ingat saudara seIslam kita yang sedang Allah uji dengan kesukaran kerana perang atau dilanda bencana alam. Ujian dalam kemewahan seperti di Malaysia boleh memerangkap minda dan jiwa yang lagha. Semoga Allah sentiasa menunjukki jalan yang benar.

Nasi kandar adalah kegemaran keluarga sebelah suami saya.
Tetapi saya berlainan sedikit. Saya mudah dengan makanan.(I am easy with food and meals has never been a big agenda with my folks in Pontian.) Maka di Kota Tinggi Johor saya minta anak saudara saya masak tempe dan sambal jawa sahaja. Saya enjoy tetapi suami saya hanya senyum melihat saya makan dengan sungguh-sungguh  masakan tradisional keturunan kaum pendatang.

Kalau dalam satu keluarga pun boleh wujud banyak perbezaan, bayangkan keadaan dalam negara dan dunia seluruhnya. Maka Allah sentiasa mengingatkan kita bahawa dalam perbezaan ada Rahmatnya yang tertentu.
Kita fikir-fikir bersama dan bertindak sewajarnya.



Ini hidangan cara kampung. Makan bersaprah di atas lantai. Satu nostalgia bagi saya. Ini warisan arwah kakak sulung saya yang mahir membuat tempe semasa hayatnya. Semasa saya kecil saya selalu membantunya dan dewasa ini bila makan tempe pasti saya teringatkan kakak yang menyediakan makan minum saya semasa bersekolah dulu.
 Semoga ilmu yang saya munafaatkan menjadi sebahagian dari amal solehnya dan semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan dosa-dosa kami semua.
Ameen.

...

Monday, August 27, 2012

YANG TUA DIHARGAI.....




Kampung asal suami ialah Selama, Kedah. Kg Sungai Batu lebih terkenal di kalangan keluarga. Maka tidak dikira sudah berHari Raya  selagi  belum balik kampung yang membawa seribu kenangan ini. Emak dan Ayah sudah tiada disamping keluarga. Hanya emak saudara dan bapa sudara sahaja yang masih menghubung tali kekeluargaan dan mewariskan legacy kerja membanting tulang empat kerat demi kesejahteraan tanpa mengharapkan pertolongan orang lain selagi hayat dikandung badan.Bapa mertua saya adalah contoh terbaik bagi anak-anak termasuk saya sendiri  kerana Ayah akan membantu adik beradiknya tanpa mengira kepentingan diri. Allah maha melihat keikhlasannya dan Allah mengurnia rezki yang unggul walaupun ia hanya Imam di kampung. Ia memulakan erti hidup menerusi perniagaan dengan membuka kedai runcit kecil-kecilan, membeli getah scrub dari pekebun kecil di kampung dan membawa teksi secara orang kampung. Alhamdulilah, legacy kerajinannya kini dicontohi  anak-cucu sedikit demi sedikit untuk membina tapak perniagaan yang lebih besar. Semoga Allah terus mengurnia Rahmatnya yang tidak terhingga dan mengurnia rezki tanpa disangka-sangka.

Ini Mak Teh Che Chik bersama menantu saya. Rumahnya di Charok Meranti 
berhampiran dengan Sungai Batu. Ia kakak pada bapa mertua saya.
 Semoga anak-anak muda pandai menghargi orang-orang tua. Menantu saya kehilangan ibunya  yang meninggal akibat sakit kanser sejak berumur 15 tahun. Kini ia rapat dengan Atuknya yang tinggal di Kuala Selangor. Saya lega ia selalu berkunjung ke sana.

Ini Mak Teh Che Chik bersama cucu-cicit pula.Kini ia agak uzur. Sebelum ini ia
akan bercucuk tanam sayur-sayuran disekeliling rumah untuk siapa jua yang memerlukannya.
Teringat saya akan falsafah hidup: Erti Hidup Pada Memberi.

Ini  Chu Teh, emak saudara di Penanti serta keluarganya. Ia adalah adik bongsu pada Allahyarham Ayah. Ia sudah tidak aktif untuk beberapa lama kerana diserang stroke semasa masih muda lagi. Alhamdulilah ia masih boleh mengurus diri dengan sedikit bantuan anak-anak yang bersamanya.

Yang berkain biru ialah Pak Teh, bapa saudara sebelah emak. Ia solo sekarang
 kerana isterinya baru meninggal dunia. Rasa sayu bersamanya kerana ini pertama kali
berHari Raya tanpa Mak Teh tersayang. Walaupun sudah berumur 78 tahun ia masih turun ke kebun mengusahakan apa yang termampu bagi dirinya.
 Sudah menjadi kebiasaannya untuk tidak duduk bersahaja.
Semoga anak-cucu saya mencontohinya.


 Di atas ini adalah Pak Lang dan Mak Lang yang kami ziarahi di Nilai Negeri Sembilang.
Mereka agak uzur dan tinggal bersama anak-anaknya. Jarang-jarang sekali mereka pulang ke Sungai Batu. ( Beberapa rumah cantik di Sungai Batu yang ditinggalkan begitu sahaja kerana generasi tua sudah tinggal jauh bersama sanak saudara.)

Saya sering berbincang-bincang dengan suami mengenai perkembangan sikap anak-anak muda sekarang secara umumnya. Kami amat khuatir mereka terpengaruh dengan budaya nafsi-nafsi yang nampaknya amat memikat minda anak muda. Budaya individualistik yang dipelopori Barat boleh merosakan unit kekeluargaan tradisional Melayu Islam yang kita cuba pertahankan kesaat ini. Yang muda jarang-jarang menziarahi yang tua. Mereka tidak berasa bersalah walaupun ada kes-kes di mana mereka tahu orang tua mereka memerlukan mereka.

Adakah mana-mana pihak yang harus dipertanggong jawabkan dengan fenomena ini?
WaAllahu'alam.
Sama-sama kita fikirkan dan semoga barakah Ramadhan membuka hati-hati anak-anak muda untuk berkhidmat dan menyayangi yang tua. Menyangi dan mengasihi orang tua, terutamanya ibu-bapa, adalah "jalan pintas" ke Syurga. Sayang sekali jika peluang ini terlepas begitu sahaja dan amat malang jika hala tujunya bukan Syurga.

Kalau bukan Syurga, apa ye?

Semoga segala kekurangan dan kelemahan yang ada pada kita Allah mengampuni dan memandu kita ke jalan yang menghampiriNya.

.....

Sunday, August 26, 2012

YANG TERPISAH DIERATKAN @ EIDILFITRI






Suami dan saya serta anak bongsu dan isteri membuat keputusan untuk balik kampung ke Johor pada Hari Raya kedua sebelum balik ke Kedah. Jalanraya amat sesak. Tetapi tidak mengapa. Kata orang :Hendak seribu daya.

Pergi ke Johor lebih utama kerana kakak saya yang tertua terlantar sakit di Kota Tinggi. Alhamdulilah Allah mengurniakan masa dan kesihatan untuk menziarahi kakak dan abang ipar saya.Abang ipar saya berumur 83 tahun dan ia menjaga kakak saya yang berumur 77 tahun. Ia dibantu oleh 2 orang warga asing yang bersedia berkhidmat menjaga orang tua yang uzur. Alhamdulilah, Allah memudahkan. Semoga anak-anaknya  lebih peka untuk sentiasa berada disampingnya kerana orang tua, antara lain, amat memerlukan tenaga muda membantu membaca alQuran. Deria melihat orang tua dan uzur amat terhad dan mendengarkan bacaan alQuran melalui CD tidak begitu berkesan berbanding anak sendiri membacakannya. Ini pendapat saya. Dengan cara ini semoga ingatan dan fokus hati sentiasa pada Ilahi. Semoga tenang dan tidak rasa bersendirian.

Saya duduk muhasabah diri setelah membacakan beberapa kali "Ayat 33"
dari alQuran yang disarankan oleh tuan guru saya.
Jauh fokus fikiran saya memikirkan proses penuaan bagi diri sendiri belum pasti bagaimana. Semoga Allah
memberi pertolongan buat kakak saya dan saya sendiri bahawa ujian diumur tua amat memerlukan 
pertolongan mereka yang muda. Tetapi kebergantungan kita pasti pada Allah jua yang maha mengasihani dan semoga kami sentiasa mendapat pertolonganNya.

Sebelum menziarahi kakak saya, kami ke FELDA Air Tawar 4 terlebih dahulu untuk menziarahi keluarga anak saudara dari kakak saya yang sulung yang telah pulang keRahmat Allah lebih kurang 5 tahun yang lalu.
Alhamdulilah Allah memberi kesempatan bertemu dengan anak-anak dan cucu-cucu kakak saya yang telah beberapa tahun saya tidak bersua muka. Kesibukan dalam menjalani kehidupan selalu sahaja menjadi sebab untuk tidak ziarah menziarahi. Kali ini mereka menguatakan tekad untuk menziarahi saudara-saudara tua seperti yang dituntut dalam Islam.  Kita tidak harus melihat kekurangan dan kelemahan  seseorang semata-mata. Kita harus mencari titik kekuatan bersama. Dengan itu hubungan kekeluargaan akan menjadi bertambah erat, dengan izin dan kehendak Allah jua.
Saya dan kedua anak kakak sulung saya. Umur kami hampir sebaya, dan kami membesar bersama dibawah jagaan emak saya kerana kakak saya telah menjadi ibu tunggal.
Anak ketiganya seorang lelaki, tetapi telah terlalu lama tidak balik kampung dan tidak dapat dihubungi. 
Semoga ia sejahtera. Namanya Ahmad Sujaee bin Abd. Aziz. Hanya doa yang kami panjatkan  semoga Allah membuka hatinya untuk pulang kepangkuan keluarga.

Ini keluarga yang telah bertahun saya tidak bersua muka bertanya berita. Alhamdulilah saya dapat 
merakam detik-detik gembira dan saya berdoa semoga hubungan kami akan menjadi lebih rapat demi kekuatan keluarga. Kekuatan keluarga adalah tunjang kekuatan umat Islam.
Semoga Allah mengampuni segala kekurangan dan kelemahan kami dan mengampuni  dosa-dosa kami  dan kedua ibu-bapa dan semoga kami dipertemukan lagi di syurga Firdaus nanti.
 Ameen.

...

Saturday, August 25, 2012

CERITA-CERITI DI EIDILFITRI








Alhamdulilah, keseronokan berbagai rupa yang Allah kurnia kepada hamba-hambanya semasa berpuasa dan di Hari Raya. Namun pada Tok Wan dan nenek, Embah atau apa jua gelaran diberi, keseronakan yang istimewa adalah bersama cucu-cucu. Keluarga Tok Ayah Baharom Hassan (suami saya) berkumpul di malam Hari Raya dan kami berbuka puasa yang akhir yang merupakan juga Jamuan Raya bersama keluarga anak-anak dan cucu-cucu. Menu kami biasa-biasa sahaja tetapi rasa seronok dapat makan bersama. Itulah sahaja masa yang terluang kerana anak-anak  sudah ada komitmen yang lainnya pula pada pagi Hari Raya dan seterusnya.

Tidak mengapa. Yang penting ialah rasa damai dihati.
Ini Ammani Farissa dan Tok Ayah sekembalinya dari Masjid. Senyuman yang menampakan damai dihati.


Maka selepas Solat Hari Raya saya dan suami berkunjung ke rumah abang saya di Shah Alam di Seksyen 13. Rata-rata pada Hari Raya pertama,  generasi muda meraikan yang tua. Di atas ini adalah  keluarga abang saya, Amat Suyoto Sulaiman. Allah kurnia 4 orang anak dan 5 orang cucu. Alhamdulilah.
 Semoga akan terdidik juga akhirnya anak-anak dan cucu-cucu untuk mematuhi kehendak Islam sepenuhnya seperti menutup aurat dan sebagainya.
 Saya sentiasa mendoakan warisan  fikir diredhai Allah bagi semua termasuk keluarga saya.
Abang saya kurang sihat kerana matanya mengalami masaalah urat mata terputus dan sedang merawatnya. Deria penglihatan menjadi kurang. Saya takut bertanya lanjut kerana saya juga diabetic dan mata adalah yang menjadi sasaran utama penyakit ini. Maka beringatlah kita! Rajin-rajinlah membaca kerana kurnia dari Allah bila-bila masa boleh ditarik balik.  Ini ujian kehidupan yang agak berat.


Bersalaman hormat pada yang tua, suatu lambang  kasih mengasihi dan sayang menyangi.
Semoga Allah mengapuni dan melilapah Rahmatnya yang tidak terhingga pada kami dan pada  kita semua.
Ameen.

....

Friday, August 24, 2012

DI SOLAT EIDILFITRI 1433H / 2012



Allahu Akbar...Allahu Akbar... Allahu Akbar Walilahilhamd....
Kami sampai awal ke Masjid dan suami saya berbaju hijau bersama-sama mengetuai sessi Takbir membesarkan Allah...

Mungkin ini kali terakhir Solat Sunat Eidilfitri di Kg. Tunku. Seandainya Allah masih kurnia umur panjang, insyaAllah kami berpindah ke Putrajaya awal tahun depan. Namun kita hanya merancang, Allah menentukan.

Maka saya rakam di bawah ini gambar teman-teman sekampung dan sepengajian untuk kenangan dan untuk maklumat anak-anak saya sepeninggalan saya nanti.

Sejurus selepas solat. 

Ini "kekanda" saya yang pernah 'jogging' bersama sebelum sakit dan ketika itu saya baru bersara.
Kedua gadis adalah cucunya yang meraikan neneknya.

Selepas jamuan Hari Raya di Masjid dengan teman-teman rapat.
Berdiri di tengah ialah Pembantu Khas Boss saya semasa di JKR yang selalu "menyelamatkan" saya 
dari masaalah. (sebuah nostalgia).

Teman-teman suami saya menjamu selera.

Khutbah Solat Eidilfitri hari itu berkisar di sekeliling topik yang menuntut umat Islam bersatu padu dan jangan berpecah belah atas perbezaan yang belum atau tidak nayata betul atau salahnya. Cuma saya secara peribadi kurang selesa bila menyentuh situasi aman damai yang ada di Malaysia dan kita harus bersyukur atas nikmat Allah yang tidak terhingga itu. Saya kurang selesa kerana tidak diperingtkan supaya kita tidak terperangkap dalam sindrom keselesaan dan lupa tentang perjuangan Umat Islam dalam konteks menegakan Islam sejagat. Kita harus juga ingat bahawa hidup aman damai juga adalah satu ujian, mungkin ujian yang lebih besar dari mereka yang tinggal dinegara yang sentiasa ditimpa sengsara yang datang dalam berbagai bentuk. Saya khuatir kalau kita tidak menyedari hakikat itu kita akan terus lagha dan hanyut dalam suasa hiburan tanpa batas dan musuh-musuh Islam memusnahkan hidup kita tanpa disedari.

Wallahua'lam.
Kami mohon keampunan dan semoga Allah sentiasa melindungi kita dan kita dikurnia keredhaanNya.

........
 

Sunday, August 19, 2012

SALAM EIDILFITRI




SELAMAT HARI RAYA EIDILFITRI 1433

Kepada semua sahabat handai, sanak saudara dan pengunjung budiman.
Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa dan Allah menerima amalan soleh kita dan
kita dikurnia SyurgaNya tanpa hisab 
dan kita dipelihara dari Api Neraka.
Dengan Rahmatnya jua.
Ya Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang !
...

MAAF ZAHIR DAN BATIN

...

Friday, August 10, 2012

HAMPIR




Ramadhan hampir ke penghujungnya. Rasa masih belum puas tetapi masa tidak akan menanti kita.

Maka saya muhasabah diri. Bagaimana dapat menjimat masa agar terluang juga detik-detik waktu untuk menghibur hati si kecil dalam keluarga yang belum faham mengapa dewasa di sekelilingnya hampir tidak kedengaran suara bermain dengannya. ( Ini Ammani Farissa - cucu yang tinggal bersama). Maka bila ia ada peluang masuk bilik saya, akan diambil nya telefon dan ditekan-tekan untuk mengisi masanya. Mugkin ia minta perhatian, minta dilayani kerana itu sahaja yang ia tahu. Tetapi dalam bulan puasa perilaku seperti ini boleh mencabar kesabaran juga. Maka terdetik dalam hati: Amat mudah memberi nasihat tentang kesabaran, tentang kasih sayang dan sebagainya. Karenah anak kecil pun sudah mencetus "kemarahan". Saya muhasabah diri lagi......

Dua tiga malam yang lalu, iaitu malam ke 18 Ramadhan,  saya solat terawih di Masjid Hidayah Kelana Jaya. Doa Qunut dalam solat Witr amat syahdu dan memukau hati.(Saya faham sedikit-sedikit kerana doa-doa itu pernah didengari dan sedikit Bahasa Arab yang dipelajari dapat membantu memahami serba sedikit apa yang dipohon semoga Allah merestui). Teringat pula pengalaman seumur hidup sekali umrah sebualan Ramadhan lebih 3 tahun yang lalu. Imam Masjid Hidayah ini punya suara dan lagu bacaan mirip Imam Sudais di Masjid Haram Makkah. Rasa sayu dan terharu. Alhamdulilah Allah beri peluang sekali yang amat saya mensyukurinya.

Timbul juga penyesalan kerana tidak mahir berbahasa Arab walau sudah lama belajar. Seorang teman mengatakan itu adalah kerana kita tidak serious. Kenapa kita mampu belajar hingga ke ijazah lanjutan tetapi tidak serious belajar bahasa alQuran. Sikap tidak acuh dengan Islam, katanya. Terbeliak mata saya mendengarnya dan senyum tawar ketika mendengari hujahnya. Saya cuba memberi alasan yang sememangnya hanya alasan. Sungguh benar kata-katanya itu. Tiadak siapa yang boleh dipersalahkan melainkan diri sendiri terutamanya jika tinggal di kawasan Lembah Kelang kerana sudah terdapat banyak peluang untuk mempelajari bahasa Arab / Bahasa alQuran. Saya terus menambil teguran ini secara positif dan semoga dapat memperbaiki diri. Semoga Allah mengampuni sikap ambil ringan ini dan semoga Allah menurunkan pertolonganNya.

Ramai kekawan yang telah tamat Tadarus alQuran. Saya ketinggalan dan tak mungkin tamat,  juga kerana berbagai alasan. Saya sedang cuba menhabiskan bacaan seorang diri. Semoga sempat tamat. Sudah amat HAMPIR kehujung Ramadhan. Dalam umur saya  kini, mungkin amat HAMPIR ke Garis Penamat. Selalu sahaja saya mengingatkan diri semoga tidak lagha.

Ustaz sering memotivasi kami "murid tua" dalam kelas pengajian supaya jangan putus asa untuk meyakinkan diri bahawa masih ada peluang untuk membuat perubahan pada diri dalam banyak hal. Mungkin yang memerlukan tenaga fisikal mungkin sudah tidak mampu. Tetapi yang menggunakan keupayaan minda pasti kita masih boleh terus mencuba. Kita hanya perlu komitmen diri, katanya. Lihat sahaja rakyat Palestine, khusnya di Gaza , berapa ramai antara mereka yang hafaz alQuran. Kita tidak ada masaalah bekalan letrik dan malam  adalah seperti siang. Tidak mengalami gelap gelita kalau ingin membaca apa jua. Mereka hafal alQuran dalam serba kekurangan. Kita yang hidup serba "mewah" berbanding mereka tidak dapat menghafal alQuran. Manay letaknya komitmen seorang yang mendakwa dirinya beriman.

Betapa kita tidak menghargai kurniaan Allah. Sepertinya begitu.....

Semoga kaum muda dalam generasi pelapis ini tidak akan ada penyesalan seperti apa yang saya lalui. Mustahil dapat mengembalikan masa yang sudah berlalu. Hanya doa keampunan yang dapat dipanjatkan ke atas Ilahi, dan menggunakan masa yang tinggal sedikit ini untuk memunafaatkannya seberapa yang boleh.

Semoga Allah mengampuni dan saya akan cuba "memecut" menjana perubahan kerana masa sudah terlalu hampir.....

...

Tuesday, August 7, 2012

SEMUA DALAM SATU





Pada 8 Ramadhan yang lalu Masjid Kg. Tunku mengadakan majlis berbuka puasa yang khas yang ditaja oleh sebuah Syarikat "Gerbang Perdana". Ia menjemput Ustaz Kazim Elias berceramah sebelum berbuka puasa dengan tajuk SABAR.

Saya berpendapat ceramahnya baik sekali. Mukadimah ceramah mengimbas semula peristiwa-peristiwa yang berlaku di Timur Tengah dan beberapa negara lain yang masih berjuang untuk kebebasan, yang mana setengah kita berpendapat perjuangan itu bukan semata-mata kebebasan tetapi untuk menegakan Kebenaran Islam. Apa jua, rakyatnya hidup dalam serba tidak selamat dan terpaksa menghadapai kesusahan mendapatkan bahan-bahan makanan dan semua keperluan hidup. Ini belum lagi kita bercerita mengenai rakyat yang negaranya dilanda musibah bencana alam.

Di mana taraf KESABARAN mereka. Bagaimana kita melihat Kesabaran mereka dan bertanya pula bagaimana kita menilai Kesabaran kita sendiri.

Di Malaysia kita tidak menghadapi masaalah seperti itu. Adakah ini bermakna kita tidak perlu mempelajari dan mengenali apa itu KESABARAN.




Maka panjang lebarlah ia berhujah mengenai sifat-sifat orang yang benar-benar bersabar mengikut kehendak alQuran dan hadith. Di samping ceramah, Gerbang Perdana juga menjemput Imam III dari Masjid Al Azhar dari negara Mesir untuk Imam solat malam itu termasuk Solat Terawih. Ia juga memperdengarkan Qasidah yang sama-sama di ikuti oleh jemaah kerana Qasidah itu berupa Solawat kepada Nabi Muhammad SAW.(ia mudah diikuti)

Sehubungan dengan ini, apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah isu kekuatan Jemaah. Kekuatan umat Islam melawan musuh-musuhnya bergantung kuat pada kekuatan Jemaah yang berpegang teguh pada Iman dan Taqwa. Kadang-kadang kedengaran suara-suara yang agak sumbang dan tidak selaras dengan prinsip ini apabila mengatakan mengapa kita perlu bersusah payah memikirkan apa yang berlaku di negara orang wal hal di negara kita masih banyak masaalah kemiskinann, kesusahan dan kekurangan yang belum cukup ditangani.

Setengah orang berpendapat itu adalah sikap mementingkan diri sendiri sahaja. Sikap mementingkan diri sendiri ini tidak dapat diterima terutamanya oleh golongan yang faham apa itu konsep tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain. Dalam Islam kita dituntut untuk menginfak harta dan apa jua yang kita mampu dalam masa senang dan dalam masa susah. 

Kita harus merasakan "Cubit peha kiri, Peha kanan sakit juga".

 Kita lihat ayat ini: Surah Ali Imran Ayat 134-136.
 

3:134

Who spend [in the cause of Allah ] during ease and hardship and who restrain anger and who pardon the people - and Allah loves the doers of good;
Indonesian
(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.



Thursday, August 2, 2012

SABAR ITU JALAN MENCAPAI REDHA ALLAH.







Lautan mana tidak pernah bergelora.....

Entah kenapa di Ramadhan ini banyak pula melihat dan mengimbas kembali laluan hidup yang telah jauh ditinggalkan. Berbagai rasa meluru datang semula. Teringatkan detik-detik yang gembira. Tetapi yang membawa rasa sayu dan sedih dan kecewa pun ada juga. Allah maha Pemerhati.Tiada yang terlepas dari pemerhatianNya.

Adat hidup di dunia. Apabila ditimpa kesusahan, iman yang belum mantap ini tertanya-tanya. Berulang kali memujuk hati untuk melepaskan segala memori jika memori itu hanya akan merobek waktu yang tinggal amat sedikit ini. Lalu bangkit dan tidak mahu lagi menendiri yang boleh membuka ruang untuk iblis membolak balek hati.

Biasanya apabila ditimpa musibah, mudah sahaja orang menasihati supaya bersabar. Kalau kita ditimpa kekecewaan kerana kegagalan mendapatkan sesuatu, mudah juga orang menasihati supaya bersabar. Rata-rata inilah pengalaman kita. Hari ini di dalam di dalam kelas pengajian mingguan Ustaz mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pun melalui ketika-ketika ia rasa kecewa dan sedih dan sebagainya. Maka Allah SWT menurunkan ayat 20/129 dan 20/130 seperti di bawah ini.



A129
 Dan jika tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu (wahai Muhammad), dan satu tempoh yang ditentukan nescaya balasan jenayah mereka sudah semestinya berlaku.
(Taha 20:129) |

A130
Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).
(Taha 20:130) |


Antara lain, ayat 130 menuntut kita bertasbih dan bertahmid, iaitu kita mensucikan Allah dan kita memuji Allah. Apa yang berlaku pada diri kita yang bukan akibat perbuatan yang menyalahi hukum, adalah suatu ujian, maka kita harus bersabar. Antara cara untuk membina kesabaran ialah dengan zikrullah dan didahului dengan taubat nasuhah kerana manusia tidak sunyi dari silap dan salah.Maka sempena Ramadhan al kareem tahun ini kita perkuat usaha kita membina kesabaran pada diri kerana mahu meraih balasan Redha Allah yang amat besar hikmahnya dan jiwa akan rasa tenang aman damai. Apabila kita redha dengan Allah dan Allah redha pada kita akan benar-benar mensyukuri segala kurniaan Allah, senang atau susah. Ya Allah! ampunilah kami dan perkuatkan tekad kami untuk menjadi hambamu yang kau redhai.
Ameen.


....

Wednesday, August 1, 2012

SEMAK-SAMUN



Hati kecil ku berazam....
Semak samun yang menyusuri kehidupan
Kan ku cuba pastikan ia hilang lenyap
Dalam kegemerlapan Nur Ramadhan yang indah gemilang

Dalam haru biru manusia lalu-lalang berterusan 
Mencari kekayan menghibur nafsu tanpa batasan
Pasti masih ada sudut-sudut keindahan kurniaan Tuhan
Kalau tekad kuat mempertahankan kejituan aqal dan keheningan fikiran
Dengan mata hati yang licin tajam.
Pasti masih terbuka ruang untuk sesiapa yang ada daya ketahanan,
Dengan ketebalan Taqwa keimanan
Menyulami hati budi dengan kecantikan menginfak yang disayang,
Mengongsikan kurniaan Allah bersama mereka yang memerlukan.

Hidup ini bukan untuk kita seorang...
Bukan hanya untuk dakapan keluarga tersayang
Tetapi untuk semua yang berikrar menjulang panji-panji hanya Satu Tuhan
Memperjuangkan kebenaran wasiat Rasul Junjungan
Walau sekecil usaha yang terzahir kerana itu sahaja kemampuan.

Siapa berani bertegas akan kesampaian ke destinasi tujuan,
Dengan Rahmatnya yang infiniti berpanjangan.
Siapa yang ambil jalan mudah, mungkin akan kecundang, penuh pemyesalan.
Jangan sampai itu kesudahan.
Aku janji pada diri semoga Allah perkuatkan.
Mohon maghfirahNya yang maha adil maha menentukan,
Bermatian mencari redhaNya semoga sejahtera, nyaman
Hingga sampai kepangkuanNya, aman.


Allahuma Amin.
...
Related Posts with Thumbnails