"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Friday, August 10, 2012
HAMPIR
Ramadhan hampir ke penghujungnya. Rasa masih belum puas tetapi masa tidak akan menanti kita.
Maka saya muhasabah diri. Bagaimana dapat menjimat masa agar terluang juga detik-detik waktu untuk menghibur hati si kecil dalam keluarga yang belum faham mengapa dewasa di sekelilingnya hampir tidak kedengaran suara bermain dengannya. ( Ini Ammani Farissa - cucu yang tinggal bersama). Maka bila ia ada peluang masuk bilik saya, akan diambil nya telefon dan ditekan-tekan untuk mengisi masanya. Mugkin ia minta perhatian, minta dilayani kerana itu sahaja yang ia tahu. Tetapi dalam bulan puasa perilaku seperti ini boleh mencabar kesabaran juga. Maka terdetik dalam hati: Amat mudah memberi nasihat tentang kesabaran, tentang kasih sayang dan sebagainya. Karenah anak kecil pun sudah mencetus "kemarahan". Saya muhasabah diri lagi......
Dua tiga malam yang lalu, iaitu malam ke 18 Ramadhan, saya solat terawih di Masjid Hidayah Kelana Jaya. Doa Qunut dalam solat Witr amat syahdu dan memukau hati.(Saya faham sedikit-sedikit kerana doa-doa itu pernah didengari dan sedikit Bahasa Arab yang dipelajari dapat membantu memahami serba sedikit apa yang dipohon semoga Allah merestui). Teringat pula pengalaman seumur hidup sekali umrah sebualan Ramadhan lebih 3 tahun yang lalu. Imam Masjid Hidayah ini punya suara dan lagu bacaan mirip Imam Sudais di Masjid Haram Makkah. Rasa sayu dan terharu. Alhamdulilah Allah beri peluang sekali yang amat saya mensyukurinya.
Timbul juga penyesalan kerana tidak mahir berbahasa Arab walau sudah lama belajar. Seorang teman mengatakan itu adalah kerana kita tidak serious. Kenapa kita mampu belajar hingga ke ijazah lanjutan tetapi tidak serious belajar bahasa alQuran. Sikap tidak acuh dengan Islam, katanya. Terbeliak mata saya mendengarnya dan senyum tawar ketika mendengari hujahnya. Saya cuba memberi alasan yang sememangnya hanya alasan. Sungguh benar kata-katanya itu. Tiadak siapa yang boleh dipersalahkan melainkan diri sendiri terutamanya jika tinggal di kawasan Lembah Kelang kerana sudah terdapat banyak peluang untuk mempelajari bahasa Arab / Bahasa alQuran. Saya terus menambil teguran ini secara positif dan semoga dapat memperbaiki diri. Semoga Allah mengampuni sikap ambil ringan ini dan semoga Allah menurunkan pertolonganNya.
Ramai kekawan yang telah tamat Tadarus alQuran. Saya ketinggalan dan tak mungkin tamat, juga kerana berbagai alasan. Saya sedang cuba menhabiskan bacaan seorang diri. Semoga sempat tamat. Sudah amat HAMPIR kehujung Ramadhan. Dalam umur saya kini, mungkin amat HAMPIR ke Garis Penamat. Selalu sahaja saya mengingatkan diri semoga tidak lagha.
Ustaz sering memotivasi kami "murid tua" dalam kelas pengajian supaya jangan putus asa untuk meyakinkan diri bahawa masih ada peluang untuk membuat perubahan pada diri dalam banyak hal. Mungkin yang memerlukan tenaga fisikal mungkin sudah tidak mampu. Tetapi yang menggunakan keupayaan minda pasti kita masih boleh terus mencuba. Kita hanya perlu komitmen diri, katanya. Lihat sahaja rakyat Palestine, khusnya di Gaza , berapa ramai antara mereka yang hafaz alQuran. Kita tidak ada masaalah bekalan letrik dan malam adalah seperti siang. Tidak mengalami gelap gelita kalau ingin membaca apa jua. Mereka hafal alQuran dalam serba kekurangan. Kita yang hidup serba "mewah" berbanding mereka tidak dapat menghafal alQuran. Manay letaknya komitmen seorang yang mendakwa dirinya beriman.
Betapa kita tidak menghargai kurniaan Allah. Sepertinya begitu.....
Semoga kaum muda dalam generasi pelapis ini tidak akan ada penyesalan seperti apa yang saya lalui. Mustahil dapat mengembalikan masa yang sudah berlalu. Hanya doa keampunan yang dapat dipanjatkan ke atas Ilahi, dan menggunakan masa yang tinggal sedikit ini untuk memunafaatkannya seberapa yang boleh.
Semoga Allah mengampuni dan saya akan cuba "memecut" menjana perubahan kerana masa sudah terlalu hampir.....
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment