"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, August 30, 2012

KE KEMUNCAK UMUR EMAS







 Bila duduk seorang diri saya sering teringatkan waktu bekerja dahulu. Maklumlah diumur emas ini anak-anak jarang-jarang ada disamping. Tidak mengapa. Itu lumrah hidup. Maka dalam berseorangan suatu hari saya teringatkan apa teman sekerja saya kata mengenai umur tua, atau umur emas jua.

"I marvel at the Malays when they are old. They don't seem to worry about dying. People whom I know, like my neighbor, always smile when I meet up with them. I see that they always have something to do. And they don't worry too much about being sick or something."

 Ini pernyataan seorang teman keturunan Cina yang bukan Islam.
"Why do you say that?" Saya bertanya kembali. Jarang teman-teman bukan Melayu mahu berkata-kata seperti itu.

"Oh, because my mother is always too careful about health and very fussy about the choice of food she is taking. She doesn't want to get sick.She told me she's worried about her health. But I think she is afraid of aging. I suppose being sick means we may die sooner. That's reading between the lines"

"Oh.....".

Maka saya katakan padanya bahawa fenomena itu dipengaruhi oleh nilai-nilai hidup yang kita pegang yang diajarkan pada kita dari kecil-kecil lagi. Kita ada Tuhan Allah yang mencipta kita dan kita dididik untuk tidak melampaui batas. Kalau tergelincir dari batas kita diajar untuk segera bertaubat dan jangan mengulangi apa yang salah dan bertukar haluan untuk berbuat yang baik.

Saya katakan juga bahawa konsep hidup dan mati dalam Islam adalah berlainan dari konsep yang dipegang oleh mereka selain Islam. Kita dididik menjalani hidup dan menghadapi mati. Semua orang yang belum benar-benar beriman sememangnya takut menghadapi mati, (termasuk saya) tetapi kami diajar ilmu yang membolehkan kita membuat persediaan untuk mati. Maka kerana itulah kita takut tetapi kita tidak panik menghadapi kematian. Di celah-celah ketakutan masih rasa ada harapan kerana yakin Allah itu maha Pengampun, maha Pengasih maha Penyayang.

Walau bagaimana pun, Ustaz-ustaz menceritakan juga bahawa orang yang maqam iman dan taqwanya tinggi mereka  menghadapi mati dengan senyuman. Mereka menanti-nanti saat bertemu Allah. Semoga saya akan sampai keperingkat itu.

Bercerita mengenai umur emas, saya pernah diminta untuk bercakap sedikit mengenai pengalaman hidup "dalam persaraan" oleh teman-teman di Masjid dalam sessi silaturrahim. Maka ini cerita saya.

Saya bersara sedikit awal dari umur yang ditentukan kerana ingin  menjaga emak saya yang menunggu begitu lama untuk tinggal dengan saya. Kini saya telah bersara 10 tahun. Alhamdulillah.

"Bila engkau nak pencen aku nak duduk sekali?.

Soalan itu benar-benar mengejutkan saya kerana saya lalai untuk memahami kehendaknya. Maka saya terus membuat perkiraan untuk tidak berkerja dan duduk dengannya. Ketika itu emak saya masih agak sihat, boleh berjalan-jalan dan hanya dibantu sedikit sahaja ketika ke bilik air. Tetapi ditakdirkan tidak beberapa bulan selepas itu kesihatannya mula menurun. Ia lebih  suka berbaring. Saya ada pembantu dan sering saya letak emak saya di kerusi roda dan -pembantu saya bawa emak saya bersiar-siar. Kadang-kadang saya sendiri yang menolak kerusi rodanya melihat kebunnya yang berdekatan rumah. Tidak lama kemudian ia tidak dapat terus berjalan dan setiap kali mandi saya bawa dengan kerusi roda terus ke bilik air. Saya tidak akan lupa pengalaman ini. Pembantu saya pernah berkata:

"Kenapa tidak guna sarung tangan bila membersihkan najis emak?.

"Eiish..eiish.... Kamu ni. Dulu emak saya tak guna sarung tangan cebukan saya, kenapa sekarang saya nak guna sarung tangan pulak?"

Terdiam pembantu saya dan hanya senyum.

"Kamu guna sarung tangan sebab dia bukan emak kamu. Tapi ini emak saya. Kita mana tahu dia rasa terkecil hati walaupun dia tak kata terang-terang. Kita jijik kah padanya?"

Itu rutin saya selama  lebih sedikit dari setahun. Ia meninggal dunia di kampung kerana kakak saya memintanya untuk bersamanya buat seketika kerana cucu kesayangannya buat majlis pernikahan. Tidak kesampaian untuk saya bawa pulang ke KL  Hajatnya memang mahu mati dirumahnya sendiri, maka Allah tunaikan. Alhamdulilah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan sekarang sejahtera di alam Barzah.

Sebelum menjaga emak saya, saya menjaga ibu mertua saya. Dia masih kuat cuma sedikit pelupa (Alzheimer's)  dan mengurus orang pelupa memerlukan kesabaran yang berlainan sedikit. Saya membaca maklumat lanjut mengenai penyakit ini di internet dan cuba mengikutinya seberapa yang terdaya. Saya mendapat nasihat juga dari doktor perbadinya. Dengan kehendak Allah brain cellsnya merosot terlalu cepat. Kami hanya mampu melambatkannya menerusi ubat-ubatan.  Pengalaman ini pun membuat saya insaf betapa kekuasaan dan takdir Allah membuatkan manusia tahu dimana kedudukannya di sisi Allah yang maha Besar. Saya bersyukur Allah beri peluang memahami hati-hati mereka yang berumur emas. Saya juga terbantu muhasabah diri dan rasa amat kerdil dan fakir di sisi Allah.

Ibu mertua saya mendapat stroke dan jatuh patah tulang. Kemudian ia dijaga dan diurus sepenuhnya oleh adik lelaki suami saya di Putrajaya, berhampiran dengan anak-anak yang lain di kawasan itu. Ada teman yang bertanya saya kenapa tidak duduk di rumah anak perempuannya kerana biasanya anak perempuan yang menjaga ibunya. Saya katakan bahawa anak lelakilah yang lebih bertanggongjawab atas orang tuanya. Anak menantu perempuan menjalankan tanggong jawabnya sebagai isteri soleh pada suaminya. Tiada siapa yang kerugian dalam peraturan ini kerana bila isteri itu tua dan tidak upaya, anak lelakinya sendiri yang menjaganya...dan seterusnya.  Ibu-bapa sendiri dan ibu-bapa mertua sama statusnya pada diri kita.

Saya katakan pada teman-teman saya di Masjid bahawa menjaga orang tua jangan dianggap sebagai bebanan. Ramai antara kita yang berdoa, biasanya menyebut: "Ya Allah, janganlah aku jadi beban pada anak-anak ku bila aku tua nanti."

Pada pendapat saya doa seperti ini seolah-olah kita mengatakan pada emak atau bapak kita bahawa mereka itu adalah bebanan pada kita. Walhal Allah telah mengatakan bahawa menjaga ibu-bapa atau ibu-bapa mertua dengan baik dan bersungguh-sungguh adalah salah satu jalan pintas ke Syurga. Tentunya kita mahukan anugerah itu dan pastinya kita mahu juga anak-anak kita mendapat anugerah itu bila mereka menjaga kita di hari tua nanti.

Maka doa kita saya rasa harus begini: "Ya Allah, mudahkanlah anak-anak ku menjaga aku semoga mereka sentiasa bersabar dan aku juga bersabar. Aku sayang pada anak-anak ku dan semoga mereka sayang pada ku. Ampunkan dosa-dosa kami. Semoga hubungan kami sentiasa harmoni dan semoga kami masuk kesyurga Mu tanpa hisab." Ameen.

Biasanya apabila telah bersara teman-teman dalam perkhidmatan yang dahulunya bersama-sama suka bertanya bila ada peluang bertemu:

"Sobah you buat apa sekarang?"

Ini soalan biasa kerana ramai yang akan bekerja semula secara kontrak atau akan memulakan perniagaan sendiri.

"Oh, I am into Geriatric Care." Saya katakan dengan santai.
Ramai yang tidak tahu apa itu "Geriatric". Ada beberapa teman yang terdiam bila saya kata begitu kerana malu nak bertanya selanjutnya. Tetapi ada yang bertanya.
"Apa tu Sobah ?"
"Jaga orang tua, emak saya sendiri lah....dan mak mertua saya." Mereka tersenyum.

Pasti ini bukan tugas yang "Glamour" selepas bersara sebab itu saya rasa ada teman yang tidak bertanya lanjut. Tidak glamour, tetapi ia mendidik hati kita untuk melihat ke dalam diri sendiri sama ada kita bersedia dengan proses penuaan yang makin hari makin jelas tanda-tandanya. Ada diantara mereka pada hemat saya yang masih "in denial" mengenai hari tua, mengenai umur emas. Ada lagi yang masih suka ke majlis-majlis sosial yang ada nyanyi nyayi dan lain-lain yang tidak ada nilai tambah bagi umur emas. Lebih serious lagi jika ia membuat kita lagha bahawa baki hidup kita tinggal amat sedikit lagi.

Tetapi tidak bererti bahawa kita hanya duduk di tikar solat saja dan tidak putus putus zikrullah di bibir. Zikrullah yang terbaik masih diluar sana seperti kita berasama-sama dengan masyarakat berbuat kerjakerja kebajikan dengan sukarela atau berbuat sesuatu yang lebih aktif dari itu yang akan terus menjadi bekalan untuk kehidupan di akhirat. Ini termasuk kerja-kerja menulis buku atau sepertinya yang dapat dimunafaatkan oleh pembaca. Kerana bila mati hanya 3 perkara yang dibawa bersama. Ilmu yang dimunafaatkan, sedekah jariah dan doa anak-anak yang soleh. Cantiknya bila kerja di umur emas ini kita tidak ada tekanan seperti semasa berkerja di bawah majikan. "We work without fear or favor sepenuhnya" kerana kerana faham bahawa yang benar tetap benar yang batil tetap batil.

Yang masih bekerja dan mendapat ganjaraan berbentuk kebendaan  saya rasa pun baik juga jika perspektifnya dan nowaitunya betul dan harta yang diperolehi di infakkan untuk yang memerlukan. Sebab saya berpegang pada hakikat bahawa orang Islam harus kaya dan barulah kita punya kemampuan untuk menolong orang lain. Jika kemewahan hanya untuk diri sendiri maka kuranglah penghayatan amal soleh yang dituntut itu.

Di celah-celah "kesibukan" untuk berterusan mengikuti majlis-majlis ilmu, saya juga membantu kegiatan-kegiatan NGO sekadar yang mampu terutamanya yang berkaitan dengan Pembebasan masjid Al Aqsa dan Palestine seluruhnya. Saya selalu mengajak keluarga besar saya bersama dalam hal ini, semoga Allah meredhai. Dalam masa yang sama menjaga cucu-cucu bila diperlukan. Yang sepenuh masa ialah menjaga seorang cucu bersekolah di Adni Islamic School. Tugas ini amat mencabar umur seperti saya sekarang yang akan masuk 66 tahun. Saya ingin mengasaskan pada cucu-cucu yang lain sistem pendidikan yang harus diikuti. Semoga Allah memudahkan dan memberi kesihatan badan dan minda selama yang mungkin.

Alhamdulilah Allah beri juga peluang pada saya dapat bersama-sama dengan teman-teman akrab membantu satu kumpulan penaja membina sebuah sekolah yang pernah saya sebut dalam blog saya ini, iaitu sebuah sekolah yang berusaha menerapkan sistem yang beraskan Islam dalam semua aspek. Kami cuba mencontohi antara lain, ADNI ISLAMIC SCHOOL di mana ia memegang prinsip IHES (Intergrated, Holistic Education Syatem). Saya hanya menumpang usaha yang sedikit ini semoga menjadi sebahagian dari Ilmu yang dimunafaatkan. Impian saya dan suami ialah membina sekolah seperti itu secara bersendirian. Semoga kesampaian. Kami iringi dengan doa yang tidak putus-putus. Kami menyedari bahawa hanya menerusi sistem seperti ini sahaja kita dapat mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan Islam di atas muka Bumi ini. Semoga Allah sentiasa memandu cita-cita yang ada, memperbaiki konsep yang kita turuti dan memudahkan serta  mengajarkan pada kita bagaimana hendak mencapai kesempurnaan dalam melaksana pendidikan Islam seperi yang dituntut olehNya.

Ramai yang memomok-momokan bahawa Pendidikan Islam akan melahirkan Terrorists. Tetapi kami yakin pada janji Allah yang benar tetap benar, yang batil tertap batil. Ia maha Mengetahui, maha Bijaksana, maha Mendengari maha Adil dan maha Berkuasa atas tiap-tiap segala sesuatu. KepadaNya kami mohon perlindungan, kami memohon keampunan dan kami memohon kasih sayangNya dan semoga usaha-usaha kami yang kerdil ini di redhaiNya. Semoga kami terhimpun bersama para Sidiqqin, Syuhadak dan Solihain.
Ameen.

...

2 comments:

Zainora Hayari said...

Tersentuh hati saya baca blog Puan, sgt menyentuh perasaan.. arwah ibu saya juga suka menulis, Puan mengingatkan saya pada arwah..

Kalau Puan free, feel free to follow my blog ya :-)
http://qasehdaania.blogspot.com

ngasobahseliman said...

Salam dear Zainora. tq singgah baca entry saya. Nanti saya ziarah blog zainora pula, insyaAllah.

Related Posts with Thumbnails