"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, September 17, 2012

"MENJAGA" AHLI SYURGA.



Apabila lahirnya seorang bayi ke dunia, ada kalanya kita tidak dapat memastikan kesihatannya dan kecerdasan mindanya pada hari pertama ia didatangkan oleh yang maha Pencipta ke alam ini. Kita akan menerima seadanya dan akan memanjatkan  kesyukuran yang tidak terhingga  kehadrat Allah swt. Kata-kata pujian pada Allah akan mencurah-curah lahir dari hati ibu-bapa khususnya dan dari saudara-mara di sekelilingnya. Ini kurniaan yang maha Bijaksana, maha Mengetahui dan  maha Pengasih maha Penyayang. Alhamdulilah, Allahu Akbar.

Maka setiap hari harapan ibu-bapa dan waris terdekat menggunung tinggi semoga impian di hati menjadi satu reliti di hari-hari yang mendatang nanti. Tetapi ketentuan Allah tiada siapa yang boleh pasti dan dari awal-awal lagi susah hendak dikenal pasti kelemahan dan kekurangan yang ada pada bayi ini. Itu adalah suatu kenyataan yang benar. Kekadang Doktor Pakar pun tidak dapat menentukannya. Walaubagaimana pun  Hamba-hamba Allah yang soleh akan menjalani kehidupan tanpa mengira dan memilih habuan rezki mengikut perasaan dan fikiran sendiri. Hanya ikhtiar mengasuh anak sedaya munkin dan bulat tawakal padaNya yang dipastikan disepanjang hari-hari yang dilalui.

Kadang kala para doktor boleh membuat kesimpulan tentang kesihatan bayi dan tentang kekurang yang ada padanya dari sebelum lahir lagi. Itu pun mengikut kepakaran yang dipelajarinya. Hakikat sebenar hanya diketahui setelah kelahiran atau kadangkala hanya diketahui beberapa bulan atau beberapa tahun selepas itu. Yang hebatnya ada kalanya Mak Bidan tradisional kampung  dalam satu-satu hal lebih tahu dari doktor  berasaskan ilmu yang dipelajarinya turun temurun.

Ini pernah terjadi pada cucu saudara saya sendiri bila Mak bidan yang menjaganya dalam pantang mengatakan kakinya pendek sebelah. Maka dengan segera anak saudara saya merujuk kembali pada doktor yang menguruskan kelahirannya. Sungguh benar ada kecactan pada kakinya yang memerlukan pembedahan yang berkaitan dengan tulang dipunggungnya. Kini cucu saudara saya boleh berjalan tetapi dencut sedikit. Alhamdulilah. Ia boleh berjalan dan berlari tanpa kesakitan. Allah maha mengasihani.

Itulah hakikatnya mengenai kelahiran. Ada beberapa kekurangan pada sifat bayi yang Allah ciptakan untuk menunjukan pada manusia ruang linkup kekuasaanNya dan kerdilnya manusia di sisiNya. Maka setelah kita berikhtiar berbagai cara dari mulanya untuk memohon kelahiran yang sempurna, maka apa yang Allah kurnia itu maka itulah yang terbaik dan tersempurna. Allah maha mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Kita perlu melihat kurnia Allah dari mata hati dan bukan berasaskan fikiran semata-mata.

Saya menulis kali ini kerana ingin berkongsi pemerhatian dan pengalaman saya mengenai anak istimewa yang Allah kurnia pada mereka yang saya kenali dari teman sahabat handai dan kaum kerabat saya, yang jauh  dan yang dekat. Seorang pegawai saya dahulu dikurniakan anak yang mulanya boleh melihat tetapi entah mengapa deria melihat makin lama makin kurang dan sekarang berumur awal duapuluhan sudah dikira tidak dapat melihat lagi. Disamping itu kemampuan aqalnya pun tidak seperti anak biasa. Alhamdulilah, ibu-bapanya menerima dengan redha dan mendidik anak-anak yang lainnya supaya menyayangi adik bongsu ini. Mereka akur dan amat simpati dan kasih padanya. Kemana sahaja ia tidak pernah terpinggir. Teman saya ini membawa anknya dari kecil lagi ke masjid untuk menghadiri majlis ilmu dan ia ditempatkan di suatu tempat yang sesuai dibelakang kelas pengajian. Alhamdulilah anak ini tidak banyak ragam. Jika ke kelas membaca alQuran, senyap-senyap ia boleh menghafal sesetengah ayat dengan jelas. Kehendak Allah maha luas hikmahnya.

Sehubungan dengan ini  saya pernah memerhatikan anak-anak yang banyak ragam mengikut "keistimewaannya." Saya lihat ibu yang mengasuh amat sabar sekali. Tetapi ada juga yang jarang-jarang membawa anaknya berinteraksi dengan sanak saudara kerana ditakuti menggangu ketenteraman suasana majlis. Saya berpendapat  ibu-bapa harus banyak berikhtiar dan bersabar. Kadang-kadang  menjaga anak istimewa memerlukan peruntukan kewangan yang banyak untuk memulihkannya sebaik yang mungkin. Maka ibu-bapa harus berlapang dada dan membelanjakan wang simpanan untuk anak ini. Pada pandangan saya usaha berikhtiar untuk memulihkan anak istimewa ini mesti kena pada waktunya (must be timely), kerana masa adalah penentu sesuatu kekurangan dan kelemahan itu boleh dipulihkan. Maka janganlah ibu-bapa teragak-agak dalam mengambil tindakan segera kerana tidak yakin pada kepakaran doktor dan hanya mahu berserah pada takdir sahaja. Seorang bayi atau anak itu berada pada umurnya sebentar sahaja. Bila sudah membesar mungkin sudah terlewat untuk membuat apa-apa tindakan pemulihan.

Kita harus tawakal dan berikhtiar sebaiknya walaupun ini bererti kita terpaksa mengambil pinjaman kewangan. Ambilah mengikut yang mampu terbayar. Kalau kita mampu mengambil pinjaman kereta dan sebagainya, apalah susahnya mengambil pinjaman untuk anak istimewa kurniaan istimewa dari Allah padanya. Atau pun mungkin kita tidak perlu meminjam dimana-mana tetapi kita perlu berjimat atas perbelanjaan yang lain semata-mata kerana kita mahu menumpu pada usaha pemulihan ini. Jangan kita rasa sayang dengan duit yang ada dan rasa mahu mengumpul "kekayaan" untuk tujuan selain dari kesejahteraan anak yang mendesak yang perlu ditangani dalam masa yang terdekat. Jangan kita 'mengelak diri' dan berfikiran seolah-olah masaalah anak kita itu sementara dan akan pulih dengaan usaha yang biasa-biasa sahaja. Masa tidak menanti kita. Jangan nanti timbul penyesalan kerana tidak mengambil tindakan mengikut tuntutan masa.




JANGAN KITA RAGU PILIHAN ALLAH. Pastinya ada hikmahnya. Maka bersungguh-sungguhlah merawat anak. Tidak mengapa tidak tinggal di rumah yang hebat dan berpakaian cantik, dan tidak mengapa tidak dapat melancung ke mana-mana asalkan sahaja  kita dapat berikhtiar dengan  sepuasnya supaya tidak timbul apa jua penyesalan.

Saya perhatikan juga ada  di kalangan ibu-bapa yang seperti tidak dapat menerima akan kekurangan sifat anak dan bersikap seperti menidakan kenyataan (Self Denial). Ini menyebabkan ia kurang berinteraksi sepennuhnya dan tidak berulit kasih dengan anak istimewa ini. Kadang-kadang boleh dilihat seperti ia MALU ada anak yang istimewa ini yang disebut sebagai anak  'kurang upaya' oleh masyarakat. Saya lebih suka menyebut "beza upaya" kerana apa yang Allah ambil, Allah gantikan dengan lainnya. Mithalnya: mereka yang kurang deria penglihatan Allah ganti dengan deria pendengaran dan deri bau "sense of smell" yang luar biasa. Deria sentuhan kulit pun Allah kurnia luar biasa. Sebab itu ia boleh membaca Braille dan boleh mengenal barang atau orang dari segi sentuhan. Allah maha Kaya maha Bijaksana.

Walaubagaimana pun sekarang ini ada yang tidak rasa malu membawa anak-anak beza upaya ini keluar bersiar-siar dan mereka berinteraksi dengan masyarakat. Saya tidak tahu sama ada kajian dibuat dalam hal ini oleh kerajaan. Pastinya ada kerana peruntukan kewanagan untuk kemudahan awam khusus bagi mereka ini pasti diambil kira. Semasa saya di kementerian Pendidikan dahulu saya terlibat juga dalam mengurus keperluan murid-murid istimewa ini dan saya kagum dengan sikap beberapa orang ibu yang berkelulusan tinggi dan professional yang berhenti kerja semata-mata mahu menjaga anak yang istimewa sepenuh masa. MasyaAllah, dicelah-celah kemewahan yang kadang kala mencelarukan, masih ada yang behati sempurna dan menghargai kurniaan Allah tanpa ragu dan tanpa bimbang tentang tentang apa orang lain kata dan tanpa ragu dan bimbang mengenai masa hadapan. Terima dan redha, maka Allah akan menunjuki jalan dan memudahkan. Allah maha Mengetahui dan maha Adil pada ciptaanNya.

Dalam hal seperti ini saya  tahu seorang kenalan biasa yang amat mewah hidupnya dan punya kediaman yang berharga berjuta ringgit tetapi anaknya yang kurang upaya ini ditinggalkan di kampung dan dijaga oleh pembantu upahanan. Begitu ceritanya. Saya tidak melihatnya sendiri. Tersedih hati saya kerana seorang ibu sanggup "meminggirkan" anak sendiri. Anak-anak seperti inilah yang akan menunggu kita di Pintu Syurga, insyaAllah. Allah pilih ibu dan bapa untuk menjaga Ahli Syurga tetapi mengapa kita kurang peka akan kurniaan ini  semata-mata kerana kita tidak mahu terhalang dari aktiviti lain kerana menjaga anak istimewa.

Kadang kala orang bukan Islam lebih peka tentang hal-hal mengasuh dan menjaga anak- anak yang beza upaya ini. Sebelum Ramadhan yang baru lalu saya bekesempatan membaca sebuah buku mengenai hal seperti ini. Buku ini amat baik untuk bacaan.(A must Read Book).



Buku itu berjodol " A MOTHER LIKE ALEX" Oleh Bernard Clare.

Ia menceritakan betapa komited seorang wanita ini yang mengasuh dan menjaga anak-anak Down Syndrome yang diambil sebagai anak angkatnya sendiri kerana amat mengasihi dan mengasihani anak-anak yang beza upaya ini. Wanita ini tidak "berkesempatan" untuk berkahwin kerana dari umur remaja lagi dia sudah melibatkan diri dengan rumah kenajikan yang mengurus anak-anak kurang upaya yang ditinggalkan oleh ibu-bapa yang "kaya" tetapi tidak berminat menjaga anak-anak ini sendiri. Entah mengapa, terutamanya bapa, tidak terdetik rasa sayang dalam hati mereka ini. Mereka lebih selesa berbelanja apa jua untuk melepaskan anak-anak ini untuk jagaan rumah kebajikan.

Wanita ini  yang bernama Alex bermati-matian menegakan haknya dari segi undang-undang untuk "mengangkat" anak- anak ini kerana ia merupaka ibu tunggal yang tidak diiktiraf masyarakat. Tetapi oleh kerana hatinya amat tertambat pada mereka ia sanggup berkorban apa jua. Anak yang tertua sudah berumur 29 tahu semasa Penulis menceritakan dalam bukunya. Kemudian anak ini membantu mengikut daya upayanya akan "ibunya" menjaga yang lain-lain. Tujuh orang kesemuanya, dan masih berhajat mengambil anak yang lain lagi.

Sungguh mulia hatinya. Salah seorang yang diangkat itu ialah seorang yang "Autistic". Saya membaca buku ini penuh minat dan insaf kerana cucu saya yang seorang ini juga didiagnose "mildly autistic" dan saya suka membantunya seberapa yang termampu.  Pengalaman saya berada disampingnya amat menyedarkan saya betapa besarnya  erti kurniaan Allah swt pada hambanya. Maka saya menginginkan mereka yang terlibat, terutama ibu dan bapanya untuk melihat Kebesaran Allah daripada mengira kesusahan kita. Semoga kita menjadi lebih rapat dengan yang maha Khalik melalui interaksi kita dengan mereka yang Allah cipta kurang upaya. Pastinya ada hikmah disebaliknya.

Saya kurang arif sepenuhnya hal-hal Autism ini tetapi cucu saya ini nampak seperti biasa kecuali ia lebih aktif dari lainnya. Ia disahkan autistic di umur 5 tahun lebih sedikit. Pada pemerhatian saya ia anak yang pintar dan dari segi kelebihan yang lain ia nampak seperti anak-anak yang biasa. Malahan saya nampak ia bolih dikira  "a smart kid" kerana pandai bertutur dan bertindak cara bijak tidak seperti anak-anak yang seumur dengannya. Malah seorang doktor dihadapan saya mengatakan anak ini pandai dan kreatif. Itu berasaskan penelitiannya sebagai doktor pakar dibidangnya. Tetapi ia perlu pertolongan dan bantuan dari aspek kekurangan lainnya. Maka kami merujuknya pada doktor pakar yang lebih khusus kerana ia kadang kala berlaku aggresif pada siapa sahaja yang berada dihadapannya atau bersamanya. Yang membimbangkan keluarga ialah kerana ia suka "melarikan diri" keluar rumah tanpa izin atau tanpa pengetahuan sesiapa yang ada disekelilingnya. Sudah beberapa kali ia "hilang" dan usaha mencarinya kadangkala amat mendebarkan jantung kerana khuatir ia di colek orang atau dilanggar kednderaan.

 Alhamdulilah ia sering dijumapai semula kerana ada para budiman (good samaritan) yang menghantarnya ke Balai Polis. Jika 'menghilang' di shopping komplex atau di tempat keramaian yang lain, ada orang yang menjumpainya dan memyerahkan semula mengikut operasi keselamatan di tempat itu. Berbagai pengalaman 'hilang' telah dialami dan saya menasihatkan ibunya supaya mengambil pembantu rumah agar boleh membantu mengawasinya dimana jua ia berada. Kalau bukan pembatu yang berpengalaman pun saya berpendapat anak ini perlu bantuan dari segi membolehkan ia membuat aktiviti yang disukainya. Saya dapati dia suka mendenar cerita dari buku dan khusyuk medengari ibunya yang kadangkala berkesempatan membacakannya. Kalaulah  anak saya ini ada pembantu, maka pembantu ini boleh menolong mengurus rumah dan memasak dan lain-lain lagi dan ibunya boleh menumpu lebih masa pada anak-anaknya yang memerlukan perhatian.

Saya sering merenong mereka. Kalaulah mereka "boleh memberi pendapat" saya pasti anak-anak seperti ini akan mengatakan: "Ibu...mana ibu?..." Pastinya anak-anak rasa aman jika ada ibu-bapa dapat bersamanya sebanyak waktu yang mungkin. Ada ulitan kasih sayang yang erat. Mereka perlu perhatian dan mereka perlu sentuhan. Jika ibu bapa tiada masa, mereka akan sibuk bermain atau beraktiviti mengikut caranya sendiri. Kadangkala membahayakan diri. Jika anak-anak terlalu dibiarkan saya khuatir akan timbul masaalah yang lainnya pula apabila mereka meningkat umur.

Dalah hal mengurus keluarga, terutamanya jika wujud anak istimewa, maka kita kena fikirkan kesusahan orang lain juga bukan kesusahan diri sendiri sahaja. Hati anak-anak bagaimana? Mereka akan menunjukan cara perilaku yang aggressif atau perilaku yang lain yang membahayakan atau yang tidak membina minda. Menggunaka TV sebagai "Pengasuh" bukan alternatif yang sihat. Program Kartun bukan boleh mengambil alih ulitan kasih sayang, dan makanan ringan kesukaan bukan gantian perhatian diri.

Semoga siapa sahaja yang punya anak istimewa akan bertindak penuh 'compassion', penuh 'empathy' pada anak-anak yang memerlukan perhatian khas. Kita lihat dengan mata hati dan bukan dengan fikiran logik semata-mata. Kita lihat juga masaalah dan kesusahan pihak lain yang berkaitan dan bukan terlalu melihat kesusahan dan masaalah sendiri sahaja. Lihat kepentingan anak-anak ini khususnya. Pendekatan penyelesaian masalah wajar melihat masaalah ini secara total,semoga Allah menurunkan pertolonganNya.



Gambar di sebelah ini  ialah anak beza upaya yang saya mengenali dirinya dan ibunya kerana mereka sering juga  ke Masjid. Saya rakam gambar ini selepas solat Eidilfitri baru-baru ini. Dari zahirnya  ia seperti down sindrome tetapi boleh berinteraksi secukupnya dengan dewasa. Selalu saya menegurnya bila berkesempatan berjumpa dan bertanaya cerita yang saya jangaka dapat ia menjawabnya. Ia boleh berdiri solat di saf dewasa, tetapi kata ibunya ia kurang sempurna. Subhanallah. Tiada ciptaan Tuhan yang sia-sia. Ibunya menjaga seorang ahli syurga, insyaAllah menantinya penuh bahagia. Kita yang sihat ini kadang-kadang lupa kurniaan Allah maha berharga dalam apa betuk sekalipun. Allah menilai hati kita bukan fikiran kita. Semoga Allah mengampuni segala kelemahan dan kekurangan dan kita  diberi Hidayahnya supaya apa jua ujian yang dihadapi kita bijak menanganinya........dengan pertolongan Allah dan Rahmatnya jua.

...

No comments:

Related Posts with Thumbnails