"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, February 3, 2013

Menggapai harapan...







Selepas Solat Subuh dan minum pagi sekadar mengalas perut, saya dan suami tergesa-gesa ke Pusat Cerajem di SS2 Petaling Jaya kerana hari ini hari Sabtu dan ia beroperasi hanya hingga jam 12.40 tengah hari. Biasanya hari Sabtu ramai yang datang awal kerana tidak mahu terlepas peluang menjalani terepy yang boleh mengurangkan bebanan sakit, sedikit demi sedikit.

Ah.....kami sangkakan kami awal. Alangkah melesetnya jangkaan kami !

Waktu itu baru jam 7.45 pagi tetapi di hadapan kami sudah ada lebih dari dua kumpulan untuk sessi pertama dan kedua. Katanya ada yang datang seawal jam 6.00 pagi. Saya seperti tidak percaya begitu serious tumpuan mereka untuk memulihkan kesihatan

Semuanya menggapai harapan........

Yang paling menyentuh hati saya ialah seorang wanita Melayu yang berumur lewat tiga-puluhan atau mungkin  awal empat-puluhan. Beberapa hari dahulu katil Cerajem saya sebelah menyebelah dengannya dan saya mendengari perbualan antaranya dan "cik gu" Cerajem yang sentiasa membantu kami untuk mendapatkan rawatan yang sebaik mungkin. Katanya dia menghidap kanser dan tidak tahan lagi mengikuti rawatan di hospital kerana selalu muntah-muntah. Ia diberitahu oleh teman-teman bahawa ada yang dapat dipulihkan walaupun makan masa yang agak lama melalui rawatan di Cerajem.

Hari ini ia duduk di hadapan saya menanti giliran. Rupanya pucat tetapi air mukanya tenang sahaja. Bilbir mulutnya kelihatan komat-kamit. Agaknya sedang berzikir. Ia di temani suami yang berkerja sebagai Security syarikat swasta. Suaminya juga nampak tenang. Tetapi kurang senyuman walau pun teman-teman dan "cik gu" membuat lawak.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.....

Siapa jua yang menghidap sakit yang "terminal" ujian Allah adalah diperingkat tinggi. Semoga semua ujianNya mendekatkan kita padaNya. Selepas rawatan, saya memerhatikannya lagi. Ia nampak steady dan ia membalas senyuman saya penuh perhatian. Kemudian ia bersiap-siap untuk pulang. Esuk dan seterusnya insyaAllah ia akan datang lagi.

Saya membaca hatinya.....menggapai penuh harapan pada Tuhan, Allah yang maha Pengasih maha Penyayang. Kalau saya di tempatnya pasti itu juga harapan saya. Harapan tinggi menggunung semoga Allah menurunkan pertolongan, mendatangkan ketenangan dan keyakinan bahawa ikthtir itu hanya suatu tuntutan sunatullah, dan kita harus menjalani dengan penuh kesabaran dan keikhlasan. Kita semua adalah Hak Allah, maka kesihatan juga adalah hak Allah.

Saya muhasabah diri. Saya pesakit diabetis dan rangkaian lain yang selari dengannya. Saya bisikan di hati sendiri. Kita semua menuju tempat yang sama. Kepada Allah kita akan dikembalikan. Tiada jaminan penyakit saya akan menyebabkan saya hidup lebih lama. Tidak.

Begitu juga dia. Allah maha Penentu atas segala-galanya.

Dua malam yang lalu dalam kelas pengajian, Ustaz kata ia lebih suka kita berdoa semoga Allah memberkati umur kita. Tidak penting berapa lama kita hidup, maka tidak perlu kita mohon minta dipanjangkan  umur. Tetapi amat penting kita hidup dalam kesejahteraan kurniaan Allah dan barakah dariNya.

Kebergantungan kita hanya pada Allah dan kami tidak putus-putus berdoa.

Kasihanilah kami dan mudahkanlah urusan hidup kami, ya Rabb!
Ampunkan segala dosa-dosa kami dan tempakan  kami bersama orang-orang yang Engkau redha.
Ameen.

....

No comments:

Related Posts with Thumbnails